Popular Posts

Wednesday, 29 January 2014

"Keranamu DIAH" (Bab 2)



BAB 2 :          AKU DIPIKAT          
Manalah bas ni ?
            Hari ini adalah ‘hari lewat’ Diah. Diah terlewat bangun pagi , lewat ke bilik air dan lewat bersiap. Akibatnya , Diah terlewat sampai di Perhentian bas. Bas ‘subsidi’ pelajar telah lama berlalu meninggalkannya  sendiri dan masih tercegat  menanti perkhidmatan bas awam yang entah bila akan tiba.
“Hai … lambat lagi!. Manalah bas ni? ”  Keluh Diah sendirian. Kesal sungguh kerana tidak terus bangun ketika Ziah mengejutkannya  subuh tadi.
“Agaknya pemandunya sakit perut … takpun tayar bas  pancit!. Eeee geramnya. Dahlah lambat ni. Matilah aku kali ni. Mesti kena bebel panjang dengan Dr Imran!”. Getus Diah  sambil tangannya menggaru-garu kepalanya yang tidak gatal. Matanya pula asyik mengerling jam di tangan.
 “Aduh!. Dah pukul 10:20. Tinggal 10 minit je lagi . Sempatke ni ?” .Risau dan gelisah. Risau dan gelisah apabila membayangkan reaksi Doktor Imran jika dia lewat lagi hari ini. Doktor Imran sama saja seperti  pensyarah yang lain , mereka semua cukup pantang  melihat pelajar lambat sampai ke kuliah.
“Kamu semua bakal menjadi seorang guru. Mana mungkin kamu dapat menjadi guru yang baik jika disiplin diri pun kamu tidak mampu jaga!. Nanti apabila murid kamu datang lambat ke sekolah , tentu kamu juga tidak akan suka! Jangan pulak esok , kamu pun sama lambatnya dengan murid kamu. Ingat perlakuan kita lebih mudah diikuti berbanding kata-kata , ‘Action works lauder than words!”. Itulah sindiran yang pernah diterimanya semasa lambat ke kuliah Dr Imran bulan lalu.
“Fuhh!. Bernanahlah telinga aku hari ni mendengar sindiran Dr Imran!”. Diah semakin tidak tentu arah , sekejap duduk dan sekejap bangun. Jam di tangan sudah berkali-kali dikerling namun bas ‘merah’ masih juga tak nampak bayang..
Dalam keresahan itu , tiba-tiba sahaja sebuah kereta kancil bewarna putih berhenti betul-betul di depan Diah. Cermin kereta diturunkan. Diah terus berdiri menanti untuk melihat siapakah siempunya kereta dan apa mahunya berhenti betul-betul di hadapannya.
“Hai … Diah kan ?”. Pura-pura bertanya. Sudah gaharu cendana pula!
“Tentu nak ke kuliah Dr. Imran. Marilah … kuliah dah nak mula ni”. Raziq mengajak dengan senyuman manis menguntum di bibir. Diah tergamam seketika , hatinya  berdebar kuat , jantungnya  bagaikan nak luruh. Terus teringatkan puisi yang ditulisnya malam tadi! 
‘Kau pasti terharu kerna ianya sejak dulu
Aku cinta kamu tanpa jemu’


Dua baris puisi itu kuat  tertanam  dalam ingatannya  dan kini sudah menjadi nyanyian jiwanya.
“Eeee  kenapalah kau muncul pada saat ini?. Aku tak bersedialah!!” . Jerit hati Diah. Sungguhpun Diah mencintai lelaki ini dalam diam namun bukan sikapnya untuk mudah rapat dengan mana-mana lelaki. Apatah lagi untuk berdua-duaan. Diah teragak-agak ...
“Tidak mengapa , naiklah. Kita cuma nak ke kuliah. Lagipun saya juga nak menghadiri kuliah yang sama. Marilah , kita dah lambat ni!”. Ajak Raziq bersungguh-sungguh. Inilah peluang keemasan yang tidak mungkin akan dilepaskannya.
Perjalanan  beribu batu  jauhnya bermula dengan langkah pertama’.
Diah terperangkap dalam jerat hatinya sendiri!. Siapa tahu , langkah pertama ini adalah permulaan  seribu cerita yang bakal terukir dalam sejarah hidup Diah.
Dalam keadaan teragak-agak Diah akhirnya  melangkah  masuk juga ke dalam perut kancil putih. ‘Rezeki jangan ditolak , maut jangan dicari’. Lagi pula dalam keadaan ‘darurat’ seperti ini , Diah merasakan tiada salahnya dia menumpang Raziq ke kuliah , hanya untuk ke kuliah!
“Terima kasih kerana sudi tumpangkan saya”. Bersopan Diah memulakan bicara. 
“Tak ada apanya , I pun ambil kursus Dr. Imran. Kursus yang sama. Maknanya  kita ni rakan sekuliah. Jadi memang patutkan I tumpangkan you”. Jawab Raziq sambil tersenyum.
“Awak pun ambil kursus ni?”. Tanya Diah. Cuba menghilangkan gugupnya. Malu jika dapat dikesan oleh Raziq.
“Ya , you tak pernah perasan kan I  ke ?”. Tanya Raziq , jujur.                                                                                                                           
“Mmm lebih 100 pelajar sekali kuliah , manalah nak perasan. Lagipun  awak  bukannya  begitu popular! Heee”. Jawab Diah , cuba bergurau.
“Sekurang-kurangnya dapatlah ‘cover’ debaran hatiku yang melampau ini!”. Bisik hati Diah. Raziq tersenyum mendengarnya. Tidak disangkanya yang Diah akan berkata begitu , “Nakal!” . Fikirnya                                                                                                        
“Mmm  betul jugak tu ...  tapi kenapa ye , I sentiasa perasan kan you. Perhatikan you , selalu saja lewat ! ... and you selalunya bersama kawan baik you tu ,  Ziah kan ? Tapi  kenapa hari ni sendirian pula?”. Begitu banyak soalan yang Raziq  tanyakan sekali gus.                                                                                   
Diah terdiam seketika , terkejut kerana tidak menyangka bahawa dirinya sering diperhatikan.
“Oh! . Bertuahnya saya kerana ada orang yang perasankan  kewujudan saya ni”. Diah berkata ikhlas. Bibirnya mengukirkan senyuman. Tiba-tiba Diah rasa sungguh bertuah!.  Bertuah mendapat perhatian daripada sidia yang sememangnya telah bejaya mencuri hatinya sejak lama dulu. Hilang sudah resah , timbul rasa selesa dan teruja.
“Betul ... saya sering bersama Ziah. Tapi  Ziah tak ambil kursus ni. Dia budak Math. Dia tak minat lukisan dan puisi. Yang awak  nampak tu sebenarnya Ba’ie , cuma hari ni dia balik kampung. Abang dia kahwin , lusa baru balik sini. Kira ponteng lah tu .” Sambung Diah.
“Oh gitu ...”. Balas Raziq.
“Hmm ... baguslah Ba’ie balik kampung , bolehlah kita luangkan masa ni berdua. Hanya kita!”. Kata hati Raziq , tersenyum.
 Akhirnya kereta kancil putih itu membelok ke perkarangan bangunan Fakulti Pendidikan. Raziq menekan brek perlahan-lahan.
“Hai  kenapalah cepat sangat dah sampai!”. Fikir Raziq dan tanpa disedarinya , Diah juga memikirkan perkara yang sama!.
“Dah sampai pun kita. Jom”. Ajak Raziq. Mereka keluar dari perut kancil putih  lalu berjalan beriringan. Berjalan lambat-lambat tanpa sebarang kata , sesekali menoleh ke arah satu sama lain sambil tersenyum manis.
Sebaik sahaja sampai di muka pintu dewan kuliah , Diah menghentikan langkahnya. Raziq pun sama. Mereka saling berpandangan , Diah memandang wajah tampan Raziq manakala Raziq merenung wajah ayu comel milik Diah. Mata mereka bertentangan. Hati mereka berkata – kata.
“Errr ... Terima kasih. Jumpa lagi!”. Diah tersenyum sebelum terus berlari anak masuk ke dalam dewan kuliah , meninggalkan Raziq sendiri . Diah tidak mahu dilihat bersama Raziq. Apatah lagi duduk di sebelah lelaki itu. Diah tidak mahu orang melabelkannya sebagai ‘sudah berpunya’. “Malu , pasti malu jadinya”. Fikir Diah.
Raziq pula hanya mampu memandang , tidak sempat membalas ucapan Diah.
“Tak mengapa sayang … tunggu lah , satu hari nanti kau pasti menjadi milik ku”. Bisik hati kecilnya.  Tersenyum sendiri sebelum melangkah ...

Sekuntum Mawar Merah ...
Seminggu telah berlalu sejak peristiwa Diah  menumpang kereta Raziq.  Tiada perkembangan baru dalam hubungan mereka. Hari ini seperti biasa , setelah tamat kuliah dan sementara menunggu kuliah yang seterusnya lebih kurang  satu  atau dua  jam lagi , Diah terus ke perpustakaan. Selalunya Ziah akan sedia berada di sana.
“Aduhai , banyak betul ‘assignment’ hari ini.  Mana nak buat dulu ye?. Pengurusan sukan sekolah atau lukisan tona warna?. Pengurusan sukan , bosanlah. Hmm mulakan dengan sesuatu yang menyeronokkan , lukisan tona warna!. Senang , lepak dan menghiburkan”. Diah mencongak-congak akan tugasan yang perlu disiapkannya hari ini.
             Sebaik masuk saja ke perpustakaan , Diah terus ke tempat biasa.  Matanya terus mencari-cari bayangan Ziah. “Alahai … tak de pulak si Ziah ni. Tempat kamipun dah diambil orang. Huh! Tak best  betul lah hari ini!”. Keluh Diah sendirian. Berjalan perlahan mencari tempat duduk yang lain sambil  matanya liar memandang sekeliling.
“Hmmm ... sidia pun tak datang hari ini!”. Keluh Diah lagi.
“Eeee ... malang betullah. Ziah tak ada. ‘Dia’ pun tak ada. Ba’ie pulak tak balik-balik dari kampung. Itu baru abang dia yang kahwin , agaknya kalau dia yang kahwin mesti tak balik langsung! Hmmm ... bosannya!!” . Fikirnya sendirian sambil menarik kerusi dengan malas. 
            Tiba-tiba , “Hai! Tak duduk di tempat biasa ?”. Kedengaran satu suara menegurnya dari arah belakang. Diah menoleh untuk  memandang siempunya suara.  “Seperti pernah ku dengar suara itu tapi di mana ya?”. Kata hati Diah.
Terkejut Diah setelah melihat si empunya suara , suatu pertemuan yang memang amat diharap-harapkannya!.                                                                                                                         
“Eh , Raziq. Awak  ada di sini?” . Tanya Diah.                                                                                           
“ Ya. I memang selalu study di sini ... and you know what?”. Raziq berteka-teki , memandang Diah dengan wajah nakalnya.                                                                                                                                   
“Apa?”.Jawab Diah sambil mengerutkan dahinya.                                                                                                                                                 
“Hari ini  I duduk di tempat favourite you!”. Masih tersenyum nakal sambil terus memandang   wajah Diah. Diah terperanjat lalu membeliakkan biji matanya.                                                                                                  
“ Apa?. Awak  tahu tempat favourite saya ?!” . Tanya Diah kebingungan.
“Biar betul , takkan dia tahu semua perkara tentang diriku?. Ini dah kira kes berat ni”. Fikir Diah.                                                                             
“ Ya!. Malah bukan itu saja. I memang tahu banyak perkara pasal you. Birthday you , kampung you , makanan kegemaran you , kursus apa  yang you ambil  and … banyak lagi!”. Jawab Raziq separuh berbisik. Sengaja mulutnya didekatkan ke telinga Diah. Diah terpaku mendengar jawapan Raziq , lebih terpaku lagi apabila bunyi hembusan nafas Raziq jelas dapat didengarnya melalui kain tudung yang menutupi rambutnya. 
“Biar betul!”. Katanya perlahan.                                                                                                                                                               
“Betullah. Hmm ... mari kita duduk sama-sama di meja favourite you. I ada hal nak cakap sikit”. Ajak Raziq. Raziq kelihatannya begitu bersahaja , tenang dan tahu dengan apa yang dilakukannya.
Diah bingung melihatkan tingkah laku Raziq , juga bingung dengan perkara yang berlaku – bertemu Raziq dan kini sedang  mengekori langkah Raziq menuju ke tempat yang dimaksudkan.
“Eh , bermimpikah aku ini?”. Tangan kanannya mencubit tangan kirinya. Tidak cukup dengan itu , Diah menampar-nampar pipinya  sendiri. Raziq hanya memerhatikan kelakuan Diah itu dengan senyuman.
“Mardiah Bt. Amir. Anda tidak bermimpi!. Marilah , I ada hal yang perlu dibincangkan dengan you. Please ...”. Ajak Raziq bersungguh-sungguh.
Diah tersipu lantas mempercepatkan gerak langkahnya. Sampai di tempat yang dimaksudkan , Raziq menarik  kerusi untuk Diah sebelum dia sendiri mengambil tempat betul-betul di hadapan Diah.  Diah duduk. “Hmm ... romantiknya. Kali pertama orang tarikkan kerusi untukku!”. Kata hati Diah.
“Terima kasih , ada hal apa nak cakap dengan saya ?” . Tanya Diah . Kekok pula dilayan begitu.  Raziq diam agak lama. Matanya terus-terusan memandang wajah Diah tanpa berkelip. Diah jadi serba tidak kena.
“Raziq , tolonglah. Saya tak selesa direnung begitu!”. Diah menyatakan ketidakselesaannya.                                                    
“Ohh!. Maafkan I. I tidak bermaksud begitu cuma ... agak sukar  bagi I untuk menangani situasi ini”. Raziq tersentak mendengar teguran Diah.  Kesal hatinya kerana telah menimbulkan rasa tidak selesa Diah akan kelakuannya.
Diah hanya mendiamkan diri. Tertangkap sudah di hatinya perkara yang bakal dikatakan oleh Raziq. 
“Sukar untuk menangani situasi ini?. Situasi apa , menyatakan hasratnya?. Oh! Tidak!!”. Fikir Diah. Hatinya berdebar kuat , bagaikan seorang pesalah yang sedang menunggu hukuman mati dijatuhkan ke atasnya!
“Lagi pula , mata I ni tidak mampu  untuk menolak daripada melihat  sesuatu yang indah”. Puji Raziq. Diah tersipu.
“Hmmm ... macam cerita drama TV lak!”. Kata Diah di dalam hatinya , tersenyum malu.
“Eee  kalau betullah sangkaanku ini , apa yang harus aku katakan?. Apa yang harus aku buat?. Pura-pura terkejut ... marah ... atau apa?. Eeee kenapalah cepat sangat semua ini terjadi!”. Fikir Diah lagi.
Sedang Diah masih lagi tercari-cari jawapannya , Raziq sudah membuka kata.
“Diah , maaf kan I kalau apa yang I nak katakan ni akan membuatkan you marah or  tak suka . Sebenarnya I dah lama nak bagi tau you pasal hal ini tapi I tak berani. Tapi hari ini I terpaksa bagitahu  jugak. Kalau tidak I tak  akan tenang , tak senang duduk dan serba tak kena dibuatnya”. Raziq mula menyampaikan hajatnya. Wajahnya serius memandang Diah.  Sesekali rahang pipinya bergerak-gerak menahan rasa malu yang mulai menjengah.
Diah mendengar dengan penuh debaran. Diah sudah benar-benar pasti bahawa Raziq akan melahirkan hasratnya hari ini. Diah yakin seratus peratus bahawa dia tidak bertepuk sebelah tangan. Bukankah ini yang diharap-harapkannya?. Bukankah ini yang dinanti-nantikannya selama ini?. Tapi kenapa , hari ini Diah bagaikan belum bersedia untuk menghadapinya. Malu , cuak dan penuh ketidakpastian. Semakin lama semakin tidak tentu arah jadinya!.
Diah sudah tidak mampu untuk menatap wajah Raziq lagi. Diah tunduk , tidak berani mengangkat muka. Pipinya terasa panas  , darah terus-terusan mengalir deras ke wajahnya. Amat panas dan pastinya wajahnya yang putih melepak itu sudah memerah bagai udang dibakar!. “Ah! Malunya!!!”. Jerit hati Diah.
“Mardiah bt Amir , hati I dah lama tidak tenang. Sejak ...” kata-kata Raziq terputus. Agak sukar baginya untuk meneruskan  kata-kata.
“Wah! Susahnya menjadi lelaki”. Fikirnya sebelum menyambung kata ,  “ ... sejak ... sejak  I terpandangkan you pada hari pertama  pendaftaran kursus Dr. Othman dulu. Itulah kali  pertama I nampak you ... and sejak itu I tak dapat melupakan you. Sejak itu juga I mula mencari dan mengambiltahu apa saja tentang diri you and today ... I dah tak sanggup lagi untuk membendungnya. Hidup I dah tidak terurus lagi . Suka atau tidak I terpaksa menyatakannya . Diah ,  I nak jadi teman istimewa you!.”. Begitu berterus terang Raziq meluahkan perasaannya kepada Diah.
“Arghhh! Leganya. Berjaya juga aku meluahkannya!”. Kata hati Raziq.
Diah tergamam dan tidak mampu berkata apa-apa. Wajah Raziq ditatap. Matanya tidak berkelip. Diah terharu , inilah kali pertama dia mendengar luahan hati seorang pemuda terhadapnya. Lebih mengharukan lagi , luahan itu datangnya dari hati seorang pemuda yang memang telah lama bertahta dihatinya. Syukur benar,  dia tidak bertepuk sebelah tangan!.
“Saya …”. Diah cuba berkata sesuatu tetapi suaranya terputus.  Entah mengapa suaranya bagaikan tidak mahu keluar.     
“Saya ... errr ...”. Diah sendiri  tidak pasti akan jawapannya.                                                                                   
“Sshhh ... tak perlu terburu-buru. I faham . I akan sabar menunggu. Beritahu I bila you sudah sedia”. Raziq mengucapkan  dialog yang biasa diucapkan oleh hero drama tv , kedengarannya begitu romantis sekali. Cair hati Diah dibuatnya!.
Ketika Diah masih termangu-mangu Raziq  bingkas bangun lalu menghulurkan setangkai  mawar merah beserta sekeping kad kecil kepada Diah.  “I tunggu jawapan you. Assalamualaikum”. Itulah kata-kata Raziq sebelum meninggalkan Diah sendirian.
Kebingungan. Diah hanya mampu memandang langkah Raziq berlalu pergi. Masih termangu , terkelip-kelip matanya memandang bunga mawar merah digenggamannya.
“Uh! Bermimpikah aku?”. Fikirnya sebelum tangannya mengambil mawar merah . Memerhati keindahan warnanya lalu mencium baunya. Wangi … bunga mawar tetapi berbau wangian ‘lavenda’ , lembut dan menyegarkan!.
“Patutlah aku asyik terima mawar merah sejak akhir-akhir ini. Rupa-rupanya dari kau. Kaulah sipengirim misteri itu!!”. Fikir Diah. Terungkai sudah misteri si pengirim  mawar merah yang sering meninggalkan bunga itu di depan pintu rumah sewanya hinggakan Diah sering menjadi bahan usikan teman serumah.
“Orang ada secret admirer!”. Usik Ziah
“Pungguk zaman moden , pakai bagi-bagi bunga pulak!”. Usik Nonie
“Baik-baik , sekali tu yang bagi bunga ni cacat atau tempang , camana?”. Usik Ba’ie
“Si buta dari gua hantu ke?”Usik Ziah lagi
... dan macam-macam lagi usikan yang diterimanya dari teman-teman serumah setiap kali bunga mawar merah siap menanti di depan pintu rumah mereka hampir pada setiap pagi.


Buat gadis cantik , Mardiah Amir’.
‘Aku suka kamu!’
Daripada Pungguk.

 

Itulah ayat indah yang tertulis di atas kad kecil yang disisipkan pada jambangan bunga dan telah  menimbulkan tanda tanya.
                 Kad kecil comel itu kini berada di tangan , dibelek dan ditatap lama. “Maka kamulah sang pungguk itu. Alhamdulillah kerana ianya adalah kamu!”. Diah lega dan amat bersyukur ... Kad kecil ditatap lagi. Isi kad kali ini berbeza sedikit dari isi kad-kad yang lalu. Kali ini no telepon sang pungguk disertakan sekali.
“012 339 4748”. Diah membaca no telepon yang tertera. Bagaikan tidak percaya , Diah membeliakkan matanya dan isi kandungan kad kecil itu dibacanya sekali lagi.


                                                  “Sekuntum Mawar merah…
                                                  Sebuah Puisi …
                                                       Untuk gadis pilihan …”

                                                        “Buat gadis cantik , Mardiah Bt Amir”
                                                         Call I bila  you dah bersedia ...
                                                         U terlalu istimewa di hati I

                                                                    Raziq : 012 3394748



“Siap bagi no telepon , maknanya? ... aahhh tidak!. Takkanlah aku pulak yang kena telepon dia. Hei! Aku bukan perempuan jenis itulah. Telepon lelaki untuk bicarakan soal hati?. Ah! Malunya!!!”. Pekik hati Diah.

 “Saya sedia menunggu tibanya hari itu...”
Sejak peristiwa ‘di perpustakaan’ tempohari , Raziq tidak kelihatan lagi. Entah ke mana hilangnya dia . Diah menjadi resah. Kehilangannya itu benar-benar meresahkan dan mengharu-birukan  hari-hari yang dilalui oleh Diah.  Sudah berkali-kali kad kecil pemberian Raziq itu ditatapnya. Malah kad kecil itu sentiasa dibawanya ke mana-mana , sudah hampir 'lonyai' kad itu jadinya. Begitulah asyiknya bila hati sudah mulai berbunga.
 “Mungkinkah dia pulang ke kampungnya  tapi ... takkanlah sampai tak masuk kuliah langsung. Sudah cukup seminggu , bayang dia pun tidak kelihatan”. Fikir Diah. Resah , rindu. “Apa patut aku buat ?. Patutkah aku call dia. Tapi ... nak cakap apa?  Takkanlah nak cakap , Raziq saya memang sudah lama sukakan awak.  Awak tidak bertepuk sebelah tangan.  Saya  sangat rindukan awak. Janganlah menghilangkan diri lagi.  Saya dengan rela hati setuju untuk jadi teman istimewa awak. Eeee ... malunya!”. Fikir Diah lagi.  Diah ragu-ragu untuk menyatakan rasa hatinya , takut kelihatan terlalu ‘desperate’ hingga langsung tidak menolak.
“Orang perempuan ni kenalah jual mahal sikit. Jangan mudah sangat dipikat. Tak elok tu ... ingat , benda yang sukar diperolehi itu akan lebih dihargai. Tapi janganlah sampai sombong sangat. Orang nak dekat pun takut. Berpada-padalah  bak kata orang , jinak-jinak burung merpati. Senang nak dekat , dah dekat lari!”. 
Masih segar dalam ingatan Diah , kata-kata arwah neneknya dahulu. Arwah neneknya dulu sememangnya seorang yang cukup memahami dan sangat  rapat dengannya tapi sayang hayat neneknya itu  tidak panjang. Genab umurnya enam puluh dua tahun , ajalnya datang menjemput , neneknya itu pergi buat selama-lamanya.

Masih tak percaya?
            Tanpa Diah sedari , keresahannya dikesan oleh Ziah. Ziah bimbang melihatkan perubahan sikap Diah yang menjadi semakin pendiam dan murung. Setiap hari Diah akan terburu-buru dan tidak sabar untuk ke kuliah tetapi tidak pernah fokus sewaktu kuliah sedang berlangsung. Kepalanya akan terpusing-pusing mencari seseorang. Sesekali Diah akan mengeluh berat sambil mengetuk-ngetukkan pen di atas meja tulisnya.
“Diah , kau kenapa ni? Aku perhatikan sejak kebelakangan ni kau lain macam je?” Tanya Ziah , mulai tidak sabar dengan perubahan sikap sahabatnya itu. Bunyi pen yang diketuk tanpa henti itu mengganggu konsentrasinya.
“Lain macam?” Diah cuba berdalih. Pura-pura tidak faham.
“Ya , lain macam. Macam ada masalah je. Kenapa ni?” Tanya Ziah , prihatin. Diah tersenyum pahit. Membalas pandangan Ziah sambil mengangkat  kedua-dua belah bahunya.
“Tak ada apalah”. Jawabnya , ringkas.
“Patutkah aku ceritakan pada kau?. Eeee ... malulah!. Hishhh ... tapiiii ... nak berahsia sampai bila?”. Fikirnya lagi. Konflik dalam jiwanya menjadi-jadi.
“Kau ni kenapa hah , tok sahlah nak kelentong. Tengok air muka kau saja aku dah tahu yang kau ada masalah. Kenapa?. Tak nak cerita ngan aku ?”. Tanya Ziah. Diah hanya mendiamkan diri.
“ Haii ... sejak bila lak kau ni dah pandai berahsia ngan aku? Ceritalah ... manalah tahu aku boleh tolong”.Pinta Ziah pula , tidak suka dipinggirkan.
“Hei ... jangan lupa , kita ni dah lama berkawan. Aku dah cukup kenal kau, luar dan dalam!.  Masih tak percaya dengan aku?” . Sambung  Ziah lagi , berkata dengan nada suara bergurau. Cuba bercanda  untuk menceriakan sahabat baiknya itu.
“Entahlah Ziah , aku tak tahu nak cerita atau tidak. Susahlah!” . Balas Diah.
“Tak tahu  nak cerita? Alahhhh ... apalah yang susahnya , kau percayakan aku dan aku percayakan kau. Kita boleh berkongsi masalahkan?”. Ziah cuba meyakinkan Diah. Kini cakapnya lebih serius , memandang sahabatnya dengan mata yang tidak berkelip.
“Diah dengar cakap aku , aku rasa kalau kau tak cakap , kau takkan dapat belajar dengan tenang!. Tengoklah sekarang , kau langsung tak fokus. Kini dengan aku-aku sekali dah tak fokus. Jadi supaya keadaan kembali normal dan pelajaran kita tidak terganggu , aku rasa kau mesti ceritakan pada aku masalah kau itu ”. Sambung Ziah lagi.
“Huhhh ... betul!. Sebenarnya , aku memang  nak bagi tahu kau tapi aku khuatir takut-takut kalau kau takkan faham”. Terang Diah , sambil pura-pura menulis sesuatu apabila Dr Othman berjalan menghampiri tempat duduknya.
“Kenapa?. Aku tak cukup baik untuk faham atau ... tak cukup dewasa?!!”. Ziah mula tersinggung.
“Ssyyyttttt!”. Diah memberi isyarat agar Ziah diam. Ziah mengangkat kepalanya dan faham maksud isyarat Diah itu. Lama juga Dr Othman mundar mandir berhampiran tempat duduk mereka. Setelah pasti yang semua pelajar sedang membuat kerja yang diberinya barulah pensyarah ini turun dan kembali ke pentas hadapan.
“Bukan begitu! Alah , kau janganlah nak beremosi!. Okey  okeylah aku akan terangkan. Tapi janji , kau takkan ketawakan aku!”. Kata Diah berbisik-bisik , terpaksa akur dengan permintaan sahabat baiknya itu.
“Okey janji!”.  Jawab Ziah sambil mengangkat tangannya seperti orang yang sedang berikrar.
“Hish! Jangan nak over , nanti kena sound dengan Dr Othman baru tau”. Tegur Diah.
            Selesai sahaja kuliah , Diah tergesa-gesa keluar. Sengaja mahu Ziah mengejar-ngejarnya.  “Woii! Tadi dah janji nak bagi tahu. Apa ni , takkan tukar fikiran kot!”. Jerit Ziah sambil berlari anak mendapatkan Diah.
“Ha ha ha! Saja je aku lari. Aku dah agak kau mesti cakap macam tu. Okeylah sekarang aku terangkan. Hmm ... sebenarnya hari tu Raziq ada kata sesuatu pada aku” . Diah berdehem untuk mengambil mood sebelum membuka cerita.
“Raziq? Budak  yang pinjamkan kalkulator hari tu ke?”. Ziah meminta kepastian.  Diah hanya menganggukkan kepala.
“Dia kata apa?” .  Tanya Ziah tidak sabar. Apalah agaknya perkara yang dikatakan oleh Raziq sehinggakan telah  mengharu-birukan hidup sahabatnya ini. 
“ Dia nak aku jadi teman istimewanya!”.  Jawab Diah ringkas , terus mengalihkan pandangan matanya daripada terus memandang wajah Ziah. Tidak sanggup dan malu untuk melihat reaksi sahabatnya itu.                                                                                                                      
“Apa?  Betulke ni?” . Ziah bagaikan tidak percaya. Terbeliak matanya memandang Diah.                                                                                                                                                                      
“ Apa ... tak percaya pulak?” . Jengkel Diah mendengar respon Ziah begitu.                                                                                      
“Heee ... janganlah marah!. Kira okeylah tu , inilah yang dikatakan ‘ pucuk di cita , ulam mendatang’.  Jadi ... apa kau kata?” .  Tanya Ziah lagi , tiba-tiba diserang rasa ingin tahu.                                                                                                                                                                
“Inilah masalahnya , aku tak kata apa-apapun. Lagi teruk , itulah kali terakhir aku nampak Raziq. Dah seminggu aku tak nampak dia. Dalam kuliah Dr. Imran aku tak nampak dia. Dalam kuliah Dr Rubiah pun tak nampak. Dia pergi mana hah? Aku  risaulah ...”. Diah meluahkan rasa hatinya. Memang kehilangan Raziq dari pandangan matanya benar-benar membuatkan Diah penasaran.                                                                                            
“Hah ... Cinta dah mula berputiklah tu!”. Usik Ziah sambil mengangkat keningnya berkali-kali. Diah menarik muka masam lalu mencubit lengan Ziah. “Orang serius , dia main-main pula!”.
“Aduhh sakitlah!”. Jerit Ziah. Diah hanya mengerling tajam sambil memuncungkan mulutnya.  “Heee ...  gurau sikit pun tak boleh. Errr begini , ... kau ada no contact dia?”  . Tanya Ziah.                                                                                                                                                                    
“ Ada , dia bagi aku lepas  dia meluahkan perasaannya hari tu”. Jawab Diah.                                                                                            
“Mmm ...  patutlah. Itu maknanya , dia nak kau contact dia dulu barulah dia akan muncul semula”. Ziah menyatakan firasatnya.                                                                                                                                                                                
“Hmmm ... pandai aje kau tu!”.  Jawab Diah.
“Ya , itulah firasat aku. Kalau kau tak percaya , cuba kau call dia. Nanti mesti dia akan muncul!”. Cadang Ziah.
“ Mungkin jugak ... tapi aku tak tahu nak kata macam mana”.  Diah bingung.                                                                                   
“Kau dah ada keputusan ke belum?” . Tanya Ziah.                                                                                                                             
“Inilah masalahnya!.  Ziah , kaupun tahukan aku memang dah lama syok kat dia tapi ... kan kita ni masih belajar. Separuh hati aku tak sabar-sabar nak kata ‘ya’ tapi ... separuh lagi teragak-agak. Kita tak habispun belajar lagi”.  Diah menyatakan konflik jiwanya.                                                                                                                                                                                      
“Alahhh apalah kau ni. Diah , dengar sini. Be rasional . Umur kita sama-sama dah 25 tahun. Program Diploma Pendidikan ni pun setahun je. Tinggal  3 bulan je lagi kita belajar teori. Pastu kita praktikal, dan habis praktikal kita dah sah jadi guru. Apa yang kau risau sangat. Kalau kau memang sukakan dia dan dia memang  jejaka idaman kau selama ni , just say ‘yes’. Habis cerita! Tapi kalau kau masih tak pasti , aku cadangkan kau buat sembahyang istikharah. Itu lebih baik. Diah , kita ni milik Allah. Dia Maha mengetahui apa yang terbaik buat kita” . Ziah menyatakan pandangannya. Kata-kata bernasnya itu benar-benar memberi ketenangan buat Diah. Diah tersenyum ...
 Keesokan harinya Diah berpuasa sunat hari Khamis dan di sebelah malamnya pula , Diah menunaikan solat hajat memohon ketenangan  jiwa dan disusuli dua rakaat solat istikharah. Doa dan harapan dipanjatkan bulat kepada yang Maha Esa agar  memberinya  petunjuk dan menetapkan hatinya ... bersama doa dan harapan itu , Diah akhirnya melelapkan mata.

“ Ya...aku dapat mimpi”.  
Keesokan harinya Ziah tidak sabar-sabar bertanyakan Diah akan keputusannya. Ziah maklum yang Diah telahpun beristikharah malam tadi ,  “Bagaimana ... ada dapat apa-apa mimpi atau petunjuk?”. Tanya Ziah tidak sabar. Diah hanya tersenyum sambil  meneruskan langkahnya menuju  ke dewan kuliah. Ziah mengejar dari belakang.  
“ Hei ... Diah , aku tanya ni ... bagaimana ?. Ada apa-apa petunjuk ke ?”. Desak Ziah tidak sabar dengan sikap acuh  tidak  acuh  sahabatnya itu. Diah menghentikan langkah , memusing ke belakang dan  memandang tepat ke wajah sahabatnya.                                                                                                                                                                                     
“ Ya ... aku dapat mimpi”.   Jawabnya ringkas.                                                                                                                                                 
“Mimpi? Mimpi apa?.  Cepatlah cerita!” . Ziah teruja , spontan tangannya menarik-narik tangan Diah. Diah tersenyum menahan tawa. Lucu sungguh rasanya melihat keadaan Ziah yang tidak ubah seperti anak kecil minta dibelikan gula-gula.                                                                                                                                                
“ Aku mimpi Raziq menghulurkan tangannya padaku dan ...”. Diah berhenti seketika , memandang wajah sahabatnya yang sedang penasaran itu.
“Dan?!”. Tanya Ziah tidak sabar.
“Dan  ... aku menyambutnya!”. Jawab Diah dengan senyuman menguntum di bibir.                                                                              
“ Yes ! itulah tandanya. Kau patut terima Raziq. Dia pasti yang terbaik untuk kau. Diah , call lah dia segera!” . Gesa Ziah. Dia pula yang seronok dan menjadi tidak sabar. Diah pula terus menutup mulut menahan rabak tawanya.                                                                                     
“Hei ... Hallo  Ziah , aku bergurau je lah!”. Geli hati  Diah tidak kepalang melihatkan kesungguhan Ziah.
“Apa? Bergurau?...  jadi mimpi kau tu tipu sajalah?!” . Tanya Ziah hampir  menjerit.
Diah mengangguk-nganggukkan kepalanya sambil cuba menahan tawa. Ziah menjadi sangat marah lalu memukul belakang Diah dengan fail di tangannya lantas terus  berjalan laju meninggalkan Diah. Diah mengejarnya dari belakang.                                                                                                      
“Ziah! ... Ziah! ... tunggulah , aku bergurau je. Takkan itupun nak marah?!”. Diah  berlari anak mendapatkan Ziah.
“Eee ... aku tak sukalah orang memain-mainkan perasaan aku ni!”. Balas Ziah , lebih mempercepatkan langkahnya. “Ziahhh!!! Sudahlah tu. Aku bergurau je!”. Pujuk Diah sambil menarik-narik tangan Ziah dari belakang.
Tidak jauh dari situ ,  dari dalam perut kancil putihnya Raziq sudah  agak lama memerhatikan  gerak laku kedua gadis tersebut .  Malam tadi , dia baru saja pulang dari kampung halamannya. Memang selalunya begitu , setiap kali perasaannya gundah gulana , kampung halamannyalah yang dituju. Kedamaian suasana kampung dengan ditemani ibunda tercinta ... itulah penawar segala duka.
Wajah tampannya kelihatan kurang terurus. Misai dan jambang sudah mula kelihatan.  Kekusutan di hatinya jelas tergambar di wajah. Rupanya , sikap mendiamkan diri Diah itu telah membuatkan hatinya gundah gulana.
“ Diah , cerianya kau! ... tidak terfikirkah  kau pasal aku?. Peritnya ku rasa. Kenapalah kau terus mendiamkan diri begini?. Tiadakah sedikit rasa kasih di hati kau buat aku? Langsung tak kau  hiraukan  aku ini ... atau kau sememangnya  tak pernah sukakan aku? Aku  saja agaknya yang gila bayang sendiri. Ya Allah ... sakitnya jiwaku ini!  Aduhhh ... tersiksanya aku. Tolonglah Diah ... aku tak boleh hidup berterusan begini!”. Keluh Raziq sendirian. Kalau diikutkan hatinya , ingin sekali dia berlari mendapatkan Diah. Tapi untuk apa?
“Ya!. Untuk apa?!”. Fikirnya lalu niatnya itu dipendam.
Aku rasa itulah petunjuknya
            Sementara itu , Diah dan Ziah sudahpun berada dalam dewan kuliah , duduk di baris paling belakang. Sengaja Diah memilih tempat paling belakang agar mudahlah baginya untuk mencari bayangan Raziq. Raziq! Raziq! Raziq! , itu saja yang bermain di fikirannya kini.
“Ziahhh ... cuba kau tengok sekeliling . Tak nampak pun batang hidung dia”.  Diah berbisik kepada Ziah.
“ Yelah ... memang tak nampakpun dia”. Jawab Ziah setelah puas melihat sekeliling.
“... tapi Diah ... janganlah tukar cerita. Soalan aku kau tak jawab lagi.” Rayu Ziah , masih tidak berpuas hati dipermainkan Diah tadi.                                             
“ Alahh kau ni , tak habis-habis! . Sebenarnya aku tak mimpi apa-apa punlah ... cuma ... hati aku ni je yang dah jadi semakin kuat untuk menerima Raziq . Aku lebih yakin dan tidak ragu-ragu lagi.  Aku rasa itulah petunjuknya”.   Diah berkata sambil tersenyum lega.                                                                                                                                               
“ Alhamdulillah ...  akhirnya kau dapat juga membuat keputusan. Aku yakin kau buat perkara yang betul. So ... janganlah buang masa , habis kuliah ni kau contactlah dia. Kesian mamat   tu . Tentu sedang menderita menunggu keputusan daripada kau ”.   Ziah menggesa , membayangkan wajah Raziq yang sugul.  Timbul pula rasa belas di hatinya.
“ Eh , siapa kata aku nak tunggu habis kuliah?.Sekarang jugak aku nak sms dia! Nak bagi tau dia betapa aku cintakan dia. Nak kata ... betapa aku merindui dia dan nak kata ... cepat-cepatlah meminang aku dan nak kata ... aku dah tak sabar-sabar nak kahwin dengan dia. Kalau boleh aku nak kahwin dengan dia sekarang juga. Eeee ... bestnya jadi isteri dia!” .  Jawab Diah. Sengaja nada suaranya dimanja-manjakan.                                                                                                                                                                      
“ Eee ... gatalnya minah ni!”.  Ziah mencubit lengan Diah dan mereka sama-sama tertawa.                                                                                                                                   
“ Napa ... tak boleh ke aku nak menggatal?”.   Tanya lagi Diah sambil menggosok-gosok lengannya yang sakit dicubit. Seronok kerana dapat mengusik Ziah.
“Hmmm ... boleh boleh ... teruskanlah menggatal! . Ini barulah kawan aku . Ceria dan gembira selalu. Tapi kak oii , belajar kenalah fokus. Habis kuliah ni baru kau sms dia. Okey?”.    Ziah mengingatkan.  
“ Yelah kak ,  akupun bergurau ngan kau je tadi. Heee ... takkanlah aku segedik itu. Nanti malam baru aku nak sms dia. Malam-malam  ,  barulah romantik!”. Usik Diah lagi.                                                                                                                                                         
“Ceh!”. Lengan Diah dicubit lagi.
“Aduhh ... cubit lagi!”. Diah merungut sambil menggosok-gosok lengannya yang sakit.

Tugas ini harus aku selesaikan malam ini juga
Lewat  petang itu Diah  segera bersiap, bersedia di hadapan sejadah menunggu masuknya waktu solat  Maghrib. Sebaik saja azan Maghrib selesai berkumandang , Diah terus menunaikan solat . Teman-teman serumah merasa hairan dan tertanya-tanya sesama sendiri kerana selalunya Diah pasti menunggu mereka semua bersiap untuk berjemaah sama.
Hanya pada hari Sabtu begini sajalah mereka  berpeluang  berjemaah sebelum  sama-sama membaca Al-Mathurat iaitu sebuah risalah yang mengandungi ayat-ayat al-Qur’an tertentu dan doa-doa pilihan yang disusun sesempurna  rupa oleh As-Syahid Hassan Al- Banna , pengasas Ikhwanul Muslimin di Mesir. Membaca Al- Mathurat adalah satu amalan yang baik untuk membina kekuatan dalam diri. Sesuai juga untuk orang-orang yang mencari damai dalam jiwa.   
“Diah , kau nak keluar ke?”. Tanya Norli  , hairan.
“ Ya , malam ni aku terpaksa ke perpustakaan. Ada urusan jap”.     Jawab Diah ringkas. Tidak mahu rahsianya terbongkar.    
“Urusan?” .Soal Noni pula , pelik.   Tidak pernah Diah ke perpustakaan pada malam Sabtu begini.                                              
“Hishh jangan sibuklah!. Diah ada urusan tu. Err ... nak aku temankan ?”. Ziah segera mencelah. Ziah memang memahami maksud kata-kata Diah itu.  Diah ada misi penting , antara hidup dan mati!.                                                                                                                                                            
“Tak apalah Ziah , aku kena selesaikan tugas ini sendiri”. Diah mengenyitkan matanya. Ziah tersenyum . Teman-teman yang lain  tambah hairan lalu memandang sesama sendiri.
“Ok . Kau ada urusan. Nanti habis urusan jangan lupa balik rumah sudah!”. Noni mengalah lalu segera membentang sejadah. Begitu juga dengan teman-teman yang lain. Mereka akur , tidak semua perkara perlu dikongsi dengan semua orang. Namun lain pula halnya dengan Ba’ie , dia masih juga tidak berpuashati dengan jawapan yang diberikan oleh Diah mahupun Ziah.
“Selesaikan tugas apa?”. Tanya Ba’ie , rasa ingin tahu yang tidak mampu dibendung menyebabkan dia lupa menghormati ‘privacy’ orang lain.
“Masakan dengan kawan sendiri mahu berahsia”. Katanya lagi. Ba’ie memandang Diah sebelum mengalihkan pandangannya kepada Ziah. Ziah mengangkat kedua-dua bahunya . Ba’ie bengang!.
Diah tidak menghiraukan pertanyaan Ba’ie. “Sorry guys. Tugas ini harus aku selesaikan malam ini juga”. Fikirnya. Kakinya terus saja melangkah keluar rumah menuju ke stesen bas. Sampai saja di sana , bas yang mengangkut pelajar untuk pergi dan balik  ke UKM telah hampir bergerak. Diah berlari anak mendapatkannya.
“Alhamdulillah ... nasib baik sempat”. Diah berkata sambil mencungap lalu mengangkat kedua tangannya ke atas sebelum  menyapukannya ke muka. Sengaja  Diah  mahu  ke perpustakaan malam ini. Diah mahu mencari ruang untuk bersendirian -  mahu mendapatkan   sedikit ‘privacy’. Jauh dari gelak tawa dan gurau senda teman serumah.    
Sampai saja di pintu masuk perpustakaan , Diah membuka beg sandangnya lalu segera mencari  pas masuk , malangnya ...
”Alamak ... mana ni?. Takkan aku tertinggal kot. Aduhh! Sia-sia saja aku datang!!”. Keluhnya. Matanya segera memandang ke arah pintu masuk perpustakaan , mencari peluang kalau-kalau boleh meloloskan diri.
“Eee ... pak guard ada pulak. Ni kalau masuk  jugak ni ,  mesti kantoi!. Mmm ... nak buat macam mana ni. Mana aku nak pergi?.  Eeee ... takkan nak balik kot!. Kalau balik ni , alamatnya berbakul-bakullah soalan yang aku kena jawab. Ziah dan Ba’ie takkan lepaskan aku senang-senang punya.   Haiii  Raziq ... nak hantar sms kat awak  pun dah macam ni punya susah”. Rungut Diah di dalam hati.
“Huh! ... apalah yang susah sangat nak sms kau ni. Ada-ada saja halnya. Raziq ... kat manalah awak  sekarang?”.  Fikir Diah  sambil berjalan lemah  menuju ke kerusi panjang di luar ruang masuk perpustakaan.  Diah duduk  sendirian sambil tangannya erat menggenggam telepon bimbitnya. Kad yang diberi oleh Raziq tempohari dikeluarkannya dari dalam dompet. Nombor telepon yang tertulis di atasnya direnung lama.
“ Raziq , apa agaknya khabar kau kini?. Agak-agaknya kau rindukan aku tak?”. Fikir Diah lagi. “ Huh ... apa agaknya ayat yang sesuai untuk aku luahkan perasaan ini?. Bagaimana caranya?. Nak tulis apa ni?. Eee ... nak tulis apa ni?. Raziq , saya dah fikir panjang dan saya dah buat keputusan. Saya terima awak!. Eeeee ... tak boleh! Tak boleh!. Takkan nak tulis macam tu. Pelik benar bunyinya , macam dibuat-buat , macam plastik!”. Diah bersoal-jawab dengan dirinya. Tangannya sibuk membalik-balikkan telepon bimbitnya itu. Fikirannya menjadi buntu.
Tiba-tiba kesayuan menyapa hatinya ... amat  sayu ... sepi. Kesepian yang amat  mencengkam!. Diah sendiri tidak pasti mengapa perasaan sebegini perlu timbul. Inikah yang dikatakan rindu?. Benarkah ini Rindu?. Cinta?. Diah sendiri tidak pasti. Agak lama Diah termenung, mencongak-congak ayat yang perlu ditaip. Masa terus berlalu namun belum ada sepatah perkataan pun yang telah ditaipnya.
Kini jam sudah menunjukkan pukul 8:45 malam. Keadaan di ruang legar perpustakaan  semakin lengang dan sunyi. Tiada lagi siswa atau siswi sibuk  lalu lalang keluar dan masuk ke perpustakaan. Pasti semuanya sudah mengambil tempat  di dalam dan sedang sibuk menyelesaikan tugasan masing-masing. Malangnya , tidak bagi Diah ... dia masih di situ , duduk di kerusi panjang di luar perpustakaan  dan masih tetap membalik-balikkan telepon bimbitnya depan dan belakang.  Tugasannya masih belum selesai!
“Eeee ... nak tulis apa ni?”. Diah terus berfikir. Tangannya menggaruk-garuk pula kepala yang tidak gatal. Habis senget benget tudung yang dipakainya.

Sesuatu yang tidak diduga telah terjadi ...
Tiba-tiba , sesuatu yang tidak diduga telah terjadi. Benar bahawa manusia hanya mampu merancang namun tuhan juga yang menentukan.
“Assalamualaikum ...”. Satu suara menyapa Diah yang masih resah gelisah.
“Waalaikum mussalam ...”. Diah menjawab setelah terlihatkan sepasang kaki berdiri di hadapannya. Kepalanya yang tunduk memandang lantai diangkat perlahan-lahan dan alangkah terkejutnya Diah sebaik sahaja melihat si empunya suara itu.
Mana tidaknya , orang yang sedang dirindui separuh mati itu kini berada di depan mata!. “Raziq!?”. Sungguh tidak disangka Raziq berada di depan mata. Wajah kusut masai lelaki  itu ditatap dengan sepasang  mata yang mulai berkaca. Entah mengapa tiba-tiba rasa terharu menjengah dijiwa Diah ,  air matanya pula mulai mengintai lalu bergenang di kelopak mata.  Maka tatkala kelopak mata itu bergerak maka mengalirlah ia tanpa dapat ditahan-tahan.  Air mata itu  menitis ke pipi tanpa dapat ditahan.
Raziq yang tegak berdiri di hadapan Diah terpaku. Kaget. 
“You menangis?”. Tanyanya hairan  lalu segera mengeluarkan sehelai sapu tangan dari saku seluarnya lantas  menghulurkannya kepada Diah.
Diah kaku , bingung. “Mengapa air mata ini perlu mengalir?. Mengapa aku sampai beremosi begini?”. Fikirnya.
Raziq juga bingung. Mengapa gadis ini terus-terusan menangis. Sapaannya tidak dijawab. Sapu tangannya tidak disambut.
“Ahh ... mungkin kehadiran aku  ini  tidak diingini . Menyibuk , mengganggu urusan orang. Huhh!. Apalah kau Raziq , hidung tak mancung , pipi tersorong-sorong!!”. Raziq membuat kesimpulan.
“Tapi ini bukan salahku , aku  sendiri tidak  menyangka  akan dapat berjumpa dengan dia. Aku langsung tidak merancang pertemuan ini. Manalah aku tahu yang dia boleh duduk-duduk di sini. Tidak!. Bukan salah aku”. Raziq berbahas dengan hatinya.
Raziq memang tidak menyangka langsung akan bertemu  dengan Diah, gadis pujaannya itu di sini. Pada mulanya dia ingin terus masuk ke perpustakaan tetapi  langkahnya terhenti apabila terpandangkan gadis yang dicintainya itu sedang duduk bersendirian dan kelihatannya amat sedih sekali. Sungguhpun dia telah berazam untuk tidak menghubungi Diah selagi belum ada sebarang  jawapan daripadanya namun apakan daya ... hatinya tidak mengizinkan. Rasa rindu untuk menatap  wajah gadis  ini sudah tidak dapat dibendung lagi.
 Kini dia benar-benar terperanjat  apabila gadis  ini menitiskan air mata. Apa yang harus dilakukan? Kalau diikutkan hati , ingin sekali dia mendakap dan memeluknya.
“Biar ku kesat air matamu sayang”. Bisik suara hatinya.  
“Ahhh ... siapalah aku. Kehadiranku saja tidak diingini!” . Fikirnya lantas terus  berpaling untuk melangkah pergi. Tiada ertinya jika hanya bertepuk sebelah tangan.    
“Raziq! ... tunggu. Jangan pergi!”. Melihat Raziq mula melangkah pergi , Diah seperti mendapat kekuatan untuk menghalangnya.
Langkah Raziq terhenti. Raziq memusingkan badannya mengadap Diah. Wajah gadis itu ditenungnya dengan penuh tanda tanya.                                                                                                                                                        
“ Raziq , maafkan saya. Saya tak sepatutnya menangis ... tapi ... saya betul-betul tak sangka akan berjumpa awak di sini. Tidak pada waktu ini ”.  Diah mula berbicara.   Raziq diam. Dia hanya mendengar. Ya , hanya mahu mendengar!    
“Ziq , saya sebenarnya ...”. Kata-kata Diah terhenti. Terasa amat sukar untuknya meluahkan perasaan. Lebih-lebih lagi , apabila Raziq betul-betul sudah berada di depan mata.
“Saya ... sssaaaya sebenarnya . Huhhh!”. Diah mengeluh.
Melihat kesukaran Diah itu , hati Raziq tersentuh. Timbul belas ...
“Mengapa Diah? ...  apa yang ingin you katakan?. Janganlah ragu , I sentiasa sedia mendengarnya”. Raziq separuh memujuk.
“Raziq , saya sebenarnya memang ingin sekali bercakap dan bertemu dengan awak”. Diah bersuara. Seperti mendapat kekuatan daripada kata-kata Raziq itu. Raziq merenungnya. Berdebar hatinya untuk mendengar kata-kata  yang bakal keluar dari mulut Diah. Dia telah membulatkan tekad , walau apapun keputusannya , lebih baik tahu sekarang daripada menanggung sengsara berpanjangan.
“Ya Diah , apa yang you nak cakapkan. Katakanlah ...”. Pinta Raziq separuh merayu.
“Sejak peristiwa yang berlaku di perpustakaan hari tu , saya banyak berfikir ...”. Terang Diah.
“So?”.  Raziq  jadi tidak sabar , jantungnya berdegup kencang.
Melihatkan keadaan  Raziq yang penasaran menanti kata putus darinya itu , hati Diah jadi semakin terharu. Sangat terharu!. “Begitu sekali kau terseksa?”. Bisik hatinya. Tak semena-mena air matanya mengalir lagi.
“Mengapa you menangis?!”.    Raziq tidak faham . Tangisan Diah itu menyebabkan Raziq semakin resah.  Perhatiannya beralih  pada linangan air mata yang mengalir di pipi gebu Diah. Hatinya tidak rela melihat gadis ini dalam kesedihan.                                                                                                                                                 
“ Saya sebenarnya baru nak menghantar sms pada awak. Tapi tak tahu apa nak dituliskan. Saya ...” . Diah berkata sambil tangannya mengesat-ngesat air mata yang terus mengalir.
“Jadi you menangis kerana itu. Huhh ... so I lah yang menyebabkan you sedih dan menangis?” . Raziq kesal.
“Tapi mengapa sampai perlu menangis. Diah , I memang ikhlas menyintai you tapi kalau you tak dapat menerimanya , jangan salahkan diri. I faham ... cinta tidak pernah boleh dipaksa!”. Raziq benar-benar kesal kerana telah membuatkan Diah menangis.   
“ Tak mengapalah , tak perlu tulis apa-apa lagi , I dah faham! . Mungkin I perlu sedar diri dan segera bangun dari mimpi. Maafkanlah I kerana telah mengganggu hidup you”. Raziq merenung Diah beberapa ketika sebelum memusingkan badannya kembali untuk berlalu pergi. Apa yang perlu ditunggu lagi. Semuanya sudah jelas. Cintanya hanya bertepuk sebelah tangan!
Melihatkan Raziq yang sudah melangkah pergi sekali lagi , Diah menjadi cemas.
“Sekarang atau tidak selamanya!”. Fikirnya. Diah nekad untuk meluahkan perasaannya sekarang juga. “Tidak! ... bukan begitu!!.” . Diah berkata dengan suara yang dikuatkan , dia cuba membetulkan keadaan.
Langkah Raziq terhenti sekali lagi namun dia tidak segera berpaling. Sengaja dia diam berdiri menunggu reaksi seterusnya daripada Diah.
“Raziq , jangan pergi!. Jangan pergi!” . Diah merayu.
Mendengar permintaan itu , hati Raziq melonjak gembira. “Ini petanda baik!”. Fikirnya lalu segera berpaling semula dan mendapatkan Diah.
“Diah ,  I dah  ada di hadapan you. You boleh katakan terus . Janganlah berteka-teki lagi. Lagipun I dah terlalu menderita menunggu jawapan you ... please Diah ... jangan siksa I begini”. Rayu Raziq , memandang Diah yang mengangguk-ngangguk perlahan.                                                                     
“ Maafkan saya Raziq , saya tak berniat begitu . Saya sendiri tercari-cari awak setiap kali  kuliah tapi awak tak ada ... dah lebih seminggu saya mencari awak. Awak benar-benar telah membuatkan  saya resah”. Jelas Diah.   
“Maksud you?”. Raziq meminta kepastian. Diah hanya terus menganggukkan kepala sambil senyuman di bibir terus mekar.
“Maksudnya ... you kehilangan I?.  You rindukan I ?.  Betul ke ... adakah itu maksudnya you telah menerima I atau I yang tersalah faham?. Tolonglah Diah ... berterus teranglah”. Pinta Raziq tidak berpuas hati. Telinganya mahu mendengar sendiri Diah mengatakan yang dirinya telah diterima sebagai kekasih!.
Diah jadi malu , kepalanya ditundukkan. Lama ... mencari kekuatan dan kata-kata yang sesuai.                                                                                                        
“Ya ... Raziq , saya terima awak. Saya rela menjadi teman istimewa awak”. Akhirnya kata-kata keramat itu keluar juga daripada mulut Diah. “Eee ... malunya!!”. Jerit hati Diah. Wajahnya bertukar menjadi merah.  Matanya tidak mampu memandang Raziq lagi.  
Mendengar saja kata-kata Diah itu , Raziq tidak dapat menahan kegembiraannya . Terasa malamnya bagaikan cerah dan ceria dek indahnya corak cahaya bunga api yang dipancarkan menerangi langit yang asalnya gelap gelita. Tanpa sedar tangannya segera merangkul tubuh Diah. Diah tergamam . Itulah kali pertama dalam hidupnya dia dirangkul erat oleh lelaki yang bukan muhrimnya. Tidak dapat digambarkan perasannya pada ketika itu. Dia dapat mendengar lajunya degupan jantung Raziq , “Dap! Dup! Dap! Dup!” atau itu sebenarnya adalah degupan jantungnya sendiri!
 “Ha ha ha ... Terima kasih Diah! Terima kasih Diah!” . Raziq tertawa keriangan.  Tubuh Diah yang masih dirangkulannya diangkat berkali-kali.
Setelah kembali sedar Raziq melepaskan rangkulannya perlahan-lahan.
“Err ...  Diah , maafkan I. I tidak sengaja.  I terlalu teruja , terlalu gembira! ... and ,  I rindukan you. Sangat rindukan you. Maafkan I. Tolong jangan marahkan I”.  Raziq memohon maaf namun Diah tidak mempedulikan kata-kata Raziq itu sebaliknya ...  
“ Raziq , saya nak awak berterus terang , apa tujuan dan hala tujunya hubungan kita ini?”.  Diah mahukan kepastian. Dia tidak mahu dirinya dijadikan seperti barang mainan , diambil bila mahu dan dibuang atau ditukar bila sudah jemu.                                                                                                                                                                
“Diah , I tiada ragu ... setelah tamat saja pengajian kita di sini. I ingin segera menikahi you. Sebenarnya kalau boleh ... I ingin bernikah dengan you malam ni juga. I tak ingin berpisah dengan you walau sesaat pun lagi!”.  Jawab Raziq jujur.                                                                                                                                                               
“Terima kasih Raziq ... jika itu yang awak kata , saya akan menanti hari tersebut”. Mata mereka bertentangan.  Saling berpandangan , begitu lama sekali. Hati mereka berkata ... “Saya sayang kamu”!


Bila cinta bersatu , segalanya nampak indah
Bila kasih berpadu , menyala-nyala semangat megah
Bila sayang sudah setuju , membujur lalu melintang patah , semuanya sanggup diredah ...



Diah melayan perasaan
Sekembali daripada pertemuan yang tidak dirancang itu , Diah menghabiskan masa malamnya bersendirian. Berkurung di kamar belajar rumah teres satu tingkat itu. Rakan serumah lainnya telah lama dibuai mimpi.
“Huh!. Betulkah apa yang ku buat ini?”. Fikirnya sambil tangannya terus menconteng-conteng kajang di atas meja. Lantas terhasillah puisi cinta!. Begitulah layaknya bila sidara harus membuat keputusan . Pasti  penuh dengan keraguan.
                                                               Cinta?
                                                               Indah dirasa ...
                                                       Namun tahankah diuji?
                                                    Tatkala tujuh lautan harus direnang.
                                             Andai bahtera musnah sudah dipukul badai?

                                   Cinta?
                             Ingin selalu bersama
                           Namun ... kekalkah? Sampai bila?
                       Takdirnya berpisah jua di suatu ketika
                 Akan mampukah kelak menghadapinya?

Cinta?
     Indahnya membuatku terleka?
Nantikan yang indah-indah belaka
Terucap hanya kata mesra
Apakan tibakah harinya aku terluka?
         

            Ragu Cinta Mardiah Februari1994




                                                                                                                                     






2 comments:

  1. saya kurang faham kenapa dalam nota raziq ada dua no telefon yang dinyatakan ??....

    ReplyDelete