Popular Posts

Monday, 17 April 2017

Novel 2 : Selepas Hujan ... Bab 21

BAB 21                      MIAH DAN KAMAL
Wahai tenang ...
Kemarilah ... redakan perasaan yang gelora
Mencintai ... tanpa dicintai
Merindu ... hanya pada bayang


Berita yang mengejutkan ...
Ziah cuba melupakan kemusykilan yang bersarang di hatinya. Peristiwa dia dikejar semasa di kebun belakang dan peristiwa dia tergelincir jatuh di tangga mengganggu fikirannya. Ziah merasakan seperti ada orang  berniat jahat padanya.  Tapi siapa atau mengapa kedua peristiwa itu ada kaitannya dengan  abang Anip?.
Badan Ziah semakin letih dan lesu. Mana tidaknya , sejak peristiwa tersebut tidur malam Ziah sudah tidak lena lagi. Sekejap sekejap dia terjaga. Tiap kali terjaga pasti matanya segera mencari kelibat suaminya.
“Huh! Sampai bila?. Sampai bila aku harus hidup dalam ketakutan begini?”. Fikir Ziah. Entah mengapa semakin difikirkannya , semakin nyata bahawa semua perkara yang berlaku adalah angkara abang Anip , suaminya sendiri. Tapi mengapa? , pertanyaan itu sering saja bermain di fikirannya.
“Ahh! Serahkanlah segalanya kepadaNya. Lagi pula tiada apa yang dapat kulakukan”. Fikirnya. Berlagak seperti tiada apa yang harus dirisaukan.
“Kalau aku risau , tentunya abang Anip akan lebih risau lagi. Itu tentunya tidak baik buat dirinya. Kesihatannya pasti merosot dengan lebih cepat. Serahkanlah segalanya kepada yang Maha Esa”.  Ziah memujuk diri sendiri. Maka segala persoalan yang tidak terjawab itu dibiarkan begitu saja.
 Ziah kini kembali sibuk didapur. Mengemaskan apa yang patut. Sedang dia sibuk membasuh pinggan mangkuk , Miah tiba-tiba sahaja menyertainya. Sudah lama mereka tidak mengemas bersama mahupun membuat apa jua kerja bersama. Semuanya gara-gara rasa cemburu Miah. Miah cemburukan hubungan abang Anip dan Ziah. Sejak abangnya itu menikahi Ziah , segalanya berubah. Abangnya itu tidak lagi begitu perihatin terhadapnya. Semuanya pasti Ziah yang didahulukan. Miah benci diketepikan begitu.
Namun semuanya berubah setelah Ziah jatuh tergelincir subuh kelmarin. Miah yang kebetulan sedang berjalan melintasi pintu bilik Ziah dan abangnya  terdengar perbualan kedua suami isteri itu. Pada asalnya Miah terkejut apabila mengetahui bahawa  semua yang berlaku  itu adalah angkara abangnya sendiri.
“Memang tak ada orang lain lagi”. Fikirnya.
Namun Miah lebih terkejut melihatkan reaksi Ziah. Ziah yang sepatutnya marah telah memeluk dan menenangkan abangnya. Malah Ziah juga melindungi perkara itu daripada pengetahuan mak dan abahnya.
“Sudahlah abah , kita lupakan saja perkara ini. Daripada kita membuang masa memikirkan siapa yang punya angkara , lebih baik kita fikirkan soal abang Anip. Apa lagi yang boleh kita lakukan untuknya”. Kata Ziah  , cuba menghalang cikgu Karim daripada terus menyiasat perkara tersebut.
“Kau cuba melindungi perbuatan abang. Kau memang sayangkan abang. Maafkan aku kak”. Kata Miah di dalam hatinya , menyesal dengan layanannya terhadap Ziah.
Miah memandang Ziah dengan senyuman, “Hai ! Boleh Miah tolong?”, katanya. Ziah menjawab dengan anggukan sambil tersenyum memandang Miah. Miah gembira , habis semua pinggan mangkuk yang telah siap disabun oleh Ziah dibilasnya bersih. Ziah tersenyum dan berasa gembira dengan perubahan Miah itu. “Alhamdulillah. Sekurang-kurangnya ada juga perkara baik yang berlaku padaku hari ini”. Fikirnya.
“Kak , Miah ada nak cakap sesuatu”. Miah bersuara , tiba-tiba teruja untuk berkongsi sesuatu dengan kakak iparnya itu.  
“Hmm ... apa dia ? Cakaplah ... macam berat je bunyinya”. Tanya Ziah , berlagak seperti
tiada apa yang pernah berlaku antara mereka berdua.
“Err ...  kak , sebenarnya Miah nak minta maaf sebab bersikap kurang sopan dan tidak menyenangkan sejak kebelakangan ini. Miah sebenarnya cemburukan hubungan antara akak dan abang Anip. Sejak berkahwin dengan akak , abang Anip sudah tidak ambil berat  pasal Miah”. Kata Miah.
Ziah tertawa mendengarnya. “Ha ha ha … rupa-rupanya itulah puncanya ya?. Akak ingatkan ada kesalahan besar yang akak lakukan hinggakan Miah bersikap begitu. Miah … Miah … bukan ke dulu Miah juga yang beria-ia mahu menyatukan kami berdua?. Alih-alih dia pula yang cemburu”. Ziah masih juga tertawa.
“Laa … kot iapun nak ketawakan orang , agak-agaklah”. Miah merungut.
“Okey … okey. Maafkan akak. Akak bukan ketawakan Miah tapi ketawakan diri sendiri kerana risau tak bertempat. Hmm … sekarang ni Miah dah berbaik semula dengan akak ni adakah bermakna yang Miah dah tak cemburukan hubungan kami lagi?”. Tanya Ziah.
“Bukan begitu . Miah sekarang sedar yang Miah tidak sepatutnya berperasaan begitu. Miah tahu akak ikhlas dan memang isteri yang baik buat abang Anip. Miah sepatutnya mendoakan kalian berdua agar  sabar dan tabah menghadapi dugaan yang berat ini. Bukannya menambah burukkan keadaan”. Jawab Miah.
“Tak mengapalah Miah , kita lupakan perkara yang lepas. Kita buka buku baru , okey?”.Balas Ziah.
“Hee … kalau gitu , kita dah boleh jadi kawan baik seperti dulu. Huh! Tak sangka bila dah luahkan perasaan begini hati terasa tenang dan gembira. Hmm … akak , sebenarnya ada sesuatu yang Miah nak katakan”. Kata Miah. Dia memang memerlukan seseorang untuk mendengar dan membantunya membuat keputusan.
“Ada lagi?. Apa dia?. Katalah , akak sedia mendengarnya”. Jawab Ziah lalu menarik Miah untuk sama duduk di kerusi meja makan.
“Err … sebenarnya Miah tak pasti sama ada sesuai mengatakannya sekarang atau tidak. Lebih-lebih lagi dengan keadaan keluarga kita yang sedang bermuram ni tapi ... Miah terpaksa bagitahu juga. Perasaan Miah dah tak tertahan lagi”. Miah membuka bicara. Ziah mendengarnya dengan sungguh-sungguh.
“Berat benar bunyinya perkara ini”. Fikirnya.
“Eh, janganlah ragu ... cakap je lah. Masalah keluarga kita ni janganlah dijadikan alasan untuk memberhentikan segala urusan hidup kita” . Balas Ziah.
“Betul?”. Tanya Miah , minta kepastian.
“Betullah!”. Jawab Ziah sambil mencuit hidung Miah.
“Err... akak  ingat tak awal tahun hari tu Miah pernah ajak akak temankan Miah ke Kuantan?”. Tanya Miah lagi.
“Ye ke? ... akak  dah lupalah. Maaf ye Miah”. Jawab Ziah jujur.
“Ahh akak ni memang!. Itupun boleh lupa. Sebenarnya masa tu Miah pergi Kuantan untuk berjumpa  dengan seseorang. Bermula dari situ kami menjadi  semakin rapat ... semalam dia ajak Miah kahwin!”. Berhenti sebentar untuk melihat reaksi Ziah.
“Ha ha  ... ye ke?”. Terbeliak mata Ziah mendengar kata-kata Miah. Senyumnya melebar.
“Ya lah!.  Kalau boleh dalam bulan ini atau paling lambat bulan depan kami rancang nak bertunang. Lepas tu dalam lima bulan , kahwin”. Terang Miah.
“ Wah! , ini berita gembira. Macam manalah Miah boleh ragu-ragu nak bagitau kami semua?”. Ziah berkata sambil tersenyum gembira.
“Err ... tapi tak ke masa ini sangat tidak sesuai untuk Miah bagitahu pada semua?”. Tanya Miah sambil mencebikkan bibirnya.
“Eh , apa pulak tak sesuai. Sekurang-kurangnya adalah cahaya kegembiraan buat keluarga kita. Bagai sinar yang muncul dicelah-celah awan kelam , indahkan? . Hmm … tapi  siapa lelaki yang bertuah itu. Boleh akak tahu?”. Tanya Ziah ingin tahu.
“Alah ... akakpun kenal!”. Jawab Miah. Ziah agak terkejut mendengar jawapan Miah.
“Ye? ... siapa? ... cikgu sekolah kita?. Cikgu Ismail  atau … cikgu Zabidi. Ke cikgu Ilias?. Ya mesti cikgu Ilias. Akak memang perasan yang kamu berdua ni agak rapat. Selalu bertugas di luar bersama. Sama-sama pergi kursus ‘manik kayu’ , sama-sama iring budak-budak pengakap menyertai jambori dan sama-sama juga jadi guru Keceriaan dan Keselamatan sekolah. Haa … betulkan. Dia mesti cikgu Illias!”. Ziah cuba meneka.
“Bukan! Bukanlah kak. Cikgu Ilias dan yang lain-lain tu cuma rakan sekerja saja. Tak mungkinlah Miah jatuh cinta pada mereka”. Balas Miah.
“Habis tu siapa?”. Tanya Ziah. Ziah betul-betul tidak boleh membayangkan siapalah jejaka bertuah yang telah berjaya mencuri hati Miah.
“Err ... ini satu lagi masalah”. Jawab Miah sambil menggaru-garukan kepalanya.
“Kenapa?”. Tanya Ziah tidak sabar.
“Dia cuma kerja kampung. Tak berpelajaran tinggi”. Jawab Miah , ragu-ragu. Sengaja wajah Ziah direnungnya , minta pengertian.
“Haa … maknanya dia tu orang kampung ni jugak ye?. Hmm begini Miah , kerja kampung atau tidak berpelajaran tinggi itu adalah perkara nombor dua. Yang penting dia itu baik dan bertanggungjawab orangnya. Cukuplah berteka teki , beritahu akak sekarang , siapa gerangan orangnya jejaka yang bertuah itu”. Ziah memberikan dorongan.
“Betul nak tahu?”. Tanya Miah ragu dan  Ziah mengangguk-nganggukkan kepalanya.
“Hmm ... jejaka yang bertuah itu adalah ... “. Miah sengaja menggantungkan ayatnya.
“Eeee ...  cepatlah. Siapa?”. Ziah geram lalu cuba mencubit lengan Miah. Miah menepisnya sambil tertawa.
“Baiklah , lelaki itu ialah ... Kamal!”. Miah terlompat-lompat keriangan lalu  terus memegang lengan Ziah. Dia mengharapkan Ziah juga akan melompat keriangan bersamanya sebaik saja  mendengar nama itu. Maklumlah , Ziah juga kenal baik dengan Kamal.
Namun ... harapannya punah. Reaksi Ziah amat mengecewakannya. Sebaik sahaja mendengar nama ‘itu’ disebut , air muka Ziah segera berubah. Senyuman Ziah  yang tadinya mekar layu tiba-tiba. Elok-elok  berdiri Ziah terus mencari kerusi , melabuhkan punggungnya sambil mengurut dada , “Ya Allah , mengapa dia?”, Fikirnya.
Ziah masih ingat dengan jelas bagaimana rakus dan kejamnya  lelaki bertopeng yang menyerang di kebun dahulu. Lelaki yang pernah cuba mencabul kehormatannya dahulu.  Mujurlah ada abang Anip ... kalau tidak tentu dia telah ternoda. “Miah , kenapa dia?”. Kata hatinya , sayu memandang Miah.
“Hei kenapa ni?”. Miah dapat mengesan sesuatu yang tidak kena dengan reaksi Ziah tadi. Perasaan tidak selesa mula bertapak di hatinya.
“Kenapa?. Akak tak suka Miah bersama Kamal?”. Tanya Miah. Miah tidak faham mengapa Ziah tidak gembira mendengar nama jejaka yang telah menambat hatinya itu.
“Err ... tak da apa. Maafkan akak Miah. Eh , dah sampai masa akak bagi abang Anip makan ubat. Err ... akak  naik dulu”.  Ziah berlalu meninggalkan Miah terpinga-pinga , di wajahnya penuh soalan yang tidak terjawab.
“Kenapa?”. Kata Miah , perlahan.

Kamal itu bukan lelaki yang baik ...
Malam itu Ziah serba tidak kena , gelisah memikirkan hal Miah. Bagaimana kelak penerimaan abang Anip dengan berita itu. Tentu semakin buruk keadaan kesihatannya mendengar berita ini nanti. Bagaimana pula harus dia memberitahu Miah bahawa Kamal itu bukan lelaki yang baik . Kamal itu adalah lelaki durjana yang pernah cuba menodainya. Ziah bingung , hatinya gundah gelana.
Bangun dari pembaringan , Ziah bermunajat kepada Allah. “Ya Allah , megapa begini jadinya. Mengapa Kamal itu harus muncul lagi dalam hidup kami. Apakah hikmah disebalik semua ini?. Ya Allah …  Kau bantulah kami sekeluarga menghadapi dugaan ini dan lindungilah kami dari berpecah belah. Satukanlah hati-hati kami sekeluarga dengan ikatan kasih sayang dan rasa cinta yang tulus. Ya Allah kau berilah kekuatan kepadaku dan suamiku untuk menghadapi semua ini dan bukakanlah mata dan hati Miah untuk melihat  kebenaran”. Doa Ziah.     Hanya selepas melepaskan keluh kesahnya kepada Yang Esa barulah Ziah akhirnya terlena.

Keesokan harinya ... “Mungkin sekaranglah masanya yang sesuai”.
Bengkang ubi kayu menjadi hidangan sarapan pagi itu. Sungguh menyelerakan apabila dilengkapkan dengan air kopi ‘O’ panas. Mereka sekeluarga gembira menikmatinya.
Sepanjang waktu makan itu , Miah tak habis-habis menguis-nguis kaki Ziah dari bawah meja.
“Tolonglah Miah bagitahu pada mak , abah dan abang Anip ye”. Permintaan Miah semalam menjadi bebanan yang memberatkan perasaan Ziah.

Selesai bersarapan sekadarnya .... 
Pagi itu seperti biasa mereka sekeluarga menikmati sarapan pagi bersama. Sepanjang waktu itu Ziah lebih banyak mendiamkan diri. Matanya pula sentiasa mengelak daripada memandang Miah. Sikapnya itu membuatkan Miah tertanya-tanya , “Kenapalah kak Ziah bersikap begini?. Takkanlah dia tak suka dengan hubungan aku dan Kamal?. Tapi mengapa … apa hubungan antara mereka ?. Ah! Tak mungkin atau … ada rahasia yang aku tidak tahu”. Fikir Miah. Miah resah mengenangkan sikap Ziah yang berubah tiba-tiba.
            Ziah pula , sebaik sahaja selesai mengemaskan sarapan pagi itu  terus sahaja membawa diri , menyendiri di varanda depan rumah itu.
“Huh patutkah aku bagitahu pada abang Anip tentang perkara ini”. Fikir Ziah , bingung.
“Huhh! Dibuang mati emak , ditelan mati bapak!!” . Keluhnya pula . Ziah tidak mahu mengecewakan Miah namun dia juga tidak sanggup memberitahu abang Anip ,  tidak mahu  menambah bebanan fikiran suaminya itu.
“Dia sudah tidak mampu menerima masalah lain!”. Fikirnya , resah mengenangkan keadaan fizikal dan emosi abang Anip yang semakin parah.
“Eeee ... apa nak buat ni!”. Katanya perlahan sambil memukul-mukul kepala lututnya. Duduk di kepala tangga memandang jauh ke arah belukar dihujung jalan.
Tanpa Ziah sedar , abang Anip sedari tadi telah memerhatikan segala gerak lakunya. Keresahan Ziah jelas terpampang daripada gerak bahasa tubuhnya. Sekejap berdiri , sekejap duduk. “Apalah agaknya yang mengganggu fikiranmu?”. Fikirnya. Maka dengan susah payah abang Anip yang uzur itu berjalan perlahan-lahan kea rah Ziah lalu duduk di sebelah isterinya itu.
“Mengapa mengeluh , berat sangat bunyinya?”. Tanya abang Anip sambil memandang wajah Ziah.
“Eh , abang. Ok ke duduk di sini?”. Tanya Ziah pula. Bimbang dengan keselesaan suaminya.
“Hmm ... abang belum nak mati lagi Ziah!”. Balas abang Anip sambil tersenyum tawar.
“Abang!. Ziah tak suka abang kata begitu”. Kata Ziah agak jengkel.
“Habis tu ... takkanlah abang nak biarkan saja isteri abang ni termenung dan berkeluh kesah. Terpaksalah abang menggagahkan diri duduk di sini”. Balas abang Anip sambil tersenyum. Memandang wajah isterinya dengan rasa kasih.
Ziah turut tersenyum mendengarnya. Tangan abang Anip dipegang ... lama ,  “Maafkan Ziah bang. Ziah tidak bermaksud mahu menyusahkan abang”. Katanya.
“Ziah , abang ini suamimu.Bahagia Ziah , bahagialah abang. Begitu juga sebaliknya. Ada apa sebenarnya , beritahu abang”. Balas abang Anip.
“ Ya , mungkin sekaranglah masanya yang sesuai untuk aku menceritakan perihal Miah dan Kamal kepada abang Anip. Kalau tidak sekarang , bila lagi. Lambat laun perkara ini pasti ketahuan juga”. Fikir Ziah.
“Eh , kenapa ni?. Macam ada rahasia besar je. Ceritalah. Abang sedia mendengarnya”. Kata abang Anip memujuk. Kata-kata abang Anip itu menjadi pendorong kepada Ziah untuk membuka cerita.
“Abang , Ziah nak bagitahu sesuatu ... nak tanya pendapat abang. Tapi Ziah nak abang janji akan mendengarnya dengan sabar dan jangan sesekali bertindak terburu-buru”. Pinta Ziah.
“Lain macam je bunyinya. Baiklah, abang janji . Cakaplah”. Abang Anip berjanji.
“Berkenaan Miah”. Kata Ziah.
“Miah?”. Tanya abang Anip. Hairan. Gerangan apa yang telah berlaku kepada adiknya itu.
“Ya bang. Malam semalam selepas makan malam, Miah ada bagitahu Ziah sesuatu”. Ziah terhenti seketika , sengaja memandang riak wajah abang Anip. Abang Anip menganggukkan kepalanya sedikit , memandang Ziah sambil mengangkat keningnya untuk menggalakkan Ziah terus berkata-kata.
“Miah sekarang sedang berkawan serius dengan seorang lelaki. Err … mereka bercadang untuk bertunang dan berkahwin secepat mungkin”.  Ziah bercerita dengan berhati-hati. Sesekali wajah abang Anip ditatapnya.
“Baguslah tu. Dah masanya pun Miah tu berumah tangga. Abang tak nampak sebarang masalah” . Jawab abang Anip. Hairan dengan reaksi Ziah yang keterlaluan.
“Betullah tu bang tapi yang menjadi masalahnya ialah calon suaminya itu”. Terang Ziah sambil mengerutkan dahinya.
“Kenapa? Siapa?” . Tanya abang Anip ingin tahu. Ziah menggenggam kuat tangan abang Anip lalu menghela nafas berat. Terasa kecut perutnya mahu menyebutkan nama lelaki itu.
“Err … abang janji yang abang akan tenang dan sabar mendengarnya”. Pinta Ziah , abang Anip menganggukkan kepalanya sambil memandang Ziah dengan wajah yang serius.
“Err … Kamal. Lelaki itu adalah Kamal!” . Kata Ziah , terlepas sudah nama lelaki itu daripada mulutnya.
“Apa?!”. Balas abang Anip sepatah. Bagai nak luruh jantungnya mendengar nama itu disebut. Mengapalah dalam banyak-banyak lelaki di dunia ini , Kamal juga yang dipilih Miah?.
“Ye bang , Kamal!. Ziah tak tahu bagaimana nak beritahu Miah yang Kamal itu bukan lelaki  baik”. Jelas Ziah.
“Ya Allah ... dalam banyak-banyak lelaki di dunia ini mengapa mesti Kamal yang dipilihnya?”. Keluh abang Anip. Melahirkan rasa hatinya.
“Itulah bang. Apa yang harus kita buat.  Ziah tak sanggup nak bagitahu Miah siapa Kamal itu sebenarnya. Ziah cadangkan baik abang berbincang sendiri dengan Miah sebelum dia membuka mulut memberitahu mak dan abah tentang perkara ini”. Miah memberi cadangan.
“Ya. Tak mengapa, janganlah terlalu risau. Miah tu adik abang , nanti abang fikirkan caranya. Yang pasti , tak mungkin abang akan membiarkan adik abang itu menuju kehancuran”. Janji abang Anip .  Ziah mengangguk lalu mencium  tangan suaminya itu.
“Ziah tahu , abang tidak akan biarkan lelaki itu menghancurkan hidup Miah ... abang memang seorang abang  yang baik”. Pujinya ikhlas. “Huh!”. Pujian itu disambut dengan keluhan .

Jawapan yang memeranjatkan!
“Mengapa tak boleh?! Apa kurangnya dia?”, bentak Miah. Miah tidak berpuashati malah berasa sangat marah mendengar kata-kata abangnya itu. Mereka berdua beradik kini sedang duduk di anjung rumah. Abang Anip mengambil peluang ini untuk  berbincang dengan Miah berkenaan Kamal. Dia tidak rela satu-satunya adiknya itu dihancurkan hidupnya oleh syaitan yang bertopengkan manusia.
“Banyak!.  Banyak kurangnya dia itu tapi Miah kebanyakan kekurangannya itu tidak pernah menjadi halangan bagi abang untuk merestui hubungan kalian  ... cuma satu. Kerana dek satu kekurangan itulah maka dia tidak layak untukmu dik”. Jawab abang Anip , memandang wajah adiknya memohon pengertian.
“Ahh! Pandai abang berkata-kata. Terus terang sajalah bang. Kalau betul abang ada alasan yang kukuh , nyatakanlah terus sebab Miah takkan mudah menyerah kalah. Cinta Miah padanya sangat utuh. Miah benar-benar ingin berkahwin dengannya. Tak kiralah sama ada abang suka atau tidak!”. Bentak Miah. Suaranya keras meninggi mempertahankan kekasih hatinya itu.
“Miah ... dengarlah dik. Alasan abang memang kukuh. Sebelum abang nyatakan sebabnya , abang mahu Miah tahu bahawa abang tidak pernah mahu menghalang kebahagiaan kau dik. Buat kau dik , kalau boleh , seisi dunia inipun abang akan usahakan ... tapi tidak Kamal. Dia lelaki yang tidak layak dibuat suami. Dia lelaki durjana!” . Abang Anip cuba menerangkan pendiriannya. Harapannya agar Miah faham.
Malangnya kata-kata abang Anip dianggap keterlaluan. Miah benar-benar marah dan kecewa mendengar cemuhan abang Anip terhadap kekasih hatinya itu.
“Baiklah ... abang cakap sekarang!. Mengapa dia tidak layak untuk menjadi suami Miah?. Kenapa abang sewenang-wenangnya memanggil dia lelaki durjana?.  Apa alasan abang yang satu itu hinggakan tergamak abang memanggil Kamal begitu?” . Desak Miah , merembes air matanya. Miah tidak sangka abangnya sanggup mencemuh Kamal sebegitu sekali.
“Baiklah , jika itu yang Miah mahu. Sebenarnya ada rahasia yang abang dan kak Ziah simpan selama ini tentang Kamal. Ada perkara yang telah terjadi antara abang , Kamal dan kakak kau , Ziah. Sengaja kami rahsiakan perkara itu demi menjaga nama baik semua”. Abang Anip membuka cerita dengan hati yang berat. Kalau boleh  abang Anip tidak mahu menceritakan peristiwa hitam itu kepada sesiapapun tetapi dek kedegilan Miah dia tiada pilihan.
“Kak Ziah? Apa maksud abang?. Mengapa kak Ziah boleh terlibat dalam perkara ini?”. Tanya Miah. Perasaan Miah menjadi tidak tentu arah , keresahan jelas terbayang di wajahnya. Apakah peristiwa yang berlaku antara kekasihnya dengan kakak iparnya itu. Hati Miah mula  berdebar.  Jantungnya terasa berdegup kencang , “Patutlah Kamal selalu saja bertanyakan khabar kakak  setiap kali kami berjumpa. Rupanya ada rahasia antara mereka!”. Miah  mulai curiga. Wajahnya tegang ... cukup tegang!

Kalau bertepuk sebelah tangan masakan berbunyi!
Dengan penuh hati-hati abang Anip menceritakan semua kisah yang telah terjadi antara Kamal , Ziah dan dirinya sendiri. Abang Anip menceritakan betapa rakus dan kejamnya Kamal cuba merampas mahkota isterinya dulu. Mujurlah dia tiba tepat pada waktunya. Jika tidak , pasti Ziah telah menjadi mangsa nafsu serakahnya.
Miah menangis tersedu-sedu mendengar penjelasan abang Anip. Kesedarannya dapat menerima hakikat bahawa Kamal bukanlah seorang lelaki mulia. Namun di luar kewarasan , perasaannya memberontak dan menafikan semua itu.
“Tidak! Miah tak percaya!!. Kalau benarpun perkara itu pernah terjadi pasti bukan 100% salah Kamal. Kalau bertepuk sebelah tangan masakan berbunyi!. Isteri kesayangan abang itu juga menyumbang kepada kebiadapan itu!” . Miah membangkang. Tuduhan Miah bagaikan halilintar , laju memanah hati sanubari abang Anip .
“Miah!!” bersama jeritan itu , satu tamparan berat menghinggapi pipi putih mulus milik Miah.
“Kau lebih dahulu mengenali Ziah daripada aku. Aku tak sangka kata-kata sebegini boleh keluar dari mulut kau. Bukankah Ziah itu kakak ipar pilihan kau sendiri?. Mana perginya kewarasan kau ?!” . Abang Anip benar-benar kecewa dengan tuduhan melulu yang dilempar oleh adiknya itu terhadap isteri tercinta.
Miah tergamam dengan tindakan abang Anip . Dia tidak pernah menyangka yang abangnya itu akan pernah menamparnya. Tidak percaya dengan apa yang terjadi , Miah berlari meninggalkan abang Anip sambil tangannya memegang pipi. Perit benar rasa tamparan abangnya itu , namun tidak terlawan  perit di hati.
“Miah ... maafkan abang”. Abang Anip bersuara perlahan. Menyesal dengan tindakannya menampar satu-satunya adik yang dimilikinya di dunia ini. Dadanya yang memang sakit terasa bertambah sakit. Nafasnya tercungap-cungap. Entah mengapa peparunya seakan tidak mahu mengembang. Kuncup dan terus kuncup. Sakit bagai menyucuk-nyucuk apabila nafasnya terpaksa ditarik panjang.
“Allahhhhh ...!” . Abang Anip bersuara dalam kepayahan. Badannya sudah tidak dapat diimbangkan lagi , kakinya terasa amat lemah. Abang Anip terduduk pada kedua lututnya sambil memegang dada. Peluh dingin memercik keluar dari dahinya yang lama pucat. Dalam kepayahan itu Ziah segera datang lantas membantu abang Anip untuk duduk di atas sofa di ruang tamu. Air mata yang bergenang di kelopak matanya sudah jatuh sedari tadi.
Sedari tadi Ziah mencuri dengar perbualan antara kedua beradik itu. Hatinya risau untuk membiarkan abang Anip mengharunginya sendirian. Risau jika reaksi Miah akan meninggalkan kesan buruk pada suaminya itu ... dan ternyata kerisauannya itu memang berasas. Keadaan abang Anip kini sangat mencemaskan , nafasnya turun naik begitu cepat sekali. Matanya terkebil-kebil memandang Ziah. Tangan Ziah digenggam kuat. Ziah tidak mampu lagi menahan perasaan. Air matanya terus bercucuran.
“Sabarlah abang , tenangkan diri ... bernafaslah perlahan-lahan ...”. Ziah cuba menenangkan abang Anip.
“Ziah! , tergamak Miah memburukkan Ziah…”. Abang Anip berkata dalam kepayahan.
“Tak mengapa bang , usah difikirkan soal itu. Miah tengah marah , tak hairan dia berkata begitu. Apa yang penting sekarang ini ialah abang cuba bertenang. Bernafaslah perlahan-lahan bang”. Pujuk Ziah.  Abang Anip akur , dia cuba menenangkan dirinya.
Akhirnya nafasnya semakin teratur , sakit di dada terasa semakin lega. Ziah terus mengusap dada kurus suaminya itu.
            Setelah nafasnya kembali tenang , abang Anip berkata , “Miah tak terima ... dia marah. Dia marah apabila abang berkata yang benar tentang Kamal. Abang pula telah buat silap. Abang tidak sabar. Abang tampar dia!”. Abang Anip berkata perlahan. Separuh berbisik. Ziah menganggukkan kepalanya. Menatap wajah suaminya itu dengan rasa belas.
“Sabarlah abang , Miah tentunya terkejut. Bagilah dia masa ...”. Ziah memujuk lagi.
“Ziah yakin , bila hatinya telah tenang , Miah tentu dapat berfikir secara waras. Bagilah dia masa sendirian”. Sambung Ziah lagi sambil mengusap-ngusap rambut abang Anip yang lurus lebat itu. Abang Anip hanya mengangguk-nganggukkan kepalanya , berharap sangat agar kata-kata Ziah itu benar.

Tiba-tiba muncul satu suara dari arah belakangnya.
Angin petang begitu nyaman sekali. Rambut Miah yang panjang mencecah bahu ditiup lembut, batang tengkuknya terasa dingin ... sedingin hati dan perasaannya kini. Miah termenung memandang riak-riak air sungai yang bergerak bersama tiupan angin. Namun pemandangan  yang cantik pada petang itu langsung tidak dapat menambat hatinya yang luka. Hatinya membungkam ... bingung.
Bagai duri dalam daging , kini Ziah dan abang kandungnya sendiri  menjadi dalang , menyendal dan menusuk pintu kebahagiaan yang sepatutnya dibuka luas  buat dia dan Kamal ... “Huh ... mengapalah ini semua boleh terjadi?”. Keluhnya , berat benar rasanya dilemma yang ditanggungnya kini.
Tanpa disedari Miah  , Ziah berdiri lama memerhatikannya dari pintu dapur yang sedia terbuka. Ziah memerhatikan gelagat adik iparnya , Miah  yang sedang sendirian. Kasihan sungguh Ziah melihatkan keadaan Miah , hilang kegembiraannya. Miah seorang yang baik. Masih segar dalam ingatan Ziah betapa mulianya hati Miah menghulurkan bantuan tatkala dirinya dalam kepayahan , ketika  tiada arah hendak dituju. Miahlah orangnya yang tanpa ragu mempelawa Ziah , guru baru SMK Pagan Sena menumpang  duduk di rumah keluarganya ini . Tatkala itu , Ziah yang diarahkan keluar dari rumah warden sedang buntu mencari tempat tinggal. Pagan Sena  sebuah perkampungan kecil di ceruk daerah Pekan  , jauh dari arus pembangunan langsung tidak mempunyai rumah atau bilik yang boleh disewa. 
“Maafkan aku Miah ...”. Keluh Ziah. Sedih dengan apa yang terjadi. Tiba-tiba kedengaran satu suara dari arah belakangnya.
“Pergilah bercakap dengannya”. Ziah menoleh. Terkejut Ziah apabila terpandangkan wajah  cikgu Karim , seorang bapa mertua dan bapa yang sangat memahami dan penyayang itu sedang tersenyum kapadanya.
“Abah tahu ...?”. Tanya Ziah . Cikgu Karim mengangguk.
“Anip dah ceritakan  segalanya. Pergilah ... Miah tentu perlukan seorang teman sejati sekarang ini”. Jawab cikgu Karim penuh pengertian.   Ziah mengangguk  lalu pergi menghampiri Miah.
Derap langkahnya sengaja diperlahankan. Ziah berjalan bersama hati yang berbelah bahagi. “Apa yang harus aku katakan padanya?”. Fikirnya sambil kakinya terus melangkah. Tau-tau saja dia sudah berada beberapa kaki  di belakang Miah.
“Mmm , Miah ...”.  Ziah menegur lalu memegang bahu adik iparnya itu. Miah berpusing memandangnya. Ternyata kesedihan memang jelas terbayang di wajah gadis ini. Air mata bergenang di kelopak matanya , hanya menanti masa untuk jatuh.
“Ziah!!” . Miah memeluk Ziah. Air matanya mengalir laju. Kekecewaan di hatinya tidak dapat dibendung lagi. Ziah membalasnya erat. Mereka sama-sama menangis. Akhirnya kedua sahabat itu melahirkan perasaan masing-masing. Berbincang dari hati ke hati. Sejam , dua jam berlalu akhirnya kata putus telah dicapai , sama-sama akur ...  Kamal memang tidak layak untuk menjadi sebahagian daripada keluarga mereka.
            Setelah perasaan masing-masing kembali tenang , Ziah dan Miah terus bercerita …
“Kenapa ye , Kamal masih sanggup memikat aku setelah apa yang dilakukannya pada kau ?”. Pertanyaan yang lebih kepada keluhan keluar daripada  mulut Miah.
“Entahlah Miah. Aku pun tak faham”. Jawab Ziah jujur.
“Agaknya dia sengaja nak balas dendam tak?”. Miah membuat andaian.
“Maksud kau?”. Tanya Ziah kurang faham.
“Maksudnya , dia sengaja nak memecahbelahkan keluarga kita”. Jawab Miah , ada kekesalan dalam nada suaranya. “Mengapa aku yang kau jadikan korban , Kamal?”. Kata hatinya.
“Entahlah Miah , aku pun tak tahu nak fikir apa. Masalah kesihatan abang Anip pun sudah tak tertanggung di fikiran aku ini. Aku sebenarnya betul-betul kesal dengan apa yang berlaku. Tidak sepatutnya kau dilibatkan sama dalam pergolakan yang berlaku antara kami bertiga”. Keluh Ziah , memandang Miah dengan penuh rasa simpati.
“Ziah , kau rasakan agaknya Kamal tu ada kena mengena dengan keadaan abang Anip sekarang tak?”. Miah mula menaruh curiga.
“Astarghfirullah al-adzhimm ! .... Miah , janganlah kita berburuk sangka sampai begitu sekaliu. Salahnya dulu memang telah jelas tapi janganlah kerana itu kita  terus menuduhnya tanpa bukti. Sakit abang Anip itu datangnya dari Allah jua kerana yakinlah , tiada apapun di langit dan di bumi yang mampu memberi mudarat kepada kita melainkan dengan izinNya. Kamal itu hanyalah manusia biasa yang langsung tidak boleh memberikan mudarat kepada sesiapapun jua kecuali dengan izinNya”. Jawab Ziah tegas.

“Hmm ... ‘kecuali dengan izinNya’ ”. Miah hanya tersenyum pahit , kata-katanya penuh makna.   Ziah memandang Miah sambil mengangkat kedua-dua bahunya , “Hanya Allah yang Maha mengetahui”. Jawabnya. Setelah segalanya selesai , kedua sahabat ini berjalan berpimpin tangan kembali ke rumah. Cikgu Karim tersenyum gembira melihat suasana itu. Dia menarik nafas lega , sekali lagi keluarga ini kembali bersatu.

No comments:

Post a Comment