Aku membuat keputusan untuk memuatkan novel pertama tulisanku dalam blogku ini sebagai bahan bacaan senggang bagi penggemar novel. Semoga terhibur.
BAB 1 : KEMBALI KE
KULIAH
Hari Pertama Kembali Ke Kuliah
Dewan kuliah hari ini riuh dengan gelak ketawa dan cerita-cerita lucu para
mahasiswa dan mahasiswi yang baru saja menamatkan cuti semesta satu mereka. Al-maklumlah setelah beberapa minggu berpisah , ada-ada saja kisah dan cerita yang ingin dikongsi bersama. Begitulah
juga halnya dengan Diah dan Ziah , dua orang sahabat baik yang sama-sama
bercita-cita untuk menjadi seorang guru. ‘Guru kerjaya mulia , mendidik anak bangsa agar menjadi manusia berguna’.
Itulah pegangan mereka.
Bagai bunga yang sedang mekar , kedua gadis
ini sering sahaja mencuri perhatian sesiapa sahaja yang berada di sekeliling
mereka. Wajah kacukan Arab – Melayu milik Diah memang sering memukau mata yang
memandang. Lebih-lebih lagi pada bahagian
hidungnya yang tinggi mencacak dan mulutnya yang kecil kemerah-merahan. Tidak kurang juga Ziah , sungguhpun berkulit
sawo matang namun wajah ‘Melayu’nya nan ayu dan lembut memang tidak pernah jemu
dipandang. Tambahan pula Ziah memang seorang yang sangat bersopan dan baik tutur katanya mahupun perlakuannya.
Dua gadis manis ini telah bersahabat baik sejak lama dulu iaitu
semasa sama-sama masih mengikuti program
Matrikulasi di Kulim , Kedah . Ketika itu mereka tinggal dalam satu asrama. Bersama mengharungi suka duka di perantauan orang ,
bersama merasai jerit perih menuntut
ilmu , jauh dari kampung halaman sendiri.
Kerinduan terhadap
keluarga telah mengakrabkan mereka. Saling menjaga dan saling mendorong antara satu sama lain untuk terus
berjaya demi mengejar cita-cita.
“Baiklah siswa-siswi sekelian , hari
ini adalah hari pertama kamu mengikuti kuliah semula setelah bercuti lama. Saya harap kamu akan lebih bersemangat. Kita akan mulakan kuliah hari ini dengan mempelajari beberapa
kaedah pedagogi yang telah diguna pakai di serata dunia” .
Doktor Othman memulakan kuliahnya hari itu.
Pensyarah yang sudah lebih
separuh usia ini kelihatan jauh lebih tua daripada usianya yang sebenar dengan
kepalanya yang hampir licin. Beliau memang sangat terkenal dengan sikapnya yang
tegas dan cukup tidak senang jika ada pelajarnya yang tidak bersungguh-sungguh dalam belajar ,
lebih-lebih lagi sewaktu beliau sedang memberi kuliah.
‘Kalau tidak dipecahkan ruyung ,
masakan dapat sagunya’. Itulah peribahasa Melayu yang sering diulang-ulangnya.
Namun seperti waktu-waktu yang terdahulu , baris paling atas
dan paling belakang dalam dewan
kuliah itu pasti akan menjadi tempat pilihan dua sahabat ini , Diah dan Ziah. “Mmm ... jauh kat belakang ni barulah rasa ‘bebas’. Bebas lakukan
apa saja. Takdelah skeema sangat. Sekali kuliah , ramainya lebih 200 orang pelajar.
‘Possibility’ aku diperhatikan
hanyalah 1/200 persaat!”. Fikir Diah , tersenyum sambil membetulkan posisi duduknya yang
sudah mulai menggelungsur. Memang itulah tabiat Diah sejak dari zaman sekolah
lagi , duduk di barisan paling belakang!. Ziah pula hanya menurut sahaja
kehendak sahabat baiknya itu. Bagi Ziah
, Diah itu sudah seperti saudara kandungnya sendiri. Dia betul-betul sayangkan
Diah.
“Ziah , mengantuklah ... ada gula-gula?”. Bisik Diah sambil
mencuit lengan sahabatnya itu. Sudah berkali-kali Diah menutup mulutnya yang asyik menguap , malu juga dia jika ada mata yang memandang.
“Sorry , stok habislah”. Jawab Ziah ringkas lalu kembali fokus kepada
apa yang sedang diperkatakan oleh Dr. Othman.
“Ceh!”. Balas Diah sambil mencebikkan
bibirnya.
“Aduh!! Masaklah , mengantuk betul ni. Apa punya kawan , gula-gula pun tak ada”. Bebel
Diah , kelopak matanya ditarik-tarik
untuk menghilangkan rasa mengantuk.
Ziah hanya tersenyum mendengar bebelan Diah.
Mulanya hanya tersengguk-sengguk , akhirnya
terlena terus. Terlena bersama dodoian teori-teori pedagogi Dr Othman. , Diah
terlena dibuai angan dan mimpi
indah.
Zzzzzz ... sedang bermimpikan si dia yang tekun
mentelaah di
perpustakaan !.
Dalam mimpinya Diah melihat dirinya
sedang sibuk mencari buku rujukan yang
tersusun kemas di dalam rak buku namun
mata nakalnya pula tak
sudah-sudah menjeling dan mencuri pandang di satu sudut yang terletak di ruangan
membaca. Di situlah
duduknya seorang pemuda
tampan bertubuh sasa
, menghabiskan masa mentelaah atau mungkin
juga sedang menyiapkan tugasan. Rambutnya
yang lebat lurus
mencecah bahu sesekali akan
terjatuh menutupi matanya yang
bundar dan pada ketika
itulah jari jemarinya
yang panjang runcing akan dengan
pantas menyelakkannya ke tepi.
“Ah ... Indahnya pemandangan ini!”. Kata Diah sambil terus merenung penuh
kagum wajah pemuda itu.
“ Alangkah baiknya kalau dia juga suka padaku. Tentu aku adalah orang
yang paling bahagia dalam dunia ini!”. Bisik hatinya lagi.
“ Wajahmu yang tampan ,
Senyummu menawan ,
Hati ini mengagumimu ...”
Begitu indah angan-angan Diah . Hati kecilnya turut menyanyikan
lirik sebuah lagu yang sangat popular
pada masa kecilnya dulu , nyanyian seorang penyanyi wanita tanahair kita’.
Tiba-tiba , bagaikan sebiji bom atom yang memusnahkan Bandar Nagasaki dan
Hiroshima pada perang dunia kedua dulu dilepaskan
dan meletup betul-betul di atas kepala Diah
lalu menggegarkan mata kuyu Diah yang sudah lama lelap!.
“Ya Allah apa ni?. Perang dunia kedua
ke?!”. Latah Diah dengan lantang tatkala mendengar bunyi dentuman kuat di tepi
telinganya yang kecil. Habis ketawa seisi dewan dibuatnya.
Diah segera membuka mata
, langsung terbeliak besar matanya dan terbelahak
mulutnya ternganga apabila terpandangkan wajah bengis Dr. Othman sedang
memandang tepat ke dalam dua biji matanya. Hilang terus rasa mengantuk yang
mengganggunya sedari tadi!.
“Ulps!”. Diah menelan air liur ,
matanya ditenyeh berkali-kali.
“Bermimpikah aku?”. Fikirnya. Diah memandang
sekeliling , semua mata sedang memandang ke arahnya.
“Aduh! Mati aku!”. Diah menepuk
dahinya sendiri. Barulah Diah sedar bahawa bunyi kuat itu tadi rupa-rupanya
adalah bunyi hentakan tangan Dr. Othman yang sengaja dijatuhkan betul-betul di tepi
kepalanya.
“Eee terlena rupanya aku. Siap mimpi lagi!”. Diah
membetulkan duduknya sebelum berkata , “Minta maaf , saya tak sengaja”. Dahinya berkerut dan matanya terkebil-kebil minta simpati. Buat muka kasihan!
“Apa?. Tak sengaja?. Siap melalut
sampai ke perang dunia kedua. Dah balik ke tahun 1944 , pakai mimpi saje ye?”.
Sindir dan jerkah Dr Othman. Tersentak Diah
dibuatnya , malu pun ada. Mukanya yang putih melepak kini bertukar merah.
“Oh ! Tuhan!!!”. Jerit Diah di dalam hati. Dr Othman tidak mahu memberi muka langsung. Dia tetap
berdiri tegak di sebelah Diah. Semua
kepala masih sedang menoleh ke arahnya.
Dalam hati mereka memuji-muji
ketegasan Dr Othman menangani kerenah pelajar yang malas dan tidak serius
belajar. Mereka juga kagum kerana begitu ramai pelajar dalam dewan kuliah pada
hari itu , tidak disangka Dr Othman
masih boleh menangkap pelajar yang lena!.
“Malu! Malu! Malu!”. Jerit hati Diah.
Kepalanya ditundukkan serendah mungkin.
Sebagai hukuman , Diah
dihujani dengan pelbagai soalan
pedagogi. Dr Othman langsung tidak
memberi peluang padanya. “Alamak hentam aje laa ...”.
Ada yang kena , ada yang meleset sama sekali. Ziah yang duduk di sebelah Diah diam seribu bahasa. Kecut perutnya melihat Dr Othman naik angin!
‘Hujan
panas akhirnya akan berhenti juga’. Sebaik sahaja Dr Othman menyatakan ucap
selamat tinggal di akhir kuliah hari itu, hati Diah
terasa amat lega. Sungguhpun begitu , sakit hatinya apabila melihatkan gelagat para pelajar lain yang berjalan keluar dari dewan dengan senyuman menyindir sambil memandang-mandang kepadanya.
Ada juga yang sengaja menggeleng-gelengkan kepala! .
“Huh! Macamlah dia orang tu bagus sangat!!. Nak geleng-geleng kepala konon. Blahhlahhh!!
Busy body! Ikut suka akulah nak lena ke tak. Sibuk je!.Sekurang-kurangnya aku boleh jawab lebih separuh soalan-soalan tadi tau. Kalau dia orang tu belum tentulah!!”. Rungut Diah , tidak
puas hati dengan pandangan sinis yang dilemparkan kepadanya.
“Ah ... pedulikanlah mereka tu , yang penting episod ‘suspend’
hari ini dahpun tamat. Betul tak?. Lagipun kira okeylah tu.
Kau tidur tidur pun boleh gak jawab soalan Dr Othman. Aku setuju dengan kau. Kalau dia orang
yang kena soal , belum tentu boleh jawab”. Ziah
cuba menenangkan sahabatnya yang sedang mencuka itu. Senyuman yang tiba-tiba terukir di bibirnya
segera dimatikan. Rasa lucu tidak dapat ditahan apabila teringatkan ‘latah
perang dunia kedua’ Diah semasa disergah Doktor Othman tadi!.
“Apa senyum-senyum. Ini semua kau
punya pasal!”. Marah Diah apabila matanya sempat melihat senyuman Ziah itu tadi.
“Aku?. Apasal pulak. Kau yang tidur ,
aku yang punya pasal?!”. Ziah kehairanan.
“Yelah ... pertama, tadi kenapa kau
tak kejutkan aku masa Dr Othman tu
datang dekat.
Kedua , kenapa kau tak simpan stok gula-gula
macam selalu! . Eeee ... malulah aku. Tak pasal-pasal jadi ‘bahan’ hari ini!!”. Diah terus mengomel. Mulutnya yang kecil
mungel itu dimuncungkan panjang. Ziah hanya tersenyum melihatnya.
“Aa’ahh yelah akulah yang salah!.
Lain kali aku simpan stok gula-gula banyak-banyak untuk kau ye. Dahlah tu , jom
kita ke perpustakaan”. Ziah berkata sambil tangannya memeluk bahu Diah lalu
menariknya ke arah perpustakaan. Malas dia hendak bertekak dengan Diah. Ziah
cukup faham , marah Diah itu hanyalah ‘hangat-hangat tahi ayam’ sahaja. Jika
tidak disanggah , sebentar saja pasti hilang hangatnya!
Diah pula hanya
menuruti langkah Ziah. Marahnya memang
sangat mudah reda bila bersama Ziah. Diah
bagai api yang mudah menyala dan Ziah pula adalah airnya yang menyiram sejuk
api itu. ‘Bergagai macam ranjau akan ditempuh dalam hidup. Asal saja
kita mempunyai sahabat yang baik , segalanya pasti mudah dilalui’. Itulah falsafah hidup Diah dan dia sangat bersyukur kerana sudah menemui
sahabat yang dimaksudkan.
Sahabat ...
Sahabat
Akrab bagai isi dengan kuku
Hadir dan ada bila perlu
Amanah memegang rahsia
Bahagia tiap kali bersama
Abadi dalam ingatan
Tak gentar sebarang umpatan
|
Seperti hari-hari yang lain , rumah sewa yang didiami oleh tiga belas orang pelajar universiti itu sentiasa riuh dengan gelak ketawa dan
senda gurau. Masing-masing berlumba-lumba bangun awal untuk bersiap dan bersegera ke kuliah. Cuma
Diah , Diah sahaja yang tidak pernah mengejar masa. ‘Biar lambat asal selamat’!. Itulah alasannya tiap kali ada yang
mempertikaikan soal ‘menepati masa’ dengannya.
“Eh ... hari ini ada ‘micro
teaching’. Dah ready ke?”. Tanya Ziah kepada Diah yang sedang leka melorek
sesuatu pada kertas lukisan di hadapannya.
“Hai! Sejak bila pulak dah jadi bisu
ni?”. Sindir Ziah apabila Diah tidak mempedulikan pertanyaannya , bercakap dengan
suara yang sengaja dikuatkan.
“Ni yang aku tengah pulun melukis
gambar ni , kau tak nampak ke?”. Geram hati Diah bila disindir begitu.
“Tak nampak ke sedari tadi aku tak
bangun-bangun dari kerusi ni. Orang tengah lukis gambar ‘mamak roti canai ni’ ,
lagi mau kecoh!”. Diah terus
mengomel. Mulutnya itu memang terlalu
suka mengomel. Kalah mak nenek!.
“Eh dengar. Ingatkan pekak tadi. Err
... apa kau kata tadi , mamak roti canai?”. Ziah pelik.
Sengaja lehernya dipanjangkan untuk melihat hasil kerja sahabatnya itu.
“Ye le , kenapa ... pelik?”. Balas Diah sambil membuat
muka.
“Tentulan pelik , dalam banyak-banyak manusia , mamak roti
canai jugak yang kau lukis? Hei ... aku
tau la kau tu suka sangat makan roti canai. Kot ya pun takkanlah sampai ke
kelas kau nak bawa kesah roti canai kau tu!”. Usik Ziah
, tersenyum menahan tawa.
“Hello
kakak , aku ni kena buat tajuk ‘geseran’ untuk ‘micro teaching’ hari ni. Mmm ...
dan hanya insan-insan terpilih yang berfikiran
kreatif dan kritis macam aku ni sahaja yang boleh nampak perkaitan antara mamak
roti canai dengan geseran”. Jawab Diah dengan bangga.
“Eh , ada hubungan ke?”. Sampuk Noni yang sedari tadi hanya mendiamkan diri.
“Eee
... adalah. Cuba kau tengok gambar yang aku lukis ni. Nampak hubungannya?”.
Diah mengangkat tinggi lukisannya. Sengaja ditayangkan kepada dua sahabatnya
itu.
“Oooo ...
mamak terlepas cawan kopi. Tapi kenapa pulak sampai boleh terlepas
cawan?”. Tanya Noni jujur. Masih tidak faham-faham juga.
“Eee ... slow le hang pa dua orang ni!”. Belumpun sempat Diah
hendak meneruskan kata- katanya , Ziah
terus menyampuk.
“Eh tolong sikit. Aku ‘pickup’ bagus la. Noni , mamak ni baru buat roti
canai. Tangan dia penuh minyak. Bawak pulak air kopi panas. So? ... dapat
tangkap tak?”.Tanya Ziah sambil mengangkat-ngangkat keningnya berkali-kali.
“Ya , that’s my
friend!”. Sampuk Diah , sengaja tidak mahu terus memberikan jawapan. Diah tersenyum sambil menaikkan ibu
jarinya kepada Ziah.
“Ooooo ... dapat dapat dapat. Mamak tu sibuk sangat melayan
pelanggan sampai tak sempat nak bersarapan pagi. Perut dia sangat lapar , jadi dia tak boleh nak fokus pada kerja maka tertumpahlah air kopi panas
itu” . Balas Noni sambil tersengih.
“Err ... tapi apa kaitan
tak sarapan pagi dengan geseran?”. Noni berkata perlahan sambil menggaru
kepalanya yang tidak gatal!.
Ziah dan Diah sama-sama menepuk dahi , saling berpandangan
dan serentak mereka berkata. “Slow!!!”.
Lalu sama-sama tertawa.
“Err ... ketawa ketawa juga tapi apa jawapan sebenarnya?”.
Tanya Nonie yang memang terkenal dengan sikap ‘lurus bendul’nya itu.
“Ha ha ha “. Ziah dan Diah tambah tidak dapat
menahan tawa mendengar pertanyaan Noni. Tawa mereka semakin menjadi-jadi.
“Eee orang tanya
bukannya nak jawab. Asyik ketawa saja!!”. Noni bengang lalu pergi meninggalkan Diah dan
Ziah yang masih juga ketawa!.
Resah melihat
sahabatnya masih berlengah-lengah
Hari ni ada latihan
mengajar atau biasanya dipanggil ‘micro teaching’. Para pelajar akan diberikan
tajuk tugasan yang berbeza dan mereka perlu membuat persediaan , seterusnya
berlakon sebagai guru. Mereka harus menerangkan tajuk tugasan masing-masing dengan
mengaplikasikan teknik-teknik pedagogi
yang telah dipelajari kepada para pelajar lain yang turut berlakon sebagai
murid. Kali ini tajuk tugasan Diah ialah
‘geseran’.
“ Nanti akan aku terangkan bahawa
, kehadiran minyak boleh mengurangkan
daya geseran. Kelas gituu!”. Bisik hati kecil Diah sambil tersenyum , terasa
puas dengan hasil kerjanya.
“Woii Diah! Dah lambat ni. Jangan asyik nak berangan!. Tersengih-sengih
sendiri. Nanti tertinggal bas pulak. Pergilah
mandi cepat!”. Bising Ziah , resah melihat sahabatnya masih juga berlengah-lengah.
“Yelah mak nenek , aku pergi mandi lah ni!” . Balas Diah lalu
bergegas ke bilik air.
“Yelah tuuu ... mandi tu jangan lak berjam. Tinggal lima belas minit je bas
dah nak sampai. Kalau kau lambat aku pegi dulu!”. Jerit Ziah. Sengaja suaranya dikuatkan untuk
menyakat sahabatnya itu.
“Alahhh kata sahabat setia. Sehidup
semati konon. Baru nak kena tinggal bas dah belot! Cehhh!!!”. Balas Diah dari
dalam bilik air. Seketika itu juga pintu bilik air dibuka.
“Eh , dah mandi?”. Tanya Ziah
terkejut.
“Dahlah , tak nampak ke?”. Balas Diah
jengkel.
“Kejapnya?. Pakai sabun ke tak?”.
Tanya Ziah diiringi tawa. Noni yang berjalan ulang-alik mencari sesuatu turut tertawa. Inilah peluangnya untuk
mentertawakan Diah pula!.
“Woiii! Agak-agaklah!”. Marah Diah. Noni dan
Ziah terus-terusan ketawa.
“Alang-alang ada peluang balas balik!”.
Fikir Noni. Sengaja bereaksi lebih , ketawa sampai terguling-guling di lantai.
“Hah! Yelah ... ketawalah puas-puas!”. Bersama kata-kata itu
Diah berjalan masuk ke dalam bilik.
“Doommmm!!!”. Bunyi pintu dihempas. Ziah dan Noni langsung tidak peduli.
Mereka terus-terusan ketawa gelihati kerana berjaya menyakat Diah!.
Yang menariknya ‘brother tu belajar di Dublin ...
Seorang demi seorang ahli rumah itu
mulai keluar. Masing-masing tidak mahu ketinggalan ‘bas subsidi’ yang disediakan oleh pihak pengurusan
universiti. Kalau sampai ketinggalan alamatnya terpaksalah mereka menunggu bas
awam. Sudahlah datangnya tidak tentu masa , kena bayar pula tu. Silap hari
bulan tertinggal pula kuliah hari ini. Tidak pasal-pasal dikira ponteng!.
“Eh korang , mana pas bas aku hah?.
Ada sesiapa nampak tak?”. Kelam kabut Noni mencari pas basnya. Rupa-rupanya
itulah yang dicarinya sedari tadi. Memang Noni ini seorang yang pelupa. Sudah
beberapa kali dia memperbaharui pas basnya.
“Minah ni dah nak kahwin. Bulan lepas
baru saja bertunang. Bukan calang-calang orang tunangan dia tu, anak ‘lecturer’
Ekonomi !. Caya tak? Yang menariknya ‘brother tu belajar di Dublin, bakal
doktor perubatan. Entah macam mana lah boleh tersangkut dengan si Noni ni. Tapi
menurut cerita Noni , perkenalan mereka
memang menarik. Satu hari tu masa nak pergi ke kuliah , Noni tahan bas awam
yang juga lalu masuk ke U. Masa tu semua
kerusi dah penuh. Terpaksalah si Noni ni berdiri. Pas tu entah macam mana
adalah sorang mamat ni nak turun. Bila dia turun , maknanya adalah satu kerusi
yang kosong. Apa lagi , tanpa berlengah Noni terus duduk di tempat itu. Mmm ...
dan yang menariknya , sebelah kerusi itu adalah sorang lagi mamat ni. Tunduk
dan tawaduk. Ditakdirkan , satu insiden berlaku!. Setelah sampai perhentian
yang dituju, Noni segera bangun untuk membunyikan loceng. Tanpa disangka pemandu bas entah mengapa menekan brek dengan kuat dan
cepat. Apa lagi ... gedebuk!. Noni jatuh
di atas pangkuan mamat sebelah!. Dan dari situlah segalanya bermula ...”. Begitu lah cara Diah memperkenalkan
Noni kepada rakan serumah baru mereka , Ba’ie.
Ahli baru
Ba’ie baru saja
dikeluarkan dari asrama kampus. Alasan yang diberi oleh pihak pengurusan Kampus
ialah Ba’ie tidak aktif dan telah tidak menyertai aktiviti kampus. Biliknya
diberikan kepada pelajar junior. Nasib baik rumah sewa Diah ni masih boleh menampung
seorang lagi. Kini dah empat belas orang
ahli rumah ini. Padat memanglah padat namun mereka tidak pernah kesah kerana
rumah itu hanyalah tempat untuk melepaskan lelah. Kebanyakan masa mereka
dihabiskan di kampus sama ada untuk kuliah ataupun mentelaah di perpustakaan.
‘Lebih ramai lebih bagus kerana kurang duit yang perlu dikeluarkan oleh setiap
orang untuk membayar sewa!’.
“Aku sebenarnya tak puashati apabila
nama aku naik untuk dikeluarkan dari asrama”. Ba’ie meluahkan rasa hatinya.
“Kenapa?”. Tanya Noni.
“Alasan yang mereka beri ialah aku ni
tak aktif dan tidak terlibat sangat dengan aktiviti kampus. Pada hal aku joint
gak aktiviti yang dijalankan. Buktinya aku dapat naib johan syarahan yang
dijalankan di dewan makan , aku joint indoor games dia orang walaupun tak
menang. Dan lagi satu aku selalu solat berjemaah di surau kampus. Tak adil
betul dia orang buang aku!”. Terang Ba’ie.
Masih tidak dapat menerima nasibnya.
“Alahhh sudahlah tu. ‘Let looks
things from the bright sight’. Disebabkan kau kena buanglah maka kau ada
peluang tinggal serumah dengan kami semua. Kalau kau nak tahu , kami ni semua
adalah orang baik-baik yang sentiasa berbesar hati untuk menerima kau sebagai
sebahagian daripada ahli rumah ini”. Pujuk Ziah sambil tersengih-sengih memuji
diri sendiri.
“Ya betul , ‘let looks things from
the bright sight’!”. Noni mengulangi kata-kata Ziah sambil tersenyum lebar.
“Hmm pandai juga kawan aku ni bermain kata-kata”. Fikirnya.
Mereka ni sebenarnya baik tetapi terpaksa berlagak kejam.
Sekali lagi Ziah terpaksa
membangunkan Diah dari lamunannya , “Diah cepatlah. Kau ni tak habis-habis berangan ye?”. Bebel Ziah setelah melihat Diah yang masih termenung
panjang di depan cermin.
“Ops! ... sorry. Jomlah , nanti tertinggal bas pulak.” Ajak Diah sambil
berjalan laju mendahului Ziah.
“Tau tak pa!”. Balas Ziah sambil
membeliakkan matanya kepada Diah. Diah tertawa . Mereka sama-sama bergegas
keluar rumah menuju ke perhentian bas.
“Eh , mana Noni? Tak Nampak pun”.Diah
memandang kiri kanan mencari kelibat
Noni.
“Manalah pulak peginya mak nenek ni.
Tadi beria-ia mentertawakan orang!”. Rungut Diah.
“Tak berani nak naik bas , tak jumpa
pas. Takut pakcik check!”. Balas Ziah.
“laa ... kesiannya. Tunggu bas merahlah
tu?”. Sampuk Ba’ie , merujuk kepada bas awam.
“ Gitu lah nampaknya!”. Jawab Ziah
selamba , sudah lali dengan sifat pelupa Noni itu.
Begitulah kehidupan
mereka. Kalau nak naik bas ‘free’ mestilah mengambil pas di bahagian HEP (Hal Ehwal Pelajar). Tiada pas dianggap
sebagai penumpang ‘haram’. Pakcik yang dimaksudkan itu ialah pemandu dan
konduktor bas . Mereka ni sebenarnya baik orangnya tetapi terpaksa berlagak kejam.
Jika tidak , semua pelajar U yang tinggal di luar kampus akan berebut-rebut menaiki
bas yang disediakan itu
sepenuh-penuhnya. Maka tidak akan cukuplah tempat dan ruang untuk pelajar yang
‘legal’. Akibatnya jika ada yang buat
rungutan atau aduan di bahagian HEP , sudah tentu ‘pakcik’ konduktor dan
pemandu bas yang akan mendapat susah. Sebab itulah mereka terpaksa bertegas.
“Micro Teaching”
Setelah sampai tempat
yang dituju , mereka turun dengan lebih teratur sambil mengucapkan terima kasih
kepada ‘pakcik-pakcik’ bas itu. Apalagi ? ...
“Soru sapdek?” . Tanya Diah kepada
Ba’ie dan Ziah sebaik saja turun dari bas. Mereka adalah rakan sekursus , sama-sama mengambil kursus Diploma pendidikan
setelah menamatkan kursus Sarjanamuda masing-masing. Setiap seorang mempunyai sebab tersendiri
mengikuti kursus Diploma Pendidikan ini. Ada yang memilihnya kerana minat yang
mendalam untuk mendidik anak bangsa , malangnya ada juga yang memilihnya kerana gagal mendapat
pekerjaan lain!. Apapun , bukan hak kita untuk menilai.
Diah dan Ba’ie bakal
menjadi guru dalam pengkhususan Biologi/Sains manakala Ziah pula memilih
pengkhususan Matematik/Fizik. Pemilihan
pengkhususan tersebut bergantung kepada pengkhususan yang diambil semasa kursus
sarjanamuda mereka dahulu.
“Eh , takde lain ke kau nak ingat?.
Kejap lagi kan kau ada ‘presentation’. Lupalah tu! Kau tengok Ba’ie, korang yang nak kena ‘present’ , aku pulak
yang kena tolong ingatkan” . Marah si Ziah. Ba’ie hanya tersenyum. Diah pula
buat-buat pekak.
“Katalah apa saja , aku tak kesah dan
akupun takkan marahkan kau Ziah”. Bisik hati kecil Diah. Leteran Ziah itu hanya
bagaikan angin lalu menghembus mesra cuping telinga Diah!.
“Budak ‘Ayak Palong, Air Hitam, Kedah
ni tak akan dapat buat aku marah. Dia budak baik. Mak Bapak diapun baik. Rumah
dia di tengah sawah. Bapak dia ada traktor pembajak sendiri. Ikan pakai tangguk
aje di parit ( tali air). Sayur petik di belakang rumah. Sesekali bapak dia
tembak burung. Puh! Senang cakap , semuanya ada!. Depa pakai duit untuk apa pun
aku tak tau. Semua benda main ambil di sekeliling rumah. Lagi best , depan
rumah dia ada pokok ‘Pauh’ (mangga). Buahnya bukan main banyak lagi. Hebat ...
walaupun orang kampung, mereka sebenarnya ada semua!”. Begitulah pandangan Diah
kepada sahabat baiknya itu. Semasa cuti Hari
Raya Haji tahun lepas , Diah telah beraya di rumah Ziah. Sengaja hendak menimba
pengalaman dan ingin tahu cara ‘orang Kedah’ menyambut Hari Raya Korban. Masa
itu , barulah Diah tahu bahawa orang Kedah menyambut hari raya Aidil Adha lebih
meriah daripada hari raya Aidil Fitri.
“Yelah Diah , nanti kelam kabut kita
makan , tak umphh laa. Silap hari
bulan , tercekik. Tak pasal-pasal kena
pergi hospital!. Lagipun , aku tak ‘confident’
lagi nak ‘present’ ni. Gabra la!” . Balas Ba’ie menyokong kata-kata Ziah.
“Alah! Lagi setengah jam lah kak. Relaks laa ...
tak cukup ke semalaman akak ‘stay up’?
Apalah akak ni , cepat sangat menggelabah. Ingat skit kak oii , kalau asyik
menggelabah je nanti dapat sindrom ‘tua sebelum waktunya’! Ha ha ha”. Tawa Diah.
Langsung tidak mempedulikan kerisauan Ba’ie. ‘Cergas! Cerdas! Ceria!’ , itulah
moto hidupnya.
Seketika itu juga tangannya tangkas
menarik lengan Ziah lantas menyeretnya menuju ke kafeteria. Ba’ie
hanya mampu mengekori mereka dari belakang sambil menggeleng-gelengkan kepala.
Mahu tidak mahu dia terpaksa menurut juga. Terkial-kial dia mengejar langkah
Diah dan Ziah. Ziah pula menahan-nahan langkahnya dari terus
ditarik , sengaja mahu menunggu Ba’ie agar mereka bertiga dapat jalan seiring.
“Kakak-kakak berdua , kita makan untuk
15 minit je. Lepas tu kita cepat-cepat pergi kelas ... okey?”. Gurau Diah .
Sengaja bercanda untuk menghilangkan kerisauan dua sahabatnya itu.
Sebaik
sahaja mereka duduk di meja makan , seorang pelayan kafeteria datang
menghampiri mereka , “Hah dik , roti canai banjir dan teh tarik. Macam biasa ?”.
Tanya ‘abang pelayan’ itu kepada Diah. Dia memang sudah faham selera Diah. Mana tidaknya
, hampir setiap pagi sebelum ke kuliah , Diah memang takkan ‘miss’ pekena roti
canai dan teh tariknya.
“Yalah bang . Macam biasa”. Jawab
Diah.
“Ni adik dua orang lagi ni?” . Tanya ‘abang
pelayan’ itu pula sambil memandang Ziah dan Ba’ie.
“Samalah bang”. Jawab mereka
serentak. Malas untuk memikirkan menu yang lain. ‘Abang pelayan’ itu mengangguk
tanda faham dan berlalu. Lima minit kemudian ‘abang pelayan’ sudah muncul
semula bersama sedulang makanan yang dipesan oleh tiga gadis itu.
Apalagi?.
Mereka makan dengan penuh rasa
kesyukuran. Hilang terus kerisauan Ba’ie dan Ziah apabila melihat bebuih yang
menggiurkan dari mulut cawan teh tarik mereka. Tambahan pula aroma roti canai
panas yang baru dimasak memang menyelerakan!
Sebaik
saja habis menikmati roti canai banjir bersama teh tarik , ketiga-tiga sahabat
tersebut bergegas ke bilik tutorial masing-masing. Ziah ke bilik tutorial pelajar
‘matematik/Fizik’ manakala Diah dan
Ba’ie ke bilik pelajar ‘Biologi/Sains’. Masing-masing begitu yakin akan dapat mengajar subjek pilihan mereka apabila ditempatkan
di sekolah nanti. Walhal , semuanya bergantung kepada kekosongan dan keperluan
sekolah. Tambahan pula , subjek biologi dan Fizik adalah merupakan subjek
pilihan bagi pelajar aliran sains sahaja. Berbeza pula dengan matematik yang
menjadi matapelajaran teras yang wajib dipelajari oleh semua aliran murid di
sekolah.
“Hah! Sempat pun kita”. Kata Diah
setelah mengerling jam di tangan. Dia gembira setelah sampai di depan pintu
kelas tutorialnya. Wajahnya ceria memandang Ba’ie. Ba’ie tersenyum lega. Ya , mereka
telahpun berdiri di depan pintu bilik tutorial mereka!. Perlahan-lahan pintu bilik tutorial ditolak . Sebaik sahaja
pintu bilik tutorial itu terbuka , mereka terkejut besar. Sangat terkejut besar!!
Malang bagi mereka , semua mata sedang tertumpu ke arah mereka .
Dr Othman juga sedang merenung tajam. Keningnya berkerut , memandang kedua
gadis itu dengan wajah yang cukup serius. Memang telah menjadi pantang besar
bagi pensyarah ini jika ada pelajar yang hadir lewat ke kuliah atau
tutorialnya.
“Budak ni lagi!”. Rungut Doktor
Othman.
Ba’ie dan Diah menjadi serba salah. Wajah
mereka merah bagai udang dibakar. Malu diperhatikan begitu!. Rasa bersalah pun
ada kerana telah mengganggu perjalanan kuliah. Ba’ie mencuit lengan Diah. Diah
pula sibuk membelek jam di tangannya.
“Ahh! Patutlah . Jam mati!”. Keluh
Diah perlahan.
“Apa? Matilah!!!”. Kata Ba’ie sambil
mengerutkan keningnya. ‘Muka cuak’ jelas tergambar di wajahnya.
“Hah!. Baru sampai. Jangan pulak nak
beritau saya yang jam tangan kamu tu rosak!. Alasan lapuk itu sudah tidak
diterimapakai lagi”. Tegur Doktor Othman sambil memandang Diah. Diah menggaru-garu
kepalanya yang tidak gatal ...
“Laa ... lapuk abende?. Dah memang
betul kot!”. Kata Diah perlahan sambil berkerut dahinya mencari alasan lain.
“Err maafkan kami Doc. Tadi ... aaa ...
aaa ... kami lapar sangat. So kami singgah sarapan pagi dulu. Bajet masa makan 15 minit je tapi ... tapi
abang tu tebar roti canai lambat sangat
, tak sangka pulak boleh sampai setengah jam!”.
Diah memberi alasan , terpaksa menyalahkan
abang roti canai yang ‘lembab’ menyebabkan kelewatan mereka.
“Hmm ... memang beginilah sifat
manusia. Mudah sangat menyalahkan orang lain. Kita selalu saja lupa , apabila
satu jari menuding orang , empat jari lagi akan menuding ke arah kita sendiri.
Betul Mardhiah?”.
“Alamak! Dia tahu nama akulah!”. Kata
hati Diah. Terkejut juga dia apabila Doktor Othman tahu dan ingat akan namanya.
“Tak apalah tapi lain kali suruh
abang awak tu tebar roti canai cepat skit. Saya tidak mahu perkara ini berulang
lagi!”. Sindir Dr Othman.
“Err ... abang roti canai. Bukan
abang saya!” .Jawab Diah lalu segera sikunya disinggung oleh Ba’ie. Diah
memandang Ba’ie dengan rupa’tidak puas hati’. Ba’ie menjegilkan matanya lalu
membuat ‘isyarat mata’ penuh makna kepada
Diah. Diah terpaksa akur ...
“ Err ya ... kami janji!”. Jawab
mereka serentak. Bengang disindir begitu. Kawan-kawan lain tersenyum menahan
tawa.
Bagus ... saya suka Cikgu ini!
Seorang lepas seorang membentangkan tugasan
masing-masing. Sampailah ke giliran Diah. Diah membentangkan tugasannya dengan
baik sekali - berlakon sebagai guru di dalam kelas dengan tajuk geseran!. Mana
tidaknya , semalaman dia menyiapkan lukisan itu, ‘mamak roti canai terlepas
cawan kopi akibat minyak di tangannya’. Itu baru
untuk ‘set induksi’ , belum lagi pengisian yang lain. Memang Diah sangat
berbakat untuk menjadi seorang guru. Doktor Othman sangat berpuas hati.
Seperti biasa pada akhir
pembentangan tugasan , rakan-rakan setutorial diberi peluang untuk memberikan komen
mereka. Zuraimie , rakan setutorial yang sentiasa sibuk memperhatikan Diah dalam diam memang sudah lama menaruh ‘minat’ kepadanya. Anak muda ini sentiasa mencuba pelbagai cara untuk menarik perhatian gadis
yang diminatinya ini tetapi tidak pernah
mendapat balasan yang positif. Diah jual mahal , mana tidaknya , hati Diah
sudah terpaut pada yang lain. Cuma sayangnya orang itu sendiri tidak pernah tahu
akan perasaannya itu. Kira kes syok sendiri lah ni!!
“Bagus ... saya suka Cikgu ini! Sangat kreatif dan
langsung tidak membosankan. Bahan bantu mengajar yang digunakan sangat menarik
dan lucu. Bukan saja berbakat menjadi seorang guru yang baik tetapi juga sangat berbakat dalam lukisan. Jika
kedua-dua bakat ini dieksploitasikan tentu anak murid cikgu kelak takkan bosan
atau tidur di dalam kelas!” . Komen Zuraimie dengan penuh perasaan , memandang
wajah Diah tanpa berkelip!.
“Amboii!!”. Tegur seorang teman.
Zuraimie tersenyum , mengerling riak wajah Diah. Diah hanya mengerutkan dahinya
sambil mencebikkan bibirnya yang mongel.
“Wow! Comelnya!”. Kata hati Zuraimie.
Dr
Othman pula tersenyum lebar mendengar puji-pujian yang berlebihan itu.
Tertangkap di hatinya perasaan anak muda berwajah kacukan China ini. “Hmm ...
orang muda!”. Katanya di dalam hati.
“Erm?. Tapi ... saya tak sempatpun nak buat
kesimpulan. I can’t manage my time effectively!”. Balas Diah spontan. Diah tidak
suka dipuji tidak bertempat.
“Kami tahu!!!”. Jawab rakan-rakan
yang lain dan Dr Othman terus tersenyum.
‘Dating’ di perpustakaan ...
Diah bergegas keluar sebaik sahaja
kelas tutorial hari itu berakhir. Entah mengapa , perasaannya sedikit terganggu
dengan pujian terlampau yang diberikan oleh Zuraimie tadi , “Eee salah makan
agaknya mamat tu tadi!”. Fikirnya sambil mempercepatkan langkah.
“Eh Diah , kau perasan tak yang Zuraimie tu asyik pandang kita je”. Tanya
Ba’ie. Berlari-lari anak mengejar langkah Diah.
“Siapa Zuraimie?”. Tanya Diah ,
spontan.
“Alah! Mamat yang memuji kau
melambung tinggi tulah!. ‘Jika kedua bakat ini dieksploitasikan tentu anak
murid cikgu kelak takkan bosan atau tidur di dalam kelas’ ”. Ba’ie mengajuk
semula kata-kata Zuraimie tadi.
“Oo mamat tu. Kenapa dengan dia?”.
Tanya Diah , acuh tidak acuh.
“Sejak kita melangkah masuk tadi , aku perasan sangat yang mata dia tu tak
berkelip pun memandang kita!”. Kata
Ba’ie lagi. Tercungap-cungap dan masih berusaha mengejar langkah Diah.
“Ye ke?. Aku tak perasan pun”. Jawab
Diah selamba , tidak berminat dengan isu yang dikeutarakan oleh Ba’ie.
“Eerrr kau rasa, kenapa hah?. Eh
japlah. Aku tanya ni , kau rasa kenapa dia asyik pandang kita je hah?” . Tanya
Ba’ie lagi , tidak berpuashati dengan sikap acuh tidak
acuh Diah. Lantas lengan Diah ditarik , ada sesuatu di benak hatinya memerlukan jawapan. Jawapan yang ingin sangat
didengarnya.
“Alahhh mestilah dia pandang kita.
Kan kita berdua saja yang lambat. Siap kena sindir lagi. Kalau aku jadi dia pun
mesti aku pandang!”. Jawab Diah setelah memberhentikan langkahnya. Dia tidak
faham dengan sikap Ba’ie yang tidak habis-habis membicarakan soal Zuraimie.
“Eeee ... aku tak rasa macam tu
lah!”. Balas Ba’ie.
“Habis tu?. Takkanlah sebab dia dah
jatuh hati kat kita berdua kot!!”. Diah merenyih. Ba’ie diam.
“Opss! Tolonglah. Bukan kita berdua
tapi aku!. Aku okey?!”. Jerit hati Ba’ie. Mujur jeritan itu hanya berlaku di
dalam hatinya sahaja!.
“Heee
dahlah tu kak. Tak de maknanya kita kecohkan soal mamat ni. Jomlah kita
ke perpustakaan , nanti kesian pula Ziah menunggu kita lama”. Diah menukar
tajuk. Tidak berminat langsung untuk terus bercerita tentang Zuraimie. Ba’ie
kecewa ...
‘perpustakaan terbesar di Malaysia’
Seperti biasa , sementara
menunggu kuliah seterusnya tiga sekawan ini
pasti akan ‘melepak’ di perpustakaan. Pada mereka inilah syurga ilmu - ‘perpustakaan terbesar
di Malaysia’!
“Eh , betul ke terbesar di
Malaysia?”. Tanya Ba’ie apabila Diah memberikan pengiktirafan yang berlebihan
kepada library ‘mereka’ itu.
“Heee ... kau pernah dengar
perpustakaan Negara tak?”. Tanya Diah semula kepada Ba’ie. Ba’ie mengangguk.
“Bagus , sekurang-kurangnya kau bukanlah
‘katak di bawah tempurung’ “. Diah merenyih lebar.
“Okey. Aku memang bukan ‘katak di
bawah tempurung’. Tapi ... apa kaitannya dengan soalan aku?”. Ba’ie meminta
kepastian , tidak dapat menangkap maksud yang cuba disampaikan oleh Diah.
“Namapun perpustakaan Negara. So ,
fikirlah sendiri!”. Diah menjawab dengan menekankan perkataan’Negara’ sambil tertawa
kecil sebelum berjalan laju meninggalkan
Ba’ie sekali lagi.
“Eeee ... apa-apa ajelah dia ni!”. Terpinga-pinga
Ba’ie dibuatnya.
... luar kampus banyak mengajarnya tentang erti persahabatan dan
berdikari.
Diah dan Ziah memang suka sangat
menghabiskan masa mereka di perpustakaan.
“Best , macam-macam kemudahan ada. Kalau
malas nak cari sendiri buku atau bahan bacaan
, boleh cari menggunakan
komputer. Sesekali kalau penat belajar kita boleh tempah bilik untuk
menonton movie. Caya tak ? Dan yang lebih penting , pustakawan nya hensem ,
baik dan berbudi bahasa pulak tu!”. Begitulah caranya Ziah memujuk Ba’ie untuk ke perpustakaan. Dulu , Ba’ie memang
cukup malas untuk belajar di perpustakaan. Dia lebih suka bersendirian ,
belajar di bilik asramanya. Tetapi setelah
berpindah ke luar kampus dan berkawan baik pula dengan Diah dan Ziah ,
segalanya bertukar. Rasa lebih seronok belajar di perpustakaan bersama
kawan-kawan. Memang duduk di luar kampus banyak mengajarnya tentang erti
persahabatan dan berdikari.
Kali
ini Diah perlu mencari maklumat tentang tumbuhan daripada spesies Musasea sp. Semua ini adalah
untuk pembentangan tugasan yang diberi oleh Dr Rahim. Tajuk Musasea sp. ni dipilih sendiri oleh Diah sebagai bahan
pembentangan.
“Bukan apa , nampaklah glamour sikit.
Pasal orang lain mesti tertanya-tanya , makhluk apakah ini?. Monyetkah?.
Musangkah?. Walhal Musasea sp. ni adalah spesies pokok pisang!!”. Itulah
jawapan Diah bila ditanya oleh rakan-rakannya tentang tajuk yang dipilihnya
itu. Diah berniat untuk mengaitkan teori Sains penghasilan buah oleh pokok
pisang dengan peribahasa Melayu yang sangat popular iaitu ‘Masakan pisang berbuah dua kali’.
Itulah niatnya. Diah memang sangat kagum dengan kebolehan orang Melayu dulu
yang mampu mengaitkan fenomena semulajadi alam dengan pelbagai peribahasa yang
mempunyai maksud tersirat yang sungguh mendalam.
... kalau dah berdua-duaan macam tu , akan ada yang ketiga!
Sambil menyelam minum
air. Begitulah sikap Diah setiap kali
datang ke perpuatakaan. Diah memang suka memerhatikan gelagat mahasisiwa
dan mahasisiwi yang turut menggunakan perpustakaan. Memang ramai yang datang ke
sini untuk mentelaah ataupun menyiapkan tugasan namun tidak kurang juga yang menjadikan perpustakaan sebagai tempat
bertemujanji. ‘Temujanji’ orang terpelajar!.
“Aku pasti akan menjamu mata! Haii ... saja
nak tengok ‘couples’ U ni bercinta. Mereka ni suka sangat ke ‘library’
‘together-gether’!. Alasan nak study sama ... memang ada yang pulun study tapi
tengoklah , lebih ramai yang
menjadikan ‘study’ sebagai alasan. Dulu
ustaz aku kata , kalau dah berdua-duaan
macam tu , akan ada yang ketiga! . Eee! Faham-faham ajelah!”. Fikir Diah
sendirian , tidak selesa dengan apa yang dilihat. Sungguhpun Diah bukanlah
pelajar Fakulti Pendidikan Islam namun kepekaannya tentang hukum yang satu ini
memang amat ketara ,’Haram berdua-duaan lelaki dan perempuan yang bukan
muhrim!’ dan ‘Hendaklah kamu menjauhi zina’.
Setelah sampai di ‘port’
biasa mereka , ketiga-tiga sahabat ini duduk dan mula mengeluarkan buku
masing-masing. Banyak yang perlu disiapkan , tugasan yang berlonggok dan
pelbagai info dan maklumat lain yang perlu dicari , dibaca dan difahami.
“Alamak Ziah , tengok tu”. Bisik
Ba’ie kepada Ziah setelah dia terlihat abang Ibrahim dikerumuni lima orang pelajar perempuan! . Abang Ibrahim ini
adalah salah seorang ahli wakil pelajar Universiti yang dipilih secara
demokrasi. Sama seperti proses pilihanraya negara. Semua calon yang bertanding
akan berkempen agar dipilih. Warga ‘U’ akan membuang undi masing-masing dan
undian mereka adalah ‘rahsia’. Walaupun begitu kebanyakan calon pasti ada
‘badan’ lain di belakang mereka. Abang Ibrahim ini merupakan calon ‘favourite’.
Boleh dikatakan semua warga ‘U’ mengenali dia.
“ Eee ...”. Renyih Ziah , itu sajalah
reaksi paling baik yang boleh diberikan olehnya!.
“ Tak sangka ya , brother Brahim tu ...”.
Sambung Ba’ie pula , mula berburuk sangka.
“Aloo kakak , dalam makna tu! . Depa
tu study group laa ... , takpun tengah
buat ‘assignment’ kumpulan. Kakak berdua ni jangan suka fikir yang bukan-bukan.
Ingat , sangka buruk itu satu dosa!”. Tegur Diah.
“Astarghfirullah al-adzhiimmm ...
terima kasih ustazah!”. Ucap Ziah dan Ba’ie serentak. Diah tersenyum mendengar
panggilan ‘ustazah’ itu.
“Amal makruf nahi mungkar!”. Balasnya
sambil terus tersengih.
Namun belumpun seminit
... Ziah sudah mula bergosip lagi. “Diah , cuba kau pandang belakang kau.
Tengok meja baris kedua last”. Gesa Ziah. Diah
buat tidak tahu. Malas untuk berbuat seperti yang disuruh. Pada pendapat
Diah , mereka semua itu sudah besar panjang dan tahu baik buruknya.
“Diah , tengoklah!”. Gesa Ziah lagi.
Diah terpaksa akur.
“Wah mesra nya. Itu Masrita kan? Itu ke pakwe baru dia . Err ...
nampak sama je macam rupa ...”. Tanya Diah. Belumpun sempat dia menghabiskan
ayatnya ...
“Hah betul lah tu. Rita memang suka lelaki muka pesen macam
tu!”. Sampuk Ziah memotong kata-kata Diah.
Masrita pernah rapat dengan mereka semasa
sama-sama mengikuti program matrikulasi di Kulim , Kedah dahulu. Rakan sekelas
dan seasrama. Masrita pada ketika itu sedang hangat bercinta dengan seorang
pelajar lelaki bernama Yusof. Mereka
kerap bertemu dan menghabiskan masa senggang berdua. Diah dan Ziah pernah cuba
menasihati Masrita agar tidak membuang
masa melakukan aktiviti yang sia-sia lagi berdosa itu. Tambahan pula , tumpuan mereka seharusnya
hanyalah untuk meningkatkan pencapaian
akademik masing-masing. Berusaha untuk cemerlang dan bukannya sibuk bercinta!.
“Maaflah. Aku tak boleh hidup tanpa
lelaki!”. Itulah jawapan yang pernah diberikan oleh Masrita apabila dinasihati. Meremang bulu tengkuk Diah dan Ziah mendengar
jawapan itu.
“Macam cerita drama pulak!”. Fikir
mereka berdua.
Sungguhpun bercinta sakan , seperti
yang dijangka hubungan Masrita dan Yusof tidak berkekalan. Mereka berpisah juga setelah
masing-masing masuk ke university.
“Eh minah, bila aku nak mula buat
keja ni? Asyik layan kau orang tengok orang dating je. Lainlah kalau korang
atau aku yang dating!”. Tegur Ba’ie , tiba-tiba terasa yang masa mereka telah
dihabiskan untuk perkara yang sia-sia.
“Oppsss!”. Balas Diah dan Ziah
serentak. Mereka sama-sama tersenyum
dan mula membuat kerja masing-masing.
Sahabat
adalah cermin diri.
Jika kita berkawan
dengan orang yang suka memakai minyak wangi , kita juga akan berbau wangi.
Sebaliknya jika kita berkawan dengan orang yang bergelumang najis pasti
kita juga akan terpalit najisnya!
|
“Mmm ... Gunalah!”
Kembali ke kuliah Math.
Inilah subjek yang paling susah dan membosankan bagi Diah. Setiap kali habis sahaja
kuliah , pelajar wajib ke kelas tutorial pula. Sepatutnya mereka akan jadi lebih
faham tetapi bagi Diah sebaliknya , menjadi semakin tidak faham!.
“Aku bukan apa , aku tak tau apa
gunanya subjek ni dalam hidup aku. Itu yang buat aku malas nak study!”. Itulah komen
Diah tentang subjek ini. Lain pula halnya dengan Ziah , Matematik adalah
hidupnya , Ziah betul-betul sukakan subjek ini.
“Selagi dia ada kaitan dengan
Matematik , aku okey jee ...” . Komen Ziah .
Kuiz mengejut
“Baiklah , oleh kerana saya tahu
ramai juga pelajar yang selalu ponteng kuliah saya , maka hari ini saya akan
jalankan kuiz mengejut! ‘Bonus marks’ untuk mereka yang hadir dan sebagai
hukuman bagi yang ponteng!”. Puan Rabiah berkata dengan senyuman yang sentiasa menguntum di
bibir. Pensyarah muda ini mempunyai potongan badan yang sungguh menarik.
Tambahan pula beliau gemar berkebaya pendek. Sekali pandang macam ratu kebaya
dalam filem ‘Labu-labi’ lakonan bintang lagenda , Allahyarham P.Ramle.
Cukup terserlah sifat kewanitaannya.
Malah cukup untuk menggetarkan hati para siswa yang melihatnya!
“Alamak , matilah aku! ”. Getus Diah di
dalam hati. Memandang wajah Ziah minta simpati.
Ziah cuba menenangkan
diri. Walaupun begitu kerut di dahinya mengungkap rasa di dada. Mereka hanya
mampu berpandangan dan tersenyum ... pahit!
“Salin soalan berikut dan jawab di atas
kertas. Selesai menjawab pastikan nama
dan nombor daftar anda ditulis dengan jelas pada bahagian atas kertas jawapan”.
Sambung Puan Rabiah sambil memancarkan soalan yang sedia ada dalam komputernya
ke skrin menggunakan ‘LCD projektor’.
Semua pelajar dalam dewan
kuliah hari itu mula menyalin soalan dan menjawab. Suasana menjadi begitu sunyi sekali sehinggakan bunyi
keriukkan kerusi yang diduduki akan kedengaran setiap kali ada yang mengalihkan
punggung!.
“Alamak , tak bawa kalkulator lah!.
Ziah , kau bawa tak?”. Bisik Diah , takut dituduh meniru!.
“Aku pun tak bawa” .Jawab Ziah . Bengang.
“Macam manalah boleh tertinggal. Puan Rabiah nipun satu. Time aku tak bawa ,
masa tulah dia nak buat kuiz!”. Rungut Ziah sambil menggaru-garu kepalanya yang
tidak gatal.
“ Eee ... matilah macam ni!. Tak kan
nak kira ngan jari? Sampai berjanggutpun takkan habis jawab!”. Geram Diah
meluahkan perasaan bengangnya kepada
Ziah.
“Yelah. Itu memang dah tentu sebab
kita memang takkan berjanggut. He he he!”. Ziah membuat lawak , saja hendak
mengurangkan rasa ‘tension’.
“Eeee ... buat lawak pulak minah ni!”. Keduanya menahan
tawa.
“Aduhh ni kalau kira guna jari confirm tak siap. Kalau campur jari tangan
and kaki aku ngan kau pun tak cukup ni!!”. Ziah cuba membuat lawak lagi.
“Ceh diamlah ... lawak bodohlah
pulak!”. Marah Diah , takut jika dilihat oleh Puan Rabiah.
Tiba-tiba Diah terkejut
, sebuah kalkulator dihulurkan dari
baris kerusi betul-betul di belakangnya. Diah menoleh. Tidak disangka ,
ada yang prihatin!.
“Ahh ...”. Berderau darah Diah. Seorang
anak muda dengan rambut lurus jatuh menutupi dahi sedang menghulurkan sebuah
kalkulator kepadanya. Sepantas kilat jari jemari pemuda itu menolak rambutnya
ke tepi. Pemuda itu tersenyum memandang Diah , terserlah rahang pipinya yang
agak lebar dengan senyuman yang sungguh menawan.
“Ahhh ... indahnya!” Bisik hati kecil
Diah. Terpaku dengan apa yang dilihat.
“Mmm gunalah”. Begitu sopan Raziq berkata
sambil terus menghulurkan kalkulator. Bibirnya masih mengukirkan senyuman.
Begitu manis sekali. Jiwa remaja Diah terusik melihatnya.
“Tak apa , gunalah. Kebetulan saya
bawa dua kalkulator” . Raziq terus bersuara apabila melihat Diah seperti keliru
dan masih terkaku.
Diah jadi serba tak kena.
Mana tidaknya , Inilah jejaka tampan yang telah mencuri hatinya dalam diam dan
selalu mengganggu konsentrasinya semasa
di ‘library’!. Jejaka ini sering duduk selang 3 meja dari ‘port favourite’ Diah
dan Ziah. Pun begitu tangan Diah mencapai juga kalkulator tersebut .
“Terima kasih ...”. Kata Diah separuh
berbisik. Hanya senyuman membalas kata-kata tersebut. Diah tidak berani
menentang mata jejaka pujaannya ini. Dek kerana terlalu gelabah , tanpa
disengajakan tangan mereka bersentuhan.
Serta merta darah mengalir ke wajah Diah. Wajah putih gebu itu bertukar
kemerahan!
“Sorry ...”. Bisik Diah antara dengar
dengan tidak.
“Tak mengapa”. Balas Raziq. Senyuman masih menguntum di
bibirnya. Hatinya berbunga-bunga. Mana tidaknya
, inilah gadis yang sering
menarik perhatiannya semasa di ‘library’. Sudah lama Raziq ingin berkenalan tetapi terlalu malu
untuk membuka langkah . Tidak disangka
, hari ini peluang sudah terbuka untuknya. “Hari ini segalanya pasti bermula.
‘Terima Kasih Puan Rabiah’!”. Katanya di dalam hati.
... sikap ‘lupa kawan’...
Berakhir juga kuliah
pada hari
itu. Sebaik sahaja kertas jawapan
dipungut , semua pelajar bergerak keluar meninggalkan dewan kuliah. Ziah
muncung mencuka. Berjalan laju tanpa menghiraukan Diah. “Oii minah... kenapa?. Angin tak ada , rebut tak
ada. Tiba-tiba hujan?”. Tanya Diah
sambil mengejar sahabatnya itu.
“Kenapa kau kata ? Huh! Sudah geharu , cendana pula!”. Ziah mengomel dengan
mulut yang sengaja dimuncungkan. Kakinya
terus dihayun laju.
“Ehhh kak , apa ni ? Tak fahamlah...”.
Jawab Diah serius. Berlari anak memintas langkah Ziah. Ziah menghentikan
langkah , mengetapkan bibirnya sambil memandang Diah dengan kening yang berkerut.
“Engkaulah , dapat kalkulator
langsung tak pas pada member sebelah!!”. Marah betul Ziah. Mana tidaknya ,
akibat sikap ‘lupa kawan’ Diah tadi , Ziah tidak sempat menyiapkan lebih
separuh soalan.
“Alamak!. Sorry lah
kak , aku sebenarnya tadi tak boleh nak berfikir langsung. Dapat kalkulator pun
tak tau nak tekan apa!”. Kesal sungguh Diah kerana telah melupakan kawannya itu.
“Betul
ke?. Awat teruk sangat?” . Tanya Ziah ingin tahu. Serta merta hilang rasa
marahnya , yang ada kini hanyalah sifat ingin tahu dan ambil beratnya terhadap
Diah. Itulah Ziah , marahnya bagaikan angin lalu.
“Ziah , itulah jejaka pujaan aku!”. Bisik Diah
sambil memegang kedua tangan Ziah. Saling berpandangan. Ziah dapat melihat
wajah Diah berseri-seri ketika menyatakannya.
Jelas sekali kata-kata itu memang lahir dari lubuk hatinya.
“Laa ... ye ke? Macam muka Bangla kat
stesen minyak je”. Usik Ziah. Ziah memang sedia maklum bahawa sahabat baiknya
ini memang sedang gila bayang. Cuma Ziah tidak pernah ambil pusing siapakah gerangannya
jejaka tersebut.
“Eh , tolong skit ... kulit cerah
okey!”. Mereka sama-sama tertawa.
Terima kasih sebab pinjamkan saya kalkulator ...
Inilah hari yang paling bersejarah
dalam hidup Diah. Semuanya bagaikan sudah tersurat. Siapa sangka , begitu
banyak tempat duduk dan begitu ramai pelajar dalam dewan kuliah hari itu ,
Raziq boleh duduk di belakangnya dan telah meminjamkan kalkulator kepadanya!.
‘Pucuk dicita , ulam mendatang’ , Diah benar-benar rasa bertuah hari ini.
“Assalamualaikum!”. Tiba-tiba satu
suara memeranjatkan kedua sahabat
tersebut. Serentak mereka menoleh.
“Waalaikummussalam”. Balas Ziah tetapi Diah - membisu seribu bahasa!. Lidah kelu untuk
berbicara. Jantungnya berdegup kencang. Hatinya resah tidak menentu.
“Saya Raziq. Boleh kita berkenalan?”.
Tanya Raziq dengan sopan sambil matanya tepat memandang wajah Diah yang tiba-tiba
bertukar merah bagaikan udang dibakar!.Ziah menyenggol siku Diah. “Hish kau ni
, kot iapun ‘cover’lah sikit rasa
hatitu. Malu le!”. Bisik Ziah perlahan. Diah
tersipu mendengarnya.
“Ah ... err ... saya Diah. Ini kawan baik saya
Ziah. Terima kasih sebab pinjamkan saya kalkulator tadi”. Diah berkata laju. Akhirnya
dapat juga Diah menjawab setelah berjaya
mengurangkan rasa gemuruh dan debaran di hati.
“Perkara kecil saja. Dah nak balik
ke?. Errr ... kalau sudi , boleh saya
tolong hantarkan. Kebetulan sayapun dah nak balik ni”. Pelawa Raziq dengan
penuh sopan. Berharap sangat pelawaannya akan diterima.
“Err ... boleh jugak ...” . Jawab Ziah
namun belumpun sempat dia menghabiskan ayatnya ....
“Eh , tak apalah , kami masih nak ke perpustakaan. Err ada kerja
nak buat. Kan Ziah?. Err ... Jumpa lagi!”.
Diah menolak pelawaan Raziq lantas segera menarik tangan Ziah , berjalan laju meninggalkan Raziq
terpinga-pinga.
Setelah agak jauh ...
“Alah jual mahal pulak!”. Usik Ziah.
“Hishh diamlah!”. Balas Diah.
“Mulut kata tak apalah tapi hati kata
‘mau’!”. Usik Ziah lagi.
“Hishh diamlah!!”. Balas Diah.
“Jinak-jinak burung merpatilah
konon!”. Ziah terus mengusik , suka melihat muka Diah yang merah menyala.
“Hisshhhhh diamlah!!!”. Geram pula
Diah terus-terusan diusik.
“Eh Diah , kau nak bawak aku ke mana
ni?” . Tanya Ziah , masih lagi tersenyum-senyum melihatkan Diah yang gelabah.
“Tak dengar ke tadi? Ke perpustakaan
lah , mana lagi?!”. Jawab Diah dengan suara yang sengaja diperlahankan.
“Aloo kakak , ni jalan nak baliklah.
Bukan nak ke perpustakaan. Tuu kat belakang tadi jalan ke perpustakaan!?”.
Balas Ziah sambil tergelak besar. Geli sungguh hatinya melihatkan keadaan Diah
yang ‘malu-malu kucing’ itu.
“Apa?! A aaaargh ... malunya!!”
. Jerit Diah. Lantas segera menoleh ke
belakang. Dari kejauhan dia masih boleh melihat wajah tampan Raziq ,
melambaikan tangan sambil tersenyum memandangnya!.
“Napa tak cakap tadi. Malulahhhh!!!!!”. Diah separuh
menjerit.
“Alah ... malu tapi mahu! Meoww! Meoww!!”. Usik Ziah sambil
terus tertawa.
Aku suka kamu
Kalau bolehku bisikkan padamu
Umpama mesra deru angin lalu
Supaya kau tahu isi hatiku
Utuhnya rasaku terpahat di kalbu
Kau pasti terharu kerna ianya sejak
dulu
Aku cinta kamu tanpa jemu
Ku harap kau juga begitu
Akan menyambut seruan batinku
Memupuk kasih menyemai rindu
Untuk kau dan aku , kan akhirnya bersatu
Cinta dan Harapan Mardiah
........bersambung dalam Bab 2
|
kenangan mengheret dalam ingatan
ReplyDeletetun sri lanang, pusanika dan rumah no 44
Hmm ... bukan 44.
DeleteCerita tiada kaitan secara langsung dgn penulis.
Tq sbb prihatin.