Popular Posts

Sunday 23 March 2014

"Keranamu DIAH": Bab 13

BAB 13 :       DIAH HILANG INGATAN!

Hari yang dinanti...
Pagi itu mereka berdua sungguh gembira. Mengenakan baju baru yang ditempah khas untuk hari yang istimewa ini. Hari yang dinanti oleh semua mahasiswa  , hari graduasi... Hari Konvokesyen mereka!. Setelah berpenat lelah menamatkan kursus masing-masing , hari ini segala usaha dan jerih perit mereka akan diiktiraf . 
Bagi Ziah dan Ba’ie , sungguhpun program diploma yang mereka ikuti itu hanyalah untuk tempoh setahun sahaja namun bebanan dan pengisiannya cukup padat dan memenatkan!. Sebab  itulah  mereka cukup bersedia untuk kedatangan hari ini.  Ziah menempah khas kebaya labuh bewarna kuning air , bersulam di hujung tangan manakala Ba’ie pula berbaju kurung Pahang bewarna biru laut. Pesak gantung yang kembang di bawah. Anggun bergaya. Kedua mereka kelihatan sungguh ayu dan tambah berseri apabila mengenakan jubah graduasi yang bewarna ‘jingga menyala’.
“Sampai juga hari ini. Hari ini jadi lebih bermakna kerana kita telah bertemu semula setelah hampir setengah tahu berpisah”.  Ziah berkata dengan gembira sambil memeluk bahu Ba’ie.
“Ya , akupun rasa sangat gembira. Aku rasa kita adalah gadis yang paling manis dan ayu di sini. Macam perempuan melayu terakhir!”. Jawab Ba’ie.
“Heee ... perasan betul kau ni!”. Balas Ziah.
“Eh! Betul kot!”. Kata Ba’ie sambil mengebil-ngebilkan matanya.
“Eeee ... memang betullah. Perempuan Melayu terakhir. Cuma ada yang kurang”. Balas Ziah
“Hanya kita berdua di sini. Tak da keluarga dan tak da sesiapa yang istimewa”. Sambung Ziah.
“Alah ... ini konvo kita kali yang kedua. Relakslah ... takyahlah nak susahkan mak bapak kita datang jauh-jauh dari kampung. Pasal teman istimewa tu ... janganlah sensitif sangat. Kalau setakat teman lelaki ... hmm ... takda maknanya. Belum tentukan bersatu. Lainlah kalau tunang ke , suami ke ... barulah berbaloi. Hah! Aku ada cadangan , lepas ni kita sambung master. Nanti masa konvo bolehlah ajak ‘teman istimewa’ kita. Amacam ... setuju?”. Seloroh Ba’ie.
“Hmm ... banyaklah kau punya master!”. Jawab Ziah.

Tiba-tiba telefon bimbit Ba’ie berbunyi ...
“Eh kejap ye , siapa pulak telefon aku ni?”.  Ba’ie berkata kepada dirinya sendiri.
“Hamzah tak?. Nak ucap tahniah pada kau agaknya”. Usik Ziah. Ba’ie tersenyum meleret.
“Alangkah baiknya jika dia yang ‘call’ “. Balas Ba’ie namun segera memuncungkan bibirnya apabila melihat nombor yang tidak dikenali tertera pada skrin telepon bimbitnya.
“Bukan Hamzahlah”. Katanya kepada Ziah sebelum menjawab panggilan itu. Ziah hanya tersenyum sambil mengangkat bahu melihat gelagat Ba’ie.
“Hello! Siapa?.  Oh awak. Apa?... Bila? ... baik-baik ... aku dan Ziah datang sekarang”. Jawab Ba’ie. Ziah segera memandang Ba’ie , “Seperti ada yang tidak kena ni”. Fikirnya.
 Ba’ie memuncungkan bibirnya sebelum memandang Ziah. Diam. Melihatkan gaya Ba’ie itu , Ziah dapat mengagak. Sesuatu telah berlaku kepada Diah!.
“ Diah?”.  Ziah bertanya dengan tidak sabar. Ba’ie mengangguk.
“Kenapa?”. Tanya Ziah.
“Keadaannya tidak stabil . Zuraimie minta kita ke sana sekarang”. Jawab Ba’ie perlahan.
“Jadi ... mengapa tunggu lagi?”.  Ziah menarik tangan Ba’ie.
“Tapi  ...  konvo kita?”. Ba’ie merentap tangannya , tidak dapat membuat keputusan. Ziah memandang Ba’ie dengan tajam.
“Pada aku persahabatan lebih penting. Tapi terpulanglah pada kau. Aku pergi dulu”. Ziah berkata tegas , membuka jubah yang sedia tersarung  lalu terus berlari ke perhentian bas . Ba’ie masih termangu-mangu memandang Ziah yang semakin menjauh ...
Nasib Ziah baik kerana belumpun sempat sampai ke perhentian bas  sebuah teksi membunyikan ‘hon’ kepadanya. Ziah mengangkat tangan menahan teksi tersebut  dan teksi itu pun berhenti.
“Ke mana kak”. Tanya pemandu teksi itu , seorang lelaki melayu pertengahan umur.
“Hospital Kajang. Laju sikit ya. Saya ada ‘emergency’ ni”. Pinta Ziah. Pemandu teksi  itu mengangguk faham lalu terus memecut ke  arah yang dipinta.
Ziah merasakan perjalanan ke hospital itu sungguh lama , air matanya mengalir deras. Ziah khuatir jika sesuatu yang buruk  terjadi kepada Diah.
“Ya Allah , selamatkanlah Diah”. Doanya di dalam hati.
“Sabarlah cik , sekejap lagi kita sampai. Serahkan segalanya kepada Allah”. Pemandu teksi yang perasan akan keadaan Ziah yang sedang cemas itu cuba menenangkan Ziah.

Akhirnya , setelah dua puluh minit perjalanan , mereka sampai ke tempat yang dituju. Ziah segera membayar tambang teksi dan tidak lupa mengucapkan ‘terima kasih’ kepada pemandu teksi yang perihatin itu.
“Harap semuanya selamat”. Kata pemandu teksi itu sebelum bergerak pergi. Ziah hanya mengangguk.
Ziah berlari anak menuju ke pintu masuk hospital. Sampai sahaja di situ , Ziah sudah tidak sabar lagi lantas terus berlari laju menuju ke arah wad di mana Diah di tempatkan. Tercungap-cungap bagaikan tidak cukup nafas!. Langsung tidak menghiraukan orang ramai yang ada di sekeliling.
“Diah , jangan pergi! Jangan pergi! Jangan pergi Diah!!”.  Jerit hatinya. Cemas betul perasaannya. Kain kebaya labuhnya disingkap tinggi. Kakinya melangkah panjang. Air matanya makin deras mengalir.

... Diah akan meninggalkan kita.
Namun sebaik sahaja sampai di tempat yang dituju Ziah  kehairanan. Langkahnya terhenti. Sungguh hairan melihat Zuraimie masih boleh tersenyum gembira apabila terpandangkannya.
“Ziah ... Diah dah sedar! Diah dah sedar!”. Katanya gembira. Berlari anak mendapatkan Ziah yang masih lagi terpaku dengan mata yang masih basah.
“Doktor tengah buat pemeriksaan ke atasnya. Nak pastikan dia betul-betul okey”. Terang Zuraimie tanpa diminta.
“Tapi tadi kau cakap ... ?”. Ziah yang masih tercungap-cungap terasa bagaikan  hendak ‘meletup’ kerana terpaksa meninggalkan majlis konvokesyennya dan berlari pula bagaikan orang hilang akal!
“Kalau berita gembira kenapa tak boleh tunggu?!”. Fikirnya geram , memandang Zuraimie dengan mata yang sengaja dikecilkan.
“Betul ... betul. Maafkan aku.  Tadi aku panik sangat sebab denyutan jantung Diah tak stabil. Malah ada masa tu macam tak ada denyutan langsung. Hinggakan aku benar-benar sangka yang Diah akan meninggalkan kita. Sebenarnya sejak kau dan Ba’ie datang semalam keadaan Diah menjadi sangat tidak stabil. Mungkin kehadiran kau orang berdua telah benar-benar menggerakkan emosinya. Kan kau kawan baik dia , aku rasa kaulah perangsang yang cukup berkesan buat Diah”.  Zuraimie menerangkan apa yang berlaku dan benar-benar menghargai kehadiran Ziah .
“Huh , Alhamdulillah!”. Syukur Ziah kepada Allah. Hilang rasa marahnya mendengar kata-kata Zuraimie itu.
“Tapi Ziah , aku minta maaf sebab kau terlepas majlis konvo kau”. Zuraimie melahirkan sedikit kekesalan kerana gara-gara dirinya yang panik tidak menentu menyebabkan Ziah tidak dapat menghadiri majlis konvokesyennya padahal itulah tujuan asal Ziah turun ke mari meninggalkan Pagan Sena.
“Eh! Kalau aku hantarkan  kau balik ke sana. Mungkin sempat lagi”. Sambung Zuraimie sambil memandang Ziah yang ayu berkebaya labuh.
 “Ya. Majlis konvo aku. Sepatutnya majlis konvokesyen kau dan Diah jugakan. Takpalah ... mungkin bukan rezki aku. Alang-alang dah sampai ke sini , aku nak jumpa Diah. Itu lebih penting”. Balas Ziah sambil tersenyum.
“Err ... kalau gitu tak apalah. Mungkin dah memang bukan rezeki kita”. Jawab Zuraimie.
 “Hmm ... tak palah Mie , Diah memang lebih penting daripada segalanya buat kita berdua”. Balas Ziah. Senyum.  Zuraimie juga turut tersenyum mendengar jawapan Ziah itu.
“Ya , dia amat penting buat kita , buat aku ...”. Zuraimie mengiakan kata-kata Ziah.
“Hah , doktor dah pun keluar. Mari ...”. Zuraimie menarik tangan Ziah , mengajaknya  bertemu dengan Doktor Anisah. Ziah akur. Sentuhan Zuraimie itu tidak lagi menyebabkan dadanya berdebar. Ziah lega ...
“Alhamdulillah , akhirnya aku telah dapat membebaskan kau dari benak hatiku ini!” . Ziah bersyukur sambil  terus tersenyum.
“Ziah , perkenalkan ... ini doktor Anisah , kakak aku” . Zuraimie memperkenalkan doktor Anisah kepada Ziah.
Fahamlah Ziah kini , mengapa Diah boleh berada di bilik VIP  dan Zuraimie pula boleh bebas keluar masuk wad. “Kakak kau ... patutlah kau bebas keluar masuk ke sini. Apa khabar doktor?”.  Ziah menghulurkan tangan. Doktor Anisah menyambutnya.
“Kabar baik. Sebenarnya Zuraimie ni taklah bebas keluar masuk ke sini walaupun dia tu adik saya. Saya cuma doktor yang berkhidmat di sini bukannya pemilik hospital ini.” Doktor Anisah membetulkan ‘statement’ Ziah. Ziah tersipu. Malu dengan kata-kata melulunya tadi.
“Bahaya statement awak tu!”. Doktor Anisah berkata separuh berbisik sambil tersenyum.
“Ahh ... yaa. Maaf doktor!”. Jawab Ziah tersipu.
“Tak apa  ... awak pun kawan Mardiahkan , pergilah masuk jumpa dia. Since keluarganya pun tak ada , dalam situasi begini kehadiran kamu semua amat bermakna baginya. Dia amat memerlukan sokongan orang-orang yang rapat dengannya sekarang ni tapi hati-hati , keadaannya masih terlalu lemah. Kalau boleh jangan ada cerita duka yang boleh mengganggu emosinya”. Jelas doktor Anisah sambil memegang bahu Ziah.
“Ya. Terima kasih doktor”. Kata Ziah ,  menganggukkan kepala.
Doktor Anisah meminta diri manakala Ziah dan Zuraimie pula beriringan masuk ke dalam bilik di mana Diah ditempatkan. Sebaik saja mereka melangkah masuk , Diah yang sedang berbaring di atas katil terus membangunkan badannya perlahan-lahan.

Aku Zuraimie. Kekasih awak Diah. Akulah bapa kepada anak itu!
“Siapa?!!”. Suara Diah antara kedengaran dengan tidak ... perkataan pertama Diah setelah lebih dua bulan tidak bersuara. Suaranya bagaikan tidak mahu keluar ... serak dan tertahan-tahan. Hanya tangannya di lambaikan ke arah Ziah.
“Diah...!”. Ziah berlari ke arah Diah lalu memeluknya. Ziah menangis kegembiraan. Sahabatnya kini sudah kembali sedar!.
“Siapa? ...”.  Diah terus bertanya. Termangu dan kehairanan dipeluk begitu.
“Kat mana?”. Tanya Diah lagi. Diah keliru. Dia kelihatan seperti orang yang kehilangan punca.
“Apa dah jadi dengan aku ni ...”. Tanya Diah lagi , memandang sekeliling. Bingung ... wajahnya benar-benar kelihatan bingung.
“Hussshhhhh ... tenang Diah , kau di hospital sekarang ni” . Ziah cuba menenangkan Diah. Pelukannya dilepaskan perlahan-lahan. Ziah mulai sedar yang Diah sedang  keliru.
“Ini petanda tidak baik”. Fikirnya lalu segera memandang Zuraimie yang tercegat keras bagai tugu Negara. Cuma matanya memerhatikan Diah tanpa kelip. Dia sendiri bagai tidak percaya yang Diah sudah sedar dan sudah mula bersuara. Tanpa sedar setitis demi setitis air mata lelakinya mengalir menyusuri alur wajahnya.
“Ya Allah , aku bersyukur padaMu”. Ucapnya di dalam hati.
            Sementara itu Diah masih kebingungan memandang ke kiri dan ke kanan , Diah cuba memahami keadaan ... “Diah?. Aku Diah?” . Tanya Diah. Tangan kanannya diletakkan di dada. Diah memandang Ziah meminta kepastian.  Ziah hairan mendengar pertanyaan Diah itu.
“Kau tak ingat nama kau sendiri?”. Tanya Ziah. Diah diam . Kepalanya di pegang.
“Entahlah ... aku Diah?”. Ulang Diah sekali lagi. Tangannya masih di dada. Beralih ke wajahnya sendiri dan akhirnya jatuh ke perutnya yang semakin membesar.
“Aku??” . Diah memandang Ziah sambil memegang perutnya.
“Ya . Kau Mardiah bt Amir. Sahabat baik aku”. Ziah mengingatkan. Ziah sungguh sedih dan terharu melihat Diah dalam keadaan seperti ini. Pantas tangan Diah digenggamnya lalu melabuhkan punggungnya menumpang duduk di tepi katil Diah.
“Kau?”. Tanya Diah sepatah.
“Aku Ziah. Rodziah , sahabat baik kau. Kita sama-sama belajar diploma pendidikan di UKM. Lebih dari itu  kita telah lama bersahabat baik , sejak di Matrikulasi Kulim lagi. Diah , takkanlah kau dah tak ingat semua itu?”. Tanya Ziah sebak.
Diah diam dan menggeleng-gelengkan kepalanya perlahan. Tiba-tiba .....
“Ini?”.  Tanya Diah lagi sambil terus memegang perutnya. Ziah menganggukkan kepalanya. “Anak kau. Kau sudah lupa?!”. Bisik Ziah ke telinga Diah.
“Anak? ..., anak aku?”.  Tanya Diah.  Ziah menganggukkan kepala.
“Suami?. Ayahnya?” .  Tanya Diah lagi.
“Kau betul-betul tak ingat?”. Tanya Ziah pula. Pertanyaan dijawab dengan pertanyaan!
“Suami?. Ayahnya! ... ayahnya?!”. Jerit Diah , agak agresif. Ziah panik. Tidak tahu jawapan terbaik yang harus dikatakan. Pesanan doktor Anisah supaya jangan ada  kisah duka diungkit tadi telah menghalangnya berkata benar. Ziah benar-benar kehilangan kata-kata.
“Mana ayahnya?. Mana? Mana?!”. Tanya Diah bertubi-tubi memandang sekeliling dan matanya akhirnya memandang tepat ke wajah Zuraimie yang masih terpaku memandang panorama itu.
“Aa ... aa ... aakulah bapanya!”. Zuraimie tiba-tiba bersuara , matanya cuba menentang pandangan mata Diah.
“Ya! Akulah bapanya. Itu anak kita. Anak kita bersama”. Jawab Zuraimie dengan lebih yakin.
Terbeliak mata Ziah memandang Zuraimie.
“Biadap!. Berani sungguh kau!!”. Bisik hati kecil Ziah. Ziah tidak boleh menerima pembohongan Zuraimie.
“Dia?”. Diah mencari jawapan daripada Ziah.  Tangannya lemah menggenggam lengan Ziah. Belumpun sempat Ziah menjawab ...
“Aku Zuraimie. Kekasih awak Diah. Akulah bapa kepada anak itu”. Zuraimie mengulangi kata-katanya. Sekali lagi Ziah terkejut mendengar jawapan berani Zuraimie. Matanya memandang tepat wajah pemuda ini. Zuraimie membalas pandangan itu. Lama. Ziah mengetap bibirnya , tidak faham akan makna pandangan Zuraimie itu.
“Arrggghhhh!”. Diah memegang kepalanya. Rambutnya ditarik-tarik.
“Diah , tenang!. Tenang!. Kami ada di sini. Kami sayangkan awak. Awak rehat ... rehatlah ...”. Ziah menahan tangan Diah daripada terus menarik-narik rambutnya lalu merapatkan kepala Diah ke dadanya.
“Sshhhhh ... sudah ... sudahlah ... . Jangan dipaksa diri , jangan fikirkan perkara yang bukan-bukan”.  Diah dipeluknya hingga tenang. Diah dibaringkan semula. Diah patuh kerana tubuhnya sendiri memang berasa terlalu lemah. Fikirannya pula bercelaru dan keliru. Matanya dipejamkan semula dan akhirnya terlena.
Ziah terus memandang Zuraimie. Tidak disangkanya Zuraimie sanggup menangguk di air yang keruh!. “Apa maksud kau memberitahu Diah yang kau ini kekasihnya?”. Tanya Ziah. Marah.
“Shhh!!”. Zuraimie menarik Ziah keluar dari  kamar itu.

Di luar kamar ...
“Kenapa kau ...”. Ziah cuba mengajukan soalan yang sama  sambil menudingkan jarinya ke muka Zuraimie ... marah sungguh dia. Mana mungkin dia membiarkan sahabat baiknya diperbodohkan dengan pembohongan itu.
“Sudahlah!. Cukuplah tu. Sekarang jom kita pergi minum dulu”. Zuraimie memotong kata-kata Ziah. Ziah diam. Bungkam perasaannya ...
“Kenapa kau mengaku sebagai bapa bayi Diah?”. Tanya Ziah , masih tidak berpuas hati. “Itu anak Raziq. Bukan anak kau! Mengapa kau berkata bohong begitu?” Ziah memandang tepat ke muka Zuraimie. Langsung tidak dihiraukannya pelawaan Zuraimie tadi.
“Hmm ...  habis , kenapa kau sendiri tidak memberikan jawapan yang sebenar kepada soalan Ziah tadi?. Kenapa kau sendiri hilang kata-kata ketika Diah bertanyakan tentang ayah anaknya itu?. Kenapa? Kenapa diam?”. Balas Zuraimie , terkilan dengan tuduhan Ziah terhadapnya. Ziah diam.
“Tidakkah  kau nampak bahawa aku sebenarnya cuba menyelamatkan keadaan?”. Sambung Zuraimie lagi. “Aku bukan sengaja menangguk di air yang keruh. Sama seperti kau, aku juga sayangkan Diah. Aku tidak mahu perkara buruk menimpanya”. Zuraimie cuba mendapatkan pengertian Ziah.
“Aku ... ahhh!. Aku tak faham maksud kau”. Jawab Ziah.
“Demi Diah. Dia sekarang sangat keliru. Kalau boleh dia mahu jawapan kepada semua soalan yang bermain di dalam kepalanya sekarang ini. So , itulah yang aku buat”. Terang Zuraimie.
“Dengan mengaku sebagai kekasihnya?.  Dengan berbohong?. Ahh! Memang kau menangguk di air keruh!. Kau mahu memanafaatkan keadaan Diah sekarang demi kepentingan kaukan?!”. Ziah tetap tidak berpuashati.
“Ziah!. Jangan kau menuduh semahunya saja. Apa kau lupa pesan doktor Anisah , jangan ada cerita duka. Sanggup kau katakan kepadanya bahawa kekasihnya Raziq , bapa kepada anaknya itu sudah mati?. Sanggup kau katakan padanya yang anak yang dikandungkannya itu sudah tidak berbapa maka dialah yang harus memikul segala bebannya sendiri?. Sanggup? Sanggupkah kau Ziah?. Bercakap mengikut perasaan memang mudah!”. Balas Zuraimie , mempertahankan tindakannya. Ziah diam. Ada benarnya kata-kata Zuraimie.
“Sebab itulah aku terpaksa mengaku yang bayi itu adalah anak kami. Aku tidak mahu emosi dan fikirannya terganggu dengan cerita kemalangan itu atau ...  tentang Raziq yang sudah tiada!”. Terang Zuraimie , nada suaranya lebih tenang. Lega rasanya apabila dapat menyatakan yang benar dan dapat mempertahankan diri dari terus-terusan dituduh yang bukan-bukan.
 Ziah tunduk. “Kau betul. Maafkan aku”. Kata Ziah.
“Ahh ... sudahlah. Jom kita pergi minum. Aku belanja!”. Pelawa Zuraimie sekali lagi sambil tersenyum lega memandang Ziah. Ziah mengangguk.
Mereka beriringan ke kantin hospital. Kopi-O panas bersama pau daging cukup menyelerakan. Setelah mengambil tempat , mereka mula membincangkan semula perkara yang sama.
 “Ziah , Aku langsung tidak berniat buruk terhadap Diah apatah lagi mahu menangguk di air yang keruh. Semua ini aku lakukan demi Diah”.  Zuraimie memulakan bicara.
“ Aku faham”. Jawab Ziah perlahan.
“Ziah, pertama aku minta kau jangan berburuk sangka kepada aku. Aku tahu , aku pernah kecewakan kau dulu. Aku ini seperti manusia yang tiada perasaan dan tidak perihatin langsung akan perasaan  dan kesengsaraan orang lain”. Kata Zuraimie , merujuk kepada tindakannya memutuskan hubungan cinta mereka.
“Mie , boleh tak kau jangan ungkit lagi kisah lalu. Semua itu sudah aku buang jauh dari hidupku. Kita kini duduk semeja hanya kerana Diah. Tidak lebih dari itu. Aku tak suka kau ungkit  kisah lama. Semua itu langsung sudah tidak bermakna dalam hidup aku”. Ziah marah , tidak selesa apabila Zuraimie masih mengungkit kisah cintanya yang ditolak mentah-mentah. Kisah hatinya yang hancur dipatah-patahkan oleh lelaki yang berada di hadapan matanya kini. Benci benar rasanya mengingatkan hubungan yang pernah terbina antara mereka berdua. “Mencintai kau adalah perkara paling bodoh yang pernah aku lakukan dalam hidupku!”. Ziah sedikit beremosi.
Zuraimie terdiam mendengar kata-kata Ziah. Entah mengapa dia terkilan mendengarnya. “Perkara paling bodoh?”. Dia cuba memahami maksud  di sebalik kata-kata Ziah itu.

Mulut kata lain , hati kata lain.

Hakikatnya Ziah sedih dan sangat kecewa dengan kehancuran cinta mereka

berdua. Ziah masih tidak dapat melupakan apatah lagi membuang kisah lalu.

Semuanya bagaikan tersemat kuat dalam lipatan sejarah hidupnya kini ...

 



“Uh maafkan aku. Aku tidak bermaksud mahu mendera perasaan kau. Tujuan aku hanyalah untuk menyatakan bahawa aku bukanlah manusia yang hanya mementingkan diri sendiri. Aku cuma mahu kau faham maksud tindakan aku mengaku sebagai kekasih dan ayah kepada bayi yang dikandungkan oleh Diah. Itu sajai”. Terang Zuraimie lagi , bersungguh-sungguh. Kesal kerana telah menyinggung perasaan Ziah , gadis yang pernah dikecewakannya.
 “Semua yang kulakukan ini adalah demi kebaikan dia dan bayi dalam kandungannya itu!”. Kata Zuraimie perlahan. Ziah mengerutkan dahinya. Dia terfikirkan sesuatu ...
“Mie , sejak bila kau tahu yang Diah itu mengandung dan bagaimana kau tahu yang bayi itu adalah anak Raziq?”. Tanya Ziah bertubi-tubi.
“Dah lama. Sejak malam kemalangan itu lagi. Malam itu  juga aku  tahu yang  itu adalah anak Raziq”. Jawab Zuraimie.
“Bagaimana ?”. Ziah kehairanan , terlopong mulutnya seketika. Sangkanya hanya dirinya seorang sahaja yang tahu Diah mengandungkan anak Raziq.
“Kau ingatkan yang aku seperti telah ditakdirkan  untuk berada di tempat kejadian pada malam kecelakaan itu. Akulah yang mengadap Raziq sehingga nafasnya yang terakhir.  Sebelum  ajalnya , Raziq telah meminta aku berjanji”. Kata Zuraimie.
“Berjanji?”. Tanya Ziah tidak sabar.
“Ya .  Berjanji untuk menjaga Diah dan anaknya itu. Aku telah berjanji kepada Raziq untuk menjaga Diah dan anak dalam kandungannya itu. Kau faham sekarang?. Kau faham sekarang mengapa aku sampai sanggup mengorbankan maruah dan kehidupan aku demi menunaikan janjiku itu?. Bukan sedikit hinaan dan tohmahan yang aku terima gara-gara mengakui dosa yang tidak pernah aku lakukan. Aku sendiri sebenarnya menderita dengan semua ini. Tapi demi janjiku pada Raziq dan yang lebih penting lagi demi Diah. Aku ikhlas dan benar-benar mencintai dia. Aku mahu membela nasibnya”. Zuraimie menghela nafas lega. Sekurang-kurangnya sedikit beban yang ditanggungnya sendiri selama lebih dua bulan ini dapat dikongsi.
“Kini Raziq sudah tiada. Tiada gunanya lagi buat Diah untuk mengingati kehadirannya dulu. Hanya menambah luka di dada. Lebih teruk lagi , berita kehilangan Raziq itu mungkin akan memburukkan lagi keadaan Diah. Biarlah dia sangka yang aku ini adalah kekasihnya dan anak dalam kandungannya itu adalah anak kami”. Terang Zuraimie. Memandang Ziah , memohon pengertian.
“Kebenaran walaupun pahit pasti jauh lebih baik daripada suatu pembohongan!. Takkanlah kau nak mulakan hubungan kalian dengan satu pembohongan?”. Ziah membantah.
“Habis? Apa pilihan yang aku ada?. Kau fikir kalau Diah kembali ingat yang dia sedang mengandungkan anak luar taraf dan bapa kepada anak itu pula sudah tiada , dia akan segera pulih? Atau sebaliknya dia akan lebih tertekan?”. Tanya Zuraimie. Ziah diam , tidak tahu sama ada patut bersetuju dengan rancangan Zuraimie atau sebaliknya.
“Ziah , tolonglah. Aku perlukan pertolongan kau untuk meyakinkan Diah. Jika dia dapat menerima aku ini sebagai kekasihnya dan sangka yang anak itu adalah anak kami pasti dia akan setuju untuk berkahwin dengan ku. Nasibnya dan nasib anak itu akan kubela. Kau sendiri tahu yang aku tidak akan pernah mempersia-siakan mereka. Aku mencintainya sepenuh hati. Malah aku telah mengaku kepada keluargaku yang aku adalah bapa kepada anak dalam kandungan Diah itu!” Zuraimie separuh merayu. Ziah bingung. ‘Ditelan mati emak , dibuang mati bapak’!.
“Begitu besar pengorbanan Zuraimie. Apa yang harus ku lakukan. Patutkah aku bersengkokol dengannya untuk  menipu sahabat baikku sendiri?” . Ziah bingung.
Kata-kata Zuraimie ada benarnya. Zuraimie tidak merampas Diah dari sesiapapun. Semua ini demi kebaikan Diah sendiri dan ...  demi kebaikan anak luar taraf itu juga!. “Kasihan bayi itu!”. Fikir Ziah.
“Tetapi kau merampas  masa silamnya!”. Kata Ziah kemudiannya.
“Mengapa kau terlalu berpuitis. Berpijaklah di bumi nyata”. Tegur Zuraimie.
“Ahhh ... apa yang pentingnya masa silam itu. Semuanya hanya mendatangkan kedukaan. Biarlah Diah menempuh masa depan yang lebih meyakinkan. Masa depan yang mampu membuatkan Diah bahagia!”. Balas Zuraimie.
Ada betulnya kata-kata Zuraimie itu. Setelah lama berfikir , Ziah akhirnya membuat keputusan untuk menyokong tindakan Zuraimie itu.
“Mie , aku tak pasti sama ada tindakan kau ini betul atau sebaliknya tetapi aku juga tak dapat nak fikirkan cara lain yang lebih baik buat masa depan Diah dan bayinya. Raziq sudah tiada. Ibubapa kandungnya pula telah membuangnya. Kini dia sedang berbadan dua dan sangat memerlukan tempat bergantung. Tiada calun lain melainkan awak yang rela memberikan semua itu kepadanya. Saya tiada pilihan melainkan menyokong tindakan awak!” Ziah menyatakan pendiriannya walaupun sebenarnya hatinya masih lagi ragu.
“Terima kasih! Terima kasih Ziah!. Aku sangat menghargai pilihan kau ini. Tolong aku meyakinkan Diah sehinggalah kami selamat diijabkabulkan. Buatlah dia setuju!. Aku janji yang aku akan pastikan  nasib Diah dan anaknya itu terbela. Aku akan bahagiakan mereka. Aku janji dengan nyawaku Ziah!”.  Pinta dan janji  Zuraimie.
“Baiklah , demi Diah dan anak dalam kandungannya itu!. Aku harap kau akan sentiasa ingat janji kau itu” . Ziah akhirnya bersetuju.
Setelah tiada apa lagi yang boleh dilakukan di hospital dan sementara Diah masih lagi tidur , Ziah meminta diri untuk segera kembali ke dewan konvokesyennya. Zuraimie menawarkan diri untuk menghantarnya namun Diah menolak.
“Tak apalah. Depan tu ada banyak teksi. Aku naik teksi saja. Kau tengok-tengokkanlah Diah”.  Kata Ziah.
“Baiklah. Terima kasih Ziah!” .  Jawab Zuraimie. Dia benar-benar lega dan bersyukur dengan kesediaan Ziah membantunya meyakinkan Diah.
“Diah , akan ku bela nasibmu”. Bisik hati kecilnya.
  

Biasa sangat  kita dengar
            Orang cukup berani berkata
            Hmm ... tindakan ini memang benar
            Oh perlu , ‘bohong sunat’ namanya
            Nanti dapat mengelak cemar
            Gusar dibiar bencanakan tiba
                                    Sungguh benarkah begitu?
                                    Umpama hukum menjadi jenaka
                                    Nanti sanggupkah kita mengaku
                                    Andai tiba di pinggir neraka
                                    Tatkala gigil jasad yang kaku?


                                   Bohong Jenaka ?!



 Kembali ke dewan Konvokesyen
Ziah kembali ke dewan konvokesyen. Sesampainya di situ , semua para graduan sedang sibuk berposing mengambil gambar. Ada yang bergambar bersama teman-teman , ada yang bersama ibubapa masing-masing dan tidak kurang juga yang bergambar bersama suami , tunang atau kekasih.
“Huh ...”. Ziah mengeluh. Terlepas sudah peluangnya untuk menyarung jubah jingga.
“Hmm ... tak mengapalah. Bukan ada sesiapapun yang mahu meraikan kejayaanku ini. Sekadar nak ambil gambar dengan Ba’ie saja. Tak adalah rugi sangat!”. Ziah tersenyum hambar mengenangkan dirinya yang masih sendiri walaupun sudah suku abad umurnya.
“Hei , maafkan aku sebab tak ikut kau tadi”. Sapa Ba’ie dari belakang sebaik saja terpandangkan Ziah, agak kesal dengan sikap pentingkan dirinya itu.
“Tak ada apalah ... aku rasa keputusan kau tu tak boleh dipersalahkan”. Jawab Ziah sambil tersenyum memandang Ba’ie.
“Macam mana Diah , apa dah terjadi padanya?. Cemas sangat suara Zuraimie tadi”. Tanya Ba’ie ingin tahu.
“Tadi Diah sedar sekejap. Bercakap tak sampai seminit , tiba-tiba keadaannya tidak menentu. Doktor mengarahkan kami membiarkan dia berehat. Pesakit tidak boleh dipaksa untuk mengingati semuanya dengan segera”. Jelas Ziah.
“Ooo jadi Diah dah sedar ?”. Tanya Ba’ie. Teruja dengan berita itu.
“Ya. Sedar sekejap”. Jawab Ziah.
“Jadi?”. Ba’ie tidak berpuashati dengan jawapan pendek Ziah itu.
“Ya lah sedar sekejap lepas tu tak sedar semula”. Jawab Ziah lagi.
“Jadi?”. Ba’ie  mengangkat keningnya sambil memandang Ziah dengan wajah penuh tanda tanya.
“Heee ... tak sabar ye? Sebetulnya tadi memang Diah sedar sekejap. Cuma ...”.  Ziah terdiam.
“Yelah , dah dua kali kau bagitahu aku yang Diah tu tadi sedar sekejap. So , apa lagi yang berlaku?”. Tanya Ba’ie tidak sabar.
“Huhhh , walaupun dia dah tersedar sekejap , ingatannya tidak!” . Jawab Ziah.
“Maksud kau , Diah hilang ingatan?”. Tanya Ba’ie meminta kepastian.
“Hmm ... begini Ba’ie , Diah seperti hilang semua ingatannya. Diah lupa namanya sendiri. Diah juga tak kenal aku dan Zuraimie. Diah juga tak tahu apa yang telah terjadi kepada dirinya. Malah aku yakin yang Diah juga sudah melupakan Raziq!”. Terang Ziah.
“Maksudnya ... Diah betul-betul hilang ingatan?” . Tanya Ba’ie, bagaikan tidak percaya dengan apa yang didengarnya.
Ziah mengangguk. “ Begitulah nampaknya”. Ba’ie terdiam mendengar jawapan Ziah. Tidak disangkanya perkara sebegini akan menimpa Diah , gadis cantik dan ceria yang sentiasa mencuri perhatian lelaki. Setelah lama berfikir , akhirnya ...
 “Ok. Diah hilang ingatan. So apa yang peliknya?” . Kata Ba’ie tiba-tiba.
“Helloo! Kawan kita dah hilang ingatan. Dia dah jadi orang baru. Dia tak ingat langsung tentang kisah lalunya. Itu kau kata tak pelik?”. Ziah hairan mendengar respon Ba’ie begitu.
“Ya , apa yang nak dipelikkan. Diah kan terlibat dalam  kemalangan ngeri. Dah tentu kejadian itu menjadi satu trauma yang pastinya mengganggu minda dan emosinya. Aku yakin lama kelamaan ingatannya itu pasti  akan semakin pulih. Kau janganlah sedih sangat. Berilah Diah masa. Dia pasti akan ingat semula kisah lalunya”. Jelas Ba’ie , cuba bersikap optimis. “Mendung pasti akan berlalu juga kawan”. Sambung Ba’ie lagi sambil menepuk bahu Ziah.
“Eeee ... peliklah kau ni. Kau cakap macamlah Diah tu tak pernah kau kenal!”. Marah Ziah , tidak boleh menerima reaksi Ba’ie yang bersahaja.
“Eh , apa maksud kau?. Apa ...  kau ingat aku langsung tak pedulikan Diah?. Begitu?”. Tanya Ba’ie bertubi-tubi. Naik anginnya apabila dituduh begitu. Ziah diam. Malas untuk melayan kerenah dan kata-kata Ba’ie.
“Hmmm  ...  macam  nilah. Aku sangat faham perasaan kau. Betapa sayangnya kau pada Diah. Tapi janganlah kerana rasa sayang kau  itu hingga menutup mata kau daripada melihat fakta yang sebenarnya. Inilah masalah kau Ziah , sedari dulu lagi kau ini terlalu sangat dipengaruhi oleh emosi. Buktinya , Zuiraimie. Sampai sekarang pun kau tak dapat nak melepaskan perasaan kau terhadap dia. Sedangkan telah terbukti di depan mata , Zuraimie tu hanya cintakan Diah. Kau perlu berubah Ziah. Berpijaklah di bumi nyata!”. Panjang lebar Ba’ie menerangkan  maksudnya.
Ziah diam mendengar leteran Ba’ie. “Ada benarnya juga kata-kata Ba’ie itu. Aku cukup menderita kerana cintakan Zuraimie. Mudah sungguh bagi Ba’ie melupakan segalanya sedangkan aku ...  masih menjadi pungguk yang merindukan bulan!”. Fikir Ziah.
“Huhhh!!”. Keluhnya keras.
“Hmm ...  mengapa nak  mengeluh?. Memang betulkan semua kata-kataku itu?”. Balas  Ba’ie. Ziah membalasnya dengan senyuman tawar.
“Kau memang hebat Ba’ie!”. Fikir Ziah.
 “Err ...  apa kata doktor pasal Diah?” . Tanya Ba’ie , sengaja menukar tajuk perbualan.
“Entahlah. Tadi selepas Diah tertidur semula , aku terus bergegas ke sini. Manalah tahu kalau-kalau sempat sebelum giliran aku naik ke pentas”. Ziah tersengih memandang Ba’ie.
“Hmm ... dah tentu-tentu tak sempat. Kecewa?” . Tanya Ba’ie.
“Huh , tak dalah  ... dah tak ada rezeki nak naik pentas. Relaks je lah!”.  Jawab Ziah selamba.
“Heee ...  macam tulah kawan aku. Relaks je!”. Renyih Ba’ie.
“Betul kata kau. Aku kena belajar untuk ‘relaks’!”. Ziah berkata sambil tersenyum.
“Lagipun ... Diah lebih penting.  Sekarang ni dia sedang keliru. Keadaannya masih lemah. Dia perlukan sokongan kita kawan-kawannya. Kau tahukan , ibubapa diapun dah tak mahu ambil peduli. Sebenarnya aku ni tengah risau sangat , dalam dilemma”. Kata-kata Ziah itu menyebabkan Ba’ie kehairanan.
“Dilemma?”. Tanyanya sepatah.
“Ya lah , esok kitakan dah nak balik. Tapi aku tak sampai hatilah nak tinggalkan dia sendirian. Kalau dulu dia koma , tak tahu apa-apa. Tapi kini keadaan dah berubah , Diah dah sedar dan  dia sedang keliru dan sangat memerlukan kita , kawan-kawan rapatnya”. Ziah melahirkan kerisauannya.
“Laa ... aku ingatkan dilemma apalah tadi. Hmm ... tapi betul gak cakap kau tu , Diah memang sangat memerlukan sokongan kita sekarang ni ... tapi macam mana ya?”. Ba’ie turut menjadi risau.
“Majlis konvo pun dah habis. Errr ... apa kata kita ke hospital sekarang?”.  Tiba-tiba  Ba’ie memberikan cadangan , terbawa-bawa dengan kerisauannya.
“Heee  ...  paku serpah  paku serpih , mengata orang awak yang lebih!. Mana perginya ‘relaks’ kau tu?”. Ziah memulangkan paku buah keras kepada Ba’ie.  Ba’ie buat-buat tidak faham.  Ziah pula tertawa geli hati.

“Hmm ... ketawa ketawa juga tapi apa nak buat?”. Pertanyaan  Ba'ie yang langsung mematikan tawa Ziah. Ziah menggelengkan kepala manakala Ba’ie pula mengangkat kedua belah bahunya.