BAB 23 ‘BIPOLAR
DISORDER’
Ada ketika kita hilang punca ... dilema dalam konflik keinginan yang bercanggah Maka ... Kembalilah ke jalan tuhanmu |
Ziah
termenung memikirkan peristiwa ...
Hari ini berlalu begitu
suram sekali , sesuram hati penghuni rumah kayu itu. Abang Anip sendiri telah
menceritakan segala yang berlaku kepada
abah , mak dan adiknya Miah. Bermula daripada mimpinya yang aneh sehinggalah
dia akhirnya mencekik leher Ziah tanpa sedar.
“Perkara ini tidak boleh dibiarkan
lagi”. Kata mak Midah kepada suaminya.
Dia risaukan keselamatan anak menantunya. Dia juga tidak mahu anaknya
kelak sampai menjadi pembunuh!.
“Ya abang tahu. Abang akan berjumpa
dengan Alang hari ini juga. Nak pergi rumah mertuanya ustaz Mukhriz”. Cikgu
Karim memberitahu isterinya. Mak Midah hanya mengangguk-ngangguk. Dia faham
maksud suaminya itu.
“Untuk apa abah?. Bukankah lebih elok
abang dibawa berjumpa doktor. Miah rasa jiwanya itu terganggu …”. Belumpun
sempat Miah menghabiskan kata-katanya , mak Midah segera memotong.
“Jumpa doktor?. Perkara macam ni
bukan boleh dibawa jumpa doktor. Apa yang boleh doktor lakukan?”. Tanya mak
Midah sambil mengerutkan dahinya.
“Doktor biasa memanglah tak boleh
rawat masalah abang ni … maksud Miah , doktor jiwa. Jiwa abang Anip itu perlu
dirawat. Ini bukan kerja kita atau mana-mana ustaz atau bomoh”. Jawab Miah ,
serba salah mahu menghabiskan ayatnya. Lantas wajah kedua orang tuanya itu
ditatap.
“Jangan kau nak merepeklah Miah!”.
Marah mak Midah , memandang wajah anak gadisnya dengan kening yang berkerut
keras.
“Tapi mak … hari ini kak Ziah ,
entahkan esok lusa …”. Jawab Miah.
“Sudah!. Tak ada apa yang akan
berlaku pada kita semua. Abang kau tu bukannya gila. Jangan kau nak
memandai-mandai”. Bentak mak Midah.
Terdiam Miah dibuatnya.
“Sudah! Sudahlah tu. Cukuplah dengan
masalah yang kita hadapi ini. Janganlah pulak kita nak bertegang leher.
Sekarang aku akan ke Pekan cari Alang. Ada rezeki aku bawa sekali ustaz Mukhriz
itu ke mari petang ni”. Kata cikgu Karim.
“Ustaz ada di sini ke?”. Tanya mak
Midah , langsung berpaling dari menatap wajah Miah. “Masakan tergamak Miah
mengatakan abangnya itu gila!”. Fikir mak Midah , jengkel.
“Tak apa . kalau dia tak ada pun ,
sepupunya pun boleh mengubat. Dalam keadaan sekarang ni , apabila tak ada rotan
, akarpun berguna juga”. Jawab cikgu Karim. Mak Midah mengangguk-nganggukkan
kepalanya lagi tanda setuju manakala Miah hanya menggeleng-gelengkan kepalanya.
“Mak , abah ni , perkara berkaitan
dengan nyawapun masih mahu diambil ringan”. Keluh hati Miah namun jauh di sudut
hatinya amat memahami perasaan kedua orangtuanya itu. Kedua orangtuanya itu
tidak boleh menerima kenyataan bahawa jiwa abang Anip sedang ‘kacau’.
Sementara itu Ziah termelenggu
memandang wajah polos suaminya yang sedang lena. Mungkin keletihan kerana
tidurnya malam tadi terganggu dengan
mimipi ngeri. Sesekali Ziah meraba lehernya , sakit dicekik masih terasa ...
“Ukhh! ...”. Keluhnya. Berat sungguh
bebanan perasaannya kini. Peristiwa dia dicekik itu amat menakutkan tetapi dia
harus bersikap biasa di hadapan suaminya. Ziah sedar , segala yang berlaku
bukanlah kehendak suaminya ... Ziah
sedar , suaminya sendiri sangat tertekan dengan apa yang terjadi.
“Kasihan abang Anip!”. Keluh Ziah
sambil membelai lembut rambut lurus kejung suaminya itu.
Bagi abang Anip pula
kejadian dia mencekik leher isterinya itu amat menekan jiwanya. Masakan dia sampai membahayakan nyawa orang yang disayanginya.
Sengaja matanya dipejamkan , berlagak seperti sedang lena. Hakikatnya , abang
Anip tidak tahu bagaimana lagi mahu berlagak biasa di hadapan Ziah.
“Oh Ziah! Maafkan abang ... ”.
Keluhnya di dalam hati.
... ustaz
Mukhriz tanpa ragu terus sedia membantu ...
Petang itu cikgu Karim
pulang bersama Pak Lang dan ustaz Mukhriz. Nasibnya cukup baik kerana kebetulan
ustaz Mukhriz sedang berada di Kuantan.
Kedatangan cikgu Karim tepat pada waktunya ... ustaz Mukhriz pada ketika itu baru saja balik
dari mengubat orang di Kampung Rangas , Kuantan. Mendengarkan kesusahan yang
menimpa keluarga cikgu Karim , ustaz Mukhriz tanpa ragu terus sedia membantu.
Padanya permintaan bekas guru itu tidak mungkin ditolak , terlalu banyak jasa
yang telah dicurahnya buat anak bangsa!.
“Jemput naik ustaz”. Ajak cikgu Karim
, sebaik sahaja kakinya memijak anak tangga pertama rumah kayunya itu.
“Ya!”. Jawab ustaz Mukhriz sepatah.
Dia lebih banyak mendiamkan diri. Membaca ayat-ayat Qur’an dan cuba mengesan
keadaan rumah dan sekelilingnya. Amalan perubatan yang dipelajarinya
membantunya mengesan kehadiran makhluk lain yang biasanya suka mengganggu anak
cucu adam. “Itu memang janji dan sumpah mereka … akan sentiasa menyesatkan dan
mengganggu hidup anak cucu Adam”.
Setelah berada di tengah rumah ...
“Alhamdulillah , rumah cikgu ni
bersih. Tak ada unsur-unsur jahat di dalamnya”. Kata ustaz Mukhriz , tersenyum
memandang cikgu Karim dan pak Lang.
“Maksud ustaz?”. Tanya Pak Lang
kurang faham.
“Ya . Begitulah. Tiada unsur-unsur
sihir atau gangguan makhluk lain. Apa yang berlaku itu mungkin disebabkan
masalah atau pembawaan pesakit sendiri”. Terang ustaz Mukhriz. Pak Lang
mengangguk-nganggukkan kepala tanda faham. Ada rasa syukur di hatinya ,
sekurang-kurangnya anak lelaki tunggalnya itu bukanlah terkena sihir atau
diganggu makhluk halus.
“Ermm … bawalah saya terus jumpa Anip.
Mana dia?”. Tanya ustaz Mukhriz.
“Aaa ... iya. Dia ada di dalam
biliknya. Selepas peristiwa subuh tadi , dia hanya mengurungkan dirinya dalam
bilik. Mungkin rasa bersalah sedang menghukumnya”. Jawab Ziah yang turut
menyambut kedatangan ustaz Mukhriz petang itu.
“Sebaiknya orang seperti ini tidak
ditinggalkan sendirian”. Tegur ustaz Mukhriz.
“Err ... maksud ustaz?”. Tanya cikgu
Karim dan Pak Lang serentak.
“Tak apalah. Biar saya jumpa dia
dulu”. Kata ustaz Mukhriz lalu berjalan mengikut arah yang ditunjukkan Ziah.
Sampai di muka pintu , ustaz
Mukhriz masuk ke dalam bilik , dilihatnya abang Anip sedang berbaring dengan
mata terpejam. Dia memberi salam tetapi salamnya tidak dijawab . Abang Anip
berpura-pura lena. Ustaz Mukhriz tersenyum memandang perilaku abang Anip. Dia
berjalan terus lalu duduk dihujung kaki abang Anip.
“Anip , ini ustaz datang berziarah.
Mengapa berdiam diri begini. Bukalah mata tu. Marilah kita berbual-bual
seketika”. Ucap ustaz Mukhriz sambil menepuk-nepuk kaki abang Anip. Namun abang
Anip masih terus membatukan diri. “Apa lagi yang mahu dibicarakan . Segalanya
telah nyata. Memang aku pembawa bencana”. Fikir abang Anip.
“Tak mengapalah , kalau Anip tidak
sudi menerima kedatangan ustaz , ustaz minta diri dahulu”. Kata ustaz Mukhriz
sambil bangun , berpura-pura mahu keluar meninggalkan bilik itu.
“Nanti!”. Tiba-tiba abang Anip
bersuara sambil membuka matanya memandang ustaz Mukhriz …
Ziah sanggup melakukan apa saja untuk
mendapatkan semula suami yang dicintai ...
Setelah lebih sejam bercerita
dan merawat jiwa abang Anip yang kosong
, ustaz Mukhriz keluar mendapatkan cikgu Karim , Pak Lang , Ziah dan mak Midah.
Mereka telah menanti dengan sabar ... mengharapkan berita baik daripada ustaz
Mukhriz.
“Bagaimana ustaz?”. Tanya mak Midah tidak sabar. Jiwanya tidak tenteram
memikirkan keadaan anak lelaki tunggalnya itu.
“Sabar makcik ... “ . Jawab ustaz
Mukhriz sepatah sebelum mengambil tempat di sebelah cikgu Karim.
“Pada hemat saya , tiada gangguan jin
atau syaitan yang mengganggu dirinya. Semua masalahnya datang dari dalam
dirinya sendiri”. Ustaz Mukhriz memulakan bicara.
“Maksud ustaz?”. Tanya Pak Lang dan
Ziah serentak.
“Anip itu mengalami konflik dalam
jiwanya. Dia seperti hidup dalam dua dunia yang bertentangan nilai. Mudahnya ,
dirinya adalah musuhnya sendiri. Saya yakin peristiwa yang berlaku dahulu masih
menghantui dan menekan jiwanya. Ziah ,
awak harus lebih bersabar . Suami
awak memang sangat sayangkan awak ... bantulah dia mengharungi saat-saat sukar
ini. Saya harap cinta awak padanya cukup besar untuk mengharungi semua ini.
Bukan saja kesabaran tetapi mungkin keselamatan awak juga menjadi taruhannya.
Bimbinglah dia untuk dekat kepada Allah. Hanya dengan mengingati Allah , hati
akan tenang”. Pesan dan nasihat ustaz Mukhriz kepada Ziah. Ziah menganggukkan kepalanya.
“Ya ustaz , Ziah faham dan Ziah sanggup melakukan apa saja
untuk mendapatkan semula suami yang dicintai”. Jawab Ziah tegas.
“Alhamdulillah!”. Jawab Ustaz Mukhriz
sambil mengangguk-nganggukkan kepalanya.
“Cikgu , Pak Lang ... pada pandangan
saya , Anip itu perlu dirawat di hospital atau tepatnya di klinik psikiatrik.
Penyakitnya itu perlukan bantuan pakar. Bagi pihak kita , kita bantu dia dengan
cara menggalakkan dia mendekatkan dirinya pada Allah”. Terang ustaz Mukhriz.
Cikgu Karim , Pak Lang dan makcik Midah hanya diam mendengar.
“Saya rasa kalau dalam istilah
perubatan , penyakit seperti ini dikenali sebagai Skizoprenia. Pesakit
berhalusinasi tentang banyak perkara. Huh!. Bawalah dia berjumpa doktor yang
sesuai”. Jelas ustaz Mukhriz , dia turut berasa risau dengan masalah yang
dialami keluarga ini. Bukan tidak pernah didengarnya , orang yang mengidap
penyakit ini boleh saja bertindak ganas hatta membunuh ahli keluarganya sendiri.
“Tapi yang saya tidak faham ustaz ,
adakah keuzurannya sekarang ini ada kena mengenanya dengan masalah jiwanya itu?.
Skizoprenia tu kan penyakit orang tidak waras ... masakan dia ...”. Kata-kata
cikgu Karim terhenti ...
“Ya . Kalau telahan saya ini benar ,
Anip ini bukan saja boleh membahayakan orang lain terutamanya Ziah , isterinya
tetapi dia juga merbahaya kepada dirinya sendiri. Mendera diri sendiri mungkin
menjadi cara dia menghukum diri”. Jelas ustaz Mukhriz.
“Menghukum dirinya?”. Tanya mereka
serentak.
“Hmm ... beginilah , saya cadangkan
agar Anip itu dibawa kepada doktor pakar jiwa. Jiwanya itu perlu dirawat”.
Jelas ustaz Mukhriz lagi , tidak mahu terus membuat andaian.
“Untuk menenangkannya , ni adalah air
yassin. Berilah dia minum”.Kata ustaz Mukhriz lagi sambil menghulurkan sebotol
air sejuk yang sudahpun dibacakan air yassin. Sengaja air itu dibawanya sama.
Mendera diri
sendiri ...
Lewat petang itu Ziah
masih di tebing sungai. Termenung memandang riak di muka air. Kata-kata ustaz
Mukhriz tadi kembali bermain di fikiran. “Apa sebenarnya yang menekan jiwa
abang Anip hinggakan dia sampai jadi begitu?”. Fikir Ziah , buntu.
“Kalau telahan saya ini benar , Anip
ini bukan saja boleh membahayakan orang lain terutamanya Ziah , isterinya tetapi dia juga membahayakan dirinya sendiri.
Mendera diri sendiri mungkin menjadi cara dan pilihannya untuk menghukum diri”. Itulah kata-kata ustaz
Mukhriz yang mengganggu fikirannya kini.
“Mendera diri sendiri?” Fikir Ziah ,
cuba mencari makna dari kata-kata itu.
“Ukkhhh!. Mengapalah ustaz Mukhriz
tidak berterus terang saja denganku. Tidaklah perlu aku berteka teki begini!”.
Keluhnya berat. Ziah terus memerah otaknya , mencari punca masalah sebenar.
Ziah mengenang semula rentetan peristiwa yang telah berlaku sejak mereka
berumah tangga sehinggalah ke hari ini.
“Sejak sah dia menjadi suamiku tiada
apa yang berlaku sehinggakan habis majlis menyambut menantu di rumah ini.
Petang itu , kali pertama kami bersatu … semuanya indah. Kami benar-benar
bahagia. Malah sangat bahagia. Tapi
tidak lama selepas itu , abang Anip tiba-tiba saja diserang strok sewaktu mahu
makan malam. Belumpun habis senyum tawa dan usik mengusik saudara mara , abang
Anip tiba-tiba diserang strok . Aku yang menemaninya di hospital. Lebih
seminggu kami di hospital. Akulah yang menjadi teman setianya. Memulihkan
semangatnya yang kian punah. Menaikkan semula harga dirinya yang ranap di
mataku. Ya , abang Anip malu dengan keadaan dirinya , lebih-lebih lagi tatkala
aku perlu membantunya membersihkan diri. Kasihan abang Anip namun tiap yang
berlaku itu pasti ada hikmahnya. Seminggu bersama mengharungi kepayahan itu mendalamkan
kasih sayang antara kami berdua dan … semakin
hari semakin sayang. Keadaan kesihatan abang Anip juga semakin pulih. Malangnya
, sebaik sahaja dibenarkan pulang dan kembali ke rumah ini , keadaan abang Anip
semakin teruk . Sakitnya semakin menjadi-jadi ...”. Ziah terus berfikir.
“Banyak perkara aneh yang terjadi.
Mula-mula bayangan lelaki mengejarku semasa di kebun tapi tiba-tiba abang Anip pula yang muncul di muka pintu.
Diikuti kejadian aku terjatuh gara-gara minyak
di tangga. Sampai hari ini , tidak pasti angkara siapa tapi yang nyata , tangan
abang Anip memang berlumuran minyak. Tidak cukup dengan itu , mimpi buruk
terus-terusan mengganggu tidurnya sehinggalah peristiwa aku dicekik. Separuh
mati aku dibuatnya. Gara-gara abang Anip bermimpi pelik , aku yang menjadi
mangsa. Huh!. Takkanlah semua itu suatu kebetulan atau mungkinkah …“.
“Ulps! Semuanya ada kaitannya dengan
abang Anip dan … aku!”. Ziah memerah otaknya , cuba menghubungkaitkan semua
peristiwa yang terjadi. Semua yang terjadi hanya menimpa dirinya , tidak Miah
atau kedua orang ibubapa mertuanya. Sudah pasti ianya bukanlah suatu kebetulan.
“Ohh! Mungkinkah kasih sayang kami
yang memusuhi kami ?”. Ziah terfikirkan sesuatu. Terbeliak matanya apabila mula
memahami perkara yang terjadi.
“Tapi mengapa?”. Ziah masih tidak
faham.
“Ya Allah , dugaan apakah yang Kau
berikan kepadaku ini. Tabahkanlah aku!”. Doa Ziah.