Kerap sekali dalam kehidupan ini , kita berhadapan dengan pelbagai konflik yang menimbulkan dilema. Adakalanya bagai tidak mampu dirungkai.
Konflik , apakah itu?.
Konflik dalam masyarakat merujuk kepada pertentangan kepentingan yang berlaku dalam dua atau lebih kelompok ahli dalam masyarakat itu sendiri manakala konflik dalam organisasi , sama saja situasinya dengan konflik dalam masyarakat cumanya pihak yang terlibat dalam konflik itu boleh jadi individu-individu tertentu atau juga kumpulan-kumpulan kecil yang berpecah akibat perbedaan pendirian , kepentingan atau pemikiran dalam sesuatu organisasi itu sendiri.
Bagaimana pula dengan konflik dalam diri?
Pertentangan dan perbedaan apa yang boleh berlaku dalam diri seorang manusia?
Adakah pertentangan antara akal dan hati?.
Pertentangan antara akal dan iman?.
Pertentangan antara akal dan emosi atau perasaan?.
Pertentangan antara akal dan nafsu?.
Semuanya dikaitkan dengan akal! akal! akal!. Akalkah puncanya?
Sudah tentu akallah puncanya kerana akal merupakan kekuatan seorang manusia itu untuk membuat sesuatu keputusan berdasarkan realiti atau kenyataan dan bukannya berdasarkan emosi atau mainan perasaan!
Sebagaimana terjemahan berikut ; "Dan mereka berkata : ' Sekiranya kami mendengarkan atau memikirkan (peringatan itu) nescaya tidaklah kami termasuk penghuni-penghuni neraka yang menyala-nyala' " ; Al Mulk :10
Pastinya untuk mendengar , menganalisis dan mentafsir sesuatu merupakan aktiviti pemikiran yang tugasnya dilaksanakan oleh akal.
Akal yang dipandu oleh nafsu , emosi dan perasaan sering saja menjerumuskan manusia ke arah kebinasaan. Kebinasaan yang merosakkan kehidupan di dunia mahupun kehidupan akhirat. Seronoknya yang bersifat sementara sedangkan semua itu hanyalah keseronokan yang memperdaya. Maka seharusnya akal dipandu oleh iman yang bertunjangkan rukun iman yang enam ; beriman kepada Allah , para malaikat, kitab-kitab , rasul-rasul , hari kiamat dan Qada & Qadar.
Aku mahu membicarakan soal ini kerana berdasarkan pengalaman hidupku yang tidak seberapa , pemerhatianku dan pemikiranku tentang perjalanan hidup seorang manusia yang sering saja terlibat dalam konflik. Konflik yang jika tidak ditangani dengan baik akan memberikan hasil yang buruk.
Ku selitkan kisah konflik jiwa seorang gadis 17 tahun yang malang (Pada pandanganku). Aku terpanggil untuk mengenalinya setelah mendapat serba sedikit maklumat tentangnya melalui mesyuarat kurikulum di tempat aku bertugas.
Dia merupakan salah seorang calon gagal SPM kerana masih 'buta huruf' sungguhpun sudah berada di tingkatan lima. Gerak hatiku mendorong aku mengambilnya sebagai 'murid angkat' di mana pada waktu-waktu aku tidak mengajar , dia akan ku panggil keluar dari kelasnya untuk belajar membaca denganku. (Apa gunanya belajar pelbagai teori pembelajaran sekiranya perkara asas iaitu membacapun masih belum dikuasainya)
Pertemuan demi pertemuan dan pelbagai cara yang ku yakini boleh membantunya aku lakukan. Aku ajak dia bercerita (Kerana dia seorang yang sangat pendiam dan susah untuk membuka mulut) , aku ajak dia menyanyi lagu a-b-c seperti anak-anak tadika , sesekali aku belikan dia cokelat atau makanan lain yang aku yakin dia jarang dapat merasanya ( Kerana hidupnya susah , baju sekolah yang ada hanya sepasang , wajahnya langsung tidak berhias dan terjaga , giginya juga kekuningan malah ada kalanya aku terpaksa menahan nafas apabila duduk di sebelahnya-kasihan dia). Bayangkan segala kekurangannya itu telah menyebabkan dia dipinggir oleh rakan sekelas yang lain. Bukan salah mereka tetapi sikap gadis ini sendiri yang mungkin terlalu rendah diri menyebabkan dia sendiri tidak selesa bergaul dan lebih suka menyendiri.
Amat tersentuh hatiku apabila dalam salah satu pertemuan kami , dia akhirnya telah mencurahkan apa yang terpendam dalam hatinya selama ini. Pada pertemuan itu , aku telah memberikannya sehelai kertas dan meminta dia memilih satu tajuk dan menulis karangan mengenainya. Tidak perlu banyak dan panjang cukuplah jika hanya seperenggan. Malangnya dia tidak mampu menuliskan apa-apapun kerana ternyata dia amat lemah dan tidak berupaya melaksanakan tugas yang mudah itu. Akhirnya aku meminta dia menuliskan sahaja karangan tentang dirinya. Antara ayatnya yang masihku ingat ... " ... saya tak sabar nak jumpa ayah yang akan keluar tak lama lagi...". Sedih ketika membaca rintihan dan kerinduan hati gadis malang ini.
Habis membaca dan memperbaiki kesilapan di sana sini , baki masa yang ada aku gunakan untuk bercerita dan berbual tentang diri dan kisah hidupnya. Apa yang aku dapat?
Ketika dia masih kecil (sekolah rendah) , sedang dia bersama ibu , kakak dan ayahnya menonton televisyen di rumah tiba-tiba pintu rumah diketuk orang. Setelah dibuka terdapat dua orang polis yang akhirnya mengarahkan ayahnya mengikut mereka ke balai atas tuduhan jenayah seksual.
Ayahnya dituduh merogol anaknya sendiri (kakak gadis itu) hingga menyebabkan kakaknya itu mengandung (Aku tidak pasti siapakah yang membuat laporan polis kerana aku tidak tergamak hendak bertanyakan kisah yang memilukan ini secara terperinci. Aku lebih banyak mendengar luahan rasa yang dipendam oleh gadis ini)
"Saya tak percaya ayah lakukan sebab ayah baik cuma ayah banyak hutang. Lagipun baby yang lahirtu hitam sangat tak macam rupa ayah langsung".
"Nasib baik baby tu mati lepas lahir".
"Kakak tetap cakap ayah yang rogol dia. Saya tak percaya tapi kakak tetap cakap ayah yang buat. Takkan kakak tipu".
Aku terdiam lama , cuba memahami dan menganalisa cerita gadis ini. Hatiku mula membuat pelbagai andaian tentangnya.
"Ayahnya jual anak demi menebus hutang-hutangnya?"
"Ayahnya merogol anaknya dahulu sebelum menyerahkan kepada sipemiutang?"
"Ayahnya memang tidak berguna dan sanggup melakukan apa saja demi wang!" atau mungkin
"Ayahnya difitnah dan berlaku kesilapan dalam siasatan yang dijalankan!"
Tapi patutkah aku mencemarkan ingatan baik seorang anak kepada ayahnya dengan pelbagai andaian yang kubuat?
Atau patutkah aku membiarkan saja gadis ini bertemu dan bermanja dengan ayahnya seperti zaman kecilnya dulu tanpa prasangka? (Memang inilah yang dirindukan gadis ini kerana setelah ayahnya dijatuhkan hukuman , ibunya akhirnya berkahwin lain dan gadis ini 'rasa terbiar' dan diabaikan).
Aku mengambil keputusan untuk menyimpan semua andaianku itu dalam hatiku. Lagi pula siapalah aku untuk mengadili serpihan-serpihan cerita dari seorang gadis yang sepi dan lebih banyak hidup di alamnya sendiri. 'Cerita'nya itu membuatkan aku lebih berazam untuk memastikan dia boleh membaca dan mampu berfikir dengan baik.
Akhir pertemuan hari itu kusisipkan dengan kata nasihat agar dia sentiasa menjaga dirinya , berfikir untuk kebaikan diri dan perbanyakkan berdoa kepada Allah kerana Allah itu Maha Mendengar lagi Maha berkuasa atas segala sesuatu. Sebaik-baik tempat berlindung dan penggantungan.
Aku juga menggantungkan harapanku kepadaNya agar gadis ini dipelihara dari segala bahaya ...
(Hingga kini aku masih lagi terfikir-fikir tentang nasib gadis ini. Sungguhpun sudah lebih lima tahun , aku masih bertanya pada diri , apa itukah saja perkara terbaik yang mampuku lakukan untuknya?)
Itu baru satu kisah , banyak lagi kisah-kisah konflik hidup anak-anak muridku yang boleh saja kukongsikan di sini cumanya mataku sudah mengantuk. Jam sudah menunjukkan pukul 2:34 pagi. (Mungkin lain kali jika aku menulis).
Sebenarnya jika boleh ingin sekali aku menyentuh hati anak-anak muridku yang sepi , terabai dan terbiar. Biar kupujuk dan kubimbing hati-hati itu ke arah mengenal tuhannya , penciptanya.
Ingin aku tanamkan dalam jiwa mereka agar redha dengan ketentuan takdir yang ditentukan Allah kerana sesungguhnya Allah Maha Mengetahui apa yang ada di belakang dan di hadapan kita hambanya. Serahkanlah dirimu kepadaNya kerana itu adalah sebaik-baik penyerahan.
Malangnya , mana mungkin dapat aku lakukan semua itu jika diriku sendiri sering saja dilanda konflik yang ada kalanya mendurung akalku membuat keputusan yang salah. Maka kusisipkan pesanan ini buat diriku sendiri ...
Wahai diri redhalah dengan ketentuan takdirmu
Wahai hati tabahlah menempuh jalanmu
Wahai rasa yang sering saja bergelora tenanglah kau
Wahai akal kawallah emosiku selalu agar jangan memberontak
Wahai iman ingatkanlah aku bahawa dunia ini bukan syurga
Maka diri ... belajarlah menerima takdirmu dengan rasa syukur
Duhai Allah tuhanku ... kuatkanlah aku dan janganlah Kau biarkan aku lemah ...
Popular Posts
-
Lukis jea ... teratai , 'still water , silent beauty' Allahu Akbar ... lamanya tak upload apa2 di blogku ini. Hampir setahun rasany...
-
Lukis jea ... 'Dragon fly' atau nama Melayunya adalah pepatung. Dekat mana sifat ke'naga'annya itu tidaklah dapatku kes...
-
Novel 2 : "Selepas Hujan..." Dah lama ... dah lebih dua tahun jugalah novel ni siap. Tak lama selepas aku siapkan 'Keranamu ...
-
Lukis jea ... " Buluh" Kelas PSV 4 Gigih #Mengajar anak didik berkarya dengan mengaplikasikan prinsip rekaan imbangan dan ha...
-
Lukis jea ... kelas PSV Mengajar anak didik melukis 'Sungai mengalir di pinggir hutan' Sebenarnya aku beri pilihan kepada anak...
-
Lukis jea ... bermula dengan diri Fikiranku ... inilah kami, guru2 unit pembangunan sahsiah murid ... saling mengingatkan dan s...
-
Bab 15 : Hari Bahagia Lukis jea ... bila cinta itu diuji Sandarkan kepercayaanmu padaku Andai itu juga tiada ... Pastinya kita...
-
Lukis jea ... Gambar kartun kita Inilah antara kenangan yang tinggal. Rumah kita ... pokok2 bunga arwah mama ... semuanya hanya tinggal d...
-
Aku punya impian....antaranya 'Mengubah anak2 bangsaku daripada malas berfikir kepada bijak berfikir' Lelaki tak bertelu...
-
Lukis jea ... Tapi awak harimau bintang ... Jangan dikenang ... luas lagi dunia ni untuk diteroka Hargai segala yang menghargai Leraikan s...
Saturday, 8 February 2014
Konflik dalam jiwa
Labels:
Fikiranku
Hijau-biru : Dua warna yang sentiasa cantik di mataku. Seindah warna alam - lelangit dan lautan yang membiru dan pepohonan yang menghijau. Esanya Tuhan yang Maha mencipta!.
Amat menghargai ketulusan dalam semua urusan hidup dan percaya apa saja dari hati akan sampai ke hati.
"Keranamu DIAH": Bab 9
BAB 9: SUATU PEMBOHONGAN
... dia sudah menunjukkan tanda-tanda positif ...
“Mie!” . Panggilan doktor Anisah menghentikan lamunan Zuraimie.
Zuraimie memusingkan badannya , memandang dan kini berdiri berhadapan dengan
kakaknya itu.
“Kak , macam mana dengan Diah? Adakah dia sudah sedar? Boleh Mie tengok dia sekarang? ”. Tanya
Zuraimie.
Tidak sabar-sabar untuk mengetahui
keadaan gadis yang dicintainya itu.
“Masih terlalu awal. Walaupun begitu
, dia sudah menunjukkan tanda-tanda positif. Berdoa sahaja lah. Dengan izin
Allah , dia boleh sedar bila-bila masa”. Terang doktor Anisah.
“Huhhh ... Alhamdulillah!”. Zuraimie menadah tangan lalu meraup wajahnya sendiri tanda
bersyukur. Doktor Anisah hanya memerhatikan perilaku adiknya itu.
“Mie , kakak nak cakap sikit”. Doktor
Anisah bersuara lembut sambil menarik tangan adiknya , duduk bersamanya di
kerusi di ruangan menunggu.
“Ya kak. Ada apa?” . Tanya Zuraimie.
Akur dengan arahan kakaknya.
“Akak sebenarnya risau tengok engkau
ni ”. Doktor Anisah membuka bicara.
“Risau?”. Tanya Zuraimie. Buat-buat
tidak faham.
“Ya .
Sebenarnya dah lama akak nak
cakap pasal hal ni. Mungkin sekarang adalah masanya yang sesuai. Akak
sebenarnya risaukan keadaan kau sekarang ni , sangat tidak terurus”. Doktor
Anisah berhenti seketika , mencari riak di wajah adiknya. Zuraimie diam ,
menundukkan kepalanya sedikit sambil membuat muka yang membayangkan dia tidak berminat
untuk meneruskan perbualan itu. Namun doktor Anisah tidak peduli ... dia
meneruskan bicara.
“Semuanya disebabkan gadis itu kan. Siapa sebenarnya dia padamu dik?”. Doktor
Anisah bertanya. Sejak gadis itu dimasukkan ke hospital ini , Zuraimie telah
berubah. Perubahan yang sangat ketara. Dia tidak lagi menghiraukan kuliahnya.
Makan minumnya telah lama diabaikan. Apatah lagi keterampilan diri. Sudah tiada
lagi Zuraimie yang periang , Zuraimie yang pandai mengusik. Zuraimie yang kemas
dan sentiasa bergaya . Semuanya gara-gara gadis itu!.
“ Akak pasti anak dalam kandungannya
itu bukan anak kau kan?”. Soal doktor
Anisah , terus sahaja bicaranya. Langsung tidak berlapik. Soalan itu bagaikan bunyi kuat sebuah gong besar
yang dipalu bertalu-talu , memukul dan
menggegarkan ego kelelakian Zuraimie. Berubah
air mukanya.
“Kak , boleh tak kita jangan
membicarakan soal ini sekarang?”. Pinta Zuraimie.
“Mengapa tidak sekarang? Apa yang nak
kau sembunyikan?. Akak ni doktor yang merawat dia. Akak ni juga kakak kamu.
Akak sayang dan ambil berat pasal kau dik” . Sanggah doktor Anisah.
“Maafkan Mie kak , boleh tak kalau lain
kali saja kita bicarakan hal ini”. Pinta
Zuraimie lagi , separuh merayu.
Baru saja dia mahu merasa gembira
sedikit dengan perkembangan Diah ,
kakaknya sudah mula membicarakan soal hubungannya dengan gadis itu.
“Boleh tu memang boleh , tapi sampai
bila? Bila masanya kau nak berterus terang. Perlakuan kau tu penuh persoalan.
Dahlah kau tidak hadir kuliah. Akak juga
dengar kau telah minta penangguhan ‘posting’. Dah dua bulankan?. Bukankah kau sudah sepatutnya melapor diri di Pekan ,
Pahang?”. Tanya doktor Anisah ingin tahu.
“Ya, kak , saya sebenarnya sedang membuat rayuan agar d tempatkan di
sekitar Bandar Kajang ni sahaja ”. terang Zuraimie.
“Apa? , Maksudnya gadis ini memang
sangat bermakna pada kaulah?. Sebab itu kau minta mengajar di sekitar sini ,
biar senang kau tengok dia?”. Kakaknya mendesak.
“Sedari mula dia dimasukkan ke sini
lagi , kau sendiri telah meminta akak yang merawatnya. Demi kau akak ambil dia
sebagai pesakit akak. Tidak cukup dengan itu , kau minta dia diberi
layanan istimewa . Itupun akak turutkan.
Akak tak kisah dik kalau itu akan membuatkan
kau gembira. Tapi , apa yang buat akak kesal sangat sekarang ini
ialah perubahan sikap kau itu. Kau
tengoklah diri kau sendiri. Setiap hari kau menghabiskan masa berjam-jam mengadap dia. Perkara lain sudah tidak
penting lagi buat kau”. Tegur doktor Anisah
.
“Apa ni kak? Apasal pulak akak
tiba-tiba membebel panjang. Tak bolehkah
akak anggap semua itu sebagai
kebaikan yang memang sepatutnya diberikan oleh seorang doktor kepada
pesakitnya?. Mie tak laratlah nak dengar
semua ini!”. Zuraimie membantah , sebal
hatinya mendengar leteran kakaknya itu.
“Dik , sedarlah. Kau harus buka mata.
Berpijaklah di bumi nyata!. Akak sayangkan kau , akak tak nak kau hancur kerana
dia”. Doktor Anisah menggoncang bahu adiknya.
“Kak , mie berpijak di bumi nyatalah
ni. Mie sedar sangat yang mie memang telah mengabaikan banyak perkara tapi kak
, apa yang Mie boleh buat?. Mie tak ada pilihan lain. Diah itu tanggung-jawab
Mie sekarang!”. Jawab Zuraimie.
“Tanggung-jawab kau? . Akak tak
faham. Dia itu bukan isteri mahupun tunangan kau. Berkasihpun tidak kan?” .
Doktor Anisah tidak bersetuju dengan Zuraimie.
“Akak takkan faham!”. Jawab Zuraimie.
“Buat akak faham!”. Desak doktor
Anisah.
“Belum masanya kak. Masa ini tidak
sesuai!”. Jawab Zuiraimie ringkas.
“Tidak sesuai? Habis , bila masa yang
sesuai?”. Desak doktor Anisah. Zuraimie diam.
“Kau fikir mengapa permintaan kau
agar dia diberi layanan VIP itu dapat ditunaikan?” . Doktot Anisah mula
mengungkit. Zuraimie terus diam.
“ Itu semua dapat ditunaikan kerana
akak ni adalah doktor di sini. Faham?. Pihak pengurusan tidaklah begitu berkira
sangat semata-mata kerana akak ni doktor di sini. Kau faham itu?”. Ulang doktor
Anisah lagi.
“Jadi atas dasar itu tidak layakkah
akak ini tahu perkara yang sebenarnya?”
. Doktor Anisah terpaksa mengungkit setelah berasa sakit hati dengan sikap diam
adiknya itu.
“Akak ... tolonglah jangan
mengungkit!. Akak anggap sajalah yang dia itu adalah bakal adik ipar akak ,
bakal isteri saya!”. Pinta Zuraimie dengan nada suara yang sedikit meninggi.
Tidak tahan apabila terus didesak begitu.
“Baik!!. Bagaimana dengan bayi dalam
kandungannya itu?. Itupun bakal anak kau juga?!!”. Separuh memekik doktor Anisah menahan
marahnya.
“Hah? Kenapa kau diam?. Cuba kau bagi
tahu akak. Anak dalam kandungan itu anak kau? ... atau kau nak akak buat pemeriksaan kepastian ke atasnya?”. Doktor Anisah mendesak dan mengugut. Dia memang tidak pernah percaya yang bayi itu
adalah hasil angkara adiknya . Tidak mungkin adiknya serakah itu.
Dia cukup kenal peribadi adiknya. Dia tidak mahu adiknya menjadi mangsa keadaan. Sanggup menjadi pak
sanggup demi menutup malu orang lain.
“Ya!. Ya ... itu adalah anak saya!!.
Diah itu adalah teman istimewa saya. Kami terlanjur!. Sesiapa sahaja boleh
terlanjur! Kenapa pula akak nak mempersoalkan tentang itu. Adik kakak ini
memang telah terlanjur!! Puas?!”. Zuraimie berbohong. Terpaksa berbohong supaya
tiada keraguan di hati kakaknya lagi.
Zuraimie mahu menghindarkan terus
masalah lebih besar yang mungkin bakal timbul . Kakaknya harus menyebelahinya.
Jika kakaknya sendiri curiga ,
bagaimanakah pula dengan kedua orang tuanya nanti. Zuraimie sedar yang dia
tidak mungkin akan dapat berkahwin dengan Diah jika tidak mendapat restu
daripada kedua orang tuanya.
“Apa? . Bayi itu anak kau?.Akak tidak
percaya!”. Doktor Anisah tetap tidak percaya dengan pengakuan adiknya. Dia
kenal benar adiknya itu. Seorang yang budiman dan sangat mementingkan keluarga.
Mana mungkin dia sanggup melakukan perkara terkutuk itu. Pasti ada cerita di
sebalik semua ini.
“Mengapa tidak percaya?. Kan Mie dah
berterus-terang yang bayi itu adalah anak Mie. Anak Mie kak. Jika Mie berdiam
akak tanya , tapi bila Mie bagitahu perkara sebenar akak tidak percaya!. Habis
, akak nak Mie kata apa lagi?”. Zuraimie
menegakkan benang yang basah.
“Baik! Jika betul bayi itu anak kau
... mengapa ketika kemalangan itu , gadis ini bersama lelaki lain?. Bukan
dengan kau?”. Tanya doktor Anisah ,
menguatkan hujahnya.
“Apa masalahnya kak?. Lelaki itu
adalah Raziq. Dia teman sekuliah kami. Kebetulan malam itu , kami ada kerja
kumpulan. Mereka itu baru keluar dari perpustakaan UKM kak. Mie pun ada di
sana. Tinggal lagi masa itu tugasan Mie tak siap lagi. Jadi mereka berangkat
dulu. Kami sama-sama dah berjanji nak berjumpa di Kajang. Mujur Mie tak bersama mereka. Jika
tidak , yang mati itu mungkin Mie sendiri kak!”. Zuraimie berbohong lagi.
“Huhh!!!”. Dengus doktor Anisah. Tidak sanggup untuk
mempercayai kata-kata adiknya itu.
“Tapi mengapa malam-malam masih nak
ke Kajang?”. Soal lagi doktor Anisah
dengan nada suara yang semakin mengendur.
“Apa masalahnya kak. Kami sama-sama
penat menyelesaikan tugasan. Ingat nak
makan-makan di Kajang sebelum balik berehat”. Zuraimie terus mereka cerita , berbohong
lagi.
“Huhhh!!”. Keluh doktor Anisah ,
bagaikan tidak percaya.
“Kalian memang serakah! Tidak
memikirkan keluarga dan orang lain!”.
Doktor Anisah akhirnya mengalah , kesal sungguh dengan sikap adiknya . Terduduk
dia dibuatnya.
“Ya. Mie mengaku. Kami memang telah
berbuat dosa. Kami memang bersalah. Tapi kami cuba untuk menebus kesalahan itu
kak. Kini kami sedang menerima pembalasan atas dosa yang telah kami lakukan.
Allah sedang menghukum kami kak!” . Cabul dan berani benar mulut Zuraimie
berdusta menggunakan nama Allah.
“Hishhh. Beristighfar Mie. Bukan
Allah yang menghukum kalian tapi hasil perbuatan kalian sendiri yang kini
sedang menghukum kalian”. Sanggah doktor Anisah.
“Tidak kak , Mie rasa memang Mie
telah ditakdirkan untuk melalui semua ini. Tapi kak , Mie akan
bertanggung-jawab menjaganya! Menjaga Diah dan anak kami!”. Balas Zuraimie
“Takdir? Apa maksudmu?!”. Tanya doktor
Anisah dengan nada sinis.
“Kak , dia perlukan perlindungan.
Ibubapanya telah membuangnya. Bayi dalam kandungannya itu perlukan ayahnya”. Tenang Zuraimie
menjawab.
“Yalah tu. Tapi jangan
pula sampai orang lain yang makan nangka , kau pula yang terkena
getahnya ! ”. Balas doktor Anisah.
“Apa maksud kakak?”. Tanya Zuraimie , terkejut dengan reaksi doktor
Anisah. Sangkanya dia telah berjaya menyingkir keraguan di hati kakaknya itu.
“Mie , macam nilah. Akak ni bukannya
bodoh. Bukan mudah untuk kau nak
memperbodohkan akak. Akak bukan baru satu hari kenal kau!. Persoalannya kenapa
kau pula yang kena bertanggung-jawab atas perbuatan terkutuk orang lain?.
Kenapa kau perlu berkorban untuknya. Kenapa? Cuba kau terangkan pada kakak kau ni. Kalau nak membantu , banyak cara lain
lagi. Tak perlu sampai mengorbankan diri sendiri! Sampai terpaksa menipu! Ini bukan caranya!!”. Doktor Anisah cuba membuka
mata adiknya itu.
“Kak maafkan Mie ...”. Zuraimie
mengalah. Tidak disangka penipuannya tidak berhasil. Memang kakaknya ini cukup
hebat!.
“Hmmm
... Mie , akak ni sayangkan kau.
Akak tak mahu kau menyesal di kemudian hari. Jangan diturutkan sangat rasa muda
kau tu dik. Mengapa kau harus berkorban sampai begitu sekali?”. Doktor Anisah
berkata lembut , memujuk dan cuba menyedarkan Zuraimie .
“Cuma ada satu sebab kak ...”. Jawab
Zuraimie , teragak-agak.
“Apa? . Jangan kau nak bagi tahu akak
yang kau mencintai dia!”. Balas doktor Anisah. Resah dengan apa yang mungkin
dikatakan adiknya.
“Ya! Itulah sebabnya. Tiada sebab
lain. Saya memang sangat mencintainya kak. Saya adalah lelaki malang yang telah
terlanjur mencintainya!”. Zuraimie menjawab dengan nada kesal.
“Apa ? ... Zuraimie sedarlah .
Perasaan kau itu boleh dipulihkan. Kau tak perlu menghukum diri kau sampai begini
semata-mata kerana kau mencintai dia. Anak dalam kandungannya itu membuktikan yang
dia tidak mencintaimu dik!”. Terang doktor Anisah.
“Kau hanya bertepuk sebelah tangan.
Dik , jangan jadi buta kerana cinta!”. Pujuk doktor Anisah. Dia tidak sanggup
melihat adiknya menderita kelak kerana keputusan yang silap pada hari ini.
“Kak , tolonglah . Saya telah
mencintai dia sejak dulu lagi. Silapnya saya ialah lambat dan tidak berani
berterus terang lebih awal. Dia sebenarnya gadis yang baik. Sopan dan sangat
menjaga maruah diri”. Terang Zuraimie memohon pengertian kakaknya itu.
“Yelah tu, kalau betul dia sangat
menjaga maruah diri , mana mungkin dia boleh mengandung anak luar taraf sekarang.
Sampaikan mak dan ayahnya sendiri tidak mengaku anak!”. Bidas doktor Anisah.
“Kak , bumi mana yang tidak ditimpa
hujan ...”. Jawab Zuraimie perlahan ,
cuba mempertahankan Diah.
“Lagipun Mie dah berjanji dengan
Raziq yang Mie akan menjaga Diah dan anaknya itu”. Terang Zuraimie , cuba
membuatkan kakaknya itu mengerti.
“Maksud kau , budak lelaki yang mati
itu adalah bapa kepada anak yang dikandungkannya?”. Tanya doktor Anisah.
Zuraimie hanya mengangguk lemah.
“Ya Allah ...”. Doktor Anisah
termenung seketika.
“Entahlah Mie , akak tak tahu nak
kata apa lagi. Pokoknya akak tetap tidak bersetuju dengan keputusan kau ini.
Engkau fikirlah baik-baik”. Balas doktor Anisah. Doktor Anisah bangun dari duduknya ,
membetulkan pakaiannya lalu bergerak untuk meninggalkan Zuraimie. Tiada guna
berbincang lagi. Nampaknya keputusan Zuraimie sudah bulat.
“Kak , tolong jangan bagitahu perkara
ini kepada mak dan abah”. Pinta Zuraimie sambil menarik tangan kakaknya dari
belakang.
“Yelah ... tapi akak rasa akhirnya
mereka akan tahu juga”. Jawab doktor Anisah. Langsung tidak memandang wajah
adiknya itu. Geram dan kecewa.
“Betul ... tapi biarlah mereka tahu yang
Mie adalah bapa kepada anak itu”. Pinta Zuraimie
“Ah! ... kau ni betul-betul gilalah Mie!”.
Doktor Anisah merentap tangannya lalu berjalan laju meninggalkan Zuraimie. Kesal
kerana tidak mampu membuka mata adiknya itu. Kesal juga kerana adiknya itu sanggup
merancang untuk menipu kedua ibubapa mereka hanya kerana seorang perempuan.
Perempuan yang sudah punah maruahnya!. Peempuan yang dibuang keluarga.
Perempuan yang berbadan dua!. “Errghhh!!!”
Kenapa kau dik?
Entah apa
yang kau fikir?
Sanggup
menutup matamu yang celik
Apa tak dapat cintanya kau singkir?
Lalu
kembalilah kepada dirimu oh adik ...
Oh
adik!.
|
Sebaik sahaja doktor
Anisah berlalu pergi , Zuraimie melangkah longlai menuju ke kamar Diah.
Perbalahan dengan kakaknya tadi masih terngiang-ngiang di telinga.
“Yalah tu. Tapi jangan pula sampai orang lain yang makan nangka ,
kau pula yang terkena getahnya !”. Kata-kata kakaknya itu mengganggu perasaan.
“Kak , Mie pun tidak mahu begitu.
Mie tidak pernah mahu menjadi wira penyelamat kesusahan
dan pelindung kesilapan orang lain. Mie tak sudi menjadi pak sanggup atas
perbuatan orang lain. Tapi apa daya mie kak. Mie tak ada pilihan. Hati ini
telah terlebih dahulu memilih dia sebelum semua ini terjadi”. Zuraimie tersedu
di hujung kaki Diah.
“Kak , hati Mie rasa amat pedih
menerima takdir ini namun hati
ini bagaikan mati tanpa kehadirannya kak. Fahamlah kak , mie tiada pilihan lain
melainkan menerimanya. Mie tiada pilihan lain melainkan memaafkan segala
kesalahan dan menerima segala kesilapannya”. Zuraimie masih tersedu ...
“Diah , inikah harga yang harus ku
bayar demi meraih cintamu. Mengapa kau begitu kejam terhadapku?. Mengapa Diah?.
Mengapa kau begitu kejam padaku!”. Zuraimie meluahkan rasa hatinya kepada Diah
yang masih diam tidak bergerak.
Benarlah bagai kata bijak pandai ,
cinta itu terlalu indah di mata hati hingga mampu menyesatkan mata akal
manusia. Cuma yang menjadi persoalannya , berbaloikah
Zuraimie berkorban untuk Diah ... gadis suci yang tewas dengan godaan
cinta yang menyesatkan . Tersesat dan kini terperangkap dalam jerat permainan cinta itu sendiri.
“Ya Allah!! Kalau boleh ku pinta ,
bebaskanlah aku dari belenggu cinta ini!!!!”. Jerit hati Zuraimie.
Berbaloikah Mencintaimu?
Bagaimana
jika hanya aku
Erat
memimpin tanganmu
Raub
wajahmu nan sayu
Bisikkan
kata penghapus pilu
Agah
memikul sarat beban mu
Laungkan
cinta nan memburu
Orak
langkah satu persatu
Ingin
memeluk milikanmu
Kelak
bersama kita memburu
Agar
cita mekar mencapai mercu
Hidup
selamanya abadi bersatu?
Malangnya
... mencintaimu
Entah
bila hati kita kan bertemu
Naluriku yang kian merindu
Capik
rasanya menahan rasa melulu
Impian
yang bagaikan tetap membisu
Nestapa
dalam jiwa yang membeku
Takut
andai nanti tika sampainya seru
Andai
hatimu tidak lagi sesejuk salju
Impianku
... ingatku , akulah pilihanmu
Mungkin
tika itu ku sangka kau setuju
Uhh!
Rupanya aku masih seorang perindu ...
|
Ziah terluka ...
Petang itu Ziah sibuk
mengemas barang-barang miliknya. Habis semuanya dimasukkan ke dalam beg , mana-mana
yang tidak mahu disimpan lagi terus dicampak masuk ke dalam plastik sampah
hitam. Semalam , hari terakhir peperiksaan. Maka tamatlah sudah program Diploma
Pendidikan yang diikutinya selama setahun. Kini dia hanya perlu menunggu
keputusan peperiksaan dan tempat ‘posting’nya sahaja.
“Moga-moga aku tidak ditempatkan di
Sabah atau Sarawak. Jauh sangat tu. Tapi kalau dah memang rezeki aku di sana ,
nak buat macam mana. Pergi ajalah Ziah. Lagipun bukannya ada sesiapapun lagi di sini untuk kau”. Ziah
bercakap dengan dirinya sendiri , sedih dan kecewa dengan pelbagai perkara yang
berlaku di hujung-hujung pengajiannya.
Sedang Ziah leka berkemas
tiba-tiba tangannya terhenti , matanya tertumpu pada patung beruang yang
terletak di sudut meja belajarnya. Itulah hadiah pemberian Diah , sempena hari
jadinya yang ke dua puluh lima tahun pada bulan lepas.
“Nah!. Siapa kata aku tak ingatkan hari jadi kau”. Hulur Diah sambil menghadiahkan
senyuman manis buat Ziah , sahabat baiknya itu.
“Hmm ... yelah tu. Hari jadi aku minggu lepas. Dah belated sangat dah
pun!”. Ziah sengaja jual mahal.
“Alaa ... kira okeylah tu. Belated seminggu jea. Ambillah , penat aku
pilih tau. Ni warna ‘pink’ ni warna kesukaan aku. Beruang ni pula aku bagi kau
untuk kau peluk masa tidur. Alah ... untuk sementara kau belum ada ‘beruang besar’
untuk dipeluk!”. Usik Diah sambil menyondol-nyondolkan patung beruang itu
kepada Ziah.
“Eeee ... mulut tu!”. Jerit Ziah sambil cuba menepuk mulut Diah sebelum
kedua-duanya tertawa lalu patung beruang itu segera bertukar tangan.
“Huh! Diah aku rindukan kau”. Bergenang
air mata Ziah mengingatkan temannya itu.
“Diah ... kenapa nasib kita jadi
begini?. Kau koma , tidur lena dan bagaikan tidak pedulikan apa-apapun. Tak ada
apa lagi masalah yang perlu kau fikir. Sedang aku ... kecewa dan terus –
terusan kecewa. Aku kecewa Diah!. Orang yang aku cintai sepenuh jiwa raga tidak
mungkin menyahut cintaku lagi. Semuanya sudah musnah. Harapanku , impianku ,
cintaku semuanya sudah hancur berkecai. Sudah tak mungkin dapat disatukan lagi.
Semuanya kerana ... kerana kau , sahabat
baikku sendiri. Aku yakin , kau sendiri tidak mahu perkara ini terjadi
tapi hakikatnya memang inilah yang terjadi. Semua kepedihan dan kesedihanku
kini adalah kerana kau. Kerana kau Diah!!”. Rintih Ziah , air mata mengalir
tanpa diundang. Anak patung beruang dipeluk kemas. Masih jelas dalam ingatan
Ziah peristiwa dia merendahkan maruah diri , mengenepikan ego dan membuang
malunya jauh-jauh demi menagih secebis kasih yang pernah ditawarkan untuknya
tetapi kemudiannya direnggut begitu
saja.
“Ziah, bagaimana awak boleh
membicarakan soal cinta , sedangkan
sahabat baik awak sendiri sedang
terlantar tenat di hospital?!”.
Itulah respon Zuraimie ketika dia memberanikan diri membuka mulut untuk
berterus-terang tentang perasaannya.
“Ziah , awak sedar tak , sekarang ini Diah sangat memerlukan kita. Diah
masih koma. Dia sangat memerlukan sokongan kita sebagai sahabatnya sekarang!”.
“Tapi ....”. Ziah cuba
mempertahankan tindakannya.’Alang-alang menyeluk pekasam’ , maksud di hati
harus disampaikan juga.
“Cukup! Tak perlulah diperpanjangkan lagi perbualan ini” . Zuraimie
segera memotong kata-kata Ziah lalu terus berpaling membelakangkan Ziah.
Melihatkan reaksi Zuraimie itu , Ziah rasa terdesak ...
“Tidak ! Awak harus dengar. Apapun saya terpaksa nyatakan perasaan saya ini kepada awak. Saya
tidak kesahpun akan akibatnya. Apa yang penting , perkara yang terbuku di hati
ini dapat diluahkan. Selebihnya terserahlah kepada awak untuk membuat
keputusan”. Ziah tetap dengan pendiriannya.
Zuraimie terdiam mendengar kata-kata Ziah. Tidak pernah
disangkanya , cukup kuat perasaan gadis ini
terhadapnya sehingga sanggup merendahkan diri sampai begitu sekali.
Timbul rasa simpati di hatinya. Zuraimie sedar , Ziah gadis yang baik dan luhur
pekerti. Ziah memang tidak patut dilayan sebegitu rupa. Memang salahnya kerana telah terlanjur memberi
harapan. Dia yang dahulu membuka langkah , mengetuk pintu hati gadis ini namun
setelah pintu itu terbuka luas untuknya ... segalanya berubah.
Ya , setelah Raziq pergi buat selama-lamanya segalanya telah berubah.
Berubah 360⁰!. Dia tidak mungkin meneruskan langkahnya
walau setapak untuk memasuki kamar hati Ziah malah hati mana-mana gadis lainpun.
Hatinya kini hanya untuk Diah , gadis yang sangat dicintainya sejak dulu , gadis
yang kini sendirian dan terbaring tidak bermaya dan berdaya ...
“Ziah , sebenarnya saya sangat menghargai dan menghormati awak tapi ... seperti
yang awak sendiri tahu , hati saya ini memang sejak dulu lagi sentiasa menjadi
milik Diah. Memang saya bersalah
kerana telah terlanjur memberi
harapan kepada awak. Saya tidak sangka keadaan akan jadi begini. Dalam keadaan
Diah sekarang , saya tidak mungkin menerima insan lain. Maafkanlah saya”. Jawapan Zuraimie itu
bagaikan halilintar menyambar dan membakar hangus hati dan perasaan Ziah.
Setelah sekian lama dia menyimpan perasaan terhadap Zuraimie , ini hasilnya. Cintanya ditolak mentah-mentah!!.
“Tapi Zuraimie , mengapa hati awak begitu mudah berubah?. Apa ... tidak bermaknakah segala yang telah
kita lalui bersama? Atau ... saya ini hanyalah satu persinggahan?”. Tanya Ziah meminta kepastian.
“Ziah , maafkan saya. Asalnya saya memang ikhlas terhadap awak , saya
sangka dengan terbinanya hubungan kita nanti kekecewaan di hati saya ini akan
terubat. Sumpah Ziah , sekiranya saya terlebih dahulu mengenali awak , pasti
awak yang menjadi pilihan. Setelah gagal memiliki cinta Diah, saya pasrah. Saya cuba mencari kebahagiaan saya sendiri.
Sebab itulah saya beralih kepada awak kerana saya tahu awak adalah gadis yang
baik tapi ... keadaan sekarang sudah berubah ...”. Zuraimie tidak tergamak
meneruskan kata-katanya.
“Oh jadi selama ini saya hanyalah akar yang hanya berguna ketika rotan tiada. Begitu?. Awak memikat dan
memainkan perasaan saya sedangkan hati awak masih kepada Diah?”. Tanya Ziah
lagi , teresak-esak dia jadinya setelah menyedari yang dirinya tak ubah seperti
melukut di tepi gantang.
“Ya. Saya mencintai Diah. Maafkan saya Ziah!”. Jawab Zuraimie , jujur. Tiada guna berlapik
lagi , kekadang kebenaran itu memang amat menyakitkan namun ianya tetap jauh
lebih baik daripada suatu pembohongan.
“Mie, awak tahukah yang Diah itu tidak pernah mencintai awak. Diah hanya
mencintai Raziq. Bukan awak!”. Balas
Ziah , cuba membuka celikkan mata hati dan akal Zuraimie.
“Ya , itu saya tahu. Tapi kini Raziq sudah tiada. Diah pula koma. Saya
rasa bertanggung-jawab untuk melindungi dia”. Jawab Zuraimie.
“Jadi awak menolak cinta saya kerana Diah? Semuanya kerana Diah?”.Tanya
Ziah lagi.
“Tidak. Bukan begitu. Saya menolak cinta awak tiada kena mengenanya
dengan Diah. Saya menolak cinta awak kerana saya sedar kini yang saya sememangnya
tidak pernah mencintai awak. Tidak pernah!. Semua yang berlaku antara kita
adalah satu kesilapan. Silap saya. Salah saya. Maafkanlah saya Ziah”. Zuraimie sangat
berharap Ziah faham dan dapat memaafkannya.
“Jadi segala yang berlaku antara kita ... itu semua satu kesilapan?.
Setelah awak memberikan harapan , awak sesukanya merampasnya begitu saja dan
awak katakan kepada saya bahawa semua itu adalah satu kesilapan?”. Balas Ziah ,
dia benar-benar kesal dengan apa yang didengarnya.
“Ya. Maafkan saya. Semua itu adalah satu kesilapan. Saya hanya mencintai Diah. Maafkan saya Ziah
, maafkanlah saya”. Jawab Zuraimie perlahan , dia sendiri kesal dengan apa yang
terjadi.
“Awak tetap memilih Diah walaupun awak tahu dia tidak pernah mencintai
awak walau secebispun?”. Tanya Ziah dan Zuraimie hanya mengangguk.
“Awak tetap memilih Diah walaupun awak sendiri tidak pasti sama ada dia
akan sedar semula atau tidak?”. Tanya Ziah lagi dan Zuraimie tetap mengangguk.
“Awak tetap memilih Diah walaupun awak tahu yang dia sedang berbadan
dua?”. Zuraimie terus mengangguk.
“Awak tetap memilih Diah walaupun awak tahu yang dia sedang mengandungkan
anak Raziq?”. Ziah masih tidak berpuas hati sehingga terlepas kata namun
Zuraimie tetap dan terus mengangguk.
Ziah menutup mulutnya. Air matanya
mengalir semakin deras. Terasa bangsat sungguh dirinya. Diah yang sudah ditebuk
tupai itu masih tetap dipilih berbanding dirinya. Dia kini telah tewas ...
tewas di tangan sahabat baiknya yang tidak mengerti apa ...
“Ya. Saya tetap mencintai Diah walaupun saya tahu yang Diah sedang
mengandungkan anak Raziq!”. Pengakuan ikhlas Zuraimie memukul hebat harga diri
Ziah.
Ziah akhirnya akur. Sungguhpun begitu , Ziah tidak pernah membenci Diah
malah akan tetap menyayanginya. Ziah
juga tidak pernah rasa bersalah
terhadap cintanya ini , malah Ziah sedar
, Zuraimie hanya bertepuk sebelah tangan!.
“Meoww!!!”. Bunyi kucing mengiau di
luar rumah menyedarkan Ziah dari lamunannya. Pantas air mata yang mengalir
disapu dengan tangan yang sedikit berdebu. Tiba-tiba sehelai kertas tisu
dihulurkan kepadanya. Ziah mengangkat kepala lalu mengerutkan kedua keningnya
apabila terpandangkan Ba’ie. Rupanya tanpa disedari Ziah , Ba’ie yang berada di
ruang dapur sedari tadi memerhatikan sikap dan perilaku Ziah melalui pintu
bilik yang terbuka.
“Tangan kau tu berabuk. Nanti rosak
pula mata tu”. Kata Ba’ie sambil terus menghulurkan tisu.
“Tak apalah ... aku dah okey. Simpan sajalah
tisu kau tu”. Balas Ziah. Entah mengapa dia masih tidak boleh menerima
perbuatan Ba’ie yang meluru menamparnya di hadapan Zuraimie pada malam kejadian
Diah kemalangan tempohari.
“Setelah kau tahu yang tiada siapa di
antara kita yang mampu mendapatkan cinta Zuraimie barulah kau mahu berbaik-baik
dengan aku!”. Fikir Ziah di dalam hatinya. Dahinya masih dikerutkan. Tambahan
pula sedikit sebanyak dia termakan juga kata-kata Diah yang mengingatkannya
agar berhati-hati dengan Ba’ie.
“Dia
itu umpama gunting dalam lipatan , hati-hati!”.
“Ya Diah , betul kata kau itu , dia
itu umpama gunting dalam lipatan”. Ziah berkata perlahan , dia tidak pedulipun
jika Ba’ie yang masih di situ mendengarnya.
“Ziah , maafkan aku. Aku tahu aku dah
melampau menyakiti hati kau. Malah aku juga sudah turut campur dalam kehidupan
kau. Aku benar-benar menyesal dan aku minta maaf”. Kata Ba’ie perlahan. Ba’ie
menyesal kerana angkaranya jugalah Ziah akhirnya begitu senang dibuang jauh
dari hati Zuraimie.
“Kalaulah kau tahu aku yang bermain
‘sms’ dengan Zuraimie ... kalaulah kau tahu segala perbuatan burukku ...”. Kata
Ba’ie dalam hatinya , pengakuan yang hanya berani diluahkan di dalam hati. Ba’ie
tertunduk , kesal benar hatinya atas segala yang pernah dilakukannya terhadap
Ziah , rakan serumahnya sendiri.
“Sudahlah Ba’ie . Aku tidak berminat
dengan ‘maksud’ di sebalik kata-kata kau itu. Apapun yang telah kau lakukan di
belakangku , semuanya itu sudah tidak bermakna lagi. Aku tak mahu tahu apatah
lagi mengingati kisah lalu. Hmm ... masih banyak yang harus aku kemas. Kalau
boleh aku tidak mahu diganggu”.
Ba’ie faham maksud kata-kata Ziah itu , dengan langkah
longlai dia melangkah keluar ... “Maafkan aku Ziah!”. Itu sajalah kata-kata terakhir yang dapat dilontarkannya buat rakan serumah yang pernah
dikhianatinya ..
Labels:
Novel
Hijau-biru : Dua warna yang sentiasa cantik di mataku. Seindah warna alam - lelangit dan lautan yang membiru dan pepohonan yang menghijau. Esanya Tuhan yang Maha mencipta!.
Amat menghargai ketulusan dalam semua urusan hidup dan percaya apa saja dari hati akan sampai ke hati.
Subscribe to:
Posts (Atom)