Popular Posts

Friday 29 August 2014

Fikiranku ... Soal Hati


Lukis jea ... soal hati.

Sungguhpun hati itu kepunyaan kita tapi ia milik tuhan yang Maha Esa.


Soal Hati ... perkara yang terlalu biasa dibicarakan oleh ramai orang.
Mengapa ya?.
Mungkin juga kerana tiap kita pasti mempunyai sekeping hati (Bukan hati dalam istilah perubatan atau biologi tapi hati dalam istilah minda dan perasaan!😁😁😁)

Ungkapan berikut amat sering kita dengar ... 
"Hatiku terluka"
"Hatiku disakiti"
"Hatiku terseksa"
  "Hatiku menangis"
 "Hatiku merindu"
"Hatiku kaku" dan "Hatiku bla bla bla ..."

Semuanya soal hati.
Sungguhpun hati itu kepunyaan kita namun ia sebenarnya bukan milik kita.
Lantas , milik siapa hati itu?.
Tentu saja milik Allah , Tuhan yang Maha Mencipta. Sebab itulah , seringkali kehendak hati itu tidak selaras dengan kehendak akal rasional kita sebagai manusia.

Tidak faham? ... mari ku ceritakan satu kisah benar tentang anak muridku yang ku tangani baru-baru ini ...
Seorang anak muda yang baru mencecah 16 tahun ditakdirkan sedang asyik bercinta dengan teman sekelasnya , seorang gadis manis yang kelihatannya sopan dan menarik.

'Kuringkaskan sedikit , atas nasihat aku dan 'team'ku maka mereka sedia untuk memutuskan hubungan. Semuanya demi menjaga nama baik sendiri , keluarga dan demi kemaslahatan mereka sendiri (Terutama sigadis).

Maka putuslah mereka untuk beberapa minggu(Cecah bulan juga) hinggalah baru-baru ini aku menerima laporan/aduan yang mengatakan pasangan tadi dilihat berpelukkan malah si bujang telah mencium pipi sigadis tanpa paksa.

"Allah! Tak selesai lagi budak-budak ini!". Itulah respondku tika menerima aduan.

Mereka berduaku panggil lagi. Pengakuan diambil dan mereka mengaku bahawa mereka memang sangat menyayangi satu sama lain sungguhpun mereka sedar bahawa belum masanya lagi untuk mereka mengharungi semua itu.  Aku menasihati mereka agar berfikir secara rasional , jaga maruah diri dan keluarga dan takutlah kepada kemurkaan Allah.

Atas dasar tanggungjawab , aku memaklumkan perbuatan mereka kepada penjaga mereka.
Ibu kepada si bujang datang dan kami berbincang (Aku , Kaunselor sekolah , Ibu si bujang dan si bujang itu sendiri). Asalnya ibu muridku ini enggan mempercayai salahlaku yang dilakukan anaknya tetapi setelah anaknya sendiri mengaku maka terkedulah si ibu ... jelas terpancar kekecewaan di wajahnya. Lantas dua pertanyaan ibunya membuatkan muridku sangat malu lalu menundukkan kepalanya serendah mungkin ...
"Memang sendiri nak buat ya?"
(Anaknya mengangguk)
"Seronok?"
(Langsung tiada respond ... hanya kepalanya semakin menunduk-malu!)
Ibunya lantas menyatakan kekecewaannya ... "inilah, anak2 sekarang , langsung tak fikir pasal mak ayah. Walhal semua yang dia hendak kita turutkan. Dalam tak berduitpun kita usahakan dapat. Asalkan anak ni gembira. Punyalah kita sayangkan dia tapi ... dia tergamak buat macam ni. Malukan mak ayah. Langsung tak fikirkan mak ayah!". Keluhnya dengan nada yang amat kecewa.
Tatkala ini menitik air mata si anak ...

Sampai peringkat ini , aku terpaksa bersuara ... " Izzah , jangan begini (Bukan nama sebenar) , anak ini tidak bermaksud begitu namun perkara melibatkan hati ini amat rumit untuk ditangani. Jika tidak masakan wujudnya pantun melayu , nasi lemak buah bidara  dan masakan ada ungkapan ' cinta itu buta'.
Pada dasarnya memang hati kita kepunyaan kita namun yang memilikinya bukanlah kita. Bukan mudah mahu menukar sayang kepada benci atau rasa sayang kepada kawan biasa. Lagi pula mereka saling menyukai. Duduk sekelas , sebab itulah telah putuspun boleh bersambung semula". Itulah antara kata-kataku untuk mendapat pengertian siibu.
(Dah macam doktor cinta pulak aku ... betullah 'cikgu' ni multy purpose🤣)

Anaknya ini bukan nakal atau jahat tetapi diuji dengan persoalan hati yang rumit , rasa sayang dan cinta remaja.
(Ramai yang memanggilnya 'cinta monyet' namun bagiku sama ada ianya 'cinta monyet' atau tidak bukanlah urusan kita menentukannya).
Soal hati ... bukan mudah untuk ditangani.
Mungkin aku memang ditakdirkan untuk memahami persoalan seperti ini makanya aku langsung tidak memandang rendah apatah lagi memandang remeh persoalan perasaan muridku ini , malah aku amat bersimpati kepadanya kerana diuji dengan ujian begini.
Aku amat faham bebanan perasaan yang harus ditanggungnya , apatah lagi apabila dia sendiri menyuarakan hasratnya untuk berpindah sekolah agar dia dapat menjauhkan diri dan melupakan gadis itu.
(Akhirnya urusan perpindahannya diuruskan ... demi kebaikan , demi mengelakkan perkara yang lebih teruk terjadi. Apabila dua remaja yang saling menyintai bersama , segalanya mungkin ...)

Bak maksud yang tersurat dalam Pantun Melayu yang sering kita dengar ...

 Nasi lemak buah bidara
Daun selasih hamba lurutkan
Tinggal emak tinggallah saudara
Kerana kasih hamba turutkan


Cerita keduaku tentang soal hati ...
Juga beberapa hari lepas , aku mendapat aduan daripada seorang teman tentang perlakuan 'biadab' seorang murid terhadapnya hinggakan sampai terbalik meja!
Agak mengejutkan kerana murid ini memang mendapat perhatian 'istimewaku' sejak dia di tingkatan 1 lagi. Comel ... tapi terlibat dengan beberapa salahlaku disiplin seawal tingkatan 1 malah aku telah berkenalan dengan ibunya , seorang wanita anggun yang terpelajar dan bekerjaya.

Aku sentiasa mengikuti perkembangannya , sering memujinya dan bertegur sapa setiap kali berselisih. Sejak tahun lepas , dia tidak lagi terlibat dengan mana-mana kes salahlaku disiplin. Tup-tup , kes dia berlaku 'biadap' terhadap guru dilaporkan kepadaku. Hatiku berkata , pasti ada yang tidak kena.
Maka , aku mencari peluang bertemu dengannya. SeizinNya , kami berselisih jalan lalu aku menegurnya dan mengajak dia duduk di sebuah kerusi batu. Kami berbual tentang perkara biasa , tentang wajahnya yang sugul , tentang itu ini sekadarnya , hanya sebagai pembuka jalan ...

Hari ini , anak muridku ini kupanggil lagi kerana masalah kekemasan diri pula , aku bercakap sebaik dan selembut mungkin dengannya kerana aku tahu , ada yang mengganggu fikirannya. Tanpa ku sangka , dia meluahkan masalahnya. Tentang konflik yang melanda hubungan ayahibunya ... maka fahamlah aku tekanan yang dihadapinya kini.

Apa yang mampu aku lakukan?. Asal saja dia sudi berkongsi masalahnya , sekurang-kurangnya bebanan perasaan itu dapat dikurangkan , nasihatku padanya ...
"Berdoalah kepada Allah , pintalah hati kedua ibuayah dilembutkan dan dapat memandang satu sama lain dengan kasih sayang. Sungguhpun begitu , jika apa yang Irsyad (Bukan nama sebenar) doakan itu tidak terkabul , janganlah terlalu bersedih kerana Allah telah merencanakan sebegitu. Pasti ada hikmahnya ... bla bla bla ... (nasihat ikhlas dan penuh kasih sayangku kepadanya). Sungguh , aku sayangkan muridku ini walaupun aku tidak pernah mengajarnya kerana aku telah mengikuti perkembangannya sejak dia di tingkatan satu lagi. Semoga Allah memberkati hidupnya dan memasukkannya dalam golongan orang-orang yang sabar. Dan semoga keluarganya kembali bahagia. Amiinnnn....







-Peace-
>__<

Moga perkongsian ini membawa kebaikan.
Aku amat yakin bahawa tiada orang yang memilih untuk dibenci
dan 
aku juga amat yakin bahawa persoalan hati amat rumit untuk dikendali
Semoga kita semua diberi kewarasan dan kesabaran menanganinya

Tuesday 26 August 2014

Lukis jea ... mimpi dalam mimpi



... bermimpi dalam minda yang bebas ...


Lukis jea ... mimpi dalam mimpi

Berjalan di sebuah padang yang luas dan dipenuhi oleh hanya rerumput yang panjang...
Sejauh mata memandang hanya rerumput menghijau hingga menyentuh kaki langit nun di hujung sana.


Suatu ketika dulu di alam remajaku , adakalanya terasa diri bagai mencari sesuatu atau tika fikiran berserabut dengan pelbagai perkara dan ada kalanya tetiba hati terasa sunyi lebih-lebih lagi , aku belajar jauh dari keluarga ... apa yang aku lakukan tika itu?

Aku membayangkan diriku berjalan di padang yang luas dengan rerumput yang panjang , seluas mata memandang hingga mencecah kaki langit nun jauh di sana ... 
Hmm ... bagai terhidu bau rerumput yang segar ditiub angin ...

Mungkin kedengarannya kurang bijak ... seharusnya ketenangan itu diperolehi dengan mengingati Tuhannya , mengalunkan kalam suci atau sujud menyembah yang Esa ... tapi itulah aku.
Aku dan hanya aku yang mengerti diriku
dan 
kenikmatan memiliki minda yang bebas meneroka alam di dunia ciptaan sendiri.










-Peace-
>__<

Kita boleh jadi apa saja di dunia ciptaan itu malah
kita boleh mengimpikan apa jua kerana tiada salahnya bermimpi ketika kita sedang bermimpi ...

Monday 25 August 2014

Lukis jea ... bagai nangka busuk jatuh!

Lukis jea ... bagai nangka busuk!

Bagai nangka busuk jatuh! ... itulah keadaanku apabila cuba mengemaskan atas almari pakaian anakku Sabtu lepas.
Dek kerana malas nak menolak kerusi yang lebih berat dan stabil , aku memilih kerusi beroda yang ringan dan tentu-
tentu nya mudah ditolak sebagai kerusi untukku panjat. Berpegang pada keyakinan bahawa aku pandai menyeimbangkan badan maka aku mula memanjat. Mulanya okey aje ... tapi , elok saja aku sudah berdiri di atas kerusi tersebut , barulah aku tahu yang kerusi itu didesign untuk duduk sahaja!.
 Bersama aku kerusi itu terus terbalik dan aku? ...
'Aku jatuh bagaikan nangka busuk!!'. .

Dengan berat badan aku mencecah 640 Newton dan time impact yang singkat maka perubahan momentum yang begitu besar terjadi seterusnya menjana daya impulsive yang besar memberikan aku satu rasa 'sakit' yang amat sangat!.
Adoiiiilaaa🤦‍♀️

Aku terbaring sendirian hampir 15 minit , terus diam dan tak berani nak menggerakkan badan atau bangun. Cuak kalau-kalau berlaku kecederaan pada bahagian tulang pelvisku yang terhentak.( Masa ni anak2ku tiada di rumah kerana latihan Muaythai , yang ada cuma anak saudaraku yang juga sedang sibuk mengemas bilik tidurnya).
Maka terbaringlah aku dengan sebahagian kepalaku berada di bawah katil tidur anakku sehinggalah anak saudaraku melintasi pintu bilik lalu aku memanggilnya ...
"Dikla! A.Rozai jatuh!"
"Ya Allah a. Rozai , nape  tak minta Dikla aje yang panjat!". Katanya setelah melihat kerusi yang terbalik berdekatanku.
Aku tersengih sahaja dan terasa lucu mendengar pertanyaannya ... sebab?
"Nama jea cikgu fizik ... boleh lak malas sangat sampai guna kerusi beroda yang tidak stabil untuk memanjat , bukan tak tahu tapi ... Heee ... (susah nak cari alasan!)

Namun ... hari ini sakit itu sudah semakin berkurangan ... Alhamdulillah!
Maka sempena peristiwa aku jatuh , aku persembahkan lakaran pokok nangka dan buahnya sekali cuma buahnya itu belum jatuh ... nak tengok buah nangka tu jatuh?. (Hmm ... lukislah sendiri ! :D atau gunakan daya imaginasi anda).





-Peace-
>__<
"Sedikit pengajaran ... Ikut rasa  , binasa. Ikut hati  , mati ..."

Thursday 21 August 2014

"Keranamu DIAH" : Bab 30 (Terakhir)

BAB 30 :       MASIHKAH ADA MENTARI?     

Setelah didesak oleh Ziah  , Zuraimie menceritakan segalanya tentang Diah yang sedang mengalami kemurungan  serius selepas melahirkan Raziq. Keadaannya yang kritikal dan boleh membahayakan orang lain menyebabkan Zuraimie mengambil keputusan membawanya keluar dari rumah kedua orang tuanya. Sangkanya , dengan berbuat demikian Diah akan segera pulih namun keadaan berlaku sebaliknya.

... itulah hakikatnya dan aku benar-benar kecewa ...
“Itulah sebabnya mengapa aku tak bawa Raziq tinggal bersama kami. Aku tidak mahu sesuatu yang buruk berlaku padanya”. Zuraimie menutup ceritanya.
“Ya Allah , kasihannya Diah ...” . Sedih benar Ziah mendengar keadaan Diah yang sebenarnya. Sukar untuknya mempercayai cerita Zuraimie itu. Diah , seorang gadis yang sangat periang dan popular , kini mengalami tekanan perasaan yang serius.
“Tapi ... bagaimana dengan semua cerita derita dan seksa yang dilakukan oleh ibu awak , Puan Sarah terhadapnya?. Adakah ...?”. Ziah teragak-agak untuk meneruskan kata. Takut akan menyinggung hati Zuraimie pula.
“Kenapa?. Diah cerita apa?. Diah kata mak aku menyeksa dia?. Begitukah?”. Tanya Zuraimie bertalu-talu. Serba-salah Ziah jadinya.
“Err ... Mie , maafkan saya”. Jawab Ziah.
“Ziah , awak tidak fahamkah yang Diah itu hidup di alamnya sendiri. Semua itu adalah cerita dan derita yang dialami di alam fantasinya sahaja. Memang pada asalnya keluarga aku menentang keras perkahwinan kami. Memang benar , kedua orang tua aku tidak dapat menerima Diah dengan baik.Tapi mereka juga manusia biasa , akhirnya mereka menerima juga ketentuan Allah. Lebih-lebih lagi dengan kehadiran Raziq. Mak dan ayah aku sangat sayangkan Raziq. Demi Raziq mereka menerima Diah seadanya. Malah mereka takut sekiranya aku berpisah dengan Diah maka mereka akan kehilangan Raziq , cucu mereka. Mereka tidak pernah menyiksa Diah , malah merekalah yang banyak membantu aku merawat Diah”. Terang Zuraimie.
“Jadi ... maksud kau  , Diah tu ...?”. Tidak tergamak Ziah untuk menyebutnya. Sukar benar bagi Ziah untuk menerima hakikat yang sahabatnya itu sakit. Baru tadi siang mereka keluar bersama , bercerita kisah duka hidup Diah dianiaya mertua sendiri. Semuanya bagaikan benar terjadi.
“Mie , Diah bukan gilakan?. Cuma jiwanya tertekan. Betulkan Mie?”. Tanya Ziah.
“Ya Ziah , jiwa dia tertekan dan aku sendiri benar-benar kecewa dengan semua ini. Sebab itulah aku bawa dia ke sini. Itu , orang gaji yang ada dalam rumah ini sebenarnya adalah jururawat khas yang aku gajikan untuk menjaga Diah”. Jawab Zuraimie jujur.
“Dan aku sebenarnya sangat menghargai kedatangan kau ke mari. Aku tahu , kau adalah sahabat baik Diah. Dia percayakan kau sepenuhnya. Ziah , untuk yang kesekian kalinya , bantulah aku untuk memulihkan Diah. Aku kasihan melihat dirinya , hidupnya masih dibayangi derita lalu sedangkan aku sedia memberikan kebahagiaan buat dirinya. Aku sayangkan dia. Aku sayangkan dia lebih dari diriku sendiri”. Pinta Zuraimie. Menitis  air mata Ziah mendengar permintaan tulus seorang suami ...
“Insya Allah , aku akan tolong semampu yang boleh”. Janji Ziah sambil mengesat air matanya.



Pertanyaan masih belum berakhir.
 “Zuraimie , kalau aku tanya kau satu lagi soalan ... aku harap kau takkan marah dan akan jujur menjawabnya”. Ziah teragak-agak untuk berterus terang.
“Errr ... apa?”. Zuraimie mula berasa  cuak. Apa lagi yang bermain di fikiran Ziah.
“Err ...  hari tu beberapa hari sebelum aku ke sini , Diah ada telepon aku dan ...”. Ziah terhenti . Berat benar mulutnya hendak meluahkan.
“Dan ...?” Tanya Zuraimie tidak sabar. Apalah perkara yang telah diceritakan oleh Diah itu sehinggakan Ziah teragak-agak untuk bertanya.
“Dan  Diah  ada mengadu pada aku yang kau ada melanggani GRO?”. Ziah berkata laju lalu segera mengetap bibirnya. Zuraimie tersentak mendengar pertanyaan itu.
“Huhhh!!!” . Berubah wajah Zuraimie. Terasa darah panas mengalir deras ke wajahnya. Malu benar dia ditanya begitu. Tergamak Diah menceritakan perkara yang mengaibkan itu. “Aib?!”. Fikirnya. Semasa sedang seronok melakukannya , soal ‘aib’ tidak pernah timbul. Kini pekung di dadanya sudah terbongkar. Nanah busuknya mengasak batang hidungnya sendiri! Apa yang harus dilakukan. Patutkah dia berbohong bahawa , ‘itu semua adalah ilusi Diah!’. Tentu boleh kerana kewarasan Diah memang boleh diragukan tetapi patutkah dia berbuat begitu kepada orang yang dicintainya sepenuh hati?. Masakan mungkin orang lain yang makan nangka , orang lain yang kena getahnya!.
“Errr ... Ziah , begini. Cukuplah aku katakan yang aku ini seorang suami malang yang tidak diingini oleh isteriku sendiri. Setiap hari aku memandangnya dengan perasaan yang penuh gelora. Tapi setiap kali aku cuba menghampiri , pasti dia menolakku dengan hina. Maruahku bagai dirobek-robek. Bagaikan bangkai hina benar rasanya diri aku ini. Merayu pada yang tak sudi. Keinginanku tak pernah tercapai ... hinggalah aku hilang pertimbangan. Anggaplah itu  kelemahan aku sebagai seorang lelaki. Tapi  ,  itu cuma berlaku sekali saja. Itupun setelah kemahuan ku ditolak mentah-mentah oleh Diah. Malam itu ego lelakiku benar-benar tercabar!” Terang Zuraimie , mengakui kesilapannya. Dia sendiri menyesal dengan tindakannya. ‘Marahkan nyamuk habis kelambu dibakar’. Marahkan Diah , Zuraimie bertindak membalas dendam dengan melakukan maksiat!.
“Sebenarnya Ziah , aku betul-betul menyesal dengan perbuatan aku itu. Kau sendiri tahu betapa besarnya cintaku kepada Diah. Diahlah segala-galanya bagiku. Walau apapun terjadi , aku tak mungkin akan menukarnya dengan yang lain. Aku harap dan berdoa agar satu hari nanti kami akan dapat juga mengecap kebahagian hidup bersama”. Zuraimie meluahkan sejujurnya perasaan dan harapan dari lubuk hatinya. Ziah diam. Simpati ...
“InsyaAllah. Aku doakan hari yang bahagia buat kalian berdua itu akan segera datang.
Aku juga sayangkan Diah. Mie , tolonglah bersabar. Cintailah Diah dan berilah dia masa”.Pinta Ziah pula.
“Itulah yang sedang aku lakukan sekarang Ziah. Walau apapun terjadi aku sanggup mengharunginya , demi cintaku ini. Aku cintakan Diah lebih dari nyawaku sendiri. Walau hingga hujung nyawapun aku sanggup menunggunya. Dalam hatiku ini hanya ada dia , tiada lagi  yang lain”. Jawab Zuraimie. Ziah lega mendengar pengakuan Zuraimie itu.
“Alhamdulillah , aku tidak silap membantu menyatukan kalian berdua. Aku doakan agar Diah nampak betapa besarnya cinta kau itu. Sesungguhnya Mie , Diah adalah wanita yang paling bertuah mempunyai suami sesabar dan sebaik awak”. Kata Ziah dan Zuraimie hanya  diam mendengar pujian itu.
“Mie , esok aku dah nak balik. Suamiku , abang Anip pun bukannya sihat sangat. Aku datang ni pun dengan hati yang berbelah bagi. Aku cuma nak minta kau bersabar terus dengan Diah. Berilah dia masa. Pada aku Diah sebenarnya sedang keliru tentang banyak perkara. Diah juga keliru tentang perasaannya terhadap kau. Pada pendapat aku , kau sebenarnya tidak bertepuk sebelah tangan. Jika tidak masakan Diah cemburu sangat dan kecewa apabila mendapat tahu yang kau melanggani GRO. Seperkara lagi ,  kau bawalah Raziq tinggal bersama. Mungkin mak kau atau pengasuh boleh tinggal bersama kalian di sini. Aku yakin perasaan dan emosinyua akan segera stabil apabila orang yang dirindu ada bersama. Itu cadangan aku saja ... selebihnya kau bawalah berbincang dengan Diah dan mak kau sendiri”.  Ziah memberi cadangan dengan panjang lebar.
“Ziah , tak boleh kah kau tunggu sehari dua lagi?”. Pinta Zuraimie.
“Aku tengok , Diah nampak berseri sejak kau datang semalam. Diah tu perlukan orang yang dia percaya untuk meluahkan perasaannya. Aku ...tak mampu. Diah tak percayakan aku. Malah mungkin dia menganggap aku ni sebagai musuh atau penghalang kebahagiaannya” . Terang Zuraimie.
“Maafkan aku Zuraimie. Bukan aku tak nak tolong kau orang berdua tapi ...  abang Anip, suami aku tengah sakit . Aku datang ni pun dengan hati yang berbelah bagi. Aku harap kau faham”. Terang Ziah.
“Yelah , kalau dah gitu nak buat macam mana. Pukul berapa kau nak balik esok?”. Tanya Zuraimie.
“Aku ingat nak balik pagi. Perjalanan jauh jadi sempatlah sampai sebelum menjelang malam”. Jawab Ziah.
“Hmmm ... kalau gitu nanti aku bagitahu Bahari untuk tolong hantar kau ke Stesen Bas Petaling ... ke Puduraya?”. Tanya Zuraimie.
“Hmm ... Puduraya”. Jawab Ziah ringkas.
“Pukul 8.00 pagi?”. Zuraimie meminta kepastian.
“Hmm ... bolehlah”. Jawab Ziah .
“Errr...eloklah kau pergi masuk tidur dulu. Dah lewat benar ni. Entah dah tidur atau belum Diah tu”. Cadang Ziah.
“Sama saja , dia tak kan mahu tidur bersama ku!”. Jawab Zuraimie antara dengar dengan tidak. Ziah hanya menggelengkan kepala .
“Hei ... jangan berputus asa!”. Bisiknya dan Zuraimie hanya tersenyum mendengarnya.


... langkahnya tiba-tiba mati ...
Di sebalik dinding bersebelahan pintu masuk ruang rehat itu , Diah berdiri tegak tanpa berganjak. Tiada siapa sedar akan kehadirannya. Sebentar tadi langkahnya tiba-tiba mati apabila terdengar namanya disebut-sebut Ziah dan suaminya. Terbantut niat hatinya untuk menghabiskan malam itu bersama Ziah. Tidak disangka Zuraimie telah lebih dahulu mendahuluinya!.
Diah terkesima mendengar perbualan dua insan yang amat bermakna dalam hidupnya.
Hatinya bagai ditarik-tarik untuk berlari mendapatkan suaminya. Ingin sekali dia melutut memohon maaf atas segala tindakannya mengabaikan tanggung-jawabnya sebagai isteri. Keperihatinan Zuraimie atas kesihatannya dan kesabaran Zuraimie melayani kerenahnya yang melampau namun ... kakinya terus terpaku di situ dan  tiba-tiba hatinya mulai berbelah bahagi , antara Zuraimie  dan Raziq. Perkara lain turut mengganggu fikirannya , cerita pembohongan tentang pernikahannya , pembohongan tentang status bayinya ,  cerita tentang kecurangan Zuraimie dan lebih parah ... Diah merasakan seperti  telah dikhianati oleh  Ziah apabila segala curahan perasaannya petang tadi diceritakan oleh Ziah kepada Zuraimie.
“Arrgghhhh! Mengapa?!!” , Diah menekup mulutnya menahan tangis. Dia tidak mahu kehadirannya disedari sesiapa ...
“Eeeeee ... benci! Penipu!!! Sampai hati kau orang berdua buat begini pada aku!. Sampai hati kau orang kata aku ni sakit!. Apa kau fikir aku tidak akan dapat hidup tanpa korang?. Korang salah! Korang salah!!” . Jerit hati Diah sambil tangannya menarik-narik rambutnya sendiri. Diah tidak dapat menahan dirinya lagi. Dia harus keluar dari situasi ini. Dia harus keluar dari rumah ini!!

Hari yang baru
            Pagi itu , selesai mengemas barangannya Ziah berjalan keluar bilik tamu yang menjadi tempat peraduannya malam tadi menuju ke dapur. Di atas meja telah terhidang sarapan pagi , air Nescafe dan mee hoon goreng. Sungguh harum baunya membuatkan perut Ziah segera berkeroncong minta diisi.
“Hmm ... manalah Diah ni. Ada tetamu istimewa macam aku pun dia bangun lambat. Dah jadi isteri orang tapi  tak ubah-ubah lagi perangai lama tu”. Rungut Ziah sambil tersenyum-senyum sendiri.
Sedang Ziah termangu-mangu sendirian , Zuraimie yang baru turun menegurnya , “ Hai Ziah , lena tidur malam tadi?”.
“Eh! Dah turun ... mana Diah?”. Tanya Ziah sambil memandang kea rah belakang Zuraimie.
“Mana Diah?. Hmm ... janganlah bergurau. Bukan ke Diah tidur dengan Ziah malam tadi?”. Tanya Zuraimie sambil mengerutkan dahinya.
Ziah diam , memandang Zuraimie dengan penuh tanda tanya. Pandangan Ziah itu membuatkan Zuraimie cemas , “Betul ke Diah tak tidur dengan awak?”. Tanya Zuraimie dan Ziah menggelengkan kepala. 

Serentak dengan itu , kedua mereka berlari pantas membuka segala pintu yang ada dalam rumah itu mencari Diah ... namun hampa.
”Mie , mana Diah?. Mungkinkah dia dengar segala yang kita bualkan semalam?”. Ziah mulai cuak.
Zuraimie tidak menjawab malah tangannya sibuk menekan nombor pada telepon bimbitnya , “ Assalamualaikum mak , Err ... mak , ada tak Diah datang ke sana?”. Tanya Zuraimie.
“Uh! Tak mengapa. Ya , baik mak. Nanti kalau ada apa-apa Mie call mak. Assalamualaikum”. Itulah perbualan Zuraimie dengan ibunya , Puan Sarah yang singgah di telinga Ziah.
“Habis Diah ke mana?”. Tanya Ziah sebaik sahaja Zuraimie mematikan talian teleponnya.
“Entahlah Ziah ... aku kena cari dia!”. Kata Zuraimie sambil berjalan laju meninggalkan Ziah.
“Eh! Mie tunggu!!. Jangan-jangan Diah balik ke rumah mak ayah dia tak?”. Jerit Ziah.
“Hah! Mungkin juga. Ziah , boleh kau temankan aku ke sana?”. Ziah hanya mengangguk sebelum mengejar langkah Zuraimie yang laju menuju ke kereta.


Diah dalam perjalanan...
Sementara itu ... Diah sedang dalam perjalanan  menuju ke Cherating , Pahang... menaiki bas ekspress , duduk bersendirian di kerusi yang paling belakang.
“Mak Mah ... tolong Diah ...”. Bisiknya perlahan sebelum melelapkan mata ...



  
Relalah dengan takdir ...
Besarnya kekuasaan Tuhan yang Maha Mencipta
Esanya tiada sekutu mahupun pendua berkongsi kuasa
Resam Yang Mulia mengurus soal hambanya
Setiap yang berlaku pasti telah terencana
Yakin ketentuan Qado’ dan QadarNya dengan rela
Utuhkan keimanan seiring semangat menempuh segala
Kerna pasti kebahagiaan tetap akan menjelma
Untuk kau aku mengecapi segala
RahmatNya buat kita semua



Dan percaya
Engkau kan kembali ceria
Nestapa dulu kan akhirnya dilupa
Gelak tawa kan pasti menjelma
Andai saja hati ikhlas berserah padaNya
Nescaya hidup kan lebih bermakna

Takdir hidupnya manusia
Adalah satu perjalanan panjang sang pengembara
Kekadang tersadung kecewa meranalah jiwa
Di dedaunan usia yang semakin mengganda
Itulah ranjau dan ujian yang harus direla
Rahsia yang perlu dirongkai untuk capai bahagia














“Mintalah pertolongan dengan sabar dan solat”
-TAMAT-




-Peace-
Maaf kerana DIAH tidak seperti yang diharap
DIAH hanyalah manusia biasa yang cuba mencari bahagia 
membawa sejarah silam untuk mengharungi hari muka



lukis je ... bunga mawar

Lukis jea ... mawar

Kisah bunga mawar ... ada orang panggil  bunga ros , ada orang panggil bunga mawar ...  aku?.
Aku lebih suka panggil bunga jenis ini sebagai bunga mawar.


Aku suka gak bunga mawar ni sebab ianya cantik ... tak jemu mata memandang , lagi pula ianya terdapat dalam pelbagai warna. Warna yang aku suka ada dua ... Merah hati dan putih kekuningan. Bila digandingkan keduanya - Wow!! Kombinasi warna contra yang sangat harmoni.

Cerita pasal bunga mawar ...
Dulu ... Semasa mengajar di BBGS (sekolah ni dah tak wujud lagi sekarang) aku akan dapat 'banyak' bunga mawar tiap tiba hari guru-mungkin kerana muridnya semua perempuan dan kebanyakkan perempuan memang sukakan bunga mawar.

Kemudian ... Tiga bulan pertama aku bergelar isteri aku menerima setangkai bunga mawar merah pada setiap hari jumaat iaitu setiap kali suamiku menjemput aku di hentian bas Pudu. Masa ni aku masih tinggal di Paloh hinai, Pekan, Pahang (tempat yang terlalu banyak mengajar aku erti rindu, sepi , sunyi dan pasrah hingga aku akhirnya ditakdirkan bertemu dengan suamiku. Aku terima dia sebagai suami kerana dia terlalu bersungguh dan tidak mungkin membiarkan aku terlepas-dua minggu usia perkenalan , kami bertunang dan bernikah 5 bulan kemudiannya dan hanya tiga kali pertemuan (itupun berteman) sepanjang usia perkenalan sehinggalah kami diijabkabulkan.  Mudah- Alhamdulillah).

Selepas tiga bulan tersebut aku tidak lagi pernah menerima bunga mawar dari suamiku sehinggalah aku melahirkan anak sulung kami. Sebagai penghargaan , suamiku menghadiahkan aku sejambak mawar putih. Itulah bunga mawar terakhir darinya hingga kini ...mungkin kesibukan hidup menyebabkan 'bunga mawar' itu sudah tidak penting lagi ...
(Hmm...akupun tak kesah cuma aku masih tetap menggemari bunga jenis ini).

Sekarang , sesekali aku menerimanya bila tiba hari guru ... Itupun hanya setangkai dua kerana ramai daripada murid sekarang sudah tidak pandai menghargai guru ... Buktinya, bila sekolah menyambut hari guru , ramai antara  mereka memilih untuk tidak hadir ke sekolah!!!
😜😜😜

Salah siapa?
Yang pasti bukan salah anak2 murid itu. Sejujurnya, padaku ... Kesibukan guru dengan tugas 'sampingan' yang terlalu banyak dan dibesarkan melebihi kepentingan melayan dan membina hubungan guru-murid adalah punca utama anak2 kini (terutamanya di sekolah menengah) kurang menghargai guru.

Mari ku ceritakan sebuah kisah benar yang mengajak kamu ( sesiapa saja yang membaca coretanku ini) berfikir ...
Semalam aku dihadapkan dengan kes buli. Pelajar yang membuli dan dibuli kedua2nya aku panggil. (Tentunya aku mempamerkan version aku yang 'garang'-walhal aku hanya bermain kata2 sahaja). Hinggakan sipembuli menangis berlinangan air mata. Pendekkan cerita, mereka berdua dapatku damaikan namun sebelum sipembuli keluar aku bertanya,
"Adi, ayah kamu garang ye?".(Adi-bukan nama sebenar).
"Ya cikgu".
Mengapa aku tanyakan soalan itu, pengalaman ku mengajar- jika murid itu pembawaannya seperti samseng tetapi mudah sangat menangis bila didesak maka tentu ada yang tak beres di rumah.
Selesai di situ , aku  merisik khabar latarbelakang keluarganya - murid ini ayahnya kaki pukul anak isteri. Tidak bekerja dan lebih teruk lagi kerana terlibat dalam penyalahgunaan dadah yang kronik.
Kasihankan? ...

So apa kaitannya?.
Kaitannya ialah .... Aku dan mungkin guru kelasnya ,  juga guru2 lain tidak pernah tahu kisah hidupnya yang amat menyedihkan itu,  sekiranya tiada kes buli dilakukannya, sampai bilapun kami mungkin tidak akan tahu.
Mengapa?
Jawapannya ; sekarang ni - masa itu lebih berharga dari emas!!! Dan semua orang sangat .sibuk!!!!!

Mengapa aku harus kecoh tentang semua ini?
Jawabku - mestilah kerana aku seorang guru dan tugasku adalah mendidik anak bangsa bukan saja dari segi akademik malah sahsiah dan nilai2 positif kehidupan.

 Bagaimana mungkin aku dapat mendidik mereka dengan ' approach' yang betul kiranya aku gagal mengenali mereka ( kenal latarbelakang dan keunikan hidup mereka). Jika isi rumah sendiri merupakan ancaman buat mereka , ke mana lagi mereka harus mengadu nasib kalau bukan guru-guru di sekolah kerana selain rumah , sekolah adalah tempat kedua terbanyak seorang murid menghabiskan masa hariannya.
Dan bagaimana mungkin para guru mampu menawarkan 'keluarga' kedua buat muridnya jika kebanyakan masa perlu dihabiskan dengan benda2 yang tidak bernyawa - 'kertas kerja , laporan , pelbagai borang , pelbagai fail atau mengadap laptop berjam-jam.

Kata hatiku : 'Kalaulah mereka mengerti dan dapat melihat dari sudut mataku...'







-peace-
>__<

 Hanya cerita biasa ... daripada aku yang terlalu 'biasa' ... 







Wednesday 20 August 2014

Lukis jea ... 'orkid ...'

Lukis jea ... orkid
(Atas ingatanku kepada arwah bonda: 
Yang tercinta Siti Asmah bt Abdul Rahman)
Lama sangat rasanya aku tak menggunakan warna dalam lukisanku ... tapi pagi ni ( jam sekarang sudah 2:49 pagi) sengaja aku memilih untuk menggunakan warna dalam lakaran ini kerana lakaran yang ku lukis kali ini amat istimewa...ianya adalah pokok bunga orkid yang arwah mak aku tanam semasa kami tinggal di pahang .. Dah besar tinggi pokok orkid ini sayangnya hingga mak dan abah aku berpindah ke selangor , pokok orkid itu tidak berbunga juga.
Hari tu aku teringin nak tahu rupa bunga orkid tersebut maka aku mencarinya di internet dan ... Inilah hasilnya...rupanya begitulah bunga pokok orkid ini. Sayang...arwah mak aku tak dapat nak lihat ...
Aku panggil orkid ini 'pokok' kerana saiznya yang jauh lebih besar berbanding orkid2 lain. Malah arwah mak aku menanamnya di atas tanah bukan seperti orkid lain yang biasanya di tanam dalam pasu arang/kayu yang digantung.

Hmm...hanya setelah menyiapkannya barulah aku rasa tenang nak tidur ...
"Bagi yang baru nak tidur sepertiku ... Aku ucapkan 'selamàt beradu'-moga bangun esok dengan semangat dan kesihatan yang baik untuk mengharungi hari baru ...

Hmmm ... rindu arwah mak.
"Ya Allah, tempatkanlah arwah bondaku di kalangan hamba2 Mu yang beriman dan beramal soleh. Pelihara dan jauhilah arwah bondaku daripada siksaan kubur dan api neraka.
Ya Allah, jadikan kubur arwah bondaku sebagai satu taman daripada taman2 syurgaMu ... dan janganlah Engkau jadikan kubur arwah bondaku sebagai satu lobanv daripada lobang2 nerakaMu. Aamiiinnnn"

                                  -peace-
                                     >__<

lukis jea...'kalau aku boleh terbang'

Lukis jea ... kalau aku boleh terbang

Teringat aku zaman2 aku di mrsm taiping dulu, masa tu bilik asrama ku di tingkat 2 , tinggal sendiri di bilik kecil (sebenarnya adalah ruangan2 yang disenggat menjadi bilik2. Orang lain tinggal berdua tapi aku tinggal sendiri).Jadi waktu senggangku selalu ku gunakan untuk memerhatikan burung2 yang terbang dari puncak pokok ke puncak pokok yang lain. ( mrsm taiping terletak di kaki bukit larut jadi pemandangannya amat cantik dengan pemandangan bukit , air terjun dan pepohonan hutan yang dipelihara-cantik sangat). Masa-masa inilah aku selalu  berfikir - alangkah baiknya jika aku boleh terbang!

Cuma masa tu...bila aku ceritakan keinginanku untuk terbang dari pohon ke pohon , dorang kata , " Eeee....takutlah rozai!".
Laa...dorang dok fikir benda lain lak yang terbang!! Heee...

Kekadang aku terfikir,  dalam kesempurnaan ciptaan seorang insan , mengapa tuhan yang Maha Mencipta tidak menjadikan manusia itu boleh terbang?

Kita manusia yang dikatakan hebat ini tidak terlawan kehebatan sang burung atau serangga kecil yang boleh terbang dan berjalan semahunya. Tanpa payah , unggas yang berterbangan menebarkan sayapnya dan terbang begitu saja ...

Hmm...tiap yang dijadikan pasti ada hikmahnya.
Barangkali kalau kita boleh terbang maka tidak muncullah Prinsip Bernoulli ,
Tidak adalah manusia yang mengkaji dan mengagumi bentuk aerofoil dan struktur seekor burung untuk diambil iktibar dalam pembikinan sebuah kapal terbang.
Tidak adalah orang bijak pandai yang memanipulasikan struktur tulang burung yang berongga menggunakan aloi metal yang tumpat hingga boleh dijadikan badan pesawat terbang.

Lalu aku bersyukur sungguhpun kita tidak boleh terbang menggunakan sayap sendiri , kita tetap boleh terbang tinggi menggunakan kekuatan akal atau kita tetap boleh terbang tinggi dalam alam ilusi yang kita cipta diminda yang hidup ...





  -peace-
 >__<
... Aku ingin terbang jauh bukan untuk mencari  aku dalam aku ...



Tuesday 19 August 2014

"Keranamu DIAH" : Bab 29

BAB 29 :       KONFLIK – JANJI DAN TANGGUNG-JAWAB

Diam itu lebih menenangkan ...
 “Dayus? . Apa maksud Diah?”.  Zuraimie tidak dapat menerima tuduhan Diah terhadap dirinya.
“Diah , setelah Diah diam seribu bahasa selama berminggu-minggu . Ini kata-kata ‘keramat’ yang Diah lontarkan pada abang?. Tergamak Diah mengucapkannya pada abang. Diah tahu tak yang abang sendiri terseksa dengan semua ini. Dibuang mati emak , diluah mati bapak. Abang benar-benar tersepit!.  Diah sendiri maklum , demi Diah abang sanggup menentang keluarga sendiri. Abang sanggup bertegang leher , menghancurkan hati ibu abang sendiri.  Abang tetap memilih Diah”. Zuraimie kesal dengan kecaman yang dilontarkan Diah kepadanya.
“Diah ,  letakkanlah sedikit timbang rasamu pada abang. Kasihanilah abang ... kasihkanlah abang ini. Telah lebih enam bulan kita bergelar suami isteri  tapi abang rasa sungguh sepi. Setiap kali abang pandang Diah , hati abang terasa sungguh ... sungguh sepi!. Abang terbiar!. Punya isteri tapi masih hidup terasing!”. Kata-kata Zuraimie itu menyentap jantung hati Diah. Terpukul dengan luahan Zuraimie. Inilah kali pertama Zuraimie mencurahkan kesengsaraan yang ditanggungnya. Tidak pernah terfikir oleh Diah akan penderitaan suaminya dek sikap dinginnya selama ini. Namun begitu , kemarahan di hatinya belum lagi reda. Mana mungkin hatinya akan kembali tenang selagi anaknya tidak didakapan.
Sejak peristiwa hari itu , Diah langsung tidak berpeluang melihat apatah lagi mendakap Raziq. Muslihat kak Biah sudah terbongkar. Pengasuh itu sudahpun diberhentikan kerja. Hancur sudah harapan Diah. Hanya kemurungan dan kedukaan yang menemaninya sepanjang masa. Kehadiran Zuraimie bagai tidak membawa sebarang makna. Makan , minum sudah tidak dihirau. Berat badannya susut mendadak , jiwanya merana terus-terusan. Merana dan terus  merana ...
Semua yang terjadi itu sungguh menggusarkan hati Zuraimie , suami yang terpinggir.
“Apa sudahnya semua ini?”. Fikirnya sendirian.
“Masakan aku harus terus tersepit di antara ibu yang melahirkan dengan isteri tercinta?”.
Setelah berfikir panjang , Zuraimie membuat keputusan nekad. Diah harus dikeluarkan dari situasi yang membelenggunya selama ini. Diah harus ditenangkan jauh dari punca masalah iaitu ibunya sendiri , Puan Sarah dan anaknya , Raziq. Setelah menguruskan pelbagai perkara , akhirnya Diah dibawa keluar dari rumah itu. Walaupun dihalang oleh Puan Sarah , Zuraimie tetap nekad.
“Izinkanlah kami mencari bahagia mak”. Pintanya dan kali ini Puan Sarah terpaksa mengalah.
“Asalkan kau tidak membawa Raziq pergi”. Itulah syarat yang diberikan ibunya. Zuraimie terpaksa akur ...

Pindah rumah
Rupanya Zuraimie telah menyediakan sebuah banglo sederhana besar yang dibelinya sebaik sahaja dia menikahi Diah dahulu. Banglo itu telah siap dilengkapi dengan perabot kayu jati yang kelihatan mewah dan diindahkan lagi dengan taman mini dan kolam ikan yang cukup menenangkan.
“Hmm ... abang harap Diah suka rumah kita ini. Abang beli khas buat Diah. Abang juga berharap sangat yang kita boleh bahagia di sini. Membina keluarga kita sendiri mengikut cita rasa kita sendiri. Abang hendak Diah sendiri yang menentukan susun atur perabot atau apa saja urusan di rumah ini. Dalam rumah ini , you’re the boss!”. Zuraimie meluahkan harapannya sambil mengucup dahi isteri tercinta. Diah hanya tersenyum tawar.
“Err ... untuk memudahkan Diah ke mana-mana , abang dah sediakan seorang driver , Pakcik Bahari. Dia akan hantar ke mana saja tempat yang Diah mahu pergi. Tapi , kenalah beritahu abang dulu ye. Kalau tidak tentu abang akan risau. Risaukan keselamatan Diah. Bukan senang abang nak dapatkan isteri secantik dan sebaik Diah”. Zuraimie cuba mengambil hati isterinya.
“Err ... kerja-kerja rumah pula Diah tak usah buat , abang juga telah mengupah kak Timah sebagai pembantu rumah. Dia akan uruskan semua kerja-kerja dalam rumah. Diah hanya perlu arahkan saja. Abang cuma nak Diah rehat dan punya masa untuk diri sendiri. Boleh?”. Tanyanya lembut. Diah tetap diam , hanya senyuman tawar yang mampu diberikannya sebagai  balasan atas  segala kebaikan yang telah diberikan Zuraimie , suaminya.

Zuraimie memberanikan dirinya ...
Malam itu , untuk kali pertamanya mereka tidur sekatil. Setelah menukar pakaian tidur yang lebih selesa , Zuraimie memberanikan dirinya dan cuba berlagak biasa baring di sebelah Diah. Hatinya cuak  apabila memikirkan reaksi Diah nanti. Kadang-kadang timbul rasa serik ditendang Diah hingga jatuh ke lantai. Namun rasa cuak  dan serik itu segera hilang apabila melihat Diah hanya mendiamkan diri , terus berbaring tanpa sebarang tindakbalas. “Mungkin ini petanda baik”. Fikirnya.
Bagi Diah pula , dia cuba memaksa dirinya untuk menerima Zuraimie seadanya. Diah sedar berdosa bagi dirinya kerana telah tidak menjalankan tanggung-jawabnya sebagai seorang isteri.  Takut juga dia jika mati nanti tidak mencium bau syurga.
‘Syurga isteri bergantung kepada redha suaminya’. Kata-kata keramat itu kekal terpahat di sanubarinya sejak dahulu lagi , dari zaman kecilnya itulah ungkapan yang sering disebut oleh ibunya. Maka malam ini , Diah juga nekad mahu merelakan dirinya menjadi milik Zuraimie sepenuhnya. Mampukah dia?
“Mungkin sudah sampai masanya aku menyerah. Raziq , maafkan Diah. Sungguhpun raga ini menjadi miliknya namun hatiku dan cintaku tetap milikmu selamanya”. Bisik hati Diah sambil memejamkan matanya rapat-rapat , membayangkan wajah Raziq , lelaki yang sudah hancur jasadnya namun cintanya masih bertahta di hati.
Sepuluh minit telah berlalu , masing-masing masih membatukan diri , pura-pura tidur. Baik Diah mahupun Zuraimie tidak berani memulakan langkah.
“Malam ini atau tidak selamanya!”. Akhirnya Zuraimie sudah tidak mampu bersabar lagi.
Setelah berperang dengan perasaannya sendiri  , Zuraimie akhirnya memberanikan diri mengambil langkah pertama. Dia mendekatkan tubuhnya sehingga bersentuhan dengan tubuh isterinya.  Diah diam , masih berpura-pura tidur. Walhal sebenarnya hatinya berdebar kencang. Debaran hatinya menjadi semakin kencang apabila tangan Zuraimie mula membelai rambutnya yang panjang mengurai  , rambut itu diusap lembut , dicium dan dibelai mesra ... Diah semakin tidak keruan jadinya. Debaran hatinya sudah tidak terkawal lagi , “Dup! Dap! Dup! Dap! Dup! Dap!” ... cemas ... situasi ini cukup mencemaskan!. 
Tubuhnya menggigil kuat hingga dapat dikesan dan dirasai oleh Zuraimie. Tergamam Zuraimie seketika.  Keadaan Diah yang bagaikan trauma itu  benar-benar menyentuh hati dan perasaannya sehinggakan  timbul rasa berbelah bagi di hati.
“Hmm ...  patutkah aku teruskan?”. Zuraimie dalam dilemma.
Sekonyong-konyong dan entah dari mana Zuraimie bagaikan terdengar satu suara berbisik di telinganya , “Jika tidak sekarang bila lagi?! ... Ya! , jika tidak sekarang , bila lagi?!. Teruskan! Teruskan!!”. Hakikatnya itu adalah suara hatinya sendiri yang telah terlalu lama terpendam.
Keputusannya telah bulat , misi ini harus diteruskan hingga berjaya. Diah bertahan ... dan terus bertahan. Dia cuba merelakan segalanya namun ... entah mengapa tiba-tiba perasaan benci mula menyelubungi hati dan perasaannya. Benci diperlakukan begitu!. Mahu saja  tangan yang mula meliar itu ditepisnya , tidak cukup dengan itu , ingin sekali  rasanya muka lelaki ini ditempeleng sekuat-kuat  hati!.
“Biar dia sedar! Biar dia tahu siapa dirinya!”. Fikir Diah.
 Namun kewarasan fikirannya menghalang Diah daripada berbuat demikian. Diah sedar , Zuraimie adalah suaminya. Suaminya yang sah. Suami yang sangat mencintainya , seorang suami yang telah lama dinafikan haknya.
Diah tidak pernah menyangka begitu besar cinta Zuraimie kepadanya hingga sanggup bersabar dengan kerenah dan kebiadapannya selama ini namun Diah juga tidak mampu menahan perasaan yang bergejolak di sanubarinya kini. Diah rasa benci!. Benci dengan hakikat yang harus diterimanya kini. Benci kerana terpaksa menyerah!. Benci ... benci dan terus benci!. Perasaan benci kini meluap-luap dan tidak dapat dibendung lagi!. Belum sempat  Zuraimie berbuat lebih jauh , tanpa sedar Diah tiba-tiba bangun dan tanpa sebarang kata terus pergi meninggalkan Zuraimie termangu sendirian.
Tindakan nekad Diah itu bagai halilintar menyambar dan merentap jantung hati Zuraimie. Begitu terhina rasanya diperlakukan begitu oleh isteri sendiri ...
“Aaaaaarrrrrrggghhhhhh!!!!”. Jerit Zuraimie. Perasaannya benar-benar terguris dengan tindakan Diah.
“Mengapa?!! Mengapa?!! Mengapa?!!”. Zuraimie bingkas bangun , berjalan laju mengejar Diah dari belakang. Melihat Diah berlari anak menuruni tangga menuju ke ruang tamu , Zuraimie segera berlari mendapatkannya. Setelah hampir ,  tangan Diah disambar dari belakang. Diah terhenti. Badannya dipusing kasar oleh Zuraimie. Mereka berhadapan  , belumpun sempat Diah mampu berbuat apa-apa , Zuraimie telah menggenggam kuat kedua lengan Diah. Matanya tajam memandang , api kemarahan terpancar jelas dari kedua mata itu. Diah gugup , takut , kecut perut melihat riak wajah Zuraimie yang kelihatan sangat bengis. Marahnya menggila ... Ya! Zuraimie benar-benar sedang marah sekarang ini!!.
“Mengapa?!!!. Mengapa?!!!”. Tanya Zuraimie sambil menggoncang tubuh Diah. Diah tergamam , tidak mampu menjawab. Juga tidak berani menentang wajah bengis itu.  Diam Diah membawa padah. Diam Diah itu bagai dedaun kering yang memarakkan lagi api kemarahan yang semakin membesar di benak hati Zuraimie. Lelaki ini sudah benar-benar marah , kewarasannya kian punah.
“Heiii perempuan , bukankah aku ini suamimu yang sah?
Mengapa tidak kau menyerah padaku? Apa?. Hina sangatkah aku ini???
Jawab!!! Mengapa diam?! Jawab!!!”. Jerit Zuraimie sekuat hati. Genggaman tangannya juga semakin kuat. Diah kesakitan dan cuba meronta melepaskan dirinya.
“Lepas! lepaskanlah! Sakitlah!!”. Jerit Diah.
“Apa? Lepaskan?!!”. Sepantas kilat tubuh Diah diangkat lalu digendong dengan paksa!.

Terlajak perahu boleh diundur ...
Zuraimie tergamam ... “Arghhh!!. Apa yang telah aku buat ?!”. Fikirnya setelah kembali sedar.  Tangannya menggigil mengesat air mata yang mengalir di pipi putih mulus Diah. Rasa bersalah menikam kalbu ...
“Diah , maafkan abang. Maafkan abang!”. Tubuh Diah dirangkul kuat dan mereka sama-sama menangis!.
Semenjak kejadian malam itu , Zuraimie cukup berhati-hati atas setiap tindakannya. Dia mencuba sedaya upaya untuk menceriakan Diah. Mungkin mahu menebus onar yang dilakukan terhadap Diah. Diah pula menjadi semakin pendiam. Bingung memikirkan arah hidupnya. Memikirkan hubungannya dengan Zuraimie , memikir dan melayan rindunya terhadap Raziq.
“Kan baik kalau aku dapat turuti  jejak langkah Raziq , tinggalkan saja dunia yang fana ini buat selamanya. Huhhh! Tapi berbaloikah?. Aku masih belum sempat memberitahu Raziq akan ayahnya yang sebenar. Kalau aku mengalah sekarang , siapa yang akan memberitahunya nanti?. Huh! Sampai matipun dia tidak akan tahu!!”. Diah menggaru-garu kepalanya yang tidak gatal.
“ Ah! Raziq , ibu rindukan kamu.Apa khabar agaknya anak ibu? Sudah pandai apa agaknya anak ibu sekarang. Sudah pandai panggil ayah ibu?. Iskh! Iskh!    Iskhhh!!”. Diah menangis tersedu-sedu apabila mengenangkan yang anaknya itu mungkin sudah tidak mengenalinya lagi.
Zuraimie yang sedari tadi memerhati tiap gerak laku Diah datang menghampirinya lalu memeluknya. Sungguhpun Diah tidak pernah berkongsi kesedihan dengannya namun dia dapat mengagak kerinduan yang ditanggung oleh isterinya ini.
“Maafkan abang sayang kerana tidak dapat memenuhi keinginanmu sekarang sayang. Abang tak sanggup menjadi anak derhaka. Bukan buat masa ini tapi abang janji apabila marah emak semakin reda , abang akan cuba berbincang semula dengannya”. Keluhnya sendiri , kesal kerana terpaksa mengecewakan isteri tercinta.
“Nangislah ... nangislah sayang , biar abang menjadi tempat sayang mencurahkan kesedihan ini”. Pujuknya.
“Diah , selain daripada membawa anak kita ke mari , apa yang boleh abang lakukan untuk buat Diah kembali gembira?. Cakaplah , abang akan cuba tunaikan sedaya mungkin”. Janji Zuraimie.
Mendengar kata-kata suaminya itu , Diah segera mengangkat kepala. Wajah suaminya itu dipandang penuh sangsi. Zuraimie mengangguk.
“Ya , katakanlah sayang. Abang akan cuba tunaikan”. Zuraimie menggalakkan.
Setelah berdiam seketika....
“Abang , dalam hidup Diah kini hanya ada satu  hajat sahaja dan itupun sudah abang ketahui. Dialah kekuatan Diah untuk teruskan kehidupan ini. Satu-satunya sebab untuk Diah terus bertahan. Jika itupun tidak dapat abang tunaikan , tak payahlah abang bersusah payah untuk perkara yang lain. Diah hanya mahukan anak Diah. Tiada hajat lain”. Diah berkata tegas.
 “Diahhh ... maafkan abang. Abang tidak mampu menunaikannya sekarang. Sabarlah sayang  , abang akan usahakan juga. Maafkan abang  kerana sikap ibu abang , Diah terpaksa mengharungi semua ini”. Zuraimie menguatkan pelukannya , dia benar-benar kesal kerana tidak mampu menunaikan impian isterinya yang satu itu. Diah diam membatukan diri ...  begitulah hari-hari yang seterusnya , Diah terus diam , murung dan suka mematikan diri setiap kali diajak berbicara.

Rawatan Doktor
“Rawatan doktor?. Abang , kenapa nak dapatkan rawatan doktor?. Diah tak sakit! Diah tak sakit bang! Diah sihat!!” Diah menolak kata-kata Zuraimie dengan keras. Zuraimie yang risaukan keadaan Diah yang kelihatan amat tertekan dan murung bercadang untuk membawa Diah mendapatkan rawatan yang sesuai.
“Syuuttt ... syyuutttt ... tak apa Diah. Kalau Diah tak mahu jumpa doktor tak apa cuma Diah kena dengar cakap abang. Dengar cakap abang ya.  Kita mulakan hidup baru. Nanti bila keadaan dah selesa dan Diah sudah betul-betul sihat , kita ambil balik Raziq ya. Kita ambil anak kita kembali dan sama-sama besarkan dia di sini ya!”.  Raziq cuba menenangkan Diah.
“Bohong!. Abang tak usahlah nak bermanis mulut. Bukan Diah tidak tahu yang abang itu takutkan ibu abang. Mampukah abang menentang kehendaknya. Mungkin sampai matipun Diah takkan dapat kembali anak Diah itu!”. Balas Diah , memandang Zuraimie dengan pandangan yang amat sinis.

Antara Realiti dan Fantasi
Setelah puas bercerita dan meluahkan segala isihatinya kepada Ziah barulah Diah merasa tenang ... “Terima kasih Ziah kerana sudi menziarahiku , menemani aku ... bercerita , bertegang leher , ketawa bersama , makan dan makan . Heee...”. Kata Doah sambil tersenyum manis.
“Hmm ... itulah gunanya kawankan”. Balas Ziah sambil bermanis muka di hadapan Diah namun tanpa Diah sedari Ziah sudah mengesan sesuatu yang tidak kena tentang cerita Diah ... “Aku harus pastikan!”. Tekadnya.
            Malam itu mereka makan malam bersama , Diah , Ziah dan Zuraimie. Tak banyak yang mereka bualkan , sekadar berbasa basi sahaja. Selesai makan malam , Diah segera meminta diri daripada Ziah , “Ziah , aku masuk tidur dulu ye. Penat sangatlah melepak petang tadi”. Katanya sambil tersengih memandang Ziah.
“Oh okey ... aku ingat nak rehat-rehat dulu baru tidur. Kau tidur dulu ye. Jangan lupa baca doa tidur”. Balas Ziah.
“Hei! Ingat aku budak-budak lagi ke?. Siap nak ingatkan bagai!!”. Jawab Diah sambil mencubit lengan Ziah.
“Adoii! Sakitlah!!!”. Jerit Ziah dan mereka sama-sama ketawa.

Kesempatan yang ada digunakan sepenuhnya oleh Ziah , Ziah mengajak Zuraimie berbincang.
“Apa yang mahu kau bincangkan?’ Tanya Zuraimie.
“Tentang Diah”. Jawab Ziah  ringkas sambil memandang Zuraimie dengan serius.
“Diah ... aku dah agak”. Balas Zuraimie.
“Tanyalah , aku sedia menjawabnya”. Balas Zuraimie.
Maka Ziah meluahkan segala yang terbuku di hatinya , persoalan dan kemusyikilan yang mengganggu fikirannya.
 “Aku tak boleh terima layanan yang kalian berikan kepada Diah. Mengapa keluarga kau begitu kejam kepadanya?. Mengapa kau orang tergamak pisahkan kasih ibu-anak?. Kenapa mesti kau biarkan hidupnya terseksa begini?”. Tanya Ziah , memandang wajah Zuraimie dengan pandangan yang tajam. Ziah sudah nekad mahu membantu dan melepaskan Diah dari terus dibelenggu kesedihan yang berpanjangan.
“Tidak Ziah , aku tidak membiarkan Diah hidup dalam kesedihan. Setiap saat dan detik nadiku berdenyut aku sentiasa memikirkan kebahagiaannya”. Zuraimie menafikan.
“Memikirkan kebahagiaannya?. Kebahagiaan yang bagaimana yang ingin kau berikan padanya?. Bahagiakah namanya jika haknya sebagai ibu dinafikan?. Bahagiakah itu namanya?”. Ziah terus mempersoalkan.
“Tidak Ziah , kau tidak faham duduk perkara yang sebenarnya”. Keluh Zuraimie.
“Baiklah. Aku memang tidak faham. Sekarang kau terangkan kepadaku sehingga aku faham”. Ziah berkata sambil berpeluk tubuh. Dia sudah tidak tahan dengan sikap ‘defensive’ Zuraimie.
“Ziah , Diah itu sebenarnya sakit!”. Zuraimie berkata perlahan , tidak mahu Diah terdengar kata-katanya itu.
“Maksud kau?”. Ziah tidak faham.
“Masalah jiwa. Jiwanya kacau , tertekan. Dia itu sedang murung sekarang. Apa-apa saja perkara di luar jangkaan kita boleh dilakukannya. Sebab itulah aku terpaksa mengasingkan dia di sini”. Terang Zuraimie.
“Maksud kau ... Diah tuuu ... errr ... ada masalah jiwa? Sakit mental?” Tanya Ziah teragak-agak. Khuatir kata-katanya itu akan mengguris hati.
“Tidak! Bukan sakit mental tapi tertekan , murung. Kau pernah dengar tentang ‘depression’ yang sering dialami oleh perempuan yang baru bersalin?”. Tanya Zuraimie.
 “Ya , pernah. Eh , tapi teruk sangatkah keadaan dia?. Tapi  aku tengok dia macam okey , Cuma nampak seperti terlalu kecewa ...”. Ziah sukar untuk mempercayai yang sahabat baiknya itu mengalami masalah jiwa.
“Mungkinkah Zuraimie hanya mereka cerita untuk menjustifikasikan tindakannya dan keluarganya menyiksa Diah?”. Fikirnya sendiri.
“Hmm ... sehari kau jumpa dia memanglah nampak macam okey tapi cuba kau terus tinggal bersama-samanya , kau akan faham apa yang aku maksudkan. Tapi kau janganlah risau , semua itu tidak pernah mengurangkan cintaku padanya. Aku tetap mencintai dia seperti dulu. Aku yakin dengan kasih sayang aku kepadanya dan tentunya dengan izin Allah yang Maha berkuasa , Diah akan pulih. Lagipun dua minggu sekali aku akan bawa dia berjumpa dengan doktor psikiatri. Aku harap cara aku ini cukup untuk memulihkan emosinya. Diah tu bukannya gila cuma emosinya terganggu teruk dengan bermacam peristiwa yang berlaku kepadanya”. Terang Zuraimie dengan panjang lebar.
“Oooo ... tapi kenapa kau orang pisahkan dia daripada anaknya Raziq? Aku rasa tindakan kau orang tu tak betullah sebab perpisahan itulah yang  menyebabkan Diah lebih tertekan. Kenapa kau tak bawa je Raziq tu tinggal di sini?. Tentu Diah akan gembira dan pastinya dapat menghilangkan kemurungannya itu” Tanya Ziah , cukup memahami keinginan Diah.
“Huhh ... bukan aku tak nak bawa Raziq tu tinggal di sini. Terus terang aku katakan yang aku sendiri dah sayang sangat dengan budak tu. Dah macam darah daging aku sendiri”. Keluh Zuraimie.
“Habis tu?. Apa yang menjadi penghalangnya?. Mak kau?!”. Ziah serkap jarang. Marah betul dia dengan sikap tak berhati perut perempuan tua itu.
“Mak aku?. Ini mesti kau dah terpengaruh dengan prasangka Diah terhadap mak aku. Ziah , kalau bukan kerana mak aku tu , tak tahulah apa yang telah terjadi kepada Raziq. Mak aku lah yang mengasuhnya dengan penuh kasih sayang sepanjang keadaan emosi Diah menjadi tidak stabil. Dan kalau kau nak tahu , mak aku tu tak tahupun yang Raziq tu bukan darah daging aku. Dia memang sangka yang Raziq tu cucu dia yang sebenar!”. Zuraimie agak tersinggung apabila kebaikan dan jasa ibunya dipertikaikan.
“Itu aku tahu , memang mak kau sangka Raziq tu cucu dia yang sebenarnya sebab itulah dia nakkan budak itu. Aku minta maaflah  kalau kau tersinggung  tapi ...  kenapa dia nak halang Diah daripada berjumpa dengan anaknya sendiri? . Kalau kau nak tahu , disebabkan tak dapat berjumpa dengan anaknya itulah  Diah ada terfikir nak bagitahu hal yang sebenarnya pada mak kau. Diah nak bagitahu mak kau yang Raziq itu bukan anak dia dengan kau tapi dengan Raziq , kekasihnya dulu. Diah fikir hanya dengan cara itu dia akan dapat semula anaknya itu” beritahu Ziah.
“Betul?. Huhhh! Kalau lah itu sampai terjadi , tentu keadaan menjadi lebih rumit”. Zuraimie mula risau. Risau jika ibunya mendapat tahu yang Raziq itu bukan cucu sebenarnya. Tentu patah hati ibu tua itu kerana sayangnya pada Raziq sudah tidak berbelah bagi. Raziq dijaganya bagai menatang minyak yang penuh.
“Hmmm ... kau tak jawab pertanyaan aku lagi. Kenapa Diah dipisahkan daripada anaknya?” . Ziah mengulangi pertanyaannya.
“Ziah , semua itu demi kebaikan Raziq!”. Jawab Zuraimie tegas.
“Demi kebaikan Raziq? Mana mungkin berpisah dengan ibu kandung , tidak dapat menikmati susu dan belaian ibu kandung itu dianggap ‘demi kebaikan’? Aku tak faham , betul-betul tak faham!”. Bantah Ziah.
“Kalaulah kau tahu apa yang telah kami semua harungi setelah aku menikahi Diah ...” . Keluh Zuraimie.
“Ya, buatlah aku faham. Ceritakan pada ku apa yang berlaku. Kau pun tahu yang Diah tu sudah ku angkat sebagai adik sendiri. Gembira dia , gembiralah aku. Duka dia , dukalah aku”. Ziah mendesak untuk mengetahui  perkara yang sebenarnya. Tidak disangkanya terlalu banyak penderitaan yang harus ditanggung oleh Diah mahupun Zuraimie sendiri.
“Baiklah ... biar aku ceritakan” Zuraimie mengalah.
“Setelah habis pantang iaitu cukup 60 hari Diah melahirkan Raziq , kami bernikah. Aku telah mengenepikan tentangan keluargaku sendiri. Masa tu aku terlalu banyak mengguris hati ibuku tapi demi cinta ku pada Diah , demi cinta ini aku tetap memilih Diah. Suka atau tidak ,  keluargaku terpaksa menerima keputusan yang telah ku buat. Mereka tiada pilihan. Kami bernikah dalam satu majlis yang amat sederhana kerana semua persiapan dibuat agak tergesa-gesa. Lagipun memang tiada siapa yang boleh kujemput. Kedua orang tuaku menghalang aku dari menyebarkan berita pernikahan kami. Mereka malu bermenantukan  Diah. Tapi itu semua tak menjadi kudis pun buat aku. Namun aku tidak pernah menyalahkan kedua orang tuaku kerana ternyata rasa malu mereka itu  berasas. Entah macam mana , berita pernikahan kami sampai juga ke pengetahuan jiran tetangga. Bermacam kata tohmahan yang diterima oleh keluarga aku hinggakan mak aku tidak lagi sanggup  berjemaah di surau atau  menghadiri mesyuarat penduduk setempat. Dia sampaikan meletakkan jawatannya sebagai pengerusi wanita penduduk. Jiran tetangga memandang hina kami sekeluarga kerana sudi mengambil perempuan yang telah rosak akhlaknya sebagai menantu keluarga”. Terang Zuraimie. Masih jelas dalam ingatan Zuraimie bagaimana malu dan merahnya wajah ibunya apabila ada yang bertanyakan tentang Dah dan Raziq.
“Eh kak Cha , dengar kata menantu kak Cha  tu dah beranak satu. Betul ke?”. Tanya Puan Salina kepada Puan Sarah yang lebih mesra dengan panggilan kak Cha. Puan Salina itu  memang terkenal dengan mulutnya yang  celupar.                                                                                                     “Huh?!. Tak ada salahnya kita bermenantukan perempuan yang dah beranak satu. Sekurang-kurangnya kita dapat memberikan perlindungan pada golongan ini. Mereka dah tentu perlukan dahan untuk berpaut”.  Jawab Puan Sarah ,  cuba menutup pekong di dada.
“Hmm ... kalau itu tujuannya baguslah. Tapi manantu akak tu , janda beranak satu ke atau ... errrr”. Puan Salina sengaja memuncungkan mulutnya sambil menjeling tajam ke arah Puan Sarah.
Puan Sarah menjadi serba salah apabila ditanya begitu. Lebih-lebih lagi di hadapan ahli kariah masjid yang lain. Tidak pasti apa yang patut dijawabnya. Akhirnya tanpa memberikan sebarang jawapan  , Puan Sarah terus meminta diri.
“Ha tengok. Betullah tu yang menantu dia tu perempuan tak baik!”. Kata Puan Salina dengan lantang.
“Hisshh kau ni Sali , tak baik menghukum orang begitu. Bumi mana yang tidak ditimpa hujan. Takkan kau lupa yang Allah itu Maha Pengampun?”. Tegur ahli kariah yang lain. Puan Salina hanya mencebikkan bibirnya yang sememangnya tebal.
 Zuraimie yang kebetulan berada tidak jauh dari situ tersentuh hatinya melihat ibu tersayang menanggung malu gara-gara  tindakannya menikahi Diah. Dia segera berlari mendapatkan ibunya.
“Mak ...”. Panggilnya dari belakang.
“Sudah. Mari kita balik!”. Jawab ibunya. Bengang. Wajah Puan Sarah masam mencuka.
Di dalam kereta , ibunya menceritakan peristiwa yang terjadi.
“Kau tengoklah mie , inilah balasan yang kau berikan pada mak. Malu mak mie ! Malu!! Tak tahu kat mana nak disorokkan muka ni!”. Puan Zainab agak beremosi ketika itu. Perasaan malunya sungguh menebal. Mungkin lebih tebal dari tembok China!.
“Mak , maafkanlah mie. Mie tak ada pilihan lain. Takkanlah mie nak biarkan Diah tanggung semua ini sendiri. Mie betul-betul minta maaf dari hujung rambut sampai hujung kaki. Maafkanlah mie mak!”. Zuraimie benar-benar kesal apabila ibu yang sangat disayanginya itu terpaksa mengharungi semua ini.
Sesampai sahaja  mereka di rumah , Puan Zainab terus masuk ke dalam biliknya. Diah yang menyambut mereka di muka pintu langsung tidak disapa. Mujur Zuraimie segera bertindak , mengalihkan perhatian Diah kepada perkara lain.
“Eh sayang , mana anak kita?”. Tanya Zuraimie.
“Hmm ... dia tidur. Lena dia tidur. Tak bangun-bangun. Tak berbunyi langsung”. Jawab Diah sambil tersenyum.
“Ya?. Sampai macam tu sekali?”. Zuraimie berkata sambil merangkul pinggang Diah.
“Hmmhhrrr ...”. Diah bersuara perlahan sambil menolak tangan Zuraimie. Zuraimie akur.
Mereka beriringan masuk ke bilik untuk melihat baby Raziq yang sedang lena. Sesampai sahaja di muka pintu , Zuraimie sangat terkejut dan menjerit.
“Ya Allah Diah ... apa yang dah Diah buat ni?!!!” . Jeritnya.
Jeritannya cukup kuat untuk menarik perhatian Puan Zainab. Sungguhpun hatinya masih jengkel dengan apa yang terjadi , sifat keibuannya mengatasi segalanya. Puan Zainab meluru dari biliknya mendapatkan Zuraimie dan Diah. Diah masih tercegat di muka pintu bilik.
“Mie , apa yang dah terjadi ni?. Kenapa kau menjerit macam orang nampak hantu?”. Tanyanya cemas.
“Mak ... entahlah. Cari Raziq mak. Cari Raziq!”. Jawab Zuraimie cemas. Mendengar kata-kata Zuraimie , Puan Zainab segera melihat ke dalam  bilik tidur anaknya itu.
“Ya Allah!”. Berderau darahnya melihat kain baju , selimut dan bantal bersepah dan bertindan-tindan di sana sini. Cadar katil sudah jatuh ke lantai. Puan Zainab menjadi lebih cemas apabila melihat katil baby Raziq dipenuhi kain baju!.
“Mie! Cepat mie. Alihkan kain baju ni!!”. Tangannya segera mengalihkan kain baju yang berada di situ. Hatinya berdebar kencang.
“Ya Allah ... selamatkanlah cucuku ini. Aku berjanji ya Allah akan menerima dan mengasihinya dengan sepenuh hati. Ya Allah selamatkanlah cucuku!”. Doanya di dalam hati.
Air matanya bercucuran ,“Ya Allah ... selamatkanlah cucuku!”. Jeritnya lagi bagai orang  yang diserang histeria. Namun sebaik sahaja semua kain baju sudah dialihkan dari katil bayi itu , Puan Sarah mengurut dada. “Ya Allah Diah , kenapa buat macam ni?. Raziq mana?”. Puan Sarah bertanya sambil mengurut-ngurut dadanya. Syukur Raziq tiada di katil bayi itu.
“Mie ... Raziq tiada di sini”. Katanya kepada Zuraimie.
“Habis tu mana Raziq mak?”. Tanya Zuraimie , cemas.
“Aa ... mana cucu aku?. Diah , mana cucu mak nak?. Diah , Raziq mana? Mana Raziq Diah?”. Puan Sarah menggoncang-goncang tangan Diah. Diah hanya menggeleng-gelengkan kepalanya seperti orang yang sedang kebingungan.
“Diah , mana anak kita sayang?. Diah letak Raziq di mana tadi?”. Tanya Zuraimie dengan lembut. Sengaja rambut Diah yang panjang mengurai itu dielus-elus.
“Aa.. abang , Diah tak tahu. Sumpah Diah tak tahu”. Kata Diah perlahan . Dia sendiri bingung melihatkan keadaan biliknya yang bersepah. Dia sendiri cemas memikirkan di mana Raziq.
Zuraimie sudah tidak tentu arah , sekejap berlari ke sana , sekejap berlari ke sini. Sudah berkali-kali dia membuka almari pakaian , memeriksa bilik air sehinggalah akhirnya tergerak hatinya untuk membuka ‘Sliding door’ menuju ke veranda bilik tidurnya.
Alangkah terkejutnya dia apabila mendapati Raziq diletakkan di bawah sinaran matahari yang sedang terik memancar.
“Ya Allah , anak aku!”. Sepantas kilat dia mendapatkan Raziq lalu digendungnya bayi kecil yang sudah tidak bermaya itu. Puan Sarah menjadi sangat cemas melihatkan wajah comel itu sudah kemerah-merahan. Kulitnya juga terasa panas akibat dijemur terlalu lama. Raziq langsung tidak menangis semasa diangkat , matanya juga terpejam rapat. Zuraimie dan Puan Sarah menjadi sangat cemas. Mujur pada ketika itu doktor Anisah ada di rumah untuk memberikan bantuan awal. Zuraimie pula segera menelepon ambulan. Ditakdirkan Allah belumpun sempat ambulan sampai , baby Raziq tiba-tiba tersedak dan mula menangis.
Tangisan itu membawa rasa syukur dan kegembiraan yang amat sangat di hati semua.
“Alhamdulillah!”. Puan Zainab mengucap syukur lalu terus menggendung Raziq. Diah yang ada di situ terpinga-pinga dan cuba menghampiri bayinya.
“Mie , mak rasa untuk sementara ini biar mak saja yang jaga Raziq. Kau tengok-tengokkan isteri kau tu. Syukur kita cepat balik , kalau tidak ... Ya Allah , inilah hikmah kata nista yang ku terima di majlis tadi. Kerana kata nista itulah cucuku ini dapatku selamatkan. Syukur aku padaMu Ya Allah!!” Puan Sarah menyatakan syukurnya dengan linangan air mata.
Kata-kata ibunya membuatkan Zuraimie tersentak. Zuraimie hampir terlupa akan kehadiran Diah. Matanya segera mencari Diah.
“Ahhh ... Diah. Diah apa yang telah kau buat?”. Fikirnya di dalam hati. Matanya menangkap sesusuk tubuh yang terperosok di penjuru bilik. Menutup muka dengan bahu yang terhenjut-henjut menahan tangis.
“Diahhh ...”.  Zuraimie segera mendapatkan Diah. Dipeluk perempuan itu dengan penuh kasih sayang. Hatinya menjadi sayu dan resah. Dia memang sedar isterinya itu mengalami kemurungan selepas bersalin namun dia tidak menyangka seteruk ini. “Diah, apa dah jadi pada kau sayang?”. Bisik hatinya. Diah bingung ...
Sejak hari itu , Raziq dijaga oleh Puan Sarah sepenuhnya. Diah hanya dibenarkan menjenguk Raziq sekali sekala. Tambahan pula keadaan kesihatan Diah yang semakin teruk. Batuk , demam yang tidak kebah-kebah. Ditambah dengan emosinya yang tidak stabil. Tiada siapa sangka emosinya telah terganggu teruk akibat pelbagai peristiwa pahit yang telah dilaluinya. Diah hidup di alamnya sendiri. Kekadang Diah masih membayangkan yang Raziq kekasihnya dulu masih hidup. Diah juga mencipta dunia dukanya , dipaksa kahwin dan dianiaya oleh mertuanya sendiri. Ada kalanya Diah menyangka yang dia masih seperti dulu-dulu ... gadis universiti yang periang dan diminati ramai. Fikirannya tidak menentu. Dia tidak dapat  memetakan peristiwa demi  peristiwa yang telah berlaku. Malah kekadang Diah lupa akan kehadiran baby Raziq atau suaminya sendiri , Zuraimie.

...  tak sangguplah nak hantar dia ke hospital ...
“Mie , akak rasa kau patut dapatkan rawatan untuk isteri kau tu. Takut penyakitnya tu akan menjadi semakin parah” Doktor Anisah menyatakan cadangannya.
“Ya kak , mie pun ada terfikir semua itu. Tapi rasa tak sangguplah nak hantar dia ke hospital sakit jiwa. Nanti apa pula orang kata”.  Jawab Zuraimie jujur.
“Orang kata?. Eh mie , kau tak sedarkah dah merata-rata orang mengata?”. Marah doKtor Anisah mendengar alasan Zuraimie.
“Apa kau dah lupa masa isteri kau tu berjalan tak tentu arah sambil mendukung anak patung? Atau kau dah lupa masa dia berlari telanjang bulat keliling rumah?!”. Tanya doktor Anisah bertubi-tubi. Zuraimie diam , pahit benar baginya untuk menelan semua itu.
“Tak perlulah kau nak malu lagi Mie , semua orang sudah tahu yang isteri kau tu sakit. Kau bawa sajalah dia untuk menerima rawatan. Akak takut sakitnya kelak akan bertambah teruk. Orang sakit seperti ini tindakannya sukar diramal. Bila datang gilanya , membunuh pun boleh!”. Nasihat doktor Anisah.
“Akak!!”. Tidak sanggup lagi Zuraimie mendengar kata-kata kakaknya itu.
“Maafkan akak Mie tapi itulah hakikatnya. Kau harus belajar menerimanya. Berpijak di bumi nyata!”. Balas doktor Anisah.
“Mie tahu kak tapi mie berat hati sangat nak hantar Diah ke sana. Mie kesian sangat tengok dia. Mie tak mampu nak berpisah dengannya. Tidak dalam keadaannya sekarang ni”. Zuraimie menyatakan rasa hatinya yang sebenar.
“Habis , kau nak kurung dia dalam bilik je? Kau kena ingat , perbuatan kau itu tak langsung membantu Diah untuk sembuh. Kau nak kasi dia tambah gila bolehlah!”. Tempelak doktor Anisah.
“Huhhhh...apa cadangan akak?”. Zuraimie mengalah.
“Hmmm....”. Setelah lama berfikir.
“Macam ni lah, sekurang-kurangnya kau hantar saje isteri kau tu untuk dapatkan sesi kaunseling daripada pakar psikiatri. Akak ada kawan . Nanti akak inform dia”. Cadang doktor Anisah.
“Errr...ya lah kak. Saya menurut saja”. Zuraimie terpaksa menerima hakikat bahawa isteri kesayangannya itu kini sedang sakit dan perlu dirawat dan demi membantu proses penyembuhannya , Zuraimie membawa Diah keluar dari rumah kedua ibubapanya. Mungkin sikap dingin yang awalnya ditunjukkan oleh kedua ibubapanya adalah pencetus kepada Diah maka dia harus memisahkan Diah dari situasi itu.

“Itulah sebabnya mengapa aku tak bawa Raziq tinggal bersama kami”. Zuraimie menutup ceritanya.
“Ya Allah , kasihannya Diah ...” . Sedih benar Ziah mendengar keadaan Diah yang sebenarnya. Sukar untuknya mempercayai cerita Zuraimie itu. Diah , seorang gadis yang sangat periang dan popular , kini dikatakan sakit jiwa!.
“Tapi ada lagi perkara lain yang ingin aku tanyakan”. Kata Ziah  ... bersambung...



Orang Gila?

Oh! Ramai sungguh yang mengata
Ramai yang hanya pandai berkata
Apa mereka begitu mudah lupa?
Nasib dan takdir diri ditentu siapa?
Gila?. Patutkah dipandang hina?

Gila?
Itu dari persepsi siapa?
Lalu kenapa kalau ada yang gila?
Apa kaukah yang menanggung derita?

Orang gila jangan dihina
Mungkin mereka lebih mulia
Tiap lakunya tiada dosa