Popular Posts

Friday 4 April 2014

Hari 'syahdu' ...

Seorang teman 'rindu'kan ngomelanku ... Hahaha (Ops! Gurau jea - jangan ambil hati)

Sememangnya sedari semalam aku ingin menulis sesuatu dalam ruangan ini untuk kukongsikan dengan yang sudi.
Kenapa yea sampai mahu berkongsi bagai?

'Ia' adalah sesuatu kejadian yang mengundang ' kesyahduan' dalam hatiku ini ...
'Ia' juga mengajar aku bahawa hidup ini bukan milik kita untuk kita memiliki segala yang kita impikan.
'Ia' juga membuatkan aku lebih memahami dan berlapang dada dengan kekurangan orang lain
'Ia' membuatkan aku bersyukur dengan segala kurniaan tuhan ...


'Ia' yang ingin kubicarakan adalah soal 'Perceraian' ... perceraian?. Yup! Perceraian

Perceraian
'Jalan keluar' yang dibenarkan oleh syara' dan kanun manusia apabila 'hubungan suci' yang dimeterai oleh janji setia bersaksikan yang Haq dan para wali dan waris , kini menemui jalan buntu untuk mencari titik persefahaman atas seribu satu alasan sedang hakikatnya 'jodoh' sudah tiada.

Mudah untuk kita mengungkapkan kata -'Jodoh sudah tiada'. 
Namun setiap kali jalan ini dipilih bagi menyelesaikan masalah yang sudah tidak terurai lagi , siapakah sebenarnya yang menjadi 'mangsa' dan tersepit di celah  lafaz 'talak' yang dijatuhkan?. 
Inilah yang ingin ku bicarakan ... kisah benar yang tidak ku tokok tambah 

Semalam - aku mengistiharkan semalam sebagai 'hari sibuk' dan 'hari syahdu'ku.
Seawal jam 7:20 pagi sudah ada seorang ibu yang menungguku untuk membincangkan soal salahlaku disiplin yang berlaku sehingga menyebabkan anaknya menjadi 'mangsa'. (Aku melayannya dengan sabar -mendengar luahan kisahnya yang panjang lebar dan berjanji kepadanya untuk mengambil tindakan selanjutnya bagi mengawal dan menghentikan salahlaku yang dimaksudkan. Wah! sudah gila kuasa aku ini. Segala-galanya ingin aku lakukan.  Heee ...)

Setelah mengiringi 'ibu' ini balik maka aku bergegas pula ke kelas 5Sc1 - membincangkan jawapan Ujian Penilaian 1 mereka dan kemudiannya ke kelas 4Sc2 - mengajar mereka menjalankan eksperimen untuk membuktikan 'Second Newton's law : F = ma. 
Rehat 20 minit sebelum ke kelas 1 KRKB untuk mengajar matapelajaran PSK ( Pendidikan Sivik dan Ketatanegaraan).
Hari ini aku mengajar tajuk dalam Tema 2 ; Kekeluargaan.
Sebagai set induksi aku melukiskan gambar seorang murid lelaki dan seorang murid perempuan di tengah-tengah papan putih menggunakan 'marker'.
'Ini awak ... dan ini pula awak!".  Kataku
"Hahaha ... ini gambar ketua kelas cikgu. Sebab dia yang pakai cermin mata!". Balas seorang anak muridku. Serentak dengan itu mereka yang lain saling memadankan gambar 'kartun' itu sesama sendiri sambil merenyih-renyih - suka kalau dapat kenakan kawan! (Biasalah kan).

Aku layan saja mereka kerana padaku pengajaran dalam PSK ini sememangnya harus diajar dengan cara yang santai dan menyeronokkan.
Maka aku mengajak mereka berbincang tentang pelbagai perkara berkaitan  dengan isu 'kekeluargaan'.

Apa itu keluarga?
Apakah faktor yang mempengaruhi hubungan kekeluargaan?
Bagaimana mengukuhkan hubungan kekeluargaan ini?
Apa yang patut dibuat untuk membentuk keluarga bahagia?

Cadangan demi cadangan diberikan oleh anak-anak muridku ini. Antaranya ;
Pergi melancung bersama-sama
Berkelah 
Habiskan masa bersama ahli keluarga
Makan bersama ahli keluarga
Solat berjemaah
dan banyak lagi ...

Maka aku memuji semuanya sambil menyatakan jawapan yang palingku suka ialah 'makan bersama keluarga'
"Tapi cikgu ... saya selalu makan sendiri-sendiri"
"Saya juga! Saya pun!"

"Kenapa tak makan sama-sama?"
"Ayah saya selalu out station"
"Emak dan ayah saya busy- mereka selalu busy"
"Emak saya ada kedai , dia sentiasa balik lambat. Saya makan sendiri"
"Saya lapar ... tak larat nak tunggu dia orang balik. Dia orang selalu balik lambat"

"Yeke?
Kalau tak dapat makan bersama setiap kali , cubalah makan bersama sekurang-kurangnya sekali sehari. Contohnya untuk waktu makan malam. Kalau tak dapat juga , seminggu sekali atau mungkin pada hujung minggu. Kalau hujung minggu pun  tak dapat juga  , bila-bila mak dan ayah kamu ada , kamu pastikanlah kamu sekeluarga makan bersama". Cadangku.
"Boleh?"
"Boleh cikgu!". Ada yang jawab dan ada yang hanya memandangku  'penuh makna'.

"Masa makan , kamu bercerita tak?".
"Ya!"
"Tak!"
"Mak saya marah kalau mulut penuh kita bercakap!"

"Siapa yang mak atau ayah dia kata - jangan bercakap masa makan!!"
"Tak dalah diam terus , boleh cakap sikit sikit"
"Bagus , sebab masa makanlah kita boleh bercerita sesama ahli keluarga"
"Cerita apa cikgu?"
"Apa-apa saja . Kamu boleh cerita tentang apa yang berlaku pada kamu hari ini atau kamu boleh ceritakan pada mereka apa yang kamu belajar di sekolah. Mereka juga boleh bercerita tentang apa yang mereka buat untuk kamu dengar ... bla bla bla"

Dalam aku leka melayan anak-anak muridku bercerita , tiba-tiba mataku terpandang seorang daripada anak murid perempuanku menangis. Air matanya tumpah tiada henti sedang dia mengelapnya berkali-kali. Qistina yang duduk disebelahnya menggosok-gosok bahunya cuba memujuk. Hatiku menjadi hiba tiba-tiba dan terdetik di hatiku - pasti ada yang tidak kena dengan 'keluarganya' ini. Mungkin juga ayah atau ibunya sudah tiada.

"Baiklah anak-anak murid cikgu semua. Kita ada perkara yang lebih serius. Kawan kita ini dalam kesedihan". Aku menghampiri Hani lalu menyentuh bahunya. Murid yang kupanggil 'Hani' ini kuusap belakangnya lalu berkata, "Kenapa awak menangis?"
"Emak dan ayah dia sudah bercerai cikgu". Qistina yang tolong jawabkan.
"Oh!". Aku terharu
"Bila mereka bercerai?"
"Tahun 2012 cikgu". Jawab Hani sambil terus mengesat air matanya yang tidak mahu berhenti".
"Ya Allah beratnya ujian awak . Sabar yea hani..." pujukku.

Tiba-tiba ...
"Cikgu! Mak dan ayah sayapun dah bercerai!". Sampuk Fitri.
"Ya?. Bila mereka bercerai?"
"Dah lama cikgu. Masa saya tahun 1". Jawab Fitri selamba.

Aku menarik nafas panjang sebelum meneruskan bicara ... (Ketika ini kelas jadi sunyi sepi)
"Anak-anak murid cikgu dengar , ada perkara yang boleh kita ubah maka berusahalah untuk mengubahnya ke arah yang lebih baik tetapi  jika perkara itu tak mampu dan tidak boleh kita ubah lagi , belajarlah untuk menerimanya supaya hati kita tenang dan kita tidak terus-terusan bersedih".

"Memang banyak perkara yang kita ingin tapi hidup kita ini adalah mengikut takdir yang telah ditentukan tuhan. Bagi anak murid cikgu yang beragama islam , awak kena yakin Allah tidak akan uji awak kalau awak tidak mampu menghadapinya". 

"Kenapa dalam ramai-ramai kita di sini , Allah menguji Hani dan Fitri untuk melalui semua ini?.
Jawapannya kerana mereka adalah 'insan-insan terpilih' yang Allah sayang dan tahu bahawa mereka kuat dan akan mampu menghadapinya. Hani , Fitri ... awak berdua kuat sebab itulah awak diuji berat begini". Fitri menundukkan wajah sedang Hani tambah menangis (Aduhhh ... memang aku ni lembab bab memujuk agaknya)

"Cuba ingat sejarah Nabi kita , Muhammad (saw). Sejak dalam kandungan  , ayahnya sudah meninggal dunia. Masih kecil ibunya pula meninggal hinggakan, tinggal dengan datuk kemudian datuknya pula meninggal dunia ...  dia akhirnya terpaksa tinggal bersama bapa saudaranya dan membantu bapa saudaranya  mengembala kambing. Sedangkan masa itu dia masih kecil , masih perlu bermanja ... berat tak ujian yang Allah berikan kepadanya?"

"Kenapa Allah beri ujian begitu?. Rupa-rupanya itu semua untuk menjadikan nabi kita seorang yang tabah , kuat semangat dan tidak mudah putus asa kerana Allah telah memilihnya untuk menjadi nabi dan rasul yang sudah tentu sangat banyak cabaran dan besar dugaan yang harus ditempuhinya. Lagi pula , Allah mahu baginda bergantung harap hanya kepadaNya".

"Jadi Hani , Fitri ... ini semua adalah ujian dan latihan yang Allah beri kepada awak untuk menjadikan awak manusia yang kuat dan hebat di masa depan. Bersabar yea ... "

"Untuk anak-anak murid cikgu yang lain , bersyukurlah awak masih ada ayah ibu dan tinggal bersama sekeluarga. Hargai setiap ahli keluarga awak ... bla bla bla ".

Begitulah antara dialog yang kuucap dalam kelas hari ini. Sepanjang proses perbincangan dan perbualan kami , aku terpaksa berkali-kali mengusap dan memujuk Hani yang air matanya bagaikan tidak mahu berhenti mengalir. Fitri yang asalnya kelihatan 'kuat' , akhirnya turut menangis. Dia juga kupujuk dengan ucapan keramat ... "Sabar ... sabar ..."

Diakhir kelas , murid-murid perempuan bersalaman denganku. Hani ... masih dengan wajah sedih yang cuba diselindunginya turut bersalaman denganku. Bahunya kusentuh , lantas dia memelukku. Walaupun  seketika , hatiku terasa begitu sebak mengenangkan derita seorang 'anak' yang berusaha menerima 'perceraian' yang menimpa kedua ibubapanya yang tentunya sangat disayangi ... sudah dua tahun usia perceraian itu tapi pedihnya masih dirasai olehnya hingga ke hari ini.

Maka itulah kisah sedih muridku yang menjadikan hariku semalam begitu syahdu ... 

Itu baru satu kisah ... terbawa-bawa oleh kesyahduan itu aku menghadiri mesyuarat kurikulum-post mortem SPM dan hanya berakhir pada pukul 5:30 petang. Hujan lebat turun mengiringi perjalananku untuk mengambil anak di kampung Dato' Abu Bakar Baginda. Dari Cyberjaya ke Dato' Abu Bakar Baginda perjalanan yang panjang dan pemanduan yang perlahan dek kenderaan yang semakin banyak dan cuaca yang tidak mengizinkan untuk memecut , aku membuka radio FM-87.9 entah apa nama rancangannya - kisah coretan yang dihantar dibacakan oleh pengacara radio dengan nada suara yang sangat sedih. Kisah seorang kakak yang meratapi kematian adiknya yang menghidap kanser payudara. Kesedihan dan kesengsaraan yang dilalui adik bungsunya itu diceritakan begitu detail hinggakan memaut ingatanku pada penderitaan arwah ibuku sendiri yang meninggal kerana kanser! (Waaa ... sedihnya. Tak pasal-pasal air mataku mengalir bersama hujan yang masih belum berhenti)

Tidak cukup dengan itu , usai solat maghrib aku keluar ke kedai bersama seorang anak lelakiku untuk membeli 'straw' buat anak bungsuku. 'Straw' itu akan digunakan dalam kelas seni esok. Sedang aku menunggu anak lelakiku membeli 'straw' di kedai , tanganku menekan punat radio dan kebetulan sebuah lagu (entah apa tajuknya) sedang berkumandang ... alahai sedihlah pulak liriknya. Ini antara yang ku ingat ...

Di saat bonda membeku
Terpaut di dadaku
Nanana na na na na (Tak ingat...)
Gemercik air pancuran
Mengusik kesyahduan
musnahlah kenangan
Apakah ini suratan yang telah ditakdirkan
Sendiri kesepian

Masih terbayang di ruang mataku
Kala engkau membelai mesra rambutku
Air matamu membasahi wajahku
Kau ucapkan nada sendu
Mengiringi langkah pemergianmu

Apakah ini suratan yang telah ditakdirkan
Sendiri kesepian


Dan hari ini ada lagi lagu syahdu (Nasyid-perpisahan) yang ku dengar didendangkan oleh kumpulan nasyid sekolah dalam majlis perpisahan pengetua. Perpisahan pengetua itu tidaklah membuatkan aku bersedih kerana adat bekerja - saya yang menurut perintah , pengetua sekolahku diarahkan berpindah ke sekolah lain. Tapi lirik nasyid itu yang menyentuh hati ... menggamit ingatanku pada banyak kenangan. Kenangan yang tidak bisa kulupakan ... (Waaaa ... ini hari 'syahdu'ku!!)