Popular Posts

Monday, 17 April 2017

Novel 2 : Selepas Hujan ... Bab 19

BAB 19:        Ujian semakin berat
Tika hening menghentak ... jiwa resah
Gerangan apa yang mengocak jenjam sukma?


Selesai bersarapan pagi itu , Ziah membantu abang Anip untuk berehat di ruang tamu. Diambilnya surat khabar buat suaminya dengan harapan akan dapat menghilangkan kebosanannya. Sementara abang Anip sibuk membaca berita pada hari itu , Ziah pula sibuk mengemas rumah. Menguruskan kain baju dan menyediakan makan tengahari. Setelah semuanya selesai barulah Ziah menyertai abang Anip semula.
“Humm ... penat?”.  Tanya abang Anip , memandang isterinya dengan belas.
“Taklah ... setakat buat kerja rumah , manalah penatnya”. Jawab Ziah berdalih. Pada hal , badan Ziah terasa amat penat dan ingin sekali baring berehat atau melelapkan mata barang seketika. Namun dia merasa kasihan kepada abang Anip , terpaksa menghabiskan waktu seharian di rumah. Orang seperti abang Anip yang telah biasa bekerja keras membanting tulang tentu amat terpukul dengan keadaannya sekarang.

Mereka berdua akhirnya melangkah turun ...
“Jom, kita ke sungai”. Ajak abang Anip. Ziah sedikit terkejut mendengar permintaan suaminya itu.
“Betul??”. Tanya Ziah.
“Betullah!”. Jawab abang Anip , serius.
“Emm ... baiklah. Jomlah kita ke sungai. Dapat juga tengok ikan-ikan berenang”. Ziah bersetuju. Mungkin dengan cara itu akan dapat membantu abang Anip untuk segera pulih seperti sediakala.
Mereka berdua akhirnya melangkah menuruni tangga rumah. Tangan kiri abang Anip yang agak keras dan kaku itu dipimpin Ziah. Mereka berjalan perlahan-lahan kerana kaki kiri abang Anip sukar untuk melangkah. Masih lagi keras.
       Sebaik saja mereka melintasi belakang rumah ...
“Ooiii bebudak berdua ni nak ke mana pulak?!” . Tempik mak Midah dari dalam rumah.
“Nak ke belakang kejap mak!”. Jawab abang Anip.
“Eeee ... usahlah ke belakang tu. Awak tu bukannya sihat lagi!!. Ziah , kenapa dibawanya Anip tu ke belakang?”. Marah mak Midah.
Mendengar suara mak Midah yang agak meninggi itu , Ziah segera mendudukkan abang Anip di tunggul kelapa belakang rumah.
“Kejap ya bang , biar Ziah cakap dengan mak kejap. Tunggu tau!” . Ziah berlari masuk ke rumah melalui pintu belakang untuk bercakap dengan ibu mertuanya itu.
    Pada awalnya mak Midah tidak bersetuju dan agak marah dengan sikap anak dan menantunya itu. Tetapi setelah Ziah menerangkan bahawa ‘berjalan’ itu baik untuk terapi abang Anip malah kedamaian suasana sungai di belakang rumah itu akan dapat menenangkan hati dan emosi abang Anip , makcik Midah terpaksa akur.
Setelah lebih 5 minit ditinggal sendirian , abang Anip akhirnya kembali ceria melihat Ziah datang kepadanya dengan senyuman menguntum di bibir.
“Beres!!. Jom!” . Ajak Ziah.
“Pandai awak meng’ayat’ mak tu”. Puji abang Anip. Ziah hanya tersenyum mendengar pujian itu lalu membantu suaminya berjalan menuju ke sungai.
     Sesampai di tebing sungai kedua pasangan ini duduk di batang pokok tumbang betul-betul di tebing sungai. Kaki mereka bermain di gigi air. Seronok melihat ikan-ikan melompat. Seolah-olah ceria menyambut kedatangan tuan mereka yang sudah lebih dua minggu tidak menjengukkan muka. Sedang mereka seronok bercerita , tiba-tiba mata Ziah tertangkap sesusuk tubuh lelaki menyusup laju di celah-celah semak bersempadan dengan kebun sebelah.
“Abang , Nampak tak?”. Tanya Ziah.
“Nampak? ... apa?”. Tanya pula abang Anip.
“Err ... tak de apalah. Nampak ikan tadi tu besar!”.  Ziah berdalih. Tidak mahu membuatkan abang Anip risau.
“Mungkin jiran sebelah atau sesiapa saja  kebetulan lalu di situ. Agaknya aku ini yang terlalu risau!”. Fikir Ziah sendirian.

....bunyi dentuman yang amat kuat kedengaran dari  atas bumbung bilik....
     Peristiwa siang tadi buat Ziah tidak senang hati ... bayangan sesusuk tubuh lelaki yang menyusup laju di celah-celah semak di kebun petang tadi mengganggu ketenangannya malam itu. Ziah gelisah sekali , “Siapa ya?. Mungkinkah …?”.Ingatan Ziah kembali ke acara pencak silat persandingannya dulu.  Belum lama , tidak sampai sebulan yang lalu!.
“Hmm … aku ni masih pengantin baru. Masih baru benar bergelar isteri tapi telah Kau uji dengan ujian sebegini berat. Ya Allah , aku redha dengan ketentuanMu. Namun aku bermohon kepadaMu , Kau lindungilah kami daripada malapetaka dan bahaya. Juga lindungilah kami  daripada perbuatan khianat dan dengki manusia”. Ziah lantas teringatkan Kamal. Kamal yang mengganggu resahkan perasaannya dan abang Anip di hari bahagia mereka.
“Mengapa kau sengaja menunjukkan dirimu ?. Beraninya kau … apa tujuanmu Kamal?”. Ziah tertanya-tanya sendiri. Sejak majlis mereka tempohari Ziah dan abang Anip langsung tidak berpeluang bercakap tentang perkara ini. Apa lagi dengan keadaan abang Anip yang masih uzur , Ziah tidak mungkin akan membangkitkan persoalan ini.
    Ziah risau memikirkan soal Kamal sedangkan abang Anip di sebelahnya sudah lama lena dibuai mimpi. Ziah menatap wajah abang Anip lama-lama. Lelaki misteri yang berjaya memilikinya … yang diharap akan dapat merawat hatinya yang pernah dilukai.
“Sekali hati terluka sampai kapanpun sakitnya pastikan terasa … huh!”. Ziah menutup mata , wajah Diah dan Zuraimie silih berganti terbayang di layar mindanya.
“Hidup ini sememangnya suatu misteri … siapa yang kita jumpa … siapa yang singgah seketika atau siapa yang kekal di hati ... semuanya bagai satu teka teki yang hanya akan terjawab bila waktunya tiba. Malangnya soal hati … apabila hati telah memilih … mana mungkin disanggah pergi”.
“Wahai hati … bukan soal siapa sebenarnya yang kau pilih tapi … siapa yang ditentukan untukmu”. Ziah bertafakur seketika … memujuk hati.
“Astarghfirullah … ampunkan aku Ya Allah. Terima kasih atas anugerahMu ini kepadaku”.  Ziah akhirnya mengucup dahi abang Anip sebelum bangun untuk sujud bermunajat kepada Allah. Tiada lain yang diminta melainkan kesejahteraan buat dirinya dan abang Anip , semoga mahligai yang dibina akan mengecap bahagia.
Tiba-tiba......
“GEDEGANGGG!!!!” , bunyi dentuman yang amat kuat kedengaran dari  atas bumbung bilik . Kuatnya bunyi itu bagaikan satu objek yang amat besar dan berat telah jatuh dengan lajunya menghentam bumbung.  Ziah terkejut , bulu romanya menjadi tegak . Tengkuknya terasa seram sejuk , perasaannya cukup tidak enak , semangatnya bagai ditarik keluar dari tubuh ... bergerak dari hujung kaki ke dada. Bunyi hentaman kuat itu bagaikan masuk menusuk ke jantung hatinya.  Ziah segera mengurut dadanya.
“Astarghfirullah al adziiimmmm ... Ya Allah ,  apa pulak tu?. Lindungilah kami ya tuhan ...” . Doanya. Ziah segera berpaling ke arah abang Anip. Dalam kesamaran , Ziah dapt melihat abang Anip juga terjaga dan sedang mengangkat tangan berdoa. Ziah segera menghampirinya lalu memeluknya dengan telekung yang masih dipakai.
Mereka sama-sama diam ... menunggu ...
Mana tahu benda yang jatuh tadi adalah makhluk Allah yang sedang terbang malam , kelawar atau mungkin monyet yang tersasar ... tentu akan ada pergerakan lain atau bunyi lain. Setelah lebih lima minit menunggu , tiada apa yang berlaku. Namun perasaan tidak enak itu tidak juga hilang. Tanpa sebarang kata , Ziah bangun membuka telekung lalu baring memeluk abang Anip.

Terbawa-bawa ke alam mimpi …
   Dalam tidurnya , Ziah melihat dirinya sedang berdiri memerhatikan abang Anip yang sedang baring menelentang , tegak dan lurus tidak bergerak. Abang Anip tidur di atas lantai bilik itu ... aneh , perasaan aneh bertukar menjadi seram apabila terlihat satu makhluk lain yang rupanya seakan manusia juga sedang berbaring menyisi mengadap abang Anip yang kaku tegak tidak bergerak. Sukar untuk ditentukan jantan atau betina. Rambutnya mengerbang kusut, satu tangannya di letak elok di atas pinggul manakala satu lagi tangan menumpang kepalanya. Wajahnya kurang kelihatan dek suasana malam yang kelam namun matanya yang besar itu masih boleh dilihat. Ziah menggigil ... dilihat dirinya berdiri memandang makhluk itu yang bagaikan sedang mengawal abang Anip.
“Hahh!! ... kau nak apa?!” . Tanya makhluk itu dengan suara yang garau , mengangkat sedikit wajah gerunnya ke arah Ziah. Ziah tidak menjawab sebaliknya cuba melarikan diri namun kakinya bagaikan tegak terpaku. Ziah hilang akal , tidak tahu apa yang patut dibuatnya ... makhluk gerun itu duduk dari baringnya dan bergerak ke arah abang Anip. Abang Anip tetap diam tidak bergerak. Sambil memandang Ziah , makhluk itu memegang leher abang Anip dan mula mencekiknya. Abang Anip tetap diam , Ziah jadi cemas ... entah bagaimana mulutnya cuba menyebut nama Allah. Pada saat seperti ini hanya Allah yang boleh membantu ...
“Alllaaahhhh ...”begitu susah untuk menyebutnya. Suaranya bagaikan tersekat di kerongkong.
“Alllaaahhhhh ...” Ziah berusaha keras. Suaranya dan mulutnya bagaikan terkunci ...  payah benar ... namun Ziah tidak berputus asa. Masakan mampu dirinya diam melihat nyawa suami terancam begitu , Ziah terus berusaha. Mulut yang kaku keras terus dipaksa menyebut nama Allah . Setelah berusaha berkali-kali ...“Allahu Akbar!!! Allahu Akbar!!!” , akhirnya Ziah berteriak . 
Nama Allah yang Maha besar itu terpacul juga dari mulutnya . Serentak dengan jeritannya itu Ziah tersedar dari tidur. 
“Ya Allah!” , Ziah segera memandang abang Anip yang masih dipeluknya. Dirasanya badan abang Anip ... masih panas. Dilekapkan telinganya di dada abang Anip , “Huhh ... Alhamdulillah. Cuma mimpi rupanya”. Bisik  Ziah . Degupan jantung abang Anip masih jelas kedengaran. Ziah duduk dari pembaringan lalu mengangkat tangan berdoa.
“Ya Allah , sesungguhnya Engkau Maha mengetahui apa yang  tidak kami ketahui. Lindungilah kami dari mimpi buruk ini. Lindungilah kami dari tipu daya syaitan ... Amiiinnnn” . Doanya.

...mungkin monyet yang merayau malam
Keesokan harinya sewaktu bersarapan pagi , Ziah bertanya kepada abang Anip ,
“Abang ada mimpi apa-apa tak malam tadi?”. Tanya Ziah.
“Tak ... kenapa?”. Jawab abang Anip.
“Tak da apa ... errr ... abang tidur lena tak?”. Tanya Ziah lagi.
“Entahlah. Nak kata lena pun tak juga , nak kata jaga tapi tidur. Entahlah”. Jawab abang Anip. Dia sendiri tidak pasti dengan tidurnya semalam.
“Maksud abang?”. Tanya Ziah , ingin tahu.
“Malam tadi abang tidur tapi perasaan macam resah. Tidur tapi tak rasa rehat ... pelikkan?. Akibatnya , pagi ni badan rasa letih dan mengantuk. Abang ingat lepas sarapan ni , abang nak tidur kejap”. Jawab abang Anip.
“Agaknya sebab abang belum betul-betul sihat ...”. Balas Ziah.
“Err ... abang dengarkan bunyi hentaman kuat malam tadi”. Sambung  Ziah.
“Ya dengar .. .”. Jawab abang Anip.
“Agak-agak bunyi apa ye?”. Tanya Ziah lagi. Mencari reaksi pada wajah suaminya itu.
“Entahlah ... mungkin monyet yang merayau malam kot sebab kat sini kan memang banyak monyet. Memang biasa monyet-monyet ni merayau atas bumbung rumah orang. Tu bumbung dapur yang tercabut haritu pun angkara monyet”. Jawab abang Anip. Sengaja tidak mahu isterinya itu risau atau berfikir yang bukan-bukan.
“Yalah bang. Bumbung tu tercabut dek perbuatan monyet-monyet liar yang mengaruk mencari makan. Tapi itu berlaku pada waktu siang. Ziah rasa , malam hari monyet-monyet pun tidur. Macam kita manusia jugakan?”. Balas Ziah , tidak puas hati dengan jawapan diberi suaminya.
“Hmm … kalau gitu bukan monyetlah tu. Err … mungkin kelawar besar atau raja kluang yang keluar cari makan tersalah ‘landing’. Heee …”. Abang Anip cuba bergurau dan disambut Ziah dengan senyum lebar , “Pandai ye buat kelakar!”. Balas Ziah dan mereka sama-sama ketawa.
“Ha , apa yang seronok dibualkan tu?”. Tanya cikgu Karim yang baru mahu menyertai Ziah dan abang Anip bersarapan pagi.
“Hmm … tak ada apalah abah , Ziah ni saja yang risau tidak bertempat”. Jawab abang Anip.
“Risau?. Ziah risaukan apa?”. Cikgu Karim pula yang menjadi risau.
“Err … begini abah , malam tadi kami dengar bunyi benda jatuh atas bumbung rumah. Bunyinya kuat sangat macam ada benda yang sangat besar telah jatuh menghentam bumbung. Itu yang Ziah hairankan”. Terang Ziah.
“Ya ke?. Abah tak sedar apa-apa pulak malam tadi. Hmm … mungkin betul apa yang dikatakan Anip tu. Itu pasti kelawar atau kluang yang terjatuh. Bila malam hari suasana sunyi sepi. Bunyi yang perlahan juga akan kedengaran sangat kuat”. Kata cikgu Karim.
“Tapi abah …”. Belumpun sempat Ziah  mahu menghabiskan ayatnya , abang Anip sudah memotong , “Betul tu Ziah , malam hari semua bunyi akan kedengaran lebih kuat. Sudahlah tu , jangan difikirkan sangat”. Kata abang Anip. Dia tidak mahu perkara ini diperbesar-besarkan.

Peristiwa pelik makin menjadi-jadi
Hari berganti hari. Peristiwa demi peristiwa ‘pelik’ terjadi setiap hari. Tidur Ziah mahupun abang Anip tidak lagi tenang. Semuanya penuh dengan perkara-perkara misteri yang agak mistik. Namun Ziah dan abang Anip tidak pernah menyerah kalah malah semua itu menjadikan mereka lebih kuat , lebih taat kepada Allah dan lebih menghargai satu sama lain.
Pernah terjadi pada suatu malam , ketika itu abang Anip sedang sendirian di dalam bilik tidur mereka. Sengaja dia masuk ke bilik lebih awal iaitu sebaik sahaja selesai mengambil juadah makan malam mereka hari itu. Badannya sejak akhir-akhir ini sentiasa saja letih dan lesu. Tenaga badannya semakin kurang hari ke hari. Pada waktu itu , Ziah masih di dapur , membantu mengemaskan apa yang patut bersama Miah.
Abang Anip duduk mengadap cermin solek bilik itu. Sengaja dia memerhatikan raut wajahnya yang kian cekung dan suram. Tiba-tiba abang Anip melihat melalui cermin , daun pintu bilik dibuka perlahan. Ziah masuk dengan senyuman yang menguntum di bibir.
“Dah habis mengemas sayang?”. Sapa abang Anip. Ziah hanya menjawab pertanyaan itu dengan senyuman.
“Marilah ke mari , tolong picitkan bahu abang. Entah mengapa bahu ni rasa sengal-sengal saja sejak petang tadi”. Pinta abang Anip lantas terus meniarap di atas katil. Ziah datang menghampiri abang Anip lalu mula memicit-micit bahu suaminya itu.

Di mana Ziah?
            Ziah pula , terus sahaja ke bilik air sebaik sahaja selesai mengemaskan dapur. Dia mahu berwudhuk sebelum masuk ke bilik untuk menunaikan solat isya’. Selesai berwudhuk , Ziah berjalan perlahan-lahan menaiki tangga yang memisahkan ruang dapur dan ruang atas rumah itu. Ketika dia menghampiri bilik tidurnya , Zia terdengar suara abang Anip seolah-olah sedang bercakap dengan seseorang. Ziah menjadi hairan kerana setahunya tiada orang lain bersama abang Anip ketika ini. Miah  dan kedua ibubapa mertuanya sedang berehat di anjung rumah. Sengaja berehat  dan berbual-bual sambil mengambil angin malam.
“Abang berbual dengan siapa?”. Fikirnya hairan lantas mempercepatkan langkahnya lalu menolak daun pintu bilik mereka dengan agak keras.
                Sebaik sahaja daun pintu dibuka , Ziah merasa hairan kerana dilihatnya abang Anip sudah lena di atas katil . Ziah menghampiri suaminya lalu membetulkan posisi tidur abang Anip.
“Tak elok tidur meniarap sayang”. Katanya lembut.
Abang Anip terjaga lalu memandang Ziah dengan hairan , “Kenapa dah berhenti?. Abang baru nak menikmati Ziah memicit bahu abang ni. Takkan sekejap dah penat?”. Tanya abang Anip.
“Huh?”. Ziah hairan.
“Hmm … tak apalah Ziah. Mungkin Ziah memang penat melayan abang sepanjang hari. Terima kasih ye kerana masih sudi tolong picitkan abang tadi”. Kata abang Anip.
“Err … abang , Ziah …”. Belumpun sempat Ziah mahu menghabiskan ayatnya abang Anip sudah memotong. “Tak apa.  Abang tak kisah. Sudahlahtu , pergilah selesaikan apa yang Ziah nak buat. Abang nak rehat sekarang”.
“Err … ya. Abang rehatlah. Ziah nak solat isya’ dahulu. Abang nak solat sama?”. Ziah memutuskan untuk tidak melanjutkan perbualannya dengan abang Anip.
“Tiada faedahnya. Abang Anip sepertinya benar-benar yakin yang aku telah memicitnya. Mungkin keadaan badannya yang lesu itu menyebabkan angan-angannya terasa nyata. Baik aku solat dulu , lepastu bolehlah aku jadikan angan-angannya itu menjadi nyata. Kesian suamiku ini … terbiar … seharian aku disibukkan dengan pelbagai tugasan ”. Ziah cuba menghalau fikiran ‘bukan-bukan’ yang bermain di minda!. 

Bukan itu saja peristiwa pelik yang berlaku …
            Bukan itu sahaja , Ziah sendiri pernah melalui pengalaman yang pelik. Ketika itu Ziah sedang memetik cendawan busut yang tumbuh dengan banyaknya di belakang rumah. Musim hujan begini memang banyak cendawan yang tumbuh  , “ ‘Bagai cendawan yang tumbuh selepas hujan’. Tepat benar peribahasa itu”. Ziah berkata sendiri sambil tersenyum mengagumi peribahasa Melayu yang sememangnya mengandungi pelbagai maksud tersirat dan dicipta pula berdasarkan pemerhatian yang teliti terhadap pelbagai fenomena alam semulajadi.
“Hmm … puaslah kami menikmati cendawan hari ini. Cendawan ditumis kicap. Sedap hingga menjilat jari!”. Kata Ziah lagi sambil tersenyum-senyum memerhatikan dua besen yang dibawanya penuh berisi cendawan yang dikutip. Habis mengutip , Ziah terus ke dapur , membersihkan cendawan lalu menumisnya di kuali. Dua besen cendawan yang dikutip tadi semuanya ditumis sekali. Bawang merah , bawang putih dan cabai burung  menjadi bumbu masakannya. Sebaik sahaja cendawan sudah hamper masak , Ziah menuangkan kicap manis sebelum meletakkan sedikit garam. Beberapa minit kemudian cendawan ditumis kicap sudah sedia untuk dihidangkan.
Ziah mencari-cari mangkuk yang agak besar untuk diisikan dengan cendawan tumis yang banyak itu . Namun matanya terbeliak besar apabila mahu menyenduk cendawan tumis ke dalam mangkuk di tangannya.
“Eh , kenapa tinggal banyak ni saja?”. Ziah hairan kerana cendawan tumis yang hampir penuh sekuali itu tadi hanya mengisi tidak sampai separuh mangkuk yang dibawanya.
“Pelik . Mana perginya cendawan yang banyak-banyak tadi?”.

Sewaktu makan malam
“Hmm … sedapnya. Ada cendawan. Ini makanan kegemaran mak ni”. Kata mak Midah sebaik saja di dukung oleh cikgu Karim ke meja makan.
“Ziah kutip di belakang petang tadi?”. Sampuk cikgu Karim.
“Ya abah. Jemputlah makan semua”. Jawab Ziah sambil menghulurkan nasi kepada semua.
“Err … tapi kenapa sikit sangat cendawan tu. Bukan ke petang tadi ada banyak cendawan yang tumbuh di keliling busut di belakang tu?”. Tanya Miah sambil memandang Ziah. Petang tadi memang Miah ada sama melihat cendawan yang tumbuh dengan banyaknya di kebun belakang. Cuma Miah tidak turut serta mengutipnya kerana terpaksa membantu mak Midah membersihkan diri.
“Tu lah. Akak pun hairan sebab masa kutip petang tadi , penuh dua besen yang kita bawa ke belakang tu. Alih-alih bila dah dimasak tinggal banyak ni saje”. Jawab Ziah.
“Hmm … ye ke?. Ke ada orang curi-curi makan cendawan ni senyap-senyap kat dapur …”. Miah dan mak Midah sama-sama memandang abang Anip serentak sambil tertawa kecil ….
“ Apa?! … Anip tak makanlah cendawan tu!”. Balas abang Anip spontan.
“Err … sudahlah tu , Miah. Marilah kita makan. Nanti sejuk pulak lauk pauk ni. Hmm … Miah , esok Miah ada aktiviti petang di sekolah ke?”. Ziah cuba mengalih tajuk perbualan.
“Yup! Ada aktiviti persatuan pengakap. Kenapa?”. Tanya Miah.
“Hehehe tak ada apalah. Cuma kalau Miah ada di rumah tu , lebih seronok rasanya. Dah lama kita tak berborak”. Jawab Ziah.
“Hmm … betul jugak. Sejak bergelar isteri ni , akak macam busy je”. Balas Miah.
“Memang gitulah caranya kalau orang dah bersuami. Hah kau tu bila lagi Miah. Umur tu bukannya muda lagi. Dah 25 tahun”. Mak Midah menyampuk.
“Eeee … apalah mak ni. Ke situ pulak perginya!”. Jawab Miah , muncung.
“Hmm … Miah , jangan nak panjang sangat muncung tu. Tak elok begitu. Mengadap rezeki haruslah dengan penuh rasa kesyukuran di hati. Bersyukur kerana kita masih diberi nikmat makanan. Kita harus sedar , ramai lagi manusia di dunia ini yang kelaparan. Negara mereka ditimpa musibah banjir , kemarau atau peperangan yang tidak sudah-sudah. Mereka itu sampai  bergaduh hinggakan sanggup berbunuhan sesama sendiri untuk mendapatkan makanan yang tidak seberapa. Sebab itulah bila kita mengadap rezeki , janganlah sekali-kali kita bertegang leher sesama sendiri. Itu tidak bersyukur namanya”. Tegur cikgu Karim apabila melihatkan reaksi wajah Miah yang kurang menyenangkan.
“Eeeee geramnya! … ini cuma pasal cendawan , apahal lak aku yang kena bebel!!”. Pekik hati Miah mendengar leteran cikgu Karim yang panjang lebar itu.

Etok!! …
            Satu insiden yang berlaku di suatu petang amat memukul perasaan Ziah. Pada ketika itu mereka sekeluarga sedang berbual-bual sambil menonton rancangan masakan kegemaran mak Midah di kaca televisyen.
“Laa … siput sedut masal lemak cili api. Inikan resepi biasa. Resepi macam ni pun boleh masuk tv?”. Komen Miah.
“Yelah. Kan ke tema masakan hari ni ialah masakan kampung. Kita orang kampung memanglah dah biasa tapi ada juga orang lain yang masih tak tahu”. Balas mak Midah.
“Alah , kalau setakat siput sedut tu , etok lagi sedap kan kak?”. Kata Miah sambil memandang Ziah.
“Hmm … betul tu. Etok lagi sedap. Dah lama kan tak makan etok”. Balas Ziah.
“Betul tu. Dah lama kita tak makan etok.  Apa kata kita ajak kak Zu dan Zizah cari etok lagi nak?”. Tanya Miah. Kak Zu dan Zizah adalah rakan sekerja mereka di sekolah.  Dulu mereka pernah bersama-sama keluar mencari etok di sungai.
“Kita boleh minta tolong Kamal tolak rakit”. Sambung Miah lagi.
“Apa Kamal?!!!”. Ziah separuh menjerit mendengar nama itu.  Semua yang ada , cikgu Karim , mak Midah , abang Anip dan tidak terkecuali Miah terkejut dengan reaksi melampau Ziah itu.
“Kenapa dengan Kamal?. Kenapa akak macam terkejut je mendengar nama dia?”. Tanya Miah , mulai curiga.
“Err … err … tak ada apa-apa. Cuma terkejut sebab dah lama sangat tak dengar nama tu”. Jawab Ziah tergagap-gagap. Cikgu Karim dan mak Midah saling berpandangan , mereka mengesan sesuatu yang tidak kena , “Kenapa Ziah sampai menjerit mendengar nama Kamal disebut?”. Fikir mereka.
“Tapi …”. Miah tidak percaya dengan alasan yang diberikan Ziah. Dia berasa curiga … reaksi Ziah terlalu berlebihan apabila nama Kamal disebut. Miah ingin terus bertanya … namun belumpun sempat dia meneruskan niatnya , abang Anip sudah memotong kata-katanya.
“Ziah , abang penat. Boleh tolong hantarkan abang ke bilik?’. Pinta abang Anip tiba-tiba. Abang Anip mahu melepaskan Ziah daripada soalan-soalan lain yang bakal diajukan oleh Miah mahupun oleh cikgu Karim atau mak Midah. Bagi dirinya pula , dia cukup faham dengan reaksi Ziah itu. Sudah pastinya kejadian ‘dulu’ menyebabkan Ziah cukup takut dengan lelaki itu. Mendengar namanya saja sudah cukup membuatkan Ziah menjerit.

Serba tak kena …
            Pada suatu petang yang lain , ketika itu Ziah sedang membantu mak Midah yang mahu mandi. Entah macam mana , semua yang dipegang Ziah jatuh satu persatu. Bermula dengan gayung yang berisi air , jatuh betul-betul di atas kaki mak Midah. Puas Ziah meminta maaf , “Mak , sakit mak?. Maaf sebab Ziah tidak sengaja”.
“Tak apalah Ziah. Sikit saja”. Jawab mak Midah.
Malangnya semua itu tidak berakhir , Ziah tiba-tiba terlepaskan sabun mandi yang dipegangnya. Sabun itu terus meluncur masuk melalui lubang dipenjuru bilik air itu.
“Ziah!. Laa … kenapa ni. Kan dah jatuh sabun tu”. Tegur mak Midah.
“Err maaf mak. Entah kenapa tangan Ziah hari ni. Asyik terlepas barang saja”. Ziah sekali lagi meminta maaf.
Tidak cukup dengan itu , ketika mahu mengeringkan badan mak Midah , kain tuala yang dipegang Ziah tiba-tiba terlepas. Habis basah tuala itu terkena lantai. “Ziah! , Kenapa ni?. Apa … Ziah tak ikhlas tolong mandikan mak ke?”. Tanya mak MIdah , mulai jengkel dengan kesilapan-kesilapan yang terus-terusan dilakukan oleh Ziah.
“Mak! Maaf mak. Ziah langsung tidak berniat begitu. Entah kenapalah dengan tangan ni hari ini”. Ziah benar-benar kesal kerana telah menyinggung perasaan ibu mertuanya. Itulah kali pertama perkara buruk terjadi dalam sejarah hubungannya dengan mak Midah.
“Hmm … tak apalah Ziah. Cukuplah tu , tolong mak panggilkan Miah”. Jawab mak Midah sambil memalingkan mukanya. Ziah terkedu , tidak disangkanya mak Midah sampai boleh berkata begitu.
“Mak!. Miah tengah sibuk memasak di dapur tu. Biarlah Ziah saja yang teruskan memakaikan baju untuk mak ye?”. Pinta Ziah , cuba memujuk mak Midah.
“Tak mengapa. Ziah boleh tolong gantikan Miah memasak”. Jawab mak Midah. Maka fahamlah Ziah bahawa ibu mertuanya itu betul-betul merajuk dan tersinggung dengan sikap tidak cermatnya itu.
“Kalau begitu , baiklah mak. Ziah panggilkan Miah”. Kata Ziah lemah sambil keluar dari bilik air untuk memanggil Miah yang berada di dapur. Mak Midah yang duduk di atas kerusi roda itu ditinggalkan sendirian.  Memang sejak mak Midah lumpuh kedua-dua kakinya , kerusi roda menjadi sangat diperlukan olehnya sama ada untuk bergerak mahupun untuk mandi dan sebagainya. Cuma jika cikgu Karim ada di rumah , dia lebih senang menggendung isterinya itu ke mana-mana. “Macam ni baru terasa lebih mesra”. Itulah jawapan cikgu Karim apabila mak Midah menolak untuk digendung.
            Sebaik saja sampai di dapur … “Miah!”. Panggil Ziah. Miah yang sedang menggoreng ikan keli untuk disambal menoleh ke arah Ziah.
“Nape?. Bukan ke akak tengah mandikan mak?”. Tanya Miah , hairan melihat Ziah berdiri di situ. Belumpun sempat Ziah menjawab tiba-tiba kedengaran bunyi benda jatuh dari arah bilik air. Serentak dengan itu kedengaran suara mak Midah menjerit kesakitan.
“Mak!!”. Jerit Miah dan Ziah serentak. Mereka berdua berlari mendapatkan mak Midah yang sudah tergolek jatuh di atas lantai bilik air.
“Aduuhhh!! Aduuhhhh! Tolong mak Miah”. Jerit mak Midah. Miah dan Ziah cemas melihatkan keadaan mak Midah. Mereka sama-sama menghampiri mak Midah dan cuba mengangkat mak Midah kembali ke atas kerusi rodanya.
“Mak , macam mana boleh jadi begini?”. Tanya Miah.
“Mak nak cuba capai kain atas  ni. Entah macam mana sampai boleh terjatuh pulak”. Jawab mak Midah sambil menunjukkan ke arah ampai , tempat menggantung tuala atau kain basahan mandi yang terdapat di dalam bilik air itu.
“Kenapa mak tak tunggu sampai Ziah panggilkan Miah ?”. Menitis air matanya melihatkan kepayahan dan kesakitan yang ditanggung mak Midah.
               Mak Midah diam , langsung tidak menjawab. Hatinya masih marahkan Ziah , lebih-lebih lagi setelah dia terjatuh gara-gara ditinggalkan sendirian di dalam bilik air. Miah perasankan ibunya seperti berjauh hati dengan Ziah. Dia mulai curiga lebih-lebih lagi apabila teringatkan Ziah yang tiba-tiba muncul di dapur sedangkan dia yang sepatutnya menguruskan mak Midah pada ketika itu.
“Kak , apa yang sudah akak buat pada mak?”. Tanya Miah setelah selesai memakaikan baju  dan membaringkan ibunya di atas katil di bilik ibunya itu. Maka Ziahpun menceritakan segala yang terjadi kepada Miah. “Pelik. Pasal perkara sekecil itupun mak nak ambil hati”. Komen Miah. “Entahlah Miah. Akakpun tak tahu nak kata apa”. Balas Ziah.
“Hmm … sudahlah kak , jangan difikirkan sangat. Makpun tak apa-apa cuma terkejut saja. Nanti lepas berehat , okeylah tu”. Miah menenangkan Ziah.
“Harap-harap begitulah”.Balas Ziah.
            Malam itu mak Midah tidak makan semeja dengan yang lain. Makanannya dihantar oleh cikgu Karim ke dalam bilik. Memang cikgu Karim sangat sayangkan isterinya itu.
“Midah , apa yang telah terjadi?. Kenapa merajuk begini?”. Tanya cikgu Karim lembut. Maka mak Midah menceritakan segalanya.
“Laa … kenapa tak tunggu budak-budak tu dating tolong ambilkan kain?. Kenapa tak sabar-sabar nak ambil sendiri?”. Tanya cikgu Karim.
“Midah sejuk. Dah mandi dibiarkan basah-basah begitu”. Jawab mak Midah.
“Ya lah. Dah awak suruh dia pergi panggilkan Miah. Tentulah Ziah tu terpaksa tinggalkan awak sendiri. Takkanlah awak harap dia akan melaung-laung , menjerit memanggil Miah”. Balas cikgu Karim.
“Abang ni menyebelahi siapa , Midah atau menantu abang tu?. Midah yang sakit jatuh terjelepok di bilik air tu pulak yang abang nak salahkan”. Mak Midah menyanggah cikgu Karim.
“Bukan begitu Midah. Abang berkata yang benar. Beginilah Midah , awak kasihankanlah menantu kita tu. Baru saja bergelar isteri sudah diuji dengan ujian yang berat. Mungkin dia tertekan sekarang ni. Sebab tulah semua yang dibuatnya tidak sempurna. Kita sebagai orang tua ni cubalah lebih memahami. Bolehkan Midah?”. Pinta cikgu Karim.
“Hmm … ia juga bang. Ziah tu memang menantu pilihan Midah. Dia itu memang baik budaknya. Kenapalah Midah sampai boleh berjauh hati begini”. Mak Midah kesal dengan sikapnya terhadap Ziah. Kata-kata suaminya itu telah menyedarkannya.
“Alhamdulillah , beginilah isteri abang”. Kata cikgu Karim , gembira lalu turun meninggalkan mak Midah untuk menyertai yang lain di meja makan.
“Abah , jemput makan”. Pelawa Ziah sebaik sahaja cikgu Karim mengambil tempat.
“Ya”. Jawab cikgu Karim sambil menyambut nasi yang dihulurkan Ziah.
“Abah , pasal kejadian petang tadi …”. Kata Ziah namun belumpun sempat dia mahu menghabiskan ayatnya cikgu Karim sudah memotong , “Tak mengapa Ziah , abah dah tahu semuanya. Mak kamupun sudah tak marah lagi. Janganlah kamu risau”.
“Abah , sekurang-kurangnya abah kena menegur tentang kecuaian kakak sehingga menyebabkan mak jadi begitu”. Sampuk Miah , tidak berpuashati dengan apa yang didengarnya.
“Mudahnya abah nak melupakan segalanya. Habis mak tu sakit , macam mana?”. Fikir Miah.
“Miah?. Apa yang kau cakapkan ni?. Kan abah dah kata yang mak dah okey dan mak tak marah lagi. Itu semua tak cukup ke?”. Abang Anip menegur Miah. Dia tidak mahu Ziah terus-terusan merasa bersalah atau dipersalahkan.
“Sudah! Sudahlah tu. Kan abah dah kata mak itu tiada apa-apa. Usahlah diperpanjangkan perkara ini. Marilah kita makan , nanti sejuk pulak semua hidangan”. Kata cikgu Karim dengan tegas. Miah dan abang Anip cukup faham dengan sikap bapa mereka. Sekiranya dia sudah berkata dengan nada yang serius maka mereka harus diam dan mematuhinya.
“Huh! Sudah ada isteri semua kata-kata aku sudah tidak bererti lagi. Semuanya salah!!”. Kata hati Miah sambil menjeling ke arah abang Anip.
“Nasib baik kau sakit. Kalau tidak aku tak mungkin akan mengalah begini tau!”. Fikirnya lagi.
Memang benar , abang Anip masih lagi sakit. Sakitnya bagaikan tidak mahu kebah-kebah. Mungkin benar apa yang dikatakan oleh cikgu Karim kepada isterinya , Ziah itu sebenarnya sedang tertekan dengan keadaan abang Anip sekarang. Sedangkan abang Anip pula semakin berputus harap. Harapannya untuk pulih seperti dulu kian kelam. Sakitnya semakin menjadi-jadi.

Abang Anip semakin parah.
            Sejak pulang dari hospital , keadaan abang Anip bukannya semakin sihat tetapi semakin parah . Ditambah dengan tidur malam yang tidak lagi pernah lena , abang Anip semakin lemah.
“Hmm … hari-hari makan ubat tapi baiknya tidak juga. Makin teruk adalah. Agaknya sakit abang ni memang tak akan sembuh. Sakit ni  membawa ke mati agaknya”. Keluh abang Anip ketika Ziah menghulurkan ubat yang dibekalkan oleh pihak hospital kepadanya.
“Abang , kenapa cakap begitu?. Kan semua penyakit itu ada ubatnya. Kita Cuma perlu bersabar dan terus berusaha. Ziah yakin , abang akan baik dan sihat seperti dulu”. Balas Ziah.
“Bila?. Bila abang akan sihat seperti dulu. Ziah tak nampak ke keadaan abang sekarang ni?. Semakin hari semakin teruk. Muka ni dah  makin cengkung , tiada selera makan , badan semakin lemah. Sekarang nak berdiri pun kena berhati-hati. Silap-silap hari bulan jatuh tersungkur!. Badan ni memang dah tak berdaya.Dah tak ada kudrat lagi”. Keluh abang Anip lagi.
“Sabarlah bang . Ini semua ujian dari Allah. Bergantung haraplah kepadanya kerana Dia adalah sebaik-baik tempat penggantungan”. Ziah sedih mendengar kata-kata abang Anip itu kerana dia sedar semua yang dikatakan oleh abang Anip itu adalah benar. Ziah sendiri tidak faham mengapa boleh jadi begitu. Kalau menurut kata doktor , strok abang Anip tempohari bukanlah teruk sangat. Pengambilan ubat yang betul dilengkapi dengan rawatan fisioterapi sepatutnya sudah memadai. Namun hakikatnya keadaan yang sebaliknya terjadi. Hari ini sahaja sudah lebih 3 kali abang Anip muntah darah ... Ziah agak cemas. Perkara ini sudah tidak boleh dibiarkan.

Sesuatu harus dilakukan.
 Ziah akhirnya berbincang dengan bapa mertuanya , “Abah , Ziah risau dengan keadaan abang Anip. Semakin hari bukannya semakin sihat , sebaliknya semakin teruk. Semalam sampai tiga kali abang Anip muntah darah. Ziah rasa sakit abang Anip itu bukannya sekadar strok”. Ziah memulakan bicara.
“Apa?. Anip muntah darah?. Kenapa baru hari ini Ziah bagitahu abah?”. Tanya cikgu Karim. Dia benar-benar cemas mendengar kata-kata Ziah. Masakan perkara seperti itu tidak segera dimaklumkan kepadanya.
“Err … maaf abah. Ziah risau sangat sampai tak boleh nak berfikir dengan baik , langsung tidak teringat nak bagitahu abah semalam”. Jawab Ziah. Kesal dengan kecuaiannya.
“Ya Allah , apalah masalah Anip sebenarnya?”. Keluh cikgu Karim. Hati bapa itu menjadi risau. Harapannya untuk melihat anaknya itu pulih semula bagaikan punah.
“Bilakah cahaya kan menyinar dalam hidupmu nak?”. Fikirnya.
“Abah , Ziah rasa mungkin kita juga perlu bawa abang Anip berjumpa dengan ustaz Mukhriz sekali lagi”. Ziah menyatakan pendapatnya.
“Kenapa kamu fikir begitu?. Apa … masih ada yang kamu tak bagitahu abah lagi?”. Tanya cikgu Karim. Dia cuba mencari maksud yang tersirat daripada kata-kata anak menantunya itu.
“Bukan begitu abah cuma Ziah fikir … selain perubatan moden , elok juga kita dapatkan perubatan alternative. Lagi pula ustaz Mukhriz tu warak orangnya. Mungkin juga dia boleh membimbing abang Anip untuk lebih dekat dan bergantung harap hanya pada Allah. Ziah menyatakan pendapatnya.
“Terlalu banyak peristiwa sedih yang menimpa abang Anip sejak kami belum menjadi suami isteri dan tiba-tiba abang Anip diserang strok pula pada hari kami disatukan. Padahal abang Anip langsung tiada masalah darah tinggi atau kolesterol yang berlebihan dalam badannya. Kemudian lepas saja abang Anip balik dari hospital , abang Anip tidak sudah-sudah diganggu oleh mimpi-mimpi ngeri. Perkara yang membuatkan Ziah lebih musykil … doktor sendiri hari tu kata yang abang Anip ni tiada masalah lain selain dari ‘strok’nya tu. Malah menurut doktor , stroknya itu pun telah semakin baik. Tapi ... ayah tengoklah keadaannya sekarang , semakin kurus, pucat dan sentiasa tidak bermaya. Sejak abang Anip balik dari hospital keadaan kesihatannya semakin buruk”. Terang Ziah.
“Sebenarnya abah pun ada fikir perkara yang sama ... tapi yalah , semua perkara yang terjadi itu pasti ada sebabnya.  Semuanya tentunya terjadi dengan izin Allah”. Jawab cikgu Karim.
“Itu betul abah ... tapi takkanlah kita nak berdiam diri saja. Semalam sampai tiga kali abang Anip muntah darah. Ubat yang kita ambil dari hospital tu sedikit pun tidak membantu. Ziah  rasa jiwa abang Anip tidak tenang , perasaannya mungkin tertekan … hanya dengan mendekati Allah jiwa kan kembali tenang. Selain kita keluarganya , ustaz Mukhriz mungkin pilihan terbaik untuk membantu abang Anip” . terang Ziah dengan panjang lebar.
“Betul Ziah ... abah sependapat dengan Ziah. Lagipun kesian abah melihatkan keadaan Anip sekarang”. Jawab cikgu Karim , mengiakan kata-kata Ziah. Pedih hatinya mengenangkan nasib yang menimpa anak lelakinya itu , baru saja mahu mengecapi kebahagian berumah tangga sudah diuji sebegini rupa.
“Apa maksud kau Ziah?...Apa , kau nak kata yang abang aku tu sakit jiwa ke … gila?!. Itukah maksud kau?!!!”. Miah yang kebetulan mahu melintasi ruang perbincangan cikgu Karim dan Ziah menjadi berang apabila terdengar komen Ziah terhadap abangnya.
“Err … Miah … bukan begitu …”. Ziah terkejut dan terkedu apabila disergah Miah dengan tuduhan melulu.
“Eh Miah , kau ni dah kenapa?. Main sergah tak tentu pasal. Mana adab kau?”. Tegur cikgu Karim. Marah betul cikgu Karim dengan perlakuan Miah.
“Hmm … dengarlah sangat kata menantu kesayangan tu. Anak sendiri dikata ‘gila’ pun nak diterima”. Balas Miah sebelum berlalu pergi.
“Astarghfirullah … budak ni”. Keluh cikgu Karim sambil mengurut-ngurut dadanya menahan sabar.
“Sudahlah abah … biarkanlah Miah tu. Dia marah sebab sayangkan abangnya tu. Takpelah … nanti saja Ziah terangkan padanya”. Ucap Ziah menyabarkan bapa mertuanya itu. Ziah faham , bukan saja dirinya sebagai isteri abang Anip rasa tertekan malah seisi keluarga ini merasa sedih dengan apa yang berlaku.
Cikgu Karim bertindak…
Tanpa membuang masa , cikgu Karim menghubungi Pak Lang , adik iparnya itu. Malangnya, menurut Pak Lang dia sendiri tidak pasti sama ada ustaz Mukhriz berada di Kuantan atau sudah kembali ke Terengganu.
“Orang macam dia bang , sentiasa sibuk membantu orang lain. Dia mengubat sampai ke merata-rata negeri. Setiap hari ada saja orang yang mencarinya. Beginilah bang , abang boleh ambil nombor ni , cuba telepon sendiri. Manalah tahu nasib abang baik”. Kata Pak Lang.
“Tidakpun apa kata petang ni kita terus saja ke rumah mak mertuanya. Kalau ada rezeki dapatlah berjumpa dia di sana. Kalau tidakpun , adik ipar dia , ustaz Shamsuri itupun pandai jugak mengubatkan orang. Alah … rotan tiada , akarpun beguna juga”. Pak Lang memberikan cadangan. Padanya jika Anip sudah sampai muntah darah , semuanya harus dilakukan segera.
“Ya baik jugak tu. Petang ni jugak abang datang ambil kau. Kita pergi sama-sama”. Jawab cikgu Karim , bersetuju dengan cadangan Pak Lang.
XXXXXXXXX
Ustaz Shamsuri
            Benar bagai yang dikatakan Pak Lang , ustaz Mukhriz tiada di Kuantan. Maka pilihan kedua , ustaz Shamsuri dibawa ke rumah cikgu Karim. Sebaik sahaja sampai ke rumah , “Jemput masuk ustaz”. Pelawa cikgu Karim.
“Ustaz duduklah dulu , nanti saya panggilkan anak saya Anip”. Kata cikgu Karim.
“Err … tak mengapalah cikgu. Kan ke dia tidak sihat. Biar sajalah saya yang jumpa dia. Hmm … dia ada di mana?”. Tanya ustaz Shamsuri.
“Err … nak jumpa sekarang ke?. Tak minum dulu?”. Tanya cikgu Karim sambil memandang Ziah yang sedang berjalan dari dapur sambil menatang dulang berisi air kopi dan pisang goreng.
“Nanti saja , sebaik habis urusan kita minum sama-sama. Tujuan utama harus didulukan”. Tolak ustaz Shamsuri dengan lembut.
“Ya baik juga tu. Dia ada dalam biliknya. Jemputlah ustaz”. Jawab cikgu Karim. Maka ustaz Shamsuri masuk ke bilik bertemu dengan abang Anip. Berbual dengannya dan berdoa untuk kesembuhan abang Anip , dengan diaminkan oleh yang lain. Selesai berdoa dia terus bersalaman dengan abang Anip , “Anip , semua yang berlaku adalah takdir yang telah ditentukan Allah. Terimalah segalanya dengan hati yang redha. Dalam keadaan begini dekatkan diri kepada Allah. Jangan sekali-kali meninggalkan solat dan perbanyakkanlah berdoa dan mengaji al-qur’an”. Nasihat ustaz Shamsuri kepada abang Anip.
“Ya ustaz tapi dalam keadaan begini , sukar benar untuk saya melakukan semua itu”. Keluh abang Anip.
“Tidak. Jangan kata begitu. Allah itu maha pengasih. Kalau kita tidak mampu untuk solat seperti biasa , buat sahajalah semampunya. Sambil berbaring malah dengan isyarat matapun boleh. Berdoa dan berzikir pada bila-bila masa , dengan mulut mahupun di dalam hati dan bacalah apa-apa sahaja ayat-ayat al-qur’an yang memang telah dihafal. Anip , kita memang seharusnya sentiasa mengingati Allah. Bukan sahaja pada waktu kita sakit malah pada waktu kita sihat juga”. Balas ustaz Shamsuri. Abang Anip mengangguk-nganggukkan kepalanya tanda faham , “Terima kasih ustaz”. Katanya.
            Selesai urusannya dengan abang Anip , ustaz Shamsuri kembali ke ruang tamu dengan disertai yang lain. Ziah segera menuangkan air kopi  yang sudah mulai sejuk.
“Jemput minum ustaz , pak Lang , abah”. Pelawa Ziah sebelum turut mengambil tempat disebelah bapa mertuanya. “Ini soal suami aku maka aku harus berada di sini”. Fikirnya.
“Ustaz , Ziah ini adalah isteri Anip , anak menantu saya. Dia baru tahun ini mengajar di sini”. Cikgu Karim memperkenalkan Ziah kepada ustaz Shamsuri.
“Hmm … beginilah cikgu , tiada banyak yang boleh saya bantu. Menurut saya , bawalah saja dia ke hospital. Mungkin di sana rawatannya lebih sesuai”. Kata ustaz Shamsuri kepada cikgu Karim.
“Err … apa maksud ustaz?”. Tanya Ziah tidak faham.
“Begini . Pada pendapat saya , suami cikgu bukan saja diserang strok tetapi juga mungkin mengidap penyakit lain. Apa penyakitnya itu , saya kurang pasti. Perlulah dilakukan pemeriksaan di hospital. Penyakitnya itu bukan kepandaian saya untuk mengubatnya”. Terang ustaz Shamsuri lagi.
“Maksud ustaz? … saya masih kurang faham. Saya sebenarnya sangat khuatirkan dirinya , kesihatannya semakin hari semakin merosot. Malam tidurnya tidak pernah lena dan sering saja dihantui mimpi yang bukan-bukan”.
“Hrmm … Itu hanya Allah yang lebih mengetahui. Beginilah cikgu , saya dan kariah masjid akan tolong buatkan solat hajat dan doakan kesejahteraannya bersama-sama  malam ini. Pada pendapat saya , mungkin ada sedikit gangguan. Biasalah cikgu , selagi  boleh iblis dan tenteranya pasti akan mengganggu anak cucu adam. Lebih-lebih lagi dengan keadaan suami cikgu yang lemah ini. Bisikan-bisikan untuk berputus asa atau tidak redha dengan ketentuanNya pasti ada. Oleh itu sangat perlu cikgu sentiasa mengingatkannya agar sentiasa mengingati Allah”. Terang ustaz Shamsuri.
Maka berakhirlah sesi rawatan petang itu. Cikgu Karim dan Pak Lang keluar menghantar ustaz Shamsuri pulang ke rumahnya.
            Sementara itu Ziah duduk termenung memandang abang Anip yang sedang berbaring di atas katil bilik mereka.
“Mustahil. Masakan ‘hospital’ adalah penyelesaian bagi masalah abang Anip sekarang. Baru dua minggu lepas dia pulang dari hospital dan doktor langsung tak mengesan kewujudan penyakit lain. Mana mungkin semuanya terjadi dalam masa dua minggu”. Ziah tidak bersetuju dengan pendapat dan keterangan ustaz Shamsuri.
“Tapi tak apa , tak salah mencuba. Mungkin elok juga abang Anip menjalani pemeriksaan sekali lagi di hospital. Manalah tahu , masalah sebenar dia akan dapat dikesan. Siapa tahu?”. Fikir Ziah.
Maka Ziah memutuskan akan membawa abang Anip untuk pemeriksaan lanjut di hospital pada keesokan harinya.
“Buat apa nak tunggu lama-lama. Lagi lama lagi parah jadinya. Walau sepahit mana sekalipun , kebenaran tetap pilihan yang terbaik. Abang , sabarlah. Kita akan tetap mengharunginya bersama”. Kata hati Ziah sambil terus menatap suaminya.

Abang Anip melayan perasaan ...


 Aku Kecewa … Keluhan Anip.

Apa lagi yang bolehku lakukan?
                Kudratku kini semakin lemah
                Umpama keli  tercungap di daratan
                                Kau kekasih memberi harapan
                                Esok mentari kan bersinar cerah
                                Cobaan ini hanyalah persinggahan
                                Esok lusa aku kembali kebah
                                Walaupun hatiku amat keberatan
                                Aku kini hanya pasrah meyerah
                Susut sudah berat di badan
                Apalagi  bergerak pun susah
                Kudrat yang ada kian menyegan
                Ingat dulu semuanya mudah
                Tak sangka kini tinggal kenangan
                                Besarnya dugaanMu Tuhan
                                Engkau menguji hambamu pasrah
                                Gugup rasa mengingat kematian
                                Ingin hidup memanjang galah
                                Namun tak upaya menentang ketentuan
                        Inilah hambamu menyerah kalah
                Tuhan …
                Ujian ini mengundang resah
                Hambamu tidak punya kekuatan
                Apa yang tinggal hanyalah mujahadah
            Nasib diri  ditanganMu Tuhan

 “Sayang , mungkinkah kau akan tetap mengasihiku dan menantiku dengan setia sedangkan aku kini hanyalah mayat hidup yang sudah tidak mampu melakukan apa pun”.

Sedang Ziah sedang merenung di luar jendela ... melihat awan mendung berarak ditiup angin ... "Inilah laluan hidup yang kupilih ... Ya Allah tabahkan aku mengharunginya. Kuatkan aku untuk membahagiakan mereka yang Kau takdirkan untuk bersamaku ...". 

No comments:

Post a Comment