Popular Posts

Saturday 13 August 2016

Novel 2 : Selepas Hujan Bab 5

BAB 5:     Kisah sedih abang Anip

Pagi yang indah .....
         Keesokan harinya awal-awal lagi kedua sahabat ini sudah bersiap untuk  ke sekolah. Mereka sedang menanti cikgu Karim menguruskan mak Midah. Setelah mengangkat mak Midah ke  ruang tamu dan meletakkan ‘remote TV’ bersebelahan dengan mak Midah , cikgu Karim turun menghidupkan enjin kereta.
“Pergi dulu mak!” . Miah mencium pipi ibunya sebelum melangkah turun.
“Pergi dulu makcik!” . Ziah menghulur tangan untuk bersalaman dengan mak Midah. Mak Midah tidak menyambut salam itu sebaliknya menarik  Ziah ke arahnya. Kedua pipi Ziah dicium.
“Kamu tu sebaya saja dengan Miah. Tinggalnya pun di sini jadi makcik dah anggap kamu tu macam anak makcik sendiri”. Terang mak Midah. Ziah mengangguk dan tersenyum sahaja apabila mak Midah menciumnya.
“Terima kasih makcik. Kami pergi dulu”. Mereka berpamitan.
Di dalam kereta Ziah berfikir, “Baru kenal sehari sudah dianggap seperti anak sendiri. Hmmm ... baiknya hati mereka”. Kereta yang dinaiki mereka mulai bergerak meninggalkan perkarangan rumah. Mata Ziah masih leka memerhatikan pintu rumah yang dibiar terbuka.
“Selamatkah mak Midah tinggal sendirian. Tak ada kah pencuri atau orang berniat jahat datang menceroboh?. Hmm ... mungkin tidak. Mungkin orang-orang di kampung ini semuanya baik-baik belaka. Macam ibu dan ayah Miah juga”. Fikir Ziah lagi. Sedang leka memikirkan soal keselamatan mak Midah , tiba-tiba matanya tertangkap susuk tubuh abang Anip berdiri tegak di salah satu tiang di bawah rumah , memerhati ke arahnya.
“Astarghfirullah al-adzhimmm ...”. Ziah mengurut dada. Terkejut dia dibuatnya.
“Huh?. Kenapa Ziah?”. Tanya Miah sambil memandang ke arah pandangan Ziah.
“Ooohhhh!. Patutlah. He he he ... biar sajalah dia tu”. Kata Miah.
Ziah hanya mengangguk-nganggukkan kepalanya. “Biar betul!”. Fikirnya.
         Kereta terus dipandu cikgu Karim dengan cermat dan berhati-hati. Tidak sampai dua puluh minit perjalanan ,  akhirnya kedua guru muda ini sudah  melangkah turun dari kereta untuk ke sekolah dengan perasaan yang cukup gembira. Jam di tangan menunjukkan pukul 7: 25 pagi.
“Eh , cepatlah. Dah 7:25 . Kang tak pasal-pasal nama kita merah!”. Miah berkata sambil mempercepatkan langkahnya. Ziah berlari anak mengekorinya. Lupa sudah akan renungan abang Anip yang menakutkan tadi.
Sesampai sahaja di pejabat sudah ramai guru yang sedang menunggu giliran untuk merakam masa kehadiran mereka menggunakan ’punch card’.
“Hah 7:27! Heee ... selamat!”. Ucap Miah sambil tertawa. Begitulah setiap hari. Semakin menghampiri 7:30 pagi semakin panjang barisan guru yang tergesa-gesa merakamkan masa kehadiran mereka. Semuanya menjadi penting kerana setiap akhir tahun prestasi setiap guru pasti akan dinilai. Kad kehadiran ini merupakan salah satu elemen yang akan digunapakai  untuk penilaian prestasi kecemerlangan kerja oleh pihak pentadbiran sekolah. Inilah sebagai petunjuk sama ada seorang guru itu berdisiplin dan menepati masa atau sebaliknya.
“Amboi ... lihatlah dua sahabat ni. Dah macam adik beradik lah pulak!. Tau le awak tu tinggal serumah tapi jangan le asyik ke mana-mana berdua. Kesian lak kami ni hah...”. Usik kak Zu tatkala melihat Ziah dan Miah berjalan beriringan menuju ke kantin.
“Eh kak Zu. Jom breakfast sama”. Ajak Miah.
“Mmm ... tak dapatlah , akak ada kelas laa. Enam  masa ‘direct’. Lepas tu baru boleh makan. Pergi lah korang dulu. Makan jangan lupa baca bismillah!”. Kak Zu berpesan sebelum bergegas ke kelas , Miah dan Ziah hanya tersengih mendengar pesanan kak Zu itu.
“Jangan lupa baca bismillah!”. Ulang Miah sambil menudingkan jari telunjuknya kepada Ziah. “Okey! Okey!”. Jawab Ziah dan mereka sama-sama tertawa.
“Miah , kalau aku  tanya skit boleh tak?”. Tanya Ziah sebaik sahaja selesai memilih sarapan paginya, nasi lemak sambal udang.
“Boleh, tanyalah” . Balas Miah selamba , mengambil tempat di hadapan Ziah..
“Bila kau nak ceritakan  pada aku pasal abang kau tu?. Dah lama kau janji nak ceritakan kisah dia” .Tanya Ziah. Sikap abang Anip yang ‘pelik’ dan terlalu menjengkelkan itu menguja rasa ingin tahu dalam hati Ziah. “Masakan manusia normal dan waras sanggup bersikap sepertinya … sombong , kasar , menyakitkan hati , sentiasa cari pasal dan langsung tidak menghormati orang lain”.
 “Ooo kau fikir pasal abang aku. Ingatkan nak tanya apalah tadi”. Usik Miah. Tersengih.
“Hmmm  ...  kenapa kau beria-ia sangat nak tahu  pasal dia tu? . Hahhhh ... kau suka dia?”. Usik Miah lagi.
“Eh kau ni Miah , ke situ pulak perginya. Aku ni cuma hairan tengok sikap abang kau. Sering murung je ... air mukanya bagai menyimpan seribu rahsia”. Ziah memancing ... umpannya mengena!
“Mmm ... betullah apa yang kau kata tu. Memang abang aku tu asyik murung saja. Tapi dulu dia tak begitu. Dulu dia periang , penuh semangat dan bercita-cita tinggi. Tapi itu semua dah tak de lagi sekarang. Yang tinggal  ... seorang abang yang pendiam , pemarah dan suka menyendiri”. Cerita Miah.
“Tapi kenapa?”. Tanya Ziah ingin tahu.
“Panjang ceritanya. Sebenarnya aku dah malas nak ingat-ingat lagi cerita ni tapi tak pelah , untuk kau aku ceritakan , ceritanya macam ni. Dulu ...  empat  tahun lepas , abang aku pernah bertunang dengan anak ketua kampung dekat rumah aku tu. Aku panggil dia kak Cah. Nama penuh dia Siti Aisyah. Cantik orangnya , baik , lemah lembut , sopan ... pendek kata ‘perfect ten’lah. Ramai yang tergila-gilakan dia termasuklah abang aku tu.  Dalam ramai-ramai orang yang cuba nak ‘tacle’ kak Cah , abang akulah yang terpilih. Dia memang  bernasib baik sebab dia tidak bertepuk sebelah tangan. Akupun hairan , apalah yang ada pada abang aku tu sampaikan  kak Cah sanggup menerima pinangannya. Dengar kata , itu adalah pinangan yang ke lapan. Hebatkan kak Cah ni?”. Miah bercerita.
“Betul , hebat. Aku bayangkan dia tu macam puteri gunung ledang je ...” .Ziah memberikan pendapatnya.
“Isshhh apalah kau ni ... puteri gunung ledang lah pulak. Itu cuma dongeng je. Nih cerita yang real punya. Nak tahu  tak?”. Tanya Miah.
“Eh , naklah ...”. Jawab Ziah.
“Majlis pertunangan mereka dijalankan secara besar-besaran. Yelah ... kan kak Cah tu anak penghulu kampung. Habis seisi kampung dijemputnya. Kirakan tok penghulu sampai sembelih kambing lah!” . Sambung Miah.
“Sembelih kambing?”. Tanya Ziah.
“Yelah , di kampung sembelih kambing untuk majlis pertunangan tu dah kira besarlah tu!”.  Miah merenyih.
“Wah besarnya majlis tunang. Selalunya orang buat majlis pertunangan secara kecil-kecilan je. Majlis kahwin nanti barulah besar-besaran”. Balas Ziah.
“Itulah pasal. Gembira punya hal ... mereka berbelanja besar. Tapi ... kau ni rajin sangat lahme klah. Potong stim aku nak bercerita je!. Okey kau diam ye, biar aku sambung”. Tegur Miah.
“Okey aku diam. Kau ceritalah”. Balas Ziah.
“Pada asalnya majlis tu meriah sangat. Bila rombongan kami sampai ,  kami disambut dengan paluan kompang. Bukan itu saja , ada juga kugiran kampung untuk menyerikan majlis. Dah kira macam kenduri kahwin lah meriahnya”. Miah berhenti seketika untuk menarik nafas.
“Tapi tiada siapa yang sangka panas yang diharapkan sampai ke petang , rupanya hujan di tengahari!. Sedang semua orang suka gembira tiba-tiba je suka menjadi duka. ,  hadirin menjerit-jerit dan bertempiaran lari. Nak tahu kenapa?”. Tanya Miah
“Nak”. Jawab Ziah ringkas. Perasaan ingin tahunya mengasak jiwa.
“Abang Lan mengamuk! Terjerit-jerit memaki hamun sambil menghayun-hayunkan sabit pemotong rumput. Rupa-rupanya dia adalah pemuda ketujuh yang masuk meminang , sebelum abang aku . Bila dia tahu yang pinangan abang aku diterima dan majlis pulak di adakan besar-besaran , naik anginlah dia. Dalam kekecohan tu kak Cah turun dan cuba menenangkan abang Lan. Aku rasa kak Cah sangka marah abang Lan akan reda bila terpandang dia. Tapi sebaliknya yang berlaku  ... tak siapa sangka sebaik saja terpandangkan kak Cah , abang Lan terus menjerit ... ‘kalau aku tak dapat kau , orang lainpun takkan dapat!’. Serentak dengan laungan itu mata sabit terbenam di perut kak Cah. Abang aku nampak semua yang berlaku. Tapi dia tergamam . Bukan dia saja . Kami semua turut tergamam sebab segalanya berlaku dalam  sekelip mata sahaja. Tau-tau kak Cah dah jatuh terbaring. Tangannya berlumuran darah memegang hulu sabit. Abang aku cuba mendapatkannya tapi belumpun  sempat dia memangku kak Cah , kak Cah dah terlebih dahulu menghembuskan nafas terakhirnya. Kat situ juga!”. Miah berhenti. Menarik nafas panjang. Semuanya bagaikan kembali jelas terbayang di ruang  matanya. Ziah tergamam mendengar cerita itu.
“Macam cerita TV pulak!. Biar betul Miah ni”. Fikir Ziah di dalam hati.
 “Kesian abang aku ... dia menyalahkan dirinya kerana tidak berbuat apa-apa untuk menyelamatkan kak Cah. Malah nak meriba kak Cah sebelum akhir hayatnyapun tak sempat. Huhh!! ...  dan  sejak itulah abang aku jadi seperti sekarang. Sentiasa dalam kemurungan dan tak habis-habis menyalahkan diri sendiri”. Miah menamatkan ceritanya.
“Begitu ke kisahnya. Tragis betul. Macam cerita drama TV ...” . Ziah memberi respon yang agak keterlaluan.
“Errr ... sorry Miah!”.  
“Alahh tak da apalah. Kisah abang aku tu memang betulpun  macam cerita drama TV. Aku agakkan abang Lan tu pun mesti terpengaruh dengan drama-drama TV yang ditontonnya”. Miah cuba berlawak. Dia tidak suka terbawa-bawa dengan perasaannya setiap kali terkenangkan  peristiwa itu. Mana tidaknya , semua itu berlaku di depan matanya sendiri!.
Bagi Ziah cerita Miah agak sukar untuk diterimanya. Masakan pada zaman ini masih ada berlaku perkara seperti itu. Untuk beberapa ketika Ziah hanya mendiamkan diri , termenung dan cuba membayangkan peristiwa itu. Akhirnya Ziah memberikan pendapatnya.
“Kalau begitulah kisahnya , kesiankan abang kau tu. Aku boleh bayangkan kesunyian dan kekesalan di hatinya. Tapi abang kau dengan kak Cah tu bercinta dulu ke sebelum bertunang?”.
“Eh , tentulah. Semua orang tak tahu melainkan aku. Mereka selalu berjumpa secara sembunyi-sembunyi. Tapi mesti ditemani aku. Kak Cah tak nak jumpa kalau abang aku datang sendiri. Nanti bila mereka tengah berborak-borak , aku buat-buat tak dengarlah ... tapi itu berlaku sebelum aku pergi KPLI.  Masa aku di KPLI aku kurang pastilah macam mana mereka berjanji temu”. Cerita Miah lagi.
Krriiinnnggg ... bunyi loceng sekolah menandakan tamat masa pertama pembelajaran.
“Alamak Miah , aku ada kelas masa kedua nilah. Aku gi dulu ya ... kita sambung cerita lagi nanti”. Ziah bergegas pergi.
“Heee ... dah habislah cerita aku. Kita cita kisah kau pulak!”. Jawab Miah sambil merenyih melihatkan kekalutan Ziah.  “Penyapu baru!”. Fikirnya lagi , masih merenyih.
“Gi dulu Miah!”. Kata Ziah sebelum bergegas pergi. Miah hanya menganggukkan kepalanya.
Sepanjang perjalanan ke kelas , kepala Ziah ligat memikirkan cerita Miah tadi.
“Fuhh!! Real macam cerita drama TV. Abang Anip ... abang Anip. Kesian kau kan!”. Ziah berjalan laju sambil menggeleng-gelengkan kepalanya. Tidak percaya masih ada lagi kisah cinta uda dan dara di zaman ini!.
‘Uda dan Dara ... Bersanding tak di pelamin ...’.
“Masih wujudkah cinta seperti itu di zaman ini?”. Fikir Ziah .

... seorang pemuda memakai jubah konvokesyen
         Malam itu selepas selesai makan malam , makcik Midah berehat di ruang tamu depan rumahnya. Tangannya mencapai album-album lama yang disusun rapi dalam rak buku bersebelahan peti televisyen rumah itu. Album dibuka semuka demi semuka. Wajah-wajah comel dua anaknya , abang Anip dan Miah ditatap. Terasa kerinduan yang mendalam di dalam jiwa apabila mengenangkan kembali keletah lucu dua anak comel itu.
Makcik Midah tertawa sendiri apabila terpandangkan  sekeping gambar abang Anip bersama Miah. Kedua anak comel itu tidak berpakaian dan  sedang bermain di dalam periuk besar! Itulah periuk yang sering digunakan oleh keluarganya untuk memasak nasi semasa kenduri kendara.
“Wah , gembiranya makcik. Terkenangkan kisah lama?” . Tegur Ziah dengan senyuman.
“Eh Ziah , marilah ... makcik tengah tengok gambar Anip dan Miah masa kecil dulu. Comel betul mereka! Rasa lucu pulak bila  teringatkan kisah-kisah lama dulu. Boleh  tertawa sendiri dibuatnya!”. Jawab makcik Midah sambil melambaikan tangannya mengajak Ziah menyertainya. Ziah angguk lalu duduk di sebelah makcik Midah. Turut tertawa sama melihat aksi-aksi lucu abang Anip dan Miah semasa kecil. Habis album pertama dilihat makcik Midah mengambil pula album kedua.
“Mari tengok yang ini”. Kata makcik Midah. Ziah menurut sahaja.
“Hah , cuba Ziah tengok gambar ini”. Pinta makcik Midah sambil membuka ke lembaran yang tertera gambar seorang pemuda memakai jubah konvokesyen. Ziah merenung lama gambar itu.
“Abang Anip?” . Ziah memandang makcik Midah meminta kepastian.
“Ya ...”.  Jawab makcik Midah perlahan. Ada kekesalan di wajahnya.
“Dulu dia belajar di UPM. Ambil kursus berkaitan dengan pertanian dan perladangan. Apa namanya kursus tu ... alah ... makcik dah tak ingat. Tapi dulu dia kata nak jadi petani berjaya .  Habis belajar dapat kerja kat MARDI. Sempat la kerja dalam  dua tahun lebih. Tapi lepas saja tunang dia mati dibunuh , dia hilang arah , dah macam orang hilang akal , kerja entah ke mana. Last-last balik kampung ternak ikan. Tu la abang Anip kau tu sekarang. Dah serupa dengan budak kampung sini yang tak berpelajaran tinggi!”. Cerita makcik Midah. Sedih dan ralat benar hatinya dengan perubahan anak sulungnya itu.
“Bukan begitu makcik. Abang Anip tu bekerja sendiri dan dia kan gigih bekerja. Kelong sangkar ikannya tu penuh ikan. Kebun pisang dan kelapa yang diusahanya pun membawa hasil. Itu sudah lebih bermakna daripada kerja makan gaji. Habis bulan habis gaji”. Ziah cuba menyenangkan hati makcik Midah walaupun dia sendiri tidak yakin dengan apa yang dikatakannya itu.
“Alaa ... setakat ikan empat lima sangkar , kebun pisang dan kelapa tu , budak habis SPM pun boleh buat!”. Makcik Midah tidak bersetuju dengan Ziah. Ziah bungkam. Ada benarnya kata-kata makcik Midah itu. Setakat kerja-kerja seperti itu , budak habis SPM pun boleh buat!. Tinggal lagi mahu atau tidak sahaja. Tiba-tiba  Ziah terdengar bunyi tapak kaki melangkah mendekati mereka dari belakang.
“Aduh ... janganlah abang Anip!”. Doa Ziah di dalam hati. Ziah memusingkan badannya
 dan ... bagai nak luruh jantungnya.
“Errr ... abang !” . Ziah serba salah. Entah mengapa dia rasa malu pula jika kata-katanya yang membela abang Anip itu telah didengari oleh empunya diri. Langsung saja memerah pipinya , makcik Midah tersenyum-senyum melihatnya.
“Alangkah bertuahnya aku jika mereka bersatu!”. Kata hatinya.

Menggigil tangannya…
         Abang Anip memandang Ziah dan ibunya. Pandangan matanya jatuh pula pada gambar-gambar cerianya semasa majlis konvokesyen dulu. Gambar lama . Sejarah lama ... hampir empat tahun yang lalu!.
“Apalah agaknya reaksi abang Anip ni. Eee ... entah-entah dia dah dengar keluhan dan cemuhan makcik Midah tadi! Alamak habislah!!”. Fikir Ziah .
         Cemas Ziah tidak berasas , reaksi abang Anip di luar jangkaan. Melihatkan gambar-gambar lama keluarganya dibuka , abang Anip terpanggil untuk menyertai Ziah dan ibunya ,  duduk di sebelah ibunya dan turut sama menyelak-nyelak dan melihat setiap muka album. Lama sungguh dia tidak mengulang melihat gambar-gambar lamanya itu malah banyak yang telah luput dari ingatannya.
“Huh!”. Keluh abang Anip … terharu dan bercelaru dengan perasaan hatinya.
“Mengapa aku melupakan diriku sendiri?”. Ucapnya perlahan … menggigil tangannya melihat photonya menerima ijazah di atas pentas.
Tergamam Ziah menyaksikan reaksi abang Anip itu. Timbul rasa belas di hatinya , spontan album gambar di tangan abang Anip diambilnya.
“Abang …”. Hanya itu yang mampu diucap.              

Novel 2: Selepas Hujan Bab 4

BAB 4            BENCI TAHAP MAKSIMUM

Abang Anip sungguh menyakitkan hati ...
         Seminggu sudah berlalu sejak peristiwa Ziah bersampan menyusuri sungai bersama Kamal. Sejak hari itu , Ziah agak kurang bercakap. Lebih banyak mendiamkan diri atau sengaja menghabiskan masanya menyiapkan kerja-kerja sekolah di dalam bilik sahaja. Semua peristiwa yang terjadi menyebabkan  hati Ziah tidak tenang dan sentiasa resah. Dia bagaikan terperangkap dengan nasibnya di sini.
Abang Anip pula tidak habis-habis menyakitkan hati , ada-ada saja lakunya sengaja mencari pasal. 
         Petang itu Ziah ke belakang , memberi ayam  makan sebelum menghalaunya masuk ke reban. Biasanya kerja itu dilakukan oleh cikgu Karim tetapi sejak semalam cikgu Karim ke rumah adik iparnya Pak Lang di Pekan. Entah apalah urusannya , Ziah kurang pasti.
Ketika sedang sibuk dalam kepayahan , cuba  menghalau semua ayam masuk ke reban , tiba-tiba  abang Anip muncul entah dari mana ...
“Huh!! Halau ayam pun terkial-kial. Nampak sangat tak biasa buat kerja. Lalulah biar aku yang buat !”. Arah abang Anip.
Mendengar kata-kata yang menyakitkan hati itu , Ziah berdiri tegak memandang abang Anip tepat di wajahnya dengan pandangan yang tajam penuh kebencian.
“Apa!?. Tak betul aku cakap?. Kerja senangpun tak boleh buat?”. Tanya abang Anip , mencabar kesabaran Ziah.
“Huhh!!”. Ziah mendengus sebelum melangkah pergi.
“Tiada gunanya melayan lelaki angkuh yang  tak berperasaan ini!”. Fikirnya lalu mempercepatkan langkahnya.
“Elehh!! Mengada-ngada!. Tegur sikit nak merajuklah konon . Kau ingat aku peduli ke?!”. Jerit abang Anip. Ziah membisu dan memekakkan telinga ... namun begitu hatinya terasa amat sakit . Bertambah sakit hatinya tatkala mendengar abang Anip tertawa kuat. Sengaja ketawanya itu dikuat-kuatkan!!
“Sial!. Lelaki tak guna!!!”. Getus hati Ziah ...
Sampai sahaja di dapur rumah , Miah sudah sedia menanti Ziah.
“Heii! Kenapa ni , muka cekudut je?”. Tanya Miah.
“Ah! Tak ada apalah”. Jawab Ziah sambil terus memuncungkan bibirnya. Miah tersenyum lalu memanjangkan lehernya menjenguk ke belakan rumah  melalui tingkap dapur .
“Hah! Ini mesti bergaduh dengan abang Anipkan?”. Katanya.
“Takda mananya aku nak bergaduh dengan abang kau tu!”. Jawab Ziah , jengkel.
“Alah! Sudahlah tu ... tak baik tau gaduh-gaduh macam ni selalu. Ok , nanti aku tegur abang aku tu ye”. Balas Miah , memujuk.
“Eh! Tak payah!!. Aku tak gaduhpun dengan dia. Kau jangan pulak nak  memandai. Nanti salah sangka pulak dia jadinya”. Ziah memberi amaran.
“Sudahlah . Aku masuk mandi dululah ye. Ingat !. Jangan memandai-mandai!!”. Pesan Ziah lagi. “Baik bos!!”. Jawab Miah sambil tersenyum manis.
“Hmm ... ada harapan ni. Mula-mula benci , lama-lama sayang!!”. Kata Miah dalam hatinya.
Sementara itu , Ziah termenung lama di dalam bilik air.
“Huh! Apalah nasibku ini. Sampai bila nak tinggal menumpang di sini?. Sampai bila nak berhadapan dengan ‘mamat psycho’ yang tak habis-habis menyakitkan hati itu”.Keluh Ziah.
“Errrggghhhh!!. Apa nak buat ni?”. Fikirnya. Ziah memejamkan matanya , memerah otak mencari jalan keluar.
“Mungkin aku harus beli sebuah kereta sendiri dan menyewa di Bandar Pekan. Walaupun perjalanannya mengambil masa sejam ke mari , tapi ianya jauh lebih baik daripada terus tinggal di sini dan berhadapan dengan ‘mamat psycho’ itu. Tapi ... mana nak cari duit muka?. Hu hu hu ... sedihnya. Terpaksalah aku bertahan tinggal di sini!”. Keluh Ziah.

Kamal datang ke sekolah ...
         Keesokan harinya , sebaik sahaja habis sesi persekolahan pada hari itu ...
“Ziah , hari ini kau sorang saja yang balik tau. Aku kena siapkan ‘back drop’ untuk program esok. Aku tumpang tidur di asrama warden. Nanti bagitahu mak aku ye”. Pesan Miah.
“Apa?. Jadi ... kau tak balik sama?. Kalau gitu aku ikut kau sajalah , tumpang tidur kat asrama warden gak”. Balas Ziah. Terbayang olehnya wajah abang Anip yang menjengkelkan.
“Alahh! Mana boleh. Nanti siapa yang nak masak untuk makan malam ni. Kesianlah mak aku. Please ...”. Rayu Miah sambil mengebil-ngebilkan matanya.
“Eeee ... nak buat gaya ‘comel’ lah tu. Tak menjadilah ...  hmm ... nak buat macam mana. Terpaksalah aku balik jugak cuma ....”. Kata-kata Ziah terhenti.
“Ha ha ha aku tahu. Kau tak suka nak balik berdua je ngan abang akukan?”. Miah dapat membaca hati Ziah. Ziah mengangguk-nganggukkan kepalanya.
“Hmm ... kesian kau. Tapi aku tak ada pilihan. Tolong ye Ziah. Sekali ni saja”. Pinta Miah sungguh-sungguh.
“Okey ... demi kau dan demi mak kau!”. Balas Ziah sambil memuncungkan bibirnya.
“Terima kasih. Sayang kau!”. Miah berkata riang sebelum meninggalkan Ziah duduk sendirian di perhentian bas depan pagar sekolah.
“Habislah aku!”. Fikir Ziah.
        Setelah menunggu hampir lima belas minit , abang Anip sampai ... berhenti betul-betul di hadapan Ziah. Ziah segera bangun , menghampiri kereta yang dipandu abang Anip. Namun belumpun sempat pintu kereta dibukanya ...
“Cikgu!. Cikgu Ziah!”. Jerit satu suara.
Ziah berpaling ke arah suara itu. “Eh Kamal!. Kenapa ni?. Nampak tergesa-gesa”. Tanya Ziah. “Yelah , takut tak sempat jumpa cikgu. Alhamdulillah ... ada jodoh nak jumpa cikgu hari ni”. Jawab Kamal , tersengih.
“Err ... saya dah nak balik ni. Ada apa nak jumpa saya?”. Tanya Ziah , resah kerana terpandangkan wajah abang Anip yang masam mencuka. Mungkin marah dibiarkan menunggu lama.
“Tak da apa pun cikgu cuma ni hah , emak saya beria-ia suruh saya berikan pada cikgu. Kesian cikgu tak dapat makan pengat pisang tempohari ... itu yang dia buatkan ni”. Beritahu Kamal sambil menghulurkan bungkusan pengat pisang kepada Ziah.
“Laa susah-susah saja. Kirimkan ucapan ‘terima kasih’ saya kepada mak awak. Bagi tahu dia saya memang suka sangat makan pengat pisang.  Err ... terima kasih pada awak juga. Hmm ... saya balik dulu. Nanti ada orang marah!”.  Ziah berbisik di telinga Kamal sambil tertawa kecil.
“Ha ha ha ... yelah cikgu. Jumpa lagi!”. Balas Kamal sambil menjeling ke dalam kereta.

Bengang!! ...
         Entah mengapa , perasaan abang Anip bagaikan terbakar ... panas melihatkan kemesraan Ziah dan Kamal. “Ceh! Siap berbisik-bisik!!. Gedik! Meluat betul aku melihatnya!!”. Bebel abang Anip sendiri.
Sebaik saja Ziah masuk dan menutup pintu kereta  ...
“Apasal kau duduk depan?”. Tanya abang Anip dengan bengis.
“Err ... abang , Miah tak balik hari ini. Dia ada kerja yang perlu diselesai ...”. Belumpun sempat Ziah  menghabiskan ayatnya ,  abang Anip sudah  menekan minyak lalu membawa kereta selaju-lajunya. Ziah cemas lantas segera mengenakan tali pinggang keledar.
“Abang , tolong bawa perlahan sedikit. Ziah takut ...”. Pinta Ziah. Malangnya bukan bertambah perlahan malah sebaliknya. Abang Anip terus kuat menekan minyak , mengaum-ngaum enjin kereta jadinya.
“Abang!. Kalau abang tak mahu perlahan , abang turunkan sajalah Ziah di tepi jalan ni!”. Jerit Ziah. Dia benar-benar takut ... peristiwa kemalangan yang menimpa teman baiknya Diah telah menjadikannya ‘fobia’ menaiki kenderaan yang dipandu laju.
Sebaik mendengar jeritan Ziah itu , abang Anip segera menekan brek ...
“Hah! Turunlah!!”. Kata abang Anip. Ziah yang agak terkejut masih terpaku.
“Tunggu apa lagi?. Kata nak turun sangat tadi!”. Ejek abang Anip. Setelah dicabar dan terasa dihina begitu sekali , Ziah segera mencapai begnya lalu cuba membuka tali pinggang keledar yang dipakainya tadi.  Malangnya ... setelah mencuba berkali-kali , tali  pinggang itu masih tetap tidak dapat dirongkai.
“Eee ... kenapa ni?”. Katanya sambil terus cuba menarik-narik kepala tali pinggang dari pasaknya.
“Hmm ... sudahlah!. Buka tali pinggangpun tak tahu. Nak turun tepi jalan konon!!”. Ejek abang Anip lagi sebelum menekan minyak semula. Ziah bengang , betul-betul bengang hingga tidak mampu berkata sepatahpun lagi!.

Ziah menangis ...
         Sampai sahaja di rumah , abang Anip segera mematikan enjin sebelum keluar meninggalkan Ziah terpinga-pinga. “Jahat!!”. Kata Ziah sambil memandang abang Anip berlalu pergi.
“Huh!!”. Keluh Ziah sebelum cuba menanggalkan tali pinggang keledar itu sekali lagi. Sekali ... dua kali ... tiga kali ... berkali-kali ... tali pinggang itu masih juga belum terbuka.
“Eeee ... kenapa susah sangat ni?”. Rungut Ziah sambil mengesat peluh yang mula menitik di dahinya. Panas terik tengahari itu menjadikan Ziah bagaikan disalai ... Pintu kereta dibuka , masih panas juga. Ziah tidak berputus asa , terus mencuba ... entah mengapa , rasa geram , marah dan sedih datang bercampur baur menyebabkan air matanya mengalir. Mungkin Ziah marahkan abang Anip atau  mungkin juga marahkan dirinya sendiri.  Kini , dia terasa amat sedih pula kerana dibiarkan berpanas  dalam keadaan tidak dapat melepaskan diri.
“Takkan nak jerit. Kalau jeritpun siapa yang nak tolong ...”. Fikirnya. Air matanya mengalir terus ... tiba-tiba , abang Anip datang menjengahkan sebahagian daripada tubuhnya melalui pintu kereta yang terbuka. Terdiam ...  kaget melihat air mata yang mengalir di pipi Ziah. Tanpa sepatah kata tangannya mencapai kepala tali pinggang keledar lalu memulas dan menekan-nekannya beberapa kali. Tali pinggang keledar itu dapat dirongkai akhirnya.
Sebaik sahaja abang Anip keluar berdiri di sisi kereta , Ziah segera mencapai begnya lalu bergegas naik ke rumah. Benci benar dia melihat abang Anip!
“Tentu puas hati kaukan tengok aku menangis?!”. Bentaknya di dalam hati.
Abang Anip pula masih terpaku di sisi kereta. “Kenapa sampai menangis?”. Fikirnya. Ada belas di hati ....


Malam itu sewaktu makan malam ...
         Malam itu sewaktu makan malam  , Ziah lebih banyak mendiamkan diri. Malam ini hanya mereka bertiga sahaja yang makan bersama , makcik Midah , Ziah dan abang Anip. Ikan keli goreng berlada bersama lemak pucuk labu ditambah dengan sambal belacan dan ulam raja sepatutnya menjadi hidangan yang cukup menyelerakan namun semua yang ada bagaikan mati seleranya. Ziah hanya makan sedikit untuk menemani makcik Midah dan abang Anip. Abang Anip pula hanya menguis-nguis nasi di pinggan sedang matanya tidak berkelip daripada memandang Ziah. Peristiwa petang tadi benar-benar menyentuh hatinya. “Mengapa kau sampai menangis hanya kerana tidak boleh membuka tali pingang itu?”. Fikirnya.
Makcik Midah pula ... “Ziah , maafkanlah makcik. Malam ni rasa tak berapa sihat , makcik tak lalu nak makan. Kepala ni rasa pening pula. Kamu berdua makanlah ye. Anip tolong dukung mak masuk bilik dulu”. Pinta makcik Midah.
Abang Anip akur , membasuh tangannya lalu mengendung ibunya ke bilik. Setelah selesai , dia kembali ke meja makan.
“Kenapa kau menangis petang tadi?”. Soalnya tiba-tiba. Ziah terkejut dengan pertanyaan itu . “Err ... tak ada apa!”. Jawabnya lalu segera menghabiskan sisa nasi yang masih berbaki di pinggannya sebelum bangun ke sinki untuk membasuh tangan.
“Aku tanya , kenapa kau menangis?”. Ulang abang Anip.
“Itu ... abang tak perlu tahu”. Jawab Ziah lalu terus mengemas meja makan. Abang Anip diam memerhatikan tiap gerak laku Ziah. Dia tidak puas hati selagi soalannya tidak dijawab.
         Setelah selesai mengemas dan  membasuh  pinggan , Ziah berjalan laju untuk segera naik ke atas. Tanpa diduganya , abang Anip tiba-tiba menarik tangannya dari belakang.
“Eee apa ni?!”. Tanya Ziah sambil cuba melepaskan tangannya.
“Kenapa kau menangis?”. Ulang Abang Anip lagi.
“Kau ni kenapa hah?. Suka hati akulah nak nangis ke tidak. Kau apa peduli?. Kau mana pernah fikirkan hati dan perasaan orang lain. Yang kau tahu hanyalah diri kau saja!.  Kau saja yang betulkan?. Lepaslah!!”. Ziah akhirnya menjawab dengan berani sekali. Terlepas sudah apa yang terbuku di hatinya. Terlepas juga tangannya dari genggaman abang Anip.
Abang Anip terpaku di situ. Sudah lebih 4 tahun tiada siapa yang pernah menyanggahnya. Segalanya dibuat sehendak hati ... semua orang sentiasa beralah padanya . Tapi hari ini ... lain pula. Bagai satu tamparan hinggap di benak hatinya!

Terharu memerhatinya ...
         Sebelum masuk ke biliknya , Ziah menjengah makcik Midah . Makcik Midah sedang berehat di katil sambil menyisir rambutnya yang agak kusut. Ziah masuk menghampiri ...
“Makcik ... mari , biar Ziah sikatkan rambut makcik”. Katanya lembut. Belas melihat ibu tua yang kurang upaya ini.
“Eh , Ziah. Seharian makcik tak menyisir rambut ni. Kusut betul jadinya”. Kata makcik Midah sambil menghulurkan sikat kepada Ziah. Ziah menyambutnya lalu duduk di sisi belakang makcik Midah. Rambut perempuan tua itu disisirnya perlahan-lahan.
“Ziah gaduh dengan Anip ke?”. Tanya makcik Midah tiba-tiba.
“Errr ...”. Ziah gugup , tidak disangkanya ibu ini tahu tentang pertelingkahannya dengan anak lelakinya itu.
“Ziah , makcik minta maaf bagi pihak Anip. Dia tu memang kasar orangnya ...”.
Ziah diam mendengar kata-kata makcik Midah.
“Mengapa makcik yang perlu meminta maaf bagi pihaknya?”. Fikir Ziah , tidak bersetuju dengan tindakan makcik Midah itu.
         Sementara itu abang Anip yang tertampar dengan kata-kata Ziah tadi berjalan perlahan menuju ke bilik ibunya. Sekurang-kurangnya akan lega perasaannya nanti apabila dapat menatap wajah kasih ibunya itu ... dan di kala itulah hatinya benar-benar tersentuh  , melihat Ziah , gadis yang sentiasa disakiti hatinya itu sedang menyisir lembut rambut ibunya.
“Tak mengapa makcik , Ziah tidak ambil hatipun. Ziah faham ...”. Ziah cuba memberikan jawapan yang dapat menenangkan hati seorang ibu.
“Makcik tahu Ziah , Anip tu selalu saja menyakitkan hati kau. Entahlah makcik tak tahu nak buat macam mana lagi dengan dia tu. Nak ditegur dah besar panjang ...”. Keluh makcik Midah.
“Makcik , kita serahkanlah segalanya kepada Allah. Ziah yakin dengan izinNya , abang Anip akan sedar dan berubah juga. Bagi diri Ziah , makcik janganlah risau. Walau seburuk manapun sikapnya pada Ziah , Ziah langsung tidak menyimpan dendam sebab Ziah sedar  kehadiran Ziah di sinilah sebenarnya yang  telah mengganggu ketenangan dan keselesaannya selama ini.  Ziah tak apa-apa malah Ziah bersyukur kerana makcik sekeluarga sudi menumpangkan Ziah di sini”. Jawab Ziah. Sebaik sahaja Ziah habis berkata ...
“Anip! , kenapa tercegat saja di situ?. Ke marilah”. Makcik Midah tiba-tiba bersuara.
“Abang Anip?”. Ziah terkejut lalu menoleh ke belakang , ke arah pintu bilik. Berderau darahnya , abang Anip sedang tegak berdiri memandangnya!.
“Pelik ... macam mana makcik Midah boleh tahu yang abang Anip berada di situ sedangkan posisinya membelakangi pintu?”. Fikir Ziah.
“Hmm ... tak usahlah  hairan Ziah , seorang ibu itu dapat mengenal anaknya cukup dengan hanya dari bau badannya sahaja”. Kata makcik Midah sambil tersenyum. Kata-kata makcik Midah itu menyebabkan abang Anip mencium bawah lengannya sendiri. “Bau badan?!”. Fikirnya.
Ziah pula tersipu-sipu , malu jika perbualannya dengan makcik Midah tadi didengari oleh lelaki angkuh itu .
“Err ... makcik , saya minta diri dulu. Dah lewat malam ni”. Kata Ziah sambil bangun mencium tangan makcik Midah.
“Selamat malam makcik”. Katanya sebelum berlalu pergi , keluar bilik tanpa langsung memandang wajah abang Anip semasa bergerak melintasinya di pintu bilik. Abang Anip sengaja tidak mahu berganjak maka terpaksalah Ziah menyendengkan badannya.
“Jahat!!”. Kata hati Ziah sambil menjeling manakala abang Anip hanya tersenyum sinis. Entah mengapa seronok benar dia jika dapat mengenakan gadis ini!.

Anip ,  janganlah kau dera perasaannya.
         Abang Anip mendapatkan ibunya , duduk diam disisinya.
“Hmm ... Anip , janganlah kau dera perasaannya. Dia itu gadis yang baik”. Abang Anip diam lalu meletakkan kepalanya di atas riba ibunya. Makcik Midah mengusap-ngusap lembut rambut lurus lebat anaknya itu. “Ya Allah!. Nyalakanlah semula sinar cahaya  yang telah  lama terpadam di hati anakku ini!”. Doanya.

Malam itu sewaktu mahu melelapkan mata ...
         Malam itu sewaktu mahu melelapkan mata , abang Anip mengenangkan  semula semua kejadian yang dialaminya sejak Ziah , gadis ayu itu tinggal menumpang di rumahnya.
“Ayu! Tapi lucu bila marah”. Abang Anip tersenyum mengenangkan wajah Ziah ketika sedang marah. Lantas terbayanglah peristiwa demi peristiwa pertengkaran antara mereka berdua.
“Wow! . Sungguh  menyeronokkan!”. Katanya sambil tersenyum tetapi ada juga peristiwa yang benar-benar menyakitkan hatinya .  Semuanya gara-gara budak kampung yang bernama Kamal itu. Sakit benar hatinya  sewaktu  melihat Ziah begitu mesra dengan Kamal , “Budak kampung tak sedar diri!”. Rungut abang Anip apabila teringatkan senyuman Kamal tatkala Ziah jatuh tersembam ke dadanya sewaktu  mahu  menaiki sampan tempohari. Lebih menyakitkan hatinya ketika Ziah membisikkan sesuatu ke telinga Kamal dan akhirnya keduanya tertawa mesra.”Ceh! Saja

nak buat aku marah!!”. Getusnya sendiri.
“Mengada!. Langsung tak dihiraukan aku yang ada di situ!”. Rungutnya lagi.
“Huhhh!. Tapi kenapa aku nak marah?”.  Abang Anip bertanya kepada dirinya sendiri ... Bersama pertanyaan itu abang Anip melelapkan mata.


Puisi : Keliru Mei 1994

Entah mengapa hati terluka
Nak bersapa tiada yang suka
Tidak difaham apa puncanya
Angin menggila marahkan semua
Hapus musnah semua rasa

                   Mengapa ini harus berlaku
                   Engkau gembira aku merana
                   Nestapa lara sering bersatu
                   Geram melarat akhirnya menghina
                   Aku yang meluru kini termalu
                   Pahit rasanya jiwa sengsara
                  Ah! Mengapa semakin keliru?
                                                
Cuba kau katakan  maknanya
Engkau fikir apa maksudnya
Meluat marah  melihat manjanya
Berbulu sakit mata melihat guraunya
Uwekk! Bagai nak muntah melihat gediknya
Resah gelisah  melihat mesranya
Uh! Sakitnya hati kerananya


Puisi: 

Kasih Bonda
Kasih bonda ...
Akan kekal selamanya
Sungguh gelora datang melanda
Indah tak ternilai dengan harta benda
Hanya tulus murni untuk anakanda

Ini bondamu memanjat doa
Buatmu anakanda pengarang jiwa
Utuh bahagia hidupmu kekal selama