Popular Posts

Saturday 20 August 2016

Novel 2:Selepas Hujan Bab 6

BAB 6 :    ABANG ANIP BERUBAH SIKAP?

Seminggu kemudian ... perubahan yang memeranjatkan!
Lukis jea ... tiada bezanya sama ada dinyatakan atau dipendam sahaja perasaan  itu ...
Berani hadapi kenyataan ... melepaskan atau dilepaskan
Lipat sejarah silam agar terbuka lembaran baru
Buat kita mencipta kisah baru
Sederap ... selangkah ... seiring ... kau , aku atau dia mengorak langkah!
         Ziah bersiap-siap. Memasukkan tiga pasang baju kurung ke dalam beg sandangnya. Setiap helai dipadankan dengan tudung yang sesuai. Setelah selesai , Ziah ke ruang tamu. Abang Anip sedang leka membaca surat khabar . Begitu khusyuk sekali . Mungkin terlalu banyak berita sensasi yang mampu mengusik dan menyentuh emosi  dilaporkan sejak akhir-akhir ini. Lebih-lebih lagi kisah sumbang mahram , pembuangan bayi yang semakin berleluasa ,  gejala sosial remaja dan kes-kes jenayah yang semakin meningkat.
“Hmm ... baca surat khabar. Apa pulak berita hebat hari ini?!”. Fikir Ziah sebaik saja terpandangkan abang Anip.
         Ziah duduk di atas tangga veranda rumah itu sementara menunggu cikgu Karim bersiap untuk menghantarnya ke perhentian bas Kuantan . Hari ini Ziah akan turun ke KL. Ba'ie sahabatnya telah berjaya memujuk Ziah untuk hadir majlis konvokesyen mereka sebagai guru.  Kalau ikutkan hati , Ziah sudah malas mahu berkunjung semula ke tempat di mana 'hatinya belajar erti kehilangan ...erti terluka dan kecewa'. Hilang cinta dan sahabat ... kecewa dengan segala yang berlaku dan terluka apabila cintanya bagaikan dipermain. Harapan yang diberi hanya untuk mengajarnya erti kecewa. Cinta yang ditawar hanya untuk melakar sejarah duka. "Huh! ...ke sana semula aku akhirnya". Keluh Ziah.
        Ziah termenung di veranda. Sengaja ke veranda ...  malas dan tidak mahu duduk seruangan dengan abang Anip.  Bengkak hatinya mengenangkan keangkuhan dan buruk laku lelaki itu.
“Benci! Sombong! Berlagak baik! Cehh!!” Ziah mencemuh dalam hatinya. Peristiwa demi peristiwa yang berlaku di antara mereka pula kini berlegar dalam ruang ingatannya dan segalanya memang amat menyakitkan hati!.
“Berani dia merentap tangan aku dan marah-marah sesuka hatinya!”. Fikir Ziah sambil terus memusingkan pergelangan tangannya yang masih sakit akibat direntap kuat.
“ Eeee ... tak puashati betul!. Hanya kerana aku tak jawab pertanyaan dia. Kenapa aku menangis konon!. Macamlah dia tu prihatin sangat. Apasallah aku tak marah dia balik puas-puas masa tu!. Aku nipun satu , yang nak takut sangat dengan dia tu pasal apa?. Takkanlah sebab aku menumpang di sini maka aku kena patuh dan layan je segala kerenah dan kehendak dia!. Eeeee ... tolong skit!!”. Fikir Ziah lagi apabila terkenangkan peristiwa sewaktu makan malam tempohari.
"Suka hati je rentap tangan orang. Apa tak sekolah ke?. Kan ke berdosa perempuan dan lelaki yang bukan muhrimnya bersentuhan. Huh! Tak sekolah!!". Kutuk hati Ziah. Mulutnya di cebik-cebikkan dan keningnya berkerut-kerut , terbawa-bawa dengan emosinya.
Tiba-tiba Ziah tersenyum sendiri apabila cuba membayangkan abang Anip sedang berdiri di hadapannya dengan wajah yang tunduk pasrah mendengar segala cemuhan dan kutukan yang dilontarnya. 
“Tentu seronok  jika   dapat luahkan semua rasa tidak puashati tu di hadapan mukanya sendiri”. Fikir Ziah. “Bayangkan kalau aku boleh herdik dia balik , ‘Oii! Mak bapak kau tak ajar  budi bahasa ke?. Dahlah kolot! Berlagak bagus! Sombong pulak tu!!”. Ziah berangan.  
         Tiba-tiba angannya terputus dek  riuhnya bunyi  beberapa ekor ayam jantan yang mula bergaduh sesama sendiri . Masing-masing menunjuk hebat  untuk menarik perhatian satu dua ekor ayam betina yang sedang mengais tanah di situ. 
“ Haii ayam ... kot ye pun nak tunjuk hebat , tak payahlah sampai nak bergaduh. Tak cukup ke dengan lawan berkokok. Siapa yang kokokannya paling panjang dan merdu , dia menang. Kan senang gitu ... badanpun tak sakit. Eeee ayam , kau ni betul-betul macam tuan kau. Serabut!!”. Kata Ziah sambil membayangkan wajah  abang Anip!.
“Berapa hari balik KL?”. Suara menyapa dari arah belakang. Ziah terkejut. Kenal sangat dengan suara itu. 
“Huhh!!. Sibuk aje!!!”. Ziah mencemuh perlahan , benci.
Rupa-rupanya abang Anip sengaja menunggu peluang untuk bercakap dengan Ziah. Ziah  buat-buat tidak mendengarnya.
“Eee ... tak payahlah sibuk!. Mimpi apa agaknya malam tadi ... tiba-tiba nak beramah mesra. Hipokrit!!!”. Fikirnya lagi. Perangai buruk abang Anip memang tidak boleh dimaafkan. 
“Aku bukan mak kau yang sanggup terima segala kerenah buruk kau. Dahlah memalukan aku dan menghina Kamal yang baik itu. Ada hati nak beramah mesra ngan aku lak. Cehh!”.  Fikir Ziah lagi.
“Balik KL berapa hari?”.  Abang Anip mengulagi pertanyaannya. Sengaja suaranya dikuatkan. “Pekak agaknya minah ni!”. Fikir abang Anip.
“Err ... dua tiga hari”. Jawab Ziah acuh tak acuh, terpaksa juga menjawab. Malas untuk melayan pertanyaan lelaki sombong itu.
“Haah dengarpun. Ingatkan betul-betul pekak tadi!”. Fikir abang Anip. Tersenyum sinis.
“Maksudnya?” . Tanya abang Anip lagi cuba memberanikan diri lalu mula mengambil tempat di sebelah Ziah. Walhal dia sendiri tidak mengerti mengapa dia harus berbuat begitu!.
“Eeee ... apahal pulak mamat ni!”.  Kata suara hati Ziah. Diam tidak menjawab. Tidak selesa dengan kehadiran abang Anip. Ziah berpura-pura mencari sesuatu dari dalam beg sandangnya.  
Melihatkan sikap Ziah bagai acuh tidak acuh itu , abang Anip jadi serba salah lantas bergerak turun dan berdiri di anak tangga yang terakhir. Memandang tepat ke wajah Ziah. 
"Ah! sudah ... apa pulak yang aku buat ni?". Fikir abang Anip , tidak faham dengan tindakan spontannya. Ziah jadi serba salah. Takut pun ada. Mana tidaknya , segalanya mungkin bila bersama lelaki ini. Anginnya boleh berubah bila-bila masa!.
Keresahan Ziah  sebenarnya tidak berasas kerana  abang Anip sendiripun  resah gelisah!
“Eee ... kenapa aku ni?. Buat apalah berdiri betul-betul depan muka dia ni ... aduh! Masak aku. Nak buat apa ni?!!”. Katanya dalam hati.
“Errr ... tak lama, konvo Isnin ni. Selasa baliklah”. Jawab Ziah pendek tanpa memandang wajah abang Anip. Gementar hatinya ... entah mengapa ... sukar untuk dimengertikan.
“Hmm ... ingatkan tak dengar!”.  Abang Anip terpaksa menyindir. Sengaja berbuat begitu untuk 'cover' keresahan yang memuncak. Ziah bengang.  .....
“Benci! Benci! Benci!!” . Pekik hati Ziah.
“Cehh! Masih ada hati nak sakitkan hati orang. Memang dasar mulut longkang!”. Ziah betul-betul geram. Membungkamkan dirinya. Mukanya kelat mencuka. Abang Anip tersenyum lebar ... geli hati melihat muka muncung Ziah dan entah mengapa dia juga terasa amat lega.   Resahnya tadi hilang begitu saja ... . 
          Setelah diam seketika , abang Anip menyambung perbualan.
“Hmm ...  lama juga tu . Empat harikan?”. Katanya tapi  Ziah diam ,  tidak menjawab. Hatinya masih marah. “Errr ... dah siap?” . Tanya abang Anip.  Matanya terus memandang tepat ke wajah Ziah. Ziah hanya menganggukkan kepala. Sengaja tidak mahu mengangkat muka. Hilang gaya dan serba salah apabila terus dipandang begitu.
“Jomlah , abang hantarkan!”.  Bagaikan hendak gugur jantung Ziah mendengar pelawaan abang Anip. Matanya terbeliak besar memandang tepat wajah abang Anip. Terkejut! . Lebih terkejut lagi apabila melihat perubahan pada wajah lelaki ini. Rambutnya disisr kemas ke tepi. Jambang yang tumbuh meliar sudah dicukur . Misai yang menutupi bibir dipotong nipis ... “Biar betul!!”. Fikir Ziah. Abang Anip tersenyum memandang reaksi wajah Ziah.  “Eh! Kenapa pandang  macam  tu?”. Teguran abang Anip menyedarkan Ziah.
“Ulluppss!!”. Ziah menelan air liurnya , tak terkata apa!
“Jomlah , abang hantarkan!”. Ulang abang Anip lagi. Ziah mengerutkan dahinya.
Sepatutnya cikgu Karim yang menghantarnya ke bandar Kuantan, bukan abang Anip. Bukan dia!!. Semalam lagi cikgu Karim sudah berjanji dengannya. Kenapa mungkir?. Jika Ziah tahu dia akan dihantar lelaki ini , baiklah dia membatalkan saja niatnya. Sekarang semuanya sudah terlambat , lelaki sombong penuh misteri yang sudah bertukar wajah itulah yang akan menghantarnya ke Bandar Kuantan!.
“Eh bermimpikah aku ini. Sejak bila pulak aku berjanji dengan dia?”. Getus suara hati Ziah. Protes! Tidak suka dengan  perubahan dan sikap baik yang cuba ditunjukkan abang Anip. Baginya semua itu hanyalah lakonan semata-mata.
“Plastik!”.  Bisik hatinya. Selama lebih sebulan tinggal serumah , lelaki itu tidak pernah sebaik dan sesopan ini. Lelaki ini sentiasa bersikap kasar dan menjengkelkan. Pandangannya penuh kebencian dan kata-katanya berbau dendam yang tak kesudahan. Sungguh menjengkelkan!
“Err ... tapi ... pakcik kata akan hantar Ziah petang ni”. Jawab Ziah.  Tidak mahu menerima bantuan daripada abang Anip.
“Tak jadi ... dia ada urusan lain . Abang hantar Ziah. Marilah , nanti habis tiket bas pulak!”.   Jawab abang Anip sambil terus berlalu ke arah kereta. Membiarkan Ziah termangu-mangu.
“Hah cepatlah! Tunggu apa lagi?”. Jerit abang Anip apabila Ziah masih juga tidak berganjak.
Mahu tidak mahu Ziah terpaksa akur ... mengangguk lalu mengikut abang Anip memasuki kereta. “Eeee  ... kenapalah tempat ni tak da bas  masuk!”. Bentak hatinya. Matanya pula memandang sekeliling mencari-cari bayangan Miah. Berat sungguh hatinya untuk ke Bandar Kuantan berdua sahaja dengan  abang Anip.
“Miah pun tak kelihatan! . Ini mesti satu konspirasi !!”. Getusnya di dalam hati.
“Benci!! Mereka sengaja nak kenakan aku!” . Jerit suara hatinya. Tangannya menarik-narik tali beg tangannya. Geram!
         Kereta berlalu pergi meninggalkan perkarangan rumah cikgu Karim. Ziah membatukan diri.  Sengaja tidak mahu memandang atau berborak dengan abang Anip. Dia berpura-pura membaca novel cinta yang dibelinya lama dulu.
“Eee ... salah-salah cakap , kang tak sampai aku ke Bandar Kuantan. Baik aku diam je...”. Fikir Ziah.
“Hemm , menarik ke cita yang dibaca tu?” . Tanya abang Anip , memecahkan kesunyian.
“Err ... ya!”. Jawab Ziah sepatah.
“Huhh ... dah biasa baca buku terbalik?”. Tanya abang Anip sambil tersenyum sinis. Ziah mengerutkan dahinya lalu melihat novel di tangannya.
“Aduhhhh ...  malunya!!”. Kata hati Ziah apabila mendapati novel itu dipegangnya secara terbalik!. Ziah tersengih-sengih tak tentu rasa.
“Kenapa? Ziah tak suka abang hantarkan?”. Tanya abang Anip, berterus-terang. Serius benar wajahnya.
 “Eh taklah ... errr ... Ziah cuma takut kalau Ziah telah menyusahkan abang”. Jawab Ziah , cuba menyembunyikan jawapan sebenarnya. Ziah tidak menyangka abang Anip akan bertanya seperti itu. Patutkah dia berterus-terang saja , “Ya, Ziah memang tak suka abang hantar!!”. Fikir Ziah di dalam hati. “Hushh ... bahaya. Kang tak pasal-pasal dia tinggalkan aku kat tengah-tengah hutan ni”. Fikir Ziah sambil matanya liar memandang keluar. Paya , anak sungai , hutan kecil dan sebiji dua rumah adalah pemandangan yang akan dilihat sepanjang perjalanan dari Pagan Sena ke Bandar Kuantan.
“Ziah , abang tahu Ziah tak sukakan abang. Abang tak salahkan Ziah sebab sejak mula  Ziah datang ke rumah abang, abang tidak pernah layan Ziah dengan baik. Malah kita selalu bertengkar dan menyakitkan hati satu sama lain”. Kata abang Anip.
“Tahu pun!”. Bisik hati kecil  Ziah.
“Abang juga tahu yang Ziah juga tak selesa dengan cadangan mak dan abah abang ... pasal kita. Maafkan abang” . Abang Anip menyambung kata.
“Memang pun!!!”. Jerit hati Ziah.
“Eeee ... kita?. ‘Kita ’ tak pernah wujud , okey?!”. Jerit suara hati Ziah lagi. Geli mendengar perkataan ‘kita’ yang keluar daripada mulut abang Anip , lelaki ego itu!.
“Taklah ... Ziah tak kisahpun. Lagipun Ziah tak minta dilayan . Abang sekeluarga sudi  menumpangkan Ziah pun dah cukup baik. Ziah , bersyukur sangat. Kalau tidak , tak tahu nak tinggal di mana. Pasal perkara kedua tu , Ziah dah lupakan ...” . Ziah berbohong. Apa yang ada di kepala tidak sama dengan apa yang diluahkan.
Abang Anip hanya mendiamkan diri mendengar jawapan Ziah. Raut wajahnya nampak lembut , tidak lagi keras kaku seperti selalunya. Dia menoleh memandang Ziah , Ziah terdorong untuk membalas pandangan tersebut namun Ziah tidak pasti sama ada dia patut senyum atau sebaliknya. Akhirnya Ziah menundukkan semula kepalanya ...
“Ziah , boleh kita mulakan segalanya semula?”. Tanya  abang Anip. Ziah tergamam mendengar permintaan itu. Wajah abang Anip ditatapnya.
“Mulakan segalanya semula? ... Pelik!”. Fikirnya , dahinya berkerut.
“Abang tak mahu Ziah terus beranggapan buruk terhadap abang. Abang janji yang abang akan cuba mengubah diri abang menjadi orang yang lebih baik ”.  Pinta abang Anip.
Ziah bingung , menjadi lebih tidak faham. 
“Untuk apa semua perubahan itu?”. Fikir Ziah. Soalan abang Anip itu tidak dijawab.
Kereta terus dipandu laju ke arah  bandar Kuantan. Bersama pertanyaan  mengandungi permintaan yang tidak dijawab akhirnya mereka tiba di Bandar Kuantan. Abang Anip menghentikan keretanya di kawasan tempat letak kereta di pinggir stesen bas Kuantan.
“Hmm ... dah sampai”. Abang Anip berkata sambil memandang Ziah. Ziah hanya mengangguk lalu cuba membuka tali pinggang keledar yang dipakainya. Entah mengapa , tali pinggang itu tersekat lagi , bagaikan tidak mahu tercabut . Puas Ziah menekan dan mencubanya berkali-kali.
“Eeee ...  asyik buat hal lah kau ni!”. Rungut Ziah di dalam hati sambil terus mencuba.
Melihatkan keadaan Ziah masih gagal membuka tali pinggang keledarnya , abang Anip terus menutup semula pintu kereta yang telah terbuka.
 “Mari abang tolong. Ini kereta lama , semuanya dah tua. Kereta lama macam ni tak boleh kasar-kasar. Kena lembut-lembut , barulah boleh!”.  Abang Anip berkata sebelum  menolong membukakan tali pinggang keledar yang dipakai Ziah . Ziah diam , mencuri pandang pada riak wajah lelaki ini ... ada senyuman di wajahnya!. Terpegun Ziah melihat senyuman itu . “Sweet!”. Fikir Ziah sebelum segera mengalihkan pandangannya.
Menyedari dirinya sedang diperhatikan , abang Anip sengaja melambat-lambatkan gerakannya. Setelah mencabut kepala tali pinggang tersebut , abang Anip tidak terus melepaskannya sebaliknya mengalihkannya sendiri hingga ke sisi kiri Ziah. Ziah terkejut dengan perlakuan berani abang Anip itu. Perasaannya sungguh gemuruh apabila tangan abang Anip menjangkaui sempadan melepasi dirinya.
“Ahh!!”. Kata hati Ziah. Mereka terlalu dekat!!.
“Jom , beli tiket”. Abang Anip berkata sambil menatap wajah Ziah yang cemas .  Ziah  tidak selesa , duduk badannya ditegakkan. Suaranya bagaikan terkunci apabila wajah abang Anip begitu dekat dengannya. 
“Hmm ... jom!”. Kata abang Anip lembut sebelum melepaskan tali pinggang keledar yang dipakai Ziah , tersenyum menampakkan barisan giginya yang tersusun kemas.
“Jahat!!!”. Kata Ziah perlahan sebelum turut keluar daripada kereta untuk mengekori jejak abang Anip dari belakang.
“Eeee ... apasallah aku ni gemuruh sangat , pegi tenung muka dia pulak tu!. Eeee ... tak pasal-pasal perasan lebih pulak mamat tu karang!”.  Getus hati Ziah sambil mengetuk-ngetuk kepalanya beberapa kali. Kesal dengan tindakannya . Cuak kalau-kalau  abang Anip sedar akan gemuruh perasannya tadi. Malu!
          Sampai sahaja di kaunter tiket , abang Anip terus berbaris. Ziah pula duduk di kerusi menunggu sambil  matanya tidak lekang daripada terus memerhatikan abang Anip.
“Pelik benar perangai lelaki ni hari ini. Tiba-tiba saja boleh bertukar. Lembut , ambil berat dan cukup prihatin ... dan yang lebih penting , manisnya senyuman itu!”. Fikir Ziah.
“Sekarang  sanggup pulak berbaris untuk aku. Pelik?!!. Mimpi apalah agaknya dia malam tadi”. Fikir Ziah lagi. Dia benar-benar hairan dengan perubahan sikap abang Anip itu.
“Hmm ...  lama-lama pandang , hensem jugak abang Anip ni tapi ...  kalau diingat-ingatkan perangainya yang sebenar ... eeeee  ... hilang semua kehensemannya itu. Takde maknanya!!. Mati hidup semula pun aku tak mungkin akan berbaik dengan lelaki ini!”. Fikirnya lagi , mengingatkan dirinya sendiri tentang siapa abang Anip yang sebenarnya. 
“Jangan tertipu dengan pandangan mata!”. Ziah mengingatkan dirinya. 
“Pasti ada udang disebalik batu , jika tidak masakan dia tiba-tiba berubah. Takkanlah sebab dia terpikat  kat aku ni ...  atau ...  dia dah termakan pujukan mak dan abah dia untuk mengambil aku sebagai isteri? ... Eee ... taknak lah aku!. Takkan nak kahwin dengan lelaki misteri dan pelik macam tu!!!”.  Ziah berfikir lebih jauh. Tali beg sandangnya dipulas-pulas tanpa sedar.
“Jauh melamun ... dah tak sabar nak jumpa buah hati?”. Tegur abang Anip sebelum mengambil tempat di sebelah Ziah. Ziah tersentak ... lamunannya terpadam.
“Eh , taklah...”.  Jawab Ziah spontan.
“Hmm ... takkan tak ada  buah hati?” . Abang Anip menduga.
“Eh , tak adalah!”. Jawab Ziah ringkas. Berubah air mukanya  , tidak selesa disoal begitu. Tiba-tiba saja  wajah Zuraimie menerpa dalam kotak ingatannya. 
“Benci! Benci kau Zuraimie!!” . Jerit hati Ziah. Keningnya dikerutkan , wajahnya cukup tegang.  Tanpa disedarinya , abang Anip merenungnya , lelaki ini cuba mencari jawapan daripada riak wajah gadis ini.
“Hmm ... marah ke abang tanya begitu?”. Tanya abang Anip . Mungkin dia dapat mengesan kebencian yang terpancar di wajah Ziah tatkala soalan  tadi diajukan . Ziah hanya menggelengkan kepala. "Memanglah marah!. Sibuk je nak tahu itu ini. Sendiri punya hal sendiri jagalah!!". Kata hati Ziah. Hilang mood dia apabila teringatkan Zuraimie. "Harap aku tak perlu mengadap wajah kau lagi!". Kata Ziah perlahan.
"Apa? ... ". Tanya abang Anip spontan.
"Eh! takde apalah".Balas Ziah. "Adoiiii!!! ...boleh terlepas pulak!". Rungut hati Ziah.
“Hmm ... ni tiketnya , 10 minit lagi bas akan berlepas. Bas dah sampaipun. Jom abang hantarkan”. Ajak abang Anip. Berubah sedikit air mukanya mendengar kata-kata Ziah tadi.
“Err ... takpalah ,  Ziah boleh pergi sendiri”. Ziah menolak , perasaannya masih diganggu dek insiden 'terlepas kata' tadi."Dia dengar ke?". Fikirnya.
Abang Anip tidak mempedulikan jawapan Ziah lalu terus bangun dan menggalas beg pakaian Ziah . Tangan Ziah ditariknya.  Abang Anip menggenggam kuat tangan Ziah  sampai ke muka pintu   bas. Ziah terpaksa akur.  “ Oiiii!!! Auratlah!. Psyco lelaki ini!!”.  Bisik hati kecil  Ziah.
“Nah , ini tiketnya. Tempat duduk nombor 22”. Abang Anip menghulurkan tiket bas. Ziah mengambilnya.
“Terima kasih”. Ucap Ziah sepatah lalu terus memanjat tangga bas. Langsung tidak memandang wajah abang Anip .
Tempat duduk no 22. “Hmm ...”.  Ziah tersenyum sendiri setelah menemui tempat duduknya. Perasaan wanitanya berbunga ceria kerana dia bakal duduk bertemankan seorang lelaki muda , berkulit cerah dan berwajah menarik. Saling tidak tumpah wajah angkasawan negara yang digilai ramai itu , Sheikh Muzaffar Shah!
“Err encik , boleh tak kalau  tukar ke sebelah sini ...”. Tiba-tiba abang Anip bersuara dari arah belakang . Ziah terkejut.
“Macam manalah mamat ni tiba-tiba boleh muncul di belakang aku. Tak dengar derap kakinya pun?”. Fikir Ziah. Ziah melihat abang Anip menunjukkan sebuah kerusi kosong bersebelahan seorang lelaki tua kepada pemuda itu.
“Err ... boleh , tak de masalah”. Jawab lelaki berkulit cerah dan menarik itu dengan sopan. Dia bangun sambil tersenyum memandang Ziah. Ziah membalas senyuman itu.
“Terima kasih...” . Kata Ziah ,  terpaksa!.
“No big deal!”. Jawabnya mesra.
“Eee ... sibuk je abang Anip ni. Lepas peluang aku nak berkenalan”. Kata suara hati Ziah. Jengkel!
“Ok Ziah , abang balik dulu. Hati-hati dalam perjalanan”. Pesan abang Anip. Ziah hanya menganggukkan kepala. Malas untuk menjawab apa lagi hendak memandang wajah abang Anip ketika itu.
“Sibuk je ganggu urusan orang!!. Apa? ..... ingat nak suruh aku kata terima kasihlah tuu , sorry!”. Kata suara hati Ziah lagi. Marah betul dia. Masakan dia diperlakukan seperti budak. Semua perlu diatur seperti tidak tahu menjaga diri sendiri!. Setelah segalanya selesai abang Anip melangkah turun dan  terus berdiri di tepi bas itu sehinggalah bas bergerak meninggalkannya.
“Huh!  Lega ...  dia dah tak kelihatan!” . Sorak hati Ziah. 
“Haiii ....  mimpi apalah abang Anip tu malam tadi?”. Fikir Ziah lagi. Tersenyum.
              Bas ekspress Melor bergerak semakin laju meninggalkan bandar Kuantan. Sistem jalan raya 
yang telah banyak dinaiktarafkan menyebabkan bas mudah dipandu   melebihi 110 km/j.
“Hmmm ... bye bye Kuantan. Bye bye Pagan Sena. Bye bye abang Anip!.
“Bye bye abang Anip yang pelik!”.Tersenyum-senyum sendiri. Hatinya terasa amat lega kerana telah meninggalkan kehidupan yang mencabar di Pagan Sena walaupun hanya untuk sementara. Umpama batu besar yang memberati kepalanya selama ini telah dipindahkan , dibuang jauh-jauh!. Dushhh!!! ...  masuk ke dalam sungai Pahang yang besar dan lebar itu!.
Namun dalam kelegaan itu timbul pula keresahan. Resah dan cemas untuk mengetahui khabar sahabat baiknya , Diah. “Apa khabar kamu Diah?!” . Fikirnya. Perasaannya bertambah resah dan gelisah apabila memikirkan kemungkinan dia terpaksa berhadapan semula dengan pemuda yang telah menolak cintanya. “Menolak cintaku mentah-mentah!. Huhh ... apa yang patut aku katakan bila kami bersua nanti?”.  Fikirnya gelisah.
Berbagai peristiwa dan kenangan datang dan pergi dalam kotak fikiran Ziah. Rasa hatinya sentiasa berubah-ubah daripada suka , duka , kecewa , benci , marah ...  semuanya bercampur baur.
Dalam keresahan itu  akhirnya matanya terlelap. Lena dibuai kenangan silam. Ekspress Melor terus bergerak laju  ...
Ziah semakin lena. Sejam , dua jam ...  Ziah benar-benar lena ...