Popular Posts

Monday, 17 April 2017

Novel 2 : Selepas Hujan ... Bab 20

BAB 20:        KELIRU
Ada kalanya kebenaran itu memberikan rasa yang amat pedih
... tika kita terkurung dalam penjara yang kita cipta ...
-Lalu menjadi pengajaran sepanjang hayat-

... dia menjalani pemeriksaan lanjut peparunya
Abang Anip bangun dengan payah sekali. Mana tidaknya ,  badannya bukan saja lemah tetapi  juga sengal dan sakit-sakit. Tapak kakinya bagai dicucuk-cucuk setiap kali dia memijak. Bahu dan belikatnya lenguh dan sentiasa lesu. Pinggangnya pula terasa keras dan amat payah untuk bergerak. Lebih buruk lagi batuknya semakin menjadi-jadi. Adakalanya batuknya itu  turut mengeluarkan darah , sudah dua minggu begitu dan kini batuknya masih juga mengeluarkan darah. Hendak dikatakan abang Anip mengidap batuk kering , pemeriksaan rapi di hospital telah mengesahkan yang dia bebas daripada penyakit itu. Menemui jalan buntu ... doktor mencadangkan agar dia menjalani pemeriksaan lanjut peparunya. Dia kini disyaki menghidapi kanser peparu!.
“Ya Allah! Kanser peparu?”. Abang Anip bagaikan tidak percaya dengan apa yang didengarnya. Ziah tidak kurang terkejut , “Ya Allah , dugaan apa lagi yang akan Kau berikan kepada kami?. Ampunilah kami dan tabahkanlah hati kami untuk menempuhinya”. Doanya.
Ujian biosep telahpun  dijalankan  , tinggal menunggu keputusannya sahaja. Abang Anip resah menanti keputusan itu manakala Ziah tidak putus-putus berdoa agar ujian  biosep itu nanti menunjukkan keputusan yang negatif.
“Abang , nak ke mana? Mari Ziah bantu”. Ziah membantu abang Anip yang cuba bangun dari pembaringannya. Ziah yang kebetulan baru sahaja melangkah masuk ke dalam bilik segera mendapatkan suaminya itu.
“Err , Ziah. Abang bosan baring sepanjang hari. Ingat nak ke anjung  rumah. Nak tengok luar , nak hirup angin petang”. Jawab abang Anip.
“Kalau gitu ... jom Ziah temankan”. Abang Anip mengangguk lalu Ziah memimpin suaminya itu dengan penuh kasih sayang . Bibirnya menguntumkan senyuman yang tidak pernah lekang , “Buat suami tercinta. Semuga senyuman ini akan meredakan tekanan perasaan abang Anip”, fikirnya.
“Ziah , sejak kita bersama ... apa kegembiraan yang pernah abang berikan kepada Ziah?”. Tanya abang Anip tiba-tiba. Wajahnya serius sekali , memandang isterinya dengan penuh ihsan.
“Kasihan isteriku ini , berkahwin dengan lelaki berpenyakit sepertiku. Aku bagaikan biawak hidup yang terpaksa kau galas ke mana-mana”. Fikirnya , sedih.
“Banyak ... tidak terkira bang. Abang tahu , kegembiraan buat Ziah adalah apabila Ziah dapat berada di samping abang , duduk bersama abang , berbual dan berkongsi susah senang . Seperti sekarang”. Jawab Ziah jujur.
“Hmmm ...” . Abang Anip tersenyum pahit mendengar jawapan Ziah. Air liur ditekaknya bagaikan tidak tertelan. Terharu sungguh hatinya mendengar jawapan  ikhlas daripada  isteri tercinta.
“Tapi banyak susahnya dari senang. Sampai bila Ziah akan larat melayan abang begini. Kalau ditakdirkan abang akan sakit berpanjangan , bertahun-tahun atau membawa ke mati?”.
“Abang!!. Tak baik kata begitu. Bukankah setelah kita diijabkabulkan , dua jiwa kan menjadi satu?. Sakit abang sakit juga Ziah. Gembira abang gembira juga Ziah. Ziah tak kisah bagaimana keadaan abang asalkan kita dapat bersama”. Jawab Ziah , sedih. Kata-kata abang Anip itu menggores perasaannya.
“Tapi sampai bila?. Ketika Ziah setuju untuk berkahwin dengan abang, abang adalah lelaki paling sihat , paling gagah. Tapi sekarang , tengoklah. Nak berdiri tegakpun payah. Apatah lagi nak menjalankan tanggung-jawab sebagai suami. Huh! Kalau dulu Ziah terima Kamal  , tentu tak begini nasib Ziah kan!”. Abang Anip terlepas cakap. Rasa bersalah  melihatkan penderitaan Ziah bersuamikan lelaki sakit sepertinya menyebabkan mulutnya begitu bacol mengeluarkan kata-kata busuk sebegitu.
“Abang!!!. Tergamak abang kata begitu?. Ziah cintakan abang. Cerita kita ini tidak pernah ada kena mengena dengan Kamal!. Tergamak abang menyebut nama itu?. Bukannya abang tidak tahu , siapa dia. Lelaki sejahat itu!!”. Ziah menggigil menahan marah. Dalam terguris hatinya apabila abang Anip memperendahkan cinta dan kasih sayangnya. Sanggup pula mengaitkan dirinya dengan lelaki yang pernah cuba menodainya!. Air mata Ziah mengalir laju membasahi kedua belah pipi yang kini memerah menahan rasa. Kesal sungguh hatinya mendengar kata-kata abang Anip tadi.
“Ziah!!!. Maafkan abang!”. Abang Anip tergamam melihatkan reaksi Ziah. Dia sedar , dia benar-benar telah tersalah cakap lalu segera tangan Ziah digenggam dan dikucupnya. Menyesal. Abang Anip benar-benar menyesal dengan apa yang dikatakannya. ‘Terlajak perahu boleh diundur , terlajak kata …’.
“Ya Allah tabahkanlah  hatiku!”. Doa Ziah. Ziah cuba merasionalkan fikirannya. Ziah sedar dalam  keadaan sekarang , abang Anip memang amat tertekan. Kata-kata yang keluar daripada mulutnya selalu saja melukakan.  Ziah sedar itu ! .
Ziah juga sudah bersedia menghadapinya.  Ziah membalas genggaman tangan  abang Anip. Rasa sebak bersarang di hati.

 Ziah sendiri tahu yang abang ni perokok tegar
“Sayang , jangan sesekali ragu dengan cinta kita dan janganlah pernah kaitkan Ziah dengan mana-mana lelaki lain. Satu lagi , tolonglah jangan berputus asa. Kita usaha sehabis mungkin. Allah tidak suka hambanya yang mudah berputus asa”. Pinta dan nasihat  Ziah.
“Ziah, bukan abang berputus asa tapi ... jika andaian doktor itu benar ...”. Kata-kata abang Anip terputus , ngeri membayangkan kemungkinan keputusan ujian ‘biosep’nya minggu hadapan.
“Tak! Ziah tidak rasa itu benar!”. Ziah menafikan sekerasnya. Lagaknya seperti sudah pasti.
“Mengapa tidak?. Ziah sendiri tahu yang abang ni seorang perokok tegar. Dah bertahun-tahun abang merokok. Agaknya peparu abang ni dah hitam pekat dek asap rokok tu”. Abang  Anip menyesali dirinya. Mengapalah dia begitu cuai menjaga kesihatannya  sendiri.
“Sayang , perkara itu telah berlalu. Usahlah disesalkan lagi. Yang penting kita tidak berputus asa apatah lagi putus harap. Sesungguhnya Allah itu Maha Pengasih lagi Maha Penyayang”. Ziah mengelus-ngelus lembut tangan suaminya. Abang Anip diam , tenang sedikit hatinya apabila dipujuk begitu .

Setelah lama diam , “Hmm ... abang , Ziah tanya sikit boleh?”. Tanya Ziah sambil memandang wajah suaminya.
“Hmm ...”. Jawab abang Anip sepatah.
“Kenapa abang dulu boleh sampai merokok?. Mak kata abang dari zaman sekolah menengah lagi dah merokok. Hmm … bukan apa , Ziah cuma hairan , di sekolah kita selalu diajar agar jangan merokok tapi makin ditegah makin menjadi-jadi pelajar yang merokok. Kenapa agaknya ye bang?.” Tanya Ziah , sengaja mahu menukar tajuk perbualan mereka.
“Ha ha ha.” Abang Anip tertawa mendengar soalan Ziah itu.
“La?. Apasal ketawa pulak?.” Ziah hairan.
“Sayang , tak ‘macho’lah kalau tak merokok. Lagipun lelaki yang merokok ni nampak matang dan berani. Hmm … barulah senang nak pikat awek!.” Jawab abang Anip sambil tersenyum.
“Eeeee … gatal!”. Kata Ziah sambil mencubit lengan suaminya itu.
“Hei! Sakitlah. Itu cerita lama. Cerita zaman sekolah.” Balas abang Anip sambil menggosok-gosok lengannya.
“Abang , kenapa ye, perokok masih merokok walaupun telah dipamerkan gambar-gambar ngeri  akibat merokok pada kulit kotak rokok itu?”. Tanya Ziah.
“Gambar-gambar ngeri?”. Abang Anip tidak faham.
“Yelah , gambar-gambar pada kotak rokok tulah , macam-macam  rupa gambar yang mengerikan terutamanya gambar bayi pramatang , cacat dan sebagainya. Ngeri betul!”. Terang Ziah.
“Heee ... yang mereka pandang bukan gambar pada kotak rokok itu Ziah tapi  isi di dalamnya!”. Abang Anip tertawa mendengarkan soalan isterinya itu.
“Lagipun manusia ni selalu saja sangka yang perkara buruk itu akan menimpa orang lain ... bukan dirinya. Mereka termasuklah abang sendiri selalu saja mengambil contoh orang-orang tua kita dulu sebagai dalil untuk merokok”.Terang abang Anip.
“Maksud abang?”. Tanya Ziah , tidak faham.
“Yelah ... orang tua-tua dulu merokokpun umurnya panjang. Takde pulak kena pelbagai penyakit macam sekarang ni. Rasanya masa abang kecil dulu tak pernah  dengar langsung ada orang-orang tua kampung ni yang mati kerana kanser. Semuanya mati tua , jatuh bilik air atau mati dibaham harimau semasa menoreh getah  tapi mati kerana kanser , memang tak ada. Tak pernah dengarpun”. Terang abang Anip.
“Hmm … ye ke?. Tapi bagaimana pula pendapat abang sekarang?”. Tanya Ziah lagi.
“Sekarang abang menyesal menjadikan itu semua sebagai dalil . He he he”. Abang Anip mentertawakan dirinya sendiri.
“Ziah tengok keadaan abang sekarang , nak berjalan pun perlu dipimpin. Sakit dada ni bila bernafas. Orang dulu pun mungkin ada yang kena pelbagai penyakit sejenis ini tapi cuma masa dulu , orang tak tahu yang penyakit itu adalah kanser dan mungkin berpunca daripada rokok yang mereka ambil setiap hari. Lagipun  masa tu tak de lagi kajian atau orang yang nak buat statistik bilangan orang yang menghidapi penyakit seperti ini. Ye tak?”. Kata abang Anip sambil memandang Ziah.
“Hmm ... ada betulnya bang. Kalau adapun mereka suka sangat mengaitkannya dengan perkara-perkara mistik. Terlangkah bendalah , keteguranlah , ada orang dengki dan macam-macam lagi. Lagipun mereka lebih mempercayai bomoh daripada mendapatkan rawatan di hospital atau klinik”. Tambah Ziah pula. Abang Anip hanya tersenyum mendengar komen Ziah.
“Tapi apapun bang , jangan berputus asa. Kuatkan semangat. Abang mesti melawannya. Demi Ziah bang ... Ziah tak mahu kehilangan abang”. Pinta Ziah pula. Tangan abang Anip digenggamnya.
“Ziah cakap ni macam abang betul telah disahkan mengidap kanser paru-paru je” . Abang Anip berkata sambil tersengih.
“Abang ... Ziah harap itu semua tidak betul!”. Menitik air mata Ziah mendengar kata-kata abang Anip.
“Hmm ... sudahlah. Abang bergurau saja. Kita serahkan segalanya kepada takdir Allah. Apapun keputusannya nanti , abang redha!. Cuma kesian isteri abang ni. Baru kahwin dah jadi balu. Heee …” . Abang  Anip cuba bergurau lalu merangkul pinggang Ziah sebelum mengucup dahinya. Rambut Ziah diusap lembut ... Ziah membiarkannya , “Ada benarnya kata-kata abang ini”. Fikirnya. “Kalaulah itu sampai terjadi , apa pula nasib yang akan menimpaku?” Fikirnya lagi sambil terus merenung lelangit biru.


Suatu kejadian ....
Lewat petang itu Ziah terpaksa ke kebun belakang rumah sendirian. Ibu mertuanya kepingin sangat hendak makan ulam pucuk ubi celur bersama sambal belacan. Sungguhpun penat melayan kerenah dan merawat abang Anip , Ziah menggagahkan diri ke kebun belakang untuk memetik pucuk ubi. Demi ibu mertuanya , Ziah gagahkan diri. Ziah benar-benar mahu mengambil hati mak Midah semula. Pelbagai perkara yang berlaku sejak akhir-akhir ini sedikit sebanyak telah merenggangkan hubungan mereka berdua.
“Huh!. Harap sangat mak akan kembali sayang kepadaku seperti dulu”. Doa Ziah di dalam hati. Tidak betah rasanya tinggal serumah sedangkan perasaan masing-masing sering saja terguris dan dipenuhi prasangka.
            Raga kecil diselitkan pada lengannya , mengatur langkah ke belakang. Lepas satu  , satu lagi pucuk ubi dipetiknya. “Hmm ... banyak pulak pucuk ubi ni. Baik ambil banyak-banyak terus , esok boleh dimasak lemak cili api. Ikan terubuk bakar dengan masak lemak cili api. Hmm ... mesti menyelerakan!. Mak pasti suka”. Fikir Ziah sendiri.
“Ibu … ibu … engkaulah ratu hatiku. Ibu mertua juga mempunyai darjat yang sama dengan ibu kandung sendiri. Maka cinta dan sayangku kepada ibuku sendiri harus sama dengan cinta dan sayangku kepada ibu mertuaku”. Fikir Ziah.
Sedang Ziah leka memetik pucuk ubi , tanpa disedarinya , sepasang mata sedang liar memerhatikan setiap gerak laku Ziah. Renungannya penuh rasa benci ... ada dendam kesumat yang belum terlangsai ...  ada api menyala dalam jiwa yang bakal terhambur keluar pada bila-bila masa sahaja lagi.
“Huh! Berani sungguh kau memusnahkan segalanya. Berani kau menghancurkan cinta yang sekian lama terbina. Milikku kau rampas semahunya. Hancur luluh hati ini. Apa lagi yang tinggal buatku?. Kini masanya kau menerima padah. Maka jangan sekali-kali kau salahkan aku jika sesuatu yang buruk berlaku padamu. Berani buat berani tanggung . Perempuan tak sadar diri!”. Itulah katanya. Kata-kata yang penuh kebencian …

 Ziah segera menolaknya dan masuk dengan tergesa-gesa
Ketika sedang leka memetik pucuk-pucuk ubi , Ziah tiba-tiba dikejutkan dengan bunyi ‘suara garau’  yang mungkin terperanjat apabila sebiji kelapa daripada sebatang pokok yang berhampiran tiba-tiba jatuh dari tandannya ,  tidak jauh dari tempat Ziah berdiri. Malang bagi pemilik suara itu kerana kehadirannya telah disedari namun  rahmat bagi Ziah. Oleh kerana kelapa itulah maka Ziah tersedar bahawa dirinya sedang diperhatikan. Serta merta rasa takut dan cemas menyelubungi hatinya , peristiwa lalu datang menghantui. Ketika dirinya sendirian di kebun belakang , maruahnya hampir punah dirampas!. Ziah takut … Ziah benar-benar takut dan cemas.
 Tanpa sebarang kata , Ziah membuka langkah seribu. Habis bertaburan pucuk ubi yang telah dipetiknya!. “Tolong! Tolong! Tolong!”. Jerit Ziah. Malangnya tiada siapa yang mendengar jeritannya itu. Ziah terus berlari dan berlari. Langsung tidak berani menoleh ke belakang. Sebaik sampai sahaja di pintu dapur , Ziah segera menolaknya dan masuk dengan tergesa-gesa. Pintu segera ditutup dan diselak. Ziah termengah-mengah menahan penat , berlari laju bagaikan lipas kudung benar-benar membuatkannya lelah.
 Tiba-tiba Ziah dikejutkan lagi ... “TOK! TOK! TOK!” . Bunyi pintu dapur di ketuk kuat.
“TOK! TOK! TOK!” , bertalu-talu. Ketukan itu bagaikan telah menghentikan degupan jantung Ziah. Mukanya benar-benar pucat ... ketakutan.
“TOK! TOK! TOK! TOK! TOK!”. Bunyi ketukan masih kedengaran  ... Ziah masih tegak kaku seperti patung cuma jantungnya saja yang masih berdegup kencang. Peluh dingin membasahi dahi.
“Laaa ... akak , kenapa tak dibuka pintu ni?. Kan ada yang mengetok tu. Takkan tak dengar?”. Kata Miah sambil menjeling tajam ke arah Ziah , “Pekak ke?”. Kata hatinya , jengkel lalu terus mahu membuka pintu dapur itu.
“Jangan!!”. Jerit Ziah tetapi sudah terlambat. Terlambat . Pintu dapur yang ditutup rapat itu sudahpun dibuka.
“Akak ni kenapa hah?”. Tanya Miah. Memandang Ziah dengan kehairanan. Akhir-akhir ini ada-ada saja sikap Ziah yang tidak menyenangkan hatinya.
“Kan ke tu abang Anip?”. Kata Miah lagi. Ziah mengangkat mukanya. Matanya yang dipejam dibuka perlahan-lahan.
“Abang!”. Ziah bersyukur melihat suaminya.
“Abang dari mana saja senja-senja begini?”. Tanya Ziah. Hairan. Langsung tidak menghiraukan kata-kata adik iparnya itu.
“Abang dari belakang. Tiba-tiba saja abang terlihat Ziah lari lintang pukang. Tu yang abang cuba kejar sampai ke mari. Ziah kenapa?. Apa yang dah berlaku?”. Tanya abang Anip , risau melihatkan keadaan isterinya yang pucat lesi.
“Eh! ... tak ada apa-apa. Ziah cuma terkejut sikit.  Err ... abang dari belakang?. Senja-senja begini?. Bukan ke abang tidak sihat?”. Tanya Ziah bertubi-tubi. Hairan melihatkan suaminya yang tiba-tiba saja cukup kuat untuk berjalan-jalan ke kebun belakang.
“Mana mungkin abang Anip mampu berjalan ke belakang sendirian. Selama ni aku yang selalu memapahnya ke sana ke mari. Pelik? … dan siapa  pula yang mengejarku tadi?. Aku benar-benar pasti yang aku memang mendengar ‘suara garau’ dan  memang ada sesuatu yang mengejarku tadi. Tapi apa … atau siapa?. Takkanlah abang Anip … atau mungkinkah ‘dia’ sudah kembali?. Ya Allah , lindungilah hambamu ini”. Tubuh Ziah menggigil ketakutan  memikirkan semuanya.
“Ziah , awak okey ke?.” Tanya abang Anip , risau melihatkan keadaan Ziah.
“Errr … ya. Ziah okey. Tapi kenapa abang boleh tiba-tiba saja ke belakang sendiri … pada waktu senja-senja begini … dan dalam keadaan kesihatan abang yang belum pulih?”. Tanya Ziah , penuh curiga.
“Hmm ... tulah. Abang pun tak tahu macam mana nak jawab soalan Ziah. Abang sendiripun sebenarnya rasa pelik. Apa yang boleh abang katakan cuma bila abang sedar , abang memang sudah berada di belakang. Mungkin kaki ni agaknya yang dah rindu sangat nak jejak ke tanah belakang , nak tengok kebun yang dah lama abang tinggalkan. Nak tengok anak-anak ikan yang sekarang semuanya sudah sebesar lengan. Tapi yang Ziah tiba-tiba lari lintang pukang tu kenapa?. Macam dikejar harimau!”. Renyih abang Anip. Sengaja menukar tajuk perbualan. Dia sendiripun sebenarnya bingung tentang bagaimana atau mengapa dia sampai boleh berada di kebun belakang.
“He he he ... agaknya Ziah yang bereaksi berlebih-lebihan. Sebenarnya tadi semasa Ziah sedang memetik pucuk ubi , tiba-tiba Ziah terdengar bunyi satu ‘suara garau’,  suara seorang lelaki. Hmm … suara abanglah agaknya tu!”.
“Habis tu , dengar suara je Ziah terus lari lintang pukang?”. Sampuk abang Anip , merenyih memandang Ziah.
“Ya.  Suara tu Ziah dengar betul-betul selepas sebiji buah kelapa jatuh tidak jauh dari tempat  Ziah memetik pucuk ubi tadi. Tu yang Ziah sangka seperti ada orang nak lakukan sesuatu pada Ziah. Apa lagi , Ziah buka langkah seribulah. Tak sangka rupa-rupanya orang itu adalah abang!”. Ziah bercerita sambil tertawa , berpura-pura ketawa untuk menutup apa yang ada di fikirannya.
“Hmm ... akak ni ada-ada sajalah!”. Komen Miah yang sedari tadi hanya mendengar perbualan kedua suami isteri itu..
“ Takut tak bertempat. Suami sendiri pun tak kenal!”. Sindir Miah pula sebelum meninggalkan Ziah dan abang Anip. “Mengada-ngada”. Kata Miah di dalam hati. Entah mengapa sejak akhir-akhir ini hatinya tidak senang melihatkan kemesraan hubungan abang Anip dan Ziah. Dia sendiri tidak faham mengapa perasaan tidak senang itu harus timbul dalam dirinya padahal Ziah adalah kakak ipar yang dipilihnya sendiri. Puas dia berusaha untuk menyatukan abang Anip dengan Ziah dahulu. Kini  lain pula jadinya.

“Eh , abang buat apa kat belakang tadi?”. Ziah masih tidak berpuashati. Sindiran Miah langsung tidak dihiraunya.
“Err ... kan tadi abang dah cakap. Agaknya kaki abang ni hah yang dah sangat rindukan  ikan-ikan di sungai belakang tu!”. Jawab abang Anip sambil tersengih!.
“Hmm … sudahlah. Tolong pimpin abang naik ke atas. Penat benar rasanya berjalan sendirian. Habis semua tenaga yang masih tersisa”. Pinta abang Anip. Ziah akur lalu memimpin abang Anip ke atas. “Pelik … ke kebun boleh tapi  nak naik  empat lima anak tangga ni tak upaya. Hishhh! Bingung aku dibuatnya!”. Fikir Ziah sambil memimpin dan memapah abang Anip ke atas.

Mana pucuk ubi mak , Ziah?
Malam itu pucuk ubi rebus digantikan dengan jantung pisang. Kebetulan jantung pisang yang diambil dari kebun sudah dua hari terletak saja di para dapur.
“Mana pucuk ubi mak , Ziah?”. Tanya mak Midah sambil melihat-lihat hidangan di atas meja.
“Hmm ... dah bertabur kat kebun belakang tu mak!”. Sampuk Miah sambil menjeling kea rah Ziah..
“Mak , maafkan Ziah ...”. Ziah menceritakan perkara yang terjadi senja itu , berderai ketawa mereka semua cuma Miah sahaja yang mencebikkan bibirnya. “Mengada-ngada. Saja nak tarik perhatian”. Kata hatinya.

Ziah cukup bencikan abang...
Malam itu sewaktu mahu melelapkan mata , Ziah mengiring berbaring di lengan abang Anip sambil tangannya mengelus-ngelus lembut dada abang Anip yang kurus terdedah. Terasa benar tulang selangka yang menonjol jelas ... , “Kasihan suamiku. Susut benar badannya kini”. Fikir Ziah dalam hatinya.
 “Ziah , kalau abang mati dulu Ziah sedih tak?”. Tanya abang Anip tiba-tiba.
“Hishh abang ni. Boleh tak jangan cakap pasal mati. Itu dah macam orang putus asa saja bunyinya”. Jawab Ziah , sedikit marah lalu dada abang Anip ditepuknya.
“Aduh!. Sakitlah sayang”. Abang Anip berkata sambil merenyih.
“Bukan apa. Kadang-kadang dalam hidup ini , banyak perkara yang kita tak pernah sangka , tak terfikir langsung tiba-tiba saja boleh berlaku. Semuanya di luar rancangan atau kehendak kita sendiri”. Sambung abang Anip.
“Hmm ... apa maksud abang?”. Tanya Ziah , tidak faham maksud tersirat yang cuba disampaikan oleh suaminya itu.
“Ya lah , macam kita sekarang ni. Asalnya Ziah cukup bencikan abang tapi sekarang Ziah berada di sisi abang. Baring sekatil , tidur sebantal”. Terang abang Anip.
“Berkongsi kegembiraan dan kesedihan. Kan bang?”. Sampuk Ziah.
“Hmm … tapi perkahwinan ini lebih banyak kesedihan daripada kegembiraannya”. Sambung abang Anip.
“Abang , cukup-cukuplah mengungkit pasal ‘kesedihan dan kegembiraan’ tu. Kita dah pernah bincangkan perkara ini tempohari. Ziah tidak mahu ianya terus diungkit-ungkit. Lagi pula , bumi mana yang tidak ditimpa hujan?. Ada masanya hujan pasti akan turun. Bukan sebagai musibah tetapi sebagai rahmat untuk bumi ini. Kemudian setelah hujan berhenti , mentari pasti menyinar semula. Cukuplah alam menjadi tauladan buat kita. Atau abang sebenarnya yang menyesal kahwin dengan Ziah ?”. Tanya Ziah. Perasaannya tidak selesa mendengar kata-kata dan rungutan suaminya itu.
“Abang menyesal?. Patutnya abang yang tanyakan soalan itu pada Ziah. Bagi diri abang , menyesal itu jauh sekali malah abang bersyukur sangat adanya Ziah di sisi ini. Jika tidak tentu abang tidak akan mampu mengharungi semua ini sendirian. Kehadiran Ziah dalam hidup abang bagaikan cahaya bulan yang menerangi malam yang gelap. Abang sayangkan Ziah cuma satu perkara yang amat abang kesalkan. Abang kesal sekali kerana Ziah dan keluarga abang terpaksa mengharungi semua ini. Abang dapat lihat kekecewaan dan tekanan yang dihadapi oleh semua orang. Abang sedih kerana abang yang menjadi punca semua itu”. Kata abang Anip sambil menggenggam tangan Ziah.
“Sudahlah bang , jangan dikesali apa yang telah tersurat. Kita hambanya harus redha dengan takdir dan ketentuan Tuhan. Marilah kita berdoa agar setiap ahli keluarga kita ini tabah dan sabar menghadapi semua ini. Satu lagi bang , Ziah pohon janganlah diungkit-ungkit soal mati itu. Ziah tidak mahu hidup kita dibelenggu dengan rasa resah menanti kedatangannya. Tiap yang hidup pasti akan merasai mati. Itukan janjinya?”. Kata Ziah mengakhiri perbualan malam itu. Maka berehatlah dua insan ini , setelah mata dipejam maka bebaslah seketika mereka daripada masalah yang ditanggung. Memang sesungguhnya malam dijadikan untuk kebanyakan isi alam berehat , melupakan segala yang membelenggu jiwa.

“Hishhh! . Macammana pulak minyak boleh ada kat tengah-tengah rumah ni?”
Pagi itu Ziah bangun seawal pukul lima pagi. Sengaja mengambil masa sedikit untuk menunaikan solat hajat dan membaca al-qur’an sebelum tibanya waktu  subuh. Selimut yang terjatuh diambil , tubuh suami yang terdedah diselimutkan , dahi suami dikucup sebelum meninggalkannya sendiri . Di luar hujan turun renyai membawa angin sejuk yang menerjah masuk melalui cecelah dinding dan tetingkap lalu menyapa sejuk tubuh Ziah . Dinginnya mencengkam hingga ke tulang sum-sum.
“Eeee ... sejuknya!. Kalau berada di bawah selimut tentu sedap ni”. Kata Ziah dalam hatinya. Namun demi suami tercinta Ziah mengetepikan kehendak hatinya. Ziah rela bangun untuk memohon hajat kepada yang Esa agar suami tercinta terlepas dari sengsara yang entah tidak pasti mana puncanya. Rumahtangga yang baru dibina ini pastinya akan disinari cahaya kegembiraan juga akhirnya , itulah doa dan harapan Ziah.

Malang tidak berbau
Malang tidak berbau. Tatkala kaki Ziah melangkah menuruni anak tangga untuk ke bilik air yang terletak di ruang dapur , Ziah terpijak sesuatu yang sejuk licin. Tidak dapat menyeimbangkan badannya , Ziah tergelincir jatuh!.
“Ya Allah!!!”. Jerit Ziah. Jeritannya begitu kuat sekali sehingga menyebabkan seisi keluarga terbangun , Miah dan cikgu Karim bergegas datang.
“Kenapa dengan Ziah tu bang!?” . Jerit mak Midah dari dalam bilik tidurnya. Cemas dan risau dengan keadaan anak menantunya itu. Keuzurannya tidak mengizinkan dia menyertai suami dan anaknya Miah.
“Ziah tergelincir di tangga ni hah!”. Jerit balik cikgu Karim.
“Ya Allah , macam mana boleh jadi macam tu!?”. Jerit mak Midah lagi.
“Udah le , janganlah memekik. Tok sahlah awak risau. Tidur ajelah awak. Tahulah saya dan Miah menolongnya!”. Jawab cikgu Karim.
“Akak , akak tak apa-apa?”. Tanya Miah tatkala mahu melangkah menuruni anak tangga untuk mendapatkan dan membantu Ziah yang sudah terjelepok jatuh ke bawah. Dalam keadaan cemas begitu hilang semua perasaan kurang senangnya pada kakak iparnya itu.
“Nanti! Berhenti!. Jangan turun!”. Jerit Ziah dari bawah. Miah kehairanan lantas segera menghentikan langkahnya.
“Kenapa?”. Tanya Miah dan cikgu Karim serentak.
“Tangga tu terlalu licin!”. Jawab Ziah. Dia tidak mahu Miah dan bapa mertuanya itu turut jatuh. Mendengar kata-kata Ziah itu , Miah segera membongkokkan badannya lalu mencalitkan jarinya pada permukaan anak tangga.
“Ya lah , tangga ini sangat licin. Macam minyak!”. Kata Miah sambil menunjukkan jarinya yang kotor licin kepada bapanya.
“Hishhh! . Macammana pulak minyak boleh ada kat tengah-tengah rumah ni?”. Cikgu Karim seakan tidak percaya dengan apa yang terjadi , bagaimana mungkin minyak pelincir enjin keretanya boleh tertumpah atas anak tangga di tengah rumahnya.
“Err ...  Ziah tak apa-apa ke?”. Tanya cikgu Karim.
“Entahlah abah , kaki Ziah ni rasa sakit sangat bila nak bergerak”. Jawab Ziah.
“Hah! Patah kot!”. Sampuk Miah spontan lalu segera mendapatkan kain sarung dari dalam biliknya. Minyak di permukaan anak tangga itu dilapnya. Setelah yakin selamat , Miah dan cikgu Karim turun mendapatkan Ziah.
“Hmm ... tergeliat kaki kau ni Ziah. Mujur tak patah!”. Kata cikgu Karim semasa memeriksa buku lali Ziah yang kelihatan memerah.
“Nanti mesti bengkak”. Sampuk Miah.
“Kalau ikut pengalaman abah ni , kau punya ligamen ni ‘overstretch’ ”. Kata cikgu Karim lagi.
“Ya abah , tadi masa jatuh tapak kaki Ziah ni terlipat. Jadi kemungkinan ligamen kat buku lali ni ‘overstretch’ tu memang ada logiknya”. Jawab Ziah , membenarkan kata-kata bapa mertuanya. Cikgu Karim mengangguk-nganggukkan kepalanya. Seronok kerana anak menantunya bersetuju dengannya. Pengalamannya sebagai guru penasihat persatuan ‘St John Ambulance’ dulu memang amat berguna.
“Miah tolong ambilkan ais , letakkan pada saputangan kecil. Ziah , nanti kaki tu dituamkan dengan ais. Mudah-mudahan dapat kurangkan bengkaknya”. Kata cikgu Karim
“Eh , kenapa Ziah?”. Tanya abang Anip yang tiba-tiba muncul di kepala tangga.
“Abang ...”. Ziah memanggil abang Anip.
“Ni hah , Ziah terjatuh. Ada orang tertumpahkan minyak pelincir atas tangga tu”. Jawab cikgu Karim.
“Orang tertumpahkan minyak pelincir?. Siapa yang bawa minyak pelincir masuk ke tengah rumah. Malam tadi tak ada apa-apa pun pada tangga ni ?”. Tanya abang Anip pula.  Dahinya berkerut memikirkan sipunya angkara.
“Pelik sungguh “. Fikirnya sambil menggaru kepala. Tiba-tiba wajahnya berubah. Tergamam dan hampir terduduk.
“Hah! Kenapa pulak kau Anip?”. Tanya cikgu Karim. Mula resah melihatkan keadaan abang Anip yang terhuyung – hayang.
“Err ... tak ada apa abah , tiba-tiba rasa pening pulak. Anip masuk bilik dulu”. Jawab abang
Anip.
“Nak abah tolong kamu?”. Tanya cikgu Karim.
“Tak apalah. Anip boleh jalan sendiri. Abah tolong tengokkan Ziah”. Jawab abang Anip sebelum memapah-mapah dinding rumah untuk kembali ke biliknya. Ziah memandang suaminya dari bawah , “Kasihan suamiku. Tentu dia sangat kecewa kerana tidak mampu mambantuku”. Fikir Ziah , sayu hatinya melihatkan perilaku suaminya.
Sampai saja di dalam bilik abang Anip terus duduk di atas katil , mencium tapak tangannya sendiri , menggenggamnya lalu mengeluh. “Huh! Apa yang telah aku buat?. Ya Allah! Apa yang telah aku buat?. Kenapa? Kenapa?!”. Katanya pada dirinya sendiri sambil menepuk-nepuk dahinya. Abang Anip bagaikan tidak percaya dengan apa yang dilihatnya … tapak tangannya berlumuran minyak!

... kenapa ni bang? ...
Tengahari itu abang Anip terus-terusan mengurung dirinya di dalam bilik. Peristiwa yang berlaku hari ini benar-benar telah mengganggu jiwanya. Abang Anip tidak faham bagaimana dia boleh terlibat dengan kejadian subuh tadi hingga telah menjadi punca nasib malang yang menimpa Ziah. Abang Anip tidak faham bagaimana kedua belah tangannya boleh berlumuran minyak!
“Kenapa?. Kenapa?. Kenapa?”. Pertanyaan itu diulang-ulang terus. Bagaikan zikir yang  benar-benar menekan perasaan. Puas sudah dia cuba mengingati apa yang terjadi. “Seingat aku , sepanjang malam tadi aku tidur di bilik ini bersama Ziah. Tapi , bagaimana tanganku ini boleh berlumuran minyak?. Ya Allah , dugaan apakah pula ini?”. Keluhnya.
Sementara itu , Ziah yang baru sahaja selesai menyediakan juadah makan tengahari , terus naik ke atas untuk menyertai abang Anip. Risau juga dia meninggalkan abang Anip sendirian terlalu lama.
“Kasihan abang Anip , mesti bosan ditinggalkan sendiri”. Fikirnya , lantas cuba mempercepatkan langkah. Ziah berjalan terdengkut-dengkut masuk ke biliknya lalu segera mendapatkan suami tercinta.
“Abang , kenapa ni bang?. Seharian abang mengurungkan diri dalam bilik”. Tanya Ziah lembut. Rambut abang Anip yang lurus tebal itu diusap-usapnya. Abang Anip diam , masih terus duduk di bucu katil sambil tangannya memegang gambar perkahwinan mereka.
“Kenapa ni sayang?”. Tanya Ziah lagi lalu mengambil gambar dari tangan abang Anip. Gambar perkahwinan mereka direnungnya seketika sebelum meletakkannya semula di atas meja solek.
“Ziah , apa dah jadi dengan abang ni?”. Tanya abang Anip sambil memandang Ziah. Ziah memandangnya penuh simpati. Sejak akhir-akhir ini sikap abang Anip begitu aneh sekali. Kata-katanya penuh maksud yang tersirat.
“Ahh , mungkin kerana dirinya yang semakin uzur menyebabkan abang bersikap begitu”. Fikir Ziah dalam hatinya. Ziah duduk di sebelah abang Anip lalu mengelus-ngelus belakang suaminya itu. “Mungkin belaian akan dapat menenangkan hatinya”. Fikir Ziah lagi.
“Kenapa ni bang. Apa yang tidak kena?. Cuba abang ceritakan pada Ziah. Kalau pun Ziah tidak boleh membantu sekurang-kurangnya akan lega sedikit perasaan abang itu. Lagipun kan kita sudah sama-sama berjanji akan berkongsi apa saja”. Tanya Ziah , lembut memujuk.
“Cuba Ziah tengok ini”. Abang Anip menunjukkan tuala mandi yang ada di sebelahnya. Ziah mengambil lalu membelek tuala mandi tersebut. Terdapat bahagian yang telah hitam comot digunakan untuk mengelap minyak pelincir!.
Ziah tergamam , matanya buntang memandang abang Anip.
“Ziah , kotoran itu datangnya dari kedua tapak tangan abang ini. Masa Ziah menjerit pagi tadi , abang terus tersedar dari tidur lalu bergegas keluar untuk mendapatkan Ziah. Abang risau betul , takut sesuatu yang buruk berlaku pada Ziah. Tapi setelah sampai di sana baru abang perasan yang kedua tangan abang ni berlumuran minyak. Minyak tu penuh di kedua tapak tangan abang  ni. Lihat di dinding bilik dan atas kain cadar ni juga ada kesan minyak hitam. Ziah , dah pasti semua ini  adalah kerja abang!.  Tapi  ... abang tidak ingat langsung macam mana minyak itu boleh berada di tangan ini. Abang tak ingat langsung!. Abang tak ingat langsung Ziah!. Lagipun untuk apa abang buat semua itu?.  Tak mungkin abang mahu mencederakan mana-mana ahli keluarga kita. Tidak Ziah!. Abang sayang kamu  semua. Abang sayang kamun semua!!”.  Abang Anip berkata bagaikan orang yang hilang akal.
“Abang sedih dan rasa sangat tertekan kerana Ziah jatuh terseliuh akibat minyak pelincir. Abang sedih Ziah cedera disebabkan kerja jahat abang”. Kata abang Anip , fikirannya kacau mengenangkan apa yang telah terjadi.
“Abang , apa abang cakap ni?. Ini mesti ada kesilapan di mana-mana. Ziah yakin , bukan abang yang buat semua itu”. Balas Ziah. Dia sebenarnya mulai keliru dengan apa yang berlaku.
“Tidak!.  Memang dah tak ada orang lain lagi.  Semua itu mesti kerja abang. Tak mungkin Miah , mak atau abah yang akan tumpahkan minyak itu di atas tangga!. Itu pastinya kerja abang. Kerja abangkan?. Tapi kenapa?. Kenapa abang nak buat begitu?. Kenapa abang tak ingat langsung Ziah?. Kenapa abang tak boleh ingat langsung melakukannya Ziah? Kenapa?. Tolong abang Ziah! Tolong abang!”. Kata abang Anip sambil mengetuk-ngetuk kepalanya sendiri.
Tergamam Ziah mendengar kata-kata abang Anip . Terkunci mulutnya , tidak tahu apa yang patut diucapkannya ketika itu. Ada benarnya kata-kata abang Anip itu. Ziah terduduk di sebelah abang Anip sambil menekup mukanya , “Ya Allah , apa yang telah berlaku ini?”. Keluhnya.

Abang Anip keliru , bingung dan marah kepada dirinya sendiri ...
“Ziah , maafkanlah abang!”. Abang Anip berkata sambil meletakkan kepalanya di bahu Ziah.
Ziah bingung namun cuba bertenang. “Apa yang sudah berlaku ini?”. Ziah masih tidak percaya dengan apa yang didengarnya.  Namun mujur akal warasnya segera berkata , “Aku harus tenang , aku tak boleh gelabah. Suamiku ini perlu dibantu!”. Fikirnya.
“Sudahlah sayang , lupakanlah perkara itu. Ziahpun tak apa-apakan”. Ziah cuba memujuk dan menenangkan abang Anip. Sebenarnya , lebih kepada memujuk dirinya sendiri.
“Tidak!. Ziah sebenarnya bukan itu saja”. Kata abang Anip.
“Maksud abang?”. Ziah tidak faham .
“Ziah , sebenarnya peristiwa senja semalam. Abang sendiri tidak tahu  bagaimana dan mengapa abang boleh berada di kebun belakang. Ziahpun tahukan , keadaan abang sekarang. Mana mungkin abang mampu berjalan sejauh itu sendiri”. Abang Anip keliru , bingung dan marah kepada dirinya . Ziah bungkam , tidak pasti apakah kata-kata yang harus diucapkan tika itu. Lantas suaminya itu didakap erat.


                        Sayang , aku tewas
  Sayang ,
  Benarkah awan kelam kan berlalu jua?
  Benarkah masih ada mentari yang bakal menyinar?
  Benarkah hari esok menjanjikan harapan?

          Sayang ,
          Payahnya untukku percaya
          Awan kelamkan akhirnya berlalu
          Masih ada mentari yang bakal menyinar
          Hari esokkan tetap menjanjikan harapan

                  Sayang ,
                  Aku sudah tidak mampu menanti
                  Awan kelam berlalu pergi
                 Mentari menyinar indah  …
                 Harapan untuk hari esok seakan punah!

“Ya Allah , ujian apakah lagi yang akan Kau berikan kepada kami”. Ucap Ziah dan abang Anip tersedu mendengarnya.











No comments:

Post a Comment