Popular Posts

Sunday 1 January 2017

Novel 2 : Selepas Hujan Bab 15


Bab 15 :        Hari Bahagia
Lukis jea ... bila cinta itu diuji

Sandarkan  kepercayaanmu padaku
Andai itu juga tiada ...
Pastinya kita tidak akan pernah menyatu

Kamal Nekad
         Hari ini Kamal bangun dengan tekad yang penuh di dada. Mahu tidaknya , semalaman dia menghabiskan masa berfikir dan terus berfikir akan langkah yang patut diambilnya demi membalas kembali perbuatan mereka yang sengaja menyakitinya. Menyakiti hatinya , menyakiti perasaan ibu tuanya dan menafikan hak mereka sebagai seorang manusia yang juga punya perasaan dan keinginan. Sama sahaja seperti manusia lain! Sama sahaja seperti mereka semua.

Hari bahagia Ziah dan Abang Anip
         Ziah pula telah selamat diijabkabulkan dengan abang Anip. 13 November  adalah tarikh mereka  sah bergelar suami-isteri. Majlis serba sederhana yang diadakan dikampung Ziah minggu lepas cukup meriah. Sungguhpun begitu , sebaik sahaja majlis pernikahan selesai dijalankan pihak pengantin lelaki segera meminta izin  untuk pulang. Tinggallah Ziah sendirian ... pengantin baru yang ditinggal suami!.
“Memang itu adat kami. Hanya setelah bertandang ke rumah mertua barulah mereka boleh bersatu”. Terang makcik Midah. Memang itulah adat yang dipegangnya turun-temurun.
“Adat negeri mana tu?”. Tanya ibu Ziah , agak tidak berpuashati dengan permintaan karut marut pihak lelaki.
“Masakan pengantin perempuan ditinggalkan sendirian”. Fikir ibu Ziah.
“Entahlah , tapi memang itulah adat di kampung kami”. Jawab makcik Midah dengan senyuman.
“Alah! Tak mengapanya , takkan lari gunung di kejar!”. Sambung makcik Midah lagi sambil mencuit lengan ibu Ziah. Ibu Ziah tersenyum tawar.
“Yelah ... kalau dah gitu adatnya. Kami tiada halangan”. Balas ibu Ziah , sambil memerhatikan kedua mempelai. 
“Hmm ... kasihan!”. Katanya di dalam hati.

Minggu yang menyeksakan ...
         Seminggu berjauhan bagaikan rasa setahun. Rindu dendam kedua mempelai bagaikan sudah tidak tertanggung.
“Berbeza rupanya rindu buat kekasih dengan rindu buat isteri tercinta”. Keluh abang Anip , bersendirian melayan  perasaan di kamar yang bakal menjadi sejarah terindah buat mereka berdua. “Ziah!!! ... rindunya aku padamu!”. Keluh abang Anip.
Tersedak-sedak Ziah dibuatnya. Cawan kopi-O panas yang baru seteguk diminum itu segera diletakkan semula.
“Hmm ... kenapa teruk sangat?”. Tanya ibu Ziah.
“He he he ... salah minum mak”. Jawab Ziah sambil tertawa.
“Hmm ... laki kau sebut-sebut nama kaulah tu!”. Usik ayah Ziah.
“Ah! Ada-ada saja ayah ni!”. Balas Ziah , malu.
 Ziah sengaja mengambil peluang yang ada menghabiskan masa sebaiknya duduk berbual dengan kedua orang tuanya sambil minum-minum. Biskut kering cicah kopi-O panas menjadi hidangan akhir mereka malam itu.
“Ziah , mak hairanlah . Punya lama kau belajar di Universiti  dulu takde sorang pun yang sangkut. Elok tak sampai beberapa bulan kerja di Pagan Sena tu dah terus nikah. Apa istimewanya Haniff tu?”. Tanya ibu Ziah.
“Hishh! Awak ni. Itulah jodoh namanya”. Balas ayah Ziah.
“Ya mak. Itulah jodoh namanya”. Ziah menjawab sambil tersenyum.
“Ni mak nak tanya. Haniff tu kerja kampung saja kan?. Agak-agaknya pendapatan kau jadi cikgu tu jauh lebih besar daripada pendapatannya , iye?”. Tanya ibu Ziah lagi.
“Hmm ... mak , ayah. Abang Anip tu bukan budak kampung biasa. Dia ada kelulusan ijazah dalam bidang pertanian daripada UPM. Sebab tu dia balik ke kampung mengusahakan tanah dan kebun keluarganya”. Ziah berkata lembut , menjawab soalan ibunya dengan sopan. Ziah tidak mahu kedua ortang tuanya itu memandang rendah suami tercinta.
“Ooo gitu. Mak ni bukan apa Ziah , mak cuma tidak mahu  hidup kamu esok-esok hari susah”. Ibu Ziah melahirkan rasa hatinya.
“Hishhh! Awak ni. Tak ada maknanya kerisauan awak tu. Mereka dahpun selamat diijabkabulkan. Tak ada gunanya awak mengungkit pasal kerja atau pendapatan anak menantu awak tu. Tugas kita sekarang hanyalah untuk mendoakan kebahagiaan mereka. Tentang rezeki tu usahlah awak risau. Selagi mereka mahu berusaha adalah jalannya. Mereka orang terpelajar bukan budak tak tentu arah!”. Nasihat ayah Ziah. Ibu Ziah diam mengangguk.
Ziah hanya tersenyum mendengar kata-kata kedua orang tuanya. “Kalaulah mereka tahu keadaan abang Anip yang sebenarnya!”. Katanya di dalam hati. Entah mengapa tiba-tiba resah menjamah hati ...
“Hmm ... bagaimanalah aku boleh jatuh cinta dan menerimanya sebagai suami”. Fikir Ziah sendiri.  Dia sendiri tidak pernah menyangka , lelaki ‘pelik dan  penuh misteri’ yang seringkali menjengkelkan ini akan menjadi lelaki yang paling bermakna dalam hidupnya.  “Semuanya sudah tertulis” . Bisik hati kecilnya.

Majlis menyambut menantu
         Hari ini berangkatlah Ziah ke rumah mertuanya. Majlis menyambut tetamu itu diadakan cukup meriah. Habis seisi kampung dijemput.
“Ini adalah hari yang paling gembira buat mak. Sudah terlalu lama mak menunggu tibanya hari ini. Biarlah kita buat besar-besaran sedikit. Biar meriah!”. Makcik Midah menyatakan hasratnya kepada suami dan anaknya ,abang Anip. Memang benar , mereka berhak untuk gembira besar pada hari ini. Semuanya kerana abang Anip yang duhulunya  murung  dan menyendiri kini sudah kembali ceria. Segalanya sudah berubah. Berubah kerana Ziah!

Aku tumpang gembira ...
         Dalam kemeriahan majlis yang berlangsung , ingatan Ziah  kembali menjengah  nasib sahabat baiknya Diah.
“Ziah nanti bila habis tempuh berpantang , aku dan Zuraimie dah buat keputusan akan bernikah. Kami akan buat majlis kecil-kecilan saja. Tapi sebelum tu aku akan cuba berbaik semula dengan emak dan abah aku. Kalau boleh nak minta abah aku walikan aku . Kalau dia masih tidak sudi. Berwali hakimlah aku Ziah!” . Diah menceritakan rangcangannya melalui telepon kepada Ziah seminggu sebelum Ziah bergelar raja sehari.
“Ye ke Diah. Aku tumpang gembira dengan keputusan kau ni. Keluarga Zuraimie macam mana? , mereka dah boleh menerima kau?” . Tanya Ziah
“Tidak ... mereka tidak pandang aku sebelah matapun Ziah. Tapi aku dah tak kesah sebab aku tahu cinta Zuraimie akan memberikan  aku kekuatan untuk mengharunginya. Lagipun anak ini perlukan kasih sayang seorang bapa” . Diah menyatakan pendiriannya.
“Betul ... aku sentiasa menyokong kau Diah. Diizinkan Allah , aku nak jadi pengapit kau nanti”.  Ziah merasa gembira dengan keputusan sahabatnya itu.
“Aku sentiasa menyokong kau!”. Tegas Ziah lagi.
“Diah , aku tak bersanding pun. Kami hanya buat yang wajib je ... nikah di pejabat kadi. Dah tu balik ke  rumah sewa Zuraimie di Bandar Baru Bangi.  Tak ada majlis kenduri kendara pun!”. Jelas Diah. Ada sebak pada nada suaranya.
“Diah...”. Ziah mengalirkan air mata mengenangkan nasib sahabat baiknya itu. Siapa pernah menyangka , gadis comel dan periang ini akan mengharungi hidup yang cukup getir.
“Ziah ... inilah kehidupan. Inilah takdir hidup aku. Kau doakan aku ya?” . Pinta Diah.
“Sudah pasti. Kau sentiasa sahabat sejati aku dunia akhirat”. Balas Ziah ...  air matanya mengalir mengenangkan takdir yang harus diharungi Diah.
Tiba-tiba …
“Assalamualaikum ...” . Salam Abang Anip  mengejutkan Ziah dari lamunannya. Segera air mata yang mengalir dikesat kering.  Setelah memberi salam , abang Anip menolak pintu kamar pengantinnya , berjalan masuk dengan debaran di dada.
“Waalaikumussalam ... jemput masuk bang” . Balas Ziah , sopan.
Abang Anip masuk , tersenyum memandang Ziah yang sedang bersimpuh di atas katil pengantin yang dihias indah. Mengenakan baju kurung hijau daripada kain  shifon bersulam ... sungguh ayu dipandang. Abang Anip pula bagaikan bangsawan Melayu , baju Melayu cekak musang hijau siap dengan samping bertekad  ... mempesona  setiap mata yang memandang. Abang Anip duduk di sebelah Ziah. Memusingkan wajah Ziah ke arahnya lalu mengucup dahinya. Ziah akur ... terasa malu diperlakukan begitu.
“Terima kasih kerana sudi menerima abang sebagai suami”. Manis pemula bicara sang suami.
“Ziah juga ... terima kasih bang kerana sudi mengambil  Ziah menjadi isteri”. Ziah mengucup tangan suami tercinta.
“Ziah ... hari ini bermulalah perjalanan hidup kita sebagai suami isteri. Abang harap kita akan saling membantu untuk memastikan perkahwinan ini sentiasa dilimpahi dengan  kasih sayang. Abang ni ... bukanlah lelaki yang sempurna , romantik jauh sekali. Abang sudah biasa hidup kasar. Abang banyak kekurangan ... abang harap sangat Ziah akan bersabar dengan abang” . Kata abang Anip sambil terus memandang wajah Ziah yang disolek indah.
“Ya bang , Ziah sendiri banyak kekurangan ... asal saja kita berusaha membaikinya dan menambah mana yang kurang  ...  Ziah yakin Allah pasti membantu”. Balas Ziah , tersenyum  memandang abang Anip. Terasa malu benar ...  inilah kali pertama dia betul-betul menatap wajah abang Anip , wajah ‘lelaki melayu terakhir!’, cukup menggetarkan jiwa yang memandang.
“Boleh abang lihat isteri abang?”. Abang  Anip bertanya sambil memusingkan duduk Ziah mengadapnya. Ziah diam , tunduk malu. Abang Anip menanggalkan satu demi satu hiasan bunga dan sepit yang disisipkan di tudung Ziah. Akhirnya tudung Ziah ditanggalkan. Maka terserlah sudah rambut hitam lebat yang disanggul kemas , mahkota seorang wanita ...  dan sebaik saja cucuk sanggulnya ditarik ,  terongkai kini   ...  lepas  bebas   beralun melepasi bahu.
“Cantiknya isteri abang ...”. Abang Anip terpegun , bersyukur dengan kurniaan tuhan padanya.
“Cantik sangat!”. Puji abang Anip lagi.
“Eeee malunya!!”. Jerit hati Ziah.
“Terima kasih bang ...”. Jawab Ziah cuba menutup rasa malunya.  Abang Anip mendekatkan telinga Ziah ke dadanya.
“Dengar degupan jantung abang?”. Tanyanya. “Hmm  ... dengar , kuat ...  laju”. Jawab Ziah. “Itulah debaran hari pertama bergelar suami”. Balas abang Anip. Ziah hanya tersenyum mendengar kata-kata suaminya itu ...

                                                                 Bahagia … Bersatu
Bermula detik cinta
Elok sudah janji bersatu
Riang sungguh rasa di kalbu
Sempurna akhirnya hati  nan rindu
Alangkah indah simpulan di jiwa
Terkabul bahagia hubungan cinta
Umpama jatuh bulan ke riba


         Sedang abang Anip dan Ziah asyik dan  hanyut  mengenali hati budi masing-masing , makcik Midah dan cikgu Karim pula sibuk melayan para tetamu dan saudara mara yang mahu pulang. ‘Berkat (makanan yang dibungkus) mesti diberikan kepada setiap tetamu dan saudara mara sebagai tanda mata. Tidak lupa , telur pengantin ... sebagai simbolik agar pasangan pengantin dikurniakan anak yang ramai!.
Menjelang Maghrib , hampir semua tetamu telahpun pulang . Yang tinggal hanyalah saudara mara terdekat.
“Eh , mana pengantin ni ... dah nak maghrib tak keluar-keluar bilik lagi. Takkanlah tak dan tunggu malam!!”. Usik mak Lang kepada  makcik Midah disambut hilai tawa kaum ibu yang lain. “Dia orang sembahyang maghrib dululah tu ...”. Bela makcik Midah.
“Biarlah ... pengantin baru. Apa pulak nak diherankan!”. Balas cikgu Karim.
         Bahagia sungguh mereka menerima menantu pertama , Ziah. Makcik Midah dan cikgu Karim amat bersyukur kerana impian mereka untuk melihat anak lelaki tunggal mereka itu kembali bahagia sudah terkabul.
Sedang semua yang ada bergelak ketawa , masih diam  tunduk seorang pemuda membasuh pinggan – mangkuk yang masih berlonggok. Hatinya penuh dendam ... wajahnya keras , langsung tiada senyum. Keningnya berkerut menahan rasa di dada. Sesekali buih sabun yang membuak ditepuknya kuat.
“Eh , abang Kamal masih di sini?”. Tanya Miah.  Kata-kata Miah itu menarik perhatian cikgu Karim yang kebetulan ada berdekatan.
“Laa ... Kamal . Kenapa masih tak  berhenti. Dan senja dah ni . Udahlah tu. Tinggalkan saja yang baki tu untuk pengantin esok. Hadiah untuk mereka!!”. Cikgu Karim berkata sambil tertawa , yang lain turut tertawa sama.
“Hah! Betul tu Kamal. Udah marilah ke mari , kita minum dulu”. Ajak mak Lang. Biras cikgu Karim.
         Mahu tidak mahu , Kamal akhirnya bangun menyertai yang lain. Minuman teh panas dan kuih koci dimakannya tanpa perasaan. Lepas satu – satu.
“Eh!. Lapar benar abang ni”. Usik Miah sambil mengisi semula gelas teh yang kosong. Kamal memandangnya , tersenyum pahit.
“Mana taknya , sedari tadi asyik membasuh pinggan saje. Ye tak Kamal?”. Balas Pak Lang. Kamal tersenyum. Senyuman yang sengaja dibuat-buat.
“Huh!! Gembiranya kalian!”. Getus hatinya. Gelas teh digenggam kuat. Air teh panas dihirupnya. Panas ... panas lagi hati di dalam. Wajah Ziah berselang seli dengan pelbagai kenangan  manis mereka bersama terbayang di mata ... saat yang tidak dapat dilupakannya tatkala Ziah jatuh tersembam ke dadanya sewaktu mereka bersampan menghulu sungai. “Ahh!. Indahnya kenangan itu”. Bisik hati kecilnya.
“Tapi mengapa kau tidak pernah menghargainya?!”. Bentak hati kecilnya lagi.
Teringat pula peristiwa mereka sama-sama mentertawakan Anip , lelaki yang kini menjerut jiwanya. “Ciss!! . Mengapa dia juga yang kau pilih?”. Marah bergelora hatinya , tidakpuas hati. Sungguh tidak puas hati!
“Huhh!!”. Keluhnya. Semuanya kini  tinggal kenangan , bunga di taman sudahpun dipetik orang. Sudah di genggaman masih terlepas!. Kecewa sungguh merana jiwa. Memberontak hati di dalam ... gelas di tangan digenggam kuat. “Thuusss!!!”.
“Abang !!”. Miah bergegas mengambil kain pembalut luka. Tangan Kamal yang luka berdarah dibersihkannya sebelum dibalut. Pak Lang , mak Lang , makcik Midah dan yang lain menggelengkan kepala.
“Macam mana boleh luka?”. Tanya cikgu Karim , hairan.
“Takpa sikit je pakcik”. Jawab Kamal.
“Sakit?”. Tanya Miah. Kamal menggelengkan kepala.

Dendam kesumat ...
“Luka di tangan tampak di mata. Luka di hati siapa yang tahu. Hari ini kau rampas milikku. Hari ini hatiku hancur. Huhh!! Akan tiba hari pembalasan. Alang-alang mandi biar basah. Alang-lang dendam biar sampai ke sudah. Biar putih mata , jangan putih tulang! Rela aku menjadi petualang.  Kalau aku tak dapat , takkan ada orang lain yang akan dapat!! . Kau tunggu!! Kau tunggu harimau ini menunjukkan belang!!!!”.  Jerit Kamal sebelum menolak rakitnya .... “Kau tunggu!!. Kau tunggu harimau ini menunjukkan belang!! Ha ha ha !!!!” ...


Lukis jea ... tika aku jatuh

Lukis jea ... saat kamu jatuh dan berasa sendirian , gantungkan harapan padaNya

Selagi kamu yakin Dia ada ...

Saat aku jatuh dan berasa sendirian ...
Itulah saatnya ketika aku membawa diri jauh daripada semua yang pernah mengenaliku. Berada di daerah asing yang tidak pernah aku jejaki sebelumnya.

Saat itu ...
Tika segalanya terlalu asing
Aku meniti hari- hari yang panjang
Bagaikan tiada penghujung

Melihat riak-riak air permukaan sungai
Kolek-kolek kecil meluncur
Kelong-kelong ikan
... dan si nelayan muda
Menebar jala

Anak-anak kampung
Pagi ke sekolah
Petang mengayuh basikal ke kebun
Di pinggang tersisip parang
Diikat tali rapiah
Tersungkip senyum melambai

Sedang aku saat itu
Masih hanyut
Dalam mimpi yang tak sudah
Mengharap mentari terik
Membakar perit
Membangunkan aku


-peace-
>__<

... dan saat itu juga aku belajar erti pasrah
Dan pasrah itu adalah apabila kita sudah tidak punya pilihan melainkan berserah ...