Popular Posts

Saturday, 8 February 2014

"Keranamu DIAH": Bab 9



BAB 9:           SUATU PEMBOHONGAN

... dia sudah menunjukkan tanda-tanda positif ...
“Mie!” . Panggilan  doktor Anisah menghentikan lamunan Zuraimie. Zuraimie memusingkan badannya , memandang dan kini berdiri berhadapan dengan kakaknya itu.
“Kak , macam mana dengan Diah?  Adakah dia sudah sedar?  Boleh Mie tengok dia sekarang? ”. Tanya Zuraimie.
Tidak sabar-sabar untuk mengetahui keadaan gadis yang dicintainya itu.
“Masih terlalu awal. Walaupun begitu , dia sudah menunjukkan tanda-tanda positif. Berdoa sahaja lah. Dengan izin Allah , dia boleh sedar bila-bila masa”. Terang doktor Anisah.
“Huhhh ... Alhamdulillah!”.  Zuraimie menadah  tangan lalu meraup wajahnya sendiri tanda bersyukur. Doktor Anisah hanya memerhatikan perilaku adiknya itu.
“Mie , kakak nak cakap sikit”. Doktor Anisah bersuara lembut sambil menarik tangan adiknya , duduk bersamanya di kerusi di ruangan menunggu.
“Ya kak. Ada apa?” . Tanya Zuraimie. Akur dengan arahan kakaknya.
“Akak sebenarnya risau tengok engkau ni ”. Doktor Anisah membuka bicara.
“Risau?”. Tanya Zuraimie. Buat-buat tidak faham.
“Ya .  Sebenarnya dah  lama akak nak cakap pasal hal ni. Mungkin sekarang adalah masanya yang sesuai. Akak sebenarnya risaukan keadaan kau sekarang ni , sangat tidak terurus”. Doktor Anisah berhenti seketika , mencari riak di wajah adiknya. Zuraimie diam , menundukkan kepalanya sedikit sambil membuat muka yang membayangkan dia tidak berminat untuk meneruskan perbualan itu. Namun doktor Anisah tidak peduli ... dia meneruskan bicara.
“Semuanya disebabkan gadis itu kan.  Siapa sebenarnya dia padamu dik?”. Doktor Anisah bertanya. Sejak gadis itu dimasukkan ke hospital ini , Zuraimie telah berubah. Perubahan yang sangat ketara. Dia tidak lagi menghiraukan kuliahnya. Makan minumnya telah lama diabaikan. Apatah lagi keterampilan diri. Sudah tiada lagi Zuraimie yang periang , Zuraimie yang pandai mengusik. Zuraimie yang kemas dan sentiasa bergaya . Semuanya gara-gara gadis itu!.
“ Akak pasti anak dalam kandungannya itu bukan anak kau kan?”.  Soal doktor Anisah , terus sahaja bicaranya. Langsung tidak berlapik. Soalan  itu bagaikan bunyi kuat sebuah gong besar yang dipalu bertalu-talu  , memukul dan menggegarkan  ego kelelakian Zuraimie. Berubah air mukanya.
“Kak , boleh tak kita jangan membicarakan soal ini sekarang?”. Pinta Zuraimie.
“Mengapa tidak sekarang? Apa yang nak kau sembunyikan?. Akak ni doktor yang merawat dia. Akak ni juga kakak kamu. Akak sayang dan ambil berat pasal kau dik” . Sanggah doktor Anisah.
“Maafkan Mie kak , boleh tak kalau lain kali saja  kita bicarakan hal ini”. Pinta Zuraimie lagi , separuh merayu.
Baru saja dia mahu merasa gembira sedikit  dengan perkembangan Diah , kakaknya sudah mula membicarakan soal hubungannya dengan gadis itu.
“Boleh tu memang boleh , tapi sampai bila? Bila masanya kau nak berterus terang. Perlakuan kau tu penuh persoalan. Dahlah kau tidak hadir kuliah.  Akak juga dengar kau telah minta penangguhan ‘posting’.  Dah dua bulankan?. Bukankah kau  sudah sepatutnya melapor diri di Pekan , Pahang?”. Tanya doktor Anisah ingin tahu.
“Ya, kak ,  saya  sebenarnya  sedang membuat rayuan agar d tempatkan di sekitar Bandar Kajang ni sahaja ”. terang Zuraimie.
“Apa? , Maksudnya gadis ini memang sangat bermakna pada kaulah?. Sebab itu kau minta mengajar di sekitar sini , biar senang kau tengok dia?”. Kakaknya mendesak.
“Sedari mula dia dimasukkan ke sini lagi , kau sendiri telah meminta akak yang merawatnya. Demi kau akak ambil dia sebagai pesakit akak. Tidak cukup dengan itu , kau minta dia diberi layanan  istimewa . Itupun akak turutkan. Akak tak kisah dik kalau itu akan membuatkan  kau gembira. Tapi , apa yang buat akak kesal sangat sekarang ini ialah  perubahan sikap kau itu. Kau tengoklah diri kau sendiri. Setiap hari kau menghabiskan masa berjam-jam  mengadap dia. Perkara lain sudah tidak penting lagi buat kau”. Tegur doktor Anisah  .
“Apa ni kak? Apasal pulak akak tiba-tiba membebel panjang.  Tak bolehkah akak anggap semua  itu sebagai kebaikan  yang memang sepatutnya  diberikan oleh seorang doktor kepada pesakitnya?.  Mie tak laratlah nak dengar semua ini!”.  Zuraimie membantah , sebal hatinya mendengar leteran kakaknya itu.
“Dik , sedarlah. Kau harus buka mata. Berpijaklah di bumi nyata!. Akak sayangkan kau , akak tak nak kau hancur kerana dia”. Doktor Anisah menggoncang bahu adiknya.
“Kak , mie berpijak di bumi nyatalah ni. Mie sedar sangat yang mie memang telah mengabaikan banyak perkara tapi kak , apa yang Mie boleh buat?. Mie tak ada pilihan lain. Diah itu tanggung-jawab Mie sekarang!”. Jawab Zuraimie.
“Tanggung-jawab kau? . Akak tak faham. Dia itu bukan isteri mahupun tunangan kau. Berkasihpun tidak kan?” . Doktor Anisah tidak bersetuju dengan Zuraimie.
“Akak takkan faham!”. Jawab Zuraimie.
“Buat akak faham!”. Desak doktor Anisah.
“Belum masanya kak. Masa ini tidak sesuai!”. Jawab Zuiraimie ringkas.
“Tidak sesuai? Habis , bila masa yang sesuai?”. Desak doktor Anisah. Zuraimie diam.
“Kau fikir mengapa permintaan kau agar dia diberi layanan VIP itu dapat ditunaikan?” . Doktot Anisah mula mengungkit. Zuraimie terus diam.
“ Itu semua dapat ditunaikan kerana akak ni adalah doktor di sini. Faham?. Pihak pengurusan tidaklah begitu berkira sangat semata-mata kerana akak ni doktor di sini. Kau faham itu?”. Ulang doktor Anisah lagi.
“Jadi atas dasar itu tidak layakkah akak ini  tahu perkara yang sebenarnya?” . Doktor Anisah terpaksa mengungkit setelah berasa sakit hati dengan sikap diam adiknya itu.
“Akak ... tolonglah jangan mengungkit!. Akak anggap sajalah yang dia itu adalah bakal adik ipar akak , bakal isteri saya!”. Pinta Zuraimie dengan nada suara yang sedikit meninggi. Tidak tahan apabila terus didesak begitu.
“Baik!!. Bagaimana dengan bayi dalam kandungannya itu?. Itupun bakal anak kau juga?!!”.  Separuh memekik doktor Anisah menahan marahnya.
“Hah? Kenapa kau diam?. Cuba kau bagi tahu akak. Anak dalam kandungan itu anak kau? ... atau kau  nak akak buat pemeriksaan kepastian  ke atasnya?”. Doktor Anisah mendesak dan mengugut.  Dia memang tidak pernah percaya yang bayi itu adalah  hasil angkara  adiknya . Tidak mungkin adiknya serakah itu. Dia cukup kenal peribadi adiknya. Dia tidak mahu adiknya  menjadi mangsa keadaan. Sanggup menjadi pak sanggup demi menutup malu orang lain.
“Ya!. Ya ... itu adalah anak saya!!. Diah itu adalah teman istimewa saya. Kami terlanjur!. Sesiapa sahaja boleh terlanjur! Kenapa pula akak nak mempersoalkan tentang itu. Adik kakak ini memang telah terlanjur!! Puas?!”. Zuraimie berbohong. Terpaksa berbohong supaya tiada keraguan di hati kakaknya lagi.
Zuraimie mahu menghindarkan terus masalah lebih besar yang mungkin bakal timbul . Kakaknya harus menyebelahinya. Jika kakaknya sendiri  curiga , bagaimanakah pula dengan kedua orang tuanya nanti. Zuraimie sedar yang dia tidak mungkin akan dapat berkahwin dengan Diah jika tidak mendapat restu daripada kedua orang tuanya.
“Apa? . Bayi itu anak kau?.Akak tidak percaya!”. Doktor Anisah tetap tidak percaya dengan pengakuan adiknya. Dia kenal benar adiknya itu. Seorang yang budiman dan sangat mementingkan keluarga. Mana mungkin dia sanggup melakukan perkara terkutuk itu. Pasti ada cerita di sebalik semua ini.
“Mengapa tidak percaya?. Kan Mie dah berterus-terang yang bayi itu adalah anak Mie. Anak Mie kak. Jika Mie berdiam akak tanya , tapi bila Mie bagitahu perkara sebenar akak tidak percaya!. Habis , akak nak Mie kata apa lagi?”.  Zuraimie menegakkan benang yang basah.
“Baik! Jika betul bayi itu anak kau ... mengapa ketika kemalangan itu , gadis ini bersama lelaki lain?. Bukan dengan kau?”. Tanya  doktor Anisah , menguatkan hujahnya.
“Apa masalahnya kak?. Lelaki itu adalah Raziq. Dia teman sekuliah kami. Kebetulan malam itu , kami ada kerja kumpulan. Mereka itu baru keluar dari perpustakaan UKM kak. Mie pun ada di sana. Tinggal lagi masa itu tugasan Mie tak siap lagi. Jadi mereka berangkat dulu. Kami sama-sama dah berjanji nak berjumpa  di Kajang. Mujur Mie tak bersama mereka. Jika tidak , yang mati itu mungkin Mie sendiri kak!”. Zuraimie berbohong lagi.
“Huhh!!!”.  Dengus doktor Anisah. Tidak sanggup untuk mempercayai kata-kata adiknya itu.
“Tapi mengapa malam-malam masih nak ke Kajang?”.  Soal lagi doktor Anisah dengan nada suara yang semakin mengendur.
“Apa masalahnya kak. Kami sama-sama penat menyelesaikan  tugasan. Ingat nak makan-makan di Kajang sebelum balik berehat”. Zuraimie terus mereka cerita , berbohong lagi.
“Huhhh!!”. Keluh doktor Anisah , bagaikan tidak percaya.
“Kalian memang serakah! Tidak memikirkan keluarga dan orang lain!”.  Doktor Anisah akhirnya mengalah ,  kesal sungguh dengan sikap adiknya . Terduduk dia dibuatnya.
“Ya. Mie mengaku. Kami memang telah berbuat dosa. Kami memang bersalah. Tapi kami cuba untuk menebus kesalahan itu kak. Kini kami sedang menerima pembalasan atas dosa yang telah kami lakukan. Allah sedang menghukum kami kak!” . Cabul dan berani benar mulut Zuraimie berdusta menggunakan nama Allah.
“Hishhh. Beristighfar Mie. Bukan Allah yang menghukum kalian tapi hasil perbuatan kalian sendiri yang kini sedang menghukum kalian”. Sanggah doktor Anisah.
“Tidak kak , Mie rasa memang Mie telah ditakdirkan untuk melalui semua ini. Tapi kak , Mie akan bertanggung-jawab menjaganya! Menjaga Diah dan anak kami!”. Balas Zuraimie
“Takdir? Apa maksudmu?!”. Tanya doktor Anisah dengan nada sinis.
“Kak , dia perlukan perlindungan. Ibubapanya telah membuangnya. Bayi dalam kandungannya  itu perlukan ayahnya”. Tenang Zuraimie menjawab.
“Yalah tu. Tapi  jangan  pula sampai orang lain yang makan nangka , kau pula yang terkena getahnya ! ”. Balas doktor Anisah.
“Apa maksud kakak?”.  Tanya Zuraimie , terkejut dengan reaksi doktor Anisah. Sangkanya dia telah berjaya menyingkir keraguan di hati kakaknya itu.
“Mie , macam nilah. Akak ni bukannya bodoh. Bukan mudah  untuk kau nak memperbodohkan akak. Akak bukan baru satu hari kenal kau!. Persoalannya kenapa kau pula yang kena bertanggung-jawab atas perbuatan terkutuk orang lain?. Kenapa kau perlu berkorban untuknya. Kenapa? Cuba kau terangkan  pada kakak  kau ni. Kalau nak membantu , banyak cara lain lagi. Tak perlu sampai mengorbankan diri sendiri! Sampai terpaksa menipu! Ini  bukan caranya!!”. Doktor Anisah cuba membuka mata adiknya itu.
“Kak maafkan Mie ...”. Zuraimie mengalah. Tidak disangka penipuannya tidak berhasil. Memang kakaknya ini cukup hebat!.
“Hmmm  ...  Mie , akak ni sayangkan kau. Akak tak mahu kau menyesal di kemudian hari. Jangan diturutkan sangat rasa muda kau tu dik. Mengapa kau harus berkorban sampai begitu sekali?”. Doktor Anisah berkata lembut , memujuk dan cuba menyedarkan Zuraimie .
“Cuma ada satu sebab kak ...”. Jawab Zuraimie , teragak-agak.
“Apa? . Jangan kau nak bagi tahu akak yang kau mencintai dia!”. Balas doktor Anisah. Resah dengan apa yang mungkin dikatakan adiknya.
“Ya! Itulah sebabnya. Tiada sebab lain. Saya memang sangat mencintainya kak. Saya adalah lelaki malang yang telah terlanjur mencintainya!”. Zuraimie menjawab dengan nada kesal.
“Apa ? ... Zuraimie sedarlah . Perasaan kau itu boleh dipulihkan. Kau tak perlu menghukum diri kau sampai begini semata-mata kerana kau mencintai dia.  Anak dalam kandungannya itu membuktikan yang dia tidak mencintaimu dik!”. Terang doktor Anisah.
“Kau hanya bertepuk sebelah tangan. Dik , jangan jadi buta kerana cinta!”. Pujuk doktor Anisah. Dia tidak sanggup melihat adiknya menderita kelak kerana keputusan yang silap pada hari ini.
“Kak , tolonglah . Saya telah mencintai dia sejak dulu lagi. Silapnya saya ialah lambat dan tidak berani berterus terang lebih awal. Dia sebenarnya gadis yang baik. Sopan dan sangat menjaga maruah diri”. Terang Zuraimie memohon pengertian kakaknya itu.
“Yelah tu, kalau betul dia sangat menjaga maruah diri , mana mungkin dia boleh mengandung anak luar taraf sekarang. Sampaikan mak dan ayahnya sendiri tidak mengaku anak!”. Bidas doktor Anisah.
“Kak , bumi mana yang tidak ditimpa hujan ...”.  Jawab Zuraimie perlahan , cuba mempertahankan Diah.
“Lagipun Mie dah berjanji dengan Raziq yang Mie akan menjaga Diah dan anaknya itu”. Terang Zuraimie , cuba membuatkan  kakaknya itu mengerti.
“Maksud kau , budak lelaki yang mati itu adalah bapa kepada anak yang dikandungkannya?”. Tanya doktor Anisah. Zuraimie hanya mengangguk lemah.
“Ya Allah ...”. Doktor Anisah termenung seketika.
“Entahlah Mie , akak tak tahu nak kata apa lagi. Pokoknya akak tetap tidak bersetuju dengan keputusan kau ini. Engkau fikirlah baik-baik”. Balas doktor Anisah.  Doktor Anisah bangun dari duduknya , membetulkan pakaiannya lalu bergerak untuk meninggalkan Zuraimie. Tiada guna berbincang lagi. Nampaknya keputusan Zuraimie sudah bulat.
“Kak , tolong jangan bagitahu perkara ini kepada mak dan abah”. Pinta Zuraimie sambil menarik tangan kakaknya dari belakang.
 “Yelah ... tapi akak rasa akhirnya mereka akan tahu juga”. Jawab doktor Anisah. Langsung tidak memandang wajah adiknya itu. Geram dan kecewa.
“Betul ... tapi biarlah mereka tahu yang Mie adalah bapa kepada anak itu”. Pinta Zuraimie
“Ah! ... kau ni betul-betul gilalah Mie!”. Doktor Anisah merentap tangannya lalu berjalan laju meninggalkan Zuraimie. Kesal kerana tidak mampu membuka mata adiknya itu. Kesal juga kerana adiknya itu sanggup merancang untuk menipu kedua ibubapa mereka hanya kerana seorang perempuan. Perempuan yang sudah punah maruahnya!. Peempuan yang dibuang keluarga. Perempuan yang berbadan dua!. “Errghhh!!!”

           Kenapa kau dik?
                                Entah apa yang kau fikir?
                                Sanggup menutup matamu yang celik
                                Apa tak dapat cintanya kau singkir?
                                Lalu kembalilah kepada dirimu  oh adik ...
                                                                               
                                Oh adik!.

Sebaik sahaja doktor Anisah berlalu pergi , Zuraimie melangkah longlai menuju ke kamar Diah. Perbalahan dengan kakaknya tadi masih terngiang-ngiang di telinga.
“Yalah tu. Tapi  jangan  pula sampai orang lain yang makan nangka , kau pula yang terkena getahnya !”. Kata-kata kakaknya itu mengganggu perasaan.
“Kak , Mie pun tidak mahu begitu. Mie  tidak  pernah mahu menjadi wira penyelamat kesusahan dan pelindung kesilapan orang lain. Mie tak sudi menjadi pak sanggup atas perbuatan orang lain. Tapi apa daya mie kak. Mie tak ada pilihan. Hati ini telah terlebih dahulu memilih dia sebelum semua ini terjadi”. Zuraimie tersedu di hujung kaki Diah.
“Kak , hati Mie rasa amat  pedih  menerima takdir ini namun  hati ini bagaikan mati tanpa kehadirannya kak. Fahamlah kak , mie tiada pilihan lain melainkan menerimanya. Mie tiada pilihan lain melainkan memaafkan segala kesalahan dan menerima segala kesilapannya”. Zuraimie masih tersedu ...
“Diah , inikah harga yang harus ku bayar demi meraih cintamu. Mengapa kau begitu kejam terhadapku?. Mengapa Diah?. Mengapa kau begitu kejam padaku!”. Zuraimie meluahkan rasa hatinya kepada Diah yang masih diam tidak bergerak.
Benarlah bagai kata bijak pandai , cinta itu terlalu indah di mata hati hingga mampu menyesatkan mata akal manusia. Cuma yang menjadi persoalannya  , berbaloikah  Zuraimie berkorban untuk Diah ... gadis suci yang tewas dengan godaan cinta yang menyesatkan . Tersesat dan kini terperangkap  dalam jerat permainan cinta itu sendiri.
“Ya Allah!! Kalau boleh ku pinta , bebaskanlah aku dari belenggu cinta ini!!!!”. Jerit hati Zuraimie.



Berbaloikah Mencintaimu?

Bagaimana jika hanya aku
Erat memimpin tanganmu
Raub wajahmu nan sayu
Bisikkan kata penghapus pilu
Agah memikul sarat beban mu
Laungkan cinta nan memburu
Orak langkah satu persatu
Ingin memeluk milikanmu
Kelak bersama kita  memburu
Agar cita mekar mencapai mercu
Hidup selamanya abadi bersatu?

Malangnya ... mencintaimu
Entah bila hati kita kan bertemu
Naluriku  yang kian merindu
Capik rasanya menahan rasa melulu
Impian yang bagaikan tetap membisu
Nestapa dalam jiwa yang membeku
Takut andai nanti tika sampainya seru
Andai hatimu tidak lagi sesejuk salju
Impianku ... ingatku , akulah  pilihanmu
Mungkin tika itu ku sangka kau setuju
Uhh! Rupanya aku masih seorang perindu ...




 Ziah terluka ...
Petang itu Ziah sibuk mengemas barang-barang miliknya. Habis semuanya dimasukkan ke dalam beg , mana-mana yang tidak mahu disimpan lagi terus dicampak masuk ke dalam plastik sampah hitam. Semalam , hari terakhir peperiksaan. Maka tamatlah sudah program Diploma Pendidikan yang diikutinya selama setahun. Kini dia hanya perlu menunggu keputusan peperiksaan dan tempat ‘posting’nya sahaja.
“Moga-moga aku tidak ditempatkan di Sabah atau Sarawak. Jauh sangat tu. Tapi kalau dah memang rezeki aku di sana , nak buat macam mana. Pergi ajalah Ziah. Lagipun bukannya  ada sesiapapun lagi di sini untuk kau”. Ziah bercakap dengan dirinya sendiri , sedih dan kecewa dengan pelbagai perkara yang berlaku di hujung-hujung pengajiannya.
Sedang Ziah leka berkemas tiba-tiba tangannya terhenti , matanya tertumpu pada patung beruang yang terletak di sudut meja belajarnya. Itulah hadiah pemberian Diah , sempena hari jadinya yang ke dua puluh lima tahun pada bulan lepas.
“Nah!. Siapa kata aku tak ingatkan hari jadi kau”. Hulur Diah sambil menghadiahkan senyuman manis buat Ziah , sahabat baiknya itu.
“Hmm ... yelah tu. Hari jadi aku minggu lepas. Dah belated sangat dah pun!”. Ziah sengaja jual mahal.
“Alaa ... kira okeylah tu. Belated seminggu jea. Ambillah , penat aku pilih tau. Ni warna ‘pink’ ni warna kesukaan aku. Beruang ni pula aku bagi kau untuk kau peluk masa tidur. Alah ... untuk sementara kau belum ada ‘beruang besar’ untuk dipeluk!”. Usik Diah sambil menyondol-nyondolkan patung beruang itu kepada Ziah.
“Eeee ... mulut tu!”. Jerit Ziah sambil cuba menepuk mulut Diah sebelum kedua-duanya tertawa lalu patung beruang itu segera bertukar tangan.

“Huh! Diah aku rindukan kau”. Bergenang air mata Ziah mengingatkan temannya itu.
“Diah ... kenapa nasib kita jadi begini?. Kau koma , tidur lena dan bagaikan tidak pedulikan apa-apapun. Tak ada apa lagi masalah yang perlu kau fikir. Sedang aku ... kecewa dan terus – terusan kecewa. Aku kecewa Diah!. Orang yang aku cintai sepenuh jiwa raga tidak mungkin menyahut cintaku lagi. Semuanya sudah musnah. Harapanku , impianku , cintaku semuanya sudah hancur berkecai. Sudah tak mungkin dapat disatukan lagi.  Semuanya kerana ... kerana kau , sahabat baikku sendiri. Aku  yakin ,  kau sendiri tidak mahu perkara ini terjadi tapi hakikatnya memang inilah yang terjadi. Semua kepedihan dan kesedihanku kini adalah kerana kau. Kerana kau Diah!!”. Rintih Ziah , air mata mengalir tanpa diundang. Anak patung beruang dipeluk kemas. Masih jelas dalam ingatan Ziah peristiwa dia merendahkan maruah diri , mengenepikan ego dan membuang malunya jauh-jauh demi menagih secebis kasih yang pernah ditawarkan untuknya tetapi kemudiannya direnggut  begitu saja.
 “Ziah, bagaimana awak boleh membicarakan soal cinta ,  sedangkan sahabat baik awak sendiri sedang  terlantar tenat  di hospital?!”. Itulah respon Zuraimie ketika dia memberanikan diri membuka mulut untuk berterus-terang tentang perasaannya.
“Ziah , awak sedar tak , sekarang ini Diah sangat memerlukan kita. Diah masih koma. Dia sangat memerlukan sokongan kita sebagai sahabatnya sekarang!”.
“Tapi ....”.  Ziah cuba mempertahankan tindakannya.’Alang-alang menyeluk pekasam’ , maksud di hati harus disampaikan juga.
“Cukup! Tak perlulah diperpanjangkan lagi perbualan ini” . Zuraimie segera memotong kata-kata Ziah lalu terus berpaling membelakangkan Ziah. Melihatkan reaksi Zuraimie itu , Ziah rasa terdesak ...
“Tidak ! Awak harus dengar. Apapun saya terpaksa  nyatakan perasaan saya ini kepada awak. Saya tidak kesahpun akan akibatnya. Apa yang penting , perkara yang terbuku di hati ini dapat diluahkan. Selebihnya terserahlah kepada awak untuk membuat keputusan”. Ziah tetap dengan pendiriannya.
Zuraimie terdiam mendengar kata-kata Ziah. Tidak pernah disangkanya , cukup kuat perasaan gadis ini  terhadapnya sehingga sanggup merendahkan diri sampai begitu sekali. Timbul rasa simpati di hatinya. Zuraimie sedar , Ziah gadis yang baik dan luhur pekerti. Ziah memang tidak patut dilayan sebegitu rupa. Memang  salahnya kerana telah terlanjur memberi harapan. Dia yang dahulu membuka langkah , mengetuk pintu hati gadis ini namun setelah pintu itu terbuka luas untuknya ... segalanya berubah.
Ya , setelah Raziq pergi buat selama-lamanya segalanya telah berubah. Berubah 360⁰!. Dia tidak mungkin meneruskan langkahnya walau setapak untuk memasuki kamar hati Ziah malah hati mana-mana gadis lainpun. Hatinya kini hanya untuk Diah , gadis yang sangat dicintainya sejak dulu , gadis yang kini sendirian dan terbaring tidak bermaya dan berdaya ...
“Ziah , sebenarnya saya sangat menghargai dan menghormati awak tapi ... seperti yang awak sendiri tahu , hati saya ini memang sejak dulu lagi sentiasa menjadi milik Diah. Memang saya bersalah  kerana  telah terlanjur memberi harapan kepada awak. Saya tidak sangka keadaan akan jadi begini. Dalam keadaan Diah sekarang , saya tidak mungkin menerima insan  lain. Maafkanlah saya”. Jawapan Zuraimie itu bagaikan halilintar menyambar dan membakar hangus hati dan perasaan Ziah. Setelah sekian lama dia menyimpan perasaan terhadap Zuraimie , ini hasilnya.  Cintanya ditolak mentah-mentah!!.
“Tapi Zuraimie , mengapa hati awak begitu mudah berubah?.  Apa ... tidak bermaknakah segala yang telah kita lalui bersama? Atau ... saya ini hanyalah satu persinggahan?”.  Tanya Ziah meminta kepastian.
“Ziah , maafkan saya. Asalnya saya memang ikhlas terhadap awak , saya sangka dengan terbinanya hubungan kita nanti kekecewaan di hati saya ini akan terubat. Sumpah Ziah , sekiranya saya terlebih dahulu mengenali awak , pasti awak yang menjadi pilihan. Setelah gagal memiliki cinta Diah, saya pasrah.  Saya cuba mencari kebahagiaan saya sendiri. Sebab itulah saya beralih kepada awak kerana saya tahu awak adalah gadis yang baik tapi ... keadaan sekarang sudah berubah ...”. Zuraimie tidak tergamak meneruskan kata-katanya.
“Oh jadi selama ini saya hanyalah akar yang hanya berguna ketika  rotan tiada. Begitu?. Awak memikat dan memainkan perasaan saya sedangkan hati awak masih kepada Diah?”. Tanya Ziah lagi , teresak-esak dia jadinya setelah menyedari yang dirinya tak ubah seperti melukut di tepi gantang.
“Ya. Saya mencintai Diah. Maafkan saya Ziah!”.  Jawab Zuraimie , jujur. Tiada guna berlapik lagi , kekadang kebenaran itu memang amat menyakitkan namun ianya tetap jauh lebih baik daripada suatu pembohongan.
“Mie, awak tahukah yang Diah itu tidak pernah mencintai awak. Diah hanya mencintai Raziq. Bukan awak!”.  Balas Ziah , cuba membuka celikkan mata hati dan akal Zuraimie.
“Ya , itu saya tahu. Tapi kini Raziq sudah tiada. Diah pula koma. Saya rasa bertanggung-jawab untuk melindungi dia”. Jawab Zuraimie.
“Jadi awak menolak cinta saya kerana Diah? Semuanya kerana Diah?”.Tanya Ziah lagi.
“Tidak. Bukan begitu. Saya menolak cinta awak tiada kena mengenanya dengan Diah. Saya menolak cinta awak kerana saya sedar kini yang saya sememangnya tidak pernah mencintai awak. Tidak pernah!. Semua yang berlaku antara kita adalah satu kesilapan. Silap saya. Salah saya. Maafkanlah saya Ziah”. Zuraimie sangat berharap  Ziah faham dan dapat memaafkannya.
“Jadi segala yang berlaku antara kita ... itu semua satu kesilapan?. Setelah awak memberikan harapan , awak sesukanya merampasnya begitu saja dan awak katakan kepada saya bahawa semua itu adalah satu kesilapan?”. Balas Ziah , dia benar-benar kesal dengan apa yang didengarnya.
“Ya. Maafkan saya. Semua itu adalah satu kesilapan.  Saya hanya mencintai Diah. Maafkan saya Ziah , maafkanlah saya”. Jawab Zuraimie perlahan , dia sendiri kesal dengan apa yang terjadi.
“Awak tetap memilih Diah walaupun awak tahu dia tidak pernah mencintai awak walau secebispun?”. Tanya Ziah dan Zuraimie hanya mengangguk.
“Awak tetap memilih Diah walaupun awak sendiri tidak pasti sama ada dia akan sedar semula atau tidak?”. Tanya Ziah lagi dan Zuraimie tetap  mengangguk.
“Awak tetap memilih Diah walaupun awak tahu yang dia sedang berbadan dua?”. Zuraimie terus mengangguk.
“Awak tetap memilih Diah walaupun awak tahu yang dia sedang mengandungkan anak Raziq?”. Ziah masih tidak berpuas hati sehingga terlepas kata namun Zuraimie tetap dan terus mengangguk.
 Ziah menutup mulutnya. Air matanya mengalir semakin deras. Terasa bangsat sungguh dirinya. Diah yang sudah ditebuk tupai itu masih tetap dipilih berbanding dirinya. Dia kini telah tewas ... tewas di tangan sahabat baiknya yang tidak mengerti apa ...
“Ya. Saya tetap mencintai Diah walaupun saya tahu yang Diah sedang mengandungkan anak Raziq!”. Pengakuan ikhlas Zuraimie memukul hebat harga diri Ziah.
Ziah akhirnya akur. Sungguhpun begitu , Ziah tidak pernah membenci Diah malah akan tetap menyayanginya.  Ziah juga  tidak pernah rasa bersalah terhadap  cintanya ini , malah Ziah sedar , Zuraimie hanya bertepuk sebelah tangan!.

“Meoww!!!”. Bunyi kucing mengiau di luar rumah menyedarkan Ziah dari lamunannya. Pantas air mata yang mengalir disapu dengan tangan yang sedikit berdebu. Tiba-tiba sehelai kertas tisu dihulurkan kepadanya. Ziah mengangkat kepala lalu mengerutkan kedua keningnya apabila terpandangkan Ba’ie. Rupanya tanpa disedari Ziah , Ba’ie yang berada di ruang dapur sedari tadi memerhatikan sikap dan perilaku Ziah melalui pintu bilik yang terbuka.
“Tangan kau tu berabuk. Nanti rosak pula mata tu”. Kata Ba’ie sambil terus menghulurkan tisu.
“Tak apalah ... aku dah okey. Simpan sajalah tisu kau tu”. Balas Ziah. Entah mengapa dia masih tidak boleh menerima perbuatan Ba’ie yang meluru menamparnya di hadapan Zuraimie pada malam kejadian Diah kemalangan tempohari.
“Setelah kau tahu yang tiada siapa di antara kita yang mampu mendapatkan cinta Zuraimie barulah kau mahu berbaik-baik dengan aku!”. Fikir Ziah di dalam hatinya. Dahinya masih dikerutkan. Tambahan pula sedikit sebanyak dia termakan juga kata-kata Diah yang mengingatkannya agar berhati-hati dengan Ba’ie.
Dia itu umpama gunting dalam lipatan , hati-hati!”.
“Ya Diah , betul kata kau itu , dia itu umpama gunting dalam lipatan”. Ziah berkata perlahan , dia tidak pedulipun jika Ba’ie yang masih di situ mendengarnya.
“Ziah , maafkan aku. Aku tahu aku dah melampau menyakiti hati kau. Malah aku juga sudah turut campur dalam kehidupan kau. Aku benar-benar menyesal dan aku minta maaf”. Kata Ba’ie perlahan. Ba’ie menyesal kerana angkaranya jugalah Ziah akhirnya begitu senang dibuang jauh dari hati Zuraimie.
“Kalaulah kau tahu aku yang bermain ‘sms’ dengan Zuraimie ... kalaulah kau tahu segala perbuatan burukku ...”. Kata Ba’ie dalam hatinya , pengakuan yang hanya berani diluahkan di dalam hati. Ba’ie tertunduk , kesal benar hatinya atas segala yang pernah dilakukannya terhadap Ziah , rakan serumahnya sendiri.
“Sudahlah Ba’ie . Aku tidak berminat dengan ‘maksud’ di sebalik kata-kata kau itu. Apapun yang telah kau lakukan di belakangku , semuanya itu sudah tidak bermakna lagi. Aku tak mahu tahu apatah lagi mengingati kisah lalu. Hmm ... masih banyak yang harus aku kemas. Kalau boleh aku tidak mahu diganggu”.
Ba’ie faham maksud kata-kata Ziah itu , dengan langkah longlai dia melangkah keluar ... “Maafkan aku 

Ziah!”. Itu sajalah kata-kata terakhir yang dapat dilontarkannya buat rakan serumah yang pernah 

dikhianatinya ..

No comments:

Post a Comment