Popular Posts

Saturday 23 December 2017

Fikiranku ... "Aku sayang korang"

Utk dikenang ... "Aku sayang korang" ~ada sesetengah perkara dalam hidup kita harus kekal dalam ingatan.

Lukisan kartun di atas adalah masa laluku ... cermin tingkap ... pasu bunga arwah bonda ... pokok2 bunga dan jenisnya ... selipar dan  pakaian yang di pakai ... cara kami berinteraksi ... adalah antara kenangan terindah. Tiap kali kukenang akan mengingatkan aku akan rasa sayangku pada mereka.😊

Bagi aku dan mungkin orang2 sepertiku , merakam peristiwa atau apa jua kisah dan kebiasaan yg berlaku adalah antara priority dalam hidup.

Kisah lalu ... kisah zaman kanak2 atau mungkin zaman remaja dan bla bla bla ... pasti tidak kan berulang. Umur yang semakin meningkat dan ingatan yang semakin lemah mulai meluputkan satu demi satu kenangan yang tersimpan di album ingatan.

Berapa ramai antara kita mulai mengorak langkah menuju jalan sendiri sebaik sahaja tamat sekolah menengah? ... atau ketika kita sudah bekerja, punya duit sendiri, sewa rumah asing daripada keluarga ... atau setelah kita berumahtangga, mengikut pasangan masing2 dan menempuh dunia  'sendiri', jauh dari keluarga asal kita?
Tentu ramai kan?
Kesibukan bekerja...urusan anak2 dan pelbagai tanggung jawab lain semakin menjarakkan kita. Mujur teknologi sekarang boleh dimanafaatkan buat  merapatkan ukhuwwah dan hubungan silaturrahim.
Namun jangan hairan ... andai ikatan yang ada di hati dan ingatan adalah longgar atau langsung tidak bersimpul, semua itu tiada makna...secanggih manapun teknologi atau semudah mana pun kemudahan untuk berhubung ... bertemu ... berkumpul apatah lagi  mengambilberat satu sama lain tidak akan terlaksana.
Pada ketika itu , alasan 'biasa' adalah ... kami tidak ada masa, nak rehat pun tak cukup dan bla bla bla ...

Pernah dengar ... kalau benar sayang , kalau benar cinta, lautan api pun sanggup direnang?
Orang sanggup merendahkan ego, menanggung malu, memaafkan dan mengharungi apa jua rintangan dan kesusahan demi orang yang disayang?
Pada aku ... ini adalah kayu pengukur paling ringkas , mudah dan tepat.
Pernah tanyakan pada diri ... ada tak kita berkira demi memastikan ikatan yang terbina terus kekal dan utuh?
Pernah kita telepon mak ayah kita atau adik beradik kita semata2 hanya untuk bertanya khabar? ...
 atau kita adalah kategori orang yang akan telepon mereka bila ada satu2 isu yang harus dibincang atau diselesaikan?

Adakah kita akan bersabar dan terus berbaik sangka dengan memberikan pelbagai alasan pada diri kita sendiri  walaupun logiknya di pandangan mata dan fikiran kita, sah2 pihak tertentu melakukan kesalahan dan keburukan.
Atau ... kita terus menghukum tanpa usul periksa ... tanpa bukti?.
Lebih parah lagi andai sangkaan2 buruk tanpa bukti dihebahkan pada pihak lain. Pastinya menjerumuskan kita akan perbuatan fitnah dan menghancurkan hubungan sedia ada.
Seharusnya kita berlaku adil ... bukti...peluang membela diri harus diberi. Jadilah manusia yang berpegang pada prinsip, 'Jangan mudah menghukum'.

Hrmmm...apa sebenarnya yang ingin kusampaikan?
Dah macam bebelan tanpa arah. Haishhhh!!!
Okey ... point:
1. Hargai keluarga dan hubungan yang terbina
2. Jadilah manusia adil. Amalkan untuk tidak menghukum tanpa bukti.
3. Biasakan diri untuk tidak menghebahkan perkara yang tidak pasti, kelak menjadi fitnah dan merosakkan hubungan.
Dan
4. Rakam kisah hidupmu di kotak ingatan atau dalam bentuk apa jua buat kau renung dan dijadikan panduan.




-peace-
>__<







Thursday 21 December 2017

Puisi ... Warna mimpi

Lukis jea~ 6-6-15
Bermain warna ...
lalu dilakarkan dalam hamparan kehidupan
Walau apa warna hidupmu
Jadikan ia indah ... untuk dikenang :3)


Warna Mimpi

Izinkan aku ...
Menggambar warna mimpi
Di atas hamparan nafas yang kuhela
Walau malam ini gelita tanpa cahaya
Dan bintang-bintang di dada langit
Enggan berkerlip ...

Sesekali desiran bayu mendesah
Menerobos lalu berbisik
Pada rekahan hati yang bisa ditembus
"Gambarkan warna mimpimu
Usah biar ia melayang di awangan
Kerna hayat ini tidak berhenti di sini"

Harapan yang memutik
Mekar menguntum di persada kehidupan
Menebar haruman menunggu masa dipetik
Sayang ... hitungan waktu enggan berdetik
Merentap warna mimpi
Hilang bersama gelap malam




-peace-
>__<














Friday 15 December 2017

Fikiranku ... mahu apa lagi?

Lukis jea ... mahu apa lagi?

Hahahahahaha
Lukisan ini ku lukis pada 19 Julai 2016.

Lama sudah ... sekarangpun sudah di penghujung 2017. Hrmm ... memang inilah antara tujuan aku melukis-sebagai satu mekanisme buat aku merakam peristiwa atau kisah by kisah yang berlaku dalam hidupku.
 Hrmm ... ada baik dan buruknya.
Baik bila peristiwa atau kisah itu memang patut dikenang dan buruknya bila peristiwa atau kisah itu seharusnya dilupakan.

Apa yang ingin aku kisahkan malam ni?
Tentunya kisah aku ... kisah bagaimana aku belajar untuk menjadi manusia dan hambaNya yang bersyukur.
Kalau mahu diceritakan , tentunya ada terlalu banyak perkara yang harus disyukuri. Infiniti!

Maka kisah malam ini adalah tentang rasa syukurku akan kehadiran seorang lelaki yang ditentukan Allah untuk menjadi imamku ... dan kunci pintu syurgaku.

Menjejak kisah lebih 20 tahun dahulu ... aku , pada ketika itu sudah berusia 25 tahun membawa diri jauh dari keluarga , sanak saudara mahupun  rakan taulan ...ke suatu tempat yang dipanggil "Paloh Hinai".
Suatu tempat terpencil di bumi Malaysia ini. Tiada rumah untuk di sewa ... tiada air disalir dari takungan empangan air bersih yang dirawat ... tiada pengangkutan awam yang mudah dan kaedah perhubungan jarak jauh yang ada adalah melalui surat dan Mr Posmen.
>__<

Hampir menitis air mata arwah ibuku ketika mahu meninggalkan aku di situ. Itulah kali pertama dan terakhir arwah ibuku menjejakkan kaki ke tempat itu.
(Kalaulah arwah ibuku tahu bahawa akulah yang sebenarnya menghubungi bahagian penempatan guru di KPM dan minta ditukarkan dari lokasi asal penempatanku dan minta dihantar jauh dari kampung halaman , " Pahang ni kan besar. Hantar saja saya ke manapun. Saya tak kisah. Asal bukan disini!". Brutal jugak aku masa tu -keras kepala atau mungkin kepala batu! ... Haishhhh!!!)
 "Macam mana kau nak tinggal di sini?. Takde ruang dah bilik ni?". Ucap arwah ibuku sambil memandang ruangan sempit penuh barang di bilik warden yang sudahpun sedia dihuni oleh tiga orang guru.
Aku hanya tersenyum tanpa jawapan ... dan dengan kerisauan itulah arwah ibuku melambai tangan meninggalkan aku di
Paloh Hinai~tempat yang terlalu asing bagiku ... tempat yang mengajar aku erti sepi dan rindu.

Mengapa aku sampai membawa diri ke sana?
(Kisah itu tidak mahu ku buka di sini ... biar kekal dalam lipatan sejarah hidupku saja)

Maka bermulalah hari-hariku ... sebagai guru baru , di tempat baru.
Semuanya kuredah. Baru tiga hari di Paloh Hinai , aku sudah menapak ke tempat menunggu bas sendirian mencari arah untuk ke bandar Pekan. Hari itu aku harus menyelesaikan 'Pemeriksaan Kesihatan' untuk mula masuk kerja.

Lama juga menunggu bas. Akhirnya bas yang ditunggupun tiba lalu bergeraklah aku ke bandar Pekan. Perkara pertama yang aku cari adalah surau. Solat Zohor di situ kemudian bertanya orang ramai akan arah ke hospital. Panas...lapar ... nak makan segan. Tak biasa masuk kedai makan sorang-sorang! ^__^
- Mudahkan cerita maka selesailah semua urusan -

Masa berlalu ... suratan kisahku mentakdirkan aku dihimpit rasa sepi dan sunyi ... rindu pada keluarga ... rindukan teman2 ... rindukan mereka yang pernah hadir dalam hidupku. Lebih-lebih lagi cabaran dan 'pergolakan' yang berlaku di antara individu-individu yang berada di sekelilingku di sini hingga akhirnya menyebabkan aku terpaksa menebalkan muka memohon ehsan menumpang tinggal di rumah keluarga salah seorang guru di situ.
(Pun malas aku nak buka cerita pasal kisah ni. >__<)

Mudahkan cerita lagi ... tibalah masacuti pertengahan tahun.
Aku ditakdirkan bertemu untuk kali pertama dengan 'kunci pintu syurgaku', iaitu sewaktu singgah sebentar di bekas rumah sewaku dulu. (Pun malas nak cerita lebih).
Seminggu selepas pertemuan itu dia bertandang ke rumah emak abahku bersama seorang temannya.
 Masa ni mak abah aku acuh tak acuh melayannya ... yelah , bukan mereka kenal diapun dan aku sendiripun baru seminggu kenal 'kunci pintu syurgaku' ini!
Namun ,'kunci pintu syurgaku' ini rupanya adalah seorang yang tidak akan mengaku kalah.
Tanpa mengira reaksi emak dan abahku , rombongan peminangan telah dihantar seminggu kemudian. Mahu tidak mahu , janji dimeterai ... dan akhirnya kami diijabkabulkan lima bulan kemudian. Tanpa dating sebelum nikah. Tanpa cinta sebelum nikah ... mudahkan ^__^

Perkahwinan adalah satu ikatan yang menggabungkan dua insan yang berlatarbelakang berbeza , keluarga berbeza , pembawaan dan cara hidup dan fikir yang juga berbeza.
Asam garam kehidupan. Pahit manis.Tawa tangis silih berganti. ( Walau sebenarnya lagi banyak pahit dan tangisnya berbanding manis dan tawa! Inilah akibatnya bila si kepala batu bertemu si kepala batu yang lain!! . Maka beradu lah  ... kepala batu siapa yang lebih keras!! dan ... dah tentu-tentulah kepala batu 'kunci pintu syurgaku'lah yang lebih keras!.^__^ )

Mudahkan cerita - masa terus berlalu ... anak satu...dua...tiga...empat...lima...enam...tujuh...lapan(tak jadi!^__^).
Ada-ada saja perkara yang berlaku. Alangkan lidah lagikan tergigit, inikan pula suami isteri!

Apa pun juga ceritanya ...
hari ini aku bersyukur ... dihadirkan 'kunci pintu syurgaku' sebagai imam dan pendampingku ...
Aku bersyukur kerana ...

'Dialah orangnya yang akan marah aku jika aku lupa kunci pintu rumah bila tinggal sendirian'
'Dialah orangnya yang akan marah aku jika aku lupa makan ubat bila sakit'
'Dialah orangnya yang akan marah aku jika aku tidur dalam keadaan yang tidak selesa/teratur'
'Dialah yang akan marah aku jika aku biarkan orang 'buli/gunakan' aku'

'Dialah juga orangnya ...
yang akan bising bila aku tidur tak pakai stokin/selimut
yang akan bising bila aku buka semua lampu rumah
yang akan bising bila aku tidak bersenam
yang akan bising bila aku selekeh/tidak menjaga ketrampilan diri. Hatta di rumah sendiri!

'Dialah juga orangnya ...
yang sanggup ambil cuti untuk hantar aku bila bertugas di luar kawasan
yang sanggup datang lambat kerja semata-mata tak mahu aku drive sendiri ke KL atau ke tempat yang aku tidak biasa
yang sanggup teman dan beri khidmat nasihat baju yang perlu kubeli dan pakai untuk menepati tema majlis
yang sanggup mencuri masa atau bersengkang mata menyelesaikan urusan cukai pendapatan aku
yang sanggup membayar segala bil termasuklah bil telepon yang aku pakai

'Dialah orangnya yang cuba memastikan aku selamat ... selesa ... walaupun hanya menurut pandangannya sahaja!'

dan baru tadi ...
Dia marah beria-ia sebab aku malas nak pakai krim untuk eczemaku ( Percaya tak ... aku alah dengan matahari , kekacang dan sea food. Selalu aku berseloroh ... 'Kalau macam ni , kenalah saya migrate ke Australia!' ^__^. Orang yang tiada masalah alahan tentu menganggap aku mengada2 ... puteri lilinlah konon. Hrmmm ... takpelah aku tak kisah. Sebab aku tahu , 'kunci pintu syurgaku' tahu dan faham masalah alahanku)

Ops! ... sambung balik ...

"Apasal nak marah sangat?" : Aku buat muka poyo
"Ya saya marah awak sebab tiga perkara!!" : Garang benar suaranya
"Haaaaaa saya tahu. Satu sebab saya saya buka tiga2 lampu dapur dan tak tutup. Dua , sebab saya tak makan pil ezede. Tiga, sebab saya tak sapu krim kat tangan kan?". Jawabku  sambil tersengih , sengaja buat muka tak bersalah.
"Bukan!!!". Bentaknya
"Oooo kalau macam tu , mesti satu , sebab saya tak baring betul-betul (Baring tanpa bantal dan selimut yang teratur), dua , sebab saya tak makan pil ezede dan tiga , sebab saya tak sapu krim!".Jawabku sambil tersengih ( sengaja~nak cover kesalahan)
"Tahu pun!!. Berapa kali ... bla bla bla ..." maka bermulalah ...^__^
"Sorry!" Jawabku sambil menguntumkan senyuman paling manis.(Manalah tahu marahnya akan reda)
"Bla bla bla ...". Uik? Tak habis lagi!. Dia teruskan 'menasihati'ku.
Dan aku hanya tersenyum
dan
bersyukur ... sebab aku faham , itulah tanda kasih sayangnya yang tidak berbelah bagi.

Maka ...
Memang sewajarnya aku menjadi hambaNya yang bersyukur atas kurniaNya kepadaku.
Menentukan 'kunci pintu syurgaku' seorang lelaki yang kepala batunya lebih keras berbanding kepala batu aku.
Aku sudah faham ... kepala batu aku yang keras ini perlu dikawal untuk menjadikan aku hambaNya yang lebih baik.

"Andai kita mencari keburukan ... pasti akan kita temukannya dalam setiap perkara. Sebaiknya cari dan lihatlah kebaikan. Suburkan  rasa syukur dan redha

Terima kasih Ya Allah atas kurniaMu
Alhamdulillah





-peace-
>__<






Thursday 30 November 2017

Lukis jea ... mencanai sabar

Koleksi lama ... umur lukisan2 ni dah hampir 30 tahun ... lama sangat , kertas lukisan ni pun dah semakin buruk ... 😅

Sebelum ia terus memburuk dan rosak ... maka kuabadikan lukisan2 ni di ruangan ini. Boleh gak ku belek2 balik di kemudian hari

Lukis jea ... barangkali apa yang bermain di fikiran ku dulu ...

Lukis jea ... beri ayam makan...

Adik main kapal-kapal dalam air

Lukis jea ... adik bangun tido -bantai busuk nnnnn...
Mana baju?!


Abang rajin - tolong mak jemur baju  dalam besen kat ampaian



Lukis jea ... gambar2 koleksi.
Rajin gak aku melukis ...
Rasanya masa lukisan ni dilukis kami kat
 Alam Megah, Shah Alam.

-Cerita di suatu ketika-
Melayan ...mengisi waktu2 terluang
mencanai sabar




-peace-
>__<


Wednesday 29 November 2017

Lukisan dan fikiranku ... Aku???

Karya Aku?! ... tika aku masih belasan tahun😅😅😅

Barangkali apa judul paling sesuai untuk karya seperti ini 🤔🤔🤔🤔🤔
...INSAN!...
seorang! ...


Menyelak kembali koleksi2 karya contengan aku puluhan tahun lalu.
Sengaja kuabadikan di sini.
Insan bagaimana barangkali aku ketika itu ... 😁

Ada yang boleh baca puisi ku itu?😎

*****

INSAN!
Insan!
Sekiranya kau ketawa
Selalunya kau lupa
Kerna tawamu menggelapkan hatimu

Insan!
Seandainya kau duka
Sepatutnya kau kecewa
Kerana dukamu berlandaskan nafsu

Insan!
Seharusnya kau malu
Sewajarnya kau kesal
Kerana cintamu bukan untuk Tuhan!

*****
Seorang! ...
Seorang ini ...
Dengan langkah bersilang
Badan bergoyang
Ditangannya sebiji botol

Seorang itu ...
Tawa memanjang
Dikeliling perempuan
Ditangannya mengalir wang

Seorang aku ...
Di malam sepi ...
...???...





-peace-
>__<

Tuesday 28 November 2017

Lukis jea ... Merdeka?!l

Lukis jea ... Merdeka?!
Lalu apa ... masakan mahu melonjak terus?!
... kerna kita sering saja lupa~ di sebalik kata MERDEKA itu, kita harus sedia berdiri di atas kaki sendiri

Andai masih juga mahu bersandar pada yang lain ... maka silakan bersedia untuk diinjak-injak dan diuli semahunya.

Perkemaskan diri
Perkukuhkan peribadi

Agar punya jati diri

-Selagi masih punya waktu-


-peace-
>__<

Friday 17 November 2017

Lukisan dan fikiranku ... saat kamu jatuh

Lukis jea ... saat kamu jatuh

Cebisan kehidupan seorang wanita yang bergelar isteri ... kisah ini adalah satu daripada jutaan rasa yang kuceduk daripada catatan diari kehidupan seseorang ...
(Terima kasih atas perkongsian ini ... moga terus tabah mengharungi hari2 mendatang. Doaku buatnya agar mentarinya akan memancarkan sinar bahagia buat dia dan keluarganya).

Andai kita berdepan situasi sebegini ... usah pernah berputusasa kerna dunia memang tempat kita diuji. Selalu yakin ...

"Saat kamu jatuh dan rasa sendirian, gantungkan harapan padanya. Selagi kamu yakin Dia ada"

"Mintalah pertolongan dengan sabar dan solat".

Terus percaya ... awan mendung kan akhirnya berarak pergi. Mentari kan pasti menyinar.

****

"Aku terasa bersendirian, sunyi , sepi , tiada teman untuk meluahkan perasaan. Yang ada hanyalah tanggung jawab2 dan tuntutan yang tidak tertunai dan berkesudahan".

"Aku rasa terperangkap. Tidak tahu hendak berbuat apa. Aku banyak kelemahan sedangkan dia tidak boleh menerima kelemahan itu. Hingga ingin saja aku katakan padanya,'Awak tidak patut menikahi aku' ".

"Aku sayang padanya tapi banyak kali hatiku benar2 terluka. Kata2nya sering meletakkan aku seperti tiada harga diri langsung..."

"Kali ini aku benar2 kecewa. Mungkin jika kami tiada anak, dia tidak akan teragak2 menceraikanku. Besarnya dirinya hingga tidak boleh memberi ruang padaku. Sampai bila aku harus begini?"

"Merayu pada yang tidak sudi. Pada aku segala2nya sudah tidak betul. Hingga aku sendiri terasa jika tidak diikat dengan anak agaknya akupun  sudah lari dari rumah ini. Hilangkan diri untuk beberapa lama atau selamanya!"

"Entahlah...yang pasti aku benar2 kecewa, hampa dan tidak berdaya. Aku mohon agar Allah putuskan penggantungan dan ikatan hatiku pada dia kerana rasa sayang ini hanya menjerumuskan aku dalam kesedihan dan kehampaan yang berpanjangan".

***

Pohonku buat para suami ... wanita yang kaunikahi itu adalah amanah dan anugerah kurniaan Allah buatmu. Dipilihkan dia untukmu oleh Yang Maha Mengetahui, tentunya adalah yang terbaik buatmu.

Santuni dia dengan baik dan berilah haknya untuk merasa bahagia di dunia  ini.

Permudahkanlah jalannya ke syurga kerna kunci syurganya ada padamu.




                                        -peace-
                                          >__<




Thursday 16 November 2017

Lukisan jea ... gelora menggila

Lukis jea ... gelora

Gelora menggila bukan untuk diratapi ... sebaliknya dihargai 
Kerna melaluinya 
Kita belajar menggantung harap hanya pada yang Haq
Darinya kita bangkit
Membina benteng pemisah ... antara benar dan batil
 Menegak tembok kekuatan yang tak mampu dirobek
Tak terkesan dek gunungan kisah duka
Atau pusaran kecewa yang datang untuk meranap


Darinya kita belajar
Untuk menghargai 
Setiap nikmat walau secebis cuma
Tiap hembus nafas yang tersisa
Detik bahagia
Senyuman mesra
Nan hadirnya selayang pandangan
Sehalus debu nan berterbangan
Yang hanya terlihat di jalur cahaya
Tika mentari masih ada ...


Gelora menggila bukan untuk diratapi ...
Sungguh!
Resah ... derita ... keliru ...
Dan segala yang terlihat ... terpapar mahupun terpunah
Mengundang gerun mencengkam damai
Mengusir tenang!
Kian merana jiwa nan sengsara
Meraung menidakkan nasib
Menyesali yang tersurat dan tersirat

Bukan itu ...
Bukan itu maksud gelora menggila mendampingimu
Disebalik kehilangan ...
Disebalik sengsara yang bermaharajalela
Pasti akan berputik harapan
 Nantinya kan berkembang menebar haruman semangat
Nantinya di  situ juga
Akan ada keindahan yang mampu memukau
Hadir ketakjuban
Dalam mata yang melihat dari benak hati
Oleh jiwa yang merasa dari sanubari ...



Kulakarkan perjalanan ini
Di atas helaian putih
Sehelai demi sehelai
Agar aku mampu menoleh
Melihat sejarah silam
Buatku ambil pengajaran dan kujadikan panduan
Agar tidak lagi sumbang langkahku
Atau sesat di jalanan yang terbentang luas ...
Selagi nafas masih ada diizin tuhanku
Allahu rabbi


-peace-
>__<

Sunday 29 October 2017

Lukis jea ... mampukah

"Tiap satu punya batas...hatta langit biru kan gelap bila mentari menghilang".


Lukis jea ... mampukah

Mampukah kudup berkembang menjadi bunga yang mekar andai cuaca sering kali kontang ... terik ... ribut ...
Dan andai ada hujan yang turun , turunnya pula tiada tahu henti. Membasah dan membanjiri segala yang ada.

Seteguh manapun kudup
Belum tentu mampu bertahan
Kerana tiap satu itu punya batas dan hadnya.


*********************

Usah berbicara tentang bahagia
Jika ucap lafazmu sering berbisa

Usah berbicara tentang menginsani manusia
Jika hatimu jahil merasa

Usah berbicara tentang keagongan bangsa
Jika egomu melangkaui masa

Apatah lagi berbicara tentang ummah dan kedaulatan agama
Jika hatinya kau luka
Acapkali hingga kau lupa
Bahawa segala bermula dalam jiwa
Dari satu ... kepada berdua
Hingga tertegaknya sebuah cita
Mencari redhaNya menuju syurga
......
Tolong mudahkan jalanku ke sana

-peace-
>__<



Wednesday 25 October 2017

Sekolahku syurgaku ... aku dan mereka

Lukis jea ... aku dan mereka 😎

Aku seorang guru ... pengkhususan Biologi tetapi hanya mengajar biologi selama lebih kurang 3 tahun ... dan mengisi baki usia kerjayaku mengajar matapelajaran fizik dan sains.

Setiap tahun aku dihadapkan dengan murid2 pilihan  dari kelas sains tulen maka ... untuk mengimbangi tugasanku malah sebenarnya mengimbangi emosi dan rasaku ... pasti aku akan memohon untuk mengajar kelas sains teras yang paling hujung.
Mengapa begitu ye?

Benar ... bukan mudah mengajar kelas2 sebegini ... namun pada aku , jika mahu jadi manusia prihatin , merekalah guru terbaik yang melengkapi perjalanan hidup seorang guru seperti aku.

Dinihari ini ingin aku kongsikan kisah kami ... dah bermingguku cuba menulisnya ... namun tugasan akhir2 ini amat memberatkan.
Konon nak menulisnya ... tapi ... ngantuklah pulak.
Sambung esoklah ye .... ngantuklah ....

***********
Hmm...hari yang baru.
Semoga diberkati Allah semuanya.

Hari itu aku ke kelas tingkatan 4 paling hujung. Lokasinya adalah di blok paling hujung dan di tingkat paling atas (tingkat 4). Hari ini tajuk pembelajaran kami ialah ~ penyebaran cahaya.
Fenomena semulajadi yang dibincangkan adalah fenomena kebiruan langit dan kemerahan matahari.
Antara dialog kami pada hari ini .....

Aku   :   "Panjang gelombang bagi cahaya warna biru, indigo dan ungu adalah lebih pendek berbanding warna cahaya kuning, jingga dan merah. Cahaya warna yang panjang gelombangnya pendek mudah disebarkan apabila berlanggar dengan habuk, udara/gas dan molekul2 air yang terdapat di atmosfera bumi".

Zarif:    " Cikgu!!! Tak faham!!!!!".

Aku     : " Tak faham?. Bagus ... sekurang2nya awak berterus terang.  Okey ... zarif , cuba awak tengok kat luar ... langit kita bewarna apa?.
(Zarif menjengahkan kepalanya ke luar ...)

Zarif   :" Errr...langit kitaaaa .... warnaaaa .... putih!"

Farez :" Eh! Kelabulah!!!!" , sampuk pula Farez

Aku   : " Hah?. Kelabu?". Pelik pulak aku bila ada muridku yang mengatakan langit itu bewarna kelabu. Lalu aku turut menjengah keluar.
"Betul ke langit kita kelabu atau putih?". Tanyaku lagi sambil tersengih2.
"Tika ... cuba awak tengok, betul ke langit kita putih atau kelabu"
Tika akur ... " harj nak hujanlah cikgu!".
Aku    : So , langit kita warna apa?"
Tika    : "Errr....kelabu ... eh bukan, putih ... eh! Biru .... entahlah cikgu!!".





Friday 13 October 2017

Segalanya MilikMu

"Ya Allah ... lembutkanlah hatinya..."

Kita sering merasakan bahawa 'orang lain' yg ditakdirkan bertemu atau bersama dengan kita adalah ... 'punca' kesabaran kita diuji ...

Mungkin sudah sampai masanya untuk kita sama2 berfikir ...  bahawa 'kita' juga adalah punca kesabaran orang lain itu diuji dan tercabar ... bak kata peribahasa nenek moyang kita, 'bertepuk sebelah tangan masakan berbunyi'


Sungguh ... kehidupan penuh warna warni. Terang gelap ... indah dan suram silih berganti.
Tabah dan sabar menghadapi segalanya. Asal saja kita punya matlamat dan arah tuju yang jelas ... pasti segalanya mampu diharungi ...
Matlamat dan arah tuju yang jelas ... apa ye?
Pastinya mati dalam dakapan redhaNya!!!
Menjadi tetamu di syurgaNya!!!!

Maka berdiri teguh atas matlamat tersebut, carilah
nilai positif atas tiap yang terjadi ... bukan sia2 sesuatu itu ditimpakan ke atas kita
Betul?
Ya!!!
"Buat mengajar kita untuk mengenal  kayu pengukur kepada
nilai subjektif dalam kehidupan ... ertinya?
Supaya kita kenal ... supaya kita faham
... batas kemarahan
... tega hati dan tindak
... ketinggian ego
... erti kasih sayang
 ... dan nilai sebuah cinta

Kembali pada diri
Usah menuding pada yang lain ...
Sejauh mana  usaha mengubah diri telah dilakukan ... untuk sebuah kebahagiaan
Apa buruknya menjadi 'orang lain' ... andai itulah nilai harga sebuah keutuhan ... yang bakal menguntum senyum pada banyak bibir.

Bibir sering berkata
Dunia tempat manusia diuji
Sedang hati masih terlalu kecil hinggakan luka sedikit tak terawat ... terasa hina merendah diri
Maka ... layak kah kita memohon syurgaNya?

"Ya Allah...
Segala yang ada adalah milikMu
Hatta sekeping hati yang memberi rasa ... juga adalah milikMu ..."





-peace-
>__<

Tuesday 3 October 2017

Lukisan jea ... bebaskan


Lukisan jea ... bebaskan



Berilah ruang untuk bernafas
bebaskan dari belenggu dunia yang sempurna


Biar ketidaksempurnaan itu menjadi pilihan
Kerna ...
Dalam ketidaksempurnaan itu ada insan




-peace-
>__<

Fikiranku ... Usah remukkan hatinya ...

Usah remukkan hatinya ...

Percaya pada takdir yang tertulis
Penentuan yang terbaik buat kita.
 Hakikat dunia tempat manusia diuji
Dan syurga Allah itu tidak ternilai harganya ...

Maka bertabahlah wahai hati
Kiranya dalam banyak perkara kau harus mengalah
Mengaku salah ... dan mengiyakan saja
Andai pembohongan itu mampu mencegah musibah
Usah teragak-agak ... mengalah lah

Ada harinya
Guruh berdentum ... kilat sabung menyabung
Itulah waktunya segalanya tidak kena
Sedang hujan turunnya tidak
Tanahmu tandus mengontang
Panas memendam bara ...
Maka siramilah ... hujani dengan kalam memuji tuhanmu
Biar tenang datang menyapa
Bersama lembutnya bayu petang membelai
Katakan pada diri ... percayalah ...
Mentari hari ini kan tenggelam
Esok ... hari baru akan bermula

Putaran masa
Mana mungkin bisa ditangguh
Menjadi dewasa dan semakin berusia
Kini kita kian pandai menghitung ...
5 keburukan ditambah 6 kebaikan
 ... masih berbaki 1 kebaikan!
10 kejengkelan dibahagi 5 hari
Hmm ... hanya 2 kejengkelan sehari!!
Benci dipuncakuasakan dan kemaafan dikuasaduakan
Maka ... semakin kecil kebencian dan berganda kemaafan
1 kemesraan didarab sepanjang hayat
Wahhh!!! ... tidak terhitung sudah
Maka ber awas dalam bertindak
Bisikkan ucap sabar pada jiwa yang merasa
Padamkan api amarah yang memercik
Dengan lembut ... manis bahasa
Pujuklah ... pujuklah hati jangan ragu
Kerana sabar itu sentiasa indah ...

"Sesal dahulu pendapatan
Sesal kemudian tiada berguna"
Indah ungkapan kata ...
Mengajar manusia membuat timbang tara
Sungguhpun di mahkamah dunia
Adil itu ada???
Maka pendamlah sedalam mungkin
Telanlah walau sepahit hempedu
Andai jeritan itu sudah di kerongkong
Tahanlah ... usah biar ia muncul
Aloikan hati sekeras waja
Pahatkan teras keimanan
Ukirkan mimpi indah
Nanti di suatu ketika ...
Masanya akan tiba
Buat kita memetik bahagia ...


... dan aku menunggu hari itu ...
"Andai mati menjadi penghalang ...
maka pertemukan aku dengannya ...
dalam polos rasa di jiwa
 mengharap mimpikan menjadi nyata"









-peace-
>__<




Ya Rob ...
Teguhkan semangat juangku
Kibarkan bendera sabarku
Pimpin aku ke jalan syurgaMu











Wednesday 20 September 2017

Lukis jea ... tujuh benih sayang

Lukis je ... bagaimana harusku coretkan?

Ada perkara yang terbenam dlm dada...bermain dan mengganggu minda. Terasa amat ingin dilepaskan namun tiada bicara yang sesuai dapat ku fikir ... sedang ada nama yang tidak bisa disebut.

Pernah lalui perasaan seperti ini?

Analogikan segalanya ...
Umpama seorang petani menyemai tujuh benih sayang yang dihajatkan akan tumbuh subur membesar menguntumkan kelopak indah...membuahkan bahagia.
Dibajai gurauan mesra ... disirami kata semangat agar langkah-langkah sederap ... terus kekal bersama menyelak setiap helaian usia.

Hari berganti ... maka suburlah tujuh benih sayang seperti dihajat. Tak terganjak dek ribut. Tak kering dek kemarau.
Sedang kuntum mekar kian memerah ... bakal berbuahkan bahagia.
Sang petani mengukir senyum
Senyum yang kian melebar...

Hingga tiba suatu ketika ... benih-benih sayang kian dewasa. Pucuknya meninggi mengejar langit sedang akar tetap teguh menggenggam butir-butir setia yang bagai satu ... tidak mampu dipisah.

Namun ... bagai pepatah sering bertatih dibibir ...
Langit tidak selalunya cerah
Panas tidak sampai ke petang
Kiranya ada benih yang dewasanya diiring duri ... tajam ... bisa ...  sering melukakan dan amat menyakitkan.
Jangan pernah dihampiri ... apatah lagi disentuh!

Sekali ... dua kali ... tiga kali malah berkali-kali sudah
Dicuba dan dicuba mendekati
Namun tiap kalinya pasti kan terluka
Terlukanya lama ... dalam ... dan bagai tiada pernah sembuh kerana tiap kali luka itu berkuping ... mengering ...
 Akan datang duri mengguris ... melukai ... lagi ... dan lagi ...

Lalu bagaimana?
Mungkinkah hajatmu kan terlaksana
Atau musnah bersama jasadmu di perut bumi?
Oh Sang petani!

Termangu sendiri
Mencari jawapan di bayangan sepi
Apa boleh dilupa segala hajat yang dicita
Benih sayang disemai Sang petani?
Titik peluhnya yang mengalir tiada henti sejak tujuh benih tergenggam di jemari?

Sayang Sang petani ...
bagaimana mungkin hajatmu kan tercapai
Sedang duri itu kian besar dan tajam
Terus meraja ... membisa
Mencipta awan kelam
Memberat dan menghitam
Melakar kengerian di kotak ingatan
Melukai walau tidak dihampiri.

Maafkan akar ini kerana sudah tidak mampu menggenggam benih sayang yang  kau tanam ...





-maafkan kami bonda-


-peace-
>__<


Monday 18 September 2017

Fikiranku ... aku biasa-biasa

Rasaku ...

Bosan ...
Untuk sempurna dalam dunia yang tidak sempurna!

Aku manusia biasa
Yang terlalu biasa-biasa
Tidak lebih dari biasa
Untuk aku merasa biasa dengan kesempurnaan luarbiasa
Yang biasa kau tuntut!!

Haishhhh!!!!


-peace-
>__<

Tuesday 12 September 2017

Lukisannya ... I'm ur daughter

Lukisannya ... I'm ur daughter

Lukisan anakandaku ... dikongsikan denganku melalui instagram.😊
Semakin hari dia semakin sama denganku. Malah kuharap akan lebih baik daripadaku dari segi ...
*kecekalan mengharungi ujian hidup
*lebih hebat semangat juang utk menegakkan kalimah Allah di muka bumi ini
*tabah dan sabar

Moga dia dikurniakan kehidupan yang bahagia dan ceria disepanjang hidupnya dunia hingga akhirat.

Menjadi isteri solehah kepada seorang pejuang agama
Menjadi ibu kepada pejuang2 agama.
Sememangnya itu janjiku kepada Penciptaku ... ketika mereka ku pohon dariNya.


-peace-
>__<

Saturday 9 September 2017

Lukis jea ... bertabahlah wahai sipemilik hati ...

Lukis jea ... hari ini ... pertemuan ini ... menjadikan kita manusia yang peka rasa
dan
pertemuan hari ini memberi makna berbeza bagi tiap diri
Ada ketika ... rasa itu patut diluahkan
Dan
Di ketika lain harus ditelan agar kebaikan itu bisa bersinar

Secebis ingatan buat diri
Ada baiknya kamu menutup mulutmu dari berkata2 ketika marah ...
Seringkali tutur yang zahir dari kedua bibir yang diselubungi amarah itu amat bisa dan tidak mampu dilupa.

Selalu kita punya dua pilihan
Bersabar atau musnahkan segalanya

Dan aku pilih sabar
Kerana
Aku selalu percaya ... sabar itu indah
Walau keindahannya hanya terlahir dari kepayahan memadam api kemarahan yang membakar jiwa sendiri.

Buat kamu ...
Barangkali apa pilihanmu?



-peace-
>__<

-bertabahlah wahai sipemilik hati-

Friday 1 September 2017

Lukisan ... mengapa mendabik dada?




Lukisan dan fikiranku ...

'Bila berada di atas jangan lupa memandang ke bawah'

Hakikatnya ...
Langit itu tiada penghujung
Mana mungkin dapat dicapai kerana hadirnya langit itu hanya untuk yang di bawah.

Dongak dan merenung
Atau
Terbanglah setinggi mana
Hulurkan tangan dan capai langitmu
Pasti yang kau temui
 Ruangan luas tiada sempadan

Lalu di mana langitmu?


Fitrah alam sedia menunjuk ajar
Berpijaklah di bumi nyata
Agar hidup tidak di awangan
Biar kaki pejal berat terpasung
Kerna
Jatuh itu tidak pernah ke atas


Lalu mengapa mendabik dada?
Hidup menongkah langit
Sedangkan kudrat secangkir cuma
Sisa usia kian tertiris
Terkakis dek dentingan masa

Ayuh!
Tentukan  garis langitmu.
Barulah terbangmu terarah langkahmu tersusun
Dan masa tidak terbazir mengejar yang sia-sia




¥¥¥¥¥¥¥¥¥¥¥¥¥¥¥¥¥¥¥¥¥¥¥¥¥¥


Aku melihat ... dan aku menilai ...

Aku melihat
Bagaimana seorang itu menjadi alpa
Menjadi tamak dan hilang punca ... hilang arah
Sesat dan cuba menyesatkan
di laluan terang benderang!!!

Keliru dan mengelirukan
Lupa dan buat-buat lupa
Sengaja menebalkan muka
Tanpa sebal dan bersahaja ...


Demi kepuasan
Menjadi haloba untuk sebuah nama dan nama ... dan nama
Yang tiada titik henti.

Benarlah ... segala di dunia adalah ujian
Sama ada kamu mampu melepasinya
Atau terkandas dalam pujian
...yang juga adalah ujian

¥¥¥¥¥¥¥¥¥¥¥¥¥¥¥¥¥¥¥¥¥¥


Dan aku?
Lalu kuarahkan pandanganku pada diri
Dan aku berbuat apa?






-peace-
>__<

Sunday 27 August 2017

Fikiranku ... ingin kuluahkan

Lukis jea ... hanya padaMu

Ingin kuluahkan ...

Siapa aku?
Watak kubawa?
Apa yang telah ku sentuh?
Dunia mana telah kucorak?
Benih apa yang kutanam?
Kasih mana telah kuhulur?
Tangis siapa telah kureda?

Mana arahku?

 Seorang pendidik?
Mendidik anak bangsa?
Atau diriku sendiri?
Agar
Tabah mengharungi suratan takdir?
Teguh menggalas amanah tertulis?


Di sebalik ujian nan tersurat
Menyerlah dalam kelam nan tersirat
Kejian atau pujian bermuka
Mungkin juga ketulusan dari hati
Menjadikan aku seperti aku
Hari ini ... seorang aku
Punya cita dan keinginan
Lebih banyak terpendam dari terzahir

Ironi
Setelah sedar itu menyedarkan
Dan hajat itu menghajati
Hidup bukan untuk mati
Juga tidak berhenti di sini

Bukan untuk nama
Bukan menunjuk kuasa
Apatah membukit emas

Tapi sebuah amanah yang tergalas



***************************

Inilah aku dan sebahagian kisahku ...
Yang ku gelar pendidik
Antara cebisan buah fikir yang kuterjemahkan dalam baris ayat ...

Atas kebimbangan
Lalu kugarap
Buat generasi pewaris bangsa ... yang kuharap bakal menjulang agama terjulang
 meletakkannya di puncak matlamat
dunia dan kehidupan

*************

Cebisan kisahku ... cebisan rasaku ... cebisan semangatku
Setelah yang harus berbicara terus diam membisu
Apabila sekolah syurgaku tersenarai dalam kategori sekolah hotspot Negaraku

Intipati komentar ku
Kutitip dalam medium rasmi 'syurgaku'

Alhamdulillah ... saya amat gembira dengan ketelusan itu
( merujuk senarai sekolah2 hotspot Negaraku)

Gembira kerana ... ada pihak yang sedar /alert

1. Sahsiah remaja melibatkan salahlaku berat seperti penzinaan berada pada tahap yang amat membimbangkan.
Penyalahgunaan bahan terlarang ... ketum ... ganja ... dadah sudah semakin biasa di kalangan remaja.

2. Peg. Perhubungan Sekolah akan kerap ke sekolah tanpa perlu dijemput , setidak2nya sebulan sekali.

3. Termasuk dalam senarai sekolah hotspot atau setelah isu sekolah hotspot menjadi viral , barulah semua orang faham ... priority utama sekolah adalah "Pembangunan Sahsiah Murid"

Tidak berguna jika kita;
-melahirkan murid bijak pandai tapi buruk sahsiah ... kelak mereka dewasa menjadi pemimpin yang merosakkan negara

Lebih tidak berguna;
-Jika kita melahirkan insan yang lemah pemikiran dan buruk sahsiahnya ... maka pasti akan hancur negara dan bangsa.

Berpegang pada prinsip ; 'nyatakan yang benar walaupun pahit , maka saya menulis seperti di atas


Komen ikhlasku dlm medium rasmi 'syurgaku' ... dan ... mungkin ramai yang tidak sependapat denganku
Tersinggung dengan rasa syukurku
Malu atas kegembiraanku

Apa yang ingin aku ketengahkan?
Apa yang kusyukuri?

Sekurang2nya syukurilah
Ada mata yang masih celik
Ada otak yang masih berfikir
Ada hati yang masih merasa
Anak bangsa kita menuju binasa
Berzina sudah biasa
Adab entah ke mana
Dadah dan gengsterism semakin beraja
Agama kian dipersenda
Miskin tiada harta
Merempat tapi masih tertawa


Teman ... sahabat ... pembaca budiman ...
Hakikatnya , rata2 pewaris bangsa kita amat tenat
Terdedah dalam pelbagai ancaman
Sedar mahupun tidak
Dunia tanpa sempadan dan batas
Menjadikan hidup mereka semakin sukar

Aku melihat ... dari mata pendidikku
Bagaimana anak bangsaku diancam dan terancam
Dek dinding yang membelenggu
Nan menghimpit dari segenap arah
Dengan pelbagai isu dan persoalan

Sedangkan
Insan penggalas amanat
Berpolitik sepanjang masa
Sibuk memburu kuasa
Sibuk mengejar nama
Yang buruk lagi disorok
Yang lemah terus tertindas
Yang alpa ... terus binasa
Tanpa sedar ... dalam senyuman
Menggenggam janji
Mengejar mimpi
Dari omongan kosong
Bak renyai hujan ... dingin dan nyaman
Kan hilang jua
Setelah mentari terik memerit perit
Dan tanah subur telah kontang ...



-peace-
>__<



Monday 7 August 2017

Lukis jea ... redhakan songsang rasa itu

Lukis jea ... songsang rasa

Beberapa hari lepas aku memberi kata semangat buat seorang sahabat yang hidupnya sering saja dilanda badai  ... entah mengapa ,

Aku sendiri amat terkesan dengan kata2 itu

"Ada ketika Allah menghadirkan insan2 tertentu dalam laluan hidup kita ... bukan untuk berjalan seiringan dengan kita ... tetapi untuk menjadi sejarah dan pelengkap hidup. Agar kita belajar erti redha dan hanya menggantungkan harapan kepadaNya"

... dan sejarah itu bagai ukiran indah terpahat mati
Kekal dan abadi di situ

Doaku ...
"Ya Allah ... kuatkan aku dan jangan Kau biarkan nasib diriku ditentukan oleh diriku sendiri walau sekelip mata atau kadar masa yang lebih pendek dari itu ..."






-peace-
>__<
'DemiislamkeranaMuYaAllah'


Friday 4 August 2017

Lukis jea ... tanyakan pada diri ...

Lukis jea...
Pernah kau tanyakan pada diri ...
Mengapa ,
Hutanmu tandus di limpahan air yang menyubur?

Wahai pemegang amanah ...
Di bumi yang bergelimpangan khazanah ini
Mengapa masih ada yang merempat
Tidur tidak bertempat?

Menggadai masa ...
Menggadai ilmu ...
Menggadai harga diri ...
Menggadai agama ...
Menggadai segala ...
Menggadai anak bangsa ...

Jawablah kelak di hadapan tuhanmu



-__-


Thursday 27 July 2017

Lukis jea ... bermula dengan diri

Lukis jea ... bermula dengan diri




Fikiranku ...
inilah kami, guru2 unit pembangunan sahsiah murid ... saling mengingatkan dan saling menyokong satu sama lain ... lebih2 lagi dalam dunia hari ini , apabila warga pendidik tidak lagi dipandang ... tiap langkah jangan sampai pincang ... alamat ke balai atau ke mahkamah sudahnya ...

Pernah tanyakan pada diri?
Andai kami sudah tidak peduli ...
Biar anak2 dibuli rakan sendiri ...
Biar anak2 ponteng sesuka hati ...
Biar anak2 merokok tiada henti ...
Biar anak2 tidak solat apatah lagi mengaji ...
Belum lagi mencuri harta dan kehormatan teman sendiri ...
Bakal perosak dan najis masyarakat

Siapa pula yang mahu ambil peduli?


Hakikatnya ... 
Kami warga yang peduli...
Anak orang tiada sen di saku
Anak orang tiada pen dan buku
Anak orang tiada tempat mengadu
Anak orang terpaksa bekerja sara keluarga
Cari besi buruk di jalanan 
Atau ke bengkel2 yang mahu guna orang
Ada juga kedai makan cuci pinggan

Seribu satu macam kisah anak orang ...


Dan kami sering bertanya pada diri ... apa lagi boleh dilakukan untuk menangani ancaman yang menimpa anak orang hari ini
Yang akhirnya menjadi  ancaman masyarakat dan negara

Pertanyaan dibenak
Bagaimana untukku wariskan masyarakat harmoni ... dunia damai buat anak cucu cicit

Agar kelak ada jawapan untuk kupersembahkan
di hadapan Tuhanku

Dan 

Sengaja aku kongsikan kerisauanku di sini agar masyarakat bukan pendidik di luar sana ... juga  tahu ancaman yang kita hadapi 
dan  
kuharap agar para ibubapa dan ahli masyarakat tidak kira di aras mana kamu berada ... ayuh, sama-sama kita suburkan 'budaya mendidik' dan sama-sama menyinsing tangan, memerah idea dan bersatu dalam menzahirkan masyarakat idaman seperti digariskan tuhan ... Allah (swt).

-peace-
>__<




Saturday 22 July 2017

Lukis jea ... analogikan kehidupan

Lukis jea ... analogikan kehidupan


"Anologikan kehidupan ini"
Bagaikan laluan panjang yang penghujungnya adalah suatu misteri.

Jangan pernah ditangisi tiap langkah yang ditinggalkan
Atau mungkin langkah yang meninggalkanmu jauh di belakang
Dan
Usah kecewa bila terasa dilupakan
Kerna 'lupa' itu sendiri adalah penawar


-peace-
>__<



Thursday 13 July 2017

Lukis jea ... tuntun aku Tuhan

Lukis jea ... perjalanan

Teringat satu lirik lagu di zaman remajaku ...

'Walau kita dihadapkan
Dengan pelbagai pilihan
Mengapa sering terjadi
Pilihan tak menepati

Hingga amat menakutkan
Menghadapi masa depan
Seolah olah terhapus
Sebuah kehidupan yang kudus

Sesuatu yang tak disangka
Seringkali mendatangi kita  ....

Hrmm ... mohon aku agar sentiasa di dalam lindungan dan bimbinganMu Tuhan
Sucikanlah hatiku
Pautkan hatiku mutlak padaMu
Hingga yang lain tidak lagi bermakna
Izinkan agar ketulusan dan keikhlasan itu
Menjadi milikku
Hingga terjana dalam tiap gerak langkahku
Menghiasi tutur bicaraku

Tuntun aku Tuhan

-peace-
>__<




Thursday 6 July 2017

Lukis jea ... bila mati menuntut janji

Lukis jea ...
"Bila mati menuntut janji
... dan
Kesedihan bukan untuk diratapi"


-Bertabahlah wahai hati-



Setiap pertemuan pastikan ada saat perpisahan
Belajar menghargai setiap pertemuan yang ditakdirkan
Kamu, aku dan mereka saling melengkapi coretan kisah perjalanan kehidupan satu sama lain dalam dunia yang sementara ini.

Terima kasih kerana hadir dalam sejarah hidupku.
Terima kasih kepada yang masih bersamaku mengharungi denai hayat ini.
Terima kasih juga kepada yang bakal mewarnakan hari2 depanku ... andai masih ada sisa waktu.


Suburkan kebaikan , sebarkan kasih sayang


-peace-
>__<



Tuesday 6 June 2017

Lukis jea ... teruskan perjalanan

Lukis jea ... teruskan perjalanan

Lama sangat rasanya aku tak melukis.
Adapun hari tu masa jaga periksa pertengahan tahun.
Lukis gambar anak murid yang langsung tak bersungguh menjawab soalan peperiksaan ...

kalaulah dia orang tahu, cikgu bersengkang mata menyiapkan soalan2 peperiksaan tu.
Aku sendiri ada 4 set soalan yang perlu disiapkan...
complete dengan Jadual Spesifikasi Item dan Skeema Jawapan.

Ingat senang ke nak buat soalan. Lebih2 lagi kalau setakat baru belajar tak sampai 3 bab tapi nak buat soalan ikut format SPM!.

Itu belum bab menanda ... fizik ting 4 , 3 set ... fizik tingkatan 5 , 3 set ... sains tingkatan 4 ... 2 set, walaupun 2 set tapi untuk 2 kelas ...

Cuba kira berapa bundle skrip jawapan nak ditanda!

Itu tak termasuk kerja2 lain...laporan2 aktiviti/program, minit2 mesyuarat ....

Cuti 2 minggu tapi kerja dibawa balik boleh tahan banyaknya ... 3))
Hanya golongan guru dan yang kahwin dengan guru sahaja akan faham ...
(Hrmm...harap tak nyesal kahwin ngan guru '3))

Inilah hasilnya ... teruskan perjalanan

Hidup ini suatu perjalanan.
Di mana dan bila kita kan sampai ke penghujungnya ... tetap merupakan satu rahasia ... misteri sulit yang tersimpan dalam pengetahuan yang Maha Mengetahui.

Andai penghujung jalanku sudah hampir ...
Maafkan aku ya teman , sahabat ... juga semua yang hadir atau pernah hadir di hati dan dalam hidup aku ini.

Juga maaf ya buat semua yang pernah kusakiti sama ada sedar mahupun tidak.

Sebolehnya aku sememangnya ingin sekali membahagiakan dan berharap aku menjadi punca sesiapapun tersenyum bahagia.
Tapi ... mana mungkin begitu.
Sifat kita sebagai manusia ... penuh kekurangan dan dalam keterbatasan waktu  dan umur yang kita miliki ...

Sahabat ... teman ...
Andai tiba saat aku pergi ...
Doakan aku agar pergiku dalam redhoNya.
Biar aku kembali kepada penciptaku dalam keadaan paling
Polos mengharap hanya cintaNya.

Setia dan tidak sekali2 pernah menduakanNya ...
Dalam dakapan kasih dan rahmatNya
Allah yang Esa ... tuhanku yang satu.

-peace-
>__<

Thursday 25 May 2017

Fikiranku ... Terima kasih Tuhan ...

Terima kasih Tuhan ... kerana merantaiku dengan cintaMu
Mengajarku erti bahagia
Menjadi ... manusia
Dan manusia ini ... hambaMu ...

Hari ini ...
Hari ini adalah hari pelbagai makna
Adalah hari aku ditarbiah oleh Penciptaku akan pelbagai rasa.
Adalah hari aku belajar mengerti akan  erti  sebuah erti ... tanpa rasa prejudis

Hari ini ...
Aku dibangunkan tika jam belum mencecah 3:30 pagi untuk mentafsir erti syukur ...
Untuk menyingkap di sebalik segala yang tersurat
Menyelam di dasar yang tersirat ... dari garis cerita
yang terukir pada  raut-raut wajah ...
yang terpahat pada senyuman yang terbatas
Maka aku diajar ...
Untuk bangun menitiskan air mata demi memahami penderitaan dan perjalanan hidup insan lain
dan aku diajar untuk menjadi hambaNya yang lebih memahami ...
Erti sebuah kehidupan ... erti sebuah pengorbanan yang tidak pernah bertepi

Hari ini  ...
aku pelajari ... nilai yang tidak kubaca dari buku
tidak kuraih di gedung ilmu
tidak kuwarisi dari guru

Hari ini ...
Aku pelajari ... erti sebuah kasih ...
kiranya ...
Kasih sayang tulus tidak mengenal rupa
Kasih sayang tulus tidak bersyarat
Kasih sayang tulus tidak pernah meminta balas

Hari ini aku pelajari ...
bahawa hidup ini terlalu singkat
dan aku terlalu alpa  dan hanyut dalam arus hidupku
Sangkaku ... sudah cukup besar mujahadahku
sedang aku sendiri selalu terbabas
melangkaui batas janji yang ku sempadankan
buat mencari redha tuhan

Hari ini aku pelajari ...
bahawa tanggung jawabku terlalu besar
sedang aku ... masih aku
dan hatiku bagai direntap apabila dua tangan itu menyatu ...
Egoku bagai direnggut ...
Bila lafaz itu dizahir ... tulus dari hati ... tanpa fikir ... tanpa ragu
Terzahir dari kasih ... yang tidak berbelahbagi
"Walau burukpun dia ... dia tetap adik saya ... dan kami tidak mahu berpisah!!!"

dan hari ini aku pelajari ... untuk menjadi insan yang lebih memahami


Terima kasih Tuhan ... atas pelajaran hari ini

#Ojai25Mei 2017#

-peace-
>__<


Sunday 21 May 2017

Novel 2 : Selepas Hujan ... Bab 27

Bab 27        Pertemuan kali ini
Sahabat yang baik pasti kan sentiasa mendoakan kebahagiaan sahabatnya tanpa syarat.
Tanpa syarat ...
Tanpa kepentingan ...
Tanpa kehendak ...
Cuma satu
Melihat sahabatnya tersenyum bahagia
Di dunia membawa ke syurga



            Setelah berada lebih lima jam di dalam bas ekspress yang dinaikinya sejak semalam , Ziah akhirnya sampai ke destinasinya. Ziah tercari-cari kelibat Diah. Akhirnya … 
“Ziah!!”.
“Diah!!”
Kedua sahabat itu saling berpelukan., Ziah berasa benar-benar lega lebih-lebih lagi setelah terpandangkan wajah sahabatnya itu. Wajah sahabatnya itu diamati betul-betul , “Diah , kau tetap macam dulu , tidak berubah”. Puji Ziah.
“Heee … kau tu pun apa kurangnya”. Balas Diah sambil memandang Ziah. Memang sababatnya itu masih tetap cantik seperti dulu. Wajah yang sentiasa ayu dan tenang itu ditatapnya lama.
“Wow! Apa pandang lama-lama ni. Naik seram aku dibuatnya”. Kata Ziah sambil memetik – metik jarinya di depan muka Diah.
Diah tertawa , “Rindu!”. Jawabnya.
“Macam mana perjalanan?”. Tanya Diah pula , gembira benar kerana dapat bertemu semula dengan sahabat baiknya ini setelah lebih setengah tahun berpisah.
“Naik bas ekspress lebih lima jam .Huh! ... sungguh memenatkan. Naik kematu punggung aku ni. Ni hah ,tengkuk pun dah sakit asyik terlentuk je!”. Ziah merungut sambil memegang tengkuknya .
“Huh ... buat cita sedihlah tu!”.  Diah memuncungkan bibirnya. Tidak mahu mengakui bahawa dia telah menyusahkan sahabatnya itu.
“Amboi ... cantiknya muka!” . Ziah menarik bibir Diah , sama seperti dulu-dulu juga. Dia memang suka menarik bibir Diah yang sengaja dimuncungkan setiap kali dia tidak berpuas hati.
“Woiii ... sakitlah!!”. Diah menolak tangan Ziah.
“Ha ha ha … padam muka!”. Kata Ziah sambil tertawa. Tangan Diah dirangkulnya dan mereka terus berjalan beriringan.
“Heh, nak bawak aku ke mana?”. Tanya Ziah apabila tangannya ditarik.
“Mana lagi , mahligai aku yang dah kusam tu lah!!”. Balas Diah sambil tersengih.
“Aii ... lain macam je bunyinya!”. Tegur Ziah , memandang Diah dengan penuh tanda tanya.
“Hmm ... kita cita kat rumah nanti je lah. Errr ... macam mana keadaan abang Anip kau tu sekarang?”. Giliran Diah untuk bertanya.
“Huhhh ... alhamdulillah , dia semakin pulih. Sekarang ni aku bolehlah  menarik nafas dengan tenang. Sebenarnya masa baru keluar dari hospital dulu , abang Anip nampak macam semakin pulih. Tapi entah mana silapnya tak semena-mena , lepas seminggu  di rumah keadaannya tiba-tiba bertukar menjadi semakin teruk. Selain fizikalnya yang semakin tenat , abang Anip juga selalu didatangi oleh mimpi yang bukan-bukan. Tidurnya tidak pernah lagi aman. Kesian dia. Aku pun hampir berputus asa , dah tak tahu apa nak dibuat lagi ... hanya berdoa dan berserah kepada Allah yang Maha Esa. Namun akhirnya aku terfikir sendiri yang ini  semua adalah dugaan dariNya. Juga sebagai ujian untuk  menguji sejauh mana cintaku padanya. Alhamdulillah , akhirnya aku berjaya mengumpulkan semula kekuatan. Kemudian, barulah aku dapat  memainkan perananku sebagai seorang isteri dengan lebih baik untuk membantu abang Anip”. Jelas terpancar kesyukuran di wajah Ziah tatkala teringatkan segala suka duka yang telah dilaluinya bersama suami tercinta.
Diah diam ... terasa dirinya benar-benar lemah berbanding Ziah. Rasa bersalah pula menyebabkan Ziah terpaksa berjauhan dari suami yang dicintainya.
“Kau tentu sangat cintakannya , kan Ziah?”. Tanya Diah dengan wajah polos memandang Ziah.
“Sepenuh jiwa ragaku”. Jawab Ziah tanpa ragu.
 Diah tersenyum mendengar jawapan Ziah itu. “Masih adakah cinta sejati dalam dunia ini?”. Fikirnya sendiri. Diah terus tertawa apabila melihat Ziah menaikkan keningnya beberapa kali sebelum menjulingkan matanya ke arah Diah.
“Ziah ... maafkanlah aku. Kerana aku kau terpaksa berjauhan dengan abang Anip”. Diah menundukkan kepalanya. Kesal kerana telah membebankan sahabatnya itu dengan masalahnya pula.
“Eh , apa pulak. Abang Anip yang menggalakkan aku ke mari. Dia tahu yang kita ni dah macam adik beradik. Susah kau susah aku jugak. Tak gitu?”. Balas Ziah , cuba menghilangkan rasa bersalah Diah. Menitis air mata Diah mendengar kata-kata Ziah , tiba-tiba sahaja dia jadi begitu sensitif.
“Bertuahnya kau dapat seorang suami yang sangat memahami”. Balas Diah sambil mengesat air matanya.
“Eh , kenapa kata begitu. Kau tu sebenarnya yang sangat bertuah dapat lelaki macam Zuraimie , ingat di masa kau susah dahulu  … siapa yang sentiasa ada di sisi kau?. Aku sahabat baik kau nipun tak sanggup berkorban sebagaimana yang telah dilakukannya. Diah hargailah dia. Dia itu terlalu sayang dan cintakan kau. Kau kena sedar itu”. Ziah mengingatkan Diah akan pengorbanan yang telah dilakukan Zuraimie kepadanya.
 Diah menyambung tangisnya , lebih teresak-esak mendengar kata-kata Ziah itu , memang tidak dapat dinafikan Zuraimie adalah penyelamatnya , Zuraimie telah banyak bersabar dan berusaha bersungguh-sungguh untuk mendapatkan cintanya. Zuraimie yang tetap sanggup menerimanya walaupun dirinya kotor dan penuh dosa. Tetapi mengapa setelah hatinya terbuka untuk Zuraimie , segalanya berubah. Zuraimie yang dulunya adalah penyelamatnya kini  telah pandai menyakitinya , Zuraimie yang sangat mencintainya kini curang kepadanya , Zuraimie kini sudah tidak seperti dulu , Zuraimie kini sudah pandai berbohong!. Diah terseak-esak mengingatkan semua itu.
“Alahh ... ni yang aku malas ni. Tak payahlah nak nangis-nangis. Ingat, nangis takkan menyelesaikan masalah!.Hah! mana kereta kau? Ke kita nak berjalan kaki saja?”. Tanya Ziah , sengaja menukar tajuk perbualan. Diah tersenyum juga mendengar ocehan Ziah. Sudah lama benar dia tidak mendengar leteran Ziah begitu. Rindu dia kepada bebelan dan ocehan Ziah begitu.
“Tu hah ... jomlah!”. Kata Diah sambil mengesat airmatanya lalu segera  menarik tangan Ziah ke arah sebuah kereta Toyota Corolla hitam . Sebaik sahaja mereka menghampiri kereta tersebut , seorang lelaki berpakaian serba putih  , siap bertopi turun dari bahagian pemandu lalu dengan segera membukakan pintu belakang Toyota Corolla hitam kepada dua wanita ini.
“Bahari ... balik terus ke rumah”. Arah Diah.
“Baik puan!”. Jawabnya tanpa soal lalu kereta terus dipandu laju ke destinasi yang diarahkan meninggalkan perhentian  bas Pekeliling.
“Baik puan!”. Ajuk Ziah perlahan sambil mengenyitkan matanya kepada Diah. Diah hanya tersenyum.
“Kau tinggal di mana sekarang?”. Tanya Ziah pula.
“Masih tinggal di Bangi tapi tidak satu rumah ngan keluarga mertua aku lagi. Tinggal di rumah sendiri”. Jawab Diah.
“Dulu ... tinggal di rumah mertua?”.Tanya Ziah lagi. Diah hanya menganggukkan kepala.
“Macam neraka dunia!”. Bisiknya perlahan ke telinga Ziah.
“Hushhh! Tak baik kata begitu!. Ibu dan bapa mertua tarafnya sama saja dengan ibu dan bapa kita sendiri. Wajib kita muliakan dan menyayanginya sama seperti kita muliakan  dan sayangkan ibubapa kita sendiri. Malah , kalau jodoh kita dengan suami tak panjang sekalipun mereka tetap menjadi ibubapa mertua kita selamanya. Taraf yang dibawa sampai ke akhirat”. Tegur Ziah , tidak suka mendengar komen Diah tentang mertuanya.
“He he he “. Diah tertawa mendengar kata-kata Ziah itu. Ziah terkejut dan tidak faham dengan reaksi Diah. Wajah Diah ditatapnya.
“Yelah , kau suruh aku muliakan dan sayang mereka macam mak bapak aku sendiri padahal mak bapak aku kan dah lama buang aku. Aku ni anak terbuang. Merempat dan sudah tak punya siapa-siapa. Maka semestinya aku ini sudah tidak layak untuk memuliakan dan menyayangi mereka , baik ibubapaku sendiri atau kedua mertuaku. Lagipun aku dah lupa cara nak memuliakan dan menyayangi mereka!”. Terang Diah.
“Laaa … ke situ pulak. Sepatutnya , kalau ibubapa kandung kau dah tak terima kau , lagilah kau patut muliakan dan sayangkan ibubapa mertua kau”. Jawab Ziah selamba.
“Huh?”. Keluh Diah. Tidak disangkanya Ziah akan berkata begitu.
“Huh?”. Ajuk Ziah , memandang Diah dengan wajah yang serius , sengaja kening kanannya dijongketkan ke atas.
“Betul Ziah , aku bukan nak buat cerita. Memang betul itu yang aku rasa. Tinggal dengan ibubapa mertua , macam betul-betul tinggal di neraka. Neraka dunia!!”. Diah mengulangi kata-katanya dengan keras. Bahari seperti terganggu mendengarnya. Ziah segera menyinggung lengan Diah sambil memuncungkan mulutnya ke arah Bahari. Diah segera menutup mulutnya. “Uppss!!”.
Ziah hanya menggelengkan kepalanya , “Teruk kawan aku ini”. Fikirnya.
Ziah akhirnya mengambil keputusan untuk mendiamkan diri di sepanjang perjalanan itu. “Diah , aku ngantuklah ... nak tidur ... nanti dah sampai kau kejut ye”. Sengaja memberi alasan begitu. Diah mengangguk.  Perjalanan yang mengambil masa satu setengah jam itu cukup merehatkan bagi Ziah. Setelah semalaman terhengguk-hengguk di dalam bas , Ziah kini boleh melelapkan matanya dengan tenang dan aman. Toyota Corolla Altis yang dipandu Bahari berjalan lancar dan mampu  menyerap hentakan dengan cukup baik.
“Memang berkualiti kereta keluaran Jepun ini. Tentunya kereta Malaysia juga akan jadi sehebat ini satu hari nanti”. Fikir Ziah sebelum benar-benar terlena ...

 Di luar tembok dibarisi oleh  Ixora javanica ...
“Ziah! Ziah! Dah nak sampai ni. Bangunlah!”. Kejut Diah , sambil menggoncang perlahan bahu Ziah. Ziah terkebil-kebil  membuka matanya.
“Errghh ... ngantuknya!. Dah sampai ke?” . Tanya Ziah sambil menahan nguap mulutnya.
“Ye ... dah sampai rumah aku!. Tak payahlah kau asyik nak jadi ‘sleeping beauty’”. Diah berseloroh  , Ziah pula hanya tersengih mendengar kata-kata Diah itu.
“Sleeping beauty?. Beauty?”. Kata Ziah di dalam hatinya , tanpa sedar Ziah mengusap – ngusap pipinya sendiri.
Diah bangga menunjukkan  rumah banglo dua tingkat yang dicat hijau. Dinding temboknya pula dihiasi batu bata merah asli yang disimen cantik. Di halaman rumah pula hidup subur dua rumpun pinang merah. Palma hiasan yang mempunyai nilai astetika yang tinggi. Di luar tembok indah dibarisi oleh  Ixora javanica  yang biasanya dipanggil dengan panggilan pokok jejarum. Bunga kuning jingganya  amat menarik hati. Tidak cukup dengan itu , di penjuru kiri halaman rumah itu dilengkapi sebuah kolam ikan yang sederhana besarnya. Batu-batuan sungai disusun sebegitu rupa mewujudkan suasana air terjun yang begitu indah sekali. Bunyi deraian air jatuh , liuk lengguk ikan talapia Jepun berenang sungguh mengasyikkan ...    
“Wah ... cantiknya rumah kau Diah!” . Puji Ziah , ikhlas. Terpaku dia melihatkan keindahan bahagian luar rumah Diah itu.
“Ye ke? ... Terima kasih!. Eh , marilah kita masuk. Kau tentu dah penat. Bolehlah mandi dan berehat dulu. Nanti dah hilang penat bolehlah kita bercerita”. Ajak Diah.
“Hmm ... yelah. Aku memang perlukan bilik air sekarang ni!”. Ziah merenyih sambil tersenyum. Tangannya memegang perut.
“Eeee … ada-ada sajalah kau ni”. Balas Diah.
Pucuk dicita ulam mendatang ... Ziah membersihkan dirinya lalu berehat seketika di atas sofa panjang yang tersedia. Bilik tetamu yang didiaminya ini sungguh menyegarkan , cukup dengan kelengkapan penghawa dingin , katil , almari solek dan tidak ketinggalan jambangan bunga ros hidup menambahkan lagi seri bilik itu.
“Mewahnya hidup kau Diah”. Kata hati Ziah lalu membandingkan segala yang dimiliki oleh Diah dengan milikannya. “Hmm … dah lama aku tak merasa duduk di tempat ber’aircond’ macam ni. Duduk di kampung , mengajar di pedalaman. Manalah nak ada kelengkapan serupa ini. Tapi aku tetap bahagia. Ya , aku bahagia dan bersyukur dengan segala yang kumiliki. Rumah kayu yang sudah berzaman , sungai yang sentiasa deras airnya , daun-daun telipuk yang melambai-lambai bersama arus , ikan-ikan yang sentiasa lapar , kebun sayur yang menghijau , anak-anak ayam nakal berlari – lari di reban dan yang lebih utama , punya keluarga mertua dan seorang suami yang sangat mencintaiku dan sangat aku cintai. Sungguhpun terlalu sedikit yang diberinya , itu sudah cukup membuatkan hidupku ini bahagia ”. Kata Ziah kepada dirinya sambil membayangkan wajah abang Anip yang dirindui. Tidak sampai sehari  berpisah sudah menggunung rasa rindu di kalbu. Terbayang-bayang olehnya senyuman manis nan menggoda abang Anip apabila minta dimanjai , terhidu-hidu bau minyak wangi atar yang sering dipakai abang Anip tiap kali mahu solat dan terngiang-ngiang suara abang Anip memanggil-manggil dari atas rumah. “Huh! Baru sehari berpisah dah anagu sebegini!!”. Keluh Ziah sambil meraup wajahnya beberapa kali.



Aku Rindu Kamu

Aku rindu kamu
Kulekapkan tanganku di dada
Utuh rasanya hadirnya  cintamu

Raungan jiwa mengharap wujudmu nyata
Ingin memeluk sayang mesra jasadmu
Nak ku dengar tiap helaan nafas nyawa
Didakapan rindu bagai nyata  bersatu
Usaikan dendam lelah kasih mendamba

Kekasih awal dan akhir utuh selamanya
Aur dan tebing kian akrab menjadi  satu
Manusia dan permainan angan diminda
Umpamakan sayangku buatmu selalu


Lakaran Hati  Ziah yang merindu


Ziah melakarkan dan mengalunkan puisi cinta di kajang kalbunya , khas untuk suami tercinta. Sambil mindanya berdendang mesra , terbayang olehnya wajah abang Anip yang tampan menawan tatkala kali pertama tangan mereka bersatu dalam perarakan gilang gemilang menyambut menantu di Pagan Sena dahulu.
“Aku sayang kamu!”
“Aku sayang kamu!”

Kata-kata keramat yang bagaikan sudah sebati dengan jiwanya , sentiasa bermain di bibir mindanya. Akhirnya bagaikan orang mengantuk disorongkan bantal , bersama cinta abang Anip yang sentiasa segar diingatan , Ziah melelapkan matanya sekali lagi. Namun tanpa Ziah ketahui , ada yang langsung tidak dapat melelapkan matanya sejak semalam. Dia benar-benar bagaikan pungguk merindukan bulan , mengharap  waktu berlalu pantas  agar sang isteri akan segera kembali berada di pangkuan … abang Anip sedang amat merindu!