Popular Posts

Tuesday 26 July 2016

Cerpen : Apa nilai 'sahabat' bagimu?

           
Lukis jea ... Apa nilai 'sahabat' bagimu? ...
             Petang itu Dilaila masih perlu ke kelas 'Lukisan dan Puisi' En Ibrahim , lecturer 'Unik' yang punya gaya tersendiri. Tergopoh gapah Dilaila bersiap dan berlari anak menuju ke perhentian bas.
"Cuba kamu bayangkan sekiranya , tubuh badan kita ini dijadikan Allah sama bentuknya seperti papan lapis atau keras bagai batang pokok , tentu kita bukanlah makhluk yang menarik. Bila dipegang ... leper dan keras!". Inilah antara bicara En Ibrahim yang lekat dalam kepala Dilaila dan sering saja membuatkan Dilaila  tersenyum sendiri apalagi bila terbayangkan gerak gaya En. Ibrahim yang mengusap-ngusap perut ketika menyampaikan ideanya itu.
" Sebab itulah ada bahagian-bahagian tertentu tubuh kita , ni...di sini ( perutnya ) haruslah membuncit sedikit". Katanya sambil tertawa kecil dan disambut oleh kami semua , 25 pelajar yang mengambil kursus ini.

"Hah kamu Dilaila ... cepat masuk. Saya dah nak mula ni".
Dilaila lantas tersengih lalu mengambil tempat paling belakang. Tercungap-cungap menarik nafas , penat berlari anak sebaik saja turun dari bas tadi. Belumpun sempat Dilaila bertenang ...
"Wajah awak ni , macam wajah anak saudara saya ... lembut , ayu ...". Terkebil-kebil Dilaila apabila En. Ibrahim tiba-tiba membandingkan wajahnya dengan wajah anak saudaranya.  Rakan-rakan di kiri kanan Dilaila berpaling memandangnya. Dilaila hilang gaya dan hanya mampu tersengih.
"Eeeeuuu ... apahal En. Ibrahim ni ... buang tebiat ke apa?". Rungut Dilaila di dalam hati.
"Tapi yalah ... jangan disangka perempuan yang berwajah lembut dan ayu itu lemah dan tidak punya kekuatan diri ... bla bla bla ..." Sambung En. Ibrahim.
"Baiklah , sebagai tugasan kamu hari ini , saya mahu kamu melukiskan satu potret. Kamu semua ada dua pilihan iaitu sama ada memanipulasikan ton warna untuk menunjukkan bentuk dan ruang atau boleh juga menggunakan garisan. Garis - garis yang rapat itu menunjukkan ton yang gelap manakala garis-garis yang jarak itu menunjukkan ton yang lebih cerah. Kamu juga boleh bermain dengan garis tebal dan nipis. Cuba dan explore ... saya harapkan hasil yang baik minggu hadapan". Arah En. Ibrahim sebelum menamatkan kuliah hari itu.
"Laaa ... nak suruh lukis potret rupanya!. Tak pasal-pasal aku jadi bahan set induksi dia". Bisik Dilaila perlahan sambil tersenyum.
Maka tamatlah kuliah hari itu ... Dilaila berjalan pulang.

"Amboi menonong aje berjalan. Langsung tak pandang orang!". Sapa Bad sambil menepuk bahu Dilaila.
"Laa ... kau dari mana?. Tetiba je muncul?" Tanya Dilaila.
"Library ... cari bahan tugasan kitalah tu. Kau dah cari bahagian kau ke belum?" Tanya Bad atau nama penuhnya adalah Badriah Bt.Ismail , rakan baik Dilaila. Mereka sama-sama mengambil Diploma pendidikan setelah menamatkan ijazah masing-masing. Mahu menjadi pendidik ... itulah cita-cita mereka. Sorang berangan nak jadi cikgu Biologi dan sorang lagi nak jadi cikgu Matematik.
"Adalah jugak ... dah banyak gak aku cari. Rasanya hujung minggu ni bolehlah aku susun dan taip bahagian aku tu. Kau lak macam mana?" Tanya Dilaila.
"Samalah ... nanti kita combine dan check sama-sama. Agaknya dalam minggu depan bolehlah kan. Siap awal-awal senang sikit. Taklah serabut kepala ni". Cadang Bad dan Dilaila mengangguk tanda setuju.

Dilaila dan Badriah telah memilih satu sama lain sebagai rakan sekumpulan untuk menyelesaikan tugasan Dr Nazhan , lecturer pedagogi yang agak islamik. Mereka diberikan tugasan yang bertajuk , 'Al-Qur'an dan Pendidikan' sebagai kerja kursus mereka.
Tajuk yang agak luas dan terpulang pada mereka untuk mengolah dan memilih skop perbincangan. Setelah berbincang , Dilaila dan Bad telah memecahkan tugasan mereka kepada dua bahagian iaitu 'Al- Qur'an sebagai sumber ilmu' ( Bahagian yang akan disiapkan oleh Dilaila) dan 'Konsep mendidik menurut Al-Qur'an ( Bahagian yang akan disiapkan oleh Badriah pula).

                  Demi tugasan itu , hampir setiap hari Dilaila berulang alik ke library untuk mencari bahan yang sesuai. Jika tidak sempat di sebelah petang , Dilaila akan mengulanginya di waktu malam.
"Kerja kumpulan , kenalah buat betul-betul. Kang kalau cincai boncai , kesianlah partner". Fikir Dilaila sambil membelek-belek buku yang baru diambil daripada rak. Sehelai demi sehelai bahagian yang menarik dan dikira berkaitan dengan tugasannya dibaca. Dilaila membuat catatan akan maklumat-maklumat penting terutamanya ayat dan surah dalam al-qur'an yang berkaitan.
"Mak aiii ... dah pukul 10. Hmm ... kejap sangat masa berlalu". Rungut Dilaila.
Lalu dengan tergesa-gesa Dilaila mengemaskan barangannya dan meletakkan semula buku-buku yang dibacanya di dalam rak.

             Ketika sedang bergegas menuruni tangga library , mata Dilaila tertangkap sesusuk tubuh yang amat dikenalinya , "Hrmm ... baik menghilangkan diri". Fikir Dilaila lalu langkah kakinya dipercepatkan.
Nasibnya baik , elok saja selamat menyeberangi jalan ke bus stand , sebuah bas merah sampai dan berhenti betul-betul di hadapan Dilaila. Apa lagi , Dilaila terus naik dan memilih tempat paling hadapan yang kebetulan masih kosong.
"Alhamdulillah ...".
"Maafkan saya awak ... semuanya harus berakhir di sini". Keluh Dilaila sambil matanya memerhati keluar tingkap. Ada yang ingin dicarinya ... bas terus bergerak dan Dilaila hanyut dalam fikiran.

"Awak ... boleh saya tanya sesuatu?"
"Ya , tanyalah"
"Awak dan dia ada apa-apa hubungan ke?", tanya Lia dengan suara yang amat mengharap ... cukup untuk menyeret Dilaila ke situasi yang amat serba salah!!


Perbualan ringkas dengan Lia , seorang teman melalui telepon telah memaksa Dilaila membuat keputusan yang berat baginya.

"Ditelan mati emak , dibuang mati ayah. Maafkan aku awak..." Keluh Dilaila.
Terbayang olehnya wajah Haikal ... "Kecewakah awak ... atau aku yang lebih kecewa?. Huh!". Keluh Dilaila lagi.
"Suka atau tidak , awak yang memaksa aku membuat keputusan ini. Kenapa awak memberi harapan kepada dua wanita serentak ... dan aku tidak mahu terperangkap lebih jauh dalam permainan ini".
Ya!. Itulah keputusan yang telah dibuat oleh Dilaila. Makan tahun lamanya Haikal   bertahta di hati dan semuanya musnah dek satu panggilan telepon!
Bas merah terus berlalu membawa penumpang ke destinasi masing-masing.

Hari baru ... micro teaching
       "Dilaila!! Cepatlah!". Jerit Bad sambil melihat-lihat jam di tangan.
"Okey! Okey ... dah siap!!". Dilaila berlari anak mendapatkan Bad yang sedang menunggu di pintu rumah. Tangan kanan memegang beg manakala tangan kiri menggenggam segulung manila kad.
"Apa tu?". Tanya Bad sambil mengerling  ke arah gulungan kad manila yang digenggam Dilaila.
"Adalah ... surprise!!!". Jawab Dilaila sambil tersenyum.
"Alah! dah tahu!!". Balas Bad selamba.
"Hmm ... kalau tahu kenapa tanya?". Jawab Dilaila.
"Setiap kali mikroteaching , kau lukis kartun. Tukarlah idea lain". Balas Bad.
"Nape? ... kau tak sukakan kartun-kartun aku tu ke?". tanya Dilaila spontan.
"Tak lah..."
"Habis tu?".
"Hrmm ... takde apalah!". Jawab Bad sambil mempercepatkan langkahnya meninggalkan Dilaila.
"Huh! Suka hati kaulah Bad!". Balas Dilaila , mengejar Bad dari belakang.

             Seperti yang dijadualkan , kelas mikro teaching hari tu berjalan lancar. Lepas sorang-sorang membentangkan tugasan , berlakon sebagai guru dan yang lain adalah anak murid. Seperti biasa , Dilaila akan duduk di sebelah Bad.
"Hmm ... lepas ni giliran Huzaimi. Mesti kelakar tengok dia cuba kawal loghat Kelantan dia tu". Bisik Dilaila.
"Huishhh! Tak baik tau ejek orang". Balas Bad , serius benar mukanya.
"Mana ada ejek , suka je dengar dia cakap bahasa Malaysia baku. Best apa ..." Jawab Dilaila.
"Kau jangan suka sangat , kang sangkut lak kang. Mana kau nak campak Haikal tu?". Balas Bad , serius.
"Apa kau merepek?. Takde maknanya aku nak sangkut dengan mamat ni!". Jawab Dilaila , agak tersinggung mendengar kata-kata Bad. Hilang mood dia apabila nama Haikal disebut.
"Nape?. kau marah ke?...".Tanya Bad setelah melihat air muka Dilaila berubah.
"Tapi aku cakap ni bersebab , kau tak perasan ke yang mamat tu ada hati kat kau?". Sambung Bad lagi.
"Itu masalah dia ... bukan aku!. Bukan aku boleh control hati dia!". Rungut Dilaila , antara denga dengan tidak.
"Eh! Kau cakap apa?". Tanya Bad.
"Takde apalah". Balas Dilaila.
"Baiklah semua , kita break 15 minit sebelum sambung semula". Tiba-tiba En. Taufiq , lecturer yang bertanggung-jawab membimbing kelas mikro-teaching pelajar Diploma Pendidikan tahun ini.
"Pukul 11:15 tepat kita semua mesti berada di sini semula". Sambungnya.
Maka berdenai semua keluar. Ada yang ke bilik air menyelesakan diri dan ada juga yang bergegas mencari sarapan pagi.
Dilaila , Bad dan Arman hanya duduk sambil membelek-belek bahan persediaan masing-masing.
Berasa agak bosan , Dilaila lantas bangun ke hadapan  , mengambil marker dan mula menulis sesuatu di papan putih.
"Amboiii!!! Tulis tangan kiri nampak!". Tetiba Bad bersuara. Dilaila terdiam seketika , sungguh dia tidak perasan dan tidak sengaja menulis dengan tangan kiri. Mana tidaknya , fikirannya terganggu apabila Bad menyebut nama Haikal. Lebih terganggu apabila Bad cuba mengaitkan dia dengan Huzaimi pula. " Kau fikir cinta aku bersepah di pasar malam?". Jengkel benar Dilaila mengingatkan kata-kata Bad tadi.
"Nak tunjuk bakat ke?". Sambung Bad dengan nada menyindir.
Dilaila diam , lalu segera menukar kedudukan pen marker daripada tangan kiri ke tangan kanan.
"Bad ni dah kenapa?. Tak habis-habis nak menyakitkan hati aku ...". Fikirnya dalam hati.

Jam sudah 11:15. Semua pelajar sudah berada di tempat masing-masing. Tinggal menunggu En. Taufiq saja ... dan sebaik saja En. Taufiq tiba , pelajar seterusnya membentangkan tugasannya.

Arman : "Baiklah murid-murid semua , objektif pengajaran kita hari ini adalah untuk mengkaji hubungan antara luas permukaan dan kestabilan sesuatu objek". Begitulah intro Arman.
Arman : ...Bla..bla ... bla ... bla ...". Selepas 10 minit berlalu ...
Arman : " Baiklah , Dilaila ... sila jawab soalan itu".
"Err ... maaf cikgu , apa soalannya?" Terkejut Dilaila apabila namanya disebut  tiba-tiba.
"Hmm ... sedari tadi kamu berangan , sebab itulah tak dengar apa yang saya soal". Balas Arman , memandang tepat ke wajah Dilaila.
"Apahal lak mamat ni?. Saja cari pasal ngan aku!". Rungut hati Dilaila , malu dia dikomen begitu.
"Baiklah , siapa yang boleh jawab soalan saya tadi?". Tanya Arman kepada yang lain.
"Saya! ". Jawab Bad sambil mengangkat tangannya dan " bla ... bla ... bla ..."
Dilaila diam dan hanya memandang kosong ke hadapan. " Hmm ... suka hati korang lah". Fikirnya.
             
             Selesai Arman membentangkan tugasannya , pelajar seterusnya dipanggil.
"Baiklah , Badriah. Giliran kamu sekarang"
Badriah terus ke hadapan kelas, Berjalan dengan penuh yakin. Memang Badriah mempunyai bakat sebagai seorang guru.
"Baiklah murid-murid , sekarang cikgu mahu  kamu perhatikan gambar yang cikgu edarkan ini".Kata Bad sambil mengedarkan gambar kemalangan jalanraya. Gambar sebuah lori melanggar beberapa buah kenderaan dan sebagai perbandingan Bad turut mengedarkan gambar kemalangan yang melibatkan dua buah kenderaan sahaja.
"Berdasarkan 2 kemalangan tersebut , ada sesiapa boleh buat perbandingan antara keduanya?". Tanya cikgu Badriah.
"Saya cikgu , kemalangan yang melibatkan lori itu nampak lebih dahsyat daripada dua kereta tersebut". Jawab Dilaila dan diikuti oleh jawapan-jawapan daripada yang lain.
"Bagus! Mari kita fikirkan bersama , apakah faktor-faktor yang menyebabkan kemalangan yang melibatkan lori itu lebih teruk kesannya berbanding kereta. Bla ... bla ... bla ...". Badriah meneruskan pengajarannya sehingga tamat.
"Baiklah , ada sebarang komen?". En Taufiq memandang pelajar-pelajarnya.
"Ya!"Respon Dilaila spontan.
"Silakan".
"Keseluruhannya , pengajaran guru ini amat baik. Menarik dan tidak membosankan. Cuma ada satu perkara sahaja yang saya fikir perlu dibaiki iaitu teknik penyoalan. Rasanya , lebih baik jika cikgu berikan soalan atau nyatakan soalannya dahulu , kemudian baru dipanggil nama murid yang tertentu. Dengan cara itu semua murid akan memberi perhatian terhadap soalan cikgu berbanding jika cikgu sebutkan nama murid dahulu baru dinyatakan soalannya". Komen Dilaila.
"Ya saya bersetuju dengan pandangan Dilaila. Soalan mesti dinyatakan dahulu , kemudian baru nama murid dipanggil". Sokong Arman.

Giliran Dilaila...
             Tiba giliran Dilaila , pembentang terakhir untuk hari itu.
Dilaila keluar dengan gulungan kad manila di tangan.
"Assalamualaikum , baiklah murid-murid sekelian. Sila tengok apa yang ada pada kad manila ni". Arah Dilaila sambil membuka dan menampalkan kad manila pada soft board yang terdapat di hadapan kelas tersebut.
"Waahhhhh!!! , sorak pelajar yang lain apabila melihat lukisan 'mamak roti canai yang terlepaskan cawan kopi panas' akibat tangannya yang dipenuhi minyak selepas mencanai roti canai.
Itulah set induksi yang disediakan Dilaila untuk membincangkan tajuk 'Daya Geseran'.
"Bla ... bla ... bla ... bla ... bla ..." Dilaila membentangkan tugasannya sehingga selesai.

"Baiklah pelajar , ada sebarang komen?". Tanya En. Taufiq.
"Ya , saya ada komen". Bad mengangkat tangannya.
"Bagus , silakan"
"Keseluruhan pengajaran cikgu ini memang baik dan menarik cuma , penggunaan lukisan kartun yang agak kerap dalam set induksi itu mungkin akan menyebabkan murid-murid menjadi bosan". Terang Bad.
"Cikgu mungkin patut gunakan perkara lain selain lukisan dalam set induksi". Sambungnya lagi.
"En. Taufiq , boleh saya berikan pandangan?".Huzaimi mengangkat tangan meminta izin.
"Ya , silakan".
"Saya kurang bersetuju dengan saudari Badriah. Pada pandangan saya , walaupun cikgu ini menggunakan teknik yang sama iaitu melukis kartun dalam kebanyakkan set induksinya tetapi setiap lukisan itu adalah berbeza-beza dan sesuai dengan tajuk dan objektif pengajaran. Malah anak-anak murid pasti akan tertunggu-tunggu , lukisan kartun apa pula yang akan dilukis oleh cikgu ini pada kelas seterusnya". Terang Huzaimi dengan panjang lebar.
"Baiklah ... masa pun hampir tamat. Terima kasih pada kedua-dua komentar kita.Kedua-duanya ada point yang bernas. So , cikgu Dilaila kenalah pertimbangkan dan ambil manafaat daripada kedua-dua komen tersebut". Ulas En. Taufiq sebelum membenarkan semua pelajarnya bersurai.

Perjalanan pulang...
             Badriah dan Dilaila berjalan beriringan menuju ke bus stop. masing-masing diam melayan fikiran , tambahan pula mereka telah penat 'bermikroteaching' sedari pagi lagi.
"Dilaila ... kau perasan tak ,  Huzaimi tu memang sentiasa bela kaukan?"Kata Badriah tiba-tiba setelah sama-sama lama mendiamkan diri.
"Ye ke?. Bukan apa yang dia cakap tu ada betulnya?. Aku terima komen kau dan dia tadi sebagai satu rahmat untuk aku memperbaiki teknik pengajaran. Aku tak nampak pun sebarang niat untuk membela". Balas Dilaila.
"Hmm ... kau tu memang mana pernah perasan semua tu!. Hah! satu lagi ... si Arman tu pulak memanjang menyokong saja apa yang kau kata. kau tak rasa pelik ke?". Tanya Badriah.
"Pelik?. Ni ... pasal komen aku pada kau tadi ke?.Sejujurnya aku tak nampak kat mana salahnya kata-kata Arman tadi tu. Kebetulan dia sependapat dengan aku. Kami ni Bad , bagi komen untuk baiki kau ... baiki satu sama lain supaya kita sama-sama akan jadi guru-guru yang hebat". Terang Dilaila dengan panjang lebar.
"Hmm ... tengok sekali lagi. Kau memang tak dapat nak tangkap semua yang tersirat kan. Dari gaya bahasa badan derang pun aku dah boleh baca. Nasib baiklah kau dah ada yang punya!". Balas Badriah.
"Hah! Panjang umurpun calun imam kau tu!". Ucap Bad sambil menudingkan jari telunjuknya ke satu arah. Dilaila tunduk , langsung tidak memandang ke arah yang ditunjuk.
"Eh! Kau ni dah kenapa?". Tanya Badriah.
"Takde apalah ... ". Jawab Dilaila sebelum terus membatukan diri.

        Malam itu dilaila menghabiskan masanya mengadap komputer untuk menyiapkan tugasan kumpulan yang diberi oleh  Dr. Nazhan.
"Biar aku siapkan dulu, nanti senang Bad nak sambung bahagian dia". Fikir Dilaila.
Sedang Dilaila kusyuk menaip ...
Di sudut lain rumah itu, rakan - rakan serumahnya sedang membicarakan 'berita hangat'. Entah mana puncanya, berita hubungan Dilaila-Haikal  yang putus di tengah jalan boleh sampai ke telinga mereka. 
'Ku sankakan panas sampai ke petang , rupanya hujan di tengah hari'. Itulah peribahasa yang sesuai untuk menggambarkan hubungan Dilaila-Haikal yang tak kesampaian.
"Entahlah ... dah lama sangat berkawan tetiba putus. Rasa macam tak patut jugak. Kalau agak-agak tak sesuai kenalah putuskan awal-awal. Tak lah sampai berlarut macam ni baru nak putus".
"Hei ... kita tak tahupun punca mereka putus. Dilaila pun tak kata apa-apa. Tetiba je ... aku rasa mesti ada sebab tertentu".
"Entahlah...tak tahu nak komen apa. Tengok dia pun dah tak berapa nak ceria. Kita doakan sajalah yang terbaik untuk dia"
Begitulah ... berita hubungan Dilaila-Haikal menjadi bualan. Bukan Dilaila tidak tahu , keputusannya memutuskan hubungan itu pasti akan menimbulkan tanda tanya terutama daripada rakan-rakan serumahnya yang sentiasa mengambilberat tentang dirinya. Namun , berpegang pada prinsip ... 
"Aku yang merasa" maka Dilaila memutuskan untuk tidak bercerita tentangnya.
"I've to put a stop on this!".
Caranya?
"Diamkan diri ... Huh!".


             Keesokannya , seperti biasa Dilaila bergegas untuk ke kuliah.
"Eh! Mana Bad?. Dia dah pergi ke?" Tanya Dilaila kepada Ziah yang sama-sama sedang terkejar-kejar menyiapkan diri.
"Ya!. Tadi aku nampak dia dah keluar rumah". Jawab Ziah sambil menyarung kasut sebelum berjalan laju meninggalkan Dilaila.
"Peliknya makcik ni. Boleh lak hari ni tak tunggu aku?". Dilaila kehairanan.
Sebaik saja sampai ke bilik kuliah , Dilaila terus mencari Badriah.
"Hah! Itupun dia". Kata hati Dilaila lalu terus mengambil tempat duduk bersebelahan dengan Bad.
"Woii! , pergi senyap-senyap tak tunggu orang". Tegur Dilaila sambil mencuit tangan Bad.
Badriah memandangnya sekali lalu , tanpa senyum dan kata.
"Kau kenapa?. Datang bulan?". Tanya  Dilaila lagi ... dan Bad masih terus mendiamkan diri dengan muka yang bagaikan tiada perasaan.
Dilaila mengerutkan dahi , "Dah kenapa dengan dia ni?". Fikirnya ...

             Sebaik sahaja habis kuliah , Bad dan Dilaila berjalan beriringan menuju ke surau. Memang begitulah rutin mereka ,berehat sebentar di surau sementara menunggu kuliah yang seterusnya. Badriah berjalan laju manakala Dilaila hanya mengikut rentak langkah kaki Bad , mendiamkan diri seperti Bad sambil kepalanya ligat berfikir , "Dah kenapa dengan dia?".
"Hmm ... adalah yang tak kena tu?". Fikir Dilaila.
"Layan je lah ... esok okeylah tu". Fkir Dilaila lagi.
Sampai di surau Dilaila duduk di sebelah Bad. Sengaja dia melambat-lambatkan membuka kasut.
"Biarlah dia pilih tempat , aku ikut aje". Fikir Dilaila.
Tiba-tiba ...
"Eh! adik yang nama Dilaila kan?". Tanya seorang 'kakak'.
"Ya , nape ye?". Balas Dilaila , hairan apabila tiba-tiba ditegur begitu oleh seorang pelajar perempuan yang lebih senior.
"Heee , nama akak Kak Munirah ... nak minta tolong sikit boleh?. Akak ambil kesusasteraan kanak-kanak. Kena buat buku cerita untuk kanak-kanak. Ni hah". Kata kak Munirah sambil menghulurkan sebuah buku yang telah siap di'binding'.
Dilaila mengambil dan membelek buku tersebut. "Jaga gigi kita?". Tanya Dilaila sambil tersengih memandang kak Munirah. Dilaila melihat dialog-dialog telah siap ditulis dalam setiap halaman buku cerita tersebut , tinggal lagi lukisan gambarnya masih kosong , langsung tiada gambar.
"Hmm ... ni nak minta saya lukis ke?". tanya Dilaila meneka.
"Ya , boleh ke?". Tanya kak Munirah.
"Boleh jea ... cuma ikut tafsiran dan kepala saya je lah kak. Saya lukis ikut apa yang saya faham daripada dialog yang akak buat ni.  Kebetulan saya ada kelas pun lagi dua jam. Sempat kot buat sekarang". Balas Dilaila.
"Eh! Bolehlah. Dah nak tolong lukis ni dah kira cukup baiklah ni. So , akak tinggalkan buku cerita ni dengan Dilaila , nanti dalam pukul 1:00 cam tu akak datang balik, boleh?".Tanya Kak Munirah.
"Bolehlah ... In shaa Allah takde masalah". Ucap Dilaila.
Maka , Dilaila memulakan tugas sukarelanya itu.
"Bagus gak ada kerja nak dibuat. Tak payah nak layan si Bad yang moody tu. Ikut kau lah Bad , nak muncung sedepa pun!". Rungut hati Dilaila , jengkel juga dengan sikap dingin Bad yang tiba-tiba itu.

             Seperti yang dijanjikan , tepat pukul 1:00 kak Munirah muncul semula , lalu segera mendapatkan Dilaila.
"Assalamualaikum , Dilaila ... macam mana , sempat siapke?" Tanya Kak Munirah sambil tersenyum.
"Dah. Akak tengoklah. Okey tak?". Jawab Dilaila sambil menghulurkan buku cerita 'Jaga Gigi Kita' kepada kak Munirah.
"Wah! Lebih dari okey ni. Terima kasih Dilaila. Eh! Dilaila dah makan?. Jom akak belanja". Ajak kak Munirah.
"Takpelah kak , saya masih kenyang. Pagi tadi dah makan nasi goreng. Member serumah yang masak". Balas Dilaila sambil mengerling ke arah Badriah yang pura-pura tidak mendengar perbualan antara Dilaila dengan kak Munirah.
"Kang kalau aku terima pelawaan kak Munirah ni , mesti nak kena ajak  Bad sekali. Hmm ... dengan mood dia cam tu baik tak yah. Kang tak pasal-pasal kak Munirah pulak yang tak selesa". Fikir Dilaila.
" Betul?". Tanya kak Munirah.
"Betul kak , saya betul dah kenyang. Mungkin lain kali". Dilaila menyakinkan kak Munirah.
"Okeylah kalau gitu. terima kasih ye Dilaila". Ucap kak Munirah sambil tersenyum manis sebelum meninggalkan Dilaila.
             Selesai menunaikan solat zohor , sekali lagi tanpa bicara Dilaila dan Bad melangkah beriringan menuju ke dewan kuliah. Kali ini mereka ada kelas dengan Dr Nazhar.
"Baiklah pelajar , hari ini kita akan membincangkan tentang salah satu ciri yang penting dalam pedagogi iaitu , pemikiran kritis dan kreatif. Bla ... bla ... bla ...". Dr Nazhar menerangkan definisi pemikiran kritis dan kreatif ...
sedang leka mendengar dan mencerna intipati penyampaian Dr Nazhar , tiba-tiba Bad yang duduk di sebelah Dilaila menghulurkan sehelai kertas kepadanya. Terkejut Dilaila , sangkanya 'perang dingin' telah tamat.
"Apa ni?". tanya Dilaila sambil melihat kertas kosong di hadapannya.
Bad tidak menjawab sebaliknya memuncungkan mulutnya ke arah seorang pelajar berbangsa China yang sedang memandang Dilaila. Dilaila mengangkat kening sebagai isyarat bertanya.
Pelajar tersebut menghulurkan sehelai kertas lagi. Kali ini mengandungi sedikit nota ,
'Minta tolong lukiskan satu gambar dalam library. Gambar seorang budak sedang cari buku di rak'.
Dilaila mengangkat ibujarinya tanda faham. lalu dengan segera melukiskan seperti yang di minta. Selesai , kertas itu diserahkan kepada Bad untuk disampaikan kepada pelajar China tersebut.
"Tq". Pelajar China tersebut mengucapkan terima kasih dengan mimik mulut sahaja dan Dilaila membalasnya dengan anggukan dan senyuman.
"Hmm ... pelik. Hari ni saja dua orang minta aku melukis. mana derang tahu aku boleh melukis?. Siapa yang bawa cerita? ... hmm ... biarlah. Bukan aku rugi apa-apapun. Dapat tolong orang , okey gak". Fikir Dilaila sendiri.
"Baiklah pelajar semua , jangan lupa tugasan kumpulan kamu. Tugasan itu mesti dihantar kepada saya selewat-lewatnya Rabu depan". Dr Nazhar memberikan ingatan sebelum melangkah keluar. Maka tamatlah sesi pembelajaran hari itu.

Tindakan yang mengecewakan
             Malam itu Dilaila menyiapkan bahagian tugasannya yang masih belum sempat dilengkapkan sepenuhnya. Selesai sahaja , Dilaila membaca dan menyemak semula ... 
" Anis , cuba kau baca. Okey tak kerja aku ni?". Pinta Dilaila pada rakan serumahnya , Anis. Budak Melaka yang paling comel pernah dikenalnya.
Anis dengan sukacitanya membaca sekali lalu bahan yang disiapkan Dilaila. "Okey , relevanlah dengan tajuk yang diberi. Pas ni Bad sambung ke?". tanya Anis.
"Ya. Dia akan siapkan bahagian dia pula". Jawab Dilaila.
"Dilaila , kenapa dengan korang hah?. Aku tengok lain macam je". tanya Anis.
"Entahlah Anis , akupun tak faham. Kenapa dengan dia tu. Langsung tak bercakap dengan aku walau sepatahpun. Tapi masih jalan sama-sama. Pelikkan?". jawab Dilaila jujur.
"Kau tak tanya dia?". Tanya Anis lagi.
"Muka mencuka macam tu ... malaslah aku nak tanya. Yang aku musykil , mogok dengan aku je , dengan korang tak pulak".
"Adalah tu yang dia sentap dengan kau". Renyih Anis.
"Apa-apalah. ikut suka hati dialah. Malas aku nak fikir. Aku ikut je rentak dia". Balas Dilaila sambil melangkah ke ruang tamu.

             Sampai di ruang tamu , Bad bersama ahli rumah yang lain sedang menonton berita jam 8.
"Bad , aku dah taip bahagian aku. Kat fail 'tugasan Kumpulan-al-Qur'an'. Nanti kau buka dan sambunglah bahagian kau ye". Dilaila memberitahu Bad , bercakap dengan nada biasa , seperti tiada apa-apa yang berlaku antara mereka.
Bad tidak menjawab dan matanya terus tetap memandang televisyen. 
"Pekak ke apa minah ni?". Rungut hati Dilaila.
"Bad! Kau dengar tak apa aku cakap ni?". Tanya Dilaila. Rakan-rakan yang lain semuanya memandang Dilaila yang nyata mulai bengang , jelas terpancar di wajahnya. Tapi Bad masih diam memandang televisyen , bagaikan ada berita terlalu menarik yang rugi dilepaskan!.
Melihatkan gaya Bad yang menyakitkan hati itu , Dilaila segera berlalu pergi menuju ke bilik tidur. Membentang tilam tidurnya , baring dan cuba melelapkan mata. Malangnya matanya bagaikan tidak mahu pejam ..."Eeeee ... apa salah aku Bad?. Kenapa teruk sangat kau layan aku?!". Rungut hati Dilaila , geram.
"Sabar Dilaila , sabar. sabar itu indah". Pujuk hatinya sendiri.

             Beberapa hari berlalu sudah. Sikap Bad terhadap Dilaila masih sama. Keadaan ini betul-betul membuatkan Dilaila kebingungan. "Apa yang tak kena ni?". Fikir Dilaila.
Tidak cukup dengan itu ... malam tadi , Anis dan Kiah beritahu Dilaila sesuatu yang amat menyusahkan hatinya ...
"Dilaila , aku tengok semalam , Bad main delete je banyak bahagian yang kau dah siapkan". Anis bersuara.
"Ya lah , dia siap cakap , ahh! Ini tak payah! , Ini tak penting!!". Main sedap je dia delete tanpa rujuk pada kau. Bila aku baca balik , ayat dan semua maklumat bahagian  kau jadi pelik. Melompat-lompat isinya dan banyak yang macam tergantung. Eh! aku rasa kau patut tengoklah sendiri sebelum tugasan tu dihantar". Sampuk pula Kiah.
"Entahlah ... aku pun tak tahu nak kata apa. Apa hal dia nak marah sangat ngan aku ni pun aku tak tahu. Kalau aku ada buat salah ke , tak puashati ke cakap jelah. Kita semua ni kan dah kawan lama , duduk serumah ... huh! kat manalah silapnya?". Keluh Dilaila.
"Habis tu , kau tak nak tengok dulu ke kerja kumpulan korang sebelum dihantar?".Tanya Anis dan Kiah serentak , risau kiranya tugasan itu dihantar tanpa dimurnikan balik.
"Buat apa?. Dia dah delete pun. Lagipun aku malas lah nak berurusan dengan dia lagi. Dah berminggu dia langsung tak cakap sepatahpun dengan aku. Kau tengoklah malam tadi. Aku cakap dengan dia , ada dia respon. pandangpun tidak. macam bangsat aje aku ni.  Kau rasa kalau aku tanya atau minta kerja tu dia akan cakap atau bagi ke?. Daripada aku stress tengok muka cekudut dia tu , baiklah buat bodoh je. kalau gagal , sama-samalah gagal...nama pun kerja kumpulan kan!". Keluh Dilaila.

             Ternyata apa yang dikatakan oleh Anis dan Kiah itu ada benarnya. Tadi sewaktu dalam kelas En. Ibrahim , Saiful ada menyampaikan pesan kepada Dilaila dan Badriah.
"Dilaila , Bad ... Dr.. Nazhar pesan , petang ni jumpa dia kat bilik dia dalam pukul tiga cam tu". Kata Saiful.
"Kenapa?". Tanya Arman yang turut memasang telinga.
"Manalah aku tahu". Jawab Saiful.
Dilaila dan Badriah hanya mendiamkan diri. masing-masing sudah boleh meneka sebab mereka dipanggil.
Maka petang itu selepas solat zohor , mereka berdua berehat di surau sahaja sambil menanti pukul tiga. Sampai masanya , Dilaila bangun dan diikuti oleh Bad perlahan-lahan dan secara beriringan mereka berjalan menuju ke bilik Dr Nazhar.
'Knock! Knock! Knock!' , Dilaila mengetuk pintu.
"Masuklah!". Pelawa suara dari dalam.
Dilaila menolak pintu sebelum melangkah masuk dengan diikuti oleh Badriah.
"Assalamualaikum ... " Ucap Dilaila , bagaikan tak terkeluar suaranya dek rasa malu yang amat sangat.
"Hmm ... ". dr. Nazhar memandang Dilaila dan Badriah secara bergilir-gilir , langsung tidak mempelawa mereka duduk.
"Mana satu Dilaila dan mana satu Badriah?". Tanya Dr Nazhar.
"Saya Badriah".
"Saya Dilaila"
"Hmm ... " ,keluh dr Nazhar lagi. Dilaila hanya menundukkan pandangannya.
"Ya Allah malunya !!!. Mesti dia fikir , apa bodoh sangat budak-budak perempuan ni. Buat tugasan macam sampah!!!". Fikir Dilaila sambil mengetap bibir.
Setelah berkali-kali memandang Dilaila dan Badriah atas dan bawah akhirnya Dr Nazhar bersuara ,
"Hrmm ... takpelah. Awak berdua boleh pergi!".
"Huh?!". Kata-kata En. Nazhar itu betul-betul membuatkan Dilaila berasa amat malu.
"Mungkin dia tak tergamak nak bagitahu betapa teruknya kerja tugasan kami. Lebih-lebih lagi setelah melihat muka kami yang poyo giler!!. ya Allah !!! Malunya aku!!!!. tak pernah aku rasa semalu ini!. Dr Nazhar nipun satu. Cakap ajelah ... Hei! kerja korang ni teruk sangatlah. Baik buang saja dalam tong sampah!. Itu lagi bagus daripada dia sekadar pandang kami atas dan bawah dan suruh kami keluar macam tu aje!". Fikir Dilaila. Kali ini , perasaannya amat kesal dengan apa yang dilakukan Bad terhadapnya. Dilaila mempercepatkan langkah , tidak mahu lagi berjalan seiringan dengan Bad!.

           
Penghujung pengajian ...
              Sudah dua minggu berlalu sejak peristiwa Dilaila dan Badriah dipanggil oleh Dr Nazhar. Kini , tibalah masa minggu-minggu terakhir mereka mengikuti program diploma pendidikan sebelum masing-masing mengangkat kaki ke sekolah-sekolah yang ditetapkan oleh pihak Universiti sebagai tempat praktikal mereka.
"Alhamdulillah , aku dapat dekat-dekat sini je". Kata Saiful.
"Eh! Dilaila , dah check awak dapat kat mana?". Tanya Arman.
"Belum lagi ... awak dah check ke?". Balas Dilaila.
"Dah ! Saya dapat kat kajang. Dekat jugalah dari sini". Beritahu Arman sambil tersenyum.
"Nak check kat mana ye?". Tanya Dilaila.
"Tu ... dekat papan kenyataan depan pejabat. Jom lah ... saya temankan awak". Pelawa Arman.
"Eh! takpelah... nanti sajalah saya semak". Balas Dilaila.
"Hmm ... sebenarnya saya dah tahu awak dapat mana. Tadi saya tengok sekali semua kawan-kawan satu mikro teaching kita. Awak dapat kat Masjid Tanah , Melaka. Jauh gak tu. Kenalah cari geng untuk tengok sekolah dan cari rumah sewa". kata Arman dengan panjang lebar.
"Ye ke?. jauhnya Melaka. Saya tak biasa dengan Melaka. Takpelah , thanks ye. Nanti saya tengok , siapa lagi dapat tempat yang sama atau deka-dekat dengan sekolah saya. Boleh rancang pergi tengok tempat sekali". kata Dilaila.
"Hmm ... moga urusan awak dipermudahkan". kata Arman sebelum mereka berpisah.

Masa berlalu ... pelajar ... guru praktikal ... dan akhirnya posting ...
             Sudah dua bulan Dilaila bertugas sebagai guru di SMK Pagan Sena , bermula dari 1 Mei lepas , tarikh keramat ... Dilaila bertugas sebagai guru secara sah. Tak sampai dua bulan bertugas , kini tiba masa cuti pertengahan tahun. Selama dua minggu Dilaila akan bercuti ... tak sabar rasa hatinya untuk pulang ke pangkuan bonda ... nun jauh di sana.
"Hello! , Assalamualaikum. Anis , kenal tak?"
"Waalaikumussalam ... suara kau macam mana nak lupa. Mestilah aku kenal. Apa khabar sekarang. Bukan ke sekarang ni kau cuti? Cuti pertengahan penggal sekolah kan?" Tanya Anis.
"Ya lah. Sebab tulah aku telepon ni. Ingat nak lepak sana jap sebelum balik rumah aku". Balas Dilaila.
"Bolehlah ... bila kau nak turun?". Tanya Anis.
"Esok!. kau adarumah tak?". tanya Dilaila.
"Hmm ... mestilah ada ... Eh! lusa aku ngan Kiah nak ke Segamat. Apa kata kau ikut sekali. Balik dari Segamat barulah kau balik". Ajak Anis.
"Segamat?. jauh tu ... buat apa pergi Segamat?". tanya Dilaila.
"Eh! kau tak tahu ye ... lusa Badriah bertunang. Dia jemput kita semua ... housemate dia dulu. Kitalah tu". Jawab Anis.
"Ooo ye ke... Alhamdulillah , sampai jodohlah tu. Hmm ... Bad bertunang dengan siapa ye?".Tanya Dilaila , hairan juga ... tiada angin , tiada ribut , tup tup dah nak bertunang.
"Alah! Kau mesti kenal. Siapa nama budak yang satu mikroteaching dengan korang tu ?". Tanya Anis pula.
"Arman?". Dilaila meneka.
"Ya! Betullah tu. Dia bertunang dengan budak Arman tulah". Jawab Anis mengesahkan.
"Hmm .. baguslah. Tapi rasanya aku tak dapatlah nak sama-sama ke Segamat sebab aku dah janji ngan mak aku akan balik lusa. Jadi sempatlah aku lepak ngan korang kejap esok". Balas Dilaila
"Okey , aku tunggu kau" ...
Sebaik sahaja gagang telepon diletakkan , Dilaila termenung panjang ...
"Bad , kalaulah apa yang aku fikir ini betul ... tak berbaloi kau memusuhiku hanya kerana seorang lelaki. Cinta aku tak semurah itu!".




-peace-
>__<
         











Friday 22 July 2016

Novel 2 : Selepas Hujan Bab 2


BAB 2 :          LELAKI PELIK PENUH MISTERI  

... dia kini menumpang di rumah orang yang tidak begitu dikenalinya                       
             Kereta itu  membelok ke kanan memasuki satu lorong kecil . Kecil ... bagaikan denai sahaja. Jalan tanah merah dan berlubang-lubang. Sepanjang melalui lorong itu , Diah tidak nampak sebuah rumahpun. , yang ada hanyalah hutan belukar yang di selang-seli dengan beberapa tasik dan anak sungai. Di tepi-tepi sungai dapat dilihat sang kerbau leka meragut rumput. Tidak ketinggalan teman setianya , burung gembala putih bertenggek di belakang. Sang gembala putih memuatkan perutnya dengan kutu yang banyak menempel pada kulit sang kerbau manakala sang kerbau lega si parasit ditelan. " Inilah yang dinamakan simbiosis". Fikir Ziah.
“Cantiknya pemandangan di sini”. Ziah bersuara perlahan , mengagumi keindahan alam semulajadi ciptaan tuhan.
“Cantik ke?”. Tanya Miah. 
Bagi Miah , tiada apa yang istimewa . Semuanya sudah menjadi terlalu biasa . Sejak dilahirkan sehinggalah sekarang , bertugas sebagai guru pun di kampung halamannya sendiri.
“Yelah cantik. Ziah suka tengok pemandangan yang cantik ni. Macam dalam lukisan. Dulu ... seorang sahabat Ziah pernah lukis lukisan pemandangan semacam inilah. Ada sungai , kerbau ...  burung ... cuma burung gembala putih tu , dia warnakan merah jambu”. Ziah tertawa kecil apabila teringatkan sahabatnya , Diah.

Heiii mana ada flamingo hinggap atas kerbaulah!”. Komen Ziah tatkala Diah menunjukkan lukisannya itu.
“Heeee kau ni. Ini bukan flamingo. Ini burung gembala kerbaulah!”. Terang Diah sambil menjulingkan matanya memandang Ziah.
“Laa gembala kerbau  ke ? ... tapi bukan orang panggil burung tu sebagai burung gembala putih?”. Balas Ziah.
“Sama je kan?!”. Jawab Diah.
“Eh , mana pulak sama. Namanya gembala putih so sepatutnya warnanya pun  putihlah ... bukan pink!” . Ziah sengaja menyakitkan hati Diah.
“Eeee ... suka hati akulah. Lukisan aku! Burung aku!”. Jawab Diah sambil mencebikkan mulutnya.
“Yalahhh ...  aku tahu. Itu burung kau!!!. Kau warnakan pink tu sebab kau ni memang suka warna pink kan?”. Sambung Ziah.
“Haaaa ... tahu tak pa!”. Diah berkata sambil tersengih.

“Huhhhh ...” . Ziah mengeluh panjang. “Kalaulah waktu boleh berputar kembali!”. Keluhnya di dalam hati.
“Eh, cerita tentang lukisan cantikpun boleh mengeluh panjang?”. Tanya cikgu Karim , menyentap lamunan Ziah. 
“Kawan kau tu sekarang di mana? Mesti cikgu jugak kan?”. Tanya Miah pula.
“Entahlah ... kali terakhir saya tinggalkan dia , dia sedang koma . Itu adalah dua bulan yang lalu”. Terang Ziah. Nada suaranya begitu sayu sekali.
“Koma? Kenapa?”. Tanya Miah dan cikgu Karim serentak.
“Kemalangan jalan raya”. Ziah menjawab. Hatinya terasa sungguh berat hendak bercerita lebih lanjut tentang sahabatnya itu. 
“Hah, dah sampaipun kita!”. Cikgu Karim memotong perbualan sebaik sahaja keretanya memasuki perkarangan rumahnya. Enjin kereta diberhentikan. Ziah menarik nafas lega kerana perbualan mengenai Diah mati di situ sahaja.
“Miah , tolong Ziah angkat barang-barangnya ke atas”. Arah cikgu Karim.
“Baik bah”. Jawab Miah lalu terus membantu Ziah yang sedang mengeluarkan bag pakaiannya daripada bonet belakang kereta cikgu Karim.
“Jom Ziah. Janganlah malu. Mari aku kenalkan kau dengan mak aku”. Ajak Miah.
Ziah mengangguk lalu mengekorinya dari belakang. 
Tiba-tiba hatinya menjadi resah dan  tidak selesa. Mana tidaknya , dia kini terpaksa  menumpang di rumah orang yang tidak begitu dikenalinya.
“Kalaulah mak aku tahu...”. Fikirnya sendirian. Hatinya terkenangkan ibunya. Sudah tentu ibunya akan risau jika tahu tentang keadaannya kini. Namun apakan daya ... Ziah tiada pilihan. Bersama keresahan dan kerisauan yang bersarang di hati , kakinya terus melangkah memanjat anak tangga rumah tersebut. Sampai di muka pintu , dilihatnya seorang wanita lebih separuh umur sedang  duduk tersenyum menyambut kedatangannya.
“Masuklah ... jangan malu-malu. Buatlah macam rumah sendiri”. Mesra suaranya menyapa
“Apa kabar makcik?”. Ziah menyapa sambil menghulurkan tangannya.
“Alhamdulillah. Beginilah keadaan makcik”. Jawab ibu Miah.
“Ziah , mak aku ni lumpuh. Tak boleh jalan. Selalunya sebelum abah aku keluar ke mana-mana , abah mesti dukung mak kat depan sini. Tengok TV sambil tunggu abah balik”. Terang Miah. Ziah hanya menganggukkan kepalanya.
“Ya betul Ziah. Sebabtulah , bila Miah bagitahu makcik yang Ziah nak duduk sini makcik rasa seronok. Tambahlah kawan berborak. Nanti kalau pakcik dan Miah sibuk ke mana-mana , bolehlah makcik berborak dengan Ziah. Dahlah tak boleh jalan , ada kawan berborak taklah terasa sunyi sangat rumah ni”. Terang ibu Miah.
“Terima kasih makcik . Saya betul-betul menghargai kesanggupan makcik sekeluarga menerima saya tinggal di sini”. Ziah berbahasa.
“Hmm ... masuk kandang kambing  , mengembek. Masuk kandang harimau , mengaum”. Ziah tersenyum sendiri apabila terkenangkan semula pesanan arwah neneknya suatu ketika dahulu.


Tinggal di Rumah Miah.
             Petang itu Ziah menolong Miah menyediakan makan malam.
“Eh, kita nak masak apa ye?”. Tanya Ziah.
“Ha, hari ini kita akan masak ayam masak gulai tempoyak. Pernah rasa?”. Tanya Miah sambil tersenyum.
“Tak pernah aku dengar ayam masak gulai tempoyak. Kalau ikan patin masak gulai tempoyak pernahlah dengar”. Jawab Ziah sambil tersengih.
“Hah sebab tulah aku rasa kita patut masak masakan ni. He he ... tapi sebenarnyakan akupun hentam saje!”. Miah berterus-terang sambil ketawa geli hati.
“Kau tau Ziah , sejak mak aku jadi lumpuh dua tahun lalu , hampir semua urusan rumah ni jadi tanggung-jawab aku. Dari urusan mengemas rumah sampailah memasak. Dulu masa baru-baru lumpuh , mak aku macam orang putus asa je. Murung , pendiam dan sentiasa bersedih. Tapi lama-kelamaan dia dapat menerima keadaan dirinya. Inilah antara sebab mengapa aku  minta posting di sini. Alasan aku   untuk menjaga mak tu cukup kuat untuk aku balik berkhidmat di sini”. Cerita Miah.
“Besar juga pengorbanan kau pada kedua orang tua ye Miah. Aku yakin, Allah pasti memberikan kehidupan yang bahagia untuk kau kelak. Tapikan ... macam mana mak kau boleh lumpur?”. Ziah ingin tahu.
“Ooo ... itu cerita lama. Lebih dua tahun lalu, masa tu aku tengah ambik  KPLI untuk jadi cikgu. Tiba-tiba satu hari tu abah aku telepon aku bagitahu yang mak aku kena angin akhmar. Doktor kata stroke. Lebih separuh badannya tak boleh bergerak langsung. Sebelah kiri. Dari bahu sampailah ke kaki kiri. Setelah puas berubat , tangan dan anggota  bahagian atas badannya pulih tapi entah macam mana lak kedua-dua kakinya tetap tak boleh jalan. Sepatutnya sebelah kaki je yang tak boleh jalan. Ini tidak , kedua-duanya terus lemah. Berdiri pun tak larat.Tapi kata nek Limah, mak aku jadi begitu sebab dia murung sangat. Tidak dapat menerima keadaan dirinya. Langsung tak nak melawan penyakit”. Terang Miah
“Siapa nek Limah tu?”. Ziah ingin tahu.
“Ooo ... nek Limah tu. Dia adalah pawang kampung ni. Orang kampung sini kalau sakit selalunya jumpa pawang dulu. Kalau tak baik jugak baru pergi hospital. Orang kampung ... gitulah pemikirannya”. Terang Miah.
“Ye ke ?. Kat sini klinik atau hospital tu jauh sangat ke?”. Tanya Ziah.
“Klinik desa ada satu. Taklah jauh sangat tapi yang ke sana semuanya ibu-ibu yang mengandung  je ... hospital pulak , paling dekat pun kat Kuantan. Susah sikit nak pergi sana sebab kebanyakkan orang kampung  sini mana ada kereta. Kalau sakit nak naik bas pulak tentulah susah. Dahlah bas pun sejam satu. Selalunya kalau ada kes ‘emergency’ ,  ada orang nak ke hospital , abah akulah yang jadi tukang hantarnya”. Cerita Miah.
“Ooo ... memang padanpun. Abah awak tu memang baik orangnya”. Puji Ziah ikhlas.
             Mereka berdua memasak sambil tidak henti-henti bercerita. Lepas satu topik ke satu topik yang lain. Ziah merasa sungguh selesa. Miah memang sahabat yang baik. Mak dan ayahnya pula sangat peramah dan mudah mesra. Cuma seorang saja lagi ahli keluarga ini yang belum Ziah temui. Abang Miah!
Setelah selesai memasak kedua sahabat baru ini berjalan ke belakang rumah. Melihat kebun sayur dan sungai yang menjadi tapak ternakan ikan abang Miah.
“Eh besar juga sungai ni kan. Boleh mandi tak?”. Tanya Ziah sambil matanya kagum melihat sungai di belakang rumah Miah yang begitu besar dan dalam.
“Dulu ... masa aku kecik. Selalu jugak mandi. Aku dulu juara renang kampung tau!”.  Miah bercerita dengan penuh bangga.
“Oooo ...  pernah bertanding?”. Tanya Ziah.
“Heeee ...  bertanding dengan kawan-kawan kampung le. Balik je sekolah terus ke sungai. Tapi aku tak berenang di sungai ni sebab nanti mak abah aku membebel panjang.  Kami selalunya berenang di sungai belakang sekolah!”. Cerita Miah.
“Eeeee ...  nakalnya kau ni!”. Usik Ziah.                            
“Alahhh ...  budak kampung!. Eh , kau pandai ke berenang?”. Tanya Miah.
“Aku tak pandai berenang. Adalah beberapa kali pergi mandi di ‘swimming pool’ . Itupun kaki jejak kat lantai. Tangan je yang ‘action’ macam berenang!”. cerita Ziah sambil tersengih.
“Kalau gitu apa kata cuti panjang nanti aku ajar kau berenang , hendak?”. Cadang Miah.
“Eh boleh ke? Aku tengok air sungai ni je dah rasa takut nak masuk. Dalam , laju ... eee ... tak beranilah!”. Balas Ziah spontan.
“Apalah kau ni . Itulah cabaran namanya. Lagi besar cabarannya lagilah best. Betul tak?”. Balas Miah. Ziah hanya tersenyum. Pada fikirannya terbayang sang buaya sedang bersembunyi di sebalik rumput-rumput panjang di tebing sungai tersebut.
“Eh jomlah balik. Dah nak maghrib ni”. Miah melangkah pulang disusuli oleh Ziah.

Abang Anip si lelaki misteri
             Hari ini sama juga seperti hari semalam dan hari-hari sebelumnya , kenangan itu sentiasa menghantui. Wajah penuh kesakitan gadis yang amat dicintainya itu tetap terpahat di akal mindanya. Bagai tidak akan pernah luput dalam ingatan … menjelma dan memporak perandakan ketenangan yang datangnya seketika cuma dalam ruang nafas hidupnya kini.
Abang Anip termenung lagi. Persoalan demi persoalan bermain dalam benaknya. 
‘Mengapa tidak ku tepis parang yang dihayun Mail itu?’.
‘Mengapa tidak aku terajang saja Mail keparat ?’.
‘Mengapa aku mesti keras terkaku menyaksikan kekasih hatiku dilibas perutnya oleh si Mail durjana ?’.
‘Mengapa tidak segera kupaut tunanganku itu sebelum dia rebah menyembah bumi?’ 
‘Mengapa dia tidak menghembuskan nafas yang terakhirnya di pangkuanku?’
‘Mengapa tidak sempat kami mengecap nikmat hidup bersama walau seketika cuma?’
‘Mengapa bukan orang lain yang hilang nyawa hari itu?’.
‘Mengapa mesti dia meninggalkan aku?’.
 ‘Menyapa mesti dia yang mati?’.
‘Mengapa dia tidak diam saja di dalam rumah ketika itu?’
‘Mengapa Aisyah? Mengapa mesti kau meluru keluar?”.
“Mengapa mesti Aisyah tinggalkan aku?. Mengapa Aisyah?. Mengapa?’.
“Arrrggghhhhh!!!!”. Abang Anip menjerit sekuat hati. Ingin sekali perasaannya yang berkecamuk dan jiwa laranya itu dilontar jauh dibawa arus sungai yang mengalir deras. Abang Anip tidak mahu hidup dibayangi kenangan silam. Abang Anip tidak mahu begitu. Abang Anip ingin kembali kepada hidupnya yang dulu. Hidupnya sebelum kejadiaan malang itu berlaku. Bukan dia tidak kasihankan kedua orang tuanya atau sayangkan satu-satunya adik yang dimilikinya namun apakan daya , kenangan silam itu terlalu berkuasa membelenggu dan memenjarakan dirinya dalam ruang sempit jiwanya sendiri.
            “Anip , sudahlah. Tiada gunanya mengenang kisah lalu. Yang pergi biarlah pergi , yang hidup harus meneruskan hayatnya”. Cikgu Karim , bapa yang penyayang itu menepuk-nepuk bahu anaknya dari belakang. Abang Anip diam , dia tidak sedar bagaimana orang tua itu boleh tiba-tiba berada di situ.
“Mungkin dia terdengar suara aku menjerit tadi lalu segera berlari ke sini? … atau dia sememangnya memang sudah lama mengintip aku? … Tapi kenapa?. Takut aku terjun sungai?. Ah! Tak mungkin. Sungai itu sudah menjadi mainanku sejak kecil. Habis tu mengapa mesti mengintip aku?. Ah! Pedulikanlah!!”. Kata hati abang Anip.
“Anip , ni abah nak bagi tahu. Tadi Miah ada telepon , bermula petang ni kawan dia nak tumpang tinggal di rumah kita. Kesian , cikgu baru ‘posting’.  Tak ada tempat tinggal. Kau bukan tak tahu Pagan Sena ni , manalah ada rumah nak disewa. Jangan kata rumah , bilik pun belum tentu ada. Jadi pandai-pandailah kau bawa diri. Jangan sampai dia rasa tak selesa pula tinggal dengan kita. Ingat tu”. Terang cikgu Karim dengan panjang lebar. Abang Anip diam , langsung tidak memberi komen tentang perkara yang diperkatakan bapanya itu.
“Yalah Anip , abah pergi dulu. Ingat apa abah kata tadi”. Kata cikgu Karim setelah melihat abang Anip bagaikan tidak berminat mendengar kata-katanya.
 Sebaik saja cikgu Karim mahu melangkah pergi …
“Sampai bila?. Sampai bila dia nak duduk dengan kita?”. Tanya abang Anip tiba-tiba. Cikgu Karim tersenyum mendengar pertanyaan anaknya itu.
“Sampai dia dapat rumah sewalah agaknya”. Jawabnya sebelum melangkah pergi.
“Huh?!”. Abang Anip mendengus!.
            Petang beransur senja , abang Anip masih tetap di situ. Menghabiskan masa meranduk air sungai , membelek dan membetul-betulkan sangkar ikan patinnya. Menarik dan membuang jauh rumpai-rumpai dan telipuk yang tumbuh semak memenuhi tebing sungai.
“Ada pulak aku yang disuruh pandai-pandai membawa diri. Bukan ini rumah aku ke?. Bukan ke dia tu  yang mendatang?.Abah ni pun satu!!”. Abang Anip merungut sendiri. Rupanya hal kawan Miah mahu menumpang tinggal di rumah mereka mengganggu ketenangan abang Anip.
Tidak lama kemudian terdengar sayup-sayup suara azan berkumandang dari surau kampung itu. “Huh! Sudah lewat “. Fikir abang Anip lalu segera  membersihkan pakaiannya yang terpalit tanah tebing sungai ketika turun tadi. Sebaik selesai abang Anip segera memanjat tebing yang masih berumput , tidak mahu pakaiannya kotor terpalit tanah.
Malangnya , akibat cuai kaki kirinya tersangkut rerumput menjalar akibatnya … “Celepus!!!” , abang Anip jatuh semula ke dalam sungai.
“Sial punya rumput!”. Sumpahnya.


Pertemuan Kali Pertama …
            Tanpa sedar, hari sudah semakin gelap. Para jemaah surau sudah lama selesai menunaikan solat maghrib. Abang Anip melangkah lambat-lambat balik ke rumahnya. Dari luar lagi bau sedap ikan masin goreng menusuk-nusuk hidung. Pecah liurnya , “Hmm … pasti makan malam sudah sedia dihidang”. Fikir abang Anip sambil menggosok-gosok perutnya.
Tanpa salam , abang Anip menolak kuat pintu dapur rumah itu. “Aku mahu makan!”. Itu saja yang ada di fikirannya ketika ini.
Namun sebaik sahaja pintu terkuak , langkahnya terhenti. Seleranya mati. Entah mengapa semuanya menjadi kaku. Di hadapan matanya kini , duduk seorang gadis berselindang biru sedang menyenduk nasi ke pinggan. Mungkin kebetulan atau memang sudah suratan , gadis itu duduk di kerusi meja makan yang betul-betul setentang dengan pintu masuk ruang dapur. Mata mereka bertemu. Masing-masing tergamam … gadis itu serba salah lalu nasi tidak jadi disenduk ke pinggan manakala abang Anip pula hilang arah. Perasaannya resah , dadanya berdebar kuat.
“Hah! Anip , apa yang tercegat saja tu. Marilah duduk makan sekali”. Pelawa mak Midah yang sedari tadi memerhatikan drama pandang memandang itu.
Sapaan mak Midah tidak dijawab. Entah mengapa , kaki abang Anip tiba-tiba beralih arah , melangkah ke bilik air rumah itu.
Sampai di bilik air … “Hishh! Kenapa ke mari kaki ini melangkah?. Bukan ke perutku ini sudah berkeroncong minta diisi!. Aduhhh … ini semua pasal gadis itulah. Tak tahu malu tinggal duduk di rumah orang. Mengganggu ketenangan dan privacy aku saja!”. Rungut abang Anip yang akhirnya membuat keputusan untuk mandi dan membersihkan dirinya …

Malam yang meresahkan
Seisi rumah sudah lama pejam tetapi tidak bagi abang Anip dan Ziah. Bayangan wajah gadis bertudung biru yang tergamam , memandangnya tanpa kelip asyik terpandang-pandang di ruang mata abang Anip tiap kali dia cuba memejamkan matanya. Jiwanya resah , sejak kejadian malam itu , inilah kali pertama  tidurnya tidak dibayangi oleh wajah Aisyah yang berkerut menahan kesakitan yang amat sangat sebelum akhirnya pergi meninggalkan dunia ini buat selamanya.
Bagi Ziah pula , kata-kata dan komen Miah tentang lelaki itu mengusik emosinya. “Kau janganlah takut dengan abang aku tu. Kau anggap dia macam tak ada sudahlah. Walaupun dia tu nampak bengis, sombong , tak beradap  tapi sebenarnya dia tu baik. Dulu dia tak macam tu. Huh! Nak buat macam mana , takdir mengatasi segalanya”.
“Takdir mengatasi segalanya?”. Tajpa sedar Ziah mengulangi kata-kata Miah. Kata-kata itu menimbulkan sifat ingin tahu yang meluap-luap dalam diri Ziah.
“Apa sebenarnya yang telah terjadi?. Kisah lelaki misteri …”. Ziah tersenyum sendiri sebelum memejamkan matanya.


Ziah Lemas
            Petang itu terasa sunyi sekali. Selalunya ada Miah yang sibuk bercerita dengan ibunya itu dan ini. Dia selalunya sekadar mencuri dengar dan sesekali menyampuk perbualan dua beranak itu. 
Petang ini Miah tiada , mungkin ada aktiviti petang di sekolah. Mak Midah , ibunya juga sedang berehat dan baring di bilik. Abang Anip terasa bosan lantas menyarung t-shirt buruknya lalu mencapai sebilah parang panjang sebelum melangkah ke kebun belakang.
“Mana tahu ada pisang yang sudah masak , bolehlah ditebang pokoknya”. Fikirnya sambil menyarung selipar.
            Sesampai sahaja di kebun belakang , mata abang Anip terpandang sebatang pokok pisang awak yang sebiji dua buahnya sudah menguning. Tanpa lengah , abang Anip menghayun parang panjangnya ke pangkal batang pokok pisang itu. Sehayun … dua hayun … tiba-tiba telinganya menangkap suara perempuan meminta tolong.
“Arah ke sungai ni!!” , kata hatinya sebelum berlari laju menuju ke arah sungai. 
Tiba di tebing sungai abang Anip tergamam seketika melihatkan gadis yang menumpang tinggal di rumahnya terumbang ambing di bawa arus.
“Tolong! Saya tak pandai bere …”, suara gadis itu tenggelam timbul  meminta tolong. Abang Anip teragak-agak untuk membuat keputusan , “Patut tolong atau tidak?”. “Arhh! Menyusahkan saja!!”, lalu segera menanggalkan t-shirt buruknya sebelum membuka selipar lalu terjun ke dalam sungai untuk menyelamatkan gadis itu.
            Setelah bersusah payah berenang melawan arus sungai , abang Anip akhirnya berjaya juga mencapai rambut panjang milik gadis itu. Lalu ditariknya dengan sebelah tangan kirinya manakala tangan kanannya  dan kedua kakinya berusaha keras menentang arus ke tebing. Tiba di tebing , abang Anip kepayahan untuk membawa gadis itu naik ke darat.
“Ah! Ini satu lagi masalah. Pengsan pulak budak ni. Eeee … betul-betul menyusahkan orang!”.Rungutnya sebelum merangkul pinggang gadis itu lalu diangkat tubuh yang sudah tidak bermaya  ke bahu kanannya. Tangan kanannya memeluk kedua  kaki gadis itu manakala tangan kirinya memaut pada akar kayu dan rerumput di tebing sambil kakinya melangkah gagah memanjat tebing yang licin.
“Huh!. Anak orang ke anak gajah ni?”. Fikir abang Anip sebelum membaringkan gadis itu ke tanah. Rambut panjang yang menutupi wajah gadis itu diselak ke tepi. Wajah itu ditatap seketika. Entah mengapa ada rasa di jiwa. Rasa itu segera ditepis.
“Hei! Bangun!!”. Kata abang Anip kasar sambil menguis-nguis kaki gadis itu dengan tangannya.
“Hei! Bagunlah!!”, katanya lebih kuat lagi.
“Hish! Nak buat apa ni?. Biarkan nanti matilah jawabnya tapi … takkan nak buat?. Hisshhhh! Betul-betul menyusahkan. Buat … tak buat … buat … tak buat …”. Abang Anip berperang dengan dirinya sendiri. Dia tahu benar apa yang harus dilakukannya namun sikap tidak pedulinya yang selama ini menebal  dalam jiwa menegah dia daripada melakukannya. 
Bukan abang Anip tidak tahu , orang yang lemas begitu harus segera diberikan bantuan CPR. Bantuan CPR yang dipelajarinya semasa menyertai persatuan Bulan Sabit Merah suatu ketika dulu memang sudah menjadi kemahirannya. Sudah berkali-kali dia melakukannya terhadap manusia patung semasa latihan dulu. Cuma bezanya , dia kini harus melakukannya pada seorang gadis. Manusia sebenar!!
Berperang dengan perasaannya sendiri , abang Anip akhirnya mendongakkan sedikit kepala gadis itu  , meletakkan kedua tangannya di dada gadis itu sebelum menekannya  secara beritma , malangnya tiada perubahan. Abang Anip buntu , “Arrgghhh!”, rengusnya sebelum membuat keputusan untuk melakukan pernafasan mulut ke mulut.
Bergetar hatinya tatkala bibirnya menyentuh bibir sejuk gadis itu. Setelah berusaha berkali-kali , akhirnya berjaya. Abang Anip berjaya melakukan CPR ke atas seorang manusia!. Gadis itu tersedak lalu memuntahkan air sungai yang banyak ditelan.
”Abang … terima kasih”. Kata gadis itu lemah sebelum kembali pengsan.
“Laa … pengsan lagi?”. Kata hati abang Anip sebelum mencempung dan mendukung gadis itu naik ke rumah. Gadis itu dibaringkan di atas sofa ruang tamu rumah. Abang Anip duduk di sofa bertentangan , memandang wajah dan susuk tubuh yang masih basah. Sengaja tidak dikejutkan ibunya yang sedang lena berehat  di bilik petang itu.
“Bodoh ... dah tak tahu berenang , kenapa nak bermain sungai?!. Dasar manusia suka menyusahkan orang!". Bebel abang Anip perlahan.
Tidak lama kemudian , gadis itu tiba-tiba membuka matanya. Berona wajahnya apabila mendapati abang Anip duduk memandangnya tanpa kelip. Tambah malu lagi apabila mendapati dirinya terbaring di sofa dengan pakaian yang basah kuyup dan tudung yang sudah tiada di kepala!.
“Aa … abang …”. Kata-katanya tersekat di situ.
Abang Anip tersentak lalu segera bangun dan berlari pantas  menuruni anak tangga , berlari laju menuju ke tebing sungai semula.
“Eeee … apasallah aku duduk depan dia lama-lama. Apa fikirnya nanti. Lelaki gatal yang mengambil kesempatan!. Ahh! bodohnya aku !!! Buat malu !!!"
"Aku tak patut terus duduk di situ. Patut biarkan saja dia sendiri. Pengsan je ... bukan matipun!. Lagipun aku sudah ada Aisyah!. Aku sudah berjanji akan setia kepadanya selamanya. Aku tidak akan memandang perempuan lain. Aisyah!!! Maafkan abang!. Abang tak sengaja!!!. Maafkan abang Aisyah kerana telah melihat gadis lain!!”. Jeritnya bagai orang hilang akal.


Keliru 
            Sudah seminggu berlalu sejak kejadian Ziah lemas di sungai. Tidak siapa yang tahu kecuali Ziah dan abang Anip. Masing-masing mengunci mulut. Entah mengapa Ziah keberatan dan malu mahu menceritakannya kepada Miah. Mana tidaknya baru seminggu tinggal menumpang di rumah itu sudah buat hal , sampai lemas di sungai!.
Abang Anip pula , memang sudah lama tidak berbual mesra dengan sesiapapun. Hidup dalam alamnya sendiri. Sejak kejadian hari itu , lagilah dia menghilangkan diri. Bagaikan tidak wujud saja dia di rumah itu.
“Ke mana sajalah si Anip tu?. Rasanya seharian ni mak tak nampak dia”. Keluh mak Midah.
“Alah! Tak ke mananya abang tu mak. Adalah dekat-dekat sini tu. Agaknya dia malu kat Ziah kot. Itu yang asyik ,menghilangkan diri je!”. Balas Miah sambil tersengih.
“Uh?!”. Ziah terkedu mendengar gurauan Miah.
“Hish! Kamuni Miah. Takde malunya dia tu Ziah. Usah didengar kata Miah tu. Abang Anip tu memang macam tu. Kejap ada kejap tak ada , macam biskut!”. Mak Midah menyanggah kata-kata Miah , takut Ziah tersinggung.
           

Abang Anip
Petang itu , abang Anip ke kebun seperti biasa. Bermain dan tersenyum-senyum sendiri memandang dan memerhatikan anak-anak ikan patinnya yang semakin membesar.  Penat di sungai , abang Anip berjalan di celah-celah pokok pisang yang tumbuh berselerak di kebun. Daun-daun yang kering dicantas , anak-anak pisang yang terlalu rapat dengan induknya dialih. Cekap sungguh dia melaksanakan tugasnya , lepas satu  , satu kerja dibuat.
“Tak gemuk kau nanti kalau terpaksa bersaing dengan indukmu sendiri”. Katanya kepada anak pokok pisang itu.
Sedang abang Anip leka menggali tanah buat menempatkan anak pisang itu tadi , matanya tiba-tiba terpandang sebatang pokok pisang yang sudah senget batangnya dek menampung tandan buah yang sudah banyak menguning. Malah ada yang sudah dimakan burung.
“Macam manalah aku tak terperasankan kau. Sampai sarat kau menanggung beban”. Kata abang Anip sebelum menghayun parang panjangnya. Satu , dua , tiga hayun maka tumbanglah pokok pisang itu menyembah bumi. Setelah mengatur batang pisang ke tepi , tandan pisang yang sarat berbuah itu dipikul balik ke rumah.
“Harap Miah akan menggorengnya. Sedap ni kalau dimakan dengan kopi – O panas”. Fikir abang Anip sebelum menolak pintu dapur.
            Sekali lagi abang Anip terkejut dan tergamam. Selalunya Miah yang ada di dapur tapi hari ini bukan Miah. Sepantas kilat tandan pisang yang dipikulnya itu disandarkan ke dinding dapur sebelum bergegas keluar. Tidak selesa benar rasanya bertembung dengan gadis ini.
“Terima kasih…”.
“Hish! Dahlah masuk tak bagi salam , orang cakap terima kasih pun tak dijawab”. Rungutan Ziah sampai juga ke telinganya. Mana tidaknya mereka hanya dipisahkan oleh dinding selapis!.
“Ceh! Dah pandai nak mengutuk orang!!”. Balas abang Anip yang membuatkan Ziah terkedu , “Alamak!!!”. Ziah menepuk dahi lantas dengan spontan membuka pintu dapur yang tertutup lalu berlari anak mendapatkan abang Anip.
“Abang … tunggu!”. Jerit Ziah
Abang Anip yang sedang berjalan laju menghentikan langkahnya , “Aii! Nak cari gaduh apa budak ni?!”. Fikir abang Anip.
“Abang … Ziah cuma nak ucapkan terima kasih kerana telah menyelamatkan Ziah hari tu …”.
Kata Ziah laju. Mana tidaknya sudah berhari-hari dia menyimpan niat untuk mengucapkan terima kasih kepada si penyelamatnya itu. Lantas peluang yang terbuka ini tidak harus dilepaskan , ‘Orang Berbudi , Kita Berbahasa’ , itulah prinsipnya.
“Hmm … lain kali kalau dah tak tahu berenang jangan main di tepi sungai!. Dahlah badan tu berat macam gajah. Menyusahkan orang!!”. Abang Anip berkata dengan tegas sebelum meneruskan langkahnya semula , langsung tidak berpusing memandang Ziah. Ziah tergamam mendengarnya , memandang langkah abang Anip dengan perasaan yang keliru … malu dan marah!!!
“Eee ... macamlah dia tu bagus sangat. Siap mengutuk orang pulak tu. Ceh! Apa punya lelaki. Menyesal aku ucap terima kasih tadi!!”. Ziah mencemuh di dalam hati. Benci dengan gaya bahasa abang Anip yang langsung tiada sopan.


“Habis mengumpat?...
             Malam itu sewaktu makan malam , seperti biasa abang Anip tiba-tiba muncul dari pintu belakang. “Anip , mari makan sama”. Ajak mak Midah.
“Uh ... yelah mak”. Abang Anip mengambil tempat di hadapan Ziah. Ziah mencapai pinggan di sebelahnya lalu menyendukkan nasi untuk abang Anip.  Abang Anip  mengerutkan dahinya. Tidak selesa.
“Aku boleh ambil sendiri!”. Katanya. Tergamam Ziah dibuatnya lantas segera meletakkan semula nasi ke dalam bekasnya.
“Apa punya manusia dia ni. Berlagak nak mampus!”. Kata hati Ziah. Berubah air mukanya . Terasa malu diperlakukan begitu , hilang terus selera makannya.
“Tak apalah Anip , biarlah  Ziah  tolong isikan nasi tu. Kan ke bekas nasi tu dekat dengan Ziah. Memang patutpun dia yang tolong  isikan”. Mak Midah bersuara setelah melihat kerutan di wajah abang Anip. Abang Anip diam. Ziah pula yang  serba tidak kena. 
Akhirnya nasi disendukkan semula lalu dihulurkan namun  tidak disambut. Nasi itu akhirnya diletakkan saja di atas meja.
“Mmm  ...  Ziah , esok petang kita cari pucuk paku merah kat belakang nak? Kalau ditumis dengan cili padi, Fuhh!!! ... terangkat makan!”. Miah mengalih tajuk. Sengaja mahu mengalih perhatian Ziah.
“Aduhh!!. Kesian Ziah ... melampau betullah abang Anip ini!”. Kata hati Miah. Kesal dengan kebiadapan abangnya itu.
“Eeerrr boleh jugak. Ada ke pucuk paku merah kat belakang?”. Balas Ziah , juga cuba melindungi perasaannya yang sangat bengang!.
“Ada ... tapi kena jalan jauhlah sikit. Dekat hujung sungai”. Terang Miah
“Okey, tentu menarik nanti”. Jawab Ziah perlahan. Kepalanya ditundukkan , tidak selesa ...
“Eeee ...  lelaki ni!!”. Marahnya di dalam hati.
“Hah , kalau pergi esok jangan lupa bawak ubat nyamuk. Bakarkan siap-siap. Kat hujung sungai sana banyak nyamuk”. Pesan cikgu Karim .

Setelah selesai makan malam hari itu , Ziah menolong Miah membasuh pinggan di dapur.
“Ziah , kau kecil hati ke ngan perangai abang aku tadi?”. Tanya Miah.
“Eh taklah ... aku sebenarnya tak perasanpun yang dia tu tak suka aku sendukkan nasi. Bila dia kata ‘dia boleh ambil sendiri’   baru aku perasan muka abang kau yang berkerut !” . Ziah memberitahu dengan jujur sambil tertawa kecil.
“Ye ke? ... kelakarlah kau ni. Ni mesti kau tak berani nak pandang muka abang akukan. Muka dia tu sekarang ni dah sama macam muka singa!”. Miah berkata sambil tersengih memandang Ziah.
“Yelah tuuu  ...  macam singa! Tapi aku rasa abang kau tu sebenarnya baiklah orangnya”. Ziah sengaja memuji abang Anip. Dia tidak mahu Miah terus berasa bersalah di atas ‘kebiadapan’ abang Anip terhadapnya tadi.
“Hah, kau suka abang aku?”. Tanya Miah
“Eh tak dalah ... kalau aku kata baik tu tak semestinya aku suka . Aku cuma rasa abang kau  tu sebenarnya baik”. Jawab Ziah. Sebaik saja Ziah menghabiskan ayatnya itu , tanpa disedarinya abang Anip tiba-tiba sudah  tercegat di sebelah sisinya. Terkejut Ziah dibuatnya.
“Habis mengumpat?. Tepi!!”. Abang Anip mengasak dan Ziah segera bergerak ke tepi.
“Abang , kot ia pun kan boleh basuh tangan di bilik air!”. Marah Miah melihat sikap kasar abangnya itu. Abang Anip diam. Buat-buat pekak!
“Aduhh ... habislah. Kang perasan pulak mamat ni!. Eee…aku ni pun satu. Kot ia nak ‘cover’pun buat apalah sampai memuji mamat sekor ni. Baiklah sangat konon!!!”. Fikir Ziah, mengutuk dirinya sendiri.
             Sewaktu hendak tidur malam itu , Ziah terasa ingin memberitahu Miah perkara yang berlaku di sungai belakang rumah , peristiwa dia hampir lemas. Tapi tiba-tiba mulutnya terasa berat , lebih-lebih lagi apabila mengenangkan sikap abang Anip yang sombong dan berlagak itu. Akhirnya Ziah membuat keputusan untuk terus mendiamkan saja perkara tersebut.
“Mungkin diam itu  lebih baik. Abang Anip yang sombong , biar kisah ini menjadi rahsia antara kita berdua saja”. Fikir Ziah sebelum memejamkan mata dan terus lena dibuai mimpi.
Zzzzzzz ...
Sedang Ziah lena dibuai mimpi , ada insan lain yang sedang resah. Peristiwa yang berlaku di sungai telah menggerakkan emosinya yang telah lama membeku.
“Huh?”. Abang Anip tidak faham mengapa matanya begitu sukar dipejamkan. Sudah beberapa malam tidurnya terganggu. Ada keresahan yang melanda jiwanya kini …


Sehari lagi di sekolah ... mempromosikan etok masak gulai keladi
“Miah , Ziah , petang ni aku ngan kak Zu nak ikut orang ambik etok. Kau orang nak ikut tak?” . Ajak Zizah. Zizah ni memang sangat suka makan etok. Pantang ada peluang untuk cari etok pasti tidak dilepaskannya.
“Ummpphhh ... etok masak gulai keladi. Wah! ... sedapnya. Tak sabar aku dibuatnya”. Zizah beriya-iya mempromosikan etok masak gulai keladi kegemarannya itu.
“Ishh kau ni Zizah. Over pulak dah!. Tapi betul kata Zizah tu , jomlah joint kami. Ramai-ramai lagi seronok”. Ajak kak Zu.
“Eh naklah jugak. Ziah memang teringin sangat nak cuba cari etok. Naklah jugak rasa sesedap mananya etok masak gulai keladi tu. Selama ini hanya mendengar namanya saja. Err ... macam mana Miah , kita nak ikut tak?” . Tanya Ziah.
“Aku ni kalau diikutkan hati dah malas nak cari etok. Dah biasa sangat sedari kecik dulu. Tapi sebab kau ... bolehlah. Apa-apapun  aku kena talipon abah aku dulu. Minta dia ambik kita lambat skit”.  Miah bersetuju. Ziah betul-betul gembira.
“Terima kasih Miah. Kau ni memang kawan yang baik. Eh ... aku rasa dah lebih dari kawanlah. Tinggal serumah. Tidur setilam dan makan bersama. Mmm ... dah macam adik beradiklah!”. Aku Ziah dengan ikhlas.
“Umphh betullah tu . Kau orang berdua sebenarnya memang adik-beradik”.Sampuk Zizah.
Miah dan Ziah mengerutkan dahi mereka serentak. Tidak faham dengan maksud kata-kata Zizah. 
“Yelah , yang menyebabkan tak jadi adik-beradik tu  pasal mak bapak kau orang lain-lain!. Cuba kalau sama , dah sah-sah kau orang adik beradik kandung. Silap hari bulan kembar siam!!! Ha  ha  ha ...”. Gelak Zizah diikuti dengan yang lain.
“Ada-ada sajalah kau ni Zah”. Kata Miah. Ziah hanya mengangguk-nganggukkan kepalanya.
“Hishh kau ni Zizah, gelaktu cover-coverlah skit. Nanti baik-baik orang nak jadikan kau menantu terus cancel!”. Tegur kak Zu dalam gurauan.
“Alamak ... ye ke kak Zu?.  Okeylah sekarang aku jadi Zizah yang anggun. Mmm ... kak Zu  , boleh kita beredar sekarang?”.  Zizah melawak lagi  , bercakap dengan suara yang sengaja dilembutkan , penuh tertib sambil menundukkan sedikit kepalanya. Mulutnya merenyih terus bagaikan  kerang busuk.
“Uh kau tu kalau nak berlakon anggun  takkan menjadilah!”. Jengkel kak Zu dibuatnya.
“Jomlah kita balik bilik dulu. Nanti lepas solat asar kita turun cari etok. Eh , Zizah semalam kau janji dengan Kamal macam mana?” . Tanya kak Zu.
“Macam tulah  ...  lepas asar tunggu bawah jembatan besar tu. Macam biasalah kak Zu”. Jawab Zizah.
“Kamal?”. Tanya Ziah minta kepastian.
“Ya Kamal. Kau kenal ke dia?”. Tanya Zizah.
“Rasanya aku kenal. Tak taulah kalau Kamal yang lain”. Jawab Ziah.
“Umph Kamal mana lagi ... Kamal tulah. Itulah satu-satunya orang kampung ni yang bernama Kamal. Baik orangnya. Eh tapi ingat ... jangan potong line. Diatu aku dah cop!”. Renyih Zizah.
“Iyalah tu kau dah cop. Mmm  ...  kalau kau nak tahu Ziah , inilah kes syok sendiri. Orang tu tak tahu menahu pun!”. Kak Zu mengejek Zizah.
“Alaa kak Zu , sekarang belumlah tapi nanti lama-lama menjadinya!”. Zizah merenyih lagi.
“Apa-apalah Zizah , jangan kau esok dapat penyakit angau udah le ... tak kuasa akak nak layan!”. Kak Zu mempercepatkan langkahnya ke bilik asrama.


... Kamal yang setia menanti di bawah jambatan.
             Selesai menunaikan solat asar berjemaah , empat sekawan ini berjalan bersama menuju ke tempat yang dijanjikan.
“Eh Kamal , dah lama ke tunggu?” . Sapa Zizah sebaik saja terpandangkan Kamal yang setia menanti di bawah jambatan.
“Adalah dekat setengah jam”. Jawab Kamal jujur.
“Lama tu. Tak solat asar dulu ke?”. Tanya kak Zu dan Zizah segera menyinggung lengan  kak Zu. “Sensitif lah ... jangan tanya!”. Bisik Zizah perlahan.
“Huh!”. Kak Zu mencebik.
Kamal buat-buat tidak faham. Dia terus turun ke air lalu menyorong rakitnya.
“Naiklah cikgu. Nanti lewat tak dapat nak cari banyak etok”. Pelawa Kamal.
“Eh jomlah!”. Zizah memulakan langkah diikuti yang lain.
Sebaik sahaja keempat-empat  sekawan ini berada di atas rakit buluhnya , Kamal mula menolak rakit tersebut dengan buluh panjang.

             Dari kejauhan mereka dapat melihat beberapa kawasan yang berpasir di tengah-tengah sungai. Itu maknanya , air sungai  tengah surut. Air sungai ini bersambung terus ke laut sebab itulah sungai ini mengalami kesan pasang  surut seperti air laut juga.  Setelah sampai di salah satu kawasan berpasir , Kamal melabuhkan rakitnya lalu turun ke pasir diikuti oleh Zizah , kak Zu , Ziah dan Miah. Masing-masing membawa bakul rotan untuk mengisi etok. Mereka berpecah  mencari ‘port’ masing-masing tetapi Ziah masih tercegat. Saja hendak memerhatikan cara Zizah dan teman-temannya mencari etok. Setelah memahaminya Ziah melangkah jauh sedikit dari yang lain , bertinggung dan mula mengkuis-kuis pasir untuk mencari etok. Sedang Ziah leka mencari etok , Kamal menghampirinya.
“Banyak dapat cikgu?”.  Kamal memulakan bicara. Mengambil tempat , bertinggung di sisi Ziah. “Eh Kamal , eerrgh taklah banyak sangat. Tak pandaipun nak cari. Baru empat lima
ekor”. Jawab Ziah. Tertawa kecil
“Jarang nampak cikgu sekarang. Dah jemu melihat sungai?” . Tanya Kamal .
“Hmmm  ...  masakan!.  Kalau ya takkanlah saya berada di sini sekarang. Sebenarnya, saya dah tak tinggal di sekolah lagi. Sekarang saya menumpang tinggal di rumah cikgu Miah”. Jawab Ziah menerangkan situasinya kini.
“Tumpang ... kenapa?”. Tanya Kamal tidak faham.
“Saya bukan warden asrama sebab tu tak boleh tinggal di asrama sekolah”. Terang Ziah. 
Malas baginya untuk menerangkan konflik antara warden yang berlaku. Kamal pasti tidak akan faham.
“Ooo gitu ... sebenarnya cikgu , rumah cikgu Miah tu tidaklah jauh sangat dengan rumah saya. Dekat belakang rumah cikgu Miah kan ada sungai. Kat hujung sungai tulah rumah saya. Nanti bila cikgu lapang bolehlah datang singgah. Boleh saya kenalkan dengan mak saya. Tapi rumah saya tu taklah besar,  macam pondok je”. Cerita Kamal merendah diri.
“Ye ke?. Nantilah ... bila ada hari  yang sesuai saya akan ke sana bersama Miah”. Janji Ziah.
“Betul ye cikgu. Saya tunggu ‘hari’ itu”. Balas Kamal , serius memandang Ziah.
“Errr cikgu ...  di rumah itu kan masih ada Anip , abang cikgu Miah?”. Tanya Kamal.
“Ya. Dia masih tinggal bersama orang tuanya. Sama seperti Miah”. Jawab Ziah.
“Errr ... cikgu Ziah selesa ke di sana?”. Tanya Kamal lagi.
Pertanyaannya itu menghairankan Ziah. Wajah Kamal ditatapnya. Apalah barangkali yang ingin disampaikan oleh Kamal.
“Kenapa tanya begitu?. Bagi saya , orang dah kasi tumpang tu pun dah cukup elok. Betulkan?”. Balas Ziah. Belumpun sempat Kamal menjawab pertanyaan itu ......
“Eh Kamal , tak banyaklah etok di sini. Jom pergi tengok tempat lain lah”. Ajak Zizah. Zizah sebenarnya berasa cemburu melihat kemesraan antara Ziah dan Kamal.
“Ziah banyak ke dapat?”. Tanya Zizah , sengaja menegur Ziah untuk menutup rasa cemburunya itu.
“Tak ... tak pandai lah”. Jawab Ziah.
“Tulah ...  kalau asyik nak bercerita saja memanglah tak pandai-pandai!”. Sindir Zizah pula.
“Huhh!!! Takkan jealous kot!”. Kak Zu menyinggung lengan Zizah dan yang lain-lain tertawa. 
Zizah turut tertawa. Kamal buat-buat tidak faham.
“Jomlah , kata nak ke tempat lain”. Ajak Kamal.
Sekali lagi mereka menaiki rakit menyusuri sungai tersebut untuk mencari lebih banyak etok.
Sambil berakit , Zizah menyanyi perlahan-lahan ... “Rasa cinta  , pasti ada ... pada makhluk yang bernyawa ... Sejak lama sampai kini tetap suci dan abadi ... takkan hilang selamanya walau sampai akhir zaman. Renungkanlahhh ...”. Yang lain hanya tersenyum-senyum mendengarkan suara Zizah yang sumbang.


Tiba-tiba abang Anip bangun dan terus membasuh tangannya ...
             Makan malam hari itu sungguh menyelerakan. Ikan masin goreng , ulam petai cicah sambal tempoyak dan yang lebih istimewa ialah etok masak gulai keladi.
“Mmm ... sedap betul makan malam ni. Berselera sungguh mak cik. Sebenarnya pakcik kau ni dah lama sangat tak beli etok” . Makcik Midah bercerita kepada Ziah sambil mengerling tajam kepada cikgu Karim.
“Macam mana nak beli , orang dah tak menjualnya di pasar. Etok sekarang bukan macam dulu , bersepah. Sekarang ni orang cari etok untuk  makan sendiri je”. Jawab cikgu Karim membetulkan isterinya.
“Ye ke bang? ... Dulu masa mak cik sihat , kami sekeluarga selalu cari  etok ni sendiri. Ni hah , abang Anip kau ni ... pandai betul cari etok. Bakul dia mesti penuhlah tiap kali kami turun ke sungai”. Makcik Midah mengimbau kisah lama.
“Huh ... sudah lama makcik tak keluar rumah. Dah tak tahu perkembangan di sana. Jangankan  nak cari etok , jejak ke tanah pun tidak!”. Mak cik Midah mengeluh.
“Sudahlah mak. Tak baik berkeluh kesah begitu”. Tegur Miah.
Tiba-tiba abang Anip yang sedang makan bangun dan terus membasuh tangannya lalu meninggalkan meja makan. Nasi di pinggan masih separuh penuh. Ziah mengangkat keningnya kepada Miah.
“Itulah mak ... abangkan  tak suka kisah – kisah lalu diungkit. Kalau boleh dia nak kuburkan terus kisah lalu tu. Agaknya kalau boleh dengan kita-kita ni nak dikuburkannya!”. Miah sengaja menguatkan suaranya. Geram dengan perangai biadap abangnya itu. Bukannya mahu menenangkan ibunya , ini dia pula yang buat perangai!
“Doommm!!!”. Kedengaran bunyi pintu bilik dihempaskan. Abang Anip sengaja menghempaskan pintu sebagai pelepas geram mendengar sindiran adiknya itu.
“Eeee ... takutnya!!!”. Jerit Miah , mengejek.
“Hishh! Miah , sudahlah tu. Jangan sarang tebuan mahu dijolok”. Tegur mak Midah. Miah mencebik , Ziah diam ... “Apa aje yang tak kena dengan lelaki tu!”. Fikirnya.



Keesokan harinya , setelah pulang dari sekolah ... abang Anip masuk bersama setandan pisang ...
Petang itu Ziah turun ke dapur sendirian. Masih jelas diingatannya tentang peristiwa yang berlaku waktu  makan malam  semalam.  Kata –kata Miah masih terdengar-dengar di cuping telinganya , 
“Itulah mak  ... abangkan  tak suka kisah – kisah lalu diungkit. Kalau boleh dia nak kuburkan terus kisah lalu tu. Agaknya kalau boleh dengan kita-kita ni nak dikuburkannya!”.
“Huh! ... mesti kisah lalu itu terlalu perit bagimu hinggakan kau bersikap dingin dan keras begitu. Apalah agaknya yang telah menimpamu?”. Fikir Ziah , timbul pula rasa simpati di hatinya.
“Eeee ... tidak! Tidak!. Itu tidak boleh dijadikan alasan untuk kau bersikap biadap dan kurang ajar!”. Fikir Ziah  pula .
“Huh! Lantaklah ... asal saja aku tidak termasuk dalam cerita hidup kau sudah!”. Ziah membuat kesimpulan sebelum memandang sekeliling. 
“Apa ye nak dimasak petang ni?”. Fikirnya sambil menggaru-garu kepala yang tidak gatal. Inilah kali pertama Ziah turun ke dapur untuk menyediakan makanan sendirian. Selalunya dia hanya membantu Miah tapi hari ini Miah sangat keletihan dan masih lena di biliknya. Miah kepenatan kerana aktiviti sekolah pagi tadi. Sebagai cikgu seni , Miah ditugaskan membimbing sekumpulan murid  melukis mural di dinding-dinding sekolah. 
Tahun ini , pengetua sekolah bercadang untuk menyertai pertandingan ‘sekolah dalam taman’. Habis semua dinding sekolah dilukiskan mural. Guru sains bersama pembantu makmal pula dikerah menyiapkan  taman herba sekolah. Segala jenis tumbuhan herba termasuklah serai , pandan , halia , lengkuas , kunyit , lempoyang dan pelbagai lagi herba-herba lain turut ditanam.

Selesai menenggek air , Ziah memandang semula sekeliling dapur.
“Mmm ... apa ye nak dimasak petang ni?”. Fikirnya lagi.
Tiba-tiba pintu dapur terkuak , abang Anip masuk bersama setandan pisang awak. Beberapa sikat sudah kekuning-kuningan. Jelas kelihatan dua tiga biji pisang telah rosak dimakan burung. Sebaik saja terpandangkan Ziah , hatinya berdebar.  Bagai masih terasa betapa lembutnya bibir gadis ini. Tanpa sepatah bicara, abang Anip pantas menyandarkan pisang tersebut di dinding dapur dan berlalu pergi. Ziah tersenyum sendirian ...
“Apa punya orang , paling kurang bagilah salam  ... ini tidak. Menerobos macam pencuri. Huh lantaklah dia. Bagus jugak ada pisang ni , bole gak aku goreng”. Fikir Ziah.
Selesai menggoreng pisang  , Ziah membancuh air kopi. Semerbak bau air kopi O panas  yang dibancuh oleh Ziah. Bersama sepiring pisang goreng , Ziah mengangkat dulang ke ruang tamu. Di ruang tamu makcik  Midah dan cikgu Karim tersenyum memandang Ziah.
“Mmm ... sedapnya bau kopi O ni Ziah. Eh , Miah mana?”. Tanya cikgu Karim.
“Miah masih tidur. Kepenatanlah tu. Tadi di sekolah Miah penat menolong budak-budak mengecat mural”. Terang Ziah.
“Hmm ... lepas asar pun masih mahu tidur. Tak elok tu ... tapi yalah ... cikgu-cikgu sekarang ni dah macam ‘multy purpose’ pulak ye?. Zaman pakcik jadi cikgu dulu tu senang aje, masuk kelas mengajar ... habis mengajar balik”. Cikgu Karim membandingkan beban tugas guru dulu dan kini sambil menggeleng-gelengkan kepalanya. Ziah hanya tersenyum mendengar komen cikgu Karim itu."
“Hmmm ... goreng pisang. Mana dapat pisang ni Ziah ?”. Tanya makcik Midah.
“Ooo ... tadi abang Anip bawa balik. Mungkin dari kebun kot”. Jawab Ziah kurang pasti.
“Ooo ... dari kebun belakanglah agaknya tu. Eh bang , Anip ada kat bawah tak?” . Tanya makcik Midah.
“Ada kat bawah tu ha, tengah menyalai kelapa”. Jawab cikgu Karim.
“Ziah , tolong makcik panggilkan abang Anip . Ajak minum sama” . Pinta makcik Midah.
“Alamak!...”. Fikir Ziah di dalam hati.
“Lelaki ini yang disuruhnya aku panggil?. Mamposlah  aku!”. Fikir Ziah lagi.
“Eerrr baik makcik”.  Lain di mulut lain di hati.  Ziah melangkah turun , berjalan ke arah rumah salai. Dari pintu yang terbuka Ziah dapat melihat badan sawo matang abang Anip terdedah dan lencun dibasahi peluh.
“Kasihan ... panas!”. Keluhnya sendirian .
“Abang ...”.  Tiada jawapan., abang  Anip leka membalik-balikkan kelapa yang sedang disalai atau sengaja memekakkan telinga.
“Abang Anip!”. Panggil Ziah lebih kuat.
Abang Anip menoleh , terkejut melihat Ziah tercegat memerhatikannya lantas tangannya  segera mencapai dan  menyarung  t-shirt lusuh yang disangkutnya di tepi dinding rumah salai itu.
“Makcik panggil minum petang ”. Beritahu Ziah. Serba salah melihat perlakuan  abang Anip ,  Ziah segera berpusing dan melangkah pergi.
“Nanti ...!” . Abang Anip berkata dengan suara yang agak keras. Ziah menghentikan langkahnya , berpusing ke belakang dan  memandang abang Anip dengan wajah kehairanan.
“Lain kali jangan cari aku di sini!”. Sambung abang Anip. Ziah , mengerutkan dahinya.
“Tapi makcik yang ...”. Ziah cuba menjawab.
“Terima kasih”. Abang Anip memotong cakap Ziah , berkata sepatah lalu berjalan laju meninggalkan Ziah yang masih tercegat , bengang!.
“Terima kasih?... pelik!”.  Ziah berkata perlahan. Berang hatinya mengingatkan teguran abang Anip tadi. “Macamlah aku  teringin  sangat nak cari dia!. Kalau tak kerana makcik yang suruh , matipun tak ingin aku!!”.  Ziah  berkata di dalam hati sambil menjelirkan lidahnya ke   arah abang Anip yang berjalan laju  tanpa memperdulikan perasaan Ziah , geram!. 
“Benci!”.  Rungutnya sambil  berjalan lambat-lambat ke rumah. Kalau boleh tidak mahu  makan semeja dengan abang Anip.  Tidak suka dengan sikap abang Anip yang dingin dan kasar itu. 
“Benci betul!!. Mentang-mentanglah aku ni menumpang rumah dia ... berlagak ! ... sombong!” . Fikirnya lagi.
             Berjalan lambat-lambatpun  akhirnya sampai juga di  hadapan tangga rumah itu ,  dari bawah lagi Ziah  dapat mendengar suara makcik Midah dan cikgu Karim rancak berbual.
“Apalah yang dibualkan mereka  agaknya?”. Fikir Ziah. Sebaik saja kakinya memijak anak tangga pertama , langkahnya  terhenti. Tergamam dan  lututnya tiba-tiba terasa  longlai dan tidak  mampu untuk melangkah lagi.
“Yelah Anip ... mak tengok Ziah tu baik budaknya. Rajin , hormat orang tua dan pandai buat kerja rumah. Mak berkenan betul  Nip”.  Makcik Midah bersuara. Kata-kata makcik Midah itu benar-benar mengejutkan Ziah!
“Abah setuju dengan mak kau. Kau ni pun dah patut ada dua tiga  orang anak. Umur kau tu pun dah semakin meningkat. Sudahlah Anip, yang lepas tu lepaslah ...”. Sampuk pula cikgu Karim.
“Apa?. Takkanlah sampai begitu sekali?. Nak dijodohkan aku dengan lelaki pelik itu? Huhh ... jauh panggang dari api!”. Ziah membatukan diri. Wajahnya dikerutkan. Benci benar mendengar perbualan mereka itu.
“Sungguh takku sangka makcik dan pakcik boleh berfikir sejauh itu ...". Fikir Ziah , terkejut dengan apa yang didengarnya. Dan lebih terkejut lagi , ...  bagaikan nak terluruh jantungnya apabila abang Anip tiba-tiba saja meluru keluar!. 
Langkah  abang Anip terhenti apabila terpandangkan Ziah yang tercegat di bawah tangga. Kaget. Mata mereka bertentangan. Serba tidak kena . Keliru dan tidak pasti apa yang patut dilakukan , Ziah berpusing dan melangkah laju ke belakang rumah. Abang Anip juga terkejut. Mengapalah perkara ini perlu dibicarakan oleh kedua orang tuanya.  Malu dan lebih malu lagi kerana Ziah turut mendengarnya!
             Sampai di tebing sungai , Ziah mencari-cari tempat yang sesuai , di atas sebatang pokok yang tumbang.  Ziah duduk , tangannya mencapai batu-batu kecil lalu mencampakkannya jauh-jauh ke tengah sungai.
“Eee ... apalah makcik dan pakcik ni. Tak patut mereka bercakap begitu!!”. Jengkel benar Ziah mengingatkan kata-kata makcik Midah dan cikgu Karim.
“Huh orang macam abang Anip tu nak dipadankan dengan aku? Eeee ... tolonglah. Mati hidup semula pun aku  takkan  mahu. Sombong , berlagak ... kasar!” . Meluap-luap kemarahan di hatinya.
“Aduhhh ! , macam manalah aku nak pandang muka abang Anip tu lepas ni? Kalaulah ada tempat lain yang boleh aku tumpang ...”. Keluh Ziah.
“Eeee .... kenapa?!. Kenapa?.  Kenapalah Pagan Sena ?. Kenapalah aku dipostingkan ke mari?. Kenapalah  ulu sangat Pagan Sena ni!!!!”. Kata Ziah kepada dirinya sendiri. Kalau tempat ini maju sudah tentu Ziah dapat menyewa rumah sendiri , tidaklah dia sampai terperangkap di sini!.
“Huhhh!. Nak buat macam mana ni?!”. Ziah menumpang dagu. Sedih , risau , bimbang akan nasib dirinya. Tiba-tiba ...
“Ehemmm!!”.  Kedengaran satu suara dari belakang. Sengaja menarik perhatian Ziah. Ziah kenal suara itu!
“Abang Anip?”.  Terkejut. Hati Ziah berdebar-debar. 
“Alamak!. Apalah pulak lepas ni?!”. Ziah mulai menggelabah , berpaling memandang  ke  arah suara itu. 
“Uulppss!!”. Ziah menelan air liurnya tatkala terpandangkan abang Anip  , berjalan mengarah ke sisinya. Wajahnya cukup serius. Langsung tiada manisnya!. Setelah cukup hampir , abang Anip mematikan langkah.
“Aku tahu kau telah dengar cakap mak dan abah aku tadikan?”. Abang Anip memulakan bicara , tegas dan darang. Ziah hanya menganggukkan kepala. Malu . Terasa darah panas mengalir ke mukanya.
“Aku juga tahu yang kau memang tak sukakan aku”. Kata abang Anip lagi.
“Errrr .....”. Ziah tidak pasti responnya yang sesuai untuk tuduhan itu.
“Abang , Ziah tak tahu menahupun tentang perkara ini ...”. Kata Ziah , khuatir.
“Aku tahu!. Aku mahu kau lupakan saja apa yang kau dengar. Ianya tak mungkin terjadi. Aku takkan mungkin terima kau. Anggap saja  tiada apa-apa yang berlaku!”. Abang  Anip menutup bicara lalu meninggalkan Ziah sendirian.
“Abang!!”. Panggilan  keras Ziah menghentikan  langkah abang Anip. Kata-kata abang Anip itu membuatkan Ziah bengang , keterlaluan!.
“Betul memang Ziah tak tahu menahu tentang cadangan pakcik dan makcik tapi ...  cara abang bercakap ini keterlaluan. Untuk makluman abang , bukan abang seorang yang beranggapan cadangan mereka itu tidak mungkin akan terjadi. Ziah juga tidak  pernah mimpi untuk mengadakan sebarang hubungan dengan abang. Huh!! Asal saja abang tahu!”. Ziah terpaksa menyatakan yang benar. Demi maruah dirinya yang bagaikan dicalar dek kata-kata abang Anip yang tidak berlapik itu.
“Tak da maknanya!” . Kata abang Anip sebelum terus  melangkah pergi tanpa menolehpun ke arah Ziah. Ziah menutup muka dengan kedua tangannya.
“Eeeee ... gerammmmnya!.  Dahlah menuduh orang yang bukan-bukan. Berlagak betul. Aku memang benci dia! ... eeeee ... bencinya!!!!!”. Kata Ziah di dalam hati. Bersama perasaan sebal itu , Ziah melontar lebih banyak batu  ke dalam sungai!. Kalaulah ikan di sungai boleh bersuara ... pasti ikan-ikan itu akan lantang menjerit , memarahi Ziah!!.
“Ya!. Aku memang bencikan dia!!. Berlagak!. Sombong!. Tak berperasaan!. Perasan bagus!. Benci!. Benci!. Benci sangat!!!”. Jerit Ziah sekuat hati. Namun sebaik sahaja semua yang terbuku telah diluahkan , Ziah segera menekup mulutnya dengan tangan.
“Heeee ...  janganlah ada orang dengar!”. Katanya sendirian sambil tersenyum puas. Matanya memandang keliling. Malangnya senyumannya segera hilang tatkala terpandangkan abang Anip berdiri tegak memandangnya. Lelaki ini belum cukup jauh untuk tidak mendengar laungan Ziah tadi!!

Benci! Benci!! Benci!!!
Egomu menggunung tinggi
Nak tunjuk bagus haram tak jadi
Cehh! Poorahh!! ...  pentingkan diri
Ingat hebat ... Perasan sendiri!!

Kau suka berlagak bagus
Agak-agaklah jangan nak ‘over’
Muka macam sardine rebus
Untung saja mak bapak ‘cover’!

Sengaja nak cari gaduh
Apa ingat aku takut?
Nanti ku tunjuk siapa jaguh
Ganyang kau sampai kecut perut
Aaa ... baru terkial kau mengaduh
Time tu nyosal siutt!!