Popular Posts

Monday 30 March 2015

Sekolahku Syurgaku ... Prem

Sekolahku syurgaku ...PREM

Pagi ini seawal pukul 7:15 aku sudah sampai di bilik guru.
"Assalamualaikum" sapaku kepada Suzara , ustazah sekolahku yang sememangnya telah lama kukenali. Sama-sama dipertemukan di Cyberjaya pada tahun 2005 dan kini bertemu semula di DABB pada tahun yang amat bersejarah bagiku , 2015.
"Waalaikumussalam!. Akak , minggu lepas saya jumpa Mas dan Kak Su. Dorang semua kirim salam. Kak Su siap suruh sampaikan pesan , hari tu Prem sampai nangis teringatkan akak"
"Allahhu Akbar!. Kesiannya dia"
"Kak , Prem tu siapa?". Lantas aku menceritakan serba ringkas tentang Prem kepadanya. Tak boleh bercerita panjang sebab kami harus bergegas ke perhimpunan rasmi.

SIAPA PREM?
Prem adalah seorang daripada anak muridku yang bermasalah disiplin yang agak berat.
'Terlalu baran , tidak mendengar kata , biadap , sentiasa ponteng kelas atau keluar masuk sesuka hatinya , terlibat dengan pergaduhan tapi bukan dengan murid. Ini adalah pergaduhan perasaan guru-murid. malah Prem juga pernah mengangkat kerusi untuk dibalingkan kepada seorang guru lain. Mujur ramai pelajar lelaki Melayu  di sekitaran meluru mempertahankan guru itu menyebabkan Prem tidak jadi melakukannya"

Macam ganaskan bunyinya budak Prem ini?
Tapi sejujurnya aku melihat ketabahan di sebalik sikap barannya.
Aku melihat kelembutan di sebalik kekasarannya.
Dan aku melihat pandangan mata yang minta dihargai.

Adakah aku berkata kosong?
Tidak!. Itulah sesungguhnya. Bertugas sebagai ketua guru disiplin , aku menerima laporan dan rungutan yang tidak sudah-sudah tentang Prem. Hingga ada kalanya aku terfikir , siapakah yang sebenarnya yang bermasalah?
Sebagai pendidik , memang menjadi tugas dan amanah kita untuk mendidik. Jangan sekali-kali menghukum dan jangan sampai ada perasaan benci pada mana-mana anak-anak didik kita tidak kiralah apa jua bangsa dan agamanya.
Namun aku juga faham , bebanan kerja seorang guru yang terlalu menekan menyebabkan ramai antara kami yang terhakis empatinya sedikit demi sedikit.
Lagi pula , alangkan lidah lagikan tergigit. Inikan pula kita yang langsung tiada perkaitan.
Habis tu , bagaimana dengan aku?. Tidakkah terhakis ehsan di hati.
Hmm ... boleh aku masuk bakul angkat sendiri?
Aku tidak begitu. Sememangnya mendidik itu adalah minatku. Lagi pula , aku amat sukar dan tidak mungkin membenci orang lain dan kalau aku sayang , maka aku akan terus sayang. Pendapat kekawan rapatku , itu adalah kekuatanku tapi menurutku , itu jugalah kelemahan terbesarku!

Siapa Prem sebenarnya?
Dia adalah anak hasil keluarga yang berpecah belah. Tinggal bersama ibu dan adik bungsunya , terpisah daripada abang dan ayah yang sudah bertahun-tahun tiada khabar berita.
Susah payah ibu membesarkan dua anak lelaki menyebabkan si ibu terpaksa bekerja sebagai 'tea lady' di dua pejabat bagi menampung perbelanjaan harian.
Menitis air mataku ketika aku dimaklumkan bahawa adiknya pernah dipukul ibunya  kerana menangis tidak henti-henti disebabkan mahukan roti yang tidak mampu dibeli oleh ibunya.
"Ya Allah , sedih sangat hatiku ... berapa senlah sangat harga roti berbanding pelbagai makanan yang kusajikan untuk anak-anakku di rumah".
Dan Prem ... adalah anak ibu yang baik. Di sebalik sikap kasarnya , dia adalah penyejuk hati ibunya malah dia yang memandikan dan menguruskan neneknya. Sungguhpun miskin , keluarga ini masih sanggup menjaga nenek yang tua dan uzur.
Itulah Prem , anak muridku di mana sebahagian kasihku tertumpah kepadanya...

Acap kali aku menerima berita , Prem bertegang leher dengan orang lain. Tiap kali itu terjadi , aku akan segera mencarinya dan hanya perlu menepuk bahunya sambil berkata , "Sabar Prem , tak baik marah macam tu". Prem akan bising seketika meluahkan perasaan tidak puashatinya sebelum akhirnya akur dan bertenang.
Aku sayang Prem?. Ya!. Aku sayang dia sebagai anak muridku , aku hargai dia sebagai manusia walaupun kami berlainan agama dan bangsa namun aku yakin kebaikan yang ditabur dengan keikhlasan akan mampu membimbingnya ke arah jalan kebenaran. Malah aku berdoa agar Allah mengurniakan hidayah kepadaNya dan membuka pintu hatinya untuk mengenali dan mengamalkan islam, sesungguhnya islam itu adalah agama kasih sayang.

Inilah kisah Prem ... anak muridku yang pernah kujanjikan akan kubimbing agar cemerlang SPM pada tahun ini tapi sayang takdir telah menentukan bahawa aku akhirnya terpaksa berpindah. Meninggalkan Prem dan yang lain-lain dengan hati yang berat ... 'Janji hanya tinggal janji'. Tidak mampu hendakku tunaikan dan aku amat kesal untuk itu.

"Selagi kita berpijak di bumi yang sama , berbumbungkan langit yang sama seharusnya kita saling menyebarkan 'rasa kasih dan sayang'. Aku amat mempercayai apa saja yang datang dari hati akan sampai ke hati juga.
-Allah juga yang lebih mengetahui-
dan
Hmm ... aku mahu terus hidup dengan kasih sayang

-peace-
ojai
>__<




Saturday 28 March 2015

Lukis jea ... Layan mata

Lukis jea...Layan mata

Terjaga 3:00 pagi.
Buat apa yang patut ...
Selesai ... mahu beradu tapi mata tidak mahu pejam
Mahu bermain warna sayangnya semua warna sudah mengeras
So ... seadanya ...
'Layankan Mata'

-peace-
>__<

Monday 23 March 2015

Lukis jea...Sekadar merehatkan minda

Lukis jea ... Sekadar merehatkan minda

-Hari ini sangat penat-

-peace-
>__<

Friday 20 March 2015

Puisi...Cukup sudah! Hentikan detik waktu!!

Hmm...apalah sangat perit lilin cair tu...


Hentikan detik waktu!

***Tika belati terlanjur dilarek***ojai
Terukir sebuah kisah atas hamparan
Terbentang luas ... masih kosong tanpa diusik
Kiranya angkara tukang karut yang terpesona
Teruja dengan keindahan mimpi-mimpi
Yang bakal dilakarkan di tiap inci ruang
Walau dalam angan atau dalam pejam

Nanti tika mentari mulai menjelma
Mata itu masih belum mahu celik
Walau hangatnya memanah tubuh ...
Perit pedih ... Bukan suatu bohongan lagi
Sungguh mimpi sudah lama berakhir
Tapi lagu masih bermain merdu
Alunan melodi indah tidak mampu disangkal
Telah berabad berdendang mesra
Menjadi tamu hadir tanpa undangan

Lantas alam bagai riang bernyanyi
Melirik mengikut irama yang kian sumbang
Walhal pincang itu dihidu sejak kelmarin
Dikhabar dek angin yang berlalu
Disapa keras unggas yang terbang pulang
Namun akal waras masih juga mendungu
Terus mengukir ilusi logamaya
Tika hadirnya dalam ketiadaan
Mengulik tari atas kudup bunga kehidupan
Yang tiada pernah kembang

Maka rintih sudah seisi karung
Membingit ratap  gendang dipalu
Melaung jerit minta dihenti
Cukup sudah! Hentikan detik waktu!!
Tunjang dasar ini kian ampuh
Pasak mereput tidak sekukuh waja
Tak terdukung lagi riwayat gundah
Yang matinya tidak di pusara
Hidupnya berabad  tak bernyawa
Mengonar dalam sangkar
Meracun dalam diam ... menjadi bisa
Mengalir dalam darah yang kian memekat

Hingga gugurlah kelopak usang bewarna salju
Melerai dari tangkai nan tandus
Dek tiada lagi titis embun yang mendingini pagi
***Atau renyai hujan merebasi bumi***ojai




-peace-
>__<

Hmm...terpulanglah bagaimana mahu mentafsir. Tiada yang salah kerana tiap kita 
punya hak untuk buat tafsiran sendiri.

Erghhh!!!...
 ...dan aku sudah tidak suka berpuisi.


Serius Benci!!!






Wednesday 18 March 2015

Lukis jea ... Menarilah dan terus menari

Lukis jea ... Menarilah

Hmm ... Jom menari!
Tak kesahlah ... tarikan saja...





-peace-
>__<

Tuesday 17 March 2015

Lukis jea ....' Ter ... dan terpercik'

Lukis jea ... Panasnya dunia

'Ter ... Banyaknya 'ter' dalam hidup ini'

Hmm...


-peace-
>__<

Monday 16 March 2015

Lukis jea ... bermain warna

Lukis jea ... Bermain warna

Lama sangat tak bermain warna ... buruk gilerr

Sshhhh!!!!

-peace-
>__<

Sunday 15 March 2015

Lukis jea ... Tika gendang dipalu

Lukis jea...Tika gendang dipalu...


Sshhhh!!!



Istimewa untuk 'awak' yang sedang marah
Sedikit kata nasihat dari saya
(Telah diterjemahkan oleh seorang teman yang baik hati)

"Nopo dhadhi pegel wong ngarani kito tiang jowi.
Seharuse banggo , mantep ing ati karo apo seng kito
duwe , iku tandha saka wong ngucapke matur nuwun"





-peace-
>__<

-harap satu hari nanti aku boleh tulis sendiri tanpa
diterjemahkan oleh sesiapa-
😜



Tuesday 10 March 2015

Sekolahku syurgaku .... M.O.U

Lukis jea ... Yang bulat tidak datang bergolek...

Ingin sekali aku ceritakan tentang M.O.U
antara aku dan anak2 didikku
Malangnya...siap melukis burung comel ni aku dah rasa
mengantuk. Jadi esok saja jika ada kelapangan aku
ceritakan.


-peace-
>__<


Hari ni , baru ada kelapangan menuliskan kisah M.O.U ni
Apa itu M.O.U?
Hmm ... mesti ramai yang dah tahu. Bagi yang kurang tahu , M.O.U tu adalah ...


Aku:      Ok , anak2 murid cikgu , dengar apa cikgu nak cakap ni
(Memang dorang ni suka sangat 'pok pek pok pek' dan kurang beradab dalam kelas. Bebudak   kelas hujung , anak2 pinggiran bandar yang tersepit antara Cyberjaya dan BBB. Punya                        keluarga tapi hidup sekadarnya. Punya rumah ... ada yang alahai , sedih melihatnya namun   tidak dinafikan ada juga yang hidup sederhana dan bahagia. Jadi aku selalunya 'dance with the flow. Pada aku , tak guna marah2 kalau mereka sememangnya tidak mengerti').
Murid 1:  Woii! dengarlah cikgu nak cakap ni.

Aku :        Awak semua ni , memang susah nak   berhenti bercakapkan?

Murid 2:  Ok cikgu . Kami dengar cikgu. Apa2 aje untuk cikgu.

Murid 3:  Ya cikgu , apa2 aje untuk cikgu. (Sebenarnya memang itulah ayat 'biasa' mereka untuk 'bodek' aku...Hahaha  ... aku layankan  aje)

Aku:        Minggu depan awak nak periksa dah kan. Jadi cikgu nak kita buat satu M.O.U.

Murid 4:  Cikgu! M.O.U tu apa?

Aku:        M.O.U tu maknanya 'Memorandum of understanding.

Murid  :   Apa tu cikgu?
Aku:        Alah! Macam perjanjian yang kita persetujui bersamalah ...

Murid  :   Ooooo

Aku:        Ok , minggu depan awak akan ada ujian penilaian 1, Jadi cikgu nak kamu semua dapat         sekurang2nya 40 markah. Maknanya markah terendah yang kamu boleh dapat adalah 40%.

Murid  :   Kalau kurang?

Murid  :   Kalau lebih lak cikgu?

Murid  :   Kalau 39 cikgu?

Aku:    :   40% tu kan markah lulus awak. Cukup2 makan jea tu. Cikgu yakin kalau awak belajar         mesti dapat lebih daripada 40.

Murid  :   Kitorang PT 3 hari tu pun tak lulus sains. Macam mana nak dapat 40 markah cikgu?

Aku:        Sebab tulah cikgu nak buat MOU  dengan  awak semua ni.Masa cikgu ajar awak , cikgu       tengok awak semua boleh faham je. Cikgu tengok awak semua sebenarnya  pandai.                             Cumanya  terlalu malas nak ulangkaji!. Sebab tu cikgu nak kita buat MOU ni!. Betul tak
yang awak ni semua sebenarnya pandai? (Saja je soal macam tu...>__< )

Mujrid2 : Betul cikgu!! (Jawab sebahagian murid sedangkan yang lain tu buat bodoh jea...>__< )

Aku:        Ok. Awak semua dengar. Ujian minggu depan , semua mesti dapat sekurang2nya 40
markah. Siapa dapat kurang daripada 40 kena belanja satu kelas termasuk cikgu sekali!

Murid2:   Cikgu! Mana ada duit nak belanja. Banyak tu cikgu!!

Aku:        Cikgu tak tetapkan pun awak nak kena belanja apa atau berapa harganya. Kalau awak nak
kasi semua orang gula2 sebiji sorangpun boleh. Awak nak kasi keropok sorang sekeping pun  boleh...

Murid :    Hah! Aku bagi air sorang setitik!

Aku:        Aduh! Agak2lah...takkan air sorang setitik kot!

Murid :    Habis cikgu tak belanja jugak ke?

Aku    :    Boleh. Kalau awak semua lulus. Dapat sekurang2nya  40 markah , cikgu belanja awak...

Murid2:   KFC! Pizza!

Aku    :    Amboi! Banyaklah awak punya KFC!. Nak Pizza bagai...  Awak nak dapat 40 markah jea pun. Dahlah soalan setakat 2 bab jea. Takde maknanya cikgu nak belanja awak KFC , Pizza. Cikgu belanja awak ayam ketuk2 kat kantin jea!

Murid  :   Chicken choplah cikgu! Ada pulak ayam ketuk2! (Diikuti gelak ketawa murid2 lain)

Aku     :   Ye?. Chicken chop ye namanya (Jawabku sambil tersengih. Kenapa aku panggil ayam
ketuk2 - semasa penyediaannya , kepingan ayam tu akan diketuk nipis sebelum dibalut dengan tepung. Hmm...sebenarnya ada unsur2 penipuan ni!).

Murid  :   Alah! Setakat ayam 'Ketuk2' dua ringgit tu. Boleh beli sendirilah cikgu!

Aku     :   Amboi! Berlagaknya.Kalau awak dapat 80 ke , 90 ke barulah berbaloi cikgu belanja KFC
atau Pizza.

Murid  :   Alah cikgu , bolehlah!

Aku     :   Boleh jea dengan syarat , kalau betul awak semua lulus sekurang2nya 40 markah , cikgu belanja KFC atau Pizza untuk semua. Tapi kalau ada yang gagal , diapun kena belanja KFC atau Pizza. Macammana? Setuju?

Murid2:   Alah tak payahlah cikgu!!. Kita ikut yang mula2 tadilah! Ayam ketuk2pun takpelah cikgu!!
           
(Heh heh heh ...aku tersengih panjang bila melangkah keluar dari kelas 4... setelah loceng berbunyi dan aku tahu , tentu ramai yang akan gagal ujian penilaian 1 ni nanti!. Hmm ...  dan aku betul2  nak belanja KFC untuk murid yang dapat markah tertinggi. Tak kiralah  kalau yang tertinggi tu setakat 41% jeapun!!!)



-peace-
Seronokkan jadi cikgu!
>__<

-Amat berbeza suasananya bila mengajar kelas hujung /paling hujung
dengan kelas pertama dan kelas2 depan yang lain dan di situlah cabaran yang memerlukan kesabaran dan kreativiti seorang guru kerana kita bukan saja mengajar tapi mendidik!







Sunday 8 March 2015

Sekolahku syurgaku ... "Pagi-pagi dah membebel!"


Lukis jea ... bunga kektus.
anak2 muridku seindah bunga kektus
tapi selalu juga menjadi duri yang menyucuk jari...
Hmmm.....

Kelas masa pertama-"cikgu , pagi2 dah membebel!"

Kelas yang selalu saja menjadi bahan fikiran aku  ialah kelas  4 ....
Mengajar mereka matapelajaran sains teras memang amat mencabar dan menguji kesabaran.
Bayangkan, setiap kali masuk kelas waktu pertama pasti sampah penuh bertaburan dilantai , malangnya masing2 buat bodoh dan buat tidak nampak je. Mereka lagi tega berborak dan berbuat bising daripada membersihkan kelas!
Antara dialog yang biasa terjadi...

Aku   : Ya Allah , bersepahnya kelas kamu ni. Ok sekarang cikgu nak semua orang bangun dan kutip sampah sekeliling meja awak termasuklah sampah dilaci meja awak sekali. Selagi tak bersih jangan ada yang duduk.

Murid 1: Mana ada sampah cikgu. Oklah ni!

Aku :  Apa ?, awak tak nampak sampah yang bersepah ni Haziq? Hah! Mari sini cikgu tunjuk
(Sambil menunjukkan tiap satu sampah dan menyuruhnya mengutipnya).

Aku:  Dah nampak sampah sekarang?

Murid 1: Dah cikgu (sambil tersengih dan tentunya aku membalas sengihannya itu...^__^)

Murid 2: Apa pulak cikgu, orang yang bertugaslah kena sapu sampah. Apasal lak kitorang?

Aku :  Betullah tu. Tapi mana kawan awak yang bertugas tu?. Tak naik2 lagi kan?. Kalau awak nak  tunggu dia , alamat tak belajarlah kita hari ni. Lagipun apa salahnya awak yang dah masuk  awal ni ringan tulang sikit. Daripada duduk berborak kosong , kan lebih baik tolong bersihkan  kelas  awak yang bersepah ni.

Murid : Tapi tak acilah cikgu. Dia yang bertugas

Aku :  Awak! Sampah keliling meja awak pun nak berkira sangat?. Kalau perangai macam ni bilanya kita nak start belajar?
(Jawabku dengan nada suara yang mulai tinggi- mana taknya, mengajar satu masa-35 minit            sahaja.
       
Pecahan masa untuk kelas 4 ..... ini;
Tunggu dorang masuk kelas sampai 10-15 minit.
Suruh kemaskan kelas ambil lagi 10 minit (sebab masing2 bukan main pemalas!).
Lepas tu kami akan sama2 baca al-qur'an selama 5 minit
(sekolah aku ada program-'Qur'an dihatiku,bagus program ini-Hmm...lain kali aku cerita).
Dan akhirnya masa yang tinggal untuk belajar hanyalah 5-10 minit sahaja).

Itu belum ditolak dengan gangguan lain-seperti ....
Aku  : "Aqmal! Yang awak ni keluar masuk - keluar masuk kelas sesuka hati tu kenapa?"

Aqmal :"Apa lak cikgu , tu kawan saya kat luar tu"

Aku  : "Awak nampak saya kat depan ni kan?. Kalau dia nak bercakap ngan awak , ketuk pintu , minta izin cikgu dulu. Itu baru beradab namanya.  Bukan main suka-suka hati panggil dan cakap dari luar. Awak pula , mana adab awak ngan saya , main suka je keluar masuk        macam ni"

Aqmal:" Aduh cikgu ni ... , pagi-pagi dah membebel!!"
( Jawab Aqmal sambil membuat muka)

Aku  : " Tahu tak suka bila cikgu membebel. Lain kali kalau tak nak kasi cikgu membebel pagi-pagi hari macam ni. Sebelum cikgu sampai , bersihkan kelas dulu. Lepas tu ,bila nak keluar
masuk kelas , minta izin cikgu dulu ... bla bla bla..."
( Langsung aku betul-betul membebel!...  :D Dah macam mak nenek aku ni!!)

So pengajaran hari ini ... bertajuk - Membebel!
Alah , bukan lamapun. Tak sampai 5 minit. Tolak masa menegur sikap Aqmal yang kurang sopan itu , baki masa yang tinggal hanya cukup untuk aku memberikan sedikit nasihat yang mereka anggap sebagai membebel itu.

Akhirnya aku meninggalkan kelas 4 ... sambil berkata dalam hati , "Hmm...macam manalah nak habiskan sukatan ni?!"

Hmmm...kau ingat jadi cikgu senang?!
🤪🤪🤪🤪🤪🤪


-peace-
>__<

Kelas ni istimewa
Makanya aku harus bermain tarik tali ngan mereka
Kebanyakkan  masa tersengih dan bergelak ketawa bersama mereka
Tapi ... juga harus boleh bertukar serius dan garang dalam sekeli mata.

Friday 6 March 2015

Lukis jea...kasih sayang

Lukis jea ... kasih sayang
Bukan boleh dibuat2...ia lahir dari hati tanpa paksa
Hmm..."segalanya lebih bermakna kerna kalian"



-peace-

>__<