Popular Posts

Tuesday 28 April 2015

Lukis jea...'Sabar itu indah...'

Lukis jea...Aku marah tapi 'Sabar' itu indah...

Tiap insan dalam dunia ini pasti mengharungi pelbagai ujian.
Kekadang aku terfikir gak, wujudkah manusia tanpa
ujian dan masalah?
Bagaimana ya rasanya hidup tanpa diuji?
Kalau umurnya panjang mesti bosan sebab dunia ni fitrahnya adalah tempat kita diuji.
Berat di mata kita tapi tidak pada orang lain.
Sama juga ringan di mata kita tapi tidak bagi orang lain.
Ada orang, putus cinta adalah ujian berat baginya.
Sampai bila-bilapun sakitnya tetap terasa.

Tapi orang lain pula berpegang pada falsafah...bunga bukan sekuntum dan kumbangpun bukan seekor.
Pendapat kalian?

Pendapat aku?
Hmm...tak semua yang kita inginkan akan kita perolehi. Semuanya bergantung kepada rezki yang telah tertulis.
Belajar menerimanya, bukan mudah tapi ianya bukan juga  pilihan dan mungkin ianya adalah  merupakan satu pembelajaran sepanjang hayat.
Hmm...

Ada orang lain pula, ketenangan dan kebahagiaan hidupnya tiba2 dirampas dek apa jua sebab yang menjadi alasan sesuatu itu terjadi.
Asalnya dia adalah seorang yang sentiasa tenang dan gembira mengharungi hari2 mendatang, tiba2 saja dalam sekelip mata sesuatu terjadi hinggakan sekuntum senyuman pun tidak lagi mampu dipamerkan.
Namun , bolehkah kita mengalah?. Mengambil sikap berputusasa atau bersedih dan murung sepanjang masa?.

Hmm...
Jawab saja semahumu.
Tiada salah dan betulnya kerana tiap kita punya hak untuk fikir dan merasai apa saja dijiwa.
Semua itu menjadikan kita sebagai kita.
Aku tidak mungkin mampu memaksakan fikiranku dan perasaanku kepada kamu semahuku begitu juga sebaliknya kerana tiap kita adalah unik dan tersendiri.

Dan dalam apa jua keadaan kita pasti beruntung jika di kelilingi oleh para sahabat yang sentiasa berkata benar walaupun pahit dan sering saja berpesan2 dengan kesabaran.

Aku harap aku punya sahabat seperti itu



-peace-
>__<

Hmm...baru ni seseorang bertanyakan aku,
"Awak marah siapa sebenarnya?"
Jawabku..."tiada siapa2"
Sebab perkara2 di luar kawalan atau tiada daya kita mengubahnya tiada gunanya kita marah
Walau hakikatnya kita memang marah!
Huhuhu

Saturday 25 April 2015

Lukis jea ... trust n respect

Lukis jea ... 'Trust n Respect'
...to build n maintain great relationship...



-peace-
>__<

Sesekali speaking ongputih dlm blog aku nie
Hmm....aku cuma nak kawan ngan orang yang caya
kat aku dan tahu menghormati aku seadanya
Sebab aku bukan orang canggih manggih
Aku orang yang terlalu biasa-biasa saja
dan dah terlalu banyak buat silap.
Terima aku as aku
Hmm...

Thursday 23 April 2015

Lukis jea...carikan aku bayang itu...

Lukis jea ... carikan aku bayang itu

Kalau bolehlah aku luahkan apa yang ada di hati...
Bagai biasa di dengar
'Simpan saja di hati'
'Simpan saja di hati'
'Simpan saja di hati'
Untung2 boleh dibawa mati


-peace-
>__<


Jadi saja diri sendiri...itu jauh lebih baik
Dan
kebenaran itu tetap jauh lebih baik dari suatu pembohongan atau lakonan.

Saturday 18 April 2015

Lukis jea ...'Tika laut menggila'

Lukisan aku petang nie...sudi2kan...

Lukis jea ... 'Tika laut menggila'

Teman...
tika lautmu menggila
Kapalmu bagaikan karam
Gantungkan sepenuh harapan
Pada Dia , Allah...tuhan yang Esa

"Cukuplah Allah bagiku"
Serah dan pasrahlah pada takdirmu




-peace-
>__<

Teringat satu ketika aku pernah berikan seorang teman sekeping gambar lukisan-sebuah kapal dipukul gelora atas 2 sebab
1. Aku memang suka lukisan
2. Dalam hidup pasti ada 'gelora'
Dan gambar lukisan itu akhirnya dikembalikan
 semula padaku dalam keadaan aku tidak menerimanya.
Hmm ... kehidupan..

Kemudikan kapal hidupmu sebaiknya


Tuesday 14 April 2015

Lukis jea ... 'keindahan gelora'

Lukis jea ... keindahan gelora

Hmm...kalau hidup kita ini sentiasa bahagia tanpa pernah kenal perit
Maka pastinya bahagia itu akan kurang manisnya.

Aku lukiskan lukisan ini istimewa buat tatapan sesiapa saja yang rajin menjenguk blog aku yang tak seberapa ini.



Salam hormat
-peace-
>__<

...dan tiap kali aku melukis , ianya adalah luahan
perasaan yang kusalurkan melalui lorekan
tangan yang akhirnya akan sampai dan menyempurnakan hatiku sendiri.

-aku suka melukis-
Walaupun hasilnya tak seberapa🤣

Wednesday 8 April 2015

Fikiranku...Bolehkah aku pinta itu?

Lukis jea...air yang mengalir turun itu dapatkah ditahan?

***Hidup ini bagai mencoret buku***ojai
Sehelai demi sehelai
Tercatat kisah demi kisah
Umur darab 365 helaian telah tertulis
Sudah ribuan cerita
Sudah ribuan tawa
Sudah ribuan air mata
Sama saja timbang beratnya

Tapi mengapa ya?
Air mata juga yang lebih membekas
Helaiannya sering saja terselak
Menggores luka yang lama menguping
Menghimpit semakin dalam
Segala rasa yang cuba dipendam diam
Membongkar dengan rakus
Meratah tenang yang dipertahan

Baki umur darab 365
Tolong janjikan cerita suka
Sebab aku sudah jemu muak jelak
Membelek kisah duka
Kalau boleh aku pinta
Padamkan saja cerita itu dan itu
Pada helaian yang nilai diriku
Sudah tiada ...
Koyak buang jauh jauh
Biar aku sendiri boleh lupa
***Dan tak sedar akan wujudnya***

Bolehkah aku pinta itu?
-peace-
>__<
-tAk sUkA-

Monday 6 April 2015

Fikiranku ... Kisah Kita

Lukis jea...bunga
Masa aku sekolah rendah dulu aku suka lukis bunga.
Tak cantikpun...entah bunga jenis apa...
Tapi aku tak kesah....dan petang ni rasa nak lukis bunga juga.
-sorrylah ye....tak cantikpun-


Berlegar-legar cerita kita dalam pemikiranku. Entah mengapa , sudah dua hari hatiku bagai digamit untuk mengabadikan kisah kita. Mungkin juga kerana aku rindu menyebabkan segala kenangan yang masih tersisa dalam ingatan bermain dan berputar-putar dalam ruang ingat.
Lantas dikesempatan ini aku coretkannya di sini agar ia tidak lagi menghantui aku ...
Kisah kita?
Siapa kita itu?
Kita ... Kau , aku , akak dan adik kita ... kiranya aku adalah yang ketiga. Kata orang , anak ketiga ini sering terabai.
Yalah , kau anak sulung sentiasa menjadi harapan mak abah. Adik kita yang bungsu sentiasa dimanjakan dan segala mahunya akan dipenuhi. Akak , sememangnya sabar menerima segalanya dan aku , anak ketiga-tentunya aku memberontak dalam diam!
Zahirnya tabah dan sentiasa mengalah , hakikatnya ... Heh heh heh!
Bukan sekali  aku merajuk , menyorok di bawah katil gara-gara adik kita dapat sesuatu yang aku juga inginkan. Tapi sayang , siapa yang sedar rajukku itu?
Tapi ... itu semua kisah lalu. Aku tidak berdendam dengan sesiapa.Malah aku sayangkan mereka semua yang sering sahaja mengabaikan aku yang merajuk sendiri.
Kau tahu , aku sebenarnya sayang sangat kau. Kau ingat tak dulu masa aku sekolah darjah satu dan kau sekolah darjah lima di sekolah yang sama , tinggal lagi aku bersekolah pagi dan kau bersekolah di sebelah petang. Belanja sekolah masa tu tak lebih daripada dua puluh sen. Ya lah , abah kita askar biasa. Dulu askar miskin , gaji seciput.
Aku ingat lagi duit belanja yang seciput tu pasti aku tinggalkan sikit untuk kau. Aku tunggu kau datang di tepi pagar masa rehat. Selalunya kau akan sampai waktu itu dan pasti aku akan hulurkan baki duit untuk kau belanja. Kau tahu kenapa aku buat macam tu?
Sebabnya aku tahu , sikitnya duit belanja kita...dan kita sering saja tengok orang lain berbelanja.
Kau mesti ingat , tiap kali mak masak makanan yang istimewa.
Aku , akak dan adik  sering saja tinggalkan sedikit untuk kau. Best jadi kaukan?. Kami bertiga sayang sangat kau.
Masa kau berkhatan , kau tidak boleh banyak bergerak. Makan pun berpantang. Entah mana idea  mak dapat , kau tidak dibenarkan makan sebarangan. Tiap hari makan nasi dan garam sahaja sampailah sembuh luka berkhatan. Kau macam tak 'happy' jadi kami adik-adik kau ni selalu saja duduk di sekeliling kau , temankan kau makan. Layan kau macam raja ... kami tak kesah buat semua itu sebab kau memang baik. Kau jaga kami dan rajin layan kami.
Selalu saja , petang hari selepas kita semua siap mandi , kau akan bawa aku , akak dan adik jalan-jalan. Kita tengok burung-burung pulang petang. Kita juga tengok orang-orang lelaki bergegas mahu ke surau. Pernah satu ketika , aku tersilap. Aku hampir-hampir pegang tangan budak lelaki depan tu kerana menyangka dia itu adalah kau!. Nasib baik tak pegang , kalau tak batal air sembahyang dia!! Hahahah!!!
Tidak cukup dengan itu , bila hari kita tidak bersekolah , kau bawa kami semua ikut kawan-kawan kau merayau merata. Kita pernah memancing di tengah hutan manapun aku tak tahu. Masuk semak cari kayu buat lastik. Makan keledek mentah yang kita gali dikebun tepi lombong , kita mandi senyap-senyap. Siap kutip siput lombong dan beri pada makcik yam untuk dimasak. Kaulah yang kenalkan aku dengan ikan 'tiger fish'. Kau ingat tak semua itu. Aku rasa banyak yang kau dah lupa. Tapi aku tidak pernah lupa semua itu.
Ingat tak , dulu kita selalu main kejar-kejar dengan anak-anak jiran. Selalunya aku akan 'lengit' bila aku yang jadi. Nak nangis pun ada masa tu. Tapi biasanya kau akan jadi 'hero' aku. Kau akan gantikan aku untuk kejar budak-budak tu.
Pernah juga budak-budak tu ejek aku 'lengit' dan aku menangis. Kau datang pujuk dan lekapkan muka aku pada perut kau. "Dah! dah! Jangan nangis". Baiknya kau masa tu.
Dan dalam keluarga kita, akulah yang mula-mula pakai tudung. Kau tahu macam mana hatiku boleh tergerak nak pakai tudung?
Ingat tak , suatu hari di  rumah nenek. Masa tu aku sudah tingkatan satu dan kau tingkatan lima di Victoria Institution (Vampire Idiot! Hahaha...jangan marah).
Masa tu aku pulang bercuti.  Lepak rumah nenek tu dah jadi perkara biasa. Masa aku tengah duduk lepak-lepak di tingkat bawah , tetiba kau turun dari tangga sambil memegang sebatang pen pilot. Tersengih-sengih lalu kau hulurkan pen itu kepadaku. Aku apa lagi , mestilah happy gilerr. Elok saja pen tu berada di tanganku maka kau pun berkata , "Abang suka kalau adik abang pakai tudung".
Wah! Rupanya pen itu hanyalah umpan untuk menyampaikan hajat kau. Hmm ... tapi aku tak kesah sebab aku tahu niat kau baik. Tidak lama selepas itu , aku kembali ke asrama di Muar Johor dan di sana aku telah mengambil keputusan untuk bertudung. Tudung scarf kecil yang diikat di belakang. Aku buat keputusan sendiri tanpa berbincang dengan sesiapapun. Masa tu tidak ramai yang bertudung hinggakan guru kelas aku siap tanya , "Mak dan ayah kamu benarkan ke kamu bertudung?".
Hmm ... benarkan atau tidak , ada aku peduli?. Aku tidak tahupun kalau mereka benarkan atau sebaliknya. Tapi , Alhamdulllah. Mereka tidak membantah malah , akhirnya mak kita juga turut bertudung. Itulah antara jasa terbesar kau pada aku dan aku amat hargainya , mungkin kau sendiri tidak sedar tentangnya.
Masa berlalu , akhirnya kau berjaya ke Universiti Malaya. Belajar di sana untuk setahun atau dua (aku sendiri kurang pasti) sebelum kau berlepas ke Jepun. Sepanjang kau di Jepun , kita sering berutus surat. Masa aku tahun satu di UKM , kau sudah di tahun akhir. Kau pernah kirimkan duit RM 300 pada aku. Aku tak pernah minta pun. Tapi dah kau beri , aku terima dengan tangan terbuka. Kau juga mula memperkenalkan aku pada 'kawan perempuan' kau. Patutlah kau beria-ia minta gambar aku dan  aku kirimkannya  melalui pos. Aku berpura-pura okey walaupun sebenarnya aku mulai terasa 'kurangnya perhatian kau' terhadapku. Pernah satu ketika aku luahkan perasaanku dan kau kata , "Hmm ... abang kan dah besar. Mestilah ada makwe". Dan aku terpaksa belajar menerimanya. Bila kau ajak 'kawan perempuan' kau lepak rumah mak dan abah , akulah yang jadi kawan dan teman dia. Aku okey aje ... asalkan kau happy.


Cakap pasal 'kawan perempuan' kau ni buat aku teringat suatu peristiwa. Masa tu bulan Ramadhan , kau balik rumah untuk berbuka bersama keluarga. Kebetulan kitorang tak masak nasi sebab ada juadah lain yang agak berat. Masa makan waktu berbuka tu kau tanyakan nasi dan mak jawab , "Laa ... nak nasi ke , mak tak masak nasilah". Kesian aku tengok kau masa tu. Lalu aku segerakan berbuka puasa kemudian terus ke dapur masakkan nasi.
Kau perasankan aku lalu kau bertanya , "Buat apa tu?". Mak yang ada di situ terus berpaling memandang ke arahku. Lalu aku berkata sambil tersengih , "Masak nasi!".
Kau dan mak turut tersengih. Lepas tu kau kata , nanti kau nak cari isteri macam akulah!. Wah! Aku tersengih lagi panjang ... "Iyo iyo aje nak cari isteri macam aku! Ceh!!"
Namun takdir tersurat akhirnya menentukan yang kau bernikah dengan orang lain.( Bukan dengan dia , dia atau dia yang pernah menjadi 'teman baik' kau). Calon kau kali ini adalah anak teman baik mak dan abah.Demi menjadi anak yang baik dan tidak mahu digelar anak durhaka , kau turutkan saja keinginan mak dan abah. Aku yang sememangnya selalu pasrah dengan takdir bersetuju dengan tindakan kau. Yalah , masakan kita harus menyakiti hati mak dan abah. Merekakan orang tua kita yang telah terlalu banyak berkorban untuk kita.
Tapi aku tidak sangka , lepas satu ... satu perkara yang terjadi sehingga kita akhirnya semakin jauh...jauh...dan terus jauh. Bukan sahaja jauh secara fizikalnya malah jauh juga di hati. Setahun tidak sekali kita dapat berjumpa. Kau dengan kehidupan kau dan aku dengan kehidupanku.
Kekadang aku tertanya sendiri , apa kurangkah nilai kasih sayang dan segala kenangan yang pernah kita bina bersama. Kenangan lalu ... kau , aku , akak dan adik. Tidak cukupkah semua itu membuka mata kita bahawa 'air dicincang seharusnya tidak akan putus'.
Apapun aku doakan agar kau sentiasa diberkati Allah dan agar kau tabah dengan segala ujian hidup.
Ingatlah , di kala kau rasa sendiri , sebenarnya ada aku yang mendoakan kau dari kejauhan.


-peace-
>__<


Hidup ini sememangnya satu perjalanan yang panjang... 




Thursday 2 April 2015

Lukis jea...Terima kasih abang

T
Lukis jea ... terima kasih abang...

Beberapa hari lepas aku terlihat gambar yang menggerakkan emosiku
Lalu atas kelapangan sedikit waktu yang ada,
aku melakarkannya.

Terima kasih abang atas semua kenangan manis
dan kasih sayang yang pernah kau beri terhadap
kami , adik2 mu dulu...
Walau semuanya telah lama berlalu,
sekurang2nya kau pernah menjadi abang terbaik
kesayangan kami.


-peace-
>__<