Popular Posts

Monday 31 October 2011

Cerpen: "Saya sayang tong sampah!!"

“Saya sayang tong sampah!”.

Pagi yang sibuk
Pagi itu , Laila terlewat bangun lagi. Jam di  meja solek sudah menunjukkan pukul 6:45 pagi. Mana tidaknya , malam tadi Laila tidur lewat . Bukan untuk mengulangkaji  pelajaran tetapi untuk meredakan  perasaan  dan jiwanya yang kacau. Habis semua  kertas lukisan dalam ‘drawing block’ yang dibelinya petang semalam diconteng. Bermacam-macam gambar  yang dilukisnya , bermacam-macam ... dan lukisannya yang paling bermakna  ditampalkannya  di dinding bilik tidurnya itu -  gambar sebuah ‘tong sampah’!. ‘Setan kau tong sampah!!!’. Itulah ayat yang melengkapi lukisan ‘tong sampah’nya itu.
“Laila!. Laila! Dah lambat ni. Nanti tertinggal bas pula”. Jerit Puan Hasnah dari luar bilik . Pintu bilik Laila diketuk berkali-kali.
“Huh! Sibuk!!”. Kata hati Laila lalu bergegas masuk ke bilik air.  Tidak sampai lima minit kemudian Laila sudah keluar semula. “Hmm ... cukuplah. Buat syarat mandi saja. Darurat!”. Katanya sendiri sambil tersenyum.
“Akak! Cepatlah. Bas dah nak sampai!”. Jerit pula adiknya , Ain.
“Kejap!. Bagi akak 3 minit”. Jawab Laila lembut. Ain  adalah satu-satunya adik yang dia ada. Laila sangat sayangkannya. “Walau apapun terjadi , akak akan tetap jaga Ain. Akak akan pastikan ‘tong sampah’ itu tidak akan pernah dapat mengapa-ngapakan kau dik”. Itulah janjinya pada dirinya sendiri. Tiga minit kemudian , Laila keluar dari biliknya lalu ingin menyertai Ain yang sedang bersarapan di dapur.
“Hmm Laila dah siap?. Marilah duduk . Kita bersarapan sama. Hari ini mummy masakkan sausage kegemaran Laila”. Pelawa Puan Hasnah. Yang turut ada di meja makan.
“Eh! Ain. Akak tunggu Ain dekat luar tau. Cepat sikit makan tu”. Tanpa menghiraukan pelawaan Puan Hasnah , Laila terus  berpaling  pergi . Tertutup seleranya untuk bersarapan pagi . Dia lantas membuka pintu hadapan rumah lalu terus memakai kasut sekolahnya. Setelah menunggu seketika , Laila  berpusing untuk memanggil adiknya , Ain. Menyirap darahnya apabila melihat Ain sedang dikucup pipinya oleh Puan Hasnah.
“Ain!. Cepatlah!!”. Jeritnya marah.
“Ya. Kejap!!”. Jawab Ain  sebelum berlari meninggalkan Puan Hasnah yang hanya sempat mengucup sebelah pipinya sahaja. Hajatnya untuk mengucup kedua-dua belah pipi Ain tidak kesampaian.
“Huh!!”. Keluhnya.
“Eh!”. Puan Hasnah teringatkan sesuatu lalu segera berlari  mendapatkan kedua anak gadis itu. “Ain , Laila ... ambil duit belanja dulu. Nanti lapar  pula di sekolah”. Kata Puan Hasnah sambil bergegas ke muka pintu. Demi mendengar sahaja kata-kata  Puan Hasnah itu , Laila segera menarik tangan Ain . Memaksa adiknya itu berjalan laju meninggalkan rumah dengan segera.
“Akak!. Ain tak ambil duit belanja lagi”. Kata Ain.
“Ah! Tak payah. Nanti akak belanja. Kita tak lahap duit dia tu!!”. Jawab Laila. Sengaja suaranya dikuatkan. Kecil hati Puan Hasnah mendengar kata-kata Laila. “Laila ...”. Keluh Puan Hasnah.
Sedang dia melayan perasaannya yang terhiris luka dek kata-kata pedas Laila tadi , tiba-tiba telepon  rumah berdering. “Rinnggg! Rinnggg! Rinnggg!!”. Puan Hasnah tersentak dari lamunannya lantas segera berlari anak mendapatkan telepon yang terletak di bawah tangga rumah agam itu.
“Hello”.
“Hello!. Yang , ni abang ni”. Kedengaran suara dari sana.
“Oh abang. Awalnya abang telepon. Ada apa-apa ke?”. Tanya Puan Hasnah.
“Laaa ... telepon isteri  mesti kena ada apa-apa ke?”. Tanya Encik Karim sambil tertawa kecil.
“Heeeee ... taklah. Cuma hairan je”. Balas Puan Hasnah.
“Hmm ... abang telepon ni saja nak tanya khabar. Semalam abang sibuk sangat . Habis meeting pun dah hampir maghrib. Lepas tu bergegas solat dan turun makan malam. Pukul 8:30 sampailah 11:00 malam ada aktiviti ‘team building’ pulak. Lepas tu naik bilik terus tidur. Langsung tak teringat nak telepon”. Terang Encik Karim yang kini berada di Pulau Langkawi.
“Hmm ... dengar macam busy je. Takpalah bang , saya faham”. Balas Puan Hasnah.
“Err ... anak-anak macam mana?”. Tanya Encik Karim. Risau juga hatinya meninggalkan kedua anak gadisnya itu bersama ibu baru mereka.
“Err ... Okey. Mereka sudahpun ke sekolah”. Jawab Puan Hasnah , tidak mahu merisaukan suaminya.
“Betul ke?. Hmm ... Laila macam mana?”. Tanya Encik Karim. Dia cukup sedar bahawa anak sulungnya itu amat bencikan isteri barunya itu.
“Biasalah bang , budak-budak. Nanti lama-lama okeylah tu”. Balas Puan Hasnah , lemah.
“Hmm ... abang dah agak. Sayang sabar ye”. Pinta Encik Karim.

Aktiviti Kelas Sivik Hari ini
“Baiklah pelajar  , hari ini kita akan buat satu lagi aktiviti berkaitan dengan hubungan kekeluargaan. Untuk makluman kamu semua , surat  yang kamu tulis kepada ibubapa kamu itu telahpun cikgu poskan minggu lepas. Jika ikut pengiraan cikgu , hari ini atau esok pasti ibubapa kamu  akan terima surat itu”. Cikgu Zariah memberitahu anak didiknya. Guru Sivik dan Kewarganegaraan ini sangat maklum dan sedar betapa longgarnya ikatan kekeluargaan sesetengah pelajar sekarang. Lemahnya ikatan kekeluargaan inilah yang sering menjerumuskan  remaja ke dalam pelbagai bentuk salah laku dan jenayah.  Maka , dia terpanggil untuk membantu membaiki dan memulihkan keadaan ini.  Cikgu Zariah masih ingat lagi luahan rasa anak-anak didiknya dalam aktiviti kelas yang lalu.
“Cikgu!. Macam mana kita nak sayangkan  mak kita kalau dia asyik memaki hamun kita. Kalau kita buat salah sikit habis semua keluar , Gatal! Bodoh! Sial!. Ikut sedap mulut dia je!!”. Protes Nina apabila cikgu Zariah menasihati anak didiknya agar menyayangi dan menghargai jasa ibubapa.
“Astarghfirullah al-adhzimmm ...”. Cikgu Zariah mengucap panjang. Mujurlah  dia tidak mudah panik.
“Oh! Begitu ke?. Nina dan pelajar lain , beginilah. Tidak ada seorang ibu atau bapapun yang tidak sayangkan anak mereka. Cuma kekadang mereka itu tidak pandai atau biasa meluahkannya dengan cara yang elok. Ibu kamu mungkin marah atau mengeluarkan kata-kata kesat itu lantaran kerisauannya terhadap kamu. Sayangnya pada kamu , khuatirnya pada kamu menyababkan kata-kata sedemikian sampai terkeluar dari mulut mereka. Namun cikgu percaya , jauh di sudut hati mereka atau ketika lepas solat pasti mereka sentiasa mendoakan  kebahagiaan kamu”. Balas cikgu Zariah.
“Tapi cikgu , kata-kata tu kan doa. Kalau hari-hari mak bapak kita kata kita bodoh! Bodoh! Bodoh!. Lama-lama kita tentu betul-betul jadi bodoh. Lepas tu bila kita bodoh , periksa dapat nombor corot , dia orang maki hamun kita lagi.  Mana adil macam ni cikgu!!”. Sampuk Zainal , pelajar paling nakal di dalam kelas.
“Hmm ... betul jugak kan. Mana adilnya ibu bapa kata begitu pada anak-anak mereka kan?. Lepastu harap kamu semua akan cemerlang dalam peperiksaan. Cikgu pun rasa mereka tak adil pada kamu. Hmm ... beginilah. Kalau kita tak bagitahu mereka yang cara mereka itu salah , mereka tidak akan tahu dan jika kamu tak bagitahu mereka yang kamu tidak suka dilayan begitu , mereka juga tidak akan tahu  atau jika kamu tidak bagitahu mereka apa harapan kamu terhadap mereka , tentu mereka juga tidak akan  tahu sampai bila-bila. Jadi ... cikgu rasa , untuk  aktiviti hari ini cikgu mahu  kamu tulis surat kepada ibu atau bapa kamu dan nyatakan semua rasa tidak puas hati kamu itu dan nyatakan juga harapan kamu dan keinginan kamu selama ini. Tapi jangan lupa nyatakan yang kamu sangat  sayangkan mereka dan harapkan hubungan kamu dengan mereka akan bertambah baik”. Cikgu Zariah menyatakan aktiviti yang akan mereka buat pada hari itu.
“Cikgu!. Saya tak mahu hantar surat pada mereka!!”. Bantah Laila tiba-tiba. Cikgu Zariah memandangnya dengan hairan. “Mengapa?”. Tanya cikgu Zariah. Laila diam , membungkamkan dirinya. Cikgu Zariah mati kutu. “Tidak mengapalah Laila , cikgu letak saja kertas  kosong ni atas meja kamu. Nanti jika kamu ubah fikiran , kamu tulislah ye. Ingat macam yang cikgu katakan tadi , kalau kamu tidak bagitahu mereka apa yang kamu fikir atau rasa , masakan mereka akan tahu”. Kata cikgu Zariah sebelum meletakkan kertas kosong di atas meja Laila.
“Alhamdulillah ...”. Ucap hati cikgu Zariah apabila melihat Laila akhirnya menulis sesuatu pada kertas kosong itu.
“Cikgu! Cikgu!. Apa ni cikgu. Kata nak buat aktiviti berkaitan dengan keluarga lagi. Tapi kenapa pula cikgu termenung panjang?”.  Pertanyaan Ikram , ketua kelas 3 Melati mengejutkan cikgu Zariah daripada lamunannya.
“Errr ... ya. Cikgu terleka. Baiklah pelajar sekelian , hari ini cikgu akan berikan  setiap seorang  daripada kamu sehelai kertas lukisan. Cikgu nak kamu gambarkan setiap ahli keluarga kamu dengan apa-apa objek  atau benda yang sesuai dengan karektor mereka menurut pandangan kamu sendiri. Nanti kita akan bergilir-gilir membentangkan setiap karektor ahli keluarga kamu itu di depan kelas. Semasa pembentangan itu nanti kita  tentunya akan lebih kenal antara satu sama lain dan mungkin kawan-kawan kamu  juga boleh memberikan  komen dan pandangan yang berbeza  tentang apa yang kamu bentangkan”. Terang cikgu Zariah. Harapannya agar komen yang diberikan oleh pelajar lain nanti akan dapat membuka mata hati anak didiknya yang masih tidak nampak pengorbanan dan kasih sayang ibu bapa mereka.
“Cikgu ! Tak fahamlah!!”. Sampuk Norina.
“Hmm ... macam ni. Kamu  mungkin merasakan yang bapa kamu adalah ketua keluarga maka kamu mungkin boleh melukiskan sebuah mahkota untuk menggambarkan diri bapa kamu itu. Atau jika kamu rasa bapa kamu  itu adalah seorang yang sentiasa bekerja kuat untuk menyara kamu sekeluarga maka kamu mungkin boleh menggambarkannya dengan melukis ...”
“Gambar duit!!”. Sampuk Norina lagi , memotong kata-kata cikgu Zariah.
“Err ... ya. Gambar duit”. Balas cikgu Zariah. Tersenyum melihat gelagat anak didiknya itu.
“Kamu semua faham?”. Tanya cikgu Zariah.
“Faham cikgu!!!”. Jawab mereka beramai-ramai maka bermulalah aktiviti pada hari  itu.
Setelah tamat  tempoh 40  minit masa pertama maka bermulalah aktiviti pembentangan pula. Nina , menjadi pelajar pertama yang sukarela membentangkan hasil kerjanya.
“Ok , cikgu  ... kawan-kawan. Ini gambar harimau. Ini pula singa!”. Nina memulakan kata-kata.
“Ha ha ha ... itu singa ke kucing?!”. Sampuk Alif.
“Eh diamlah kau!!”. Marah Nina dikomen begitu.
“Alif , biarkan Nina teruskan pembentangannya”. Tegur cikgu Zariah.
“Harimau ni adalah mak saya. Singa ni pula ...”.
“Bapak kau!!. Ha ha ha”. Sampuk Alif lagi.
“Eeee ... ada yang makan penumbuk aku ni kang”. Balas Nina , geram  apabila kata-katanya dipotong.
“Alif!!”. Cikgu Zariah menjegilkan matanya kepada Alif. “Oppss!. Sorry cikgu”. Kata Alif.
“Bukan pada saya. Pada Nina”. Balas cikgu Zariah. “Okey , sorry Nina!”.  Kata Alif.
“Nina , kenapa kau lukis bapak kau gambar singa?. Bapak kaupun garang macam mak kau juga ke?”. Tanya Aliah.
“Hmm ... betul. Mak aku memang garang tapi bapak aku lagi garang. Kan ke singa tu raja di rimba. Kalau tak ada singa , harimau akan bermaharajalela. Habis aku dimaki hamunnya tapi bila ada singa , harimau diam menikus. Sebab tu  walaupun bapak aku tu garang , aku tetap sayangkan dia. Sebab walaupun dia singa , dia tetap jaga  aku”. Terang Nina.
“Habis kau tak sayangkan harimau?”. Tanya Ikram .
“Hmm ... pernah dengar , benci tapi rindu?. Macam tulah perasaan aku pada harimau”. Balas Nina , spontan.
“Habis?. Kau suka harimau tu hidup ke mati?”. Tanya Alif dengan selambanya.
“Sial kau. Apa maksud kau hah?!”. Marah Nina , tersinggung benar dia mendengar kata-kata Alif itu.
“Yelah. Tadi kau kata harimau tu suka maki hamun kau. So aku tanyalah , kau nak harimau tu mati ke hidup?!!. Kan ke kau tak sukakan harimau tu?. Apa ? Tak betul ke aku cakap?!!”.Jawab Alif hampir menjerit , dia tetap mahu menegakkan pendapatnya.
Tiba-tiba Nina terdiam. Lama diam ... entah mengapa air matanya mulai bergenang.
“Cikgu!. Itu saja pembentangan saya”. Katanya sebelum duduk semula di tempatnya.
“Hmm ... okey. Itu baru pembentangan pertama. Bagus pembentangan kamu itu Nina”. Kata cikgu Zariah  sebelum meneruskan aktiviti hari itu tanpa menghiraukan Nina yang mulai tersedu di tempatnya. “Alhamdulillah ... tercapai objektif aku hari ini”. Ucapnya di dalam hati sambil mengerling ke arah Nina. “Hmm ... memang begitulah adat dunia ni. Dah mati nanti  barulah  nak rasa kehilangan”. Kata hati cikgu Zariah.
Kini tibalah pula giliran Laila ... Laila melukiskan lima  gambar. Pertama , gambar kacang tanah yang sudah terkopek kulitnya , kedua , gambar kucing , ketiga , gambar api , keempat gambar sebuah kubur dan kelima , gambar sebuah tong sampah yang dikerumuni lalat. Cikgu Zariah terpaku memandang gambar-gambar itu ...
“Baiklah . Ini keluarga saya. Kacang dikopek kulitnya ini adalah ayah saya. Huh! ‘Bagai kacang lupakan kulit’. Pernah dengar?.  Ini pula  sebenarnya adalah lukisan seekor anak kucing. Anak kucing ini adalah adik saya. Sentiasa comel dan manja. Kubur ni melambangkan ibu saya yang telah meninggal dunia tiga bulan yang lalu . Saya sayang  sangat ibu saya. Api ini pula adalah saya dan tong sampah ini adalah manusia paling hina dan paling saya benci dalam dunia ini”. Kata Laila , tegas dan jelas. Terpancar kebencian yang meluap-luap  dari nada suaranya , bagai sang api yang marak membara membakar jiwa anak gadis ini. Semua yang ada terdiam ... cikgu Zariah juga terdiam.
“Tong sampah itu ? ... mungkinkah?”. Fikir cikgu Zariah.
“Ada apa-apa soalan?”. Tanya Laila tiba-tiba setelah melihat mulut rakan-rakannya terlopong mendengar penerangannya.
“Ada!”. Jawab Noriah , pelajar paling pendiam dalam kelas itu mula bersuara. Semua kepala memandang kepada Noriah sekarang. “Aku ada soalan. Kenapa kau sampai sanggup menggambarkan salah sorang daripada ahli keluarga kau seperti tong sampah yang busuk?. Aku rasa kau terlalu egois. Hanya orang-orang yang egois sahaja tidak mahu melihat kebaikan orang lain”. Sambung Noriah. Entah mengapa pelajar yang sentiasa diam ini rupa-rupanya  juga mampu memberikan pendapat yang bernas dan berani menyatakan yang hak.
“Kau tak patut kata begitu. Hidup aku , keluarga aku. Aku yang rasa!. Kau tak ada hak kata begitu!!”. Balas Laila , marah dikritik pedas.
“Err ... Laila. Siapa sebenarnya tong sampah itu?”. Tanya cikgu Zariah. Laila diam ... tidak menjawab. Dia tersinggung dengan kritikan Noriah.
“Laila ...” Cikgu Zariah mendekatinya lalu menepuk bahu anak didiknya itu.  “Tidak mengapa jika kamu tidak mahu menjawab soalan itu”.  Laila diam lalu terus duduk di tempatnya. Kata-kata Noriah itu terus-terusan mengganggu perasaannya. “Egois?. Egokah aku ini?”. Fikirnya.
“Hmm ... aku harus mendekatinya. Anak muridku ini menanggung bebanan  perasaan yang berat. Patutlah dia ini sering saja  tidak mendengar kata”. Bisik hati kecil cikgu Zariah sambil terus menatap wajah Laila yang muncung mencuka.

Surat
Di rumah , Puan Hasnah sedang duduk bersendirian di ruang tamu. Semua kerja-kerja rumah sudah selesai dibuatnya. Makan tengahari juga telah disediakan. Tinggal menunggu kedua anak gadis  itu pulang dari sekolah. Hajatnya adalah mahu makan bersama mereka. Tiba-tiba bunyi hon motosikal dibunyikan di depan rumahnya. Puan Hasnah bingkas bangun lalu menjenguk keluar.
“Oh posmen. Ada surat rupanya”. Kata hatinya lalu segera membuka pintu untuk mengambil surat yang diletakkan di dalam peti surat rumahnya itu. Sekeping demi sekeping surat dibeleknya. ‘Kepada, Puah Hasnah Bt Ramli’. “Surat untukku?. Tulisan tangan ... pelik. Siapa agaknya si pengirimnya”. Fikir Puan Hasnah lalu segera masuk ke dalam rumah semula. Duduk di ruang tamu sambil tangannya pantas membuka surat tersebut.
“Hishh ... siap ada surat iringan”. Puan Hasnah membelek isi surat itu.
‘Tuan/Puan ,
Surat ini adalah ditulis sendiri oleh anak jagaan tuan/puan sebagai salah satu tugasan dalam matapelajaran Sivik dan Kewarganegaraan. Tujuan aktiviti ini  adalah sebagai wadah bagi anak jagaan tuan/puan  meluahklan perasaan/ keinginan dan harapannya  terhadap ibubapa/ penjaga dan keluarganya.
 Saya , sebagai guru matapelajaran mengharapkan penerimaan yang baik daripada pihak tuan/puan. Semuga objektif aktiviti ini iaitu , mengukuhkan  institusi kekeluargaan dan mengujudkan persefahaman dan saling menghargai antara ahli keluarga akan dapat dicapai’.
Yang benar ,
Cikgu Zariah.
(Guru m/pelajaran Sivik dan Kewarganegaraan)
  Kelas 3 Melati

Itulah bunyinya surat iringan yang dituliskan oleh cikgu Zariah kepada para ibubapa dan penjaga pelajar. Selesai membaca surat iringan tersebut , Puan Hasnah membuka pula surat tulisan tangan yang ditulis oleh Laila. Matanya terbeliak luas membaca isi kandungan surat tersebut.
‘Aku benci kau!’  ‘Aku benci kau!’  ‘Aku benci kau!’. Begitulah bunyinya isi kandungan surat Laila. ‘Aku benci kau!’ itu ditulis berulang-ulang  melebihi seratus kali. Puan Hasnah terkedu , menitis air matanya ... “Sampai bila?”. Fikirnya. Sampai bila harus dia menunggu dirinya diterima sebagai  ibu mereka.
Tengahari itu  , sebaik sahaja kedua anak gadis  itu pulang dari sekolah , Puan Hasnah tidak menyambutnya seperti biasa. Laila hairan , Ain juga hairan.
“Mana mummy?”. Tanya Ain kepada Laila. Selalunya mummy pasti akan menanti  mereka di muka pintu dengan senyuman menguntum di bibir. Mummy  pasti akan mengucup sayang dahinya.
“Entah. Dah mampus agaknya!”. Balas Laila , keras.
“Akak!. Tak baik kata macam tu”. Tegur Ain. “Kan dia itu mak kita juga”. Kata Ain lagi.
“Siapa kata dia itu mak kita?.  Siapa kata hah?. Sejak bila pula dia itu jadi mak kita?!". Tengking Laila. Menyirap marahnya apabila Ain menyamakan perempuan itu dengan arwah ibunya.
"Sejak ayah kahwin dengan dialah!!". Balas Ain.
"Ain!!. Apapun dia itu tak akan pernah jadi mak kita!!". Jerit Laila lagi.
"Tak! Dia juga emak kita. Ayah yang bagitahu Ain , dia itu juga mak kita". Jawab Ain hampir menangis.
"Ayah?!. Ain jangan dengar cakap ayah!". Marah Laila.
"Kenapa?. Kenapa Ain tak boleh dengar cakap ayah?. Emak kita dah tak ada. Mak kita dah mati. Apa salahnya kita anggap mummy itu macam mak kita?". Ain separuh merayu.
"Tidak!. Ain  tidak tahu?. Sebab dialah mak kita sedih. Sebab dialah mak kita mati dalam kesedihan , tahu?!”. Bentak Laila.
“Tidak!. Mak kita mati sebab sakit kanser. Mak kita mati sebab sakit kanser  servik. Dah lama mak kita sakit. Ayah yang bagitahu , mak kita mati sebab sakit kanser servik. Bukan sebab mummy!”. Jerit Ain , menyanggah tuduhan kakaknya itu.
“Ain! Kau tak tahu. Kau tak nampak macam mana mak kita menangis tiap-tiap malam bila ayah tak balik rumah. Mak kita menangis menahan sakit tapi ayah tiada. Ayah biarkan mak kita menahan sakit sendiri. Ayah pergi mana?. Ayah pergi mana kau tahu?. Ayah pergi rumah ‘mummy’ kau tulah. Ayah biarkan mak  kita yang sakit nak mati itu sorang-sorang. Akak tak dapat terima itu semua. Akak tak dapat terima orang yang buat mak kita mati dalam kesedihan. Faham tak?!”. Jerit pula Laila sebelum berlari meninggalkan Ain terpinga-pinga sendiri.
“Mak!!. Mummy!!”. Tangis Ain. Fikirannya bercelaru mendengar kata-kata kakaknya itu ...

Peristiwa yang mengubah segalanya
Sejak pertengkarannya dengan Ain siang tadi , Laila terus-terusan merasa resah. Dia tidak faham mengapa mudah benar bagi adiknya itu menerima  baik kehadiran perempuan yang telah meruntunkan hati  emaknya dalam hidup mereka.
“Sudahlah Laila . Ini masalah orang dewasa. Ayah Laila tidak buat apa-apa salah pada mak. Apa yang  ayah Laila lakukan juga dengan kebenaran dan kerelaan mak sendiri”.  Masih terngiang-ngiang kata-kata emaknya sehari sebelum  emaknya itu pergi buat selama-lamanya. Ke mana ayahnya ketika itu?. Mengapa ayahnya tidak menghabiskan  masanya bersama emak yang sedang tenat?. Mengapa ayah tidak sabar-sabar menunggu emak pergi dahulu sebelum bernikah lain?. Mengapa ayah sampai hati membiarkan saat-saat akhir emak diselubungi kesedihan?. Mengapa?. Mengapa?. Persoalan – persoalan inilah yang menutup rapat hati Laila untuk menerima Puan Hasnah sebagai ganti emaknya. “Emak!!”. Laila menangis tersedu-sedu mengenangkan emaknya yang sudah tiada.
Siang beransur gelap. Laila masih juga tidak keluar dari biliknya. Makan tengahari , makan malam langsung tidak disentuh.  Akhirnya Laila terlena bersama gambar arwah ibunya yang didakap  sejak berjam-jam yang lalu ...

Malam itu , tatkala tiada lelaki dewasa di rumah  ...
Ain sedang lena , tidur sekatil bersama ‘mummy’nya , perempuan itu telah menjadi  tempat dia menumpang kasih . Tidak kiralah apa yang dikatakan kakaknya. Yang pasti , perempuan inilah tempat dia menumpang manja kini.
Puan Hasnah berbaring sambil membelai-belai rambut  Ain. “Mujur ada kamu pengubat hati mummy yang luka ini”. Katanya perlahan sebelum mengucup dahi anak gadis itu. “Huh!!”. Keluhnya berat apabila teringatkan isi kandungan surat Laila yang dibacanya siang tadi. ‘Aku benci kau!’ yang ditulis berkali-kali  itu bagaikan menikam-nikam jantung hatinya.

Tiba-tiba ... bunyi benda jatuh dari arah dapur rumahnya mengejutkannya dari lamunan. Berdebar-debar hati Puan Hasnah. “Bunyi apakah itu?. Nak kata kucing , rumah ni tiada kucing. Tikus kot atau ...”. Kecut hati Puan Hasnah apabila terfikirkan sesuatu yang lebih dahsyat.
“Ya Allah , lindungilah kami”. Doanya sebelum memberanikan diri berjalan perlahan  keluar dari bilik tidurnya.  Satu demi satu anak tangga dituruninya. Namun belumpun sempat sampai separuh bilangan  anak tangga dituruninya , Puan Hasnah terpandangkan pintu bilik tidur Laila  yang terbuka sedikit. Dia merasa hairan lalu melangkah  naik semula ke atas , berjalan perlahan-lahan menghampiri bilik Laila yang berada agak jauh sedikit dari biliknya. Sesampai sahaja di depan pintu bilik Laila , Puan Hasnah menjadi sangat cemas . Berdebar hatinya , berdegup kencang jantungnya apabila terlihat seorang lelaki  berpakaian serba hitam sedang menyelongkar almari pakaian Laila. 


Lebih mencemaskan lagi apabila Puan Hasnah melihat Laila telah  diikat kedua tangan dan kakinya. Mulutnya juga telah disumbat dengan kain tuala.  Anak gadis itu kelihatan teramat takut , tiba-tiba dia terpandangkan Puan Hasnah yang mengintai-ngintai di muka pintu. Puan Hasnah memberi isyarat  agar Laila terus mendiamkan diri. Malangnya Laila yang tersangat takut itu terus  cuba menjerit dan meronta-ronta. Bunyi bising yang dibuat oleh Laila itu menimbulkan kemarahan  lelaki yang berpakaian serba hitam.
“Hoi!. Nak mampus ke?”. Bentaknya sambil menghentak kepala Laila dengan belakang parang yang dipegangnya. Laila terjelupuk jatuh tertiarap, darah mulai mengalir daripada kepalanya. Sebaik sahaja melihatkan Laila diperlakukan begitu , timbul rasa marah di hati Puan Hasnah. Entah dari mana  munculnya  keberanian dalam dirinya  menyebabkan Puan Hasnah bertindak nekad melompat masuk sambil menjerit dan menyerang  lelaki berpakaian serba hitam.
“Celaka kau. Berani kau memukul anak aku hah?. Kau tak kenal siapa aku ini”. Hanya berbekalkan sebatang payung yang sempat dicapainya Puan Hasnah melibas-libas sipencuri itu. Bagaikan harimau betina beranak kecil , Puan Hasnah menjadi cukup garang hinggakan lelaki serba hitam  menjadi panik. Demi mengelakkan dirinya daripada  terus-terusan dipukul dan dilibas dengan payung  , lelaki serba hitam  bertindak  ganas  menghayunkan  parangnya tinggi ke arah Puan Hasnah lalu  tepat  hinggap di atas  lengan  kanan Puan Hasnah. Darah menyembur-nyembur keluar. Laila terjerit-jerit , takut dengan apa yang dilihatnya. Keadaan jadi hingar bingar , Ain yang sedang lena juga telah lama terbangun dan menjerit-jerit sama. Puan Hasnah sudah terjelepuk jatuh. Lelaki serba hitam  itu menjadi cemas. Niatnya hanya mahu mencuri  itu sudah jadi lain. Mungkin akan ada orang yang mati hari ini. Lantas dia segera berlari untuk melepaskan diri. Malangnya sebaik sahaja  dia melangkah turun , beberapa orang jiran Puan Hasnah sudah menantinya di bawah. Malang buat dirinya  ...

“Cikgu , saya sayang tong sampah!”.
Keesokan harinya , di sekolah hebuh kisah tentang rumah Laila dimasuki pencuri. Cikgu Zariah terus ke pejabat untuk mendapatkan pengesahan berita. “Betul , rumah dia dimasuki pencuri. Laila dan ibunya cedera. Mereka dimasukkan ke hospital”. Itulah jawapan yang diterima oleh cikgu Zariah. Maka sebaik sahaja tamat sesi persekolahan pada hari itu , cikgu Zariah segera ke hospital yang dimaksudkan. 
“Ya Allah , selamatkanlah mereka”. Doanya di dalam hati.   Wad 3 Mawar katil 8. Cikgu Zariah akhirnya sampai di wad di mana Laila di tempatkan. Khabarnya Puan Hasnah , masih menjalani pembedahan menyambung semula lengannya yang  hampir  putus dilibas pencuri. Mujur segera dibawa ke hospital. Kalau tidak tentu lengan itu tidak akan dapat disambung lagi.
Sebaik sahaja cikgu Zariah melangkah masuk , Laila terus berteriak. “Cikgu!. Saya sayang tong sampah!!. Saya sayang tong sampah!!”. Laila terus berteriak sambil menangis tersedu-sedu. Cikgu Zariah lantas berlari mendakap anak didiknya itu. “Ya Laila , walaupun hanya sebuah tong sampah , ianya tetap berguna juga”. Katanya memujuk.

Friday 9 September 2011

'Farid' atau 'Faridah'?



‘Farid’ ke ‘Faridah’?

Suatu hari di sekolah
“Apa? ... pengkid?. Pengkid tu apa?”. Tanya Azeera .
“Woi! . Kau duduk dalam dunia apa hah , sampaikan ‘pengkid’ tu pun kau tak tahu?”. Munirah menjegilkan matanya memandang Azeera yang terus-terusan menggaru kepalanya yang tidak gatal.
“Laa ... dah memang aku tak tahu. Kau nak marah buat apa?”. Balas balik Azeera. Dia tidak faham mengapa Munirah harus marah kepadanya.
“Tulah! . Asyik hidup dalam dunia kau saja. Tak mahu nak campur orang sebab tulah senang diperkotak-katikkan . Sudah! Mari aku ajarkan kau macam mana nak jadi pandai!!”. Munirah berkata sambil menarik tangan Azeera , berjalan bersama menuju ke perpustakaan sekolah.

Mencari Bahan
“Assalamualaikum cikgu , err ... kami nak guna internet nak cari bahan sikit boleh cikgu?” Tanya Munirah kepada cikgu Karim , guru perpustakaan.
“Ya , boleh. Tapi jangan lupa tulis nama dan rekodkan dalam buku ni ,  komputer mana yang kamu guna”. Cikgu Karim mengingatkan.
“Baik cikgu”. Munirah akur. Dia kemudiannya menyeret tangan Azeera bersamanya , sama-sama menuju ke komputer yang memang dikhaskan untuk kegunaan para pelajar di perpustakaan itu.
“Ok. Sekarang kau tengok apa yang aku buat”. Munirah berkata kepada Azeera yang patuh segala arahannya bagaikan prebet tentera  yang dikerah orang atasannya.
“Mula-mula ‘on’kan komputer , lepastu klik kat ‘ internet explorer’. Tunggu sampai keluar macam ni.Pastu taip saja apa-apa maklumat yang kita mahu. Last sekali klik kat ‘search’. Pas tu tunggu , tengok apa yang keluar. Hah!. Dah keluar macam ni , kita pilih saja yang mana kita nak “. Munirah menerangkan langkah demi langkah kepada Azeera , kawan barunya yang baru berpindah dari Pagan Sena , Pekan Pahang. Baru- tidak baru , sudah hampir dua bulan Azeera bertukar sekolah ke sini.
“ Ooo ... senang je nak cari maklumat”. Balas Azeera.
“Memanglah. Sekarang ni maklumat semuanya di hujung jari. Asal saja kita rajin. Oppss ... yang paling penting ialah mesti ada kemudahan komputer dan internet. Kami di sini nak cari maklumat untuk siapkan kerja kursus pun semuanya dari internet”. Terang Munirah lagi.
“Wow! Kalau gitu , senanglah korang siapkan kerja-kerja khusus tu kan?”. Azeera berasa kagum. Munirah tersenyum lebar sambil mengangkat keningny dua – tiga kali.
“Hmm ...  kat rumah kau ada internet ke?”. Tanya Azeera.
“Hee ... tak ada!. Aku ni bukannya orang senang. Mak bapak aku kerja kilang je. Tapi itu tidak jadi halangan sebab komputer kat library ni pun dah kira cukup banyak untuk kita gunakan”. Terang Munirah , rasa bangga dengan kemudahan yang ada di perpustakaan sekolahnya.
“Eh! Marilah tengok ni . Makna ‘pengkid’.
Pengkid ialah 'tomboy' atau lesbian ,merupakan gaya penampilan perempuan yang maskulin dan kadangkala berorientasi homoseksual.[1].Penampilan mereka termasuk gerak laku, berpakaian, penampilan, percakapan dan rupa seolah-olah lelaki, di mana kesemua ciri-ciri ini sering dikaitkan dengan lesbianisme’.  Hah! Dah tahu dah sekarang makna ‘pengkid’ tu?”. Tanya Munirah kepada Azeera. Azeera hanya mengangguk-nganggukkan kepalanya.
Setelah dapat apa yang dicari kedua sahabat ini berjalan beriringan menuju ke kelas mereka semula.
“Eh! Lekaslah , waktyu rehat dah nak habis. Kang marah pulak cikgu Raihana. Nanti dia tulis kita ponteng kelas pulak”. Munirah mengingatkan Azeera lalu segera berlari-lari anak menuju ke kelas. Azeera juga berlari-lari anak mengkori langkah Munirah.

Kebetulan pada waktu itu , di hujung selekoh menghampiri kelas mereka terdapat sekumpulan pelajar perempuan lain sedang riang gembira bercerita antara satu sama lain. Sesekali kedengaran mereka  tertawa kuat. Langsung tidak dihiraukan mata-mata yang memandang.

“Ah! Lantaklah!!. Bukannya kita  buat salah. Takkanlah ketawa pun tak boleh?!”. Kata ‘Farid’ diikuti sorakan dari yang lain.
“Eh! Nanti. Kau ni dari mana tadi?. Bukan sudah aku bagi tau kau supaya joint aku masa rehatkan?’. Sekarang cuba kau bagi tahu aku ,. Kenapa kau tak ikut cakap aku?”. ‘Farid’ menghalang langkah Azeera , bertanya kepadanya bagaikan dia telah berbuat pesalah.
“Err ... sorry kak. Saya tadi ke library , cari sikit maklumat”. Jawab Azeera , takut. Munirah yang tadinya berada di hadapan sedikit dari Azeera juga turut memberhentikan langkahnya. Dia berdiri tegak di sebelah Azeera. ‘Budak baru’ yang harus dibantu!
“Ops! Apa kau kata tadi?. Akak?!. Cuba ulang sekali lagi. Farid , Jamil , boleh dia panggil kau ‘akak’? ...”. Tanya Fiqah sambil menolak dada Azeera. Azeera terdorong ke belakang beberapa langkah.
“Banyaklah kau punya ‘akak’!”. Marah pula Jamil. Azeera diam seribu bahasa ... menikus. Tidak berani bersuara.
“Eh,  dah! Dah!”. Relakslah . Dia budak baru. Tak faham lagi”. Kata ‘Farid’ sambil menepuk-nepuk bahu  Azeera.“Err ... Azeera  jangan takut ye. Kami ni saja bergurau. Hmm ... tapi jangan lupa tau. Mulai esok joint kami setiap kali waktu rehat. Ingat ye!”. Kata ‘Farid’ sambil mencuit pipi Azeera.

Tiba-tiba ...
“Hei Faridah!. Buat apa lagi awak semua  di sini. Bukankah sudah habis waktu rehat?. Huh! Awak  Jamilah dan Syafiqah pun  ada sama , masih berlonggok dan berborak-borak di sini?!”. Tegur Puan Hasiah , guru HEM sekolah. Cikgu Hasiah memang terkenal dengan garangnya. Ke mana sahaja dia pergi pasti ada rotan di tangan. Kalau ada pelajar yang berani melanggar disiplin sekolah , pasti kena.  Tidak kiralah kesalahan kecil atau besar.
Sudah menjadi resam di sekolah itu , setiap pelajar terutamanya pelajar lelaki yang suka sangat menarik pakaiannya keluar akan segera memasukkannya setiap kali ternampak saja Puan Hasiah atau ... mereka akan segera menghilangkan diri!
“Cabut!!”. Itu lebih baik daripada bersoal jawab dengan Puan Hasiah kerna silap hari bulan rotan panjang pasti menjadi habuan mereka.
“Errr ... maaf cikgu . kami tadi ada hal sikit. Se  se sekarang jugak kami balik ke kelas”. Jawab Jamilah sambil segera menarik tangan Faridah.  Faridah menundukkan sedikit kepalanya kepada cikgu Hasiah tanda hormat lalu segera mengikuti langkah Jamilah.
“Err ... kami masuk kelas dulu cikgu”. Kata Syafiqah sebelum berjalan laju menuju ke kelas. Sengaja  bahunya melanggar bahu Munirah ketika mahu melepasinya. “Ingat!!”. Katanya perlahan  sambil menudingkan jari telunjukkan kepada Azeera.
“Ha! Apa yang awak buat tu Syafiqah?!”. Jerkah cikgu Hasiah.
“Eeee ... tak ada apalah cikgu. Saya pergi dulu cikgu”. Jawab Syafiqah sebelum berlari  laju mengejar langkah Faridah dan Jamilah.
“Huh!. Ada-ada saja budak – budak ni”. Kata cikgu Hasiah sambil menggeleng-gelengkan kepalanya.
“Hah! Awak berdua ni tak ada kelas ke?”. Cikgu Hasiah bertanya kepada Azeera dan Munirah.
“Err ... ada cikgu. Kami pergi dulu”. Kata mereka serentak sebelum keduanya berjalan laju meninggalkan cikgu Hasiah yang berdiri tegak mengekori mereka dengan pandangan matanya yang tajam.

Keesokan Harinya
Azeera resah. Semakin jam menghampiri pukul 10:50 pagi , semakin resah dia jadinya.
“Ya Allah , apa yang patut aku buat ni?”. Fikirnya , langsung tidak dapat memberi tumpuan pada pengajaran cikgu Isma.
Cikgu Isma perasankan keresahan yang terpampang di wajah dan gerak geri Azeera. Sengaja cikgu Isma berjalan dan meronda berkali-kali di sekeliling meja Azeera sambil bertanya , “Dah siap latihan yang cikgu suruh buat tadi?”.
“Err ... tengah buat cikgu”. Jawab Azeera , menggelabah ditanya begitu.
Sekali lagi cikgu Isma menghampiri meja Azeera. Cikgu Isma tidak puas hati dengan jawapan yang diberikan Azeera lalu menyelak sendiri buku tulis matematik Azeera.
“Tengok!. Tak satu soalan pun lagi yang awak buat. Kenapa?. Awak tak faham ke nak selesaikan soalan matriks ini?”. Tanya cikgu Isma. Matanya bulat memandang Azeera.
“Err ... cikgu. Maafkan saya. Saya buat serkarang”. Jawab Azeera , tidak tahu hendak memberi alasan lain.
“Hmm ... beginilah. Kalau awak tak faham , waktu rehat ni awak boleh datang jumpa saya di bilik guru. Itupun kalau awak tak mahu pergi makan”. Cadang cikgu Isma.
“Err ... betul cikgu?”. Jawab Azeera riang , bersinar matanya memandang wajah cikgu Isma.
“Laa ... betullah. Malah awak boleh datang bila-bila masa jumpa saya. Itupun kalau awak dan saya ‘free’ lah. Tapi janganlah sampai ponteng kelas pulak”. Balas cikgu Isma dengan senyuman. .
“Alhamdulillah!. Selamat aku hari ini”. Azeera berkata sendiri sambil mengurut dada.

Salah Faham
Sebaik sahaja loceng rehat berbunyi , Azeera bergegas bersiap untuk  ke bilik guru. Sengaja diambilnya buku latihan matematik , terpaksalah dia berpura-pura tidak faham dan akan mengambil masa sepanjang waktu rehat ini untuk memahami perkara yang mudah!.
“Wuh! Nak buat macam mana. Terpaksalah aku berlakon jadi bodoh!”. Keluhnya sendiri.
Tanpa memandang kiri dan kanan , Azeera membuka langkah. Belumpun sempat melepasi pintu kelas , tiba-tiba ...
“Azeera ! . Kenapa kalang kabut sangat ni?. Apaaa ... awak dah tak sabar-sabar nak ‘joint’ budak ‘pengkid ‘ sekolah ni ke?. Nak jadi awek mereka?. Awakpun  mudah tertipu dek angan budak perempuan yang perasan nak jadi lelaki tu?. Hei kawan , sedarlah sikit. Apa yang perempuan tu boleh beri pada awak hah?. Semuanya sama!!”. Angin Munirah tiba-tiba sahaja naik , sangkanya Azeera sudah tidak sabar-sabar nak bertemu dengan Faridah , budak perempuan yang perasan lelaki itu!.
“Munirah!. Apa yang awak cakapkan ni?. Kalau ye pun tak payahlah nak main tuduh-tuduh sebarangan. Apa? . Awak ingat saya ni tak ada pegangan hidup ke?. Apa awak ingat saya ni
tak tahu ke kisah kaum nabi  Lut yang diterbalikkan bumi oleh Allah gara-gara tabiat buruk mereka yang sukakan kaum sejenis?. Tolonglah Munirah , jangan tuduh sebarangan. Saya bukan macam tulah!”. Jawab Azeera , jengkel benar dia mendengar tuduhan Munirah , satu-satunya kawan baiknya sejak berpindah ke sini.
‘Azeera  ... maafkan saya”. Munirah terkedu kerana telah tersalah sangka terhadap Azeera.
“Ah! Sudahlah!!”. Jawab Azeera lantas terus berlari keluar meninggalkan Munirah terpinga-pinga.
“Maafkan saya Azeera!”. Keluh Munirah.

Tidak Selamanya Selamat
Sebaik sahaja loceng rehat berbunyi menandakan berakhirnya waktu rehat ...
“Okeylah Azeera , cikgu rasa cukuplah apa yang kita bincangkan ini. Saya yakin kamu sudah faham benar dan pastinya akan dapat menjawab semua latihan tentang Matrfiks ini dengan baik. Errr ... eloklah awak balik ke kelas. Waktu rehat pun dah tamat , lagipun kejap lagi saya ada kelas”. Kata cikgu Isma.
“Ya. Terima kasih cikgu!”. Jawab Azeera sebelum melangkah keluar dari bilik guru menuju ke kelas semula.
“Hmm ... pegi ‘toilet’lah kejap. Rasa macam nak buang airlah pulak”. Fikir Azeera lalu  singgah di ‘toilet’ pelajar perempuan di blok itu.
Setelah selesai urusannya , Azeera membasuh tangannya di sinki sambil membetulkan tudungnya yang sudah tersenget-senget . Sedang Dia leka membetulkan tudungnya , tiba-tiba ...
“Hohoho! ... kekawan cuba tengok siapa yang ada dalam tandas ni. Budak kampung yang baru pindah ke mari!!”. Tiba-tiba Ruwaidah , pelajar tingkatan 3 Mekar masuk bersama tiga orang lagi rakannya. Mereka mengelilingi Azeera. Setelah cukup dekat salah seorang daripada mereka tu menunjal kepala Azeera sambil berkata ,
” Woii budak kampung , dengar sini baik-baik. ‘Farid’ itu  kawan aku yang punya. Ruwaidah ni yang punya. Mereka dah ‘couple’ lama. Sejak awal tahun ni lagi. So , jangan kau pandai-pandai nak potong line. Faham?!!”. Jerit Shikin , member kamcing Ruwaidah. Dialah yang selalunya menjadi ‘posmen’ atau orang tengah yang menyatukan hubungan antara Ruwaidah dan ‘Farid’.
“Eh! Nanti ... nanti ... nanti!. Awak kata saya nak potong line hubungan kawan awak, Ruwaidah dengan ‘Farid’. Maksud awak Faridah?. Hei kekawan , dengar sini. Apa yang kau orang buat ni adalah salah. Berdosa hukumnya!”. Tegur Azeera.
“Woi! Dosa abendanya?. Aku bukannya ‘menggatal’ dengan  budak-budak  lelaki . Kalau budak lelaki barulah berdosa , bodoh!!. Lagipum kami setakat bercerita dan buat yang ringan-ringan jerr ... tak luak apa-apa pun. Takkanlah itupun berdosa?!”. Jawab Ruwaidah dengan nada suara yang agak meninggi.  Bengang benar dia kerana dituduh melulu.
“Astarghfirullah al-adhzimm ...”. Azeera  bagaikan tidak percaya dengan apa yang didengarnya.
“Macam nilah , saya cadangkan awak tanyalah pada ustazah , apa hukumnya hubungan sesama jenis. Kalau saya cakap nanti awak kata saya dengki jadi lebih baik awak tanya sendiri pada ustazah”. Balas Azeera.
“Ah!! Kau jangan nak cari alasan lepaskan diri. Dengar sini . Aku nak kau putuskan hubungan dengan ‘Farid’. Kalau tidak teruk kau kami kerjakan”. Ugut Ruwaidah. Rasa cemburunya melihatkan kesungguhan ‘Farid’ mahu berkawan dengan Azeera sudah tidak mampu dibendung. Cemburunya sudah menjadi amarah yang teramat sangat apabila ‘Farid’ sampai boleh mengugutnya untuk memutuskan hubungan antara mereka apabila dia mempersoalkan tentang minatnya terhadap Azeera.
Tiba-tiba , Ruwaidah menolak Azeera dengan kuat , tersungkur Azeera dibuatnya. Sekonyong-konyong itu kawan-kawannya yang lain turut sama mengambil bahagian, Alina menendang perut Azeera , Dila menarik tudung Azeera sampaikan tercabut tudung itu , tidak cukup dengan itu Lily mengganyang dan menarik rambut Azeera yang panjang mencecah bahu itu. Azeera menjerit meminta tolong dan menangis sekuat-kuat hatinya , hairan tiada seorang pelajar lainpun yang datang menggunakan tandas waktu itu.
Setelah puas membelasah , “Hmm ... nangislah puas-puas. Ingat Azeera , ini baru amaran. Kalau kau masih nak tergedik-gedik  dengan ‘Farid’ , aku tak teragak-agak untuk buat lebih lagi daripada ini!”. Ugut Ruwaidah sebelum keluar daripada tandas meninggalkan Azeera sendirian menahan sakit.
“Okey geng , terima kasih tolong aku”. Kata Ruwaidah kepada Rita dan Ella yang berkawal dan menghalang pelajar lain daripada memasuki dan menggunakan tandas sepanjang masa Ruwaidah melepaskan geramnya. 

Terserempak dengan ‘Farid’
Azeera  bangun perlahan-lahan , membersihkan dan mengemaskan dirinya semula.  Habis comot pakaiannya terkena  lantai tandas yang basah. Tiada apa yang dapat dilakukan , terpaksalah dia keluar dari tandas dalam keadaan yang begitu.

Penuh kesakitan , Azeera keluar dari tandas dan berjalan perlahan menuju ke kelas. Tiba-tiba ketika menaiki tangga ke tingkat dua Azeera terserempak dengan seseorang .
“Azeera! Apa dah jadi dengan awak?”. ‘Farid’ bergerak pantas mendapatkan Azeera lalu cuba menyentuh bibir Azeera yang masih berdarah. “Kenapa?. Siapa yang buat ini pada awak?”. Tanyanya penuh kebimbangan.
“Blah lah!!. Hei! Saya tak pernah ada apa-apa hubungan  istimewa sesama perempuan. Gaya hidup songsang awak nilah yang merosakkan bangsa dan agama. Hidup penuh kepura-puraan. Awak ingat , mulai hari ini saya tidak mahu ada sebarang kaitan lagi dengan awak. Saya perempuan , kalau ditakdirkan saya bercinta juga satu hari nanti pastinya dengan lelaki bukan perempuan berlagak lelaki seperti awak!”. Azeera akhirnya meluahkan segala yang terbuku di hati. Setelah apa yang terjadi hari ini masakan dia masih mahu terus berdiam diri.
‘Farid’ terpaku mendengar kata-kata Azeera. Tiada pernah lagi mana-mana gadis yang didekatinya akan menolaknya. Sungguhpun dia berpakaian perempuan disekolah tetapi semua itu akan segera bertukar sebaik sahaja dia melangkah keluar dari pintu pagar besar sekolah. Wajahnya yang memang sedia menawan dengan gaya ‘ala-ala’ Anuar Zain itu akan membuatkan ramai budak-budak perempuan  ‘cair’ melihatnya.

Peristiwa yang tidak disangka
Tengahari itu setelah tamat waktu persekolahan , sepeti biasa ‘Farid’ akan menukar pakaiannya dahulu sebelum menaiki bas sekolah untuk pulang ke rumah. Seluar Jeans putih bersama kemeja berlengan pendek  bewarna  kelabu berbelang hitam dipadankan dengan kasut kulit hitam membuatkan dirinya kelihatan cukup segak. Rambutnya pula  yang lebat pendek dipotong ‘ala-ala’ ‘Kim Hyun joong’ pelakon lelaki Korea yang digilai ramai itu disikat rapi. Semua itu mengubah terus penampilannya daripada ‘Faridah’ menjadi ‘Farid’.

Sampai sahaja di perhentian bas , ‘Farid’ melihat Azeera sedang dipersenda-sendakan oleh  Ruwaidah dan kawan-kawannya. Mereka terus-terusan mencerca dan mentertawakan Azeera. Azeera diam tidak menjawab langsung sebaliknya terus berdiri memandang ke arah datangnya bas. Mukanya masam mencuka.
“Woi!! Kau orang buat apa kat sini hah?”. ‘Farid’ berkata dengan marah , memandang kepada setiap wajah budak-budak perempuan itu secara bergilir-gilir sehinggalah dia terpandang Ruwaidah.
“Wai , apa ni?. Kenapa buat begini. Farid tahu selama ini Wai seorang yang lemah lembut. Tapi kenapa jadi begini?”. Tanyanya lembut.
Ruwaidah tunduk seketika sebelum menjawab , ‘Farid , jawapannya ada pada diri awak sendiri!”. Mereka berpandangan , diam ... lama. Begitu juga dengan budak-budak lain yang turut ada di perhentian bas itu. Semua sedang memerhatikan ‘drama cinta tiga segi’ yang sedang berlangsung. Masing-masing hendak tahu apakah kesudahannya ‘drama’ itu.

Tiba-tiba , semua yang ada di perhentian bas itu mula berbisik-bisik . Tidak pasti apa yang dibisikkan mereka. Bisikan-bisikan itu akhirnya bertukar menjadi ketawa-ketawa kecil . Ketawa itu menjadi semakin kuat ... semakin kuat ... semakin kuat ... hinggakan mengganggu tumpuan ‘drama’ yang sedang berlangsung. ‘Farid’ , Ruwaidah dan Azeera  memandang sekeliling. Semua mata sedang memerhatikan  ‘punggung Farid’ sebelum berbisik-bisik dan tertawa. Malah ada yang sengaja berpura-pura berjalan melepasi mereka , memandang lalu ketawa.
‘Farid’ , Ruwaidah dan Azeera mulai resah , “Apa yang tak kena ni “. Fikir mereka sebelum Ruwaidah akhirnya bergerak ke belakang sedikit dan juga turut memandang ‘apa’ yang ada di punggung ‘Farid’. Sebaik sahaja terpandangkan ‘apa’ yang dipandang budak-budak lain dia terus menjerit ...
“AAaaaaaa!!!!” lalu berlari bagaikan sesuatu telah merasuknya. Melihatkan kelakuan Ruwaidah itu , ‘Farid’ berpusing lalu cuba melihat sendiri ‘apa’ yang ada di punggungnya. Pucat wajahnya sebelum dia sendiri akhirnya berlari menyorokkan diri di sebalik pokok besar yang ada berhampiran.
“Aduh!! Malunya!!!. Kenapalah ini sampai boleh terjadi?”.
“Woi!! Farid ke Faridah?! Ha ha ha”. Jerit seorang budak lelaki yang turut menunggu bas di situ.
“Farid dah bocor!! Ha ha ha” Ejek yang lain pula.
“Farid! Bertukar!!! Auwwww!!!!”
“Ha ha ha ha ha!”. Gelak mereka beramai-ramai.
Tiba-tiba Johari , rakan sekelas ‘Farid’ bangun meninggalkan kumpulan kawan-kawannya yang riuh mempersendakan ‘Farid’ lalu segera  pergi ke tempat ‘parking’ motor sekolah itu. Mengeluarkan kunci motornya dari saku seluar lalu menghidupkan motornya.

Faridah!
“Faridah!”. Panggil Johari.
‘Farid’ menjengukkan kepalanya dari sebalik pokok.
“Marilah , aku hantarkan kau. Tak jauh dari sini ada kedai ‘seven eleven’. Situ ada jual tuala wanita”. Kata Johari. Merah muka ‘Farid’ mendengar kata-kata Johari itu. Malu!!
“Kenapalah aku terpaksa beli’benda’tu dengan budak ni?”. Fikirnya.
“Jom cepatlah!. Takkan awak nak terus menyorok di sini. Silap-silap hari bulan kejap lagi budak-budak lelaki tu akan datang ke mari mempersendakan awak. Lagi kecoh jadinya nanti”. Kata Johari. ‘Farid’ menjengukkan kepalanya sedikit , mengintai keadaan di perhentian bas itu. Benar apa yang dikatakan Johari , Kamal , Rashid , Lawe dan beberapa orang  budak lelaki lain sedang berjalan ke arahnya. “Aduh!!”.’Farid’ mulai cemas.
“Cepatlah!”. Desak Johari.
“Tapi ... aku ... tengah bocor ni . Err ... errr ... nanti kotorlah motor kau ni”. ‘Farid’ berkata tersipu-sipu.
“Tak pa . Nanti boleh lap”. Kata Johari lalu mengisyaratkan dengan kepalanya agar ‘Farid’ segera naik bertenggek di atas motornya.
‘Farid’ tiada pilihan. Dia terus melompat naik sebelum Johari memecut laju. Mujur segera dipeluknya pinggang Johari , jika tidak pasti sudah jatuh terjelepuk!
“Hmm ... ‘Farid’ ke Faridah?”. Tanya Johari sambil tersenyum.
‘Farid’ diam lalu melepaskan pelukannya perlahan-lahan ....


Sunday 14 August 2011

Cerpen : Selamat Hari Guru !


Di suatu pagi ....
“Hoii! Berapa kali nak aku kejutkan kau?. Ni dah pukul 7:00 pagi. Bila lagi kau nak bangun?. Asyik nak membesarkan tidur je!!”. Jerit kak Jiah pada adiknya Abu Zahrin.
Hari ini seperti hari-hari yang lepas , kak Jiah akan terjerit-jerit mengejutkan adiknya Abu Zahrin untuk ke sekolah. Remaja yang baru meningkat naik ini semakin liat untuk bangun pagi apatah lagi untuk ke sekolah.
Minggu lepas Kak Jiah menerima surat amaran ponteng kali ketiga daripada pihak sekolah. Sekali lagi kesalahan ponteng dilakukan , Abu Zahrin sudah layak dibuang sekolah.
“Huh! “. Kak Jiah mengeluh. Berat benar tanggungan jiwanya membesarkan adik yang seorang ini. Dulu adiknya  Zailan tidaklah seteruk ini. Sungguhpun Zailan tidak cemerlang dalam pelajaran namun Kak Jiah tidak pernah  mendapat sebarang surat amaran daripada pihak sekolah. Zailan seorang pelajar yang lemah , SPM nya hari itupun hanya lulus Bahasa Melayu sahaja , itupun dengan gred 7D. Namun dengan berbekalkan sikap yang baik dan sopan , Zailan berjaya bekerja sebagai jurujual di Pasaraya Jusco.
“Zahrin! Bangunlah. Nanti kau lambat lagi ke sekolah . Bila cikgu marah kau mengamuk , bukannya tahu nak minta maaf bila buat salah. Ini tidak memanjang kau saja yang betul. Orang lain semuanya salah!!”. Bebel kak Jiah lagi.
“Arrggghhhh!!. Asyik membebel je akak ni.. Patutlah sampai sekarang tak kahwin-kahwin lagi!”. Balas Abu Zahrin setelah tidak tahan mendengar ocehan kakaknya.
“Apa kau kata?. Aku tak kahwin ni sebab suka membebel?. Hoii!! Sedar sikit dik ooiii . aku tak kahwin-kahwin lagi ni sebab kaulah. Siapa nak kahwin dengan aku kalau kena jaga budak lelaki bermasalah macam kau ni?!”. Balas Kak Jiah.
“Ahh! Sudahlah!!”. Bersama jeritan itu Abu Zahrin bingkas bangun , masuk ke dalam bilik air lalu menghempas pintunya dengan kuat.
“Gedebuummm!!”. Bunyi pintu dihempas.
“Hah! Elok benarlah tu. Bila marah hempaskan barang. Esok bila semua dah jahanam, duduklah kita sama-sama di bawah jambatan!”. Tempelak kak Jiah. Abu Zahrin tidak menghiraukan ‘bising’ kakaknya itu. Air disimbah semakin banyak ... ‘Gedebusshhh! Gedebusshhh!  Gedebusshhh!!!’


... seperti lipas kudung lintang pukang berlari masuk ke kawasan sekolah .
Seperti hari-hari yang lain juga , Abu Zahrin berjalan lambat-lambat ke sekolah. Pakaian seragam putih  yang sudah menguning itu sengaja dibiarkan lepas keluar. Sudah berkali-kali cikgu-cikgu di sekolah menegur.
“Abu Zahrin , kenapa tak masukkan baju dalam seluar?”. Tanya Puan Azlina , guru Sains.
“Abu Zahrin, masukkan baju dalam seluar!!”. Jerit Puan Zurina , guru disiplin sekolah.
“Abu , berapa kali cikgu nak kena tegur awak?. Tolong masukkan baju dalam seluar , boleh?”. Tegur pula Puan Juriah , kaunselor sekolah.
“Ya cikgu , saya ke tandas untuk masukkan baju dalam seluar”. Itulah jawapan yang sentiasa diberi oleh Abu Zahrin setiap kali kekemasan dirinya dipertikai.
Tiba-tiba perhatian Abu Zahrin tertumpu pada sekumpulan pelajar India yang juga lambat ke sekolah. Jantungnya berdegup kencang. Kakinya bagaikan terpaku.
“Aduh! Matilah aku kali ni!!”. Kata Abu Zahrin di dalam hatinya.
“Dei Tambi!!”. Jerit  Kalli , salah seorang daripada pelajar India tersebut. Bersama laungan itu semua pelajar yang ada bersamanya berlari laju ke arah Abu Zahrin. Abu Zahrin juga tidak menangguh masa , seperti lipas kudung lintang pukang berlari masuk ke kawasan sekolah. Sampai di depan pintu pagar sekolah , sedia menanti guru disiplin  Puan Zurina bersama tiga orang pengawas bertugas.
“Hah tahupun awak tu lambat. Penat berlari?”. Sindir Puan Zurina. Abu Zahrin diam. Kepalanya ditundukkan sedikit lalu menoleh ke belakang. Kalli  dan empat orang pelajar India yang bersamanya sedang termengah-mengah , berpura-pura baik apabila lalu di hadapan Puan Zurina.
“Selamat pagi cikgu!”. Sapa mereka.
“Ya . Selamat pagi. Kenapa lambat hari ini?”. Tanya Puan Zurina.
“Errr .... saya sakit perut cikgu. Malam tadi termakan kari basi”. Jawab Kalli
“Ha ha ha”. Tergelak empat pelajar India yang lain mendengar alasan Kalli.
“Hah! Ganesan , John , Kumar dan awak ni , siapa nama?”. Tanya Puan Zurina kepada pelajar India yang baru berpindah ke sekolah itu minggu lalu.
“Err ... Kumaresan cikgu”.
“Hah eloklah tu. Gabungan Kumar dan Ganesan ye?.  Apa pula alasan awak datang lambat ni?”. Tanya Puan Zurina.
“Err ... kami kejar ayam cikgu”. Jawab Kumaresan selamba sambil menjeling ke arah Abu Zahrin.
“Dah sudah jangan nak merepek!. Bagi nama pada pengawas”. Balas Puan Zurina.
“Nanti waktu rehat panggil balik mereka berlima ni dan bawa ke tandas pelajar lelaki. Suruh dia orang cuci lubang tandas. Sorang satu. Dah bersih baru benarkan mereka naik ke kelas”. Arah Puan Zurina kepada pengawas bertugas.
“Chitt!!”. Ludah Kumaresan. Marah sungguh dia mendengar hukuman yang diberi Puan Zurina.
...  seisi sekolah digemparkan dengan satu kemalangan ...
“Assalamualaikum cikgu. Maaf saya lambat”. Abu Zahrin meminta izin masuk ke dalam kelas. Cikgu Mazni yang sudah mula mengajar memandang ke arahnya.
“Lambat lagi hari ini Zahrin?. Masuk cepat , cikgu dah mula mengajar ni”. Arah cikgu Mazni.
Abu Zahrin terus berjalan masuk dan duduk di tempatnya , baris paling depan . Betul-betul di hadapan meja guru!
“Abu , napa lambat hari ini?”. Tanya Daniel , seorang mualaf berbangsa China yang duduk bersebelahan dengan Abu. Sengaja guru kelas mereka , cikgu Asni meletakkan Abu di hadapan dan duduk di sebelah Daniel. Niatnya tidak lain hanyalah untuk memastikan Abu Zahrin akan dapat focus di dalam kelas. Daniel pula adalah antara pelajar yang cemerlang di kelas itu. Cikgu Asni berharap Daniel akan dapat menjadi contoh yang baik buat Abu Zahrin.
“Aku bangun lambat!”. Jawab Abu Zahrin . Malas untuk bercerita panjang.
Sepanjang kelas berjalan , Abu Zahrin sedikitpun tidak dapat memberikan tumpuan apatah lagi memahami setiap butir yang diperkatakan oleh cikgu Mazni. Fikirannya kusut memikirkan masalah yang dihadapinya kini.
“Kalau aku tak dapat ganti  balik barang tu , matilah aku!”. Fikirnya resah. Sesekali keluhan beratnya dapat didengari oleh Daniel.
“Apa sajalah yang mengganggu Abu ini?”.Fikir Daniel pula.
“Daniel! Abu!. Sedang fikir apalah tu sampaikan cikgu tanya langsung tidak dijawab”. Sergah cikgu Mazni. Daniel dan Abu Zahrin terkejut.
“Ya cikgu?”. Tanya mereka serentak.
“Hmm ... tadi cikgu tanya , macam mana kembar seiras boleh terjadi”. Beritahu cikgu Mazni.
“Errr ... daripada persenyawaan antara satu sperma dan satu ovum , membentuk satu zigot. Kemudian satu zigot ini membahagi dua. Sebab itulah ciri-ciri genetik kembar seiras ini sama. Rupa paras pun sama cikgu”. Jawab Abu Zahrin.  Daniel terdiam. Cikgu Mazni juga terdiam. Kawan-kawan kelas yang lain juga terdiam. Semua merasa hairan dan kagum kerana Abu Zahrin , pelajar paling bermasalah di sekolah dapat menjawab soalan cikgu Mazni dengan mudah.
“Wah! Hebatlah Abu Zahrin!!”. Jerit Swee Lan memecahkan kesunyian , gadis China ini memang sentiasa prihatin terhadap Abu Zahrin. Entah mengapa  setelah dia mendapat tahu tentang latar belakang hidup Abu Zahrin , simpatinya melimpah ruah untuknya.
Semuanya berlaku semasa mereka sedang sama-sama mengambil keputusan UPSR tiga tahun lepas. Dirinya , Daniel dan Abu Zahrin adalah tiga daripada tiga belas pelajar cemerlang yang mendapat keputusan 5 A tahun itu. Sedang mereka bergelak ketawa , gembira dengan keputusan yang diperolehi , tiba-tiba seisi sekolah digemparkan dengan satu kemalangan yang berlaku di hadapan pintu pagar sekolah. Sebuah kereta proton saga lama merempuh bas sekolah  yang sedang menunggu pelajar.
“Apa yang terjadi?” Tanya pengawal yang bertugas sambil berlari meluru ke tempat kejadian. Bukan dia sahaja malah seisi warga sekolah yang mendengar dentuman kuat itu turut serta ke tempat kejadian termasuklah Swee Lan , Daniel dan Abu Zahrin. Sesampai sahaja mereka bertiga di tempat kejadian , Abu Zahrin terus meluru ke hadapan sambil menjerit , meraung dan memanggil-manggil  emak dan ayahnya .
“Huh?!” Daniel kurang faham.
“Itu kereta mak dan ayah Abu Zahrinlah!”. Kata Swee Lan agak terkejut.
“Apa yang terjadi. Kenapa kereta ayah dia rempuh bas?”. Tanya Daniel , masih tidak faham.
“Entah. Tak tau!”. Jawab Swee Lan.
Akhirnya semua persoalan itu terjawab apabila keesokan harinya cikgu kelas mereka , cikgu Mariam memberitahu semua ahli kelas bahawa kedua ibu bapa Abu Zahrin telah meninggal dunia di tempat kejadian.
“Cikgu , kenapa bapa Abu Zahrin langgar bas?”. Tanya seorang pelajar.
“Sudah ditakdirkan. Tadi cikgu dimaklumkan yang bapa Abu Zahrin itu tiba-tiba diserang strok semasa memandu menghampiri sekolah. Ibu dia pula panik dan tidak pandai memandu.  Strok itu menyebabkan kaki bapa Abu Zahrin serta merta mengejang dan tertekan minyak , tak dapat nak dialihkan. Semuanya berlaku dalam sekelip mata. Inilah yang dinamakan takdir. Awak semua sebagai kawan , tolonglah bagi semangat kepada Abu Zahrin. Kasihan dia , tentu sekarang ini dia sedang bersedih sangat”. Terang cikgu Mariam.

Sebaik saja mengetahui kejadian yang sebenarnya , air mata Swee Lan tiba-tiba sahaja jatuh mencurah-curah tanpa dapat ditahan-tahan.
“Eh , awak nangis?”. Tanya  Daniel. Sepantas kilat Swee Lan mengesat air matanya.
“Heee ... Swee Lan menangis! Swee Lan menangis!”. Ejek Akhbar , pelajar yang terkenal dengan sikapnya yang suka menyibuk.
“Eeee ... Swee Lan suka Abu!. Swee Lan nak Abu! Swee Lan sayang Abu!”. Ejek pula Syafiqah.
“Hei sudahlah!. Kawan kita Abu Zahrin sedang bersedih sekarang ni. Kenapa awak berdua nak mengejek-ngejek pula?”. Marah Idzham , ketua kelas.
“Kami tak ejek Abu. Kami ejek Swee Lan!”. Balas Akhbar.
“Betul! Betul! Betul!”. Syafiqah mengiakan.
“Eeee ... tak fahamlah kamu orang ini. Kenapa kejam sangat?!”. Jerit Swee Lan sebelum berlari ke tandas.
“Hai Swee Lan , awak pula nak berangan?”. Tegur cikgu Mazni. Swee Lan tersentak ...
“Errr ... maaf cikgu”. Katanya perlahan  sambil mencuri pandang Abu Zahrin. Abu Zahrin diam , langsung tidak ambil pusing apa yang berlaku di sekitarnya.
Cikgu Mazni meneruskan pembelajaran hari itu. Dari kisah kembar seiras beralih pula kepada kembar tidak seiras dan berakhir dengan kembar siam.

Peristiwa dalam tandas ...
“Oii! Bila kau mahu bayar balik?”. Soal Ganesan sambil tangannya mencekak leher Abu Zahrin. Badan Abu Zahrin ditolak rapat ke dinding tandas.
“Nanti aku bayarlah!”. Jawab Abu Zahrin.
“Bila?: Dah dua minggu kau kata nanti! Nanti!”. Sampuk Kumaresan sambil menendang keting Abu Zahrin. Terlepas cengkaman Kumaresan apabila Abu Zahrin menjerit kesakitan lalu memegang keting kakinya.
“Dushh!”. Satu lagi sepakan daripada  Kumar menghentam tepat ke perut Abu Zahrin.
“Arrggghhhh!”. Jerit Abu Zahrin lalu jatuh terperosok ke bawah sinki.
“Hoi!! Apa ni? Gaduh ke?!”. Jerit Siva , penolong ketua pengawas sekolah yang kebetulan lalu di hadapan tandas.  Sepantas itu juga ketiga-tiga pelajar yang membelasah Abu Zahrin berlari  merempuh keluar.
“Awak tak apa-apa?”. Tanya Siva kepada Abu Zahrin. Abu Zahrin menggeleng-gelengkan kepalanya.
“Mari saya tolong awak. Kita ke bilik disiplin buat laporan”. Ajak Siva sambil cuba membantu membangunkan Abu Zahrin.
“Err ... tak apalah. Aku boleh bangun sendiri. Aku tak nak buat kecoh. Ni sikit saja. Aku ok”. Balas Abu Zahrin sambil menolak tangan Siva. Terhuyung –hayang Abu Zahrin berjalan    keluar dari tandas. Sebaik saja dia melangkah keluar , langkahnya segera mati apabila terpandangkan cikgu Asni sudah siap berdiri di hadapan tandas.
“Sudah , mari ikut saya”. Arah cikgu Asni lalu membawa Abu Zahrin masuk ke dalam bilik bimbingan pelajar. Kebetulan bilik itu kosong dan kaunselor pula sedang bertugas rasmi di luar sekolah.
“Duduklah”. Pelawa cikgu Asni sambil menunjukkan ke arah sofa yang memang disediakan untuk sesi kaunseling murid. Tanpa sepatah kata Abu Zahrin duduk   , menundukkan kepala. Cikgu Asni masuk ke bilik kerja kaunselor lalu keluar bersama peti kecemasan yang memang sedia tersimpan di situ.
“Mari . Biar cikgu bersih dan tampalkan  luka awak”. Kata cikgu Asni sambil membersihkan luka di dahi Abu Zahrin , mungkin terhantuk pada bucu sinki semasa dibelasah tadi. Selesai membersih dan menampal plaster pada luka tersebut , cikgu Asni mulai bertanya.
“Ada mana-mana bahagian lain badan kamu yang luka?”. Abu Zahrin hanya menggelengkan kepalanya.
“Abu Zahrin , awak bergaduh dengan geng Kumar ye?”. Tanya cikgu Asni. Abu Zahrin diam.
“Awak tak boleh diamkan perkara ini.  Mari kita buat laporan di bilik disiplin”. Cikgu Asni  bangun mengajak Abu Zahrin.
“Tak payahlah cikgu. Saya tak nak kecoh. Ini perkara kecil saja”. Jawab Abu Zahrin.
“Perkara kecil?. Cuba awak lihat apa yang telah terjadi pada diri awak. Nasib baik Siva masuk ke dalam tandas tadi tau. Kalau tidak tak tahulah apa yang akan berlaku pada awak”. Jawab cikgu Asni.
“Kalau awak tidak mahu lapor atau perpanjangkan perkara ini , awak harus berterus terang dengan saya. Apa sebenarnya yang telah terjadi. Kenapa geng Kumar memusuhi awak?”. Cikgu Asni memberikan kata dua.
“ Mereka tak salah apa-apa. Saya yang salah!”. Balas Abu Zahrin.
“Saya tidak faham”. Kata cikgu Asni.
“Cikgu , tolonglah . Biar saya uruskan perkara ini sendiri”. Pinta Abu Zahrin.
“Huh!. Baiklah kalau awak tetap berdegil. Saya tidak dapat berbuat apa. Tapi untuk makluman awak kes ini sudahpun jadi kes disiplin kerana saya pasti Siva telahpun menjalankan tugasnya membuat laporan pergaduhan yang berlaku. Suka atau tidak awak harus menghadapinya”. Terang cikgu Asni.
“Baiklah sebelum masuk ke kelas , sila kemaskan diri awak. Pergilah ke dalam dan masukkan baju ke dalam seluar”. Arah cikgu Asni.
“Maaf cikgu. Zip seluar saya dah rosak sebab tulah saya biarkan baju di luar”. Terang Abu Zahrin.
“Rosak?. Kalau rosak kenapa masih dipakai?”. Tanya cikgu Asni. Abu Zahrin hanya menundukkan kepalanya , diam. Sikapnya itu membuatkan cikgu Asni memandangnya dengan lebih teliti , daripada hujung rambut sampai ke hujung kaki.
Rambut yang dipotong pendek hampir botak , pakaian seragam putih yang agak sempit dan  sudah kekuningan warnanya. Beberapa butang baju yang dijahit semula menggunakan benang bewarna hitam. Seluar hijau lusuh yang juga sudah agak sendat dan pendek. Kasut putih yang kotor tidak bercuci pula koyak dihujung jarinya. Sarung kaki?. Langsung tidak dipakai!
Melihatkan keadaan Abu Zahrin , cikgu Asni menjadi insaf. Tersentap rasa hatinya , “Bagaimanalah aku boleh sebegini buta , tidak langsung melihat kesusahan yang dilalui pelajarku ini?”. Katanya di dalam hati.
“Baiklah Abu Zahrin , balik sekolah nanti tunggu cikgu di depan bilik guru. Cikgu akan bawa awak ke Jusco untuk beli pakaian sekolah yang baru. Lepas tu cikgu sendiri akan hantar awak pulang ke rumah. Sekarang ni awak baliklah ke kelas dahulu. Nanti banyak pula pelajaran yang awak ketinggalan”. Arah cikgu Asni sebelum berlalu pergi meninggalkan Abu Zahrin sendirian , terpinga-pinga.
Sebaik sahaja habis berurusan dengan Abu Zahrin , cikgu Asni segera ke bilik Disiplin. Betul seperti jangkaannya , Kumar , Ganesan dan Kumaresan sudahpun dipanggil. Mereka sedang disoal siasat berkenaan kejadian pergaduhan tiga lawan satu yang berlaku di tandas tadi. Puan Hasiah , guru penolong Kanan HEM sendiri sedang menjalankan siasatan.
“Ini hal luar cikgu. Bukan hal sekolah!”. Jawab Kumar bila disoal.
“ Yelah! Hal luar tapi kamu bawa sampai ke sekolah!!” Tengking Puan Hasiah. Suaranya cukup tinggi apabila sedang marah.
“Kalau awak tak mahu kita selesai di sini. Kita bawa ke balai. Hal gaduh ni boleh bawa mati. Bukan main-main punya!”. Marah cikgu Hasiah lagi , terpaksa memberi kata dua kepada pelajar yang berdegil ini.
“Tak mau cikgu. Kita selesai sini”. Jawab Ganesan.Takut dia apabila diugut ke balai. Pasti mati dia dikerjakan oleh bapanya nanti.
“Cikgu , kita minta maaf pada Abu. Kira selesai sini. Tak mahu sampai ke balai”. Pinta Ganesan.
“Habis , nanti lain hari kamu jumpa dia di luar sana kamu belasah sama dia , polis akan tangkap kamu juga. Macam mana saya nak pastikan kamu takkan ganggu dia lagi?”. Tanya Puan Hasiah.
“Tak pe cikgu. Kami janji. Dia ada hutang kami. Kami takkan tuntut lagi. Kira habis”. Jawab Kumar.
“Betul?”. Tanya cikgu Hasiah sambil memandang wajah ketiga-tiga anak muridnya itu seorang demi seorang.
“Betul cikgu!”. Jawab mereka serentak.
“Baiklah , saya setuju tapi kamu bertiga harus menulis surat akuan perjanjian yang ditandatangani oleh kamu sendiri. Sekiranya sesuatu berlaku kepada Abu Zahrin selepas ini sama ada di sekolah atau di luar sekolah , kamu bertiga akan menjadi orang yang paling disyaki. Saya sendiri tidak akan teragak-agak menyerahkan surat akuan perjanjian ini ke balai polis”. Ugut cikgu Hasiah. Mereka bertiga hanya mampu mengangguk.
Cikgu Asni menarik nafas lega , memandang wajah ketiga-tiga anak muridnya itu dengan senyuman.
“Cikgu harap kamu semua boleh menjadi sahabat baik. Saling menjaga satu sama lain. Abu Zahrin itu anak yatim piatu. Kasihan dia. Berkawanlah dengan baik ya”. Nasihat cikgu Asni.
“Kalau boleh cikgu tahu apa hutang Abu Zahrin pada kamu?”. Tanya cikgu Asni.
“Err ... pisau lipat pelbagai guna saya dia curi dan jual. Dia sudah mengaku curi dan janji mahu ganti. Sudah dua minggu tapi tak ganti-ganti lagi”. Terang Ganesan.
“Oh itu. Kalau begitu  nanti balik sekolah awak ikut saya ke jusco. Kita cari pisau lipat yang baru untuk awak. Mahu?”. Tanya cikgu Asni. Ganesan tersenyum ... “Betul ke cikgu?”. Tanyanya.
“Betul. Tapi sebelum tu awak kena telepon ibu bapa awak , bagitahu mereka awak keluar dengan saya”. Pesan cikgu Asni dan Ganesan mengangguk gembira. Selesai membuat surat akuan perjanjian , mereka bertiga kembali ke kelas.
“Pasal pisau lipat je sampai mahu bertumbuk begitu!”. Keluh cikgu Asni.
“Budak-budak , begitulah.  Err... betul ke cikgu nak bawa budak tu ke Jusco nanti?”. Tanya Puan Hasiah.
“Ya . Kalau itu akan dapat mendamaikan mereka”. Kata cikgu Asni sambil tersenyum sebelum melangkah keluar meninggalkan bilik disiplin.
Sambutan Hari Guru Sekolah
Sudah lebih dua bulan peristiwa pergaduhan itu berlaku. Hari ini semua pelajar sedang sibuk membuat persiapan bagi meraikan para guru yang sudah banyak berjasa. Ganesan dan kawan-kawannya juga sibuk membuat persiapan. Mereka bersama ahli kelas 3 Hepta akan membuat persembahan lakonan sempena hari guru yang akan disambut esok.
Tidak ketinggalan Abu Zahrin dan Daniel sedang sibuk berlatih mendeklamasikan puisi khas yang mereka cipta istimewa buat para guru. Sahabat baik mereka Swee Lan pula akan memainkan piano bagi mengiringi persembahan mereka.
                                    Selamanya kau mencurah bakti
                                    Entah sampai bila tanpa jemu
                                    Lama dulu hingga kini
                                    Amat besar sentuhan kasihmu
                                    Membantu anak muridmu yang dungu ini
                                    Agar kami boleh harungi onar sembilu
                                    Tanpa rasa gentar dihati
                                                            Hari ini kami bersamamu
                                                            Akan kami kenang segala jasamu
                                                            Ramah mesra tunjuk ajarmu
                                                            Indah terpahat di dalam kalbu
                                    Guru ,  kaulah pelita ilmu
                                    Untuk menyinari hari anak bangsamu          
                                    Ribuan ucapan ‘terima kasih guru’
                                    Untuk kamu guruku ....
                       
                                    Selamat Hari Guru!!!
                          Hasil Nukilan: Abu Zahrin/Mei 2011
Sambutan hari guru tahun ini sangat meriah. Senyuman menghiasi setiap wajah . Lepas satu persembahan ke satu persembahan hingga tibalah giliran Abu Zahrin , Daniel dan Swee Lan membuat persembahan mereka.  Cikgu Asni menjadi hiba , menitis air matanya ... murid paling bermasalah di sekolah kini berdiri di atas pentas dengan pakaian yang cukup kemas!

 (2988 Bilangan patah perkataan)
                                                                       

 Hasil Karya:    Rozai Asnizah Mohd Shariff
                        Anugerah Pertandingan Penulisan
                        Sempena Hari Guru Daerah Sepang 2011