BAB 27 : PUKULAN HEBAT
Tinggal berdua
Bermulalah kisah baru buat Diah , hidup
berdua bersama lelaki yang bergelar suami, berdikari jauh dari kedua orang tua
masing-masing. Bahagia atau derita , semua tertakluk atas usaha tangan sendiri
, tentunya dengan restu dari Ilahi. Selepas malam kejadian Diah dikerjakan oleh
ibunya Puan Sarah , Zuraimie membawa Diah keluar dari rumah agam kedua
ibubapanya itu , menginap di Hotel Equatorial Bangi selama beberapa hari
sebelum akhirnya berpindah ke rumahnya sendiri.
Kebetulan ,
rumah banglo dua tingkat yang dibeli
oleh Zuraimie daripada pemilik asalnya sudah boleh dimasuki. Rumah itu juga
sudah siap diubahsuai mengikut selera dan cita rasa Zuraimie. Pada asalnya ,
Zuraimie berniat untuk membuat kejutan kepada Diah namun setelah apa yang
terjadi maka terpaksalah niatnya itu
dibatalkan. Kini mereka sama-sama menjejakkan kaki ke rumah milik mereka
sendiri.
“Diah , masuklah. Inilah saja yang mampu abang sediakan untuk
Diah”. Kata Zuraimie merendah diri. Diah memandang sekeliling ,
berpusing-pusing seketika.
“Abang , rumah ini terlalu besar untuk kita berdua”. Jawab
Diah , tiada senyuman yang menguntum indah di bibirnya. Bagaimana mungkin Diah
mampu tersenyum bahagia sedangkan hatinya terpaut kuat pada Raziq , anaknya
yang kini semakin jauh di mata.
“Ya. Besar untuk masa ini. Tapi nanti bila kita sudah ada anak-anak
kita sendiri , tentu rumah ini sudah tidak begitu besar lagikan?”. Balas
Zuraimie.
Demi
mendengar saja Zuraimie membangkitkan soal anak , air muka Diah tiba-tiba
berubah. “Anak yang sorang itupun tidak dapat kubela , inikan pula mahu beranak
lain!. Mahu saja semuanya diangkut ke rumah agam itu juga!!”. Protes hati
kecilnya.Kecelaruan hatinya jelas tergambar di riak wajahnya hinggakan bibirnya
diketap kuat dan dahinya berkerut hingga hampir tercantum dua keningnya.
“Lagi pula , siapa yang mahu melahirkan anak buatmu?!”.
Tingkah hatinya lagi. Cerlung mata Diah memandang wajah Zuraimie.
“Oh! Maafkan abang sayang. Sudahlah , janganlah begini”.
Pujuk Zuraimie , faham dengan bebanan perasaan isterinya yang terlalu rindukan
Raziq , anaknya yang terpaksa ditinggalkan di rumah ibubapanya.
“Ibu mana yang dengan rela sanggup melepaskan anaknya begitu
saja. Maafkan abang sayang”. Kata hati Zuraimie.
“Bila abang nak bawa Raziq ke sini?”. Tanya Diah , penuh
harap.
Zuraimie terdiam mendengar pertanyaan Diah. “Apa yang harus
aku katakan padanya?”. Fikirnya.
“Abang , hari tu masa kita keluar dari rumah mak , abang
sudah berjanji yang kita akan datang balik untuk ambil Raziq. Abang kata tunggu
sampai Diah sihat. Sekarang Diah sudah sihat. Kenapa tak kita ambil terus Raziq
, tinggal bersama kita di sini?. Tentu lebih seronok. Tidaklah Diah kesunyian
bila abang ke pejabat. Tolonglah abang , Diah dah rindu sangat padanya”.Rayu
Diah , memaut dan menggoncang-goncang tangan Zuraimie.
“Ah! Diah. Begini sayang , bukan abang tak mahu ambil Raziq
tapi semalam masa abang pulang dari pejabat , abang singgah sekejap ke rumah mak. Abangpun
sebenarnya rindukan Raziq. Tapi masa abang sampai di sana , kak Anisah ada
beritahu abang yang mak tidak berapa sihat. Darah tingginya naik tiba-tiba. Kak Anisah pesan supaya kita
jangan tambahkan lagi kerisauan mak. Diah pun tahukan yang mak tu terlampau
sayangkan Raziq. Abang takut kalau kita ambil Raziq sekarang , kesihatan mak
akan terjejas teruk. Lagipun semua yang berlaku ini sudah cukup memberikan
tekanan pada mak. Diah ... sabar ya
sayang. Tolong faham ... abang janji , bila keadaan semakin baik , kita akan
ambil dan bawa Raziq ke sini. Boleh ya sayang?”. Zuraimie cuba memujuk dan memberi
alasan yang difikir munasabah , dia terpaksa membohongi isterinya kerana tidak
mahu terus-terusan melukakan hati ibunya itu.
“Sudahlah hajatnya untuk bermenantukan Hidayah telah tidak
aku tunaikan ... kini , masakan tega aku memisahkannya dengan cucu
kesayangannya pula” Keluhnya sendiri. Ada belas dihatinya buat ibunda yang
tercinta.
“Huh! Diah bagaimana?. Tidakkah dia yang lebih berhak?”.
Zuraimie buntu. Ditelan mati emak , diludah mati ayah ... “Huh!”. Keluhnya
lagi.
“Habis Diah?. Sampai bila Diah harus menanggung rindu begini?.
Bukankah Diah sebagai ibu kandungnya lebih berhak untuk menjaga Raziq?. Lagipun
lagi lama Raziq di sana , lagi sayang emak padanya. Diah takut , masa itu abang
takkan mampu nak pisahkan mereka!”. Bentak Diah , mula menangis.
“Sshhhh sayang jangan menangis. Abang janji kita akan selalu
pulang ke sana untuk melihat Raziq. Nanti bila kesihatan mak dah okey , abang
akan ‘slow talk’ dengan mak ya. Kita akan bawa Raziq tinggal bersama kita di
sini. Sekarang ni Diah kena tolong abang , gembirakan hati Diah. Rumah ini
abang hadiahkan untuk Diah. Kita cipta kebahagiaan kita di sini ya sayang”.
Zuraimie memujuk Diah , rambut Diah yang mengurai diusap lembut. Mahu tidak mahu Diah terpaksa akur. Lagi pula
, apa pilihan yang dia ada.
“Raziq , maafkan mak sayang”. Keluh Diah di dalam hati.
“Raziq , maafkan Diah kerana tidak berupaya mempertahankan
anak kita”. Keluhnya lagi ... matanya dipejamkan dan sekonyong-konyong itu wajah
arwah Raziq bermain di minda.
“Ziq , saya rindukan awak ... sangat!. Tiada seharipun
berlalu tanpa saya mengingati awak”.
Aku merinduimu ...
Tiada sehari berlalu
tanpa aku mengingatimu
Kiranya kau dan aku di
dua dunia yang berbeza
Namun bagiku ...
Dalam keduanya ada kamu.
Sentiasa ada kamu
...sejak hari pertama hingga kini
Alam nyata dan maya
Sentiasa ada kamu ...
|
Bisiknya perlahan ... perlahan namun cukup untuk didengari
oleh Zuraimie yang berada di sisi!.
Penantian adalah satu penyeksaan
Hari
berganti hari. Minggu berganti minggu. Bulan berganti bulan. Diam tidak diam
sudah tiga bulan Diah dan Zuraimie tinggal di rumah sendiri. Selama tempoh itu
jugalah Diah tidak berpeluang menemui anaknya Raziq.
“Abang , bila lagi?. Bila lagi kita nak ambil Raziq. Diah dah
tak tertahan rindukan dia”. Itulah soalan Diah setiap kali Zuraimie pulang dari
kerja.
“Nantilah sayang , abang tengah benar-benar sibuk ni. Nanti
hujung minggu ni kita ke rumah mak. Kalau tak dapat bawa balikpun , sekurang-kurangnya
dapatlah kita melepaskan rindu padanya kan”. Lagi-lagi itulah juga alasan dan
jawapan yang diberikan Zuraimie. Dia sendiri sudah bingung mencari jalan
penyelesaian.
Zuraimie masih ingat lagi akan kata-kata ibunya sewaktu dia melawat ibunya sebulan yang lalu. Sengaja dia pulang sendiri
tanpa membawa Diah bersama. Niat hatinya
mahu berbincang dan merayu kepada ibunya agar membenarkannya mengambil Raziq
untuk tinggal bersama mereka. Sengaja
dia pergi sendiri tanpa membawa Diah. Zuraimie tidak mahu kehadiran Diah akan menambah
rumitkan perbincangan dengan ibunya nanti.
“Apa?. Kau nak ambil
Raziq?. Tidak! Langkah mayatku dulu. Selagi aku hidup , jangan kau ulangi
permintaan kau itu. Aku ini neneknya , aku sayangkannya. Aku ada segala-galanya
untuk membesarkan dia dengan baik dan sempurna. Lagi pula apa yang kau harapkan
daripada perempuan seperti Diah itu. Diri sendiripun tidak terurus , inikan
pula mahu menjaga cucuku Raziq. Elok-elok sihat budak tu , nantikan tinggal
tulang dan kulit je.
Sudah! Jangan kau
ulang-ulangi lagi perkara ini. Kalau kau masih hormatkan aku sebagai ibu yang
melahir dan membesarkan kau , janganlah sekali-kali kau ulangi permintaan kau
ini!.Faham?. Fikir dengan akal kau yang waras , mampukah perempuan sakit tu
bela Raziq?. Kau sendiri tahu jawapannya kan?. Aku tak nak memperjudikan nasib
cucuku demi dia!”. Bentak ibu , menutup
terus ruang perbincangan.
Zuraimie buntu. Rancangannya membawa
keluar Diah dari rumah kedua ibu bapanya untuk melembutkan hati ibunya telah tidak
berjaya. Bukan itu saja , harapannya agar hubungannya dengan Diah akan semakin
baik juga punah. Sangkanya , dengan
tinggal berdua Diah akan dapat menerima cintanya lalu melupakan cinta Raziq.
Rupanya dia masih bermimpi!. Semuanya masih terlalu jauh untuk digapai.
‘Di sana ibu , di sini isteri’ , Zuraimie benar-benar
tersepit di tengah-tengah kemelut perasaan kedua-dua insan yang amat disayanginya.
Zuraimie mencuba sekali
lagi
Mungkin Diah akan dapat melupakan kerinduannya terhadap Raziq jika mereka
mempunyai anak lain. Berpegang pada pendapat itu maka malam itu Zuraimie
memberanikan diri mendekati isterinya yang sudahpun berbaring di atas katil
bilik mereka. Selama tiga bulan tinggal berdua , Zuraimie tidak pernah
mengganggu tidur Diah. Dia sentiasa memendam keinginannya sebagai suami. Kalau
boleh dia tidak mahu memaksa. Biarlah semuanya terjadi dengan kerelaan Diah.
Namun malam ini dia membulatkan
tekad. Semua ini harus berakhir. Diah harus belajar menerimanya sepenuhnya
sebagai suami.
“Ya Allah , bantulah aku , lembutkanlah hati isteriku ini
untuk menerimaku sebagai suami”. Doanya usai solat isya’ malam itu.
Perlahan-lahan Zuraimie memanjat katil , barbaring
betul-betul di belakang isterinya. Rambut Diah yang panjang mengurai
dielus-elusnya . Diah yang berpura-pura tidur itu mulai resah. Peluh dingin
memercik keluar dari dahinya.
“Ya Tuhan , apa yang dilakukannya ini?.Ya Tuhan , bantulah
aku ...”. Diah mengeraskan diri.
“Sayang , maafkan abang mengganggu tidurmu. Sayang , sudah
masanya kita hapuskan banteng antara kita”. Zuraimie berkata lembut. Berusaha
merayu dan memujuk namun Diah masih tetap mematikan diri. Jangankan mahu
berpusing mengadap suaminya , bergerak seinci pun tidak.
Lebih mengecewakan lagi apabila Diah mula menepis tangan
Zuraimie sebelum menarik selimut menutupi keseluruhan tubuhnya.
“Sayang ... sampai bila kita harus begini?”. Zuraimie
akhirnya mengalah. Tiada guna merayu pada yang tidak sudi. Dia lantas bangun ,
mengambil kunci keretanya lalu memandu laju
tanpa arah tuju.
“Abang ... maafkan Diah...”. Keluh Diah. Lambat-lambat Diah
bangun membuka laci meja lampu katilnya lalu mencapai diari kecil yang telah
menjadi teman setianya sejak mula berpindah ke mari. Semua kehampaan ,
kerinduan , kesunyiannya dicatatkan dalam diari kecil itu. Di situlah segalanya
tertumpah ...
Awak ,
Hari ini saya mengecewakannya
lagi. Semuanya saya lakukan demi mempertahankan cinta kita.
Tapi sampai bila awak?. Sampai
bila saya mampu mempertahankannya?
Awak ,
Sukarnya saya melalui
hari-hari tanpa awak di sisi.
Setiap helaan nafas saya ada
awak ...
Setiap kerdip mata saya ada
awak ...
Degupan jantung ini , ada cinta awak ...
Denyutan nadi ini ... adalah
untuk awak ...
Dalam sedar dan lena ...
sentiasa ada awak ...
Dalam nyata mahupun ilusi ...
sentiasa ada awak ...
Awak ,
Kekadang saya terfikir ,
mengapa tuhan mengambil awak dan membiarkan saya lalui semua ini sendiri.
Saya juga terfikir , mengapa
tuhan mahu saya tanggung rasa rindu ini?. Semakin hari semakin memberat.
Mengapa tidak direnggut terus
kerinduan ini dari hati ini? Atau dihilangkan terus ingatan saya terhadap
awak?. Bukankah Dia mampu melakukannya?.
Bukankah boleh saja rasa cinta
ini dimatikanNya begitu saja? ... atau ... dihilangkan terus dari ingatan
ini ?. Bukankah itu lebih baik agar saya mampu membina hidup baru tanpa
awak membayangi tiap langkah.
Oh Tuhan!. Apa hikmah di
sebalik semua ini ... masih adakah hikmah rahsia di sebalik rahsia ini? Dan
bilakah ianya akan berakhir?.
-Diah-
|
“Hai Zuraimie , kenapalah kau masih tak faham-faham juga yang
kau tu langsung tiada tempat di hatinya!. Bodohnya kau ini!. Hidung tak mancung
pipi tersorong-sorong!”. Bisik hatinya.
“Diah , kenapa nak siksa abang begini?. Tidak cukupkah kasih
sayang yang abang tunjukkan dan curahkan selama ini?”. Keluh Zuraimie.
“Apa dirayu pada yang tak sudi. Tu! Di luar sana , ramai lagi
yang menunggu!”.
Zuraimie berkata-kata sendiri , mengutuk kebodohan dirinya
yang masih juga masih mangharap dan mencuba sedangkan berkali-kali dia ditolak.
Sudah berkali-kali juga dia terluka.
Malam ini Zuraimie tidak mahu terluka
lagi. Dia sudah nekad , “Diah , kamu sudah melampau!. Jangan salahkan abang
atas apa yang bakal abang lakukan!”. Katanya lagi lalu pedal minyak ditekan
lebih kuat , mengaum enjinnya memecah keheningan malam ...
Hancur hati Diah bagai
terhempas ke batu
Sudah tiga minggu berlalu sejak kejadian
malam itu namun Diah tetap juga tidak
mempedulikan langsung kehadiran Zuraimie
sebagai suami.
Baginya , cintanya tetap buat Raziq yang telah tiada. “Hanya
Raziq , tiada yang lain. Demi cinta
ini!”.
Baginya , Zuraimie tiada hak untuk menagih cintanya kerana
pernikahan mereka adalah berlandaskan suatu pembohongan yang tidak pernah dapat
dimaafkan.
“Kamu yang bersalah kerana tidak jujur dalam perhubungan ini.
Dari awal lagi semua ini sudah tidak betul. Lagi pula , jika dia benar-benar ikhlas mencintai aku , mengapa perlu berharap lebih?”. Fikirnya. Diah hanya memikirkan
dirinya , haknya dan segalanya tentang dirinya sahaja!
Namun sesuatu telah terjadi.
Sabar itu ada batasnya ... dan alangkan pantaipun berubah ...
Sesuatu yang tidak pernah terlintas di kepala Diah. Sesuatu yang telah membangunkan Diah dari alam
fantasinya.
Diah bagaikan tiba-tiba tersedar yang dia bakal kehilangan
Zuraimie. Setelah ianya terjadi , barulah
Diah terasa betapa amat
bermaknanya lelaki itu dalam hidupnya dan Diah
tidak mahu kehilangannya. Diah tetap mahu menjadi satu-satunya wanita
yang dicintai lelaki ini. Diah benar-benar terpukul , adakah ini semua berpunca
dari dirinya sendiri ?.
Mungkin juga kerana sesungguhnya suami mana yang boleh terus
bersabar jika setiap kali keinginannya ditolak , maruahnya dicalar dan kejantanannya
dicabar.
“Oh Tuhan , sudah terlambatkah aku?”. Keluhnya , menyesali
segala perlakuan dinginnya terhadap suaminya sendiri. Diah tidak sedar selama
ini bahawa perbuatannya sendiri yang
telah menjerat dirinya kini. Diah juga tidak pernah terfikir yang Zuraimie mampu bertindak sejauh ini.
Benarlah bagai kata pepatah , ‘Air yang tenang jangan
disangka tiada buaya!’.
‘Sudah terhantuk baru terngadah!’ dan Diah benar –benar terpukul dengan apa yang
berlaku.
‘dance club’
Resit lawatan ke ‘dance club’ yang ditemui Diah dalam poket seluar Zuraimie
amat mengecewakannya. RM 2850.00! Itu
jumlah yang perlu dibayarnya. ‘GRO booking’ sahaja mencecah RM1500!
“Perkhidmatan apa yang perlu dibayar sebegini banyak?”. Diah
seram sejuk memikirkan kemungkinan yang telah terjadi. Hancur hati Diah bagai
terhempas ke batu memikirkan segalanya. Sungguhpun dia tidak melayan Zuraimie seperti selayaknya
, Diah tetap tidak dapat menerima perbuatan curang Zuraimie.
“Cinta perlukan pengorbanan , apa tidak bolehkah kau korbankan
sedikit nafsumu itu demi cintamu padaku?”
“Huh! Lelaki. Belum dapat , segala-galanya boleh tapi bila
sudah dapat ...”. Diah membentak , dia benar-benar kesal dengan sikap Zuraimie.
Begitulah sikap manusia , kuman di
seberang jalan dapt dilihat tetapi gajah
di depan mata masih tetap kelam’. Diah masih tidak juga nampak akan kesalahan
diri. Dia tetap juga menyalahkan Zuraimie atas apa yang berlaku.
Malam itu , Diah
nekad ... sebaik sahaja Zuraimie pulang
dari ‘out station’ , Diah akan ‘confront’
dengan lelaki itu.
“Tidak guna berterusan menyimpan rasa ... kelak aku yang
binasa!”. Bisik hatinya
Nombor telepon bimbit Zuraimie didailnya. Walhal sudah
seminggu Zuraimie pergi ... baru hari ini dan buat pertama kalinya dalam
sejarah hubungan mereka , Diah mendail nombor suaminya sendiri!
“Hello sayang , hai ... dah tak sabar ke tunggu abang balik?”.
Suara Zuraimie kedengaran begitu mesra mengusik. Riang tidak terkira hatinya
tatkala melihat nama ‘Diah Sayang’ tetera
di skrin telepon bimbitnya. Inilah kali pertama nama itu dapat ditatap
di skrin telepon bimbitnya!.
Walau apapun rintangan
yang melanda , walau seteruk manapun hatinya dikecewakan , walau sebesar
manapun kesalahan Diah terhadapnya , baginya Diah tetap bertahta di hati.
“Ya ... tak sabar. Bila abang akan sampai?”. Jawab Ziah ,
geram.
“Bertolak pukul 3 petang ni. Dalam pukul 9 malam ni abang
sampailah ... tapi ingat nak singgah office kejap. Ada dokumen kena hantar
esok. Paling lambat dalam pukul 11 or 12 macam tu abang sampai rumah. Sayang
jangan pulak tunggu abang. Tidur dulu ye ...”. Balas Zuraimie.
“Betul ke kena hantar dokumen esok? Takkanlah bos abang tak
tahu yang abang baru sampai malam nanti?”. Tanya Diah , merujuk kepada bapa
mertuanya sendiri.
“Pasal dia tahu abang sampai malam nilah maka abang kena
hantar jugak dokumen tu esok. Orang jadi bos ni bukan peduli penat orang!”.
Jawab Zuraimie tanpa menaruh syak.
Begitulah Zuraimie , sejak dia membuat keputusan untuk
menyertai syarikat keluarga , hidupnya jadi terlalu sibuk dengan pelbagai
urusan kerja. ‘Lunch appointment , dinner appointment , bermain golf dengan VIP
, mesyuarat di pejabat , mesyuarat dengan ‘partner’ dan pelbagai lagi aktiviti
yang ada sangkut pautnya dengan pekerjaan.
“Tak pa lah bang ... tapi Diah nak bagitahu abang ni , malam
ni lepas abang balik ada perkara yang Diah nak bincangkan”. Diah memberitahu
Zuraimie.
“Alahh ... ini yang tak best ni. Apa dia cakap sekaranglah ... please. Sayang
buat abang tak senang hatilah!”. Balas Zuraimie.
“Abang , Diah ni sabar orangnya ... sangat sabar!. Kalau Diah
boleh tunggu abang balik untuk
berbincang, abang tentu lagi bolehkan? Bukan abang selalu
kata yang Diah ini adalah segala-galanya dalam hidup abang?”. Ziah menyindir.
“Mmmm ... yelah sayang. Kita bincang malam ni key. Abang nak
packing barang ni. Kejap lagi kena check out. Miss you so badly , can’t wait to
see you to night. Hmmm ... jangan lupa pakai wangi-wangi untuk abang ye. Bye!”.
Usik Zuraimie.
“Bye ...”. Balas Diah sepatah.
“Huh! Miss you so badly
, can’t wait to see you to night konon. Tunggulah malam nanti!!”. Diah mengajuk kata-kata Zuraimie di dalam
hati!.
... dia berterus terang
saja dengan Zuraimie ...
Malam itu seperti yang dijangkakan
oleh Diah , Zuraimie sampai ke rumah pada pukul 1:40 pagi. Diah sengaja tidak
tidur dahulu , menunggu kepulangan suaminya. Sejak Diah menemui resit tersebut
, kepercayaannya kepada Zuraimie tidak lagi bulat. Diah ingat lagi nasihat
sahabatnya Ziah agar dia berterus terang
saja dengan Zuraimie dan dapatkan jawapan daripada mulut suaminya itu sendiri.
“Dalam hubungan suami
isteri ini jangan banyak ‘sangkaan-sangkaan’ yang boleh merosakkan hubungan.
Jika ada apa-apa yang tidak selesa atau musykil , bertanya. Berbincang. Itu
adalah yang terbaik. Saling mempercayai adalah kunci kebahagiaan sebuah rumah
tangga”. Itulah
nasihat Ziah apabila Diah melahirkan kerisauannya tentang kejujuran Zuraimie
petang tadi. Diah sangat sedar bahawa Ziah adalah satu-satunya sahabat setia
yang tidak mungkin menjahanamkannya. Kata-katanya adalah nasihat ikhlas yang
pastinya mahu melihat dirinya bahagia.
Sebaik sahaja pintu dibuka , Zuraimie
terkejut memandang Diah yang masih menunggunya , duduk di atas sofa betul-betul
bertentangan dengan pintu masuk rumah mereka.
“Eh , tak tidur lagi sayang?”. Tanyanya spontan sebaik saja
terpandangkan Diah.
“Belum. Tunggu abang ...”. Diah bangun untuk mendapatkan suaminya.
Melihat Diah
menghampirinya , Zuraimie segera berlari ke bilik mereka
sambil pura-pura menjerit ...
“Aduhai sayang ,abang sakit perut! Nak ke tandas ni. Sorry
sayang. Tunggu abang melepas hajat kejap!”. Zuraimie berkata sambil berlari
terus masuk ke bilik air di bilik tidur mereka. Ziah memuncungkan mulutnya. Reaksi Zuraimie
itu menimbulkan perasaan syak wasangka di hati Diah.
“Hmm ... yelah tu.
Tentu ada sesuatu yang mahu disorokkan dari aku. Apa ye?. Kenapa dia
cepat-cepat lari bila aku mahu mendekatinya?. Hah?! Entahkan badannya terlekat
bau minyak wangi GRO yang dilangganinya?. Ya Allah! Apa yang harus aku buat
ni?!”. Fikirnya cemas. Pada ketika ini , perasaan Diah tidak tenang. Hatinya
resah memikirkan kejujuran suaminya. Diah juga tiba-tiba rasa takut. Takut
kehilangan Zuraimie , suami yang selama ini telah dinafikan haknya!. Walhal ,
perlakuan Zuraimie itu adalah demi memikirkan keselesaan Diah. Zuraimie tidak
mahu Diah menghidu bau masam peluhnya atau bau asap rokok rakan sepejabatnya
yang sudah melekat pada pakaiannya.
Diah curiga
“Aaaa ... macam mana ni?. Salah aku! Salah aku!. Apa nak buat
sekarang?. Macam mana kalau dia benar-benar dah bosan melayani kerenah aku?.
Macam mana kalau dia benar-benar ada perempuan lain?. Macam mana dengan aku?!”.
Soalan demi soalan menghantui fikiran Diah , berserabut jadinya. Mundar mandir
dia berjalan , tidak keruan perasaannya.
Setelah menunggu lebih setengah jam
akhirnya Zuraimie selesai mandi dan berpakaian. Keluar menghampiri Diah lalu
mengucup pipinya.
“Apa khabar isteri abang?”. Nada suaranya lembut.
“Khabar baik. Abang , Diah nak tanya sesuatu boleh?”.
Akhirnya tibalah masa yang dinantikan Diah. Dia tidak mampu bertangguh lagi.
Semuanya mesti diselesai malam ini juga!
“Tanya?. Hmm ... serius benar bunyinya. Ok , tanyalah”. Jawab
Zuraimie sambil tersenyum , memandang Diah dengan penuh kasih sayang.
“Ni resit apa?”. Diah menghulurkan resit melanggani ‘dance
club’ yang ditandatangani oleh Zuraimie.
Zuraimie agak terkejut melihat resit itu boleh berada di
tangan Diah. Air mukanya berubah. “Mana Diah dapat ni?!”. Zuraimie tiba-tiba meninggikan
suara. Marah dan rasa tercabar.
“Dalam poket seluar abang. Abang pergi ke tempat-tempat macam
ni?”. Tanya Diah , wajahnya sudah merona merah menahan perasaan.
“Itu bukan persoalannya. Isunya sekarang , kenapa Diah
menyelongkar barang-barang abang?”. Marah benar Zuraimie dengan tindakan Diah. Hak
peribadinya tak seharusnya dicerobohi.
“Itu tak penting!. Abang jangan nak tukar tajuk. Tak payahlah
nak salahkan Diah menyelongkar barang-barang abang. Bukankah memang selalu Diah
yang mencuci pakaian abang”.Terang Diah.
“Yelah tu. Sejak bila pula awak ambil berat tentang saya
sampai begitu sekali?. Apa kalau nak basuh seluar mesti check setiap poket?.
Kalaupun Diah jumpa resit tu , siapa beri hak pada Diah untuk baca tiap
butirannya?”.Zuraimie cuba menyalahkan Diah pula. Satu helah untuk melepaskan
diri!. Helah lelaki apabila ‘kantoi’!
“Diah tak berniatpun!. Resit ni abang letak betul-betul dalam
poket seluar abang begitu saja. Ditakdirkan Allah , tergerak hati Diah nak
tengok. Sekarang abang jawab soalan Diah , apa semua ni?”. Diah menjadi tidak
sabar dengan alasan dan dolak dalih Zuraimie.
“Alah ... abang tak pergipun tempat macam tu Abang cuma
tolong bayarkan bill saja ...”. Zuraimie cuba menipu.
“ Apa?. Tolong bayarkan bil saja?. Sampai beribu-ribu?”. Diah
tidak percaya.
“Ingat aku ni bodoh
sangat ke?!”. Kata Diah dalam hatinya.
“Orang lain seronok main perempuan , awak pula tukang bayar.
Ceh!! Orang bodohpun tahu!!”. Fikir Diah lagi. Kalau boleh , ingin segalanya
dihambur keluar tapi entah mengapa mulut Diah tiba-tiba bagaikan terkunci ,
mungkin terpana dengan ‘alasan bodoh’ yang diberikan suaminya.
“Diah pun tahukan , bussines
sekarang teruk. Abang terpaksa melayan kerenah ‘client’ , nak puaskan hati mereka. Tapi abang tak pergipun ,abang
cuma masuk untuk bayarkan bill itu.
Itu saja!”. Suara Zuraimie semakin meninggi. Egonya betul-betul dicabar. Tidak
puas hati apabila isterinya sendiri sudah mulai curiga begitu walaupun
kecurigaannya itu berasas!.
“Tak! Diah tidak percaya. Macam mana Diah nak tahu sama ada
abang pergi atau tidak?”. Tanya Diah , juga masih tidak berpuas-hati dengan
alasan yang diberi.
“Terpulanglah pada Diah. Kalau Diah tetap tak mahu percaya ,
abang nak buat macam mana ... lagi pula sejak kita nikah , memang Diah tak
pernah mempercayai abang apatah lagi menghargai abang. Terpulanglah pada Diah
sama ada nak percayakan abang ataupun tidak. Abang penat dan abang dah tak
larat lagi nak layan kerenah Diah”. Zuraimie menutup perbualan dengan
memalingkan mukanya. Cara mudah untuk melepaskan diri.
Diah diam ... bingung mendengar kata-kata penutup Zuraimie.
“Apa pilihan yang aku ada?. Menggolek aku luka , digolekpun
aku luka. Berkeraspun tiada gunanya. Lagipun memang benar selama ini aku
langsung tidak menghargainya sungguhpun sememangnya hanya dia yang aku ada. Oh!
Tuhan ... aku sebenarnya tiada pilihan lain melainkan menerima segalanya.
Mungkin ini adalah balasan buatku kerana mengabaikannya”. Akhirnya Diah mengalah, memeluk Zuraimie
sambil menyembamkan mukanya di dada suaminya. Itulah kali pertamanya Diah
merendahkan diri buat lelaki ini!
“Maafkan Diah bang kalau abang terasa hati. Diah cuma tidak
mahu bersyak wasangka dengan abang , sebabtu lah Diah tanya”. Diah memujuk. Walaupun
jauh di sudut hatinya , Diah tahu yang
suaminya itu berbohong!.
Zuraimie yang dipeluk erat oleh Diah terkesima dengan
perlakuan isterinya. Hari ini dalam sejarah , inilah kali pertama tubuhnya di
dakap erat oleh isterinya sendiri. Zuraimie tidak melepaskan peluang , dia
membalas dakapan itu dengan rela ... hilang semua gundah gelana di hati ...
Curiga berpanjangan
Sudah lebih sebulan peristiwa itu
berlalu namun perasaan ditipu dan curiga di hati Diah tidak juga hilang. Lebih
parah lagi , Zuraimie sendiri sekarang hampir tiap-tiap malam pulang lewat.
“Abang sibuk minggu ni. Esok ada closing tender , ada
presentation ...”. Dan macam-macam lagi tugasan berat. Ada saja urusan yang
menyebabkan Zuraimie pulang lewat malam.
Diah menjadi semakin curiga , syaitan sentiasa
membisik-bisikkan pelbagai perkara buruk yang mungkin dilakukan Zuraimie
menyebabkan Diah tidak senang duduk.
“Ahhh! Apa patut aku lakukan?”. Fikir Diah.
“Takkanlah aku nak berterus terang beritahu dia yang aku
sekarang sudah tidak lagi
mempercayainya?. Eee ... cari nahas!”. Diah memerah otaknya
mencari jalan terbaik yang patut dilakukan.
“Aku perlukan bantuan!”.
Diah akhirnya membuat keputusan. Diah perlu
bantuan dan pendapat dari orang lain , orang ketiga. Siapa lagi kalau bukan
Ziah sahabat baiknya sejak dulu. Telepon bimbitnya diambil dan nombor Ziah
didail.
“Hallo , assalamualaikum!”. Kedengaran suara Ziah di sana.
“Waalaikumussalam ... Ziah , ni aku. Sibuk ke?”. Tanya Diah.
Mendengar suara Diah , Ziah segera mengukirkan senyuman.
“Untuk kau tak ada mana sibuknya aku ni. Sihat ke?. Mimpi apa
malam tadi sampaikan pagi-pagi gini dah call aku? Rindu ye?” . Gurau Ziah
“Err ... rindulah jugak. Sebenarnya aku ada masalah besar ni.
Nak minta kau tolong”. Diah berterus – terang.
“Lain macam je bunyinya , ceritalah. Kalau boleh tolong , aku
tolong”. Janji Ziah.
Maka dengan diiringi air mata , Diah meluahkan segala isi
hatinya, perasaannya dan kerisauannya. Juga perasaan curiganya terhadap Zuraimie. Ziah
mendengar dengan penuh ‘empathy’.
Ziah sedar sahabatnya ini benar-benar tertekan. Namun inilah yang dikatakan
asam garam dalam perkahwinan. Alangkan lidah lagikan tergigit!
“Macam mana Ziah , apa patut aku buat? Aku tak sanggup nak
hidup bersama dengan perasaan curiga bersarang di hati. Sepatutnya kami saling
mempercayai , barulah hubungan kami akan berkekalan”. Kata Diah , meluahkan
perasaannya.
“Hmmm ... tahupun!”. Kata Ziah di dalam hatinya.
“Err ... aku tanya kau sikit boleh?”. Ziah memulakan sesi
kaunselingnya.
“Ya. Kau nak tanya apa?”. Diah menjawab sambil mengerutkan
dahi. Apa agaknya yang ingin ditanyakan Ziah.
“Kau sayangkan perkahwinan kau ini?. Kau nak
mempertahankannya?”. Tanya Ziah lagi. Sengaja pertanyaan itu diajukan kerana
Ziah maklum bahawa Diah masih lagi tidak redha dengan ketentuan Tuhan. Diah
tetap mempersalahkan Zuraimie dan dirinya atas perkahwinan ini , ‘perkahwinan
yang kononnya berasaskan suatu pembohongan’!.
“Ya. Tentulah. Kenapa kau tanya begitu?”. Giliran Diah pula
untuk bertanya. Entah mengapa , pertanyaan Ziah itu dirasakan seperti
menyinggung egonya.
“Yalah , aku kenalah tahu perasaan kau dan harapan kau
tentang perkahwinan kalian ini. Lepas tu barulah aku boleh menilai dan
memberikan pendapat yang releven”. Jawab Ziah. Diah diam mendengar jawapan Ziah
itu , terlintas sesuatu di fikirannya.
“Jadi , adakah aku juga sayangkan suamiku?. Sayangkan
Zuraimie?. Kenapa aku harus menggelabah dan resah bila dia mempunyai hubungan
dengan perempuan lain?. Ahh! Cintakah
aku kepadanya?. Cinta?. Tak?. Bukankah perkahwinan ini berasaskan pembohongan.
Ikatan yang tidak jujur dan aku sendiri sebenarnya bencikan perkahwinan ini?.
Habistu , mengapa aku harus menggelabah begini?”.
“Bagaimana pula dengan Raziq , percintaan kami yang tidak
pernah berakhir dan demi cintaku padanya , aku telah menafikan hak Zuraimie
sebagai suami?. Adilkan aku?. Ahhh!! Bingung aku jadinya!”. Diah berperang
dengan perasaannya sendiri. Tangannya mengetuk-ngetuk dahinya beberapa kali.
“Ginilah Diah, aku rasa perkara pertama yang patut kau buat
ialah bertenang. Tenangkan diri kau dulu , banyakkan mengingati Allah. Buatlah
solat sunat tahajud , minta kekuatan dari Allah dan buat juga solat sunat hajat
dan mintalah dari pemilik segala isi alam ini apa saja yang kau hajati.
Kedua , pernah kau dengar orang berkata , bahawa untuk ‘tacle’ suami kau harus ........?. Jadi layanlah
suami kau baik-baik .
Ketiga , selalu ingat bahawa ‘hati’ manusia memang mudah
berubah-ubah. Kita sebagai isteripun tidak mungkin mampu memastikan suami kita
sentiasa menurut seperti yang kita harapkan. Tapi sahabatku , janganlah takut kerana Allah itu Maha Pengasih lagi Maha
Penyayang. Bertawakallah kepadaNya. Setelah kau berusaha, serahkanlah kembali segala-galanya
kepadaNya”. Nasihat Ziah dengan panjang lebar. Diah terdiam mendengar nasihat
Ziah , tiada satu pun dari semua yang dikatakan Ziah itu diamalkannya!.
“Diah?. Kenapa diam saja ni?. Kau masih di sana?”. Tanya Ziah
setelah tiada sebarang respon dari Diah.
“Er ya , aku masih di sini. Ziah , aku ... err ... tak ada
apalah. Terima kasih atas nasihat kau”. Serentak dengan itu , Diah segera
menamatkan talian.
“Eh! Diah! Hello! Hello!. Eee apa kenalah Diah ni. Tadi
beria-ia minta pendapat. Orang belum habis bercakap , dia dah putuskan talian
pulak!”. Rungut Ziah.
Usai
berbicara dengan Ziah , Diah segera membuka almari pakaiannya lalu mencari-cari
sesuatu dari bawah lipatan-lipatan baju yang tersusun kemas. Seketika kemudian
sekeping gambar dikeluarkan lalu ditatap lama. Ada titisan air mata yang
menitik jatuh membasahi gambar itu , segera Diah menyapunya dengan hujung lengan
bajunya.
“Ziq , maafkan Diah. Semua janji kita dulu tak mampu Diah
pertahankan. Diah gagal mempertahankan cinta kita , Diah kahwin dengan Zuraimie.
Zuraimie yang pernah awak cemburui dulu. Bukan itu saja , Diah juga gagal
menjaga dan membesarkan anak kita. Diah biarkan orang lain yang tiada kena
mengena dengan kita membesarkannya. Diah tak dapat nak tunjukkan gambar kita
kepadanya. Diah tak dapat nak kenalkan awak kepadanya. Maafkan Diah Ziq.
Maafkan Diah ...”. Gambar Raziq , Diah dan mak Mah yang berdiri di antara
mereka masih disimpan dan ditatap oleh Diah setiap kali dia sedih dan rindukan
mereka.
“Mak Mah ... Diah rindukan mak Mah! Ziq, saya rindukan awak!!”.
Diah menangis semahu-mahunya. Konflik dan kekacauan dalam jiwanya masih belum
terurai. Diah sendiripun tidak tahu , apakah yang dia mahu ...
hmm ... sengaja aku tidak menyambung cerita "Keranamu DIAH" ini sepanjang Ramadhan lepas dengan harapan agar sesiapa jua yang mengikuti / membaca "Keranamu DIAH" akan menggunakan dan merebut peluang bulan yang barokah itu dengan membaca al-Qur'an atau melakukan amal ibadat lain.
ReplyDelete