Lukis jea ... Apa nilai 'sahabat' bagimu? ... |
Petang itu Dilaila masih perlu ke kelas 'Lukisan dan Puisi' En Ibrahim , lecturer 'Unik' yang punya gaya tersendiri. Tergopoh gapah Dilaila bersiap dan berlari anak menuju ke perhentian bas.
"Cuba kamu bayangkan sekiranya , tubuh badan kita ini dijadikan Allah sama bentuknya seperti papan lapis atau keras bagai batang pokok , tentu kita bukanlah makhluk yang menarik. Bila dipegang ... leper dan keras!". Inilah antara bicara En Ibrahim yang lekat dalam kepala Dilaila dan sering saja membuatkan Dilaila tersenyum sendiri apalagi bila terbayangkan gerak gaya En. Ibrahim yang mengusap-ngusap perut ketika menyampaikan ideanya itu.
" Sebab itulah ada bahagian-bahagian tertentu tubuh kita , ni...di sini ( perutnya ) haruslah membuncit sedikit". Katanya sambil tertawa kecil dan disambut oleh kami semua , 25 pelajar yang mengambil kursus ini.
"Hah kamu Dilaila ... cepat masuk. Saya dah nak mula ni".
Dilaila lantas tersengih lalu mengambil tempat paling belakang. Tercungap-cungap menarik nafas , penat berlari anak sebaik saja turun dari bas tadi. Belumpun sempat Dilaila bertenang ...
"Wajah awak ni , macam wajah anak saudara saya ... lembut , ayu ...". Terkebil-kebil Dilaila apabila En. Ibrahim tiba-tiba membandingkan wajahnya dengan wajah anak saudaranya. Rakan-rakan di kiri kanan Dilaila berpaling memandangnya. Dilaila hilang gaya dan hanya mampu tersengih.
"Eeeeuuu ... apahal En. Ibrahim ni ... buang tebiat ke apa?". Rungut Dilaila di dalam hati.
"Tapi yalah ... jangan disangka perempuan yang berwajah lembut dan ayu itu lemah dan tidak punya kekuatan diri ... bla bla bla ..." Sambung En. Ibrahim.
"Baiklah , sebagai tugasan kamu hari ini , saya mahu kamu melukiskan satu potret. Kamu semua ada dua pilihan iaitu sama ada memanipulasikan ton warna untuk menunjukkan bentuk dan ruang atau boleh juga menggunakan garisan. Garis - garis yang rapat itu menunjukkan ton yang gelap manakala garis-garis yang jarak itu menunjukkan ton yang lebih cerah. Kamu juga boleh bermain dengan garis tebal dan nipis. Cuba dan explore ... saya harapkan hasil yang baik minggu hadapan". Arah En. Ibrahim sebelum menamatkan kuliah hari itu.
"Laaa ... nak suruh lukis potret rupanya!. Tak pasal-pasal aku jadi bahan set induksi dia". Bisik Dilaila perlahan sambil tersenyum.
Maka tamatlah kuliah hari itu ... Dilaila berjalan pulang.
"Amboi menonong aje berjalan. Langsung tak pandang orang!". Sapa Bad sambil menepuk bahu Dilaila.
"Laa ... kau dari mana?. Tetiba je muncul?" Tanya Dilaila.
"Library ... cari bahan tugasan kitalah tu. Kau dah cari bahagian kau ke belum?" Tanya Bad atau nama penuhnya adalah Badriah Bt.Ismail , rakan baik Dilaila. Mereka sama-sama mengambil Diploma pendidikan setelah menamatkan ijazah masing-masing. Mahu menjadi pendidik ... itulah cita-cita mereka. Sorang berangan nak jadi cikgu Biologi dan sorang lagi nak jadi cikgu Matematik.
"Adalah jugak ... dah banyak gak aku cari. Rasanya hujung minggu ni bolehlah aku susun dan taip bahagian aku tu. Kau lak macam mana?" Tanya Dilaila.
"Samalah ... nanti kita combine dan check sama-sama. Agaknya dalam minggu depan bolehlah kan. Siap awal-awal senang sikit. Taklah serabut kepala ni". Cadang Bad dan Dilaila mengangguk tanda setuju.
Dilaila dan Badriah telah memilih satu sama lain sebagai rakan sekumpulan untuk menyelesaikan tugasan Dr Nazhan , lecturer pedagogi yang agak islamik. Mereka diberikan tugasan yang bertajuk , 'Al-Qur'an dan Pendidikan' sebagai kerja kursus mereka.
Tajuk yang agak luas dan terpulang pada mereka untuk mengolah dan memilih skop perbincangan. Setelah berbincang , Dilaila dan Bad telah memecahkan tugasan mereka kepada dua bahagian iaitu 'Al- Qur'an sebagai sumber ilmu' ( Bahagian yang akan disiapkan oleh Dilaila) dan 'Konsep mendidik menurut Al-Qur'an ( Bahagian yang akan disiapkan oleh Badriah pula).
Demi tugasan itu , hampir setiap hari Dilaila berulang alik ke library untuk mencari bahan yang sesuai. Jika tidak sempat di sebelah petang , Dilaila akan mengulanginya di waktu malam.
"Kerja kumpulan , kenalah buat betul-betul. Kang kalau cincai boncai , kesianlah partner". Fikir Dilaila sambil membelek-belek buku yang baru diambil daripada rak. Sehelai demi sehelai bahagian yang menarik dan dikira berkaitan dengan tugasannya dibaca. Dilaila membuat catatan akan maklumat-maklumat penting terutamanya ayat dan surah dalam al-qur'an yang berkaitan.
"Mak aiii ... dah pukul 10. Hmm ... kejap sangat masa berlalu". Rungut Dilaila.
Lalu dengan tergesa-gesa Dilaila mengemaskan barangannya dan meletakkan semula buku-buku yang dibacanya di dalam rak.
Ketika sedang bergegas menuruni tangga library , mata Dilaila tertangkap sesusuk tubuh yang amat dikenalinya , "Hrmm ... baik menghilangkan diri". Fikir Dilaila lalu langkah kakinya dipercepatkan.
Nasibnya baik , elok saja selamat menyeberangi jalan ke bus stand , sebuah bas merah sampai dan berhenti betul-betul di hadapan Dilaila. Apa lagi , Dilaila terus naik dan memilih tempat paling hadapan yang kebetulan masih kosong.
"Alhamdulillah ...".
"Maafkan saya awak ... semuanya harus berakhir di sini". Keluh Dilaila sambil matanya memerhati keluar tingkap. Ada yang ingin dicarinya ... bas terus bergerak dan Dilaila hanyut dalam fikiran.
"Awak ... boleh saya tanya sesuatu?"
"Ya , tanyalah"
"Awak dan dia ada apa-apa hubungan ke?", tanya Lia dengan suara yang amat mengharap ... cukup untuk menyeret Dilaila ke situasi yang amat serba salah!!
Perbualan ringkas dengan Lia , seorang teman melalui telepon telah memaksa Dilaila membuat keputusan yang berat baginya.
"Ditelan mati emak , dibuang mati ayah. Maafkan aku awak..." Keluh Dilaila.
Terbayang olehnya wajah Haikal ... "Kecewakah awak ... atau aku yang lebih kecewa?. Huh!". Keluh Dilaila lagi.
"Suka atau tidak , awak yang memaksa aku membuat keputusan ini. Kenapa awak memberi harapan kepada dua wanita serentak ... dan aku tidak mahu terperangkap lebih jauh dalam permainan ini".
Ya!. Itulah keputusan yang telah dibuat oleh Dilaila. Makan tahun lamanya Haikal bertahta di hati dan semuanya musnah dek satu panggilan telepon!
Bas merah terus berlalu membawa penumpang ke destinasi masing-masing.
Hari baru ... micro teaching
"Dilaila!! Cepatlah!". Jerit Bad sambil melihat-lihat jam di tangan.
"Okey! Okey ... dah siap!!". Dilaila berlari anak mendapatkan Bad yang sedang menunggu di pintu rumah. Tangan kanan memegang beg manakala tangan kiri menggenggam segulung manila kad.
"Apa tu?". Tanya Bad sambil mengerling ke arah gulungan kad manila yang digenggam Dilaila.
"Adalah ... surprise!!!". Jawab Dilaila sambil tersenyum.
"Alah! dah tahu!!". Balas Bad selamba.
"Hmm ... kalau tahu kenapa tanya?". Jawab Dilaila.
"Setiap kali mikroteaching , kau lukis kartun. Tukarlah idea lain". Balas Bad.
"Nape? ... kau tak sukakan kartun-kartun aku tu ke?". tanya Dilaila spontan.
"Tak lah..."
"Habis tu?".
"Hrmm ... takde apalah!". Jawab Bad sambil mempercepatkan langkahnya meninggalkan Dilaila.
"Huh! Suka hati kaulah Bad!". Balas Dilaila , mengejar Bad dari belakang.
Seperti yang dijadualkan , kelas mikro teaching hari tu berjalan lancar. Lepas sorang-sorang membentangkan tugasan , berlakon sebagai guru dan yang lain adalah anak murid. Seperti biasa , Dilaila akan duduk di sebelah Bad.
"Hmm ... lepas ni giliran Huzaimi. Mesti kelakar tengok dia cuba kawal loghat Kelantan dia tu". Bisik Dilaila.
"Huishhh! Tak baik tau ejek orang". Balas Bad , serius benar mukanya.
"Mana ada ejek , suka je dengar dia cakap bahasa Malaysia baku. Best apa ..." Jawab Dilaila.
"Kau jangan suka sangat , kang sangkut lak kang. Mana kau nak campak Haikal tu?". Balas Bad , serius.
"Apa kau merepek?. Takde maknanya aku nak sangkut dengan mamat ni!". Jawab Dilaila , agak tersinggung mendengar kata-kata Bad. Hilang mood dia apabila nama Haikal disebut.
"Nape?. kau marah ke?...".Tanya Bad setelah melihat air muka Dilaila berubah.
"Tapi aku cakap ni bersebab , kau tak perasan ke yang mamat tu ada hati kat kau?". Sambung Bad lagi.
"Itu masalah dia ... bukan aku!. Bukan aku boleh control hati dia!". Rungut Dilaila , antara denga dengan tidak.
"Eh! Kau cakap apa?". Tanya Bad.
"Takde apalah". Balas Dilaila.
"Baiklah semua , kita break 15 minit sebelum sambung semula". Tiba-tiba En. Taufiq , lecturer yang bertanggung-jawab membimbing kelas mikro-teaching pelajar Diploma Pendidikan tahun ini.
"Pukul 11:15 tepat kita semua mesti berada di sini semula". Sambungnya.
Maka berdenai semua keluar. Ada yang ke bilik air menyelesakan diri dan ada juga yang bergegas mencari sarapan pagi.
Dilaila , Bad dan Arman hanya duduk sambil membelek-belek bahan persediaan masing-masing.
Berasa agak bosan , Dilaila lantas bangun ke hadapan , mengambil marker dan mula menulis sesuatu di papan putih.
"Amboiii!!! Tulis tangan kiri nampak!". Tetiba Bad bersuara. Dilaila terdiam seketika , sungguh dia tidak perasan dan tidak sengaja menulis dengan tangan kiri. Mana tidaknya , fikirannya terganggu apabila Bad menyebut nama Haikal. Lebih terganggu apabila Bad cuba mengaitkan dia dengan Huzaimi pula. " Kau fikir cinta aku bersepah di pasar malam?". Jengkel benar Dilaila mengingatkan kata-kata Bad tadi.
"Nak tunjuk bakat ke?". Sambung Bad dengan nada menyindir.
Dilaila diam , lalu segera menukar kedudukan pen marker daripada tangan kiri ke tangan kanan.
"Bad ni dah kenapa?. Tak habis-habis nak menyakitkan hati aku ...". Fikirnya dalam hati.
Jam sudah 11:15. Semua pelajar sudah berada di tempat masing-masing. Tinggal menunggu En. Taufiq saja ... dan sebaik saja En. Taufiq tiba , pelajar seterusnya membentangkan tugasannya.
Arman : "Baiklah murid-murid semua , objektif pengajaran kita hari ini adalah untuk mengkaji hubungan antara luas permukaan dan kestabilan sesuatu objek". Begitulah intro Arman.
Arman : ...Bla..bla ... bla ... bla ...". Selepas 10 minit berlalu ...
Arman : " Baiklah , Dilaila ... sila jawab soalan itu".
"Err ... maaf cikgu , apa soalannya?" Terkejut Dilaila apabila namanya disebut tiba-tiba.
"Hmm ... sedari tadi kamu berangan , sebab itulah tak dengar apa yang saya soal". Balas Arman , memandang tepat ke wajah Dilaila.
"Apahal lak mamat ni?. Saja cari pasal ngan aku!". Rungut hati Dilaila , malu dia dikomen begitu.
"Baiklah , siapa yang boleh jawab soalan saya tadi?". Tanya Arman kepada yang lain.
"Saya! ". Jawab Bad sambil mengangkat tangannya dan " bla ... bla ... bla ..."
Dilaila diam dan hanya memandang kosong ke hadapan. " Hmm ... suka hati korang lah". Fikirnya.
Selesai Arman membentangkan tugasannya , pelajar seterusnya dipanggil.
"Baiklah , Badriah. Giliran kamu sekarang"
Badriah terus ke hadapan kelas, Berjalan dengan penuh yakin. Memang Badriah mempunyai bakat sebagai seorang guru.
"Baiklah murid-murid , sekarang cikgu mahu kamu perhatikan gambar yang cikgu edarkan ini".Kata Bad sambil mengedarkan gambar kemalangan jalanraya. Gambar sebuah lori melanggar beberapa buah kenderaan dan sebagai perbandingan Bad turut mengedarkan gambar kemalangan yang melibatkan dua buah kenderaan sahaja.
"Berdasarkan 2 kemalangan tersebut , ada sesiapa boleh buat perbandingan antara keduanya?". Tanya cikgu Badriah.
"Saya cikgu , kemalangan yang melibatkan lori itu nampak lebih dahsyat daripada dua kereta tersebut". Jawab Dilaila dan diikuti oleh jawapan-jawapan daripada yang lain.
"Bagus! Mari kita fikirkan bersama , apakah faktor-faktor yang menyebabkan kemalangan yang melibatkan lori itu lebih teruk kesannya berbanding kereta. Bla ... bla ... bla ...". Badriah meneruskan pengajarannya sehingga tamat.
"Baiklah , ada sebarang komen?". En Taufiq memandang pelajar-pelajarnya.
"Ya!"Respon Dilaila spontan.
"Silakan".
"Keseluruhannya , pengajaran guru ini amat baik. Menarik dan tidak membosankan. Cuma ada satu perkara sahaja yang saya fikir perlu dibaiki iaitu teknik penyoalan. Rasanya , lebih baik jika cikgu berikan soalan atau nyatakan soalannya dahulu , kemudian baru dipanggil nama murid yang tertentu. Dengan cara itu semua murid akan memberi perhatian terhadap soalan cikgu berbanding jika cikgu sebutkan nama murid dahulu baru dinyatakan soalannya". Komen Dilaila.
"Ya saya bersetuju dengan pandangan Dilaila. Soalan mesti dinyatakan dahulu , kemudian baru nama murid dipanggil". Sokong Arman.
Giliran Dilaila...
Tiba giliran Dilaila , pembentang terakhir untuk hari itu.
Dilaila keluar dengan gulungan kad manila di tangan.
"Assalamualaikum , baiklah murid-murid sekelian. Sila tengok apa yang ada pada kad manila ni". Arah Dilaila sambil membuka dan menampalkan kad manila pada soft board yang terdapat di hadapan kelas tersebut.
"Waahhhhh!!! , sorak pelajar yang lain apabila melihat lukisan 'mamak roti canai yang terlepaskan cawan kopi panas' akibat tangannya yang dipenuhi minyak selepas mencanai roti canai.
Itulah set induksi yang disediakan Dilaila untuk membincangkan tajuk 'Daya Geseran'.
"Bla ... bla ... bla ... bla ... bla ..." Dilaila membentangkan tugasannya sehingga selesai.
"Baiklah pelajar , ada sebarang komen?". Tanya En. Taufiq.
"Ya , saya ada komen". Bad mengangkat tangannya.
"Bagus , silakan"
"Keseluruhan pengajaran cikgu ini memang baik dan menarik cuma , penggunaan lukisan kartun yang agak kerap dalam set induksi itu mungkin akan menyebabkan murid-murid menjadi bosan". Terang Bad.
"Cikgu mungkin patut gunakan perkara lain selain lukisan dalam set induksi". Sambungnya lagi.
"En. Taufiq , boleh saya berikan pandangan?".Huzaimi mengangkat tangan meminta izin.
"Ya , silakan".
"Saya kurang bersetuju dengan saudari Badriah. Pada pandangan saya , walaupun cikgu ini menggunakan teknik yang sama iaitu melukis kartun dalam kebanyakkan set induksinya tetapi setiap lukisan itu adalah berbeza-beza dan sesuai dengan tajuk dan objektif pengajaran. Malah anak-anak murid pasti akan tertunggu-tunggu , lukisan kartun apa pula yang akan dilukis oleh cikgu ini pada kelas seterusnya". Terang Huzaimi dengan panjang lebar.
"Baiklah ... masa pun hampir tamat. Terima kasih pada kedua-dua komentar kita.Kedua-duanya ada point yang bernas. So , cikgu Dilaila kenalah pertimbangkan dan ambil manafaat daripada kedua-dua komen tersebut". Ulas En. Taufiq sebelum membenarkan semua pelajarnya bersurai.
Perjalanan pulang...
Badriah dan Dilaila berjalan beriringan menuju ke bus stop. masing-masing diam melayan fikiran , tambahan pula mereka telah penat 'bermikroteaching' sedari pagi lagi.
"Dilaila ... kau perasan tak , Huzaimi tu memang sentiasa bela kaukan?"Kata Badriah tiba-tiba setelah sama-sama lama mendiamkan diri.
"Ye ke?. Bukan apa yang dia cakap tu ada betulnya?. Aku terima komen kau dan dia tadi sebagai satu rahmat untuk aku memperbaiki teknik pengajaran. Aku tak nampak pun sebarang niat untuk membela". Balas Dilaila.
"Hmm ... kau tu memang mana pernah perasan semua tu!. Hah! satu lagi ... si Arman tu pulak memanjang menyokong saja apa yang kau kata. kau tak rasa pelik ke?". Tanya Badriah.
"Pelik?. Ni ... pasal komen aku pada kau tadi ke?.Sejujurnya aku tak nampak kat mana salahnya kata-kata Arman tadi tu. Kebetulan dia sependapat dengan aku. Kami ni Bad , bagi komen untuk baiki kau ... baiki satu sama lain supaya kita sama-sama akan jadi guru-guru yang hebat". Terang Dilaila dengan panjang lebar.
"Hmm ... tengok sekali lagi. Kau memang tak dapat nak tangkap semua yang tersirat kan. Dari gaya bahasa badan derang pun aku dah boleh baca. Nasib baiklah kau dah ada yang punya!". Balas Badriah.
"Hah! Panjang umurpun calun imam kau tu!". Ucap Bad sambil menudingkan jari telunjuknya ke satu arah. Dilaila tunduk , langsung tidak memandang ke arah yang ditunjuk.
"Eh! Kau ni dah kenapa?". Tanya Badriah.
"Takde apalah ... ". Jawab Dilaila sebelum terus membatukan diri.
Malam itu dilaila menghabiskan masanya mengadap komputer untuk menyiapkan tugasan kumpulan yang diberi oleh Dr. Nazhan.
"Biar aku siapkan dulu, nanti senang Bad nak sambung bahagian dia". Fikir Dilaila.
Sedang Dilaila kusyuk menaip ...
Di sudut lain rumah itu, rakan - rakan serumahnya sedang membicarakan 'berita hangat'. Entah mana puncanya, berita hubungan Dilaila-Haikal yang putus di tengah jalan boleh sampai ke telinga mereka.
'Ku sankakan panas sampai ke petang , rupanya hujan di tengah hari'. Itulah peribahasa yang sesuai untuk menggambarkan hubungan Dilaila-Haikal yang tak kesampaian.
"Entahlah ... dah lama sangat berkawan tetiba putus. Rasa macam tak patut jugak. Kalau agak-agak tak sesuai kenalah putuskan awal-awal. Tak lah sampai berlarut macam ni baru nak putus".
"Hei ... kita tak tahupun punca mereka putus. Dilaila pun tak kata apa-apa. Tetiba je ... aku rasa mesti ada sebab tertentu".
"Entahlah...tak tahu nak komen apa. Tengok dia pun dah tak berapa nak ceria. Kita doakan sajalah yang terbaik untuk dia"
Begitulah ... berita hubungan Dilaila-Haikal menjadi bualan. Bukan Dilaila tidak tahu , keputusannya memutuskan hubungan itu pasti akan menimbulkan tanda tanya terutama daripada rakan-rakan serumahnya yang sentiasa mengambilberat tentang dirinya. Namun , berpegang pada prinsip ...
"Aku yang merasa" maka Dilaila memutuskan untuk tidak bercerita tentangnya.
"I've to put a stop on this!".
Caranya?
"Diamkan diri ... Huh!".
Keesokannya , seperti biasa Dilaila bergegas untuk ke kuliah.
"Eh! Mana Bad?. Dia dah pergi ke?" Tanya Dilaila kepada Ziah yang sama-sama sedang terkejar-kejar menyiapkan diri.
"Ya!. Tadi aku nampak dia dah keluar rumah". Jawab Ziah sambil menyarung kasut sebelum berjalan laju meninggalkan Dilaila.
"Peliknya makcik ni. Boleh lak hari ni tak tunggu aku?". Dilaila kehairanan.
Sebaik saja sampai ke bilik kuliah , Dilaila terus mencari Badriah.
"Hah! Itupun dia". Kata hati Dilaila lalu terus mengambil tempat duduk bersebelahan dengan Bad.
"Woii! , pergi senyap-senyap tak tunggu orang". Tegur Dilaila sambil mencuit tangan Bad.
Badriah memandangnya sekali lalu , tanpa senyum dan kata.
"Kau kenapa?. Datang bulan?". Tanya Dilaila lagi ... dan Bad masih terus mendiamkan diri dengan muka yang bagaikan tiada perasaan.
Dilaila mengerutkan dahi , "Dah kenapa dengan dia ni?". Fikirnya ...
Sebaik sahaja habis kuliah , Bad dan Dilaila berjalan beriringan menuju ke surau. Memang begitulah rutin mereka ,berehat sebentar di surau sementara menunggu kuliah yang seterusnya. Badriah berjalan laju manakala Dilaila hanya mengikut rentak langkah kaki Bad , mendiamkan diri seperti Bad sambil kepalanya ligat berfikir , "Dah kenapa dengan dia?".
"Hmm ... adalah yang tak kena tu?". Fikir Dilaila.
"Layan je lah ... esok okeylah tu". Fkir Dilaila lagi.
Sampai di surau Dilaila duduk di sebelah Bad. Sengaja dia melambat-lambatkan membuka kasut.
"Biarlah dia pilih tempat , aku ikut aje". Fikir Dilaila.
Tiba-tiba ...
"Eh! adik yang nama Dilaila kan?". Tanya seorang 'kakak'.
"Ya , nape ye?". Balas Dilaila , hairan apabila tiba-tiba ditegur begitu oleh seorang pelajar perempuan yang lebih senior.
"Heee , nama akak Kak Munirah ... nak minta tolong sikit boleh?. Akak ambil kesusasteraan kanak-kanak. Kena buat buku cerita untuk kanak-kanak. Ni hah". Kata kak Munirah sambil menghulurkan sebuah buku yang telah siap di'binding'.
Dilaila mengambil dan membelek buku tersebut. "Jaga gigi kita?". Tanya Dilaila sambil tersengih memandang kak Munirah. Dilaila melihat dialog-dialog telah siap ditulis dalam setiap halaman buku cerita tersebut , tinggal lagi lukisan gambarnya masih kosong , langsung tiada gambar.
"Hmm ... ni nak minta saya lukis ke?". tanya Dilaila meneka.
"Ya , boleh ke?". Tanya kak Munirah.
"Boleh jea ... cuma ikut tafsiran dan kepala saya je lah kak. Saya lukis ikut apa yang saya faham daripada dialog yang akak buat ni. Kebetulan saya ada kelas pun lagi dua jam. Sempat kot buat sekarang". Balas Dilaila.
"Eh! Bolehlah. Dah nak tolong lukis ni dah kira cukup baiklah ni. So , akak tinggalkan buku cerita ni dengan Dilaila , nanti dalam pukul 1:00 cam tu akak datang balik, boleh?".Tanya Kak Munirah.
"Bolehlah ... In shaa Allah takde masalah". Ucap Dilaila.
Maka , Dilaila memulakan tugas sukarelanya itu.
"Bagus gak ada kerja nak dibuat. Tak payah nak layan si Bad yang moody tu. Ikut kau lah Bad , nak muncung sedepa pun!". Rungut hati Dilaila , jengkel juga dengan sikap dingin Bad yang tiba-tiba itu.
Seperti yang dijanjikan , tepat pukul 1:00 kak Munirah muncul semula , lalu segera mendapatkan Dilaila.
"Assalamualaikum , Dilaila ... macam mana , sempat siapke?" Tanya Kak Munirah sambil tersenyum.
"Dah. Akak tengoklah. Okey tak?". Jawab Dilaila sambil menghulurkan buku cerita 'Jaga Gigi Kita' kepada kak Munirah.
"Wah! Lebih dari okey ni. Terima kasih Dilaila. Eh! Dilaila dah makan?. Jom akak belanja". Ajak kak Munirah.
"Takpelah kak , saya masih kenyang. Pagi tadi dah makan nasi goreng. Member serumah yang masak". Balas Dilaila sambil mengerling ke arah Badriah yang pura-pura tidak mendengar perbualan antara Dilaila dengan kak Munirah.
"Kang kalau aku terima pelawaan kak Munirah ni , mesti nak kena ajak Bad sekali. Hmm ... dengan mood dia cam tu baik tak yah. Kang tak pasal-pasal kak Munirah pulak yang tak selesa". Fikir Dilaila.
" Betul?". Tanya kak Munirah.
"Betul kak , saya betul dah kenyang. Mungkin lain kali". Dilaila menyakinkan kak Munirah.
"Okeylah kalau gitu. terima kasih ye Dilaila". Ucap kak Munirah sambil tersenyum manis sebelum meninggalkan Dilaila.
Selesai menunaikan solat zohor , sekali lagi tanpa bicara Dilaila dan Bad melangkah beriringan menuju ke dewan kuliah. Kali ini mereka ada kelas dengan Dr Nazhar.
"Baiklah pelajar , hari ini kita akan membincangkan tentang salah satu ciri yang penting dalam pedagogi iaitu , pemikiran kritis dan kreatif. Bla ... bla ... bla ...". Dr Nazhar menerangkan definisi pemikiran kritis dan kreatif ...
sedang leka mendengar dan mencerna intipati penyampaian Dr Nazhar , tiba-tiba Bad yang duduk di sebelah Dilaila menghulurkan sehelai kertas kepadanya. Terkejut Dilaila , sangkanya 'perang dingin' telah tamat.
"Apa ni?". tanya Dilaila sambil melihat kertas kosong di hadapannya.
Bad tidak menjawab sebaliknya memuncungkan mulutnya ke arah seorang pelajar berbangsa China yang sedang memandang Dilaila. Dilaila mengangkat kening sebagai isyarat bertanya.
Pelajar tersebut menghulurkan sehelai kertas lagi. Kali ini mengandungi sedikit nota ,
'Minta tolong lukiskan satu gambar dalam library. Gambar seorang budak sedang cari buku di rak'.
Dilaila mengangkat ibujarinya tanda faham. lalu dengan segera melukiskan seperti yang di minta. Selesai , kertas itu diserahkan kepada Bad untuk disampaikan kepada pelajar China tersebut.
"Tq". Pelajar China tersebut mengucapkan terima kasih dengan mimik mulut sahaja dan Dilaila membalasnya dengan anggukan dan senyuman.
"Hmm ... pelik. Hari ni saja dua orang minta aku melukis. mana derang tahu aku boleh melukis?. Siapa yang bawa cerita? ... hmm ... biarlah. Bukan aku rugi apa-apapun. Dapat tolong orang , okey gak". Fikir Dilaila sendiri.
"Baiklah pelajar semua , jangan lupa tugasan kumpulan kamu. Tugasan itu mesti dihantar kepada saya selewat-lewatnya Rabu depan". Dr Nazhar memberikan ingatan sebelum melangkah keluar. Maka tamatlah sesi pembelajaran hari itu.
Tindakan yang mengecewakan
Malam itu Dilaila menyiapkan bahagian tugasannya yang masih belum sempat dilengkapkan sepenuhnya. Selesai sahaja , Dilaila membaca dan menyemak semula ...
" Anis , cuba kau baca. Okey tak kerja aku ni?". Pinta Dilaila pada rakan serumahnya , Anis. Budak Melaka yang paling comel pernah dikenalnya.
Anis dengan sukacitanya membaca sekali lalu bahan yang disiapkan Dilaila. "Okey , relevanlah dengan tajuk yang diberi. Pas ni Bad sambung ke?". tanya Anis.
"Ya. Dia akan siapkan bahagian dia pula". Jawab Dilaila.
"Dilaila , kenapa dengan korang hah?. Aku tengok lain macam je". tanya Anis.
"Entahlah Anis , akupun tak faham. Kenapa dengan dia tu. Langsung tak bercakap dengan aku walau sepatahpun. Tapi masih jalan sama-sama. Pelikkan?". jawab Dilaila jujur.
"Kau tak tanya dia?". Tanya Anis lagi.
"Muka mencuka macam tu ... malaslah aku nak tanya. Yang aku musykil , mogok dengan aku je , dengan korang tak pulak".
"Adalah tu yang dia sentap dengan kau". Renyih Anis.
"Apa-apalah. ikut suka hati dialah. Malas aku nak fikir. Aku ikut je rentak dia". Balas Dilaila sambil melangkah ke ruang tamu.
Sampai di ruang tamu , Bad bersama ahli rumah yang lain sedang menonton berita jam 8.
"Bad , aku dah taip bahagian aku. Kat fail 'tugasan Kumpulan-al-Qur'an'. Nanti kau buka dan sambunglah bahagian kau ye". Dilaila memberitahu Bad , bercakap dengan nada biasa , seperti tiada apa-apa yang berlaku antara mereka.
Bad tidak menjawab dan matanya terus tetap memandang televisyen.
"Pekak ke apa minah ni?". Rungut hati Dilaila.
"Bad! Kau dengar tak apa aku cakap ni?". Tanya Dilaila. Rakan-rakan yang lain semuanya memandang Dilaila yang nyata mulai bengang , jelas terpancar di wajahnya. Tapi Bad masih diam memandang televisyen , bagaikan ada berita terlalu menarik yang rugi dilepaskan!.
Melihatkan gaya Bad yang menyakitkan hati itu , Dilaila segera berlalu pergi menuju ke bilik tidur. Membentang tilam tidurnya , baring dan cuba melelapkan mata. Malangnya matanya bagaikan tidak mahu pejam ..."Eeeee ... apa salah aku Bad?. Kenapa teruk sangat kau layan aku?!". Rungut hati Dilaila , geram.
"Sabar Dilaila , sabar. sabar itu indah". Pujuk hatinya sendiri.
Beberapa hari berlalu sudah. Sikap Bad terhadap Dilaila masih sama. Keadaan ini betul-betul membuatkan Dilaila kebingungan. "Apa yang tak kena ni?". Fikir Dilaila.
Tidak cukup dengan itu ... malam tadi , Anis dan Kiah beritahu Dilaila sesuatu yang amat menyusahkan hatinya ...
"Dilaila , aku tengok semalam , Bad main delete je banyak bahagian yang kau dah siapkan". Anis bersuara.
"Ya lah , dia siap cakap , ahh! Ini tak payah! , Ini tak penting!!". Main sedap je dia delete tanpa rujuk pada kau. Bila aku baca balik , ayat dan semua maklumat bahagian kau jadi pelik. Melompat-lompat isinya dan banyak yang macam tergantung. Eh! aku rasa kau patut tengoklah sendiri sebelum tugasan tu dihantar". Sampuk pula Kiah.
"Entahlah ... aku pun tak tahu nak kata apa. Apa hal dia nak marah sangat ngan aku ni pun aku tak tahu. Kalau aku ada buat salah ke , tak puashati ke cakap jelah. Kita semua ni kan dah kawan lama , duduk serumah ... huh! kat manalah silapnya?". Keluh Dilaila.
"Habis tu , kau tak nak tengok dulu ke kerja kumpulan korang sebelum dihantar?".Tanya Anis dan Kiah serentak , risau kiranya tugasan itu dihantar tanpa dimurnikan balik.
"Buat apa?. Dia dah delete pun. Lagipun aku malas lah nak berurusan dengan dia lagi. Dah berminggu dia langsung tak cakap sepatahpun dengan aku. Kau tengoklah malam tadi. Aku cakap dengan dia , ada dia respon. pandangpun tidak. macam bangsat aje aku ni. Kau rasa kalau aku tanya atau minta kerja tu dia akan cakap atau bagi ke?. Daripada aku stress tengok muka cekudut dia tu , baiklah buat bodoh je. kalau gagal , sama-samalah gagal...nama pun kerja kumpulan kan!". Keluh Dilaila.
Ternyata apa yang dikatakan oleh Anis dan Kiah itu ada benarnya. Tadi sewaktu dalam kelas En. Ibrahim , Saiful ada menyampaikan pesan kepada Dilaila dan Badriah.
"Dilaila , Bad ... Dr.. Nazhar pesan , petang ni jumpa dia kat bilik dia dalam pukul tiga cam tu". Kata Saiful.
"Kenapa?". Tanya Arman yang turut memasang telinga.
"Manalah aku tahu". Jawab Saiful.
Dilaila dan Badriah hanya mendiamkan diri. masing-masing sudah boleh meneka sebab mereka dipanggil.
Maka petang itu selepas solat zohor , mereka berdua berehat di surau sahaja sambil menanti pukul tiga. Sampai masanya , Dilaila bangun dan diikuti oleh Bad perlahan-lahan dan secara beriringan mereka berjalan menuju ke bilik Dr Nazhar.
'Knock! Knock! Knock!' , Dilaila mengetuk pintu.
"Masuklah!". Pelawa suara dari dalam.
Dilaila menolak pintu sebelum melangkah masuk dengan diikuti oleh Badriah.
"Assalamualaikum ... " Ucap Dilaila , bagaikan tak terkeluar suaranya dek rasa malu yang amat sangat.
"Hmm ... ". dr. Nazhar memandang Dilaila dan Badriah secara bergilir-gilir , langsung tidak mempelawa mereka duduk.
"Mana satu Dilaila dan mana satu Badriah?". Tanya Dr Nazhar.
"Saya Badriah".
"Saya Dilaila"
"Hmm ... " ,keluh dr Nazhar lagi. Dilaila hanya menundukkan pandangannya.
"Ya Allah malunya !!!. Mesti dia fikir , apa bodoh sangat budak-budak perempuan ni. Buat tugasan macam sampah!!!". Fikir Dilaila sambil mengetap bibir.
Setelah berkali-kali memandang Dilaila dan Badriah atas dan bawah akhirnya Dr Nazhar bersuara ,
"Hrmm ... takpelah. Awak berdua boleh pergi!".
"Huh?!". Kata-kata En. Nazhar itu betul-betul membuatkan Dilaila berasa amat malu.
"Mungkin dia tak tergamak nak bagitahu betapa teruknya kerja tugasan kami. Lebih-lebih lagi setelah melihat muka kami yang poyo giler!!. ya Allah !!! Malunya aku!!!!. tak pernah aku rasa semalu ini!. Dr Nazhar nipun satu. Cakap ajelah ... Hei! kerja korang ni teruk sangatlah. Baik buang saja dalam tong sampah!. Itu lagi bagus daripada dia sekadar pandang kami atas dan bawah dan suruh kami keluar macam tu aje!". Fikir Dilaila. Kali ini , perasaannya amat kesal dengan apa yang dilakukan Bad terhadapnya. Dilaila mempercepatkan langkah , tidak mahu lagi berjalan seiringan dengan Bad!.
Penghujung pengajian ...
Sudah dua minggu berlalu sejak peristiwa Dilaila dan Badriah dipanggil oleh Dr Nazhar. Kini , tibalah masa minggu-minggu terakhir mereka mengikuti program diploma pendidikan sebelum masing-masing mengangkat kaki ke sekolah-sekolah yang ditetapkan oleh pihak Universiti sebagai tempat praktikal mereka.
"Alhamdulillah , aku dapat dekat-dekat sini je". Kata Saiful.
"Eh! Dilaila , dah check awak dapat kat mana?". Tanya Arman.
"Belum lagi ... awak dah check ke?". Balas Dilaila.
"Dah ! Saya dapat kat kajang. Dekat jugalah dari sini". Beritahu Arman sambil tersenyum.
"Nak check kat mana ye?". Tanya Dilaila.
"Tu ... dekat papan kenyataan depan pejabat. Jom lah ... saya temankan awak". Pelawa Arman.
"Eh! takpelah... nanti sajalah saya semak". Balas Dilaila.
"Hmm ... sebenarnya saya dah tahu awak dapat mana. Tadi saya tengok sekali semua kawan-kawan satu mikro teaching kita. Awak dapat kat Masjid Tanah , Melaka. Jauh gak tu. Kenalah cari geng untuk tengok sekolah dan cari rumah sewa". kata Arman dengan panjang lebar.
"Ye ke?. jauhnya Melaka. Saya tak biasa dengan Melaka. Takpelah , thanks ye. Nanti saya tengok , siapa lagi dapat tempat yang sama atau deka-dekat dengan sekolah saya. Boleh rancang pergi tengok tempat sekali". kata Dilaila.
"Hmm ... moga urusan awak dipermudahkan". kata Arman sebelum mereka berpisah.
Masa berlalu ... pelajar ... guru praktikal ... dan akhirnya posting ...
Sudah dua bulan Dilaila bertugas sebagai guru di SMK Pagan Sena , bermula dari 1 Mei lepas , tarikh keramat ... Dilaila bertugas sebagai guru secara sah. Tak sampai dua bulan bertugas , kini tiba masa cuti pertengahan tahun. Selama dua minggu Dilaila akan bercuti ... tak sabar rasa hatinya untuk pulang ke pangkuan bonda ... nun jauh di sana.
"Hello! , Assalamualaikum. Anis , kenal tak?"
"Waalaikumussalam ... suara kau macam mana nak lupa. Mestilah aku kenal. Apa khabar sekarang. Bukan ke sekarang ni kau cuti? Cuti pertengahan penggal sekolah kan?" Tanya Anis.
"Ya lah. Sebab tulah aku telepon ni. Ingat nak lepak sana jap sebelum balik rumah aku". Balas Dilaila.
"Bolehlah ... bila kau nak turun?". Tanya Anis.
"Esok!. kau adarumah tak?". tanya Dilaila.
"Hmm ... mestilah ada ... Eh! lusa aku ngan Kiah nak ke Segamat. Apa kata kau ikut sekali. Balik dari Segamat barulah kau balik". Ajak Anis.
"Segamat?. jauh tu ... buat apa pergi Segamat?". tanya Dilaila.
"Eh! kau tak tahu ye ... lusa Badriah bertunang. Dia jemput kita semua ... housemate dia dulu. Kitalah tu". Jawab Anis.
"Ooo ye ke... Alhamdulillah , sampai jodohlah tu. Hmm ... Bad bertunang dengan siapa ye?".Tanya Dilaila , hairan juga ... tiada angin , tiada ribut , tup tup dah nak bertunang.
"Alah! Kau mesti kenal. Siapa nama budak yang satu mikroteaching dengan korang tu ?". Tanya Anis pula.
"Arman?". Dilaila meneka.
"Ya! Betullah tu. Dia bertunang dengan budak Arman tulah". Jawab Anis mengesahkan.
"Hmm .. baguslah. Tapi rasanya aku tak dapatlah nak sama-sama ke Segamat sebab aku dah janji ngan mak aku akan balik lusa. Jadi sempatlah aku lepak ngan korang kejap esok". Balas Dilaila
"Okey , aku tunggu kau" ...
Sebaik sahaja gagang telepon diletakkan , Dilaila termenung panjang ...
"Bad , kalaulah apa yang aku fikir ini betul ... tak berbaloi kau memusuhiku hanya kerana seorang lelaki. Cinta aku tak semurah itu!".
-peace-
>__<
No comments:
Post a Comment