Popular Posts

Monday 28 July 2014

Fikiranku ... mohon Maaf-1 Syawal 2014

                      Aku minta maaf ...
                      Selamat Hari Raya

"Andai aku ada menyakitkan hati ... sengaja mahupun tidak
Menyusahkan pemikiran
dan
Menghuru-harakan hidup
Kalian teman-teman ... juga sengaja atau tidak😉
Kumohon ampun Dan maaf atas semua itu"


Seikhlasnya : Aku

-peace-
>__<

Fikiranku ... catatanku di pagi Syawal

Ujian 1 Syawal...
Lewat petang semalam , dalam kekalutan membuat persiapan sekadarnya bagi menyambut eidul fitri yang bakal menjelma esok hari, aku , suami dan 4 anak lelaki kami bergerak ke Rumah abang iparku di BBB untuk berbuka puasa di sana dan memenuhi hasrat tuan rumah supaya kami beramai-ramai dapat bertakbir raya bersama-sama di rumah mereka.
Dua lagi anak lelakiku bersama satu-satunya anak perempuanku telah keluar terlebih dahulu untuk membeli beberapa barangan raya mereka.

Kami akhirnya berbuka bersama , menunaikan solat maghrib dan isya' berjemaah dan bertakbir raya. Meriah sekali ... Kali pertama aku bertakbir bersama ahli keluarga dalam suasana yang terancang dengan baik.
Hampir jam 10 malam kami beransur pulang. Aku terus pulang ke rumah manakala ahli lelaki keluargaku meneruskan takbir di empat buah lagi rumah kakak-kakak iparku.

Dalam pukul 12:30 anak2 ku pulang  ke rumah , begitu juga dengan abah mereka akhirnya pulang sejam kemudian.
"Mana Ayie dan jepah?" Tanyaku.
"Humm...dorang gi downtown"
"Ayie drive?"
Suamiku mengiakan saja...(perasaanku kurang senang kerana aku tahu sangat cara pemanduan anak bujangku yang terlalu 'over confident'. Malam-malam hari pula...tapi rasa itu kupendamkan saja. Lagi pula ... sebagai lelaki dia harus mampu berbuat pelbagai perkara.

Lebih kurang 5:40 pagi aku mendapat panggilan daripada Ayie.
"Mak , abah mana?"
"Abah dah pergi surau"
"Ooo... Ok Mak".
Aku yang sedang sibuk memasak rendang tika itu langsung tidak bertanya panjang cuma terlintas di hatiku, "tak tidur ke budak-budak ni. Mengantuklah esok...".

Tidak lama setelah aku selesai solat subuh, Ayie Dan jepah balik ke rumah.
Mereka terus mendapatkan aku di dapur , salam dan mencium pipiku.
"Hmm...mana abah?"
"Err...Mak tak tahu lagi ye?"
.... Dan akhirnya aku tahu .... (Abah sibuk menguruskan apa yang patut...)





Keretaku ... Di pagi 1 Syawal....dipandu anak bujangku
(Hmm... P itu hanya ditampal bila anakku yang membawa kereta)


Sabar itu adalah dipermulaan kejadian, bukan di pertengahan atau akhirnya ... Maka tatkala dimaklumkan oleh anakku maka aku cuba untuk bersabar...
Lagi pula nikmat apa lagi yang harus Ku nafikan , kedua-dua anak bujangku dan dua sepupu mereka semuanya selamat. Cuma sakit sana sini kerana terhentak dan terantuk...Alhamdulillah. Masih terlalu banyak perkara untuk disyukuri ...


- Catatan aku di pagi syawal.

                                    -peace-
                                       >__


Saturday 26 July 2014

Fikiranku ... Mohonku di akhir Ramadhan ...

Lukis jea ... mohonku di akhir Ramadhan
"Perkenankan Ya Allah"
Aamiiinnn


Mohonku di akhir Ramadhan ...

Ya Allah ...
Janganlah Engkau jadikan puasa ini sebagai puasa yang terakhir dalam hidupku. Seandainya Engkau menetapkan sebaliknya maka jadikanlah puasa ini sebagai puasa yang dirahmati , bukan puasa yang sia-sia.

Seandainya masih ada padaku dosa yang tidak Engkau ampuni dan dosa yang menyebabkan aku diseksa kerananya , sehingga terbitnya fajar malam ini  atau sehingga berlalunya bulan penuh barokah ini , maka ampunilah segalanya wahai yang paling pengasih ...

Ya Allah ...
Terimalah puasaku dengan sebaik-baik penerimaan , perkenankanlah kepadaku keampunan , kemurahan dan keredhoanMu. Sehingga Engkau memenangkanku dengan segala kebaikan dan segala anugerah yang Engkau curahkan di bulan ini.

Selamatkan aku di dalamnya dari kebimbangan terhadap bencana yang mengancam  dan dosa yang berterusan. Demikian juga dengan rahmatMu , golongkan aku dalam golongan orang-orang yang mendapatkan keutamaan di malam al-Qadar. Malam yang telah Engkau tetapkan sebagai malam yang lebih baik daripada seribu bulan.

Ya Allah ...
Semoga perpisahanku dengan Ramadhan kali ini bukanlah perpisahan untuk selamanya.  Moga aku dapat kembali bertemu pada Ramadhan mendatang dalam keadaan penuh harapan akan keredhoanMu ...
                            -peace-
                              >__<


Lukis jea ... 'bila...'

                         Lukis jea ... 'bila...'


Hmm...hidup adalah suatu perjalanan yang
panjang. Moga akhir perjalanan ini
menemukan aku kebahagiaan abadi...

Saturday 19 July 2014

Puisi ... Kobarkan semangat juangmu!

Lukis jea ... kobarkan semangat juangmu


Kobarkan semangat juang mu!!

Hidup ini bukan milik kita
Buat melakar mimpi menjadi nyata
Mengukir bahagia di bahtera dunia
Memilih watak di pentas utama

Bangkitlah , kobarkan semangat juangmu yang menjulang
Apapun aral yang menghalang pasti dirempuh tanpa gentar
Nescaya gerun jiwa raga yang mendalangi sebuah pendustaan
Gegarobohkan pertahanan mereka yang bongkak dan angkuh
Kesat lidah dusta itu biar terus diam tanpa bicara nista
Ingatkan seisi dunia bahawa kita bukan budak mahu diperkuda
Tanpa takut bangkit sederap menjulang qur'an kalam yang Mulia
Laksana api membakar sekam yang membusuk sekian lama
Api juang itu terus berkobar di dada  tika seruan mulai bergema
Hapuskan rejim durjana pendusta agama!

Ya Allah ... Rezkikanlah syahid buat para pejuang- pejuangMu ... Amiinnnn....

-peace-
>__<



Fikiranku ... "Aduh! Anak Bangsaku!!"-2

Lukis jea ... usah biarkan diri terus dibelenggu oleh kegagalan


Untuk dikenang ... menjadi sejarah.
Tragedi Pesawat Boeing 777-200 (MH 17)
17 Julai 2014
(Lokasi: Sempadan Ukraine-Russia)

Sedih ... Lagi tragedi melibatkan kapalterbang MAS membawa 295 penumpang  termasuk anak kapal (15 org). Tertembak?... Ditembak?. Siap guna peluru berpandu (BUK) pulak lagi!.
Macam tak percaya bila baca alasan yang diberi ...
Apapun didoakan semua Muslim yang terkorban pergi dalam keadaan diredhoiNya , menjalankan tugas mencari rezki yang halal atau atas urusan lain di bulan yang penuh barokah. Buat keluarga semua mangsa yang terlibat , harapku dan doa kutitip agar mereka tabah dan sabar menghadapi musibah ini. Kehilangan orang tersayang bukanlah suatu yang mudah ditangani ... 'Moga mereka benar-benar tabah'.
Dua tragedi kapalterbang yang amat mengejutkan dan menyedihkan- berlaku dalam jarak masa yang dekat dan terlalu banyak kematian ...
(Oh! kasihan Malaysiaku tercinta ... ).

Malaysiaku tercinta ... dan anak bangsaku tercinta ...
Kali ini aku ingin menyambung coretan "aduh! anak bangsaku!!" pada coretanku yang lepas ... kisah seorang muridku , sudah 16 tahun diberi nikmat hidup di atas bumi Allah ini tapi sayang ... tanpa rasa silu menyatakan kepadaku tentang dua perkara yang mengganggu tenang jiwaku ;
        i. "Saya puasa , saya tak makan dan minum pun. Saya cuma hisab rokok".
       ii.  "Saya memang dah lama tak sembahyang"...dan hasil perbualan kami , dia mengaku sudah lebih kurang dua tahun tidak mendirikan solat dan alasannya hanyalah 'MALAS'!!
(Perkara pertama terlintas dibenakku , di mana mak dan ayahnya?. Mengapa mereka membenarkan keadaan ini terjadi?).

Itu baru murid pertama , murid kedua yang ku panggil. Seorang lagi murid lelaki 16 tahun , ditangkap merokok di sekolah dalam bulan Ramadhan yang mulia ini.
"Awak tak puasa?"
"Tak!".
"Kenapa?".
"Hari ni saya tak puasa sebab tak sahur. Mak dan ayah sayapun tahu!".
"Awak tak puasa sebab tak sahur?. Eh! Awak sudah 16 tahun bukannya 6 tahun. Tak sahur tidak bermakna awak tak boleh puasa!".
"Dan itu juga bukan alasan awak untuk merokok di kawasan sekolah!".
Dia diam dan terus mendiamkan diri ... jengkel pulak aku dibuatnya lalu mengeluarkan borang 'pengakuan salah laku disiplin' untuk diisinya.
"Untuk kesalahan merokok , saya penaltikan awak 10 mata penalti dan nama awak akan dimasukkan dalam 'sistem salahlaku disiplin murid' (SSDM) secara online dan akan terus kekal disitu dan boleh dicapai oleh sesiapa saja yang berminat di PPD , JPN atau KPM".
"Satu lagi ... hari ini awak solat subuh tak?"
"Tak".
"Kenapa tak solat?"
... Diam ...
"Waktu-waktu yang lain?. Solat tak?"
"Kadang-kadang solat . Kadang-kadang tak".
"Nape?. Awak tak takut Allah tak sayang awak ye?. Awak tak takut masuk api neraka?".
"Takut".
"Habis tu?"
... Diam ...
"Hmm ... awak ni. Mulai hari ini saya mahu awak dan ................ (Murid yang sebelum ini) solat zohor di sekolah dahulu sebelum balik. Setiap kali habis solat , saya mahu awak lapor kepada saya atau mana-mana ustazah dahulu (Sekolah aku cuma ada 4 orang ustazah sahaja). Faham?"
Kedua mereka mengangguk faham. Selesai berurusan dengan mereka aku menemui ustazah-ustazah yang dimaksudkan untuk sama-sama memantau kedua anak murid kami ini. Biarlah pada awalnya mereka rasa terpaksa mendirikan solat , tapi aku yakin ... lama-lama keikhlasan itu akan muncul juga dan moga 'solat' itu menjadi kebiasaan buat mereka dan tidak perlu dipaksa-paksa.
Pada aku 'solat' itu yang perlu dipastikan dilaksanakan oleh mereka , kemudian barulah perkara yang lain kerana, 'solat itu adalah tiang agama'.

Seperkara lagi yang menjadi bahan pemikiranku ... salah satu program yang dijalankan oleh Panitia Agama Islam sekolahku dalam bulan Ramadhan yang barokah ini adalah 'tadarus al-qur'an'. Murid akan bergilir-gilir membaca al-qur'an mengikut tingkatan demi tingkatan. Hari itu aku mengajar kelas 5Sc1 pada dua waktu terakhir iaitu daripada pukul 12:30 sehinggalah 1:50 petang.
Oleh kerana hari itu adalah giliran murid tingkatan 5 untuk bertadarus maka pada masa terakhir PdP ku dibatalkan dan murid-murid ke surau (murid lelaki) dan ke bilik Utiliti (murid perempuan) untuk bertadarus.

Setelah berwudhuk , aku ke bilik Utiliti. Seharusnya aku menyertai kumplan muridku dari kelas 5 Sc1 (Kelas pertama/terbaik) tetapi niatku untuk menyertai mereka kubatalkan setelah ku lihat sekumpulan murid dari kelas lain bagaikan terpinga-pinga dengan ahli yang bagaikan tiada ...
"Hmm ... mana yang lain?". Tanyaku kepada tiga orang murid yang sedia menunggu di situ. Hanya seorang yang membuka al-qur'an manakala dua lagi hanya duduk-duduk saja.
"Entahlah cikgu ... kata nak ambil air sembahyang tapi tak sampai-sampai lagi. Saja mengelak tu cikgu".
"Hmm ... tak apalah. Kita sajalah yang baca".
"Err ... saya tak solat cikgu".
"Tak apa , awak  boleh dengar sama".
"Ok ... awak mula dulu". Arahku kepada murid yang telah sedia dengan al-qur'an dan membuka surah tugasan kelas mereka untuk hari itu.
"Baik cikgu tapi ... boleh tak cikgu baca dulu , lepas tu saya ikut".Pintanya ...
(Wah! Tiba-tiba aku rasa sayu ... kasihan , tidak boleh membaca al-qur'ankah muridku ini?, fikirku).
"Ok. Saya baca , awak ikut" ... maka aku mulai membaca. Habis sebaris ayat , dia pula harus mengulanginya ... malangnya , sedih sekali ...
"Cikgu baca pendek-pendek boleh?"
Maka aku membacanya patah demi patah dengan diikuti olehnya bagi burung kakak tua!
(Ya Allah , sedihnya ... anak gadis sudah 17 tahun tapi masih tidak boleh membaca al-qur'an. Apa nak jadi dengan anak bangsaku ini ...)

Maka sebaik sahaja tamat masa bertadarus , aku mendapatkan sahabatku , salah seorang ustazah di sekolahku lalu kuceritakan perkara tersebut ,
"Bukankah ada ujian PAFA , budak-budak tu diuji tentang perkara-perkara asas dalam islam?. Macam mana pula diaorang boleh lulus kalau membaca al-qur'an pun tak boleh?"
"Entahlah rozai ... dorang tu banyaknya menghafal saja. Kita uji dorang dengan ayat-ayat atau surah-surah tertentu dan mereka hanya menghafalnya saja. kalau nak tengok semua perkara , tak sempat kita rozai". Keluhnya ...
Sekali lagi aku terfikir , di mana silapnya?
1. Mengapa anak gadis yang sudah menghabiskan masa 6 tahun di sekolah rendah dan hampir tamat 5 tahun di sekolah menengah (Itu tidak termasuk prasekolah), masih gagal membaca al-qur'an.
2. Mana perginya mak dan ayah mereka?. Bukankah tanggung-jawab mendidik dan memastikan anak-anak ini sempurna agamanya terletak di atas bahu mereka?
3. Bagaimana pula dengan peranan kita sebagai ahli masyarakat?

Aku tinggalkan saja persoalan itu buat sesiapa saja yang membaca coretan ini...
Lakukanlah sesuatu semampumu ... kasihan anak bangsa kita ini ...
Tidak perlu memperkatakan sesuatu yang 'besar' kiranya kita gagal memastikan perkara asas seperti ini dikuasai mereka. Generasi kita sekurang-kurangnya harus akur akan kepentingan menjaga solat fardhu dan seharusnya boleh membaca al-qur'an.

-peace-
>__<








Monday 14 July 2014

Lukis jea ... lukisan kartun lama

Kenangan : lukisan kartun ... ku lukislebih 20 tahun dahulu ... (lamakan?😄)






Lama sangat sudah ...
Kertas lukisan yang kuguna
dulu sudah menguning.




Ada yang sudah terlalu menguning hingga menenggelamkan lukisanku.
Ini antara yang dapat diselamatkan.

Taklah berseni sangat ... (Kartun jea pun) tapi aku suka sebab aku yang lukis.

Lukis dari hati ... Heee....

-peace-



Saturday 12 July 2014

Fikiranku ... 'Membuat Keputusan'

Lukis jea ... membuat keputusan


Membuat keputusan ...

Dalam kita meniti usia , hari demi hari , kita tidak boleh lepas daripada membuat keputusan seterusnya mengambil sesuatu tindakan berdasarkan keputusan yang telah kita buat.
Sedari zaman kanak-kanak lagi kita belajar sama ada secara langsung atau tidak langsung dalam membuat keputusan ,

"Kakak nak baju warna merah ke biru?"
"Kakak sayang adikkan , boleh tak kasi adik pinjam anak patung tu?"
"Abang boleh tolong jaga adik tak?"
"Abang nak mak masak apa untuk berbuka puasa nanti?"
... dan macam-macam lagi keputusan yang harus kita ambil sama ada suka atau tidak , rela atau terpaksa!

Semakin jauh kita berjalan , mengharungi kehidupan yang penuh mencabar semakin sukar keputusan yang harus kita buat kerana tuntutan tanggung-jawab selari dengan penambahan usia sering memerangkap kita dalam konflik yang menyebabkan kita harus berfikir panjang sebelum membuat sesuatu keputusan.

"Ayah nak kamu ambil aliran sains. Ayah nak kamu jadi doktor perubatan atau sekurang-kurangnya jadi jurutera , bukan pelukis jalanan!" ... walau hakikatnya kamu memamg
sangat suka melukis.

"Ibu nak kamu belajar dalam negeri saja. Sistem pendidikan di negara kita ni dah cukup baik. Cuba tengok berapa ramai pelajar negara asing yang belajar di sini. Lagipun kalau kamu belajar di luar negara , ibu akan risaukan keselamatan kamu" ...walaupun kita telahpun mendapat tawaran ke luar negara dengan tajaan!

Atau konflik lain yang sering dipeleceh ... namun sebenarnya membentuk identiti dan jati diri seseorang.

"Weiii! Apa klass kau nak kawan ngan kami?. Group kami ni semua group awek cun. kitorang semua ada balak , kau ada?" ... walaupun hakikatnya melambak saja 'balak' yang cuba 'usha kau' tapi semua kau tolak atas dasar 'belum masanya lagi'!.

"Alah relakslah , rokok je pun. Bukannya kita hisab dadahke , ganjake. Lagipun tak macholah jadi budak skeema macam kau! ... walhal kita tahu rokok itu haram dan kita juga tidak suka dipanggil 'budak skeema'.

Lebih parah lagi ...
"I betul-betul sayangkan you. I sanggup buat apa saja. Kalau boleh sekarang juga I nak kita kahwin ... (lalu meminta lebih) ... walhal kita tahu hukum zina itu berdosa malah kita telahpun biasa didedahkan dengan program seperti 'Anda Bijak Jauhi Zina' tapi kita sangat sayang dan cintakan dia!

Semakin bertambah usia ... tiba masa membuat keputusan yang teramat penting dalam hidup. Kita dilamar beberapa jejaka atau kita meminati beberapa gadis ... bagaimana harus membuat keputusan dan atas dasar apa?

"Dinikahi wanita itu kerana empat perkara , kerana hartanya , keturunannya , kecantikannya dan kerana agamanya maka pilihlah akan hal keagamaannya. Nescaya beruntunglah kedua-dua tangan                                                                                           (Hadis riwayat Bukhori dan Muslim)
Jadi ku kira pemilihan lelaki untuk dijadikan suami juga adalah bersandarkan empat perkara tersebut.

Wah! Banyak sekali keputusan yang harus kita buat dalam hidup dan tentunya semuanya melibatkan konflik dalam jiwa. Jika kita memilih A maka C akan berlaku. Jika kita memilih B maka D lah yang akan terjadi. Maka kita pilih apa?...

Islam itu indah ...islam itu sempurna. Kita diajar cara terbaik dalam membuat sesuatu keputusan atau pemilihan , bukan saja soal jodoh malah atas semua urusan hidup.
Perhatikan hadis riwayat imam Bukhori berikut;

Mahfum Hadis:

Dari Jabir ra., ia berkata: "Nabi pernah mengajarkan kepada kami Istikharah dalam berbagai urusan, seperti mengajarkan sebuah surah dalam Al Quran. Kalau seseorang dari kamu menghendaki sesuatu, maka hendaklah ia solat dua rakaat, kemudian berdoa:

“Ya Allah! Aku mohon pemilihan Mu menerusi pengetahuan Mu dan aku mohon kekuatan Mu menerusi kudrat Mu serta aku minta pada Mu sebahagian dari limpah kurnia Mu yang sangat besar. Sesungguhnya Engkau amat berkuasa sedangkan aku tidak berkuasa, Engkau amat mengetahui sedangkan aku tidak mengetahui dan sesungguhnya Engkau amat mengetahui segala yang ghaib. Ya Allah kiranya Engkau mengetahui bahawa perkara ini adalah baik bagiku dalam urusan agama ku juga dalam urusan penghidupan ku serta natijah pada urusan ku, kini dan akan datang, maka tetapkan lah ia bagi ku dan permudahkanlah ia untukku, serta berkatilah daku padanya. Dan kiranya Engkau mengetahui bahawa perkara ini  membawa kejahatan kepadaku dalam urusan agamaku, juga dalam urusan penghidupanku dan natijah urusanku, kini dan akan datang, maka elakkanlah ia dariku dan tetapkanlah kebaikan untukku sebagaimana sepatutnya, kemudian jadikanlah daku meredhainya”

Ya Allah ... Astarghfirullah ... kiranya aku sendiri telah terlalu banyak mengabaikan solat istikharah dalam banyak urusan hidupku ...
Isunya , mengapa kita perlu melakukan solat istikharah?
Jawapannya , tentu sahajalah kerana akal kita amat terbatas kemampuannya. Kita hanya boleh menjangka masa depan namun ianya hanya merupakan suatu jangkaan yang teorinya adalah berasaskan pengalaman hidup dan logik akal semata-mata. Sedangkan Allah itu Maha Mengetahui ...
(Ya Allah ampuni aku atas kebiadapanku membelakangiMu dalam membuat keputusan-keputusan penting hidupku dan sesungguhnya aku telah menzalimi diriku sendiri).

Mengapa  persoalan 'membuat keputusan' ini harus dibicarakan?
Tidak lain dan tidak bukan kerana pengalaman hidup seorang manusia menuntutnya membuat keputusan. Malangnya keputusan yang dibuat itu sering saja tidak selari dengan kehendak hati. Maka berlakulah konflik yang bakal menekan jiwa dan mengganggu gundahkan ketenangan hati.

Namun ada kalanya sesuatu keputusan itu perlu dilaksanakan dan diambil demi kebaikan semua.
Sebagai contoh ,
i.    seorang pelajar harus mengabaikan minatnya demi menggembirakan hati kedua orang tuanya.
ii.   seorang anak sulung terpaksa berhenti sekolah demi membantu kedua ibubapanya menambah pendapatan keluarga akibat status hidup yang terlalu miskin.
iii.  seorang gadis atau teruna harus melupakan pilihan hatinya demi keinginan keluarga.
iv.  seseorang itu terpaksa meninggalkan sahabatnya kerana Allah dan jika ianya melibatkan redha pAllah  maka tiada pilihan yang lebih baik walau sebesar mana hatinya memberontak.

Berdasarkan contoh-contoh di atas , sering saja kita harus mengorbankan keinginan sendiri demi sebuah kehidupan yang lebih sempurna. Sempurna dalam erti kata , lebih ramai yang akan bahagia dengan keputusan yang kita ambil dan alasan yang lebih mulia adalah demi mencari redha Allah.
Lagi pula ...
'Apalah nilai sekeping hati kita berbanding lebih banyak hati lain yang mengharap'.

Hakikatnya hidup ini bukan kita yang punya
Setiap kita ada tanggungjawab dan amanah yang perlu digalas.

Buatmu teman-teman
Terima kasih kerana menjadi sebahagian dari kisah hidupku
Walau apapun bentuk hadirnya kalian
atau bila 
atau apa kesan hadirnya kalian
semuanya menjadi sejarah yang menyempurnakan kehidupan seorang aku
dan 
Buatmu teman-teman
Sekiranya hadirku sebagai sebahagian dari kisah hidup kalian
Meninggalkan banyak kesan luka
Maafkanlah aku kerana bukan itu niatku 
Hakikatnya seorang teman itu bertemu dan berpisah biarlah kerana Allah
Tuhan yang Maha Mengetahui rahsia di sebalik rahsia ...








-Peace-
>_
"Sebarkanlah kasih sayang sesama kita demi sebuah dunia yang bahagia"


Tuesday 8 July 2014

Fikiranku ... aku masih belajar ...


Lukis jea ... Alhamdulillah , aku hambaNya


Dalam mengharungi liku-liku kehidupan, berdepan pelbagai onar dan duri, mengharungi saat-saat sukar dan menempuh rencam gelombang perasaan yang menuntut kesabaran ... Layakkah kita mengeluh?

Bila pujian menghujani tiap langkah, kejayaan menemani perjalanan, kegemilangan demi kegemilangan menyinari hari-hari yang berlalu , tawa senda menjadi canda dan halwa hidup ... layakkah kita mendabik?


"Ingat ranting yang akan melenting, dahan yang akan mencucuk , duri yang akan mengait".

"Ku sangka panas sampai ke petang , rupanya hujan di tengah hari".

"Hujan panas permainan hari , senang susah permainan hidup".

"Disebalik awan kelam pasti ada sinar".


Indahnya susun bicara mengajar manusia jangan terleka. Apa jua laluan kaki melangkah haruslah beringat , jangan sampai tersadung. Kelak jatuh terluka meninggalkan parut membekas. Sampai kapanpun akan terpandang jua.

Lagi pula benarlah pepatah orang tua-tua , langit tidak selalunya cerah dan awan juga tidak selamanya mendung. Andai kau berada di atas, tunggulah hari jatuhmu. Tika kau di bawah selalulah ingat dalam kesempitan pasti ada kesempatan. Kesempatan untuk belajar bangkit semula kerana hidup ini adalah medan pembelajaran yang tak sudah....

Semalam ... Hari ini ... dan Esok ... aku masih belajar ... Belajar erti hidup.

#Hrmmm...jom berangan :3))

"Bayangkan aku boleh terbang dr puncak gunung paling tinggi ....
Melayangkan jiwa membelah awan ... pasti sudahku laksanakan. Untuk apa?
Untuk kulihat dunia dari sudut yang paling luas.

                                       -peace-
                                         >__<





Fikiranku ... "Aduh! Anak Bangsaku!"

                    'Aduh! ... anak bangsaku!!"

Jam sudahpun mencecah 4:22 petang. Aku baru saja pulang dari sekolah , tentunya singgah sebentar di kedai barangan basah tadi buat membeli barangan yang bakal dimasak untuk juadah berbuka puasa petang ini. Kiranya ini adalah waktu rehatku sehingga jam 5:00 sebelum aku mula menguruskan rumah dan memasak. Inilah rutinku hampir setiap hari ... tidak kiralah ramadhan atau bulan-bulan lainnya. Rutin yang hampir sama. Sibuk dan selalu saja sibuk.
Adakah aku bosan?
Tentunya tidak ... kerana apabila terlalu banyak perkara yang perlu dilakukan , kita tidak akan sempat memikirkan soal bosan atau tidak. Sejujurnya aku suka kesibukan ini. Ia membuatkan hidupku lebih bermakna.

Sebenarnya ada perkara yang ingin ku tulis dan ku kongsikan dengan sesiapa sahaja yang sudi. Harap ianya memberi manafaat. Perkara yang ingin kucoretkan di sini adalah soal ....

"Aduh! Anak Bangsaku!"
Khamis lepas , dua orang pengawas bertugas mendapatkan aku yang sedang mengajar di makmal Fizik.
Pengawas :"Cikgu , kami nak buat laporan"
Aku          :"Ya. Tentang apa?".
Pengawas  :"Cikgu , ada tiga orang pelajar merokok di tingkat 3 makmal sana. Sorang India dan dua lagi Melayu"
Aku           :"Dalam bulan Ramadhan ini?.Awak cam mereka?".
Pengawas  : "Ya cikgu".

Maka selesai mengajar akupun turun ke bilik disiplin sambil berpesan kepada seorang murid yang kebetulan lalu di situ agar tolong memanggilkan seorang daripada murid tersebut. Sementara menunggu , ku capai rotan yang memang sedia ada di atas meja tugasku. Marah juga rasa hatiku mengenangkan murid islam berani merokok. Sudahlah melanggar peraturan sekolah malah langsung tidak menghormati bulan yang mulia ini , merokok bersama murid India yang beragama Hindu. sungguh memalukan dan menyinggung maruah Islam!.
"Ini sudah terlebih patut dirotan!". Fikirku.

Setelah menunggu beberapa ketika maka muncullah pelajar yang dimaksudkan.
Aku mempersilakan dia masuk sambil memerhatikannya atas dan bawah , cuba membaca 'pembawaan' ... 'watak' dan latar belakang murid ini berdasarkan penampilan dan gaya bahasa badannya. Murid tingkatan 4 , kurus dan air mukanya ... air mukanya langsung tiada menunjukkan wajah 'menentang' atau nakal!.

"Hmm ... cikgu tak mahu cakap banyak dan berdolak dalik. Lebih mudah kalau awak jujur sahaja. Apa kesalahan yang awak buat hari ini?" Tanyaku sambil tanganku bermain-main dengan rotan yang kupegang sedari tadi.
"Err ...saya merokok cikgu". Jawabnya tanpa selindung.
"Awak merokok?. Di bulan Ramadhan ini?. Dengan siapa lagi awak merokok?". Tanyaku dengan nada suara yang agak tinggi.
"Dengan .................". Jawabnya. Sama seperti nama yang diberikan pengawas tadi. Maka aku membuat kesimpulan awal bahawa murid ini sememangnya seorang yang jujur. Maka tiba-tiba hatiku menjadi lembut...
"Awak tak puasa?". Tanyaku lagi.
"Puasa cikgu". Jawabnya.
"Habis tu awak hisab rokok?"
"Cikgu , saya tak makan dan minumpun. Saya cuma hisab rokok saja".
"Astarghfirullah ..." mengucap panjang aku jadinya.
"Kalau puasa , bukan saja tak boleh makan dan minum , merokokpun tak boleh juga. batallah puasa kalau awak merokok!". Tambahku lagi. Dia hanya diam , memandang mukaku dengan mata yang terkelip-kelip.
Tergerak hatiku untuk bertanya lebih lanjut , "Pagi tadi awak solat subuh tak?".
"Tak". Jawabnya sepatah.
"Solat-solat lain...awak solat tak?"
"Cikgu , saya dah lama tak solat". Wajahnya serius memandang aku.
"Lama?. .Kenapa?"
"Malas!". Jawapannya ringkas dan padat membuatkan rotan yang kupegang terus ku letakkan balik di atas meja.
"Malas?. Awak dah lama tak solat sebab malas?. Sejak bila awak tak solat ni?. Mak ayah awak tak pernah marahke?". Tanyaku bertalu-talu , bagai tak percaya dengan apa yang ku dengar.
"Entahlah cikgu , dah lama benar. Sejak saya akhil baligh tingkatan dua dulu. Mak ayah saya marah tapi saya memang malas nak solat".
"Astarghfirullah ... maknanya dah dua tahun awak tak solat dan awak langsung takde rasa bersalah. Awak percaya ke neraka tu wujud?"
"Percaya"
"Awak percaya awak nanti akan mati. Masuk dalam tanah.Malaikat munkar dan nakir akan menyoal awak?".
"Percaya"
"Awak tak takut Allah murka?"
"Takut".
"Habis tu?".
"Entah cikgu. Saya malas!".
Terdiam aku dengan jawapan itu. Tidak guna aku marahkan dia tentang perbuatannya menghisab rokok di bulan ramadhan ini sekiranya ada perkara yang lebih besar yang perlu ku tangani. Seorang pemuda islam mengaku bahawa dia sudah meninggalkan solat selama dua tahun tanpa sedikitpun rasa bersalah!.

Ya Allah , salah siapakah hingga semua ini terjadi?.

Ibubapa?. Di mana perananmu sebagai penjaga yang diberikan nikmat  membelai dan mengasuhnya  sejak bayi lagi?. Adakah ibubapa kini terlalu sibuk dengan urusan dunia atau mencari makan buat mengisi tembolok seisi keluarga tanpa mengisi kebutuhan imannya?

Ustazah , ustaz  , guru kelas dan guru-guru lain di sekolah?
Mengapa sampai ada anak murid yang sudah dua tahun tidak bersolat langsung tidak dikesan?
Atau terlalu sibukkah kita memastikan peratus pencapaian kurikulum dan kokurikulum sekolah meningkat cemerlang?
Atau terlalu sibukkah kita mengejar pelbagai perkara baru bersesuaian dengan transformasi pendidikan yang kudefinisikan sebagai 'huruhara' ini hingga kita terlepas pandang perkara yang terlebih penting?.(Ops! Huruhara bagiku adalah merujuk kepada implementasi yang ku anggap terburu-buru).

Jawatankuasa masjid? atau AJK Kampung? atau pemimpin-pemimpin pelbagai persatuan dalam masyarakat atau mungkin pemimpin negara?
Kita semua disibukkan dengan apa?. Bagaimana urusan pentarbiahan pembinaan modal insan ini  seharusnya dapat ditingkatkan dan dijadikan agenda penting.
Bayangkan , dalam lima tahun lagi , murid tadi sudah layak membina keluarga. Bernikah dengan gadis pilihannya dan menjadi ketua keluarga. Agak-agaknya ke arah manakah hala tuju keluarganya akan dibawa?.

(Hmm ... aku harus berhenti sekarang. Masa rehatku sudah 20 minit berlalu. Nanti-nanti saja ku sambung).
Aku akhiri setakat ini dengan satu soalan , apakah peranan kita dalam mendidik anak bangsa?.

Fikir-fikirkanlah ...

                                    -peace-
                                       >__<



Sunday 6 July 2014

Bangkitlah ...

Pagi yang hening ini , aku masih belum boleh melelapkan mata. Tugasan sekolah yang harus diselesaikan sebelum mentari menjengah esok hari , menuntut aku untuk tidak tidur malam ini (Ops! Pagi sudah ...)
Inilah guru zaman kini ... hampir 21 tahun perkhidmatan , aku merasakan amat lelah sekali. Tidak terkejar olehku transformasi pendidikan yang terlalu laju berubah. Mana tidaknya , kalaulah sekadar 'laju' sahaja , mungkin boleh juga ku gagahi tapi ... apabila sistem seolahnya tidak stabil , sering bertukar-tukar dan banyak 'try and error'... Huh! Lelah sekali aku dibuatnya. Kalaulah aku ini cukup berani ... berhenti dan buat perkara lain. Masalahnya , aku suka mendidik. Itu sudah jadi sebahagian jiwaku ...
(Ini hanyalah keluhan seorang guru biasa sepertiku yang bekerja bersandarkan minat mendidik dan tanggung-jawab terhadap anak bangsa).

Hmm ... aku menulis ini sekadar melempiaskan kebosanan terhadap tugasan yang sedang kusiapkan. Ok...jom rehatkan minda sekejap. Kita cari 'semangat'



Bangkitlah...
Bangkitlah  perbetulkan landasanmu yang  tersasar
Kerna hidup ini bukan untuk kita melakar mimpi
Tapi ... buat kita mencari erti
Hakikat kehidupan yang telah tersurat
Juga makna yang amat tersirat

Bangkitlah
Bangkitlah sendiri
Gantungkan harapan pada tuhanmu yang lebih mengerti
Sedang kaki ini telah terikat kuat pada takdir yang terukir

Bangkitlah
Aturkan langkah satu persatu
Sungguh jalan ini bukanlah mudah
Tidak bagiku ... mujahadah ini amat membeban rasa
Menekan segenap ruang ingat
Menggundah tenang jiwa
Namun kupasrah kerana itu sahaja layakku 

Bangkitlah ...
Bangkitlah wahai jiwa yang sendu
Kembalilah pada jalan tuhanmu
 Keindahan itu pastinya akan menjelma jua
Walau hanya seketika
Atau munculnya di dalam lena ... yang takkan terhapus.

Bangkitlah ...
Bangkitlah wahai jiwa yang layu
Tiupkan kembali api semangat
Nyalakan obor jihad
Biar terang menyuluh jalan berliku
Dan kaki melangkah penuh berani

-peace-
>__<
Tanpa perlu menoleh ke belakang lagi.