Popular Posts

Monday 12 December 2016

Novel 2 : Selepas Hujan Bab 12

Bab 12          Cinta yang menjengah
Lukis jea ... 

Peristiwa yang tidak disangka
        Tiga bulan telah berlalu , kini sudah masuk bulan Mei. Ziah dan Miah sibuk menyediakan soalan untuk peperiksaan petengahan tahun sekolah mereka. Dalam masa yang sama mereka juga terpaksa mula mengadakan  kelas klinikal  bagi pelajar yang lemah terutamanya  yang akan menduduki peperiksaan PT3 dan SPM pada tahun ini.
Namun begitu seperti lazimnya ,  hanya guru sahaja yang lebih bersemangat , anak-anak murid pula asyik memberi alasan. Tiap kali ditanya , mengapa tidak hadir ke kelas klinikal?. Ada saja alasannya , tidak sihat , terlupa , tiada kenderaan hinggakan ada yang berani memberitahu tidak mahu lepas menonton siri bersiri korea atau Indonesia kegemaran mereka!. Haishhhh ….
“Ziah , petang ni ada kelas klinikal ke?”. Tanya Miah.
“Tak , kau adake?”. Tanya pula Ziah.
“Tak . Jom turun Kuantan nak?”. Cadang Miah.
“Kuantan? ... nak buat apa?”.Tanya Ziah.
“Aku sebenarnya nak kenalkan kau pada seseorang. Teman istimewa aku ... hari tu kau beriya-iya nak tahu. Nak tak?”.Tanya Miah.
“Eh menarik tu ... boleh gak, abah kau dah tahu?”. Tanya Ziah
“Belum ... kejap lagi aku teleponlah”. Jawab Miah.
“Err ... tapi aku rasa penat sangat laa ... dah tiga petang berturut-turut balik lambat. Isnin ada bacaan NILAM , Selasa pulak kelas klinikal dan semalam ko-ko. Tak laratlah nak jalan-jalan lagi. Kau pegi ajelah , lain kali aku ikut. Boleh?”. Ziah menukar fikiran.
“Mmm ... tak best lah kalau kau tak da tapi nak buat macam  mana. Tak apalah , lain kali kau jangan bagi alasan!”.  Miah berkata sambil tersenyum. Miah sendiri maklum , menjadi guru sekarang tidak sama dengan guru dulu kala. Bebanan seorang guru siapalah yang mahu ambil peduli!.
“Ya lah tu tak best. Nak jumpa buah hati , lagi tak best kalau aku ada. Kacau daun saja!!”. Balas Ziah. Miah hanya merenyih.
“Nanti , jangan kata aku tak ajak!”. Kata Miah , mengingatkan.
“Yelah! ...  tapi  hati-hati jaga diri. Jangan sampai ulat naik daun!”. Pesan Ziah.
“Ha sudah. Jangan nak merepek!”. Balas Miah. Tersengih mendengar pesanan Ziah itu.
“So , nanti abah aku datang macam biasalah ambil kau balik. Cakap kat abah aku ,  nanti aku  balik sendiri”. Pesan Miah.
“Eh , tak minta izin pakcik dulu ke?” . Tanya Ziah.
“Eeee ... nak mati?”. Balas Miah. Tersengih sambil mengenyitkan matanya.
“Habistu , kalau pakcik tanya?”. Ziah mulai ragu.
“Jawab jelah aku kena bawa budak-budak aktiviti luar!”. Jawab Miah.
“Tak baik tau berbohong”. Jawab Ziah sambil memuncungkan bibir.
“Alaaa ... bohong sunat!”. Miah tersengih. “ Cakap tau aku bawak budak keluar”. Pesan Miah.  Ziah hanya mengangguk.

Terkejut melihat abang Anip ...
        Petang itu seperti biasa cikgu Karim datang menjemput Ziah. Sesampai sahaja di rumah cikgu Karim segera memandu pergi.
“Pakcik ada hal nak ke Pekan kejap. Tolong tengok-tengokkan makcik ya. Pinta cikgu Karim. Ziah hanya menganggukkan kepala.
“Ya , pakcik jangan risau. Terima kasih pakcik”.Jawab Ziah.
“Ya , sama-sama”. Balas cikgu Karim sebelum bergerak pergi.
Ziah melangkah ke tangga rumah. Sunyi ...
“Huh! ... satu lagi hari yang sunyi ”. Fikir Ziah.
Sejak akhir-akhir ini Ziah merasai kesunyian yang amat mencengkam jiwa. Terasa kekosongan yang berat di sanubarinya.
“Diah , kau memang betul ... aku dah sepatutnya berdua. Tapi ... tengoklah keadaan aku , terperangkap di kawasan pedalaman ini. Tiada siapa untuk aku. Kalau dulu ... ada juga abang Anip yang membuat hati aku sedikit berbunga. Tapi lelaki psycho macam tu ... hah! Apalah yang  nakku harapkan!”. Ziah melayan fikirannya.
“Huh!”. Keluhan berat Ziah jelas dapat didengar.
Ziah melangkah  ke anak tangga terakhir sebelum akhirnya berdiri di anjung rumah. Seperti lazimnya sebelum memasuki rumah , ucap salam pasti diberi. Sunat bagi yang mengucapkannya dan wajib dijawab bagi yang mendengarnya.
“Hmm ... cara mudah untuk mengumpul pahala , mengapa perlu ditinggalkan?”.Itulah pegangan Ziah.
“Assalam...”. Langkah dan salam Ziah terhenti.
Terkejut melihat abang Anip berada di ruang tamu rumah. Mana tidaknya , sejak peristiwa kepala Ziah luka berdarah  gara-gara abang Anip hilang rasionalnya tempohari dan ditambah dengan peristiwa abang Anip ‘menyibuk tak bertempat’ ketika Ziah tengah ‘melayan perasaan di tepi sungai’ , mereka sudah jarang bertemu muka.
        Abang Anip sentiasa menjauhkan diri. Malah sudah tidak pernah makan semeja lagi. Ada sahaja alasan diberi ... ya lah mana tidaknya , tindakan spontan Ziah terus bangun meninggalkan abang Anip yang sedang risau melihat gadis itu menangis sendirian benar-benar mengembalikan abang Anip ke dunia asalnya.
“Yalah siapalah aku ini Ziah , lelaki dungu yang terhegeh-hegeh sukakan kau!”. Keluh abang Anip sendirian setelah dibiarkan soalannya tidak berjawab sambil matanya melihat langkah Ziah yang semakin menjauh.
Xxxxxx

“Assalamualaikum”.  Ziah menghabiskan salamnya. Diam , tidak berjawab.
“Apa punya orang , salam pun tak nak jawab. Tak tahu ke yang menjawab salam tu wajib!!”. Kata hati Ziah. Geram dengan perangai abang Anip , Ziah terus masuk ke biliknya.
Tanpa Ziah sedari , abang Anip memerhatikan gerak langkahnya. Lelaki ini  sebenarnya sedang cuba mengawal diri , belajar memujuk hati yang dicengkam  rindu yang mendalam ... rindu untuk menatap wajah lembut nan ayu  , rindu pada jelingan mata tatkala marah menyapa hati si gadis , rindu pada pertengkaran-pertengkaran yang menghidupkan dunianya yang suram , rindukan dia ... rindukan Ziah!.
                                   

                              Macam anjing dengan kucing , Bila terasing terasa runsing

Di atas batang pokok yang tumbang
        Petang itu , setelah melelapkan mata menghilangkan lelah bekerja , Ziah berjalan-jalan ke kebun belakang. Hatinya bagai digamit dek cantiknya liang – liuk sang  ikan berenang , matanya rindu untuk  melihat anak-anak  ikan melompat-lompat dari kelong sangkarnya di sungai. Ziah membawa bersama novel ‘mencari takdir’ yang sedang dibacanya. Buku novel karangan penulis tempatan yang baru hendak naik itu sangat menghiburkan. Sekali baca sukar untuk dilepaskan. Ziah mengambil tempat yang paling strategik. Di atas batang pokok yang tumbang betul-betul di gigi air, selesa duduk sambil menjuntaikan kakinya mencecah air di sungai. Novel dibaca sehelai demi sehelai...

Lama benar rajukmu ...
        Sesekali matanya melihat jauh ke hulu sungai.
“Lama sungguh tak mendengar khabarmu”. Fikir Ziah tatkala teringatkan Kamal. Kali terakhir mereka bertemu hampir tiga bulan lepas iaitu sehari selepas kepulangannya dari Kuala Lumpur.
“Huhh!. Lama benar rajukmu”. Fikir Ziah lagi. Perbalahan mereka hari itu kembali bermain diingatannya.
“Maafkan saya Kamal. Semuanya terlalu awal. Saya tidak dapat menerima cinta awak”. Kata Ziah berterus-terang. Padanya tiada guna memberi harapan palsu.
“Mengapa?. Kerana saya ini miskin ... tidak berpelajaran?!”.Tanya Kamal. Tidak dapat menerima penolakan Ziah.
“Bukan!. Awak salah faham. Saya tidak memandang itu semua”. Jawab Ziah.
“Bohong!. Kalau betul awak tidak memandang itu semua , kenapa awak sanggup menolak cinta saya sedangkan awak sendiri pernah kata  yang awak sukakan saya dan ibu saya. Awak gembira tiap kali kita bersama. Sampai hati awak mempermainkan kami!”. Kata Kamal. Marah apabila terasa yang dirinya telah dipermainkan. Lebih marah lagi apabila terkenangkan harapan ibunya yang punah!.
“Kamal , maafkan saya jika sikap saya telah membuatkan awak atau ibu awak tersalah anggap. Suka bukan bermakna cinta. Saya suka berkawan dengan awak. Saya sukakan ibu awak yang sangat peramah dan baik hati. Tapi saya tidak pernah cintakan awak. Maafkan saya!”. Pinta Ziah. Kesal kerana terpaksa mengecewakan Kamal dan ibunya.
“Arghh sudahlah!. Awak tiada bezanya dengan orang lain. Semuanya memandang harta. Orang miskin macam kami ini memang tak ada tempat di hati kalian!!”. Jerit Kamal sebelum menolak semula rakitnya.
“Kamal! Kita masih boleh berkawan!!”. Jerit Ziah.
“Itu bukan caraku!!!”. Balas Kamal sebelum kembali berakit meninggalkan Ziah , termangu.
“Huhhh!!!”. Keluh Ziah.
“Hilang sudah satu-satunya kawan yang mampu membuatkan aku gembira ,  melupakan kemelut hidupku di rumah ini”. Fikir Ziah. Kesal benar dengan apa yang berlaku.
“Kamal …”. Tanpa sedar nama lelaki itu diseru …

Badannya dirangkul kuat dari belakang
        … dan tanpa Ziah sedari juga , dirinya sedang diperhatikan oleh sepasang mata. Mengendap dari balik rimbunan pokok renek yang tumbuh di sempadan kebun cikgu Karim dan jirannya. Menunggu peluang untuk bertindak. Sepasang mata itu semakin menghampiri dan ... sepantas kilat ... “Arrghh ... tolong!!..” Ziah menjerit. Sayang , jeritan itu hanya seketika. Mulut Ziah ditutup rapat. Badannya dirangkul kuat dari belakang. Ziah meronta. Sia-sia ... ternyata lelaki ini begitu kuat.
“Ya Allah , selamatkanlah aku!” . Doa Ziah di dalam hati. Tangannya cuba mencakar muka lelaki tersebut. Ziah cuba membuka topeng yang menutupi wajah sebenar penyerangnya. Malangnya , tangannya dipulas kuat ke belakang. Ziah mengerang kesakitan.
Ternyata tenaga Ziah tidak mampu menandingi tenaga lelaki durjana ini. Tubuh Ziah diangkat.  Ziah cuba meronta sekuat mungkin. Kakinya menendang-nendang tanpa arah. Lelaki durjana semakin geram dan terangsang dengan tindakan Ziah. Lagi kuat tubuh Ziah dicengkam , diangkat tinggi dan dihempaskan ke tanah yang keras. Ziah mengerang kesakitan ... memusingkan badan dan cuba merangkak melepaskan diri.
Lelaki durjana semakin liar. Kaki Ziah direntap. Ziah tersembam. Badan Ziah dibalikkan dan tubuhnya ditindih. Ziah meronta lagi lalu mencakar dada lelaki durjana yang terdedah.
“Arrghhh!!”. Jerit lelaki durjana. “Sial!!!”.Geram dan  marah lalu wajah Ziah ditampar kuat. Ziah pengsan. Lelaki durjana tertawa gembira. Kain yang disarung Ziah direnggut kasar. Kini segalanya sudah terserlah. Lelaki durjana bebas melakukan apa saja...
“Ha ha ha!. Baru padan dengan muka kau. Memang inilah yang selayaknya untuk perempuan seperti kau!”. Kata lelaki durjana tatkala tangannya melondehkan seluar yang dipakainya. Namun belumpun sempat dia berbuat lebih jauh .....
“Hiyahhh!!!”. Satu suara disusuli  tendangan kuat menerjah ke sisi kanan lelaki durjana. Tendangan padu itu  membuatkan lelaki durjana terpelanting jatuh ke tanah.
“Celaka kau! Apa yang kau cuba buat hah?!” . Tempik penyelamat.
“Kau yang celaka! Mengganggu urusan orang!!!” . Bentak lelaki durjana. Tangannya segera membetulkan duduk seluarnya.
Maka berlakulah pergelutan ... kilas , tepis , tendang , tumbuk silih berganti ... apabila keadaannya tersepit , lelaki durjana mengeluarkan parang yang sedia tersisip di pinggang. Ternyata lelaki durjana cukup bersedia.
Parang dihayun  liar. Pergelutan semakin sengit. Sedikit kecuaian membawa padah. Dalam kekalutan , parang berjaya menghiris dalam lengan penyelamat.  “Arrgghhh!!”.Darah mengalir ... Penyelamat terpelosok jatuh. Tangan kirinya menekup lengan yang luka.
“Ha ha ha ...  itulah akibatnya kalau suka menyibuk! Itu baru sikit, kejap lagi parang ini pasti terbenam di perut kau !”.  Lelaki durjana berkata megah.
Entah dari mana datangnya tenaga , penyelamat bangun , melompat nekad  ke arah lelaki durjana yang terleka. Parang di tangan ditendang jatuh. Tumbukan padu dilepaskan bertubi-tubi , tepat mengenai muka lelaki durjana. Lupa sudah kesakitan diri ...
Peluang datang sekali. Tumbukan demi tumbukan dilepaskan.  Lelaki durjana semakin lemah, kebongkakan dia sebentar tadi mengundang padah ... di kesempatan itu topeng penutup mukanya direntap.
“Kau?!!!” . Si penyelamat terkejut. Tidak pernah disangkanya lelaki durjana itu boleh bertindak sejauh ini. Menyedari dirinya telah dikenali , lelaki durjana mulai cemas , menguatkan diri ,  bingkas  bangun  berlari lintang pukang menghilangkan diri.
“Ahh!  Sial!!!”. Jeritnya. Langkahnya dipercepatkan.
Si penyelamat cuba mengejar tetapi lelaki durjana lebih cepat menyusup di sebalik semak. Gagal mengejar , si penyelamat kembali ke tempat di mana si gadis terbaring longlai , masih tidak sedarkan diri.
“Allah!!!”. Bergetar hati sanubarinya melihatkan keadaan si gadis ... dengan segera sarung yang dilempar jauh dipungut lalu dipakaikan  buat menutup tubuh yang terdedah ... menggigil tangannya , berdebar dadanya. Wajah gadis direnung , rambutnya yang berselirat diusap lembut ...  ada simpati ... ada rindu di hati.
“Ziah! Ziah!”. Panggilnya lembut ... tiada jawapan. Maka dengan susah payah tubuh si gadis dirangkul dan didukung. Ketika itu si gadis  tersedar dari pengsannya.
“Lepaskan! Lepaskan!!”.  Si gadis menjerit dan meronta. Rontaannya  sangat kuat hinggakan si penyelamat tidak lagi mampu menahannya. Kedua mereka jatuh tersembam!.
“Abang ! Abang nak buat apa ni?!”. Tanya Ziah dengan cemas lalu cuba menolak tubuh sasa lelaki yang dipanggil abang itu jauh darinya.
“Arrghhh!!” . Abang Anip menjerit sakit. Ziah terdiam. Tergamam melihat darah mengalir banyak dari lengan kanan abang Anip.
“Abannggg ...” .Ziah bersuara perlahan. Terduduk memandang lengan abang Anip. Ngeri . Melihat keadaan luka yang dalam , Ziah segera faham. Abang Anip adalah penyelamatnya. Lelaki ini adalah wiranya! . Abang Anip bangun , Ziah juga.
“Abang , maafkan Ziah. Ziah dah salah sangka ...”. Ziah bersuara lemah. Terasa benar dirinya bersalah menuduh abang Anip meluru. Tangannya memegang luka abang Anip.
“Arrghhh ... jangan!”. Pinta abang Anip. Pedih benar rasanya. Pedih lagi hatinya kerana disalahertikan ...
“Abang ...  besar luka ni , marilah Ziah bantu”.  Ziah berdiri dan cuba memimpin abang Anip. Abang Anip segera menangkap tangan Ziah. Menggenggam jari jemarinya. Merenungnya.
“Sikit saje. Ziah tak apa-apa?”. Abang Anip benar-benar risaukan Ziah. Jelas terpancar dari riak wajahnya.
“Entahlah bang , Ziah tak tahu apa yang dah terjadi. Abang kena bagi tau Ziah. Apa yang terjadi pada Ziah?”. Ziah kembali sedar bala yang telah  menimpa dirinya. Tidak pasti ... tiba-tiba menjadi cemas ... Ziah menangis , menyangka dirinya telah ternoda!.
Abang Anip panik. Tidak tahu apa yang patut dilakukannya.
“Ziah, usahlah menangis. Abang ada … selagi abang ada , abang tidak akan membenarkan apa juga perkara buruk menimpamu!. Abang sanggup lakukan apa saja demi Ziah hatta bergadai nyawa sekalipun”. Kata-kata abang Anip mengharukan hati Ziah.
“ Oh! Benarkah ini. Akukah yang berkata-kata?”. Bisik hati kecil abang Anip. Hilang rasa sakit luka di lengannya gara-gara tidak percaya dengan apa yang baru dilafazkannya!.
“Tapi bang ... Ziah ... adakah Ziah masih ...”. Kata-kata Ziah terhenti. Sedu sedannya semakin menjadi. Ziah tidak pasti status dirinya … seluruh badannya terasa sakit!
“Tidak Ziah , kau masih suci. Andai ditakdirkan perkara buruk telah terjadi sekalipun ... abang tetap menyayangimu. Abang menyintaimu ... percayalah. Abang tidak pernah berdusta tentang cinta ini”. Abang Anip bersuara di dalam hati.
“Ya , Ziah masih suci. Janganlah risau dik , kau masih suci!”. Jawab abang Anip.
Mendengar kata-kata abang Anip , Ziah semakin tenang. Genggaman tangan abang Anip dilepaskannya perlahan-lahan.
“Abang ... abang tahu , siapa?”. Tanya Ziah.
“Ya , itu topengnya telah tertanggal”. Abang Anip menunjukkan topeng yang tercampak di tanah. “Siapa?”. Tanya Ziah.
“Betul nak tahu?”. Abang  Anip ragu-ragu.
Khuatir Ziah tidak akan percaya kata-katanya.
“Ya , siapa?”. Tanya Ziah. Abang Anip diam. Ziah pasti terkejut jika mengetahui siapakah penyerangnya. “Abang , siapa?!!” Ziah mendesak.

“Kamal?!!”
“Kamal. Budak hujung kampung tu!”. Abang Anip memberitahu sambil menunjuk ke arah hulu sungai.
“Kamal?!!”. Ziah bagaikan tidak percaya. Terjelepok kembali ke tanah.
“Ya. Kamal!. Ziah , perkara ini tidak boleh didiamkan. Kita kena laporkan  kepada polis. Jika tidak pasti dia akan mencuba lagi!”.  Abang Anip berkata tegas. Khuatir dengan keselamatan Ziah.
“Abang! Tidak!! ... tolonglah jangan bang. Ziah malu! Ziah tak mahu orang lain tahu!”. Ziah berkata cemas. Takut … malu … Ziah kembali menangis. Wajah abang Anip ditatap berharap agar dirinya difahami.
“Tidak! Dia yang bersalah. Mengapa Ziah pula yang malu?”. Sanggah abang Anip. Suara abang Anip tegas. Tidak setuju dengan permintaan Ziah.
“Abang tolonglah ... masyarakat sukar bersimpati pada perempuan. Tolonglah bang”. Rayu Ziah. Abang Anip diam. Lama berfikir. Akhirnya...
“Dengan satu syarat. Itupun kalau Ziah setuju ...”. Kata abang Anip ragu.
“Syarat?”. Balas Ziah. Tidak disangkanya abang Anip akan berkata begitu.
“Ya , syarat!” . Jawab abang Anip
“Maksud abang?” Ziah tidak faham. Hatinya tidak selesa.
“Err ... bukan ... ahh ... lupakan saja!. Baiklah , abang turut kata Ziah. Tapi Ziah perlu berhati-hati. Hari ini kebetulan abang ada di rumah. Lain kali belum tentu ...”. Abang  Anip tidak tergamak menyatakan syaratnya. Kalau diturut rasa hati ingin sekali  peluang ini diambil untuk memaksa Ziah menerimanya sebagai suami. Tetapi dia bukan lelaki bangsat yang menangguk di air keruh.
“Ya bang.  Mulai sekarang Ziah tidak akan ke belakang sendiri. Ziah akan pastikan Miah atau  abang ada bersama barulah Ziah ke sini” . Balas Ziah.
Tiba – tiba hatinya terasa begitu senang berbicara dengan lelaki ini. Terasa aura kasih sayang jelas terpancar dari setiap gerak lakunya. Pandangan matanya , tutur katanya malah genggaman tangannya …!. Ziah terharu ... hilang sudah rasa benci dan marah yang bertapa di hati. Terongkai satu persatu.
Tanpa sedar , kudup cintanya mulai mekar  lebih-lebih lagi tatkala terpandangkan  rambut panjang lurus cecah ke bahu milik  abang Anip yang hitam pekat itu bergerak-gerak menutupi dahinya apabila ditiup angin.
“Indahnya pemandangan ini”. Fikir Ziah. Entah mengapa segala yang ada pada abang Anip tiba-tiba menjadi cukup menarik untuk ditatap. Ziah terus merenung wajah abang Anip. Abang Anip membiarkannya. Dia sendiri cukup rela direnung begitu!
“Terima kasih bang ... Ziah terhutang budi malah segalanya kepada abang!”. Ucap Ziah.
Abang Anip memandangnya dengan senyuman. Ziah membalasnya. Bergetar jiwa abang Anip melihat senyuman itu , terpesona.
“Manis!!”. Bisik  abang Anip perlahan.
“Ya ?”. Tanya Ziah.
“Hmm ... tak ada apa!” . Jawab abang Anip , malu. Ziah tersenyum .....

... seorang pemuda memakai jubah konvokesyen

        Malam itu selepas selesai makan malam , makcik Midah berehat di ruang tamu depan rumahnya. Tangannya mencapai album-album lama yang disusun rapi dalam rak buku bersebelahan peti televisyen rumah itu. Album dibuka semuka demi semuka. Wajah-wajah comel dua anaknya , abang Anip dan Miah ditatap. Terasa kerinduan yang mendalam di dalam jiwa apabila mengenangkan kembali keletah lucu dua anak comel itu.
Makcik Midah tertawa sendiri apabila terpandangkan  sekeping gambar abang Anip bersama Miah. Kedua anak comel itu tidak berpakaian dan  sedang bermain di dalam periuk besar! Itulah periuk yang sering digunakan oleh keluarganya untuk memasak nasi semasa kenduri kendara.
“Wah , gembiranya makcik. Terkenangkan kisah lama?” . Tegur Ziah dengan senyuman.
“Eh Ziah , marilah ... makcik tengah tengok gambar Anip dan Miah masa kecil dulu. Comel betul mereka! Rasa lucu pulak bila  teringatkan kisah-kisah lama dulu. Boleh  tertawa sendiri dibuatnya!”. Jawab makcik Midah sambil melambaikan tangannya mengajak Ziah menyertainya. Ziah angguk lalu duduk di sebelah makcik Midah. Turut tertawa sama melihat aksi-aksi lucu abang Anip dan Miah semasa kecil. Habis album pertama dilihat makcik Midah mengambil pula album kedua.
“Mari tengok yang ini”. Kata makcik Midah. Ziah menurut sahaja.
“Hah , cuba Ziah tengok gambar ini”. Pinta makcik Midah sambil membuka ke lembaran yang tertera gambar seorang pemuda memakai jubah konvokesyen. Ziah merenung lama gambar itu.
“Abang Anip?” . Ziah memandang makcik Midah meminta kepastian.
“Ya ...”.  Jawab makcik Midah perlahan. Ada kekesalan di wajahnya.
“Dulu dia belajar di UPM. Ambil kursus berkaitan dengan pertanian dan perladangan. Apa namanya kursus tu ... alah ... makcik dah tak ingat. Tapi dulu dia kata nak jadi petani berjaya .  Habis belajar dapat kerja kat MARDI. Sempat la kerja dalam  dua tahun lebih. Tapi lepas saja tunang dia mati dibunuh , dia hilang arah , dah macam orang hilang akal , kerja entah ke mana. Last-last balik kampung ternak ikan. Tu la abang Anip kau tu sekarang. Dah serupa dengan budak kampung sini yang tak berpelajaran tinggi!. Tengoklah hari ini … entah apalah difikirnya sampaikan parang makan tangan!!”. Bebel makcik Midah. Sedih dan ralat benar hatinya dengan perubahan anak sulungnya itu.
Ziah diam … “Kalaulah makcik Midah tahu apa yang terjadi!”. Fikir Ziah , gerun membayangkan kekecohan yang mungkin timbul.
“Haiii…entahlah Ziah , apa nak jadi dengan si Anip tu!”. Keluh makcik Midah lagi.
“Bukan begitu makcik. Abang Anip tu bekerja sendiri dan … dia kan gigih bekerja. Kelong sangkar ikannya tu penuh ikan. Kebun pisang dan kelapa yang diusahanya pun membawa hasil. Itu sudah lebih bermakna daripada kerja makan gaji. Habis bulan habis gaji”. Ziah cuba menyenangkan hati makcik Midah walaupun dia sendiri tidak yakin dengan apa yang dikatakannya itu.
“Alaa ... setakat ikan empat lima sangkar , kebun pisang dan kelapa tu , budak habis SPM pun boleh buat!”. Makcik Midah tidak bersetuju dengan Ziah.
Ziah bungkam. Ada benarnya kata-kata makcik Midah itu. Setakat kerja-kerja seperti itu , budak habis SPM pun boleh buat!. Tinggal lagi mahu atau tidak sahaja. Tiba-tiba  Ziah terdengar bunyi tapak kaki melangkah mendekati mereka dari belakang.
“Aduh ... janganlah abang Anip!”. Doa Ziah di dalam hati, tiba-tiba rasa malu pula jika abang Anip mendengar komennya tadi. Mahu tidak mahu ,Ziah memusingkan badannya
 dan ... bagai nak luruh jantungnya.
“Errr ... abang !” . Ziah serba salah. Langsung saja memerah pipinya , makcik Midah tersenyum-senyum melihatnya.
“Alangkah bertuahnya aku jika mereka bersatu!”. Kata hati makcik Midah.

Hanya pekebun bodoh je ... kan mak?
        Abang Anip memandang Ziah dan ibunya. Pandangan matanya jatuh pula pada gambar-gambar cerianya semasa majlis konvokesyen dulu. Gambar lama . Sejarah lama ... hampir empat tahun yang lalu!.
“Apalah agaknya reaksi abang Anip ni. Eee ... entah-entah dia dah dengar keluhan dan cemuhan makcik Midah tadi! Alamak habislah!!”. Fikir Ziah .
Cemas Ziah tidak berasas , reaksi abang Anip di luar jangkaan. Melihatkan gambar-gambar lama keluarganya dibuka , abang Anip terpanggil untuk menyertai Ziah dan ibunya ,  duduk bersama mereka dan turut sama menyelak-nyelak dan melihat setiap muka album.
Makcik Midah gembira ... sangat gembira melihat perubahan sikap anaknya , lebih-lebih lagi sejak Ziah hadir dalam keluarga mereka.
“Ya Ziah , apalah yang ada pada abang sekarang. Hanya pekebun bodoh je ... kan mak?”. Abang Anip menyindir ibunya. Ibunya diam.
“Ini gambar abang dulukan. Nampak ‘smart’!” . Ziah  mengubah tajuk perbualan. Cuba menceriakan suasana. Gambar abang Anip memakai jubah konvokesyennya itu ditunjukkan.
“Ye ke? Sekarang dah tak ‘smart’ lagi kan?”. Balas abang Anip sambil mengerling gambar yang ditunjukkan Ziah.
“Hmm ... betul tu , ‘smart’ dah jadi selekeh. Tapi baik hati!” . Ziah cuba berseloroh.
“Baik hati?”. Tanya abang Anip. Ziah mengangguk.
“Itu saja?”. Tanya abang Anip lagi. Makcik Midah tersenyum-senyum mendengar pertanyaan anaknya itu.
“Baikkk ...  sangat!!”. Jawab Ziah sambil memandang wajah abang Anip. Abang Anip tersenyum mendengarnya.
“Baik sangat saja?”. Tanya abang Anip lagi. Matanya memandang Ziah. Mulutnya tersenyum nakal. Ziah mati akal.
“Errr ... takpalah makcik , abang ...  Ziah minta diri dulu. Esok nak bangun awal!”.  Ziah meminta diri setelah rasa dirinya terperangkap dengan soalan abang Anip. Makcik Midah mengangguk. Setelah Ziah berlalu pergi makcik Midah memandang anaknya lalu menepuk bahu anaknya itu. Bagi Ziah pula , terasa malu diusik begitu ... Lebih-lebih lagi di hadapan makcik Midah!.
“Anip , Ziah tu baik budaknya. Emakpun sayangkan dia. Tolong jangan lepaskannya!” . Abang Anip hanya menyambut kata-kata penuh makna ibunya dengan senyuman

                               
 Pabila cinta mulai menyapa … dunia bagai syurga. Benarkah begitu?. Hakikatnya cinta juga boleh mengundang derita … mengukir luka paling dalam yang tak mungkin akan kebah …