Popular Posts

Saturday, 8 February 2014

Konflik dalam jiwa

 Kerap sekali dalam kehidupan ini , kita berhadapan dengan pelbagai konflik yang menimbulkan dilema. Adakalanya bagai tidak mampu dirungkai.
Konflik , apakah itu?.
Konflik dalam masyarakat merujuk kepada pertentangan kepentingan yang berlaku dalam dua atau lebih kelompok ahli dalam masyarakat itu sendiri manakala konflik dalam organisasi , sama saja situasinya dengan konflik dalam masyarakat cumanya pihak yang terlibat dalam konflik itu boleh jadi individu-individu tertentu atau juga kumpulan-kumpulan kecil yang berpecah akibat perbedaan pendirian , kepentingan atau pemikiran dalam sesuatu organisasi itu sendiri.

Bagaimana pula dengan konflik dalam diri?
Pertentangan dan perbedaan apa yang boleh berlaku dalam diri seorang manusia?
Adakah pertentangan antara akal dan hati?.
Pertentangan antara akal dan iman?.
Pertentangan antara akal dan emosi atau perasaan?.
Pertentangan antara akal dan nafsu?.
Semuanya dikaitkan dengan akal! akal! akal!. Akalkah puncanya?
Sudah tentu akallah puncanya kerana akal  merupakan kekuatan seorang manusia itu untuk membuat sesuatu keputusan berdasarkan realiti atau kenyataan dan bukannya berdasarkan  emosi atau mainan perasaan!

Sebagaimana terjemahan berikut ; "Dan mereka berkata : ' Sekiranya kami mendengarkan atau memikirkan (peringatan itu) nescaya tidaklah kami termasuk penghuni-penghuni neraka yang menyala-nyala' " ; Al Mulk :10
Pastinya untuk mendengar , menganalisis dan mentafsir sesuatu merupakan aktiviti pemikiran yang tugasnya dilaksanakan oleh akal.

Akal yang dipandu oleh nafsu , emosi dan perasaan sering saja menjerumuskan manusia  ke arah kebinasaan. Kebinasaan yang merosakkan kehidupan di dunia mahupun kehidupan akhirat. Seronoknya yang bersifat sementara sedangkan semua itu hanyalah keseronokan yang memperdaya. Maka seharusnya akal dipandu oleh iman yang bertunjangkan rukun iman yang enam ; beriman kepada Allah , para malaikat, kitab-kitab , rasul-rasul , hari kiamat dan  Qada & Qadar.

Aku mahu membicarakan soal ini kerana berdasarkan pengalaman hidupku yang tidak seberapa , pemerhatianku dan pemikiranku tentang perjalanan hidup seorang manusia yang sering saja terlibat dalam konflik. Konflik yang jika tidak ditangani dengan baik akan memberikan hasil yang buruk.

Ku selitkan kisah konflik jiwa seorang gadis  17 tahun yang malang (Pada pandanganku). Aku terpanggil untuk mengenalinya setelah mendapat serba sedikit maklumat tentangnya melalui mesyuarat kurikulum di tempat aku bertugas.
Dia merupakan salah seorang calon gagal SPM kerana masih 'buta huruf' sungguhpun sudah berada di tingkatan lima. Gerak hatiku mendorong aku mengambilnya sebagai 'murid angkat' di mana pada waktu-waktu aku tidak mengajar , dia akan ku panggil keluar dari kelasnya untuk belajar membaca denganku. (Apa gunanya belajar pelbagai teori pembelajaran sekiranya perkara asas iaitu membacapun masih belum dikuasainya)

Pertemuan demi pertemuan dan pelbagai cara yang ku yakini boleh membantunya aku lakukan. Aku ajak dia bercerita (Kerana dia seorang yang sangat pendiam dan susah untuk membuka mulut) , aku ajak dia menyanyi lagu a-b-c seperti anak-anak tadika , sesekali aku belikan dia cokelat atau makanan lain yang aku yakin dia jarang dapat merasanya ( Kerana  hidupnya susah , baju sekolah yang ada hanya  sepasang , wajahnya langsung tidak berhias dan terjaga , giginya juga kekuningan malah ada kalanya aku terpaksa menahan nafas apabila duduk di sebelahnya-kasihan dia). Bayangkan segala kekurangannya itu telah menyebabkan dia dipinggir oleh rakan sekelas yang lain. Bukan salah mereka tetapi sikap gadis ini sendiri yang mungkin terlalu rendah diri menyebabkan dia sendiri tidak selesa bergaul dan lebih suka menyendiri.

Amat tersentuh hatiku apabila dalam salah satu pertemuan kami , dia akhirnya telah mencurahkan apa yang terpendam dalam hatinya selama ini. Pada pertemuan itu , aku telah memberikannya sehelai kertas dan meminta dia memilih satu tajuk dan menulis karangan mengenainya. Tidak perlu banyak dan panjang cukuplah jika hanya seperenggan. Malangnya dia tidak mampu menuliskan apa-apapun kerana ternyata dia amat lemah dan tidak berupaya melaksanakan tugas yang mudah itu. Akhirnya aku meminta dia menuliskan sahaja karangan tentang dirinya. Antara ayatnya yang masihku ingat ... " ... saya tak sabar nak jumpa ayah yang akan keluar tak lama lagi...". Sedih ketika membaca rintihan dan kerinduan hati gadis malang ini.

Habis membaca dan memperbaiki kesilapan di sana sini , baki masa yang ada aku gunakan untuk bercerita dan berbual tentang diri dan kisah hidupnya. Apa yang aku dapat?
Ketika dia masih kecil (sekolah rendah) , sedang dia bersama ibu , kakak dan ayahnya menonton televisyen  di rumah  tiba-tiba pintu rumah diketuk orang. Setelah dibuka terdapat dua orang polis yang akhirnya mengarahkan ayahnya mengikut mereka ke balai atas tuduhan jenayah seksual.
Ayahnya dituduh merogol anaknya sendiri (kakak gadis itu) hingga menyebabkan kakaknya itu mengandung (Aku tidak pasti siapakah yang membuat laporan polis kerana aku tidak tergamak  hendak bertanyakan kisah yang memilukan ini secara terperinci. Aku lebih banyak mendengar luahan rasa yang dipendam oleh gadis ini)
"Saya tak percaya ayah lakukan  sebab ayah baik cuma ayah banyak hutang. Lagipun baby yang lahirtu hitam sangat tak macam rupa ayah langsung".
"Nasib baik baby tu mati lepas lahir".
"Kakak tetap cakap ayah yang rogol dia. Saya tak percaya tapi kakak tetap cakap ayah yang buat. Takkan kakak tipu".

Aku terdiam lama , cuba memahami dan menganalisa  cerita gadis ini. Hatiku mula membuat pelbagai andaian tentangnya.
"Ayahnya jual anak demi menebus hutang-hutangnya?"
"Ayahnya merogol anaknya dahulu sebelum menyerahkan kepada sipemiutang?"
"Ayahnya memang tidak berguna dan sanggup melakukan apa saja demi wang!"  atau mungkin
"Ayahnya difitnah dan berlaku kesilapan dalam siasatan yang dijalankan!"
Tapi patutkah aku mencemarkan ingatan baik seorang anak kepada ayahnya dengan pelbagai andaian yang kubuat?
Atau patutkah aku membiarkan saja gadis ini bertemu dan bermanja dengan ayahnya seperti zaman kecilnya dulu tanpa prasangka? (Memang inilah yang dirindukan gadis ini kerana setelah ayahnya dijatuhkan hukuman , ibunya akhirnya berkahwin lain dan gadis ini 'rasa terbiar' dan diabaikan).

Aku mengambil keputusan untuk menyimpan semua andaianku itu dalam hatiku. Lagi pula siapalah aku untuk mengadili serpihan-serpihan cerita dari seorang gadis yang sepi dan lebih banyak hidup di alamnya sendiri. 'Cerita'nya itu membuatkan aku lebih berazam untuk memastikan dia boleh membaca dan mampu berfikir dengan baik.
Akhir pertemuan hari itu kusisipkan dengan kata nasihat agar dia sentiasa menjaga dirinya , berfikir untuk kebaikan diri dan perbanyakkan berdoa kepada Allah kerana Allah itu Maha Mendengar lagi Maha  berkuasa atas segala sesuatu. Sebaik-baik tempat berlindung dan penggantungan.
Aku juga menggantungkan harapanku kepadaNya agar gadis ini dipelihara dari segala bahaya ...
(Hingga kini aku masih lagi terfikir-fikir tentang nasib gadis ini. Sungguhpun sudah lebih lima tahun , aku masih bertanya pada diri , apa itukah saja perkara terbaik yang mampuku lakukan untuknya?)

Itu baru satu kisah , banyak lagi kisah-kisah konflik hidup anak-anak muridku yang boleh saja kukongsikan di sini cumanya mataku sudah mengantuk. Jam sudah menunjukkan pukul 2:34 pagi. (Mungkin lain kali jika aku menulis).
Sebenarnya jika boleh ingin sekali aku menyentuh hati anak-anak muridku yang sepi , terabai dan terbiar. Biar kupujuk dan kubimbing hati-hati itu ke arah mengenal tuhannya , penciptanya.
Ingin aku tanamkan dalam jiwa mereka agar redha dengan ketentuan takdir yang ditentukan Allah kerana sesungguhnya Allah Maha Mengetahui apa yang ada di belakang dan di hadapan kita hambanya. Serahkanlah dirimu kepadaNya kerana itu adalah sebaik-baik penyerahan.

Malangnya , mana mungkin dapat aku lakukan semua itu jika diriku sendiri sering saja dilanda konflik yang ada kalanya mendurung akalku membuat keputusan yang salah. Maka kusisipkan pesanan ini buat diriku sendiri ...

Wahai diri redhalah dengan ketentuan takdirmu
Wahai hati tabahlah menempuh jalanmu
Wahai rasa yang sering saja bergelora tenanglah kau
Wahai akal kawallah emosiku selalu agar jangan memberontak
Wahai iman ingatkanlah aku bahawa dunia ini bukan syurga
Maka diri ... belajarlah menerima takdirmu dengan rasa syukur
Duhai Allah tuhanku ... kuatkanlah aku dan janganlah Kau biarkan aku lemah ...



2 comments:

  1. Konflik insan sering dikaitkan dengan sesuatu keinginan yang ada dalam diri tetapi tidak selari dengan nilai-nilai yang dipegang. Seorang anak kecil yang berkeinginan untuk bermain bersama kawan sejiran akan berkonflik dengan ibunya yang melarang keinginannya. Seorang ibu yang bijak akan cuba mengendurkan konflik dengan anaknya dengan memberikan pilihan yang lebih baik. Harusnya jika konflik itu berlaku dalam diri kita, mugkin kita perlu berfikir seperti ibu yang bijak tersebut.

    ReplyDelete
    Replies
    1. Hmm...berfikir seperti ibu yg bijak tersebut...semmgnya kmhrn bfkr n mbuat kptsn itu perlu dipupuk sedari kecil. Kegagalan yg srg kuperhatikan pd anak2rmj ialah sikap mls berfikir n tidak prihatin (sambil lewa ) dlm menguruskan kehidupan menyebabkan mereka selalu membazirkan potensi n peluang yg ada. Mrk lebih senang melalui hari demi hari begitu saja.

      Delete