Yang terindah
Lambat lagi ...
Perhimpunan pagi itu sama saja seperti perhimpunan pada
pagi-pagi yang lain , Wadi masih juga lambat. Sekali lagi dia terpaksa
berbaris di barisan pelajar yang lambat.
Berbaris dengan wajah masam mencuka , mendengar segala teguran dan nasihat
daripada guru bertugas. Tidak cukup dengan guru bertugas , guru disiplin ,
kaunselor dan kekadang PK HEM pun nak bercakap juga. Sayangnya usaha dan niat
baik warga pendidik ni umpama ‘mencurahkan air di daun keladi’. ‘Bicara’ mereka
tidak ubah seperti ‘leteran makcik-makcik’ yang pada pendengaran Wadi tiada
bezanya seperti bertih jagung
meletup-letup apabila dipanaskan!
“Baiklah , sekian sahaja perhimpunan pada pagi ini. Pelajar
yang lambat diminta tunggu manakala pelajar lain boleh naik ke kelas dalam barisan
dengan diiringi oleh pengawas. Terima Kasih”. Ucap pengawas bertugas mengakhiri
perhimpunan pagi itu. Maka bergeraklah barisan pelajar kelas demi
kelas hingga akhirnya yang tinggal di tapak perhimpunan adalah satu barisan
pelajar yang lambat.
Guru disiplin , cikgu Halim memandang seorang demi seorang
wajah pelajar yang masih berdiri dengan wajah tertunduk memandang lantai.
“Janganlah cari pasal nak ‘buat muka’ ngan cikgu ni. Tak pasal-pasal kang kena
berdiri kat sini sepanjang hari. Mau garing dibakar matahari!”. Fikir mereka.
“Hari-hari , muka yang sama!. Awak tak serik-serik jugakan.
Ok , hari ni siapa ada alasan yang membolehkan saya lepaskan dia. Cakap
sekarang!!”. Herdik cikgu Halim.
Perlahan-lahan satu tangan diangkat lurus ke atas , “Saya
cikgu”. Kata Ashyraf ragu-ragu.
“Hah! Kamu Ashyraf. Apa alasan kamu?!”. Sergah cikgu Halim.
“Err ... err hari ni
saya sakit-sakit perut cikgu. Pagi ni saja sudah tiga kali saya ke toilet. Ni
pun perut saya tengah sakit. Kalau cikgu izinkan saya nak ke tandas sekarang
jugak!!”. Belumpun sempat habis sempurna jawapannya , Ashyraf sudah tidak
tertahan lagi – dia terus berlari ke arah toilet .
“Maaf cikgu Halim , tak tahan sangat ni. Dah nak
bertabur!!!” Jeritnya sambil terus memecut langkah.
“Hmm ... ada-ada saja kamu orang ni. Baiklah yang lain ,
sinsing seluar dan pergi cuci tandas!!”. Cikgu Halim telahpun menjatuhkan
hukuman. Maka bergeraklah Wadi dan dan
yang lain menuju ke tandas.
“Sial!! Ni kang kejap lagi mesti kena ngan cikgu Hasiah pulak!”. Rungut Wadi perlahan. (Pn Hasiah adalah guru matapelajaran Sivik dan Ketatanegaraan Wadi , orangnya memang kuat ‘membebel’. Bukan sebab benci tapi ‘atas rasa sayang’ , maka mulutnya tidak penat-penat memberi nasihat!. “Biar jadi orang!!”. Itulah ayat popularnya).
“Sial!! Ni kang kejap lagi mesti kena ngan cikgu Hasiah pulak!”. Rungut Wadi perlahan. (Pn Hasiah adalah guru matapelajaran Sivik dan Ketatanegaraan Wadi , orangnya memang kuat ‘membebel’. Bukan sebab benci tapi ‘atas rasa sayang’ , maka mulutnya tidak penat-penat memberi nasihat!. “Biar jadi orang!!”. Itulah ayat popularnya).
Ponteng ke tidak
ponteng ...
Selesai mencuci tandas , Wadi mencuci tangannya lalu
bersegera untuk ke kelas 5 Usaha.
“Sekarang pukul 8:20. Kelas sivik habis 8:50 , ada 30 minit
lagi. Huh! Mau bernanah telinga aku ni kang mendengar khutbah. Pok pek pok pek
entah bila nak berhentinya. Huh! Apa nak buat ni?. Arrgghhh ... ponteng jelah.
Malas aku nak mengadap muka dia. Alamakkk
... tapi ... kang tak pasal-pasal masuk bilik disiplin lagi. Ah! Selagi tak
kantoi tak apa. Hmm ... ponteng ... tak
ponteng ... ponteng ... tak ponteng ...”.
Dalam Wadi berkira-kira
itu , tiba-tiba ...
“Hai Wadi! Cikgu yang besar nipun awak nak langgar?”. Tegur cikgu
Maisarah dengan senyuman manis terukir
di bibir.
“Err ... cikgu. Maaf saya tak perasan”. Jawab Wadi spontan.
“Hmm ... awak dari mana?. Mana pas keluar awak?”. Tanya lagi
cikgu Maisarah setelah dilihatnya tiada pas keluar yang dibawa oleh Wadi.
“Heee ... saya sebenarnya baru lepas kena denda cuci tandas
cikgu. Ni baru nak balik ke kelas. Kalau cikgu tak percaya , cuba tenguk kaki
seluar saya ni. Habis basah masa cuci tandas tadi”. Jawab Wadi.
“Laa ... bila pulak cikgu cakap tak percaya. Hmm ... awak
kena denda sebab datang lambat lagi ye?”.
Wadi hanya menganggukkan kepalanya.
“Hai... Wadi Wadi.
Cikgu pun tak tahu nak nasihat macam mana lagi ngan awak ni. Dah terlalu kerap sangat
awak datang lambat ke sekolah malah ada hari-harinya awak lewat sampai jam
lapan , jam sembilan baru nak sampai.
Kalah orang kerja pejabat. Itu dah kira ‘lewat
melampau’ tu namanya Wadi. Hmm ... ginilah Wadi , awak fikir baik-baik. Awak
sebenarnya nak bersekolah ke tidak ...”.
“Nak cikgu ...”
“Nanti!. Biar cikgu habis cakap dulu. Kalau awak nak
bersekolah , kenalah sungguh-sungguh. Pastikan awak tidur awal , bangun awal
dan datang awal ke sekolah. Peraturan sekolah kenalah ikut. Cikgu tak nak awak
terus-terusan ketinggalan dan didenda begini”. Sambung cikgu Maisarah , guru
kelas Wadi.
“Maaf cikgu. Saya cuba untuk datang awal”. Balas Wadi sambil
menundukkan kepalanya. Sedih benar hatinya apabila ‘soal kesungguhannya’
bersekolah dipertikai. Kalau guru kelasnya sendiri sudah ragu terhadap
kesungguhannya ... siapa lagi yang akan mempercayainya ...
“Wadi , cikgu nak awak cemerlang. Cikgu nak awak jadi anak
kebanggaan ibu awak. Ibu awak tu ibu tunggal.
Kasihan dia , bersusah payah
membesarkan awak dua beradik. Hargai pengorbanannya ya. Hmm ... sudahlah. Pergi
lekas masuk ke kelas. Sekarang ni waktu Sivik kan?. Kang bising pulak cikgu
awak”. Cikgu Maisarah mengakhiri
nasihatnya dan terjawablah sudah dilema
Wadi tadi sama ada mahu ponteng kelas Sivik atau tidak. Termakan dengan nasihat
dan pujukan cikgu Maisarah , Wadi akhirnya melangkah laju menuju ke kelas 5
Usaha. Malangnya seperti yang telah dijangkakan , dia terpaksa berdiri lebih 20
minit sambil menadah telinga mendengar ‘nasihat’ panjang lebar daripada cikgu
Hasiah!.
Hidup Wadi
Begitulah kehidupan Wadi , seorang pelajar yang di’cop’
sebagai pelajar bermasalah di sekolah itu. Rekod disiplinnya sudah berderet ...
lambat ke sekolah , ponteng , merokok , biadap terhadap guru ... Sudah banyak kali Wadi keluar masuk bilik
disiplin dan sudah banyak kali juga dia dipanggil oleh kaunselor sekolah. Tapi
sikapnya yang lebih suka mendiamkan diri daripada membuka mulut menyebabkan
keadaan tetap tidak berubah. Wadi tetap juga mengulangi salahlaku disiplin dan
guru-guru tetap juga tidak faham punca Wadi bersikap begitu.
“Ini hidup aku. Biar aku yang urus. Mereka hanya tahu
menyalahkan aku saja!. Susah senang hidupku hanya aku yang tahu”. Itulah dialog
yang sering terjadi di benak hati Wadi.
Pergaduhan
Waktu rehat hari itu digemparkan dengan keriuhan bunyi
sorakan sekumpulan pelajar lelaki yang berkerumun mengelilingi dua orang
pelajar yang sedang beradu kekuatan. Masing-masing tidak mahu mengaku kalah ,
lebih-lebih lagi pergaduhan mereka hari ini disaksi ramai. Sorakan demi sorakan
seakan mendorong mereka untuk terus
menjadi juwara. Juwara ‘kaki gaduh’!. Wah!! Hebat gelaran itu.
“Bersurai! Bersurai!”. Suara cikgu Halim menjerit memberikan
arahan kepada semua pelajar untuk bersurai. Sementelahan waktu rehat sudahpun
berakhir dan mereka sepatutnya sudah kembali ke kelas untuk meneruskan sesi
pembelajaran.
Bergegaslah seorang demi seorang meninggalkan ‘drama
sebabak’ itu. ”Tidak sempat hendak tahu apa kesudahannya , sudah disuruh
pergi!” Rungut mereka.
“Kacaulah cikgu ni!!”. Rungut yang lain pula.
“Hah awak!! Wadi! Muaz!! Tak reti-reti nak berhenti?!. Nak
aku terajang korang berdua baru nak berhenti?!”. Jerkah cikgu Halim sambil
menarik Muaz ke tepi , menghalangnya daripada terus menumbuk Wadi yang sudah
berdarah hidung dan tepi bibir. Bukan itu saja , bahagian sikunya juga ada
kesan luka dicakar, mungkin terkena kuku jari kelingking Muaz yang sengaja
dibela panjang. Sebaik saja Muaz dapat dileraikan , beberapa orang pengawas
terus memegang Muaz dan Wadi , takut-takut kalau kedua-duanya masih nekad mahu
bertumbuk.
Sekonyong-konyong itu cikgu Maisarah berlari anak ke lokasi
pergaduhan. “Cikgu Halim , mereka ni nampaknya masih berangin. Baik dipisahkan
keduanya. Biar saya bawa Wadi ke bilik kaunseling , cikgu bawa Muaz ke bilik
disiplin dulu. Nanti dah ‘sejuk’ saya hantarkan Wadi ke bilik disiplin”. Kata
cikgu Maisarah. Cikgu Halim mengangguk tanda setuju.
Di bilik Kaunseling
Kebetulan pada ketika itu , kaunselor sekolah tiada di
sekolah kerana bertugas rasmi diluar. Cikgu Maisarah mendahului Wadi masuk ke
bilik kaunseling lalu terus mengambil
peti ubat yang sedia tersimpan di bilik itu lalu membawa dan meletakkannya di
atas meja.
“Wadi , duduk sini”. Arah cikgu Maisarah sambil menunjuk ke arah
sebuah kerusi.
“Sini , mari cikgu tolong bersihkan luka awak”. Arah cikgu
Maisarah lagi.
“Tak palah cikgu. Sikit saja ni. Nanti saya basuh di tandas”.
Jawab Wadi , kekok rasanya apabila
dilayan baik begitu.
“Laa apasal pulak macam tu. Ni ubat kuning semua ada di sini
. Plaster pun ada. Dah sini , biar cikgu tolong”. Balas cikgu Maisarah lalu
tanpa memperdulikan reaksi Wadi , cikgu Maisarah membersihkan luka di siku Wadi.
Kemudian cikgu Maisarah menyapukan ‘ubat kuning’ pada luka tersebut.
Selesai membersihkan dan menaruh ubat pada luka di siku Wadi
, cikgu Maisarah membasahkan tisu lalu dihulurkan kepada Wadi , “Nah , ambil
ini. Bersihkan darah dari hidung dan tepi bibir awak yang luka tu”.Kata cikgu
Maisarah. Wadi akur , tisu basah itu diambilnya lalu disapunya kesan darah yang
masih ada di bawah hidung dan di tepi bibirnya. Cikgu Maisarah memerhatikan
gelagat Wadi membersihkan kesan darah yang masih bersisa diwajahnya di hadapan
cermin besar bilik kaunseling itu.
“Kalau sudah , mari ke mari. Duduk di sini dan cerita pada
cikgu apa yang telah terjadi”. Kata cikgu Maisarah.
“Ah! Tak ada apalah cikgu. Salah faham sikit je”. Balas Wadi
, malas membesarkan soal pergaduhannya.
“Salah faham sikit?. Sampai bertumbuk dan cedera begini?.
Wadi ... cikgu kenal awak. Awak takkan bertumbuk kalau sebab salah faham yang
sedikit. Sudah , berterus terang dengan cikgu. Cikgu ni nak tolong awak ,
ceritakan pada cikgu apa yang terjadi”.
“Taklah cikgu , salah saya . Saya yang hilang sabar tadi”.
Jawab Wadi.
“Kenapa sampai jadi macam tu . Muaz tu kan ke kawan baik
awak?”. Tanya cikgu Maisarah.
“Entahlah cikgu , Muaz tu hari ni dok sedap jea mengutuk mak
saya. Mana saya tak angin”. Jawab Wadi.
“Dia kutuk apa?”.
“Dia kata mak saya perempuan dot ... dot ... dot ...
sebabtulah cepat jadi janda. Kalau cikgu jadi sayapun tentu cikgu akan
marahkan?”. Terang Wadi.
“Hmm ... betul. Tak patut dia kata mak awak begitu. Dia
sepatutnya menghormati mak awak sebab awak ni kan kawan baik dia juga. Cumanya
Wadi , kekerasan bukan jalan penyelesaian yang baik. Cikgu rasa , lain kali awak tegur dia kalau dia cakap yang bukan-bukan.
Tentu dia akan dengar dan taklah sampai bertumbuk begini. Tengok sekarang ,
siapa yang susah. Tak pasal-pasal lepas ni awak kena mengadap cikgu Halim”.
Tegur dan nasihat cikgu Maisarah.
“Ya cikgu. Maafkan saya sebab dah susahkan cikgu”. Balas
Wadi.
“Bukan susahkan diri saya Wadi tapi diri awak tu. Jangan
susahkan diri awak dengan perkara-perkara seperti ini ya. Cikgu nak awak
jadikan ini sebagai kes terakhir awak , boleh?”. Tanya cikgu Maisarah.
“Ya cikgu ...”
Pulang dari sekolah
Teriknya matahari petang itu. Wadi membawa motornya dengan
agak laju. Mana tidaknya , sedari pagi tadi perutnya langsung tidak berisi.
Sudah lama ber’dondang sayang’ perutnya itu.
“Harap-harap balik ni adalah rezeki aku. Lapar sangat ni”.
Kata hatinya sambil terus memecut ... dan akhirnya Wadi tersenyum sendiri
apabila terlihat dari jauh rumah tempat dia sekeluarga berteduh.
“Alhamdulillah , dah sampaipun”. Ucapnya perlahan.
Terbayang-bayang di wajahnya kemungkinan rezekinya petang itu. “Dapat nasi panas , telur mata
kerbau taruh kicap pun dah cukup baik”. Fikirnya sambil bibirnya yang luka tadi
terus mengukir senyuman.
Namun harapan hanya
tinggal harapan ...
Sebaik sahaja motorsikalnya menghampiri tangga rumah , dari
bawah lagi Wadi sudah mendengar suara ibunya menjerit-jerit marah diselang seli
dengan suara adiknya , Mira menangis meminta ampun.
“Ampun bu! Ampun ... sakit bu. Cukuplah. Sakit bu!!”. Esak
dan rayu Mira kepada ibunya yang sudah bagaikan hilang akal , memukulnya
semahunya dengan batang penyapu tanpa belas kasihan.
“Ya Allah! , Ibu!!. Cukup!!!”. Jerit Wadi sambil menarik
batang penyapu dari tangan ibunya.
“Tepi!! Tepi!!! Jangan kau masuk campur!!. Aku memang dah
lama geram dengan budak ni. Kecik-kecik dulu tak nak mampus. Dah besar
menyusahkan orang aje!”. Jerit ibu Wadi sekuat hati , masih lagi mahu memukul
anak perempuannya itu.
“Ibu! Cukuplah , kasihanlah Mira ni bu. Dia ni anak ibu
juga. Ibu yang lahirkan dia ke dunia ni. Kenapa ibu tergamak buat begini pada
dia?!”. Wadi cuba memujuk dan meredakan marah ibunya.
“Anak?. Anak pembawa sial!!. Tu , cuba kau tengok muka dia.
Sebijik macam muka lelaki sial tu. Sebab dialah aku menjanda begini. Sebab
dialah aku kena bermati-matian membesarkan korang berdua. Lelaki tu buat apa
hah?!. Dia senang-senang je tinggalkan korang ngan aku. Dia sedap-sedap je
berbini baru!!”. Jerit ibu Wadi , keadaannya sudah bagaikan tidak terkawal
lagi. Habis diluah semua yang terbuku di hatinya selama ini.
“Ibu , yang tinggalkan ibu itu ayah bukan Mira. Yang
susahkan ibu itu ayah , lelaki yang tidak berguna itu. Bukan Mira ... Mira ni
anak ibu. Adik Wadi. Dia juga derita seperti kita ibu. Ibu , cukuplah. Cukup
cukuplah ibu siksa hidup Mira. Kasihanlah dia ibu ... Janganlah ibu lepaskan
kemarahan ibu pada Mira. Dia tidak bersalah bu...” Rayu Wadi sambil memeluk
adiknya yang sudah separuh lembik dikerjakan ibunyan. Jelas kesan-kesan merah
di tangan dan anggota badannya yang kelihatan akibat dihentam dengan batang
penyapu.
“Apa?. Tidak bersalah kata kau. Lelaki sial tu tinggalkan
aku masa aku mengandungkan budak sial nilah!. Lelaki tak sedar diri tu cari
perempuan lain masa aku mengandungkan budak nilah. Budak ni sama sialnya dengan
bapak dia!”. Serentak dengan itu , ibu Wadi merampas semula batang penyapu lalu
dihayunkan dengan kuat ke arah Mira. Ibu Wadi betul-betul mahu melepaskan
kemarahannya pada Mira. Melihatkan keadaan yang mencemaskan itu , Wadi tanpa ragu
terus melindungi adiknya lalu hayunan kuat itu menghentam belakangnya.
“Aduh!. Cukuplah ibu!!”. Jerit Wadi sekuat hati. Tersentak
ibu Wadi melihat anak kesayangannya , satu-satunya jantung hatinya menggelupur
kesakitan.
“Wadi! Wadi! ...”. Ibu Wadi cuba membantu anaknya itu.
Sebaik saja tangannya menyentuh belakang Wadi yang kesakitan , Wadi segera
menepisnya lalu berkata . “Puas hati ibu sekarang?. Sudah puaskan hati ibu
siksa Mira?. Sudah puas ke hati ibu siksa perasaan kami anak-anak ibu ini?”.
Ucap Wadi dengan linangan air mata , sedih benar dia dengan keadaan mereka
sekeluarga. Hidup huru hara semata-mata kerana ibunya gagal menerima ketentuan
takdir dan kehancuran rumahtangganya.
“Ibu , Wadi sudah tak tahan lagi dengan keadaan kita ini.
Kalau ibu terus juga begini dan tetap juga nak menyiksa Mira , Wadi akan pergi.
Wadi takkan jejak lagi kaki ke rumah ini!”. Serentak dengan itu , Wadi melangkah
laju meninggalkan ibu dan adiknya Mira.
“Abang!!”. Jerit Mira.
“Wadi!!”. Jerit ibunya.
Belumpun sempat mereka mengejarnya , Wadi sudah memecut laju
motorsikalnya meninggalkan kedua insan yang sangat disayanginya itu. Niatnya
hanya satu ... mahu ibunya berubah. Wadi hanya ingin mengugut ibunya agar
segera sedar dan berubah. Mira dahagakan kasih sayang ibunya malah dia juga
sangat rindukan ibunya yang dahulu ... seorang ibu yang penyayang!.
Air mata Wadi jatuh bercucuran mengenangkan nasib malang
yang menimpa mereka sekeluarga.
“Kenapa?! Kenapa?!”. Ucapnya sambil mengelap air mata yang
terus mengalir ... sehinggalah ...
“PEEENNNNNN!!!!”. Bunyi hon yang panjang dan serentak dengan
itu sebuah lori pasir menghentam kuat motor Wadi yang tiba-tiba keluar dari
simpang. Wadi tercampak ke tengah jalan ...
...mengenang nasib diri ...
Ibu Wadi menangis teresak-esak di birai katil. Hancur luluh hatinya
melihatkan keadaan Wadi sekarang. Seluruh tubuhnya dipenuhi luka dan calar
balar akibat kemalangan itu. Lebih malang lagi , termasuk hari ini sudah tiga
hari Wadi tidak sedarkan diri.
Sedangkan Mira , sudah bengkak matanya. Sejak tiga hari
lepas air matanya tidak putus-putus mengalir. Matanya terus memandang Wadi ,
abangnya yang telah terlalu banyak berkorban untuknya , pembelanya dan
segala-galanya bagi dirinya ... Mira terus memandang kosong abangnya yang
bagaikan tidak mahu bangun-bangun lagi itu sambil hatinya terus-terusan mengalunkan
lagu kegemaran mereka berdua ... ‘Kau
yang terindah’
Aku di sini
mengalunkan rindu yang resah
Aku disini memuja
bayangmu
Setiap detik degup
nadiku hanya untukmu
Cinta membara jiwa
gelora
Kau yang terindah
di dalam hidupku
Hanya cintamu
mekar selamanya
Tak inginku lagi
menyintai yang lain
Kau telah mengikatku
selamanya
Ku di sini
menantikan janji yang hilang
Aku di sini
menghitung harapan
Setiap detik tiap
nafasku ada cintamu
Bagai semalam
semuanya hilang ...
(Lirik lagu : Kau yang terindah-Alyah)
(Lirik lagu : Kau yang terindah-Alyah)
“Abang ... bangunlah
abang. Tunaikanlah janji abang untuk jaga Mira. Mira tak ada sesiapa abang. Bangunlah ... kasihankanlah Mira ini ...”
-Tamat-
Cerpen ini ku tulis bersandarkan cebisan kisah yang menimpa nasib seorang anak muridku yang pernah ku kenal suatu ketika dahulu. Cuma kisahnya yang sebenar jauh lebih tragis daripada kisah ini. Sengaja tidakku tulis sebegitu atas alasanku sendiri ...
Buat anak muridku ini , “Maafkan cikgu kerana gagal memahamimu dan membantu meringankan bebanan perasaanmu. Semoga matahari akan bersinar buat kamu sekeluarga ... sesungguhnya mengalir air mata cikgu ketika menuliskan kisah ini dek rasa terkilan yang mendalam . Salam ingatan yang berkekalan”.
Buat anak muridku ini , “Maafkan cikgu kerana gagal memahamimu dan membantu meringankan bebanan perasaanmu. Semoga matahari akan bersinar buat kamu sekeluarga ... sesungguhnya mengalir air mata cikgu ketika menuliskan kisah ini dek rasa terkilan yang mendalam . Salam ingatan yang berkekalan”.