Popular Posts

Monday, 3 February 2014

"Keranamu DIAH":Bab 8



BAB 8 :          BERMULANYA SUATU TRAGEDI

Bukannya lama lagi.
Malam itu , Raziq mengajak Diah keluar lagi ...  tidak boleh tidak , setiap malam Raziq mesti mengajak Diah keluar. Hidupnya sudah tidak betah tanpa Diah disisi.
“Rindulah ... I tak tahan kalau tak jumpa you. Tulah ... I ajak you kahwin sekarang , you tak mahu!. Akibatnya I juga yang sengsara. Tidur tak lena , mandi tak basah. Hai ... bilalah penyiksaan ini akan berakhir?” . Suara Raziq kedengaran separuh merajuk dan merayu. Diah tersenyum mendengar rungutan manja Raziq. Telefon bimbit pemberian Raziq itu digenggam kemas , dilekapkan lebih rapat ke telinganya. 
“Mmm ... sabarlah sayang. Bukannya lama lagi. Kan bulan depan kita dah nak posting. Lepas posting bolehlah you hantar rombongan meminang. 5 bulan lepas tu kita kahwin . Okey?”. Pujuk Diah.
“Kalau dikira itu makan setengah tahun jugak tu. Sempat I mati dulu belum tentu kita dah kahwin!”. Bantah Raziq
“Hish kenapa cakap macam tu. Tak baik sebab kata-kata itu doa. Sabarlah , kita habiskan belajar , lepastu baru kahwin. Bersusah-susah dahulu , bersenang-senang kemudian . Janganlah terburu-buru.  Okeylah , untuk tenangkan you  , kita jumpa malam ni ye ... bye!”. Diah mengalah.

Raziq menangkap tangan itu ...
Suasana malam itu sungguh romantik. Mereka bergandingan tangan  berdiri di lereng bukit , memandang lampu-lampu daripada pelbagai bangunan yang tersergam gagah di lembah Kelang.
“ Eh , menariknya ... boleh nampak ‘twin tower’ lah ... pandai you pilih spot”. Diah memuji.
“Tengok oranglah ...”. Raziq merenyih , gembira bila dipuji.
“You tau ... I selalu bayangkan bila kita dah bersatu nanti. Tentu seronok. Setiap malam kita ke sini. Lepas tu , lepas  tengok pemandangan yang cantik seperti ini , kita akan balik sama-sama. Makan-makan dan ... mmm ...boleh ...”. Raziq mula melarat. Keningnya terangkat-angkat membayangkan rasa hati.
“ Eh jangan nak merepek lah!”. Spontan  Diah bereaksi sambil mengusik hidung Raziq. Pantas Raziq menangkap tangan itu lalu merentapnya kuat ke arahnya. Diah tersembam di dada Raziq. Badan mereka bersatu ... Diah cuba melepaskan diri. Raziq menguatkan  rangkulannya.
“Ziq , jangan ... jangan diulang kesilapan lalu!”. Rayu Diah. Raziq tersentap lantas melepaskan rangkulannya. Kata-kata Diah itu menyedarkannya , dia telah melampaui batas!.
“Maaf ...”.  Raziq lantas bangun lalu berjalan laju ke kereta.
“Jomlah ... I hantar you balik!”. Katanya  tiba-tiba.  Diah kebingungan namun kakinya turut melangkah  mengikuti jejak Raziq , berjalan laju menuju ke kereta. Ada kekesalan dalam hatinya.
Sepanjang perjalanan  , mereka hanya mendiamkan diri. Diah serba salah . Tidak tahu apa yang perlu atau patut diucapnya. Ditegah salah , dibiar lagilah salah.
“Huh! Salahkah aku?”. Fikir Diah. Sedih dengan apa yang berlaku. Sesekali wajah masam Raziq dikerlingnya. “Huh!!”.
“Mmm ... dah sampai”. Raziq keluar membukakan pintu kereta buat Diah. Dia hanya berdiri tegak. Langsung tidak dipandangnya wajah Diah. Sebaik sahaja Diah keluar , pintu segera ditutup. Kemudian Raziq berjalan laju  menuju ke tempat memandu , menutup pintu dengan keras lalu memecut pergi.
“Raziq! Raziq! ” . Diah cuba memanggil namun kancil putih terus berlalu pergi. Tanpa  ucapan selamat malam apatah lagi ucapan sayang!

... bermimpi ...
Jam 2 pagi  -   telefon bimbit Diah berbunyi. Diah tersedar ...
“Ya Allah, aku bermimpi rupanya!”. Tangannya segera mencapai telefon bimbit yang masih berbunyi. Mukanya diraub , “Huh!. Teruk ni , setiap saat memikirkan soal hubunganku dan keterlanjuranku dengan Raziq hinggakan  terbawa-bawa di dalam tidur”. Fikirnya.
“Hello.... ?”. Jawabnya sebaik telepon digapai.
“Diah , maaf menganggu. Ini Raziq. Sepanjang malam ni I tak dapat tidur. Asyik teringat pasal kita. I rasa you tentu sedang resah juga kan ?”. Tanya Raziq.
“Er sebenarnya  saya  tengah tidur tadi. Raziq , saya memang resah tapi  hidup mesti diteruskan. Lagipun , saya percayakan awak. Tak sampai  tiga bulan lagi kita akan  berkahwin kan?”. Balas Diah.
“Insyaallah ... I takkan tinggalkan you. Kita akan sentiasa bersama. Susah dan senang. Selagi hayat dikandung badan! Sabtu ni I nak ke rumah mak ayah you. Kita pergi sama ya?”. Jawab Raziq , lembut.
“Ya, mari kita tanggung beban ini bersama-sama.  Saya akan sentiasa ingat. Susah senang kita akan sentiasa bersama. Selagi hayat dikandung badan!”. Diah mengulangi kata-kata Raziq. Entah mengapa hatinya terasa begitu sayu mengulangi kata-kata itu.
“Diah , I really love you ... ”. Ucap Raziq.
“I love you too. Dah nak menjelang pagi ni. Eloklah kita tidur. Esokkan ada kuliah. Ingat sayang , walau apapun terjadi hidup ini harus diteruskan. Selamat malam sayang”. Balas Diah.
“Selamat malam”.

Malam Durjana ...
Hari ini Diah , Ziah dan Zuraimie terpaksa pulang lewat ... Sudah jam 10 malam mereka masih di perpustakaan. Mereka perlu menyiapkan tugasan kumpulan yang perlu dibentangkan  pada esok hari. Entah  manalah silapnya  , kerja yang sepatutnya telah lama siap masih belum juga selesai. Masing-masing sibuk dengan urusan sendiri hinggakan masa untuk berkumpul semakin sukar dicari.
“Hmm ... bila nak balik ni. Aku dah penat ”. Keluh Ziah , memandang Zuraimie dengan harapan pandangan itu akan dibalas mesra.
“Kenapa? Kau penat ke?”. Respon Zuraimie acuh tidak acuh  tanpa memandang wajah Ziah. Ziah kecewa , tidak faham dengan sikap Zuraimie. Sepertinya dia telah melakukan kesilapan yang besar padanya. Sejak akhir-akhir ini Zuraimie terlalu dingin padanya.
“Kadang macam suka , kadang macam benci. Eee ... tak fahamlah!”. Fikir Ziah sambil memandang Zuraimie dengan tajam. Zuraimie hanya berbuat bodoh , baginya  hatinya masih bengang dan tersinggung  mengingatkan nota balasan yang diterimanya tempohari.
“Sengal!. Sesedap rasa sahaja kau mengutuk aku. Langsung tidak memikirkan perasaan orang lain!”. Fikirnya.
“Penatlah  ...  mana tidaknya dah 2 jam berterusan  tau  kita menyiapkan kerja ni”. Balas Ziah , sengaja memanjangkan perbualan. Lagi pula dia ingin sekali memahami sikap dan perasaan pemuda ini terhadapnya.    
Diah hanya mendiamkan diri. Langsung tidak menghiraukan perbualan antara Zuraimie dan Ziah. Baginya apa yang penting ialah  segera menyiapkan  kerjanya  secepat yang boleh. Esok mereka akan membentangkan tugasan yang bertajuk , ‘Penerapan pemikiran kreatif dan kritis dalam pengajaran dan pembelajaran di sekolah’. Diah akan menyiapkan bahan bantu pembentangan. Oleh kerana Diah memang pandai melukis maka dia diberikan tugas melukis bahan bantu dalam bentuk kartun sesuai dengan isi pembentangan. Ziah mencari bahan untuk pemikiran kritis manakala Zuraimie pula ditugaskan untuk mencari bahan bagi pemikiran ‘kreatif’.
Diah terus bekerja. Tangannya terus melukis. Diah ingin segera siap. Selesai nanti, Raziq akan  menjemputnya. Mereka perlu membincangkan perkara berkenaan hal hari Sabtu ni. Bagaimana cara yang terbaik untuk menyampaikan ‘berita pahit’ ini kepada kedua orang tuanya.
“Biarpun pahit tapi masih ada manisnya. Huh! Bagaimanalah penerimaan mereka nanti”. Kecut hati Diah membayangkan reaksi kedua ibubapanya nanti.
“ Diah , banyak lagi ke?”.Tanya Zuraimie. Perihatinnya terhadap Diah masih tetap seperti dulu. “Makin cuba ku hindari makin mendalam perasaanku terhadapmu”. Kata hati Zuraimie , cuba merenung wajah Diah yang terlalu leka melukis.
Ziah pula hanya diam mendengar perbualan itu. Ada cemburu di hati. Ziah tidak mengerti dengan sikap Zuraimie , sekejap bagaikan  mahu memikat , sekejap membuatnya bagaikan melukut di tepi gantang.
“Taklah , sikit je lagi”. Jawab Diah.
“Awak balik macam mana?. Dah lewat ni , biar saya hantar balik. Awak dan Ziah sekali”. Pelawa Zuraimie. Sengaja menyebut nama Ziah sebagai umpan. 
“Okey gak”.Jawab Ziah tanpa diminta. Entah mengapa mulutnya begitu lancang menjawab bagi pihak Diah. Inilah peluangnya untuk berbaik-baik semula dengan Zuraimie.
“Eh , tak apalah  ...  saya nak jumpa kawan lepas ni. Awak  hantar Ziah sajelah”. Jawab Diah. Jawapan  itu benar-benar mengecewakan Zuraimie.
“Mengapa perlu berjumpa kawan malam-malam buta begini?. Tentu Raziq!” . Fikir Zuraimie ,  timbul rasa cemburu di hatinya. Bukan sekali ini saja dia perlu melihat  dan membiarkan Diah berdua-duaan dengan Raziq tetapi sudah banyak kali dan setiap kali ianya berlaku hatinya terasa sakit sekali. Api cemburu membakar jiwanya.
“Saya rasa dah lewat sangat untuk awak jumpa kawan . Apa kata awak  jumpa kawan awak  tu esok saja. Lagipun anak gadis tak elok keluar malam-malam. Err ... berdua-duaan dengan anak teruna pulak tu. Boleh menimbulkan fitnah. Betul tak ?”. Zuraimie memberikan cadangan dan berharap sangat agar Diah akan menerimanya.       
“Eh fitnah apa pulak. Kalau tak penting takkanlah Diah nak jumpa kawan pada waktu malam-malam  begini. Biarlah Mie , Diah pandailah menjaga diri!”. Balas Ziah. Berubah air muka Zuraimie mendengar kata-kata Ziah itu.
“Ceh! Bukannya nak halang , lagi menggalakkan pulak!!”. Getus hati Zuraimie. Geram.

Bagi Ziah pula , dia memang faham akan masalah yang sedang dihadapi sahabatnya Diah. Mereka perlu diberikan ruang untuk menyelesaikan masalah yang mereka cipta itu. Lagi pula Ziah ingin sekali mencuri peluang berdua-duaan dengan Zuraimie. Mungkin persoalan yang bermain di hatinya akan terjawab malam ini .
“Perang dingin ini harus ditamatkan. Baiklah , aku akan berterus terang dengannya malam ini. Biar semuanya jelas. Kalau padi katakan padi , tidak saya tertampi-tampi , kalau jadi katakan jadi tidak saya ternanti-nanti!. Wah! Sampai berpantun-pantun pulak aku”. Fikir Ziah lalu tersenyum sendiri.
“Tentu baik jika semuanya terurai. Tidak sanggup lagi berteka-teki. Mungkin kami harus bercakap dari hati ke hati. Apapun yang terjadi , malam  ini pasti segalanya bakal terungkap!”. Ziah membulatkan tekad.
Diah menganggukkan kepala , mengiyakan kata-kata Ziah sebentar tadi  sambil memandang Zuraimie. Zuraimie hanya mampu mengeluh sambil mengangkatkan kedua bahunya. Jelas terpancar kekecewaan pada wajahnya.
“ Huh! Bilakah kau  akan mengerti perasaan ku ini?”. Keluhnya .
“Bukan aku tak faham perasaanmu itu tapi apakan daya. Kita memang tidak ditakdirkan bersama. Maafkan aku Zuraimie ...”. Kata hati Diah sambil mengalihkan pandangan matanya daripada terus memandang wajah Zuraimie.

Selesai  sahaja tugasannya , Diah segera memohon diri. Bergegas meninggalkan sahabatnya yang lain , pergi untuk mendapatkan Raziq ... kekasih hatinya , bapa kepada bayi yang sedang dikandungkannya kini. Zuraimie hanya mampu  memerhatikan langkah Diah yang kian menjauh. Sedih , pilu perasaannya.
‘Mengapa bukan aku yang kau cinta?’ , soalan itu masih dan  sentiasa bermain di benak hatinya. “Huhh!!”. Dia mengeluh lagi.
“Jom!. Kita balik”. Kata-kata Ziah mengejutkannya. Zuraimie terdiam , memandang Ziah dengan dahi yang berkerut!.
“Mengapakah kehadiranmu saat ini sangat menjengkelkan sedangkan ada waktunya pintu hatiku ini bagaikan terbuka untukmu?”. Zuraimie bingung.
“Benci tapi rindu?. Ah! Merepeklah!!”. Fikir Zuraimie


Entah mengapa matanya bagaikan tidak mahu berganjak ...
 Sementara itu di tempat letak kereta , kancil putih telah sedia menanti tidak jauh dari  tangga perpustakaan. Diah berlari anak mendapatkannya.
“Assalamualaikum”. Ucap Diah sebaik saja pintu kancil dibuka.
“Waalaikummuassalam , penat?”. Balas Raziq , tersenyum gembira memandang wajah gadis yang amat dicintainya ini.
“ Penat lah jugak tapi lega sebab tugas dah selesai. Mmm  ... kita nak ke mana?”. Tanya Diah.
“Kita kena bincang betul-betul malam ni. I ingat nak bawa you ke Bandar Kajang. Lagipun anak ayah ni mesti dah lapar dan hauskan. Mama tu asyik buat kerja je”. Jawab Zuraimie sambil mengusap lembut perut Diah. Diah hanya tersenyum dan membiarkan perlakuan Zuraimie.
“Kita bincang sambil makan satay Kajang. Setuju?”. Tanya Raziq.
“Diah ikut je ... Diah akan ikut ke mana saja  Raziq pergi”. Balas Diah sambil memandang Raziq. Wajah Raziq tampak begitu tampan dan menawan di matanya.
“Saya sayang awak!”. Katanya perlahan sambil terus memandang  Raziq. Matanya tidak lekang dari  menatap wajah lelaki ini. Entah mengapa matanya bagaikan tidak mahu berganjak.
“I pun sangat sayangkan you tapi ... renungan you tu buat I takut ,  macam nak telan I je!. Kenapa?. Takkan baru kejap dah rindu kot!”.  Raziq mengusik.
“Heeee ... rindulah jugak. Kalau boleh tak nak berpisah sesaat pun!”. Jawab Diah sambil tersenyum.
“Eeeee ...  mana boleh macam tu. Apa-apa pun hidup mesti diteruskan. Kita tak boleh hidup hanya dengan cinta. Tu baby dalam tu tak boleh hidup dengan cinta semata”. Jawab Raziq dengan nada yang agak serius. Diah diam mendengar jawapan Raziq , tidak faham akan maksud yang tersirat.


kalau ditakdirkan I mati dulu ...
Kancil putih terus dipandu laju mengarah ke Pekan Kajang. Raziq memasang radio  , lagu nyanyian biduan Negara  allahyarham P. Ramlee sedang berkumandang.
“Jangan tinggal daku ... oh kasih ... oh dewiku. Andai, dikau tiada . Daku teman tiada ... meratap sepi. Hampa ... merana!” Raziq turut menyanyikan lirik lagu tersebut sambil tersenyum-senyum memandang Diah. Diah tertawa kecil melihat gelagat Raziq.
“Eh , Diah kan dah kata tadi. Diah takkan ke mana-mana. Diah akan ikut je ke mana Raziq pergi!”.  Diah menggayakan tangan seperti sedang berikrar.
“Eh, janganlah kata begitu”. Balas Raziq spontan. Wajahnya tiba-tiba menjadi serius semula. Hilang senyuman manisnya.
“Kenapa?”.Tanya Diah kehairanan , bukankah mereka sepatutnya bersama hingga ke akhir hayat. Bukankah itu janji pasangan yang bercinta?
“Diah , dengar. Betul , I memang sayangkan you and kalau boleh memang nak sangat-sangat hidup bersama dengan you sampai bila-bilapun tapi ... kalau ditakdirkan I mati dulu , I tak naklah you ikut sama sebab nanti ...  baby kita siapa yang nak jaga?”. Jawab Raziq sambil memandang Diah. Diah membalas pandangan tersebut dengan dahi yang berkerut. Diah menggelengkan kepala. Raziq mengangguk-nganggukkan kepala. Masing-masing tidak mahu mengalah!.

Bagi Raziq , pendiriannya jelas. Kini mereka bukan saja perlu memikirkan soal diri mereka berdua sahaja. Mereka  juga perlu memikirkan nasib seorang lagi insan yang bakal hadir ke dunia ini hasil buah cinta mereka. Kebajikannya harus dijaga. Insan  itu kini kian membesar dalam rahim Diah. Insan yang bakal mengeratkan lagi hubungan mereka.  Anak mereka berdua!.
“Kenapa cakap begitu?. Diah tak mungkin boleh hidup tanpa Raziq. Lagi pulak dalam keadaan sekarang. Kami berdua sangat memerlukan awak!”. Balas Diah sedih sambil memegang perutnya.
“Ya sayang , I pun takkan dapat hidup tanpa you”. Raziq memandang Diah sambil menggenggam erat tangan Diah.
“Kita harungi kehidupan ini bersama?”. Diah berkata separuh merayu.
“Ya sayang , selagi hayat dikandung badan!”. Jawab Raziq . Matanya tajam menatap wajah Diah.  Diah mengangguk.
“Ya. Selagi hayat dikandung badan!”.  Diah mengulangi kata-kata Raziq.

Sedang keduanya asyik berpandangan dan melayan perasaan tiba-tiba , sebuah waja hitam keluar dengan laju dari simpang Komuter Kajang dan terus masuk ke lorong laluan kancil putih. Raziq terkejut dan cuba mengelak waja hitam. Dengan pantas dan spontan stering kereta dipusing ke lorong kanan.
“Fuhh...Alhamdulillah...”
Belumpun sempat Raziq dapat menghabiskan ayatnya ...
“Raziq , jaga-jaga!!!”.  Diah menjerit sekuat hati apabila sebuah lori hantu tiba-tiba muncul dari arah hadapan lalu menghentam kancil putih , “Gedebummm!!!”. Bunyi hentaman yang sangat kuat itu menarik perhatian semua mata yang ada di sekeliling.
Kancil putih remuk di bahagian hadapan. Raziq dan Diah tersepit dalam perut kancil putih yang terbenam di bawah lori hantu tersebut. Semuanya berlaku dalam sekelip mata , begitu cepat sekali. Malang tidak berbau ... tiada siapa menyangka , tidak Raziq , tidak juga Diah.
“Tolong ... tolong ...”. Suara Raziq meminta tolong menyedarkan Diah.
“Raziq ...”.  Diah mengangkat mukanya mencari Raziq. Dalam kesamaran gelap malam , Diah masih dapat melihat wajah Raziq berlumuran darah dan sedang menahan kesakitan yang amat sangat.
“Diah ...”. Raziq menghulurkan tangannya ke arah Diah. Diah cuba menyambutnya tapi tangannya tidak mampu diangkat.
“Raziq , saya tak dapat bergerak ... saya tak dapat bergerak! ”.  Rintih Diah.
“Sabar Diah ...”. Raziq memujuk.
“Raziq ...  awak bagaimana?” . Dalam kesakitan Diah  tetap risaukan keadaan Raziq. Darah yang melumuri wajah Raziq  sungguh banyak dan mengerikan.
“Diah ...  I sayangkan you. Jaga baby kita! Jaga baby kita!!”.  Raziq tidak menghiraukan soalan Diah.
“Raziq , awak kenapa?. Awak kenapa? Awak ...”.  Diah bertanya dengan nada suara yang semakin lemah.
“Diah , ingat ... tak kira apapun  berlaku  ...  I sangat sayangkan you dan anak kita ... I minta maaf ...”. Itulah kata-kata terakhir Raziq yang sempat sampai ke telinga Diah sebelum dia sendiri hilang kesedaran diri.
“... I minta maaf  kerana tidak mungkin dapat bersama you mengharungi saat kelahiran bayi kita”. Kata Raziq dalam tangisan. “Ya Allah , ampunkanlah  kami. Ampunkanlah kami!!”.
Apabila nyawa sudah ke penghujungnya , tiada apa yang lebih berharga melainkan keampunanNya ... maka pergilah dia bila tiba waktunya  dan tinggallah yang masih bernyawa mengharungi segalanya ....


Tuhanku , kau jadikanlah kegembiraan ini kekal berpanjangan ...
 “Doktor! Doktor! , dia dah sedar!!”.  Zuraimie menjerit kegembiraan memanggil doktor yang bertugas. Tidak lama selepas itu Doktor Anisah masuk ke kamar pesakit bersama dua orang jururawat.
“Doktor , dia dah sedar! Dia dah sedar! Dia dah sedar!!”.  Zuraimie mengulang-ulangi kata-katanya sambil menggoncang-goncang tangan doktor Anisah yang sedang berjalan laju ke kamar pesakit. Gembira sungguh dia. Tidak sia-sia penantiannya sekian lama.
Doktor Anisah hanya mengangguk-nganggukkan kepalanya lalu bergegas ke katil pesakit. Sesampai sahaja di lokasi yang dimaksudkan , jari jemari pesakit digenggam.
“Ya , ada respon ... bersyukurlah!.  Boleh tunggu di luar dahulu. Kami perlu melakukan pemeriksaan lanjut”. Pinta Doktor Anisah.
“Yes , sure!”. Balas Zuraimie lalu berlari-lari anak keluar meninggalkan kamar itu.
Keadaannya tidak keruan. Tidak tentu cara untuk melahirkan kegembiraan hati yang teramat sangat. Sesekali tangannya dipanjatkan  ke atas mendepang seluas-luasnya mengucap syukur lalu menyapukannya ke  muka.
“Ya Allah ... Maha suci Engkau. Hambamu ini sangat bersyukur dengan kurniaMu. Ya Tuhanku , kau jadikanlah kegembiraan ini kekal berpanjangan. Sembuhkanlah dia. Sihatkanlah dia. Limpahilah kegembiraan buat dirinya dan diriku. Kembalikanlah dia kepadaku. Ya Tuhan, sesungguhnya aku amat menyayangi dan mencintainya!”. Doa Zuraimie. Zuraimie memohon dengan sepenuh hati.


lautan apipun sanggup direnangi
Tiba-tiba sahaja wajah perempuan lebih separuh usia terbayang di kotak fikirannya.
“Ya Aunty Norlina!”. Fikirnya.
“Biar ku khabarkan berita gembira ini padanya”.  Tangannya segera mencapai telepon bimbit yang tersisip di pinggang lalu segera menelefon Aunty Norlina , ibu Diah.
“Makcik , berita gembira. Bersyukurlah ... tadi jari jemari Diah dah mula bergerak-gerak” .  Cerita Zuraimie dengan perasaan yang sangat teruja.
“Betul ke?.  Alhamdulillah! ...”.  Terdengar esakan Aunty Norlina. Esakan kegembiraan!.

“Aunty datanglah sini. Diah tentu amat memerlukan aunty sekarang  ini”.  Pinta Zuraimie. Demi gadis kesayangannya , lautan apipun sanggup direnangi!
“Ya ... ingin sekali. Aunty pun dah terlalu rindukan  Diah. Tapi ... aunty tak boleh nak janji. Uncle tuuu ... marahnya tak pernah reda”. Aunty Norlina berkata dengan suara yang amat sayu. Ibu  mana yang tidak sayangkan anaknya. Walau sebesar manapun dosa yang telah mereka lakukan!. Namun apakan daya syurganya kelak bergantung pada redha suami ... dia tidak sanggup menjadi isteri durhaka.
“Huhhhh ...” . Keluh Zuraimie , hampa. Dia tahu  maksud disebalik kata-kata aunty Norlina.
“Ya aunty saya faham. Cuma kalau boleh aunty datanglah ke sini. Kehadiran aunty tentu amat bermakna buat Diah” Pinta Zuraimie lagi. Dia tidak lagi sanggup menerima alasan  daripada seorang ibu.
“Ya  , nanti aunty akan cuba pujuk uncle. Entahlah ...   kalau boleh aunty memang harap sangat akan dapat ke sana secepat mungkin. Hari ini uncle  tak ada di rumah. Outstation. Lewat petang esok baru balik. Aunty mohon , buat sementara ni Zuraimie tolonglah tengok-tengokkan Diah. Kalau ada apa-apa berlaku jangan lupa telefon aunty lagi ya Mie. Aunty hanya bergantung harap pada kau sajelah Mie ...”.  Sedu  Puan Norlina meledak hingga dapat di dengari dengan jelas oleh Zuraimie.
“Ya aunty ... cuma saya perlu ingatkan aunty bahawa saya ini bukannya  siapa-siapa dengan Diah.  Dalam keadaan seperti ini , keluargalah yang perlu ada di sekelilingnya. Soal menjaganya aunty jangan risau kerana saya yang hanya seorang teman ini tak mungkin membiarkan Diah melarat sendiri!”. Itulah janji Zuraimie kepada aunty Norlina sebelum menamatkan perbualan mereka. Zuraimie cukup sedar , bukan mudah bagi aunty Norlina untuk datang melawat anaknya itu. Namun dia  sudah tidak boleh menerima alasan lagi. “Diah itu anak mereka!”. Soal uncle Amir itu , aunty Norlina yang harus menanganinya. Bukan dia!. Bukan dirinya yang harus memikirkan semua perkara!!
“Huhhhh!!!” Keluhnya lagi. Telepon bimbitnya kembali disisipkan di tepi pinggangnya.
Zuraimie diam , termenung memikirkan semua yang terjadi. Kegembiraannya sebentar tadi punah dek alasan yang diberikan oleh aunty Norlina. Tiba-tiba peristiwa tragis yang mengheret dirinya di sini  bermain  di fikirannya  lagi.  Kemalangan yang berlaku pada malam itu telah meragut nyawa Raziq. Diah pula hilang kesedarannya. Dia koma. Kini sudah  hampir dua bulan Diah terlantar di hospital besar Kajang. Bergantung hidup pada mesin. Tangan kirinya sudah nampak membengkak akibat terlalu banyak dimasukkan air atau pelbagai ubat-ubatan lainnya. Perutnya juga sudah  mulai kelihatan , semakin membesar ...  kemalangan tersebut bukan saja telah meragut nyawa Raziq tetapi juga turut membongkar rahsia Diah. Namun Allah Maha berkuasa , dengan kehendakNya bayi dalam kandungan Diah  masih mampu bertahan ...
Sepanjang tempoh Diah di hospital , Zuraimielah yang sentiasa menemaninya. Ibu dan bapa Diah hanya menjengoknya sekali sahaja. Sebaik sahaja mereka mengetahui yang Diah telah berbadan dua , ayah Diah terus memutuskan hubungan ayah-anak. Tega sungguh hati lelaki itu. Hanya ibunya , aunty Norlina sahaja yang mengambil tahu baik buruk perkembangan satu-satunya anak mereka. Itupun hanya melalui telepon!.
“Diah , mengapalah ini semua perlu berlaku?”. Keluh Zuraimie sendirian. Masih segar dalam ingatan Zuraimie reaksi uncle Amir apabila mengetahui anak kesayangannya itu sedang berbadan dua. Bukan salah uncle Amir. Bukan salah dia untuk bereaksi begitu. Dia tidak dapat menerima kenyataan. Ya! Mana mungkin sesiapapun sanggup  menerima kenyataan seperti itu.
“Mana mungkin!!!.  Doktor pasti telah melakukan kesilapan!. Tolong periksa sekali lagi!!”. Tempik uncle Amir membantah dengan keras  apabila diberitahu akan keadaan diri anak gadisnya itu. Pada ketika itu wajah yang asalnya penuh kerisauan serta merta bertukar menjadi singa. Jelas terpancar api kemarahan daripada  kedua biji matanya yang membakar segenap ruang yang dilihatnya.  Mana tidaknya , maruah keluarganya sedang dirobek-robek oleh anaknya sendiri!.
“Sabar encik , perkara ini boleh dibawa berbincang. Lagi pula kita ni di hospital. Anak encik pula sedang bertarung nyawa. Antara hidup dan mati. Sabarlah encik!” . Pujuk Doktor Anisah. Doktor yang bertugas merawat Diah.
“Doktor , kalau benar dia mengandung  sedangkan saya pasti dia belum bernikah dengan mana-mana lelaki , saya tidak teragak-agak untuk memutuskan ikatan dengannya. Tidak pernah dalam salah silah keluarga saya ada yang berperangai buruk sebegini!. Baik saya tiada anak daripada mempunyai anak yang hanya pandai menconteng arang di muka!” . Kata uncle Amir dalam nada kemarahan yang semakin mereda.
Doktor Anisah hanya mampu mendengar. Rasa simpati membuak di hatinya. Jika boleh , ingin sekali dia menyatakan yang sebaliknya. Namun hakikatnya , gadis ini memang sah sedang mengandung!.
Setelah semuanya pasti , uncle Amir tanpa berlengah dan tanpa mempedulikan nasib anaknya Diah , terus pulang bersama isterinya aunty Norlina. Rayuan dan tangisan Puan Norlina langsung tidak berbekas di hatinya. Uncle Amir telah benar-benar berpatah arang dan berkerat rotan dengan anaknya itu. Hatinya hancur. Dia benar-benar kecewa dengan perbuatan anak gadisnya itu. Siapa sangka anak yang ditatang bagai minyak yang penuh  kini menjadi api dalam sekam. Membakar dan merobek  maruah keluarganya dalam diam!.
“Malu! Malu!!”.  Itulah kata-kata uncle Amir semasa berjalan laju meninggalkan hospital sambil mengheret tangan aunty Norlina.  Zuraimie yang ada di situ hanya termangu-mangu. Tidak pasti apa yang patut dilakukannya. Kini semuanya bagaikan terletak di bahu Zuraimie. Siapa lagi kalau bukan dirinya. Siapa lagi yang boleh diharap untuk menjaga Diah. Diah itu anak tunggal , bukan ada saudara atau adik beradik lain.
“Mengapa? Mengapa kau juga yang kucinta?!”.  Keluhnya.
Sejak hari itu , Aunty Norlina dan uncle Amir tidak pernah lagi menjengok Diah. Cuma sesekali aunty Norlina ada menghubungi Zuraimie , bertanya khabar anaknya. Jelas sekali ibu ini tidak sanggup membuang anaknya begitu saja ... seburuk-buruk daging , dibasuh dimamah dimakan jua!.
Bagi Zuraimie pula , segala yang berlaku adalah takdir dan ketentuan daripada Tuhan yang Maha Esa. Memang sudah ditakdirkan dia yang harus memikul tanggung-jawab ini. Jika tidak masakan dia boleh berada  di tempat kejadian pada malam itu.


... awak yang beria-ia nak siapkan semua ni ...
Segalanya masih jelas di mata ... setelah selesai menyempurnakan tugasan kumpulan mereka pada malam itu , Diah segera memohon diri. Tinggallah Zuraimie bersama Ziah. Tidak selesa ditinggalkan berduaan dengan Ziah , Zuraimie terus mencadangkan agar mereka menyiapkan baki tugasan di rumah masing-masing.
“Errr ... saya penatlah. Rasa mengantuklah pulak. Hmmm  ... saya ingat nak balik dan siapkan kerja ini di rumah sajalah”. Zuraimie mencari helah.
“Huh?”. Ziah agak kehairanan. Jelas terbayang kekecewaan di wajahnya.
“Eh bukankah  tadi awak yang beria-ia nak siapkan semuanya ini  malam  ni jugak?. Siap nak ajak pergi minum lagi?”. Tanya Ziah. Mempertikaikan perubahan rancangan Zuraimie.
“Err ... tulah. Niat memang macam tu tapi tiba-tiba saje rasa penat sangatlah. Ahh ... sudahlah. Marilah saya hantarkan awak balik. Awak pun tentunya dah penatkan?”. Jawab Zuraimie. Masih lagi berdalih.
“Huh! ... dah penat atau  kerana Diah dah tak ada?”. Ziah terlepas kata , rasa marah dan cemburu dihatinya bercampur-baur. Zuraimie buat-buat tidak mendengarnya.
“Hmm ... kalau dah gitu kata awak. Saya ikut sajalah”. Sambung Ziah. Akhirnya terpaksa mengalah , hampa. Niatnya untuk bersemuka dan merongkai konflik antara mereka tidak kesampaian.
Setelah selesai mengemaskan barang masing-masing , mereka berjalan beriringan menuju ke kereta Zuraimie. Masing-masing diam membisu. Tiba-tiba Ba’ie , rakan serumah Ziah muncul entah dari mana. Ba’ie berjalan laju menuju ke arah mereka. Satu episod yang agak mengejutkan telah terjadi...
“Wah Ziah!.  Kawan makan kawan rupanya kau ini!”. Sergah Ba’ie dengan berangnya.
“Eh Ba’ie , apahalnya ni? Kenapa marah-marah?”. Tanya Ziah , terkejut.
“Kenapa marah-marah?? . Sudah gerharu cendana pula!!”. Tempik Ba’ie . Terlopong mulut Ziah dan Zuraimie mendengar tempikan Ba’ie itu.
“Apahalnya ni ?”. Tanya Ziah dan Zuraimie serentak.
“Kau diam!. Ini hal aku dengan dia”. Ba’ie mengarahkan Zuraimie agar diam.
“Kau memang perempuan tak tahu malu. Tak tahu nak hormati hak orang lain. Dah desperate sangat ke?”. Sesukanya Ba’ie memarahi Ziah. Bukan itu saja , Ba’ie juga sempat menampar Ziah sebelum berlari  pergi. Ziah tergamam , langsung tidak terkata apa.
“Ya Allah! Apa yang dah terjadi?”. Ziah menepuk dahi. Dia juga sangat malu diperlakukan semahunya oleh Ba’ie , lebih-lebih lagi di hadapan  Zuraimie!. Namun Ba’ie itu tetap sahabatnya , rakan serumahnya. “Salah faham ini harus dirongkai!”. Fikirnya.
“Ba’ie! Ba’ie!!”. Ziah memanggil lalu cuba mengejarnya namun langkahnya terhenti. Tangannya ditarik oleh Zuraimie.
“Apahal dia tu?”. Tanya Zuraimie. Hairan dengan tindakan Ba’ie.
“Bukankah dia itu rakan serumah awakkan?”. Tanya Zuraimie lagi.
“Eerrr Zuraimie ... ya. Dia Ba’ie  , rakan serumah saya.  Maafkan saya . Saya nak kejar Ba’ie. Ini pasti ada salah faham . Awak balik dululah ya ...”. Ziah terus berlari mengejar Ba’ie, meninggalkan Zuraimie berteka-teki sendiri.
Dalam keadaan tidak mengerti , Zuraimie terus masuk ke dalam keretanya lalu  memandu pulang. Taman Seksyen 4 tambahan itulah destinasinya. Sepanjang pengajiannya di UKM , Zuraimie menumpang tinggal di rumah kakaknya , Doktor Anisah. Kakaknya itu memang sangat menyayanginya. Maklumlah mereka hanya dua beradik. Sedari kecil kakaknya itu memang terlalu mengambil berat tentang dirinya.
Tidak sampai sepuluh  minit meninggalkan pintu masuk UKM , jalan raya mulai sesak. Barisan kereta bergerak sangat lambat.
“ Haiii ... pelik. Malam-malam beginipun boleh jem?”.  Fikir Zuraimie.
“Bang , kenapa teruk sangat ni?”. Zuraimie menurunkan cermin tingkap keretanya lalu menjengahkan kepalanya keluar untuk bertanya kepada seorang pemandu yang telah lama berhenti di tepi jalan.
“Entahlah dik , dia orang kata ada ‘accident’ kat depan tu. Kancil dengan lori hantu. Teruk jugaklah rasanya. Tadi polis dah lalu. Agak-agaknya tengah tunggu ‘ambulance’lah tu”. Jawab lelaki itu.
“Apa?. Kancil?!”. Berderau darah Zuraimie mendengar penjelasan itu.
“Mungkinkah...?.  Ahh tak mungkinlah. Bukan dia saja yang pakai kancil!”. Itulah doa dan harapan Zuraimie.
Namun sesampai sahaja di tempat kejadian ... jantung Zuraimie bagaikan berhenti berdegup sebaik sahaja melihat kereta mangsa kemalangan tersebut. Kancil putih yang memang sangat dikenalnya kini terperosok di bawah lori!.
“Ya Allah!!”. Teriaknya.
Tanpa menghiraukan arahan  polis yang bertugas ,  Zuraimie terus memberhentikan keretanya di bahu jalan lalu berlari mendapatkan kancil putih.
Melihat plat number BJE 7024 ... lututnya terasa lemah . Separuh semangatnya hilang!
Sudah pasti Diah dan Raziq adalah mangsa kemalangan ini!. Zuraimie membongkokkan badannya , menjengahkan kepala pada ruangan yang amat terhad di burit lori hantu itu. Demi terlihatkan mangsa , semangatnya hilang. Tergamam. Tidak sanggup untuk mempercayai apa yang dilihat.
“Ya Tuhan!!!”. Separuh badan Diah dan Raziq tersepit di bahagian hadapan kancil yang remuk. Wajah dan tubuh mereka  berlumuran darah. Keduanya diam bagai sudah tidak bergerak!. Zuraimie terpaku  , terpaku terus ... hatinya penuh ketakutan . Takut jika benar ajal sudah menjemput mereka. Adakah ini kesudahannya cerita mereka?
“Mie!  Zuraimie!”. Kedengaran suara memanggil lemah. Bagaikan mendapat kekuatan semula  mendengar namanya dipanggil. Suara yang sangat lemah itu  ... Zuraimie segera mendapatkan pemilik suara itu.
“ Mie ... tolong Diah!”.  Penuh kepayahan , Raziq menghulurkan tangannya lalu mencapai dan  menarik bahagian hadapan kemeja Zuraimie.
“Raziq . Sabar ziq ... aku akan cuba tolong bawa kau dan Diah keluar”. Zuraimie cuba menenangkan Raziq. Dalam keadaan begini , hilang semua perasaan cemburunya terhadap Raziq selama ini.
“Tidak. Dah tak ada masa ...”. Jawab Raziq dengan suara yang terputus-putus.
Zuraimie cuba berkata sesuatu tetapi dipotong oleh Raziq.
“Mie ... dengar. Tolong aku ... tolong jaga Diah ... anak kami!. Anak kami!! ... Allah!!!!!” . Itulah kata-kata terakhir Raziq sebelum genggamannya terlerai. Zuraimie terngadah melihat Raziq yang sudah tidak bernafas dan Diah yang masih tersepit, tidak sedarkan diri.
“Anak kami?. Anak Kami?. Mengapa anak kami?!!!”.  Zuraimie bingung.

 ... kata-kata terakhir  Raziq  terus  terngiang-ngiang di telinga ...
Cubaan  orang ramai untuk menolong mengeluarkan  kedua mangsa  gagal. Keduanya tersepit teruk. Pihak bomba sudah dipanggil dan sedang dalam perjalanan ke tempat kejadian. Lalulintas semakin sesak. Orang semakin ramai namun Zuraimie masih di situ. Terduduk di bawah buritan  lori ,  terkejut dengan apa yang dilihat dan didengarnya.
“Mie , tolong aku ... tolong jaga Diah ... anak kami! . Anak kami!!”. Kata-kata terakhir  Raziq  terus  terngiang-ngiang di cuping telinganya.
“Anak kami?. Apa maksud kau Raziq?”.  Zuraimie berkata pada dirinya sendiri.
“Kalaulah kau sempat menjelaskannya!”. Fikir Zuraimie lagi. Segalanya samar.
“Huhhh!” Keluhnya.  Hanya satu yang pasti , segalanya telah ditentu Tuhan .... 

  

    
                                          TAKDIR ...

 
                               Tiada jawapan bagi soalan
                              Akan takdir  di masa depan
                            Kalaupun ada hanyalah  rancangan
                        Dan menjangka masa hadapan
                          Itupun segalanya hanyalah harapan
                             Rencana sebenar ditentu Tuhan ...







2 comments:

  1. Jalan cerita kemalangan agak mengelirukan dan agak sukar difahami. Apa yang saya faham kereta sedang dipandu dan tiba-tiba kereta yang entah datang cuba melanggar. Pemandu cuba mengelak lalu berjaya kemudian tak semena-mena datang pula lori entah dari mana melanggar, Sebagai pembaca saya tak dapatkan kepuasan dari segi maklumat. Sedang pemandu pada masa itu dalam keadaan yang amat tenang dan tidak menampakkan sebarang pertentangan jiwa atau sebagainya. "Flash back" atau ulang tayang penerangan bagaimana Raziq mengaku anak dalam kandungan Diah, terlalu maya jauh dari realiti. Orang nak mati tak ingat dah semua itu,

    ReplyDelete
    Replies
    1. hahaah ... suka baca komen awak. Terima kasih. Ada betulnya apa yang awak kata. Mungkin semuanya hanya terbayang jelas dlm alam fantasi saya yang tidak dapat saya terjemahkan dalam baris ayat untuk dikongsi bersama dengan pembaca. Maafkan kekurangan itu. Soal tika Raziq mengaku tentang anak dlm kandungan Diah itu - 'terlalu maya jauh dari realiti'-rasanya saya dah terpengaruh dengan kisah2 hindustan yang selalu me'magic'kan kuasa cinta!! Heee (Sebenarnya saya terlalu jarang tengok cerita hindustan).

      Delete