Popular Posts

Thursday 21 August 2014

"Keranamu DIAH" : Bab 30 (Terakhir)

BAB 30 :       MASIHKAH ADA MENTARI?     

Setelah didesak oleh Ziah  , Zuraimie menceritakan segalanya tentang Diah yang sedang mengalami kemurungan  serius selepas melahirkan Raziq. Keadaannya yang kritikal dan boleh membahayakan orang lain menyebabkan Zuraimie mengambil keputusan membawanya keluar dari rumah kedua orang tuanya. Sangkanya , dengan berbuat demikian Diah akan segera pulih namun keadaan berlaku sebaliknya.

... itulah hakikatnya dan aku benar-benar kecewa ...
“Itulah sebabnya mengapa aku tak bawa Raziq tinggal bersama kami. Aku tidak mahu sesuatu yang buruk berlaku padanya”. Zuraimie menutup ceritanya.
“Ya Allah , kasihannya Diah ...” . Sedih benar Ziah mendengar keadaan Diah yang sebenarnya. Sukar untuknya mempercayai cerita Zuraimie itu. Diah , seorang gadis yang sangat periang dan popular , kini mengalami tekanan perasaan yang serius.
“Tapi ... bagaimana dengan semua cerita derita dan seksa yang dilakukan oleh ibu awak , Puan Sarah terhadapnya?. Adakah ...?”. Ziah teragak-agak untuk meneruskan kata. Takut akan menyinggung hati Zuraimie pula.
“Kenapa?. Diah cerita apa?. Diah kata mak aku menyeksa dia?. Begitukah?”. Tanya Zuraimie bertalu-talu. Serba-salah Ziah jadinya.
“Err ... Mie , maafkan saya”. Jawab Ziah.
“Ziah , awak tidak fahamkah yang Diah itu hidup di alamnya sendiri. Semua itu adalah cerita dan derita yang dialami di alam fantasinya sahaja. Memang pada asalnya keluarga aku menentang keras perkahwinan kami. Memang benar , kedua orang tua aku tidak dapat menerima Diah dengan baik.Tapi mereka juga manusia biasa , akhirnya mereka menerima juga ketentuan Allah. Lebih-lebih lagi dengan kehadiran Raziq. Mak dan ayah aku sangat sayangkan Raziq. Demi Raziq mereka menerima Diah seadanya. Malah mereka takut sekiranya aku berpisah dengan Diah maka mereka akan kehilangan Raziq , cucu mereka. Mereka tidak pernah menyiksa Diah , malah merekalah yang banyak membantu aku merawat Diah”. Terang Zuraimie.
“Jadi ... maksud kau  , Diah tu ...?”. Tidak tergamak Ziah untuk menyebutnya. Sukar benar bagi Ziah untuk menerima hakikat yang sahabatnya itu sakit. Baru tadi siang mereka keluar bersama , bercerita kisah duka hidup Diah dianiaya mertua sendiri. Semuanya bagaikan benar terjadi.
“Mie , Diah bukan gilakan?. Cuma jiwanya tertekan. Betulkan Mie?”. Tanya Ziah.
“Ya Ziah , jiwa dia tertekan dan aku sendiri benar-benar kecewa dengan semua ini. Sebab itulah aku bawa dia ke sini. Itu , orang gaji yang ada dalam rumah ini sebenarnya adalah jururawat khas yang aku gajikan untuk menjaga Diah”. Jawab Zuraimie jujur.
“Dan aku sebenarnya sangat menghargai kedatangan kau ke mari. Aku tahu , kau adalah sahabat baik Diah. Dia percayakan kau sepenuhnya. Ziah , untuk yang kesekian kalinya , bantulah aku untuk memulihkan Diah. Aku kasihan melihat dirinya , hidupnya masih dibayangi derita lalu sedangkan aku sedia memberikan kebahagiaan buat dirinya. Aku sayangkan dia. Aku sayangkan dia lebih dari diriku sendiri”. Pinta Zuraimie. Menitis  air mata Ziah mendengar permintaan tulus seorang suami ...
“Insya Allah , aku akan tolong semampu yang boleh”. Janji Ziah sambil mengesat air matanya.



Pertanyaan masih belum berakhir.
 “Zuraimie , kalau aku tanya kau satu lagi soalan ... aku harap kau takkan marah dan akan jujur menjawabnya”. Ziah teragak-agak untuk berterus terang.
“Errr ... apa?”. Zuraimie mula berasa  cuak. Apa lagi yang bermain di fikiran Ziah.
“Err ...  hari tu beberapa hari sebelum aku ke sini , Diah ada telepon aku dan ...”. Ziah terhenti . Berat benar mulutnya hendak meluahkan.
“Dan ...?” Tanya Zuraimie tidak sabar. Apalah perkara yang telah diceritakan oleh Diah itu sehinggakan Ziah teragak-agak untuk bertanya.
“Dan  Diah  ada mengadu pada aku yang kau ada melanggani GRO?”. Ziah berkata laju lalu segera mengetap bibirnya. Zuraimie tersentak mendengar pertanyaan itu.
“Huhhh!!!” . Berubah wajah Zuraimie. Terasa darah panas mengalir deras ke wajahnya. Malu benar dia ditanya begitu. Tergamak Diah menceritakan perkara yang mengaibkan itu. “Aib?!”. Fikirnya. Semasa sedang seronok melakukannya , soal ‘aib’ tidak pernah timbul. Kini pekung di dadanya sudah terbongkar. Nanah busuknya mengasak batang hidungnya sendiri! Apa yang harus dilakukan. Patutkah dia berbohong bahawa , ‘itu semua adalah ilusi Diah!’. Tentu boleh kerana kewarasan Diah memang boleh diragukan tetapi patutkah dia berbuat begitu kepada orang yang dicintainya sepenuh hati?. Masakan mungkin orang lain yang makan nangka , orang lain yang kena getahnya!.
“Errr ... Ziah , begini. Cukuplah aku katakan yang aku ini seorang suami malang yang tidak diingini oleh isteriku sendiri. Setiap hari aku memandangnya dengan perasaan yang penuh gelora. Tapi setiap kali aku cuba menghampiri , pasti dia menolakku dengan hina. Maruahku bagai dirobek-robek. Bagaikan bangkai hina benar rasanya diri aku ini. Merayu pada yang tak sudi. Keinginanku tak pernah tercapai ... hinggalah aku hilang pertimbangan. Anggaplah itu  kelemahan aku sebagai seorang lelaki. Tapi  ,  itu cuma berlaku sekali saja. Itupun setelah kemahuan ku ditolak mentah-mentah oleh Diah. Malam itu ego lelakiku benar-benar tercabar!” Terang Zuraimie , mengakui kesilapannya. Dia sendiri menyesal dengan tindakannya. ‘Marahkan nyamuk habis kelambu dibakar’. Marahkan Diah , Zuraimie bertindak membalas dendam dengan melakukan maksiat!.
“Sebenarnya Ziah , aku betul-betul menyesal dengan perbuatan aku itu. Kau sendiri tahu betapa besarnya cintaku kepada Diah. Diahlah segala-galanya bagiku. Walau apapun terjadi , aku tak mungkin akan menukarnya dengan yang lain. Aku harap dan berdoa agar satu hari nanti kami akan dapat juga mengecap kebahagian hidup bersama”. Zuraimie meluahkan sejujurnya perasaan dan harapan dari lubuk hatinya. Ziah diam. Simpati ...
“InsyaAllah. Aku doakan hari yang bahagia buat kalian berdua itu akan segera datang.
Aku juga sayangkan Diah. Mie , tolonglah bersabar. Cintailah Diah dan berilah dia masa”.Pinta Ziah pula.
“Itulah yang sedang aku lakukan sekarang Ziah. Walau apapun terjadi aku sanggup mengharunginya , demi cintaku ini. Aku cintakan Diah lebih dari nyawaku sendiri. Walau hingga hujung nyawapun aku sanggup menunggunya. Dalam hatiku ini hanya ada dia , tiada lagi  yang lain”. Jawab Zuraimie. Ziah lega mendengar pengakuan Zuraimie itu.
“Alhamdulillah , aku tidak silap membantu menyatukan kalian berdua. Aku doakan agar Diah nampak betapa besarnya cinta kau itu. Sesungguhnya Mie , Diah adalah wanita yang paling bertuah mempunyai suami sesabar dan sebaik awak”. Kata Ziah dan Zuraimie hanya  diam mendengar pujian itu.
“Mie , esok aku dah nak balik. Suamiku , abang Anip pun bukannya sihat sangat. Aku datang ni pun dengan hati yang berbelah bagi. Aku cuma nak minta kau bersabar terus dengan Diah. Berilah dia masa. Pada aku Diah sebenarnya sedang keliru tentang banyak perkara. Diah juga keliru tentang perasaannya terhadap kau. Pada pendapat aku , kau sebenarnya tidak bertepuk sebelah tangan. Jika tidak masakan Diah cemburu sangat dan kecewa apabila mendapat tahu yang kau melanggani GRO. Seperkara lagi ,  kau bawalah Raziq tinggal bersama. Mungkin mak kau atau pengasuh boleh tinggal bersama kalian di sini. Aku yakin perasaan dan emosinyua akan segera stabil apabila orang yang dirindu ada bersama. Itu cadangan aku saja ... selebihnya kau bawalah berbincang dengan Diah dan mak kau sendiri”.  Ziah memberi cadangan dengan panjang lebar.
“Ziah , tak boleh kah kau tunggu sehari dua lagi?”. Pinta Zuraimie.
“Aku tengok , Diah nampak berseri sejak kau datang semalam. Diah tu perlukan orang yang dia percaya untuk meluahkan perasaannya. Aku ...tak mampu. Diah tak percayakan aku. Malah mungkin dia menganggap aku ni sebagai musuh atau penghalang kebahagiaannya” . Terang Zuraimie.
“Maafkan aku Zuraimie. Bukan aku tak nak tolong kau orang berdua tapi ...  abang Anip, suami aku tengah sakit . Aku datang ni pun dengan hati yang berbelah bagi. Aku harap kau faham”. Terang Ziah.
“Yelah , kalau dah gitu nak buat macam mana. Pukul berapa kau nak balik esok?”. Tanya Zuraimie.
“Aku ingat nak balik pagi. Perjalanan jauh jadi sempatlah sampai sebelum menjelang malam”. Jawab Ziah.
“Hmmm ... kalau gitu nanti aku bagitahu Bahari untuk tolong hantar kau ke Stesen Bas Petaling ... ke Puduraya?”. Tanya Zuraimie.
“Hmm ... Puduraya”. Jawab Ziah ringkas.
“Pukul 8.00 pagi?”. Zuraimie meminta kepastian.
“Hmm ... bolehlah”. Jawab Ziah .
“Errr...eloklah kau pergi masuk tidur dulu. Dah lewat benar ni. Entah dah tidur atau belum Diah tu”. Cadang Ziah.
“Sama saja , dia tak kan mahu tidur bersama ku!”. Jawab Zuraimie antara dengar dengan tidak. Ziah hanya menggelengkan kepala .
“Hei ... jangan berputus asa!”. Bisiknya dan Zuraimie hanya tersenyum mendengarnya.


... langkahnya tiba-tiba mati ...
Di sebalik dinding bersebelahan pintu masuk ruang rehat itu , Diah berdiri tegak tanpa berganjak. Tiada siapa sedar akan kehadirannya. Sebentar tadi langkahnya tiba-tiba mati apabila terdengar namanya disebut-sebut Ziah dan suaminya. Terbantut niat hatinya untuk menghabiskan malam itu bersama Ziah. Tidak disangka Zuraimie telah lebih dahulu mendahuluinya!.
Diah terkesima mendengar perbualan dua insan yang amat bermakna dalam hidupnya.
Hatinya bagai ditarik-tarik untuk berlari mendapatkan suaminya. Ingin sekali dia melutut memohon maaf atas segala tindakannya mengabaikan tanggung-jawabnya sebagai isteri. Keperihatinan Zuraimie atas kesihatannya dan kesabaran Zuraimie melayani kerenahnya yang melampau namun ... kakinya terus terpaku di situ dan  tiba-tiba hatinya mulai berbelah bahagi , antara Zuraimie  dan Raziq. Perkara lain turut mengganggu fikirannya , cerita pembohongan tentang pernikahannya , pembohongan tentang status bayinya ,  cerita tentang kecurangan Zuraimie dan lebih parah ... Diah merasakan seperti  telah dikhianati oleh  Ziah apabila segala curahan perasaannya petang tadi diceritakan oleh Ziah kepada Zuraimie.
“Arrgghhhh! Mengapa?!!” , Diah menekup mulutnya menahan tangis. Dia tidak mahu kehadirannya disedari sesiapa ...
“Eeeeee ... benci! Penipu!!! Sampai hati kau orang berdua buat begini pada aku!. Sampai hati kau orang kata aku ni sakit!. Apa kau fikir aku tidak akan dapat hidup tanpa korang?. Korang salah! Korang salah!!” . Jerit hati Diah sambil tangannya menarik-narik rambutnya sendiri. Diah tidak dapat menahan dirinya lagi. Dia harus keluar dari situasi ini. Dia harus keluar dari rumah ini!!

Hari yang baru
            Pagi itu , selesai mengemas barangannya Ziah berjalan keluar bilik tamu yang menjadi tempat peraduannya malam tadi menuju ke dapur. Di atas meja telah terhidang sarapan pagi , air Nescafe dan mee hoon goreng. Sungguh harum baunya membuatkan perut Ziah segera berkeroncong minta diisi.
“Hmm ... manalah Diah ni. Ada tetamu istimewa macam aku pun dia bangun lambat. Dah jadi isteri orang tapi  tak ubah-ubah lagi perangai lama tu”. Rungut Ziah sambil tersenyum-senyum sendiri.
Sedang Ziah termangu-mangu sendirian , Zuraimie yang baru turun menegurnya , “ Hai Ziah , lena tidur malam tadi?”.
“Eh! Dah turun ... mana Diah?”. Tanya Ziah sambil memandang kea rah belakang Zuraimie.
“Mana Diah?. Hmm ... janganlah bergurau. Bukan ke Diah tidur dengan Ziah malam tadi?”. Tanya Zuraimie sambil mengerutkan dahinya.
Ziah diam , memandang Zuraimie dengan penuh tanda tanya. Pandangan Ziah itu membuatkan Zuraimie cemas , “Betul ke Diah tak tidur dengan awak?”. Tanya Zuraimie dan Ziah menggelengkan kepala. 

Serentak dengan itu , kedua mereka berlari pantas membuka segala pintu yang ada dalam rumah itu mencari Diah ... namun hampa.
”Mie , mana Diah?. Mungkinkah dia dengar segala yang kita bualkan semalam?”. Ziah mulai cuak.
Zuraimie tidak menjawab malah tangannya sibuk menekan nombor pada telepon bimbitnya , “ Assalamualaikum mak , Err ... mak , ada tak Diah datang ke sana?”. Tanya Zuraimie.
“Uh! Tak mengapa. Ya , baik mak. Nanti kalau ada apa-apa Mie call mak. Assalamualaikum”. Itulah perbualan Zuraimie dengan ibunya , Puan Sarah yang singgah di telinga Ziah.
“Habis Diah ke mana?”. Tanya Ziah sebaik sahaja Zuraimie mematikan talian teleponnya.
“Entahlah Ziah ... aku kena cari dia!”. Kata Zuraimie sambil berjalan laju meninggalkan Ziah.
“Eh! Mie tunggu!!. Jangan-jangan Diah balik ke rumah mak ayah dia tak?”. Jerit Ziah.
“Hah! Mungkin juga. Ziah , boleh kau temankan aku ke sana?”. Ziah hanya mengangguk sebelum mengejar langkah Zuraimie yang laju menuju ke kereta.


Diah dalam perjalanan...
Sementara itu ... Diah sedang dalam perjalanan  menuju ke Cherating , Pahang... menaiki bas ekspress , duduk bersendirian di kerusi yang paling belakang.
“Mak Mah ... tolong Diah ...”. Bisiknya perlahan sebelum melelapkan mata ...



  
Relalah dengan takdir ...
Besarnya kekuasaan Tuhan yang Maha Mencipta
Esanya tiada sekutu mahupun pendua berkongsi kuasa
Resam Yang Mulia mengurus soal hambanya
Setiap yang berlaku pasti telah terencana
Yakin ketentuan Qado’ dan QadarNya dengan rela
Utuhkan keimanan seiring semangat menempuh segala
Kerna pasti kebahagiaan tetap akan menjelma
Untuk kau aku mengecapi segala
RahmatNya buat kita semua



Dan percaya
Engkau kan kembali ceria
Nestapa dulu kan akhirnya dilupa
Gelak tawa kan pasti menjelma
Andai saja hati ikhlas berserah padaNya
Nescaya hidup kan lebih bermakna

Takdir hidupnya manusia
Adalah satu perjalanan panjang sang pengembara
Kekadang tersadung kecewa meranalah jiwa
Di dedaunan usia yang semakin mengganda
Itulah ranjau dan ujian yang harus direla
Rahsia yang perlu dirongkai untuk capai bahagia














“Mintalah pertolongan dengan sabar dan solat”
-TAMAT-




-Peace-
Maaf kerana DIAH tidak seperti yang diharap
DIAH hanyalah manusia biasa yang cuba mencari bahagia 
membawa sejarah silam untuk mengharungi hari muka



lukis je ... bunga mawar

Lukis jea ... mawar

Kisah bunga mawar ... ada orang panggil  bunga ros , ada orang panggil bunga mawar ...  aku?.
Aku lebih suka panggil bunga jenis ini sebagai bunga mawar.


Aku suka gak bunga mawar ni sebab ianya cantik ... tak jemu mata memandang , lagi pula ianya terdapat dalam pelbagai warna. Warna yang aku suka ada dua ... Merah hati dan putih kekuningan. Bila digandingkan keduanya - Wow!! Kombinasi warna contra yang sangat harmoni.

Cerita pasal bunga mawar ...
Dulu ... Semasa mengajar di BBGS (sekolah ni dah tak wujud lagi sekarang) aku akan dapat 'banyak' bunga mawar tiap tiba hari guru-mungkin kerana muridnya semua perempuan dan kebanyakkan perempuan memang sukakan bunga mawar.

Kemudian ... Tiga bulan pertama aku bergelar isteri aku menerima setangkai bunga mawar merah pada setiap hari jumaat iaitu setiap kali suamiku menjemput aku di hentian bas Pudu. Masa ni aku masih tinggal di Paloh hinai, Pekan, Pahang (tempat yang terlalu banyak mengajar aku erti rindu, sepi , sunyi dan pasrah hingga aku akhirnya ditakdirkan bertemu dengan suamiku. Aku terima dia sebagai suami kerana dia terlalu bersungguh dan tidak mungkin membiarkan aku terlepas-dua minggu usia perkenalan , kami bertunang dan bernikah 5 bulan kemudiannya dan hanya tiga kali pertemuan (itupun berteman) sepanjang usia perkenalan sehinggalah kami diijabkabulkan.  Mudah- Alhamdulillah).

Selepas tiga bulan tersebut aku tidak lagi pernah menerima bunga mawar dari suamiku sehinggalah aku melahirkan anak sulung kami. Sebagai penghargaan , suamiku menghadiahkan aku sejambak mawar putih. Itulah bunga mawar terakhir darinya hingga kini ...mungkin kesibukan hidup menyebabkan 'bunga mawar' itu sudah tidak penting lagi ...
(Hmm...akupun tak kesah cuma aku masih tetap menggemari bunga jenis ini).

Sekarang , sesekali aku menerimanya bila tiba hari guru ... Itupun hanya setangkai dua kerana ramai daripada murid sekarang sudah tidak pandai menghargai guru ... Buktinya, bila sekolah menyambut hari guru , ramai antara  mereka memilih untuk tidak hadir ke sekolah!!!
😜😜😜

Salah siapa?
Yang pasti bukan salah anak2 murid itu. Sejujurnya, padaku ... Kesibukan guru dengan tugas 'sampingan' yang terlalu banyak dan dibesarkan melebihi kepentingan melayan dan membina hubungan guru-murid adalah punca utama anak2 kini (terutamanya di sekolah menengah) kurang menghargai guru.

Mari ku ceritakan sebuah kisah benar yang mengajak kamu ( sesiapa saja yang membaca coretanku ini) berfikir ...
Semalam aku dihadapkan dengan kes buli. Pelajar yang membuli dan dibuli kedua2nya aku panggil. (Tentunya aku mempamerkan version aku yang 'garang'-walhal aku hanya bermain kata2 sahaja). Hinggakan sipembuli menangis berlinangan air mata. Pendekkan cerita, mereka berdua dapatku damaikan namun sebelum sipembuli keluar aku bertanya,
"Adi, ayah kamu garang ye?".(Adi-bukan nama sebenar).
"Ya cikgu".
Mengapa aku tanyakan soalan itu, pengalaman ku mengajar- jika murid itu pembawaannya seperti samseng tetapi mudah sangat menangis bila didesak maka tentu ada yang tak beres di rumah.
Selesai di situ , aku  merisik khabar latarbelakang keluarganya - murid ini ayahnya kaki pukul anak isteri. Tidak bekerja dan lebih teruk lagi kerana terlibat dalam penyalahgunaan dadah yang kronik.
Kasihankan? ...

So apa kaitannya?.
Kaitannya ialah .... Aku dan mungkin guru kelasnya ,  juga guru2 lain tidak pernah tahu kisah hidupnya yang amat menyedihkan itu,  sekiranya tiada kes buli dilakukannya, sampai bilapun kami mungkin tidak akan tahu.
Mengapa?
Jawapannya ; sekarang ni - masa itu lebih berharga dari emas!!! Dan semua orang sangat .sibuk!!!!!

Mengapa aku harus kecoh tentang semua ini?
Jawabku - mestilah kerana aku seorang guru dan tugasku adalah mendidik anak bangsa bukan saja dari segi akademik malah sahsiah dan nilai2 positif kehidupan.

 Bagaimana mungkin aku dapat mendidik mereka dengan ' approach' yang betul kiranya aku gagal mengenali mereka ( kenal latarbelakang dan keunikan hidup mereka). Jika isi rumah sendiri merupakan ancaman buat mereka , ke mana lagi mereka harus mengadu nasib kalau bukan guru-guru di sekolah kerana selain rumah , sekolah adalah tempat kedua terbanyak seorang murid menghabiskan masa hariannya.
Dan bagaimana mungkin para guru mampu menawarkan 'keluarga' kedua buat muridnya jika kebanyakan masa perlu dihabiskan dengan benda2 yang tidak bernyawa - 'kertas kerja , laporan , pelbagai borang , pelbagai fail atau mengadap laptop berjam-jam.

Kata hatiku : 'Kalaulah mereka mengerti dan dapat melihat dari sudut mataku...'







-peace-
>__<

 Hanya cerita biasa ... daripada aku yang terlalu 'biasa' ...