Popular Posts

Friday 18 April 2014

"Keranamu DIAH" - Bab 17

BAB 17          RUMAH RAZIQ DI CHERATING , PAHANG.

Sebentar lagi segalanya akan terbongkar.
            Perjalanan masih diteruskan.  Ziah dan Diah sudah lama terlena ,  penat dan mengantuk lebih-lebih lagi setelah mengharungi pelbagai peristiwa pada hari ini. Menjelang enam petang barulah mereka sampai ke pekan Cherating.....
“Wah ! cantiknya pemandangan”. Kata Zuraimie di dalam hati. Kagum melihat keindahan laut Cherating. Laut pantai timur memang sangat berbeza keindahannya dengan laut pantai barat. Sungguhpun begitu keindahan pemandangan itu tidak langsung dapat menghapuskan kegelisahan di hatinya. Sebentar saja  lagi segalanya akan terbongkar. Kebenaran akan terserlah , pembohongannya akan punah.  Bagaimana caranya harus dia menyakinkan Diah tentang niat baiknya itu. Salah faham pasti akan terjadi. Niatnya akan disalahertikan. Pembohongannya ini  akan memakan diri.
“Bohong sunat yang kini menjerat!”. Fikirnya lagi.
“Huhh!!!”. Keluhnya berat. Perasaannya tidak keruan , lebih meresahkannya ialah tindakannya itu turut menyeret sama Ziah , kawan baik Diah. Tentu akibatnya lebih parah.
“Huhhh!. Semoga keajaiban terjadi”. Doanya di dalam hati.
“Sesungguhnya Allah itu Maha Pengasih dan Penyayang”. Zuraimie cuba menguatkan semangatnya agar tidak mudah berputus asa. Di mana lagi harus manusia  menggantungkan harapannya jika tidak kepada Allah , Tuhan yang Maha Mengetahui lagi Maha mengasihi.

... hanya berlakon hilang ingatan
“Diah , bangunlah. Kita dah sampai di Cherating ni. Tunjukkan jalan”.  Zuraimie mengejutkan Diah. Suaranya mengejutkan Diah itu turut membangunkan Ziah dari lenanya.
“Hah?! Dah sampai Cherating. Lamanya kita tidur!”. Kata Ziah spontan , tidak menyangka yang dia akan tidur senyenyak itu. Perjalanan berjam-jam langsung tidak terasa.
“Macam baby !”. Usik Zuraimie sambil tersenyum , memandang Ziah melalui cermin pandang belakangnya.
“Hmm  ...  bukan babylah tapi ‘sleeping beauty!’”. Jawab Diah. Cuba menceriakan suasana.
“Huh!  Yelah sleeping beauty , tolong tunjukkan kat prince you ni mana jalannya?”.  Gurau Zuraimie pula. Cuba menutup resah di hati. Diah menggosok-gosokkan mata memandang keliling ,  cuba mencari tanda dan arah yang mungkin dapat membantu. Sesungguhnya Diah sendiri tidak pasti sama ada dia boleh mengecam jalan ke rumah ibu Raziq atau tidak. Permintaannya ke mari semata-mata atas gerakan naluri sahaja. Hakikatnya Diah sendiri tidak faham mengapa dia begitu tegar mahu ke sini , ke rumah ibu Raziq!.
Diah memandang ke kiri dan kanan jalan ... “macam tahu ... macam ingat tapi tak pastilah!”. Jawab Diah perlahan-lahan. Jawapan yang membuatkan Zuraimie membungkam!. Berkerut dahinya mendengar jawapan itu.
“Jap! Aku cuba...” Kata Diah setelah melihat reaksi wajah Zuraimie. Diah memaksa otaknya bekerja lebih , memandang kiri dan kanan mencari punca ... tiba-tiba mata Diah terpandangkan sekumpulan lembu yang sedang merayau sambil meragut rumpu di tepi jalan , “Mereka lebih hebat dari raja”. Kata-kata itu spontan saja terkeluar dari bibirnya.
“Apa?. Siapa?”. Tanya Zuraimie , hairan.
“Tu , lembu-lembu tu?”. Jawab Diah.
“Apa?. Lembu ... raja?”. Tanya Ziah tidak faham.
“Hmm ... entahlah. Tiba-tiba saja aku macam pernah dengar kata-kata itu. Lembu-lembu ini lebih hebat dari raja ... sebab?”. Diah terhenti.
“Sebab?!”. Tanya Ziah dan Zuraimie serentak.
‘Hmm ... entahlah. Akupun tak tahu. Sudahlah! Lupakan saja pasal lembu itu. Mungkin aku masih  ‘mamai’ sebab baru bangun tidur”. Diah diam , tidak mahu memperpanjangkan soal ‘lembu’  namun di dalam kepalanya bagai terngiang-ngiang akan jawapannya ... jawapan yang entah dari siapa , “lembu ni lebih hebat dari raja sebab dia boleh ‘landing’ mana-mana saja yang dia nak. Tak ada siapa boleh marah”.
Timbul tandatanya di hatinya , “Macam pernah ku dengar , tapi siapa?”. Fikirnya di dalam hati.
“Hah Diah , ke mana kita ni?”. Tanya Zuraimie tiba-tiba , langsung hilang persoalan yang bermain di fikiran Diah. Sekali lagi Diah  memanjangkan kepalanya , melihat-lihat sekeliling.
“Perlahan sikit”. Pintanya dan Zuraimie akur , memperlahankan keretanya sehingga 40 km/j.
“Eh dah dekat ni. Depan tu ada selekoh , nanti belok kanan . Lepas tu jalan terus je. Itu jalan kampung”. Diah menunjuk arah. Tidak disangka , mulutnya berkata begitu lancar sekali . Diah sendiri terkejut , ingatannya masih cukup kuat untuk terus mengingati tempat ini. “Tapi kenapa Zuraimie dan Ziah tak ingat langsung ye?. Aku yang hilang ingatan atau mereka?”. Fikir Diah sedang Zuraimie hanya menurut sahaja seperti yang diarahkan.
“Huh!. Kau masih ingat segalanya”. Keluh Zuraimie. Keluhan yang mengandungi kerisauan. “Takkanlah dia hanya berlakon hilang ingatan ... atau telah tertipukah kami?!”. Fikir Zuraimie. Tanpa disedarinya Ziah juga memikirkan perkara yang sama. Mata Ziah terus memandang sahabatnya Diah. “Bersandiwarakah kau Diah?”. Fikirnya.
Bagi diri Diah pula ... “Mengapa aku  merasa terlalu mesra dan sangat mengenali tempat ini , laluan ini. Perasaan ini ... amat tenang dan sangat gembira!”. Fikir Diah. Terasa tidak sabar-sabar untuk sampai ke tempat yang dituju.
“Apa yang agaknya menantiku di sana?”. Diah cuba meneka  sambil memejamkan matanya. Sebelah tangannya diletakkan di atas dada , cuba merasa degupan jantungnya sendiri.

Pangkin kayu ...  masih di situ.
Akhirnya Kenari berhenti di halaman sebuah rumah kayu. Sederhana besar tetapi indah. Bunga-bungaan pelbagai warna masih menyerikan setiap anak tangga. Pangkin kayu di bawah pohon manggis masih di situ. Begitu juga dengan tikar mengkuang yang menutupinya. Sederhana , indah dan selesa ...
“Assalamualaikum!”
“Assalamualaikum  ...  mak Mah!! ... mak Mah!!”. Nama mak Mah keluar begitu saja dari mulut Diah. Ziah dan Zuraimie saling berpandangan , “Permainan apa yang sedang kau mainkan ini Diah?”, kata hati Zuraimie. Ziah pula  sedang berkerut dahi memikirkan sesuatu.
Diah berlari dan memanggil dengan suara yang sedikit dikuatkan. Entah mengapa hatinya rasa terlalu dekat dan mesra dengan segala yang ada di situ. Rumah itu , tangga itu , pangkin itu ... segalanya. Dia juga seperti terdengar-dengar sahaja suara lelaki  memanggil-manggil  ibunya. “Ya. Barangkali dulu Raziq juga memanggil-manggilnya  begini”. Fikir Diah , terasa kesayuan dan kerinduan yang  mencengkam ... sedang dia sendiri tidak mengerti.
“Waalaikummussalam  ...  siapa tu?”. Jawab satu suara dari dalam rumah.
Tidak lama kemudian seorang perempuan tua menjengahkan kepalanya ke luar pintu. Sebaik sahaja terpandangkan wajah Diah , mak Mah berlari  menuruni anak tangga  lalu menerpa ke arah Diah , memeluk dan segera mengusap perut Diah. Air matanya jatuh bercucuran.
“Mak Mah ...”. Diah sungguh terharu . Air matanya turut mengalir . Benarlah firasatnya , ibu ini sangat menyayanginya.
“ Tapi mengapa?. Sejauh manakah hubungan  kita?”. Fikirnya.  Diah juga seolah-olah dapat menyelami dan memahami perasaan mak Mah. Seorang ibu yang kehilangan satu-satunya anak kesayangannya. Kini mereka sama-sama berpelukan dalam tangisan. Zuraimie dan Ziah hanya memerhatikan ... terharu ... cemas dan kecut perut!. Cemas kerana pembohongan mereka bakal terbongkar. Kecut perut memikirkan perkara yang mungkin terjadi!.
Kini pastilah sudah bagi Zuraimie dan Ziah bahawa ingatan Diah sudah kembali pulih. Cuma persoalannya , mengapa Diah masih mahu terus berpura-pura dan membiarkan mereka untuk terus-terusan mempercayai bahawa tembelang mereka masih selamat. Konon pembohongan mereka masih tidak dapat dihidu oleh Diah!. Kini siapa yang membohongi siapa? , “Diah , sampainya hatimu”. Hati Zuraimie meratap , kecewa diperbodohkan. Namun tidak tahu ke mana harus di arah ratapannya itu kerana bak kata pepatah , ‘merajuk pada yang sayang’. Persoalannya , sayangkah Diah akan dirinya?.  
Usai berpelukan sakan dan setelah henti air mata yang bercucuran , Diah segera berpaling kea rah teman-temannya , Ziah dan Zuraimie.                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                          
“Mak Mah , tentu masih ingatkan. Ini Zuraimie. Katanya dia juga pernah ke sini dulu. Kami berkawan baik dengan arwah?”.  Diah sengaja mengajukan soalan itu kepada mak Mah. Dia sendiri mahukan kepastian tentang siapakah sebenarnya Zuraimie padanya. Mak Mah diam , menatap wajah Zuraimie ...  lama. Hati tuanya dapat mengesan keresahan di wajah anak muda ini. Pandangannya beralih kepada Ziah. Juga keresahan yang melampau terpancar daripada riak wajah gadis ini. Ziah sampaikan mengelap peluh sejuk di dahinya dengan tisu yang memang selalu ada di dalam tas tangannya.
“Matilah aku , pasti segalanya bakal terbongkar. Bagaimana aku mahu menhadapi situasi ini?. Ya Allah , bantulah kami”. Doanya di dalam hati.
Mak Mah diam , lama direnungnya wajah Zuraimie dan Ziah bergilir-gilir sehingga akhirnya dia bersuara , “Ya. Kamu bertiga memang berkawan baik. Cuma mak ini yang semakin tua. Sudah banyak perkara yang mak lupa! Err ... siapa ya nama kamu  nak. Maaflah mak ni dah tua , selalu lupa ”.  Jawab mak Mah , membahasakan dirinya ‘mak’. Zuraimie dan Ziah menarik nafas lega!.
“Err ... mak Mah. Saya Ziah. Kawan mereka juga”. Ziah memperkenalkan dirinya sendiri sambil menghulurkan tangan untuk bersalaman dengan mak Mah. Mak Mah menyambutnya. Tangan sejuk Ziah digenggam  lama. Wajah Ziah direnung. Mata tuanya cuba membaca isi hati gadis ini. Beralih pula kepada Zuraimie , mak Mah dapat mengesan gelora dihati anak muda ini.
Zuraimie lega ...
“Mak Mah , Diah datang ni ada hajat yang besar sangat ... Diah betul-betul perlukan pertolongan Mak Mah”.  Diah memulakan bicara.
“Kalau gitu , Diah bawa kawan naik ke atas dulu. Biar mak  ke dapur sekejap. Kau orang semua tentu dah penat. Duduklah  berehat dulu”. Mak Mah berkata kepada para tetamunya  sebelum ke dapur menyediakan sedikit juadah. Diah mengajak Ziah dan Zuraimie  duduk di ruang tamu rumah itu.
“Err ... tak mengapa. Saya ingin mengambil angin di luar dahulu”. Kata Zuraimie lantas  ke anjung rumah , melihat-lihat kawasan sekitar.  Suasana kampung , rumah dibuat di tengah-tengah kawasan  tanah  masing-masing. Pelbagai jenis pohon buah-buahan ditanam di sekeliling rumah sehingga melindungi pemandangan ke rumah jiran.
“Huhh!”. Berat hatinya mahu meninggalkan Diah sendirian bersama mak Mah di situ.
Namun dia cukup bersyukur dan  lega dengan pengakuan mak Mah tadi.
“Mengapa ibu ini sanggup berbohong ?. Sudah jelas aku dan Ziah memang tak pernah sampai ke sini tapi ...”. Fikir Zuraimie. Belumpun sempat Zuraimie berfikir lebih jauh , tiba-tiba ...
“Nak ...  mari tolong mak angkatkan setandan pisang di belakang sana”. Tiba-tiba mak Mah bersuara dari arah belakang Zuraimie. Zuraimie terkejut lalu segera menoleh.
“ Err ... baik mak. Mari saya tolong”. Jawab Zuraimie sopan  lalu berjalan menuruti langkah mak Mah menuju ke ruang dapur. Sampai di dapur mak Mah menuding  ke arah luar pintu belakang. Di situ tersandar  setandan  pisang awak yang sudah mula kekuningan warnanya.
“Itu pisangnya , tolong mak angkatkan ke mari”. Pinta mak Mah. Zuraimie mengangguk lalu segera melipat lengan bajunya sebelum mula memegang tandan pisang.  Tiba-tiba  mak Mah menepuk bahu Zuraimie dari belakang.
“Biarkanlah pisang itu dahulu , sekarang ceritakanlah pada mak perkara yang sebenarnya!”. Pinta mak Mah. Zuraimie terkejut mendengar permintaan mak Mah itu.
“Mak Mah ... terima kasih!.”. Terharu , menggenggam tangan  ibu tua itu lalu menciumnya. Maka segalanya terbongkar ...
“Huh!. Sungguh besar pengorbanan kamu. Kalau benarlah itu hajat arwah , mak sanggup menolong. Bukan kerana mak bersetuju dengan pembohongan kalian tetapi  demi arwah anak mak , Raziq. Lagipun  yang dikandungkan itu adalah cucu mak!. Mak sangat berbesar hati jika dia dilahirkan di sini”. Air mata mengalir dari kelopak mata ibu tua ini.
“Sekurang-kurangnya mak dapat menyambut kelahirannya dan dapat bersama cucu mak walaupun untuk seketika. Ini sajalah yang dapat mak buat untuk anak mak yang sudah pergi . Tapi mak minta , setelah segalanya selesai dan sesudah kamu berkahwin dengannya nanti ... janganlah kalian lupakan mak di sini. Sesekali bawalah cucu mak balik ke mari. Mak sudah tiada siapa-siapa lagi di dunia ini!. Satu-satunya anak mak sudah tiada. Tidak mak sangka dia akan pergi dahulu meninggalkan mak yang sudah tua ini sendirian” Pinta dan ratap mak Mah , sedih mengenangkan nasib sendiri.
“Ya mak. Jika itulah permintaan mak , saya akan pastikan ianya terlaksana. Saya benar-benar terhutang budi kepada mak. Semoga amanat arwah dapat saya tunaikan. Namun , saya mohon maaf dari mak kerana terpaksa berbohong begini. Lagi teruk , saya mengheret mak dalam pembohongan ini juga”. Kata Zuraimie berjanji tidak akan memutuskan ikatan antara nenek dan cucu lalu menyeka air mata ibu tua itu.

Kami  memang telah bercadang untuk berkahwin
            Mak Mah meneruskan kerja menggoreng pisang sambil dibantu oleh Zuraimie. Terhibur hati tuanya melihatkan kesopanan dan kebaikan tingkah laku Zuraimie itu. Terubat sedikit kerinduannya terhadap arwah anaknya , Raziq. Kebetulan pula wajah Zuraimie memang ada iras-iras wajah anaknya Raziq terutamanya di bahagian mata dan mulut. “Kening lebat hampir bertaut di tengah , mata sederhana besar yang agak meruncing dihujungnya. Bibir yang lebar dengan senyuman yang manis. Manis sekali. Adakah kau dikirimkan untuk mak sebagai pengganti arwah?”. Bisik hati kecil mak Mah. Sesekali wajah Zuraimie ditatapnya.
            Setelah segalanya selesai mereka sama-sama mengangkat dulang , membawanya ke ruang tamu. Tersenyum sesama sendiri sehingga menimbulkan kehairanan di hati Ziah dan Diah.
“Amboi , mesranya awak Zuraimie. Dah  macam rumah sendiri pula”. Usik Ziah.
“Eh! Mestilah. Aura penyayang mak Mah ni memang kuat. Tu yang aku melekat je jadinya. Kan mak?”. Jawab Zuraimie , meminta sokongan dari mak Mah.
“Ya , korang semua dah macam anak mak sendiri”. Jawab mak Mah. Diah tersenyum mendengarnya.
“Tidak sia-sia aku ke mari”. Kata hatinya.
Tidak lama kemudian , mereka sama-sama menikmati hidangan yang tersedia.
“Jemputlah nak ... eh! Kawannya tu dipanggil sekali ” . Mak Mah menunjukkan jarinya ke arah Diah dan Ziah.
“Ya mak . Diah , Ziah marilah kita duduk sama. Mak Mah dah sediakan sedikit juadah untuk kita. Marilah ...”. Ajak Zuraimie. Diah dan Ziah menganggukkan kepalanya lalu segera menyertai Zuraimie dan mak Mah. Air kopi segera dituang. Setelah meminum seteguk dua , Zuraimie  membuka cerita.
“Err ... Diah , tadi semasa di dapur saya sempat bercerita dengan mak Mah tentang tujuan kita ke mari. Alhamdulillah mak Mah tidak keberatan untuk membenarkan awak tinggal di sini”. Jelas Zuraimie.
“Alhamdulillah. Terima kasih mak”. Ucap Diah sambil memandang mak Mah.
“Tak menjadi masalah langsung malah mak lagi suka kamu di sini . Boleh temankan mak. Sekurang-kurangnya adalah kawan berborak. Taklah mak asyik bercakap dengan itik ayam saje!”. Jawab mak Mah sambil tertawa kecil.
“Err ... maaf mak bertanya , kalian berdua ni rancangannya bila nak berkahwin?”. Tanya mak Mah sambil menunjuk ke arah Diah dan Zuraimie.
“Hmm ... begini mak , Kami  memang telah bercadang untuk berkahwin sebelum kemalangan tersebut menimpa. Serba sedikit persiapan memang telah dibuat cuma perlu mendapatkan persetujuan mak dan ayah Diah saja. Tapi kami hanya mampu merancang , Allah juga yang menentukan. Belum pun sempat kami bertemu dengan emak dan ayah Diah , kemalangan itu telah terjadi. Akibat daripada kemalangan tersebut , Diah telah koma lebih dua bulan. Mujur bayi dalam kandungannya masih selamat. Kini umur kandungannya sudah menghampiri lima bulan. Jadi kami rasa tidak perlulah tergesa-gesa. Diahpun belum betul-betul sihat. InsyaAllah kalau segalanya berjalan seperti yang dirancang , sebaik saja bayi ini selamat dilahirkan kami akan segera bernikah”. Jawab Zuraimie sambil memandang Diah. Diah hanya menganggukkan kepalanya.
“Diah , maaf sekali lagi mak bertanya. Bagaimana boleh sampai jadi begini?. Bagaimana kamu sampai boleh terlanjur begini?”. Tanya mak Mah ingin tahu. Mak Mah sendiri bagaikan tidak percaya anaknya yang dianggapnya sebaik umat itu boleh terlanjur sampai begitu sekali. Bukan sedikit ilmu agama yang dibekalkan buat anak tunggalnya itu ...
Diah terdiam seketika , malu benar rasanya apabila ditanya begitu. Dengan suara perlahan dan linangan air mata Diah menjawab.
“Mak  , maafkan saya. Saya sebenarnya masih tidak dapat mengingati semua perkara . Yang pasti ... kami tidak sengaja ...  Mungkin Zuraimie lebih sesuai menjawabnya”.
“Tak mengapalah , tak perlu mak tahu semua itu. Perkara dah lepas , jika dipersoalkan juga takkan dapat mengubah apa-apa”. Mak Mah akhirnya mengalah , terasa bersalah pula kerana telah menimbulkan rasa tidak selesa di hati Diah. Sebenarnya Mak Mah sengaja mahu menguji sama ada benar Diah telah hilang ingatan atau sebaliknya. Terkilan juga hatinya kerana Diah sudah melupakan arwah anaknya itu sedangkan mereka begitu mesra ketika datang ke rumahnya tempohari. Lagi pula , mak Mah tahu betapa besarnya cinta Raziq kepada Diah.
“Mak , saya sendiri benar-benar menyesal atas perkara yang telah terjadi ... tapi saya masih bersyukur kerana berpeluang untuk menebusnya. Saya akan bertanggung-jawab. Saya berjanji akan mengahwini Diah dan menjaga anak ini , selagi hayat dikandung badan”. Zuraimie cuba menutup lubang. Mak Mah mengangguk-nganggukkan kepala , di hatinya dia amat mengagumi kesungguhan dan kesanggupan anak muda ini menebus kesalahan yang tidak pernah dilakukannya.
“Mak Mah , kami dah  tak ada tempat lain hendak dituju. Mak bapak sendiripun dah benci. Entah mengapa hanya mak Mah sahaja yang masih kekal dalam ingatan ini. Hati saya ini bagai ditarik-tarik untuk ke mari”. Diah berkata jujur. Mak Mah terharu mendengar penjelasan Diah itu.
“Sudahlah Diah ... mak  Mah faham. Janganlah kau risau. Tinggal sajalah di sini. Anggaplah mak ini sebagai mak kandung Diah sendiri”.  Kata mak Mah  , tiba-tiba menyeka air matanya yang tumpah apabila terkenangkan arwah anaknya yang telah tiada. Diah benar-benar mengingatkannya kepada arwah.
“ Sebenarnya mak  memang berdoa sangat agar dapat berjumpa dengan Diah semula. Alhamdulillah , doa mak telah diperkenankanNya”. Sambung Mak Mah.
“Kenapa mak?. Kenapa mak berdoa sangat untuk berjumpa dengan saya ?”. Diah hairan.
“Kerana kamu semua berkawan baik. Kamu semua sudah seperti anak mak sendiri”. Mak mah segera menutupi keterlanjurannya berkata.
 “Mak  tak kesah ... mak rela menjaga Diah sampai bersalin. Nanti bila dah bersalin Diah boleh pulang ke Kuala Lumpur , teruskan hidup. Jika perlu mak  juga sanggup untuk tolong menjagakan anak itu di sini. Bila cuti atau lapang Diah baliklah ke mari ... mak  rela , sangat rela. Anak itu macam cucu mak jugak!”. Mak Mah terbawa-bawa oleh perasaan sedihnya. 
Diah hanya diam , sedih mendengar keluhan dan luahan hati seorang ibu yang kesunyian.
“Mak  kami sangat memahami kesunyian dan kerinduan yang mak  tanggung sekarang ini. Bukan saja mak  yang merasai kehilangan arwah , kami ... kawan-kawannya , turut merasa pedih atas kehilangan ini. Tetapi Allah lebih menyayanginya. Kita doakan agar rohnya ditempatkan di kalangan orang-orang yang beriman. Tetapi mak  ... soal menjaga anak dalam kandungan Diah itu kelak janganlah dipersoalkan sekarang ... saya yakin Diah juga seperti mak  tidak akan sanggup melepaskannya. Jadi bila tiba masanya nanti kita bincangkan apa yang terbaik buat semua” . Pinta Zuraimie.
Diah menarik nafas lega mendengar penjelasan Zuraimie yang panjang lebar itu ...
“Ya betul , mak  setuju. Sekarang yang penting adalah Diah. Diah ... tinggal sajalah di sini. Mak  akan jaga Diah macam anak sendiri”. Mak Mah berjanji , memandang Diah dengan rasa kasih sayang.
“Terima kasih mak ... Diah memang sangat memerlukannya” . Diah bangun lalu memeluk mak Mah.

Masih terbayang-bayang di ruang matanya
Selesai solat maghrib berjemaah , mereka menikmati makan malam bersama ... seperti satu keluarga yang besar. Mak Mah berasa sangat gembira , lebih-lebih lagi apabila memandang Diah. Mak Mah terasa seperti sedang memandang anak kesayangannya , Raziq. Hatinya cukup terhibur. Masih terbayang-bayang di ruang matanya saat-saat gembira mereka dua beranak menerima Diah sebagai tetamu rumah itu. Ikan Patin gulai tempoyak yang dimasaknya pada hari itu merupakan masakan kegemaran arwah anaknya. Mak Mah tersenyum-senyum sendiri apabila terkenangkan betapa ceria dan berseleranya Diah dan Raziq makan , hinggakan habis semua kuah gulai itu dihirup!.
“Ya ... itulah yang mak akan buat Ziq. Mak akan menyayangi semua yang kamu sayang” . Bisik suara hati mak Mah sambil segera menyeka air matanya yang tiba-tiba menjengah.


Sudah tiba masa pergi ...
            Usai makan malam , Ziah dan Diah membantu mak Mah mengemas dan membasuh pinggan di dapur. Zuraimie sendirian termenung di veranda rumah. Berat sungguh rasa hatinya hendak berpisah dengan Diah.
Selesai dengan  kerja-kerja di dapur , Ziah menyertai Zuraimie yang masih termenung sendiri.
“Hai , apa yang dimenungkan?”. Tanya Ziah sebelum mengambil tempat di sebelah Zuraimie.
“Eh , awak. Hmm ... entahlah. Berat pula hati ini hendak meninggalkan Diah di sini”. Jawab Zuraimie.
“Mengapa?. Bukankah mak Mah itu sudah berjanji akan menjaga Diah. Lagipun kan ada telepon bimbit. Awak boleh ‘call’ Diah bila-bila masa sahaja. Nanti seminggu atau dua minggu sekali awak datanglah ke sini. Bawa apa yang patut. Jadi tak ada apa yang nak dirisaukan”. Balas Ziah , tidak faham dengan kerisauan Zuraimie yang tidak bertempat.
“Ziah , cuba awak tengok kawasan sekitar sini. Rumah jiran jauh. Suasana sangat sunyi. Nanti , jika tiba-tiba Diah sakit nak bersalin atau ada apa-apa masalah dengan kandungannya siapa yang boleh diharap untuk datang menolong. Mak Mah itu sudah tua , lagi pula bukannya ada sebarang kenderaan yang boleh membawa Diah segera ke hospital”. Zuraimie meluahkan kerisauannya.
“Hmm ... itu yang awak risaukan. Beginilah Mie , tempat ini adalah kampung halaman mak Mah sendiri. Tahulah dia apa yang patut dilakukannya bila perkara-perkara seperti itu terjadi”. Ziah cuba menenangkan Zuraimie.
“Sudahlah , jangan dirisaukan sangat. Jom kita sertai Diah dan mak Mah. Dah lewat ni. Kita harus berangkat sekarang. Jauh lagi perjalanan ni”. Kata Ziah sebelum bangun meninggalkan Zuraimie. Zuraimie tiada pilihan melainkan menurut saja langkah Ziah menyertai mak Mah dan Diah yang sedari tadi memandangnya.
“Mie , sedih sahaja wajahmu. Mungkinkah kau keberatan untuk meninggalkan aku di sini?. Tapi ini sajalah jalan yang ada. Aku harap kitakan tabah mengharungi semua ini”. Kata hati Diah , tiba-tiba timbul rasa belas melihatkan kesedihan yang jelas tergambar pada riak wajah Zuraimie.
“Mak  , Diah ... kami terpaksa berangkat sekarang. Tiket Ziah pukul sepuluh. Nanti tak sempat pulak”.  Zuraimie akhirnya bersuara untuk meminta diri.
Sebenarnya hatinya terasa begitu berat sekali untuk meninggalkan Diah. Diah sudah bagaikan jiwanya. “Huh!”.  keluhnya.
“Bagaimanalah hari-hariku tanpa kehadiranmu sayang”. Fikirnya , memandang Diah yang diam berdiri di sebelah mak Mah.
“Ya mak Mah , Diah ... tiket bas pukul sepuluh. Eloklah kami berangkat sekarang. Kamipun bukan biasa dengan jalan di sini ... takut sesat , tak sempat pula naik bas nanti”. Ziah menyokong kata-kata Zuraimie.
“Susah-susah sangat esok ajelah kamu orang balik. Tidur saja di sini”. Balas mak Mah.
“Eh tak bolehlah mak Mah. Esok Ziah kerja”. Jawab Ziah sambil mencium tangan mak Mah.
“Diah , aku berangkat dulu ...”. Ziah merangkul pula sahabat baiknya itu. Air matanya mengalir tanpa dapat ditahan lagi. Perpisahan ini sangat menyakitkan. Meninggalkan Diah yang hilang ingatan malah sedang  berbadan dua. Diah mengangguk lemah lalu  mengiringi Ziah dan Zuraimie ke kereta. Berat sungguh hatinya melepaskan mereka pergi namun demi kebaikan semua dia terpaksa melakukannya.

Berpisah kita ...
 Kemudian Diah pergi mendapatkan Zuraimie. Zuraimie yang berdiri di pintu kereta sengaja  menunggu Diah , menatap wajah Diah selagi boleh. Diah menghampirinya lalu mencapai tangan Zuraimie.
“Terima kasih kerana memahami. Terima kasih atas segalanya ...”.  Diah berkata perlahan.
Zuraimie menggenggam tangan Diah , “Aku benar-benar menyintaimu  ... setulus hati!”.   Diah teresak mendengarnya.
“Saya tahu . Hati-hati memandu ...”. Hanya itu yang mampu dikatakannya.
“Ya ... jaga diri dan  anak ini. Saya pasti datang lagi!”. Janji Zuraimie . Tangannya menyentuh perut Diah. Diah terus teresak. Tiada kata yang mampu membayangkan rasa hatinya , hanya air mata  ...  Akhirnya kenari berlalu pergi , meluncur laju  ...  meredah malam yang kian memekat. Berakhir sudah babak sedih yang meruntun jiwa. Zuraimie diam seribu bahasa. Perasaannya masih rawan. “Huh! Penyu menangis siapa yang tahu”. Kata hati kecilnya.
            Semetara itu Ziah yang duduk disebelah mencoretkan sesuatu di buku catatan yang sentiasa dibawanya ke sana ke mari. “Daripada duduk menung melayan perasaan , baiklah aku menggunakan waktu ini untuk sesuatu yang lebih  berfaedah. Manalah tahu , semua coretanku ini akan berguna juga di suatu hari nanti. Semuanya mengenai kisah cinta tragis!. Hmm ... lagipun nak harap si Zuraimie tu berborak dengan aku , memang taklah!. Orang tengah bersedih. Yelah , terpaksa berpisah dengan buah hati. Sabarlah mie , langit tidak selalunya mendung. Lambat laun mentari akan menyinar juga!”
“Hmm ... tak fahamlah , ‘cinta’ mengapa  amat menyeksakan?. Tiada jalan mudahkah untuk mencari cinta sejati? Atau sebenarnya cinta sejati itu memang tidak pernah wujud?”. Fikir Ziah lagi sambil terus mencari idea buat coretannya ...
“Apalah agaknya yang dicoretkan Ziah itu ... kuat berangan minah ni”. Tanpa Ziah sedari , dalam kesedihannya Zuraimie masih sempat memerhatikah tingkah Ziah.


 Coretan Ziah ....
 

                    Cintakah itu?
Ingin sering dekat selalu
Nahan rasa rindu yang memburu
Tak upaya mencegah cemburu
Angau tak sedar namanya diseru
Kasihan ... sambil memandang lelangit biru
Asyik merindu
Harapan nan  sentiasa memburu


Yang menjadikan manusia duka
Adalah cinta...
Namun cinta turut membahagiakan kita
Gelak tangis juga angkara cinta


Mengapa harus ada duka
Elokkan kalau semuanya suka?
Nanti tentunya manusia memuja cinta
Yah! Hakikatnya kita bukannya  di syurga
Inikan dunia buat hidup yang fana
Kekecewaan dan derita menjadi ulamnya
Sehingga Izrail si pencabut nyawa
Akan datang menamatkan semua
Kerna itu sebelum tiba masanya
Apalah salahnya kita menikmati cinta
Nanti kot ada yang menangisi ketiadaan kita
  
Itulah kita suka menyalahkan cinta
Tak sedar kita yang melakarkan cerita
Umpama sang pelukis dengan kanvasnya


                                                     Cintakah yang menyiksa aku?