Popular Posts

Friday 19 May 2017

Novel 2 : Selepas Hujan ... Bab 25

Bab 25 :        Kita redah bersama

Perjalanan yang jauh bermula dengan langkah pertama
Dan setelah hati itu memilih ...
Maka teruslah melangkah demi sebuah kehidupan


Begitulah juga halnya pada malam-malam seterusnya , Ziah berusaha bersungguh-sungguh menjadi isteri sebenar idaman abang Anip. Abang Anip pula sentiasa menantikan tibanya malam , menantikan kejutan-kejutan yang bakal diberikan isteri tercinta. Dia merasakan hidupnya kini penuh makna dan kembali ceria …
“Biar dia lupa segala kisah lalunya. Biar seluruh jiwanya menjadi milikku!”. Itulah azam Ziah dan dia benar-benar melakukannya. Dia sedar bahawa dia sedang bersaing dengan masa silam suaminya itu.
“Kehadiranku sebagai isteri di sisinya adalah untuk mengisi kekosongan di hatinya yang lama sepi ditinggalkan ‘dia’. Maka menjadi tanggung – jawabku untuk memastikan ‘dia’ benar-benar terkubur bersama jasadnya yang kini sudahpun hancur ditelan bumi”. Azam Ziah. Itulah azamnya dan Ziah yakin caranya untuk mengembalikan suaminya ke alam nyata itu pasti akan membuahkan hasil.

Doktor juga telah memberikan diagnosisnya ...
Hari berganti minggu , minggu berganti bulan , keadaan abang Anip semakin bertambah baik. Tambahan pula ujian biosep yang dijalankan tempohari memang memberikan keputusan negatif. Abang Anip bebas dari serangan kanser!.
“Alhamdulillah!!”. Itulah ucapan mulia yang lahir dari lubuk hati Ziah dan abang Anip tatkala mengetahui keputusan itu. Makin menyinar harapan mereka , memenuhi segenap ruang sanubari keduanya.
Setiap hari Ziah menguruskan segala keperluan abang Anip dengan sabar. Keputusannya untuk mengambil ‘cuti tanpa gaji’ sangat membantu. Sedikit demi sedikit  ingatan dan bayangan ‘dia’ dapat dikikisnya daripada terus terpahat di lubuk ingatan dan di dasar hati suaminya itu. Ziah melayani abang Anip dengan penuh kasih sayang. Kini dialah yang menjadi tempat mencurahkan rasa yang merongkai satu persatu kemelut yang bersimpul dalam jiwa abang Anip yang telah terlalu lama gersang. Dalam pada itu Ziah tidak jemu-jemu  menggalakkan abang Anip untuk terus mendekatkan diri kepada Allah. Bermula dengan menjaga solat lima waktu pada setiap hari sehinggalah amalan-amalan sunat yang lain. Ziah juga membawa abang Anip untuk mendapatkan rawatan doktor  psikiatrik mengikut tarikh temujanji yang telah ditetapkan oleh pihak hospital.
Doktor juga telah memberikan diagnosisnya , hampir sama dengan apa yang Ziah fikirkan. “Dia mengalami ‘split personality’. Dalam dirinya mungkin ada dua atau lebih personaliti yang berbeza”. Terang doktor tersebut.
“Maksud doktor?”. Tanya Ziah , cuba memahami istilah perubatan yang digunakan.
“Ada masanya dia menjadi dirinya dan pada masa yang  lain dia menjadi orang lain pula. Biasanya apa yang dilakukan semasa dia bertukar personaliti tidak dapat diingat dan diluar kawalan akal warasnya”. Terang doktor itu lagi.
“Mengapa boleh terjadi begitu?”. Tanya Ziah , ingin tahu.
“Trauma dengan pengalaman lalu atau pesakit mengalami depression yang teruk atau mungkin juga kehidupan masa kecilnya yang terlalu susah atau pernah didera . Apa-apa saja boleh menjadi penyebabnya”. Jawab doktor.
Mendengar jawapan doktor itu , Ziah terus saja terkenangkan Aisyah , tunangan abang Anip yang telah lama mati secara tragis.
“Ya. Tepat seperti yang ku sangka!”. Kata Ziah perlahan.
“Awak  tahu puncanya?”. Doktor bertanya kepada Ziah. Ziah hanya menggelengkan kepala. “Belum masanya untuk menceritakan semua itu. Lagipun untuk apa diceritakan”. Fikir Ziah.
“Jadi , apakah kaedah rawatan yang boleh diberikan kepadanya?”. Tanya Ziah pula.
“Psychoteraphy , maksudnya sesi perjumpaan seperti ini perlu dilaluinya. Kami akan cuba membantunya kembali kepada dirinya sendiri. Peluang dia untuk pulih lebih besar jika kita tahu punca sebenarnya. Puan harus berusaha mendapatkan punca kepada sakitnya itu”. Terang doktor itu lagi.
“Hmm ya. Saya faham”. Jawab Ziah. Ziah masih keberatan untuk menceritakan peristiwa tragis itu.
“Benarkah puan tidak tahu akan puncanya?”. Tanya doktor itu lagi penuh curiga. Gerak hatinya menyatakan yang Ziah telah berbohong. Maka mahu tidak mahu  Ziah terpaksa juga menceritakan sejarah hitam abang Anip dan memberitahu doktor tentang apa yang difikirkannya. Doktor hanya mengangguk-ngangguk tanda faham.
“Saya yakin pendekatan yang diambil puan itu memang sangat membantu. Saya juga sangat mengagumi kesungguhan puan untuk membantu pesakit. Dia memang memerlukannya. Tatapi jangan lupa datang ke sini setiap kali tiba waktu temujanji. Jika keadaan pesakit semakin pulih , kita akan tukarkan ubatnya kepada yang lebih ringan mengikut keperluannya”. Kata dan pesan doktor.
“Ya. Saya akan pastikan kami tidak terlepas temujanji tersebut”. Janji Ziah. Doktor itu mengangguk-nganggukkan kepalanya.
“Susah nak dapat ahli keluarga yang betul-betul prihatin dengan masalah pesakit Skizoprenia ini. Sebab itulah ada di kalangan pesakit yang tidak pernah sembuh. Keluar masuk hospital. Ada yang sampai berpuluh tahun masih tidak berubah keadaannya. Tapi sebenarnya bukan mudah juga untuk menjaga mereka. Lebih-lebih lagi ahli keluarga yang semestinya tidak terlatih. Ada juga kalangan pesakit yang engkar makan ubat. Apabila mereka merasakan yang diri mereka sudah baik sedikit , mereka mula bengkeng dan enggan makan ubat. Atau menipu ketika makan ubat , apabila diberi ubat mereka pura-pura menelannya. Ubat itu sebenarnya mereka sorokkan di bawah lidah. Akibatnya sakitnya semakin menjadi. Orang ramai yang tidak faham akan salahkan keluarga , tetapi sebenarnya bukan mudah mahu menangani kerenah pesakit seperti ini. Ianya memerlukan kesabaran yang tidak terhingga , juga ketegasan dan kasih sayang”. Terang doktor itu dengan panjang lebar.
“Ya , berat mata memandang , berat lagi bahu yang memikul. Hairan ya doktor , mengapa mereka tidak mahu makan ubat?. Bukan ke ubat-ubat itu penting untuk memastikan mereka sihat?”. Tanya Ziah sambil mengiakan kata-kata doktor itu.
“Hmm … sebab itulah mereka dinamakan ‘pesakit’. Kita yang waras ni jangan pulak sampai tertipu dengan kerenah mereka. Mereka ni sebenarnya tidak suka berada di bawah pengaruh ubat-ubatan”. Jelas doktor.
“Maksud doktor?”. Ziah tidak faham.
“Ubat – ubatan yang diberi adalah untuk menenangkan dan mengawal emosi mereka. Biasanya di bawah pengaruh ubat ini mereka akan sentiasa berasa mengantuk. Jika tiada aktiviti yang dirancang buat mereka maka mereka akan menghabiskan masa dengan tidur sahaja. Bangun sekadar untuk makan , mandi dan kemudian tidur balik. Akibatnya badan mereka juga akan menjadi gemuk. Sebab itulah mereka tidak suka makan ubat. Kadang-kadang tu , hanya disebabkan sudah terlalu lama makan ubat maka mereka merasa bosan. Bosan bergantung kepada ubat-ubatan untuk jangka masa yang terlalu lama. Itu saja”. Jelas doktor itu lagi. Ziah mengangguk-ngangguk tanda faham. Jauh di sudut hatinya merasa simpati dengan nasib dan dilemma yang dihadapi oleh pesakit Skizoprenia ini … dan sedih mengenangkan orang yang dicintai termasuk dalam golongan ini.
“Ya Allah , berilah kekuatan kepadaku untuk membantunya dan terus tabah dan sabar disisinya”. Doa Ziah …
Maka berakhirlah pertemuannya kali ini dengan doktor yang merawat abang Anip, suaminya itu. Banyak pengetahuan dan pengajaran yang diperolehi Ziah hari ini.
 “Psychoteraphy itu maksudnya ‘talk’!. Maknanya aku akan sentiasa mendampingimu , sentiasa berbincang , sentiasa bercerita , sentiasa berdua bersama-sama. Kita akan benar-benar menjadi seperti belangkas!”. Kata hati Ziah, penuh semangat! .
“In shaa Allah!!”. Bibirnya mengukirkan senyuman.
“Sedikit demi sedikit akan kusingkirkan ‘dia’ dari dalam dirimu kerana akulah kini yang lebih berhak terhadapmu. Dia hanyalah masa silammu sedangkan aku adalah hidupmu… hari-harimu. Semoga Allah memberkati usahaku!”. Ziah terus bermonolog … menarik nafas dalam-dalam  setelah yakin dan pasti dengan apa yang bakal dilakukannya.
Hari itu Ziah kembali dari hospityal dengan semangat sekeras waja dan harapan menggunung tinggi untuk merebut kembali suaminya dari masa silamnya.
“ Perjalanan beribu batu pastinya dimulai dengan langkah pertama. Inilah perjalanan kita , akan kita mulai dengan langkah pertama”. Kata hati Ziah sambil membayangkan abang Anip sepertinya berada di hadapannya.

Ziah berusaha menamatkan kisah silam abang Anip …
            Malam itu seperti malam-malam sebelumnya , sebaik sahaja habis mengemas dan membasuh pinggan mangkuk makan malam mereka sekeluarga , Ziah melangkah laju menuju ke bilik tidurnya. “Sayang , aku sayang kamu! Aku sayang kamu! Aku sayang kamu!!”. Kata hati Ziah sebaik sahaja pintu bilik dikuak ,  dilihatnya abang Anip tersenyum sedia menunggu ketibaan isteri tercinta …

  

Sayang , perjalanan kita sudah bermula …


Perjalanan  bermula setelah kita bertemu
Ertinya amat besar buat kau dan aku
Ranjau dan duri pastinya sedia menunggu
Jangan sesekali kita merasa ragu
Andai di suatu ketika badai  datang meluru
Laluan ini tak semudah dulu
Apalah yang mahu dirayu
Nasib diri tersurat sudahlah tentu
Ada ketikanya kita menjadi lesu
Namun menyerah arah jangan kau seru

Kau , aku adalah satu
Impian tersulam beralun merdu
Tak gentar hentaman ombak menderu
Apapun akan kita tepis bak angin lalu

Sayangku,
Ampuh sudah rasa benci yang bertandang dulu
Yang subur kini hanyalah cinta seputih salju
Akan indah mewarnai kemuncak mercu
Nantinya pasti kita sama – sama setuju
Gadaikan keegoan dan cerita sendu

Bangunlah sayang semangatmu kuseru
Endahkan jangan segala onar sembilu
Rentap segala resah nan membelenggu
Mari kita mulakan perjalanan beribu
Usah pernah tersungkur merajakan sendu
Laraskan kemudi meredah ombak menderu
Angsana cinta pastikan dituju .