BAB 18 : MISTERI
Malam kian hilang ... siang kan menjelma Dan masa yang telah berlalu ... mendewasakan kita dalam bertindak |
Cinta Ini Diuji
Cemasnya aku melihatkan
dirimu
Isak tangisku tiada terbendung
Nusuk pedih tajamnya sembilu
Terpanah perit dek kilat
mendung
Apakan daya iramaku sendu
Impian indah direnggut pergi
Nasib kita bagaimana kini
Igauan ngeri merajai diri
Dapatkah kita meredah lalu
Injak pergi tiada tersadung
Untuk cinta bertaut satu
Janji dipadu tetap didukung
Impian itu tetap dituju
|
Pak Lang turut diuji
Malam itu
selesai makan malam , Pak Lang memohon diri untuk pulang ke rumahnya. Perasaannya
kurang enak untuk berlama-lamaan di rumah cikgu Karim. Namun rasa itu tidak
dinyatakan kepada cikgu Karim dan isterinya. Pak Lang tidak mahu mereka menjadi
risau tidak tentu pasal.
“Heii ... apa kena rasa
hati aku ni , semacam je ...”. Bisik hati kecilnya.
“Bang , akak ... saya kena
balik malam ni jugaklah.” Pak Lang memberitahu.
“Eh , dah lewat ni ... tak
payahlah balik. Tidur sini saja. Esok pagi-pagi baliklah.” Cadang cikgu Karim.
“Errr ... maaflah bang ,
saya dah janji dengan Esah nak balik hari ni jugak. Nanti risau pulak dia.
Lagipun esok Esah ada appointment doktor. Alah ... pasal darah tinggi dialah
tuu. Takut nanti kalangkabut pulak esok.
Appointment pukul 9:00 pagi. Bising pulak Esah tu nanti ...”. Pak Lang
memberikan alasan.
“Yelah Lang , dah malam
dah ni. Rehat jelah di sini. Esok lepas solat subuh kau baliklah ...”. Makcik
Midah menyokong suaminya.
“Alah kak ... macamlah
Pekan tu jauh sangat. Sejam driving sampailah ... kalau bertolak sekarang , In
shaa Allah pukul 9:30 nanti sampailah”. Pak Lang berkata sambil tersenyum lalu
menghulurkan tangannya bersalaman dengan abang dan kakak iparnya itu.
“Anip , pak Lang balik
dulu ye ... banyakkan bersabar dan selalulah berdoa. Ziah , Pak Lang balik dulu
, jaga Anip elok-elok”. Pak Lang menasihati kedua anak penakannya itu sambil
menghulurkan tangan. Ziah dan abang Anip mengangguk sebelum menyambut tangan
Pak Lang.
“Terima kasih atas
segalanya Pak Lang”. Kata mereka serentak.
“Hmm ... yelah!”. Jawab
Pak Lang.
Pak Lang melangkah turun
dan akhirnya kereta dipandu meninggalkan perkarangan rumah cikgu Karim. Mereka
yang lain mengiringinya dengan pandangan sehingga kereta Pak Lang tidak
kelihatan lagi .
Ziah memandang abang Anip.
“Abang , kita rehat?”. Ajak Ziah.
Abang Anip hanya
mengangguk lalu mereka meminta izin daripada cikgu Karim dan mak Midah untuk masuk
ke bilik. Cikgu Karim dan mak Midah faham dengan keadaan abang Anip yang belum
begitu pulih dan masih perlu banyak
berehat.
“Pergilah berehat nak ...”.
Balas mak Midah.
Angin dingin menyambar wajah mak Midah dan tiba-tiba bulu
tengkuknya terasa tegak.....
Dari kejauhan
kedengaran bunyi anjing melolong bersahut-sahutan. Kesunyian malam itu
benar-benar terganggu. Perasaan yang tenang mulai goyah.
“Eee ... lain macam je
bang malam ni. Mohlah kita masuk ke dalam”. Pinta mak Midah.
“Ah! ... ada-ada aje awak
ni. Marilah saya angkatkan awak ke dalam”. Cikgu Karim mengangkat isterinya ke
dalam rumah lalu menutup rapat daun pintu.
“Haii ... apahal pulak si
Alang tu beria-ia benar nak balik malam ni jugak. Appointment tu pukul
sembilan. Bukan tak pernah dia bertolak dari sini selepas solat subuh”. Bebel
mak Midah.
“Alahh ... biarlah Midah.
Adalah tu ... rindukan Alang Esah gamaknya!” . Cikgu Karim bergurau.
“Hishhh … tak da
mananyalah bang”. Sanggah mak Midah
“Eh ... apa pulak. Awak tu
aje yang dah tak pernah rindukan saya ni!”. Usik cikgu Karim.
“Eee ... ada-ada ajelah
awak ni!”. Mak Midah mencubit lengan cikgu Karim.
“Aduh! Sakitlah!!”.
Pak Lang terlihat satu lembaga hitam besar...
Kereta dipandu
laju. Perasaan Pak Lang sedari tadi tidak enak. Sambil memandu mulutnya tidak
henti-henti membacakan ayatul – Kursi. Memang itulah amalannya setiap hari.
Telah sebati dengan hati dan perasaannya. Tiba-tiba ... sebaik sahaja keretanya menghampiri
satu selekoh , Pak Lang terlihat satu lembaga hitam besar , tinggi dan berbulu
berdiri di pinggir jalan. Tegak berdiri memerhatikan keretanya menghampiri.
Jantung Pak Lang berdegup kencang. Tangannya mula menggigil ... “Ya Allah , apa
tu?”.
“Allahu Akbar!!!”. Pak
Lang menjerit sekuat hati tatkala keretanya melintasi lembaga tersebut. Entah
bagaimana dan di mana silapnya , kereta dipandu Pak Lang menjajau ke tebing
jalan ... memasuki kawasan tidak bertar lalu meluncur laju tanpa kawalan.
“Doommm!!!!”. Kereta
terhenti setelah terlanggar sebuah busut di tebing sungai.
“Allahuakbar!”. Pak Lang
bersuara setelah pulih dari rasa terkejutnya. Seketika kemudian kelihatan
beberapa orang lelaki berlari ke arah kereta Pak Lang.
“Bang! Bang!
... okey ke?”. Tanya seorang
daripadanya. Lelaki pendek dan berambut kerinting itu mengetuk cermin
kereta. Pak Lang memandang sekeliling ,
mengangkat tangan memberi isyarat yang dirinya masih sedar. Perlahan Pak Lang
membuka pintu kereta.
“Abang okey ke?”. Tanya
lagi pemuda itu.
“Okey ... terbabas tadi” .
Pak Lang menjawab sambil memerhatikan kawasan sekeliling. Rupanya dia telah
merempuh pagar buluh yang memagari kawasan kebun yang dilanggarnya.
“Nasib baik kereta abang
tersangkut pada busut semut ni. Kalau tidak sudah tentu tenggelam dalam sungai
depan tu”. Kata seorang pemuda yang lain.
“Alhamdulillah ... err ...
saya di mana ni?”. Tanya Pak Lang.
“Ni kampung kami ... kawasan
perumahan semula orang asli. Aku Putung . Ini adik aku Lawa dan Anil. Yang kau
langgar ni kebun kita. Nasib baik tak masuk sungai. Abang kenapa? Tertidur?”. Tanya Putung.
“Entahlah ... tak tau
macam mana nak cakap ...”. Pak Lang ragu-ragu untuk menerangkan perkara yang
sebenar.
“Kalau gitu marilah ke
rumah aku dulu sementara adik aku Lawa panggil orang tolong tarik kereta abang
keluar kebun” . Ajak Putung. Pak Lang menganggukkan kepala lalu mereka berjalan
beriringan ke rumah Putung.
“Jemputlah naik” . Ajak
Putung sebaik saja sampai ke tangga kayu rumahnya.
Pak Lang menaiki anak tangga rumah kayu
tersebut, kecil dan tinggi lalu duduk di atas lantai rumah yang dilapik dengan
tikar mengkuang. Matanya memandang anak tangga yang diperbuat daripada batang
pokok hutan. Diikat kemas dengan rotan pada kedua tiang tangga. Berseni ...
begitu juga dengan dinding rumahnya , diperbuat daripada batang buluh yang
dibelah-belah . Semuanya diperkemaskan dengan ikatan rotan.
Tidak lama
kemudian Anil muncul dari arah dapur membawa sedulang air kopi.
“Jemput minum bang. Boleh
hilangkan rasa terkejut” . Pelawanya , tersenyum menampakkan barisan giginya
yang kuning!.
“Errr ... abang minta maaf
sebab telah melanggar pagar dan mengasak kebun kamu orang”. Kata Pak Lang.
“Tidak mengapalah itu.
Perkara kecil. Lebih penting abang selamat. Aku percaya ini takdir untuk
temukan kita”. Balas Putung sambil mengukirkan senyuman. Sebekas rokok daun
dikeluarkan dari para rumahnya lalu dihulurkan kepada Pak Lang. Pak Lang
menggeleng , “Abang tak menghisap”. Tolak Pak Lang dengan sopan. Putung
mengangguk.
“ Alhamdulillah ... kamu
orang semua baik hati. Nanti besok abang datang semula bayar gantirugi pasal
sekarang abang tidak bawa cukup wang”. Kata Pak Lang , rasa bersalah kerana
telah merosakkan pagar dan mengasak tanaman di kebun mereka.
“Ishhh ... tak usah kira
pasal wang. Kalau senang esok abang datang tolong baiki pagar yang tumbang itu
, cukuplah begitu”. Jawab Putung. Habis sahaja putung berkata , Lawa bersama
beberapa orang kampung lain berlari ke arah rumah.
“Abang , keretanya sudah
kita angkat ke tepi jalan raya. Nak ditarik susah benar sebab tanah kebun tengah lembik dan melekat”. Beritahu
Lawa sambil tersenyum. Gembira kerana berjaya membantu Pak Lang yang dalam
kesusahan.
“Ahh ... terima kasih
banyak. Kamu semua sungguh baik hati”. Ucap Pak Lang.
“Eh , marilah coba
hidupkan enjin keretanya. Harap enjinnya tidak rosak”. Kata Lawa
“Err ... ya. Marilah”.
Jawab Pak Lang. Mereka beramai-ramai
berjalan ke arah kereta. Pak Lang segera cuba menghidupkan enjin keretanya.
“Vroooommmm!!!”. Bunyi
enjin kereta apabila Pak Lang mengaum apabila minyak ditekan.
“Alhamdulillah ... kereta
tak rosak”. Pak Lang berkata sebelum keluar semula dari keretanya lalu
bersalam-salaman dengan semua yang telah membantunya.
“Kalau begitu ... abang
gerak dululah. Terima kasih atas bantuan kamu semua. Insyaallah esok abang
datang tolong kamu orang betulkan pagar tu”. Janji Pak Lang sambil menunjuk ke
arah pagar buluh yang roboh.
“Yalah kalau itu kata
abang”. Jawab Putung. Anil , Lawa dan
orang kampung yang lain hanya tersenyum mendengar kata-kata Pak Lang . Mereka
melambaikan tangan ke arah kereta Pak Lang yang kian menjauh.
Pak Lang terpandangkan pagar buluh yang roboh dilanggarnya
tetapi.....
Keesokan
harinya setelah pulang daripada menghantar Mak Alang Esah ke hospital Pekan,
Pak Lang segera berpatah balik ke tempat
kejadian malam semalam. Dalam ‘boot’ keretanya , dibawa bersama tukul besi ,
paku , gergaji dan tali. Itulah barang-barang yang difikirkannya perlu untuk menegakkan semula pagar kebun Putung
dan adik-adiknya yang telah roboh itu.
Sesampai di
tempat kejadian , Pak Lang termangu-mangu , menjadi tidak pasti sama ada dia telah
benar-benar berada di tempat kejadian
malam tadi. Dia melangkah memerhatikan sekeliling. Hatinya berkata , “Ya ,
pasti inilah tempatnya”. Pak Lang menjadi
lebih yakin apabila terpandangkan pagar buluh yang roboh dilanggarnya semalam tetapi
...
“Eh , kenapa sunyi benar
tempat ini?”. Mana perkampungan orang asli semalam?. Mana rumah Putung?”. Pak
Lang merasa sungguh hairan. Tempat kejadian yang sama. Malah seretan tayar
keretanya melanggar busut semut semalam masih jelas kelihatan tetapi di mana
rumah Putung?.
“Uh?. Bermimpikah aku atau
… ?”.
“Subhanallah , Maha suci
Allah. Engkau jua yang maha mengetahui”. Pak Lang sedar bahawa dia telah
dipertemukan dengan makhluk Allah yang bukan manusia semalam. Pak Lang mengambil keputusan untuk berjalan-jalan
dan meninjau keadaan sekeliling.
“Ah ... inilah busut semut
yang berjasa itu ... tapi ... di mana ya rumah Putung?”. Fikirnya . Maka Pak
Lang berjalan jauh ke dalam kebun. Menyusuri sungai dan kembali ke bahu jalan.
“Hah ... tiada!”. Tiba-tiba
matanya terbelalak memandang ke arah sebuah pondok kayu yang telah usang. Daun
pintunya sudah terkopak, dinding-dindingnya sudah berlubang dan kayunya juga sudah
mulai mereput tetapi ... “Anak tangga itu!. Ya aku pasti , itulah anak tangga
yang ku pijak semalam”. Pak Lang menyakinkan dirinya.
“Aneh ...”. Fikirnya lagi.
Lama Pak Lang termenung memerhatikan rumah kayu kecil tinggi itu. Lama-kelamaan
timbul pula rasa seram di hatinya. Peluh dingin mula memercik daripada
tubuhnya.
“Apa yang harus aku buat ...
cabut?!”. Fikirnya lagi.
“Ahh!!! Lelaki apa aku
ini?. Tidak! Apapun aku sudah berjanji akan memperbaiki pagar buluh yang roboh
itu. Janji tetap janji!”. Begitulah Pak Lang membina semula semangatnya yang
menghilang. Peribahasa Melayu ‘Kerbau dipegang pada talinya , manusia dipegang
pada janjinya’, memang telah sebati dalam jiwa Pak Lang. Itulah hidupnya ....
Pak Lang
memandang sekeliling , matanya akhirnya terpaku pada serumpun pokok buluh tidak
jauh dari busut semut. “Hah! Itu dia!!”. Senyuman diukir , Pak Lang berjalan
gagah ke keretanya , mengeluarkan parang dan gergaji ... apapun halangan yang
ada ... yang pasti pagar buluh pasti tertegak semula!!. Setelah hampir sejam
bekerja keras maka selesailah semuanya. Pagar buluh sudah tertegak semula!. Pak
Lang tersenyum puas.
“Apapun jenis wujudnya
kamu semua aku tidak peduli. Pada aku, ini adalah rancangan Allah menemukan aku
dengan kalian semua. Aku benar-benar berterima kasih atas pertolongan kalian
kepadaku semalam dan aku juga telah kotakan janjiku untuk menegakkan semula
pagar kamu yang roboh maka kita telah tidak berhutang apa-apa lagi”. Pak Lang berkata-kata sendirian di hadapan
pondok kayu usang itu. Perasaannya kuat mengatakan bahawa kata-katanya itu
didengari oleh Putung dan adik-adiknya.
Setelah segalanya selesai
, kereta dipandu laju meninggalkan jauh kebun berpagar buluh dan pondok kayu
usang. Semua itu pasti akan jadi cerita yang tidak mungkin dilupakan dalam
lipatan sejarah hidup Pak Lang.
Indah , cantik ... dengan pepohon buluh menghiasi taman.
Malam itu ,
sebaik sahaja kereta Pak Lang meluncur pergi , Ziah dan abang Anip segera masuk
ke bilik mereka ... menunaikan solat isyak berjemaah dan berehat di katil.
“Abang , macam mana hari
ni?. Selesa berada di rumah sendiri?”. Tanya Ziah sambil mengusap rambut abang Anip
yang lurus lebat itu. Abang Anip hanya tersenyum ... merelakan dirinya diusap
begitu. Perasaannya sungguh selesa ...
“Eh , orang tanya dia
senyum-senyum je!” . Jari Ziah nakal mencuit hidung abang Anip. Abang Anip
membiarkannya.
“Indahnya perkahwinan ... punya
isteri tempat bermanja dan tentunya ... tempat berkongsi kegembiraan dan
kesedihan”. Fikir abang Anip. Tangan Ziah digenggam dan diletakkan di dadanya.
“Rasa tak degupan jantung
ni?”. Tanya abang Anip.
“Ya. Kalau letak telinga
di dada macam ni lagi rasa , dapat dengar bunyinya ... kuat , laju . Kenapa ya?”.
Tanya Ziah manja.
“Itulah gelora hati abang
sekarang”. Jawab abang Anip , memandang isterinya.
“Gelora?”. Ziah pura-pura
tidak faham.
“Gelora cintaku padamu!”.
Gurau abang Anip sambil tersenyum.
“Tapi kasihan isteri ku
ini ...”. Abang Anip meneruskan kata-katanya sambil mengusap lembut rambut
Ziah.
“Kasihan?”. Ziah tidak
faham. Hairan mendengar kata-kata suaminya itu.
“Ya. Kasihan isteriku ini ,
dapat suami yang cacat ... tak mampu nak membahagiakannya!”. Abang Anip tiba-tiba beremosi.
“Heii ... siapa kata abang
cacat? Abang sakit ... dan sedang beransur pulih. Isteri abang ni sayangkan
abang dan setia menanti ... janganlah abang memandang kecil cinta Ziah ni!” .
Pinta Ziah.
“Abang tahu. Abang minta
maaf Ziah” . Jawab abang Anip , kesal kerana telah menyinggung perasaan Ziah.
Ziah mengangguk , melabuhkan kepalanya ke dada abang Anip semula , abang Anip
mengusap-ngusap rambutnya ... mereka akhirnya terlena dibuai mimpi ...
“Dooommmm!” daun pintu tertutup sendiri.
Abang Anip
tiba-tiba sudah berada dalam sebuah taman. Indah , cantik ... dengan pepohon
buluh tumbuh menghiasi taman. Sebatang anak sungai mengalir jernih. Boleh
dilihat bebatu yang bagaikan tersusun rapi di dasar sungai. Sesekali kelihatan
anak-anak ikan bermain di gigi air. Indahnya pemandangan itu.
Abang Anip
terus berjalan , leka memerhati sang unggas rimba berterbangan , asyik mendengar
bunyi geseran bebatang buluh ditiup
angin ... terpesona ... tanpa sedar akhirnya kaki abang Anip membawanya ke
sebuah pondok kayu . Kelihatannya agak usang dan terbiar dengan sarang lelabah
berselirat menutupi daun pintu , jendela
dan dinding pondok itu. Tiba-tiba … “Kriouukkkk!!”. Daun pintu terkuak.
Terperanjat abang Anip dibuatnya
namun kakinya terus melangkah masuk ke dalam pondok itu. Kini dia sudah berada
di tengah-tengah ruang pondok.
“Dooommmm!” , daun pintu
tertutup sendiri. Abang Anip mulai menggelabah. “Tempat apakah ini?”. Fikirnya.
Tidak
semena-mena cuaca yang tadinya cerah
bertukar mendung dan gelap diikuti dengan hujan yang tiba-tiba turun dengan
lebatnya. Kilat berdentam dentum. Perasaan abang Anip menjadi tidak keruan. Lantas
dia cuba mencari jalan keluar tetapi daun pintu pondok tiba-tiba saja hilang ,
pintu sudah tidak kelihatan!.
“Ah! Tidak!!”. Jerit abang
Anip.
Abang Anip merasakan
dirinya kini bagaikan terkurung dalam ruangan yang sangat sempit. Dentuman kilat sabung menyabung dengan
deraian hujan yang tiada henti-henti memberatkan lagi perasaan abang Anip.Tidak
semena-mena entah dari mana air hujan mencurah-curah masuk membasahi ruang sempit
itu. Abang Anip cemas , berpusing ke kiri , berpusing ke kanan , mencari jalan
keluar , buntu , bingung . “Apa yang terjadi ini?”.
Tiba-tiba dengan
sekonyong-konyong satu lembaga hitam muncul entah dari mana berdiri betul-betul
di hadapan abang Anip. Abang Anip rasa terancam. Perasaan cemas dan terdesak
bercampur-baur. Dalam kekalutan itu tergerak hatinya untuk membaca
ayatul-kursi. Tapi entah mengapa mulutnya begitu berat sekali. Suaranya
bagaikan terkunci , tidak boleh keluar. Abang Anip tidak putus asa sebaliknya
terus berusaha keras , ayatul-Kursi yang mengajarkan tentang kekuasaan Allah
memelihara hambanya di malam dan siang hari itu terus juga cuba dibaca ... suaranya bagaikan tersekat ... payah! Payah!
Payah sekali!!.
Lembaga hitam
di hadapannya tertawa melihatkan keadaan abang Anip yang terkial-kial . Lembaga
itu kemudiannya mengangkat tinggi tangannya lalu mengarahkan tangan itu kepada abang
Anip. Tangannya itu digenggam kuat. Mulutnya terkumat-kamit. Abang Anip resah .
Rasa takut mulai menyelubungi diri sedang suaranya masih tersekat-sekat. Masih
payah sekali untuknya membaca ayatul-kursi ... maupun sekadar untuk menyebut nama Allah!
Habis sahaja mantera
dibaca , genggaman tangan si lembaga
hitam dibuka perlahan-lahan. Lembaga hitam itu menghembuskan sesuatu dari atas
tapak tangannya lalu berterbangan laju serbuk-serbuk
hitam ke arah abang Anip. Abang Anip
cuba mengelak bersama jeritan kuat yang akhirnya terpacul juga daripada
mulutnya.
“Allahu Akbar!!!!”. Jerit
abang Anip. Jeritan yang cukup kuat!.
Ziah
tersentak. Jeritan itu membangunkannya. Dilihatnya abang Anip sedang tercungap-cungap.
Ziah segera menyapu muka abang Anip lalu mengejutkannya bangun. “Abang! Abang!
Bangun bang”. Panggil Ziah.
Abang Anip tersentak.
Panggilan Ziah tadi telah mengeluarkannya dari mimpi buruk.
“Abang mimpi buruk?”.
Tanya Ziah , cemas. Abang Anip diam. Dadanya masih berombak turun dan naik ... masih lagi terkejut.
“Allahu Akbar!” Abang Anip
mengusap wajahnya sendiri.
“Ya, mimpi buruk!”. Jawabnya
perlahan.
Ziah mengurut-ngurut
belakang abang Anip. Setelah abang Anip kembali tenang …
“Abang , apapun itu hanyalah
mimpi ... usahlah difikirkan sangat.
Sekarang baru jam tiga , abang perlu banyak rehat. Tidurlah … ya sayang”. Ziah
berkata sambil melihat jam di meja katil. Abang Anip masih mengurut dadanya ...
masih terkejut …
“Ziah ke bilik air dulu ...”
. Ziah meninggalkan abang Anip.
Abang Anip terus resah , tidak
dapat melelapkan mata. Pengalaman mimpinya itu tadi bagaikan benar-benar
terjadi.
“Mujur di luar juga hujan
turun lebat , kalau tidak tentu jeritan aku tadi sudah mengejutkan seisi rumah!”.
Fikir abang Anip sendiri.
Tidak lama kemudian Ziah
masuk semula.
“Abang tak tidur lagi?”.
Tanyanya lembut. Abang Anip menggelengkan kepala.
“Tidurlah ... pejamkan
mata. Abang perlu banyak rehat. Ziah solat sunat sekejap ya. Lepas tu nanti
Ziah temankan abang tidur”. Abang Anip hanya mengangguk. Terasa bertuah di
hatinya punya isteri yang taat dan baik seperti Ziah.
Ziah
menunaikan solat tahajud diikuti solat sunat hajat. Dalam doanya Ziah memohon
agar dirinya sekeluarga terutamanya suami yang dicintai dihindari daripada
gangguan syaitan dan malapetaka. Ziah juga berdoa agar abang Anip segera pulih
dari sakitnya.
Keesokan harinya ... “abang kena banyak membaca qur’an”.
Keesokan
harinya abang Anip menceritakan mimpi buruknya
kepada Ziah. Ziah mendengarnya dengan penuh minat.
“Kenapa ya abang mimpi
yang bukan-bukan?”. Tanya abang Anip.
“Entahlah bang ... tapi
pada Ziah , itu hanyalah mimpi. Kata orang mimpi itu mainan tidur. Ianya takkan
dapat mengapa-apakan kita. Berserahlah pada Allah. Mungkin abang kena banyak
membaca qur’an agar hati abang sentiasa tenang dan jauh daripada gangguan
syaitan. Al-qur’an itu kalam Allah … membacanya pasti akan memberikan kita
ketenangan dan kekuatan”. Jawab Ziah.
Abang Anip hanya mendengar
nasihat isterinya itu. Ada benarnya kata-kata Ziah , sudah lama benar rasanya
dia tidak membaca al-qur’an.
“Sudahlah sayang , jangan
difikirkan sangat. Jom kita sarapan. Mak dan abah dah lama tunggu”. Ajak Ziah.
Abang Anip mengangguk.
Mereka berjalan beriringan
ke ruang dapur. Ziah membantu memimpin abang Anip yang masih lagi belum begitu
kuat.
Di meja makan , cikgu
Karim dan mak Midah sudah lama menunggu.
“Hah anip , Ziah,
mari-mari sarapan sama. Ni abah dah beli nasi lemak lauk sambal sotong dan
kerang. Sedap ni ... marilah!”. Ajak cikgu Karim.
“Lena tidur malam tadi ?”.
Tanya pula mak Midah memandang kedua anak dan menantunya itu.
“Err ... ya mak. Maaflah
mak , Ziah terlewat bangun pagi ni”. Kata Ziah. Rasa bersalah kerana kedua
mertuanya pula yang menyiapkan sarapan pagi.
“Eh ... kenapa pulak nak
mintak maaf?. Mak tak kesahpun ... Ziah tentu penat menjaga Anip. Mak faham tu.
Janganlah kau risau yang bukan-bukan!”. Terang mak Midah , penuh pengertian.
“Terima kasih mak, abah”.
Kata Ziah terharu.
“Eh sudahlah tu ... mari
makan. Nanti sejuk tak sedap pulak nak makan”. Gesa cikgu Karim.
“Ha ... ni abah nak bagi
tau. Tadi Pak Lang talipon . Dia bagi tau malam tadi kereta dia nyaris-nyaris
masuk sungai!”. Cerita cikgu Karim.
“Apa?! Pak Lang kemalangan
ke?”. Tanya abang Anip agak terkejut.
“Sikit je ... terbabas.
Masuk kebun orang. Mujur ada busut semut kat tepi sungai. Kereta Pak Lang
tersangkut kat busut tu lah. Kalau tak ... dah tentu ke dalam sungai perginya!”.
Terang cikgu Karim.
“Alhamdulillah!”. Ucap
Ziah dan abang Anip serentak.
“Mmm ... Miah mana?” . Tanya
abang Anip apabila menyedari yang adiknya tiada.
“Eh kau ni, ni kan hari
Selasa ... dia pergi sekolah lah”. Kata mak Midah. Abang Anip tersenyum sambil
menggaruk kepala.
“Ziah , cuti Ziah tinggal
berapa hari lagi?”. Tanya cikgu Karim
“Ikutkan Isnin depan Ziah
dah kena pergi sekolah. Hari tu Ziah ambil cuti 14 hari untuk jaga abang Anip.
Err ... tu yang tak berapa selesa ni. Risau jugak nak tinggalkan abang Anip di
rumah”. Ziah berterus terang.
“Haiii ... untungnya kau
Anip. Dah , tak usahlah kau risau sangat Ziah. Mak dan abah kan ada. Kalau
setakat nak tengok-tengokkan si Anip ni , tak ada masalah langsung”. Sampuk mak
Midah.
“Yelah ... kalau gitu , Isnin
nanti Ziah akan ke sekolah semula”. Jawab Ziah. Abang Anip hanya mendiamkan
diri.
No comments:
Post a Comment