BAB 28 : Ziah
menziarahi Diah
Tiada yang lebih
berharga daripada kejujuran....
“Ziah!!”.
“Diah!!”
Kedua sahabat itu saling berpelukan. Setelah berada lebih
lima jam di dalam bas ekspress yang dinaikinya sejak semalam , Ziah berasa
benar-benar lega lebih-lebih lagi setelah terpandangkan wajah Diah , sahabatnya
yang terlalu lama tidak bersua.
“Macam mana perjalanan?”. Tanya Diah , gembira benar kerana
dapat bertemu semula dengan Ziah , lebih setengah tahun mereka tidak bertemu.
“Naik bas ekspress lebih lima jam. Huh! Sungguh memenatkan.
Naik kematu punggung aku ni. Ni hah ,tengkukpun dah sakit asyik terlentuk je!”.
Ziah merungut sambil memegang tengkuknya .
“Huh! Buat cita sedihlah tu!”. Diah memuncungkan bibirnya. Tidak mahu
mengakui bahawa dia telah menyusahkan Ziah dengan memaksanya menziarahinya.
“Amboi! Cantiknya muka!!” . Ziah menarik bibir Diah.
“Woiii! Sakitlah!!”. Diah menolak tangan Ziah. Mereka terus
berjalan beriringan.
“Heh, nak bawak aku ke mana?”. Tanya Ziah , tersengih
memandang Diah.
“Mana lagi , mahligai aku yang dah kusam tu lah!!”. Balas
Diah , selamba.
“Aii , lain macam je bunyinya!”. Tegur Ziah.
“Hmm ... kita cita kat rumah nanti je lah. Errr ... macam
mana dengan hubungan kau dengan abang Anip sekarang?”. Giliran Diah untuk
bertanya , hampir terburai tawa Ziah mendengar pertanyaan itu
.
Sejak Ziah membawa
hati ke Pagan Sena , dia telah terperangkap dengan ‘cinta unik’ lelaki misteri
yang dipanggil abang Anip.
“Huhhh ... Alhamdulillah. Nampaknya ada perkembangan. Kau
doakan sajalah agar semuanya dipermudahkan. Doakan agar jodoh kami berpanjangan
, aku memang telah redha menjadi isterinya. Yalah , orang macam aku ni bukannya
boleh memilih sangat. Ada orang yang sukapun dah kira baik!”. Jawab Ziah ,
merendah diri. Memang sejak dari mereka
sama-sama menuntut dulu , Ziah memang selalu merendah diri. Mana tidaknya ,
setiap kali dia berjalan bersama Diah , pasti ada saja usikan-usikan buat Diah
dari siswa-siswa yang mereka lewati. Dirinya , hampir tenggelam terus. Seperti
tiada siapa yang sedar akan kehadirannya!. Kasihan Ziah ...
“Kau tentu sangat
cintakannya , kan Ziah?”. Tanya Diah.
“Sepenuh jiwa ragaku”. Jawab Ziah tanpa ragu.
Diah tersenyum
mendengar jawapan Ziah itu. “Hmm ... masih adakah cinta sejati dalam dunia
ini?”. Fikirnya sendiri.
“Ziah ... maafkanlah aku. Kerana aku kau terpaksa berjauhan
dengan abang Anip”. Diah menundukkan kepalanya. Kesal kerana telah membebankan
sahabatnya itu dengan masalahnya pula.
“Eh , apa pulak. Abang Anip yang menggalakkan aku ke mari.
Dia tahu yang kita ni dah macam adik beradik. Susah kau susah aku jugak. Tak
gitu?”. Balas Ziah , cuba menghilangkan rasa bersalah Diah. Menitis air mata
Diah mendengar kata-kata Ziah , tiba-tiba saja jadi begitu sentimental.
“Alahh ... ni yang aku malas ni. Tak payahlah nak
nangis-nangis. Ingat, menangis takkan menyelesaikan masalah!.Hah! mana kereta
kau? Ke kita nak berjalan kaki saja?”. Tanya Ziah , sengaja menukar tajuk
perbualan. Diah tersenyum mendengar celoteh Ziah , segera air mata yang mahu
mengalir itu dikesatnya.
“Tu hah ... jomlah!”. Diah menarik tangan Ziah ke arah sebuah
kereta Toyota Corolla hitam yang sedia menunggu di tepi jalan. Sebaik sahaja
mereka menghampiri kereta tersebut , turun seorang lelaki berpakaian serba
putih dari bahagian pemandu lalu dengan segera membukakan pintu belakang Toyota
Corolla hitam kepada dua wanita ini.
“Bahari , kita balik terus ke rumah”. Arah Diah.
“Baik puan!”. Kereta dipandu laju meninggalkan
perhentian Pekeliling.
“Baik puan!”. Ajuk Ziah perlahan sambil mengenyitkan matanya
kepada Diah. Diah hanya tersenyum.
“Hebat kau. Siap ada pemandu sendiri. Eh! Kau tinggal di mana
sekarang?”. Tanya Ziah.
“Masih tinggal di Bangi tapi tidak satu rumah ngan keluarga
mertua aku lagi. Tinggal di rumah sendiri”. Jawab Diah.
“Dulu kau tinggal di rumah mertua?”.Tanya Ziah lagi. Diah
hanya menganggukkan kepala.
“Macam neraka dunia!”. Bisiknya perlahan ke telinga Ziah.
“Hushhh! Tak baik kata begitu!. Ibu dan bapa mertua tarafnya
sama dengan ibu dan bapa kita sendiri. Wajib kita memuliakan dan menyayangi
mereka sama seperti kita memuliakan ibubapa kita sendiri. Malah , kalau jodoh
kita dengan suami tak panjang sekalipun mereka tetap menjadi ibubapa mertua
kita selamanya. Taraf yang dibawa sampai ke akhirat. Ingat tu!”. Tegur Ziah ,
serius wajahnya menasihati Diah.
“Tapi memang betul. Hidup aku di sana betul-betul macam
berada di neraka dunia!!”. Diah mengulangi kata-katanya dengan keras. Bahari
seperti terganggu mendengarnya. Ziah segera menyinggung lengan Diah sambil
memuncungkan mulutnya ke arah Bahari. Diah segera menutup mulutnya.
“Uppss!!”.Lalu tersengih...
Ziah hanya menggelengkan kepalanya.
Ziah akhirnya mengambil keputusan untuk mendiamkan diri di
sepanjang perjalanan itu. Tiada guna menjolok Diah dengan soalan-soalan tentang
rumah tangganya , silap hari bulan habis semuanya dibongkar di hadapan Bahari ,
pemandunya itu.
“Diah , aku ngantuklah ... nak tidur. Nanti dah sampai kau
kejut ye”. Sengaja memberi alasan.
“Eee...apalah kau ni. Setahun tak sekali jumpa akupun asyik
nak tidur!. Ha iyalah!. Tidurlah dulu , nanti sampai aku kejutkan”.
Rumah Diah
Perjalanan yang mengambil masa satu setengah jam itu cukup
merehatkan bagi Ziah. Setelah semalaman terhengguk-hengguk di dalam bas , Ziah
kini boleh melelapkan matanya dengan tenang dan aman. Toyota Corolla Altis yang
dipandu Bahari berjalan lancar dan mampu
menyerap hentakan dengan cukup baik.
“Memang berkualiti kereta keluaran Jepun ini. Tentunya kereta
Malaysia juga akan jadi sehebatnya satu hari nanti”. Fikir Ziah sebelum
benar-benar terlena ...
... Di luar tembuk dibarisi oleh Ixora
javanica ...
“Ziah! Ziah! Dah nak sampai ni. Bangunlah!”. Kejut Diah ,
sambil menggoncang perlahan bahu Ziah.
“Errghh ... ngantuknya!. Dah sampai ke?” . Tanya Ziah sambil
menahan nguap mulutnya.
“Ya ... dah sampai rumah aku!. Bangunlah ‘sleeping beauty’!”. Diah bangga menunjukkan rumah banglo dua tingkat yang dicat hijau.
Dinding tembuknya pula dihiasi batu bata merah asli yang disimen cantik. Di halaman rumah hidup subur dua rumpun pinang
merah. Palma hiasan yang mempunyai nilai astetika yang tinggi. Di luar tembuk pula
dibarisi oleh Ixora javanica atau biasanya dipanggil dengan panggilan pokok
jejarum. Bunga kuning jingganya amat
menarik hati. Tidak cukup dengan itu , di penjuru kiri halaman rumah itu
dilengkapi sebuah kolam ikan yang sederhana besarnya. Batu-batuan sungai
disusun sebegitu rupa mewujudkan suasana air terjun yang begitu indah sekali.
Bunyi deraian air jatuh ... liuk lengguk ikan talapia Jepun berenang sungguh
mengasyikkan ...
“Wah! Cantiknya rumah kau Diah!” . Puji Ziah , ikhlas.
“Ye ke? Terima kasih!. Eh , marilah ... kita masuk. Kau tentu
dah penat. Bolehlah mandi dan berehat dulu. Nanti dah hilang penat bolehlah
kita bercerita”. Ajak Diah.
“Hmm ... yelah. Aku memang perlukan bilik air sekarang ni!”.
Ziah merenyih sambil tersenyum. Tangannya memegang perut.
Pucuk dicita ulam mendatang ... Ziah membersihkan dirinya lalu melelapkan mata
seketika.
“Anak?!”.
Diah berkata sambil mencebikkan mulutnya ...
Lebih kurang sejam kemudian , Diah mengajak Ziah keluar untuk
makan tengahari.
“Ke mana?” Tanya Ziah.
“Jomlah , kita jalan-jalan ... cari makan di luar. Bolehlah
kita sembang-sembang tanpa sebarang gangguan”. Jawab Diah.
“Gangguan?. Aku tengok kat rumah kau ni bukan ada sapa pun.
Errr ... satu lagi , mana anak kau?. Sejak aku sampai tak nampak-nampak pun
dia”. Tanya Ziah.
“Anak?!”. Diah berkata
sambil mencebikkan mulutnya.
“Eh , kenapa ni?!”.
Balas Ziah , hairan dengan reaksi Diah.
“Hmm ... nantilah aku cerita. Kau siap-siaplah , kita
keluar”. Desak Diah dan Ziah hanya
menganggukkan kepalanya. Fikirannya masih memikirkan soal anak Diah.
“Mana?. Takkan dah ...”. Ziah segera menepuk dahinya sendiri.
Setelah keduanya siap berpakaian , mereka beriringan keluar.
“Abang Bahari , tolong hantarkan kami ke Sunway pyramid”.
Pinta Diah.
“Sunway pyramid?. Pada waktu sekarang?” . Tanya abang Bahari
ragu-ragu. Pukul 12:00 tengahari nak menghala ke KL bukanlah satu keputusan
yang bijak!.
“Ya. Sunway pyramid!”. Balas Diah jengkel. Tidak suka
arahannya dipersoalkan.
“Errr ... waktu-waktu begini jalan sesak. Orang pejabat
keluar lunch puan”. Terang abang Bahari. Agak keberatan.
“Alah bila kita sampai sana nanti orang dah masuk pejabat
semula! Cepatlah , saya ada hal ni nak ke sana”. Balas Diah.
“Baiklah Puan!” .
Jawab abang Bahari , terpaksa akur!.
“Huh...jauh panggang
dari api!. Takde mananye aku mengidam”
Sebaik sahaja sampai di Sunway pyramid Diah terus mengarahkan
Bahari untuk balik ke rumah semula manakala dia mengajak Ziah untuk makan
tengahari di Restoran Pizza Hut dalam sumway pyramid itu.
“Aiii ... macam mengidam nak makan pizza je!”. Usik Ziah.
“Huh! Jauh panggang dari api!. Takde mananye aku mengidam”.
Balas Diah
“Apa pulak takde mananya. Haahhh jangan bagitahu aku yang kau
dan Zuraimie tak pernah ...”. Ziah mengangkat keningnya berkali-kali sambil
memandang Diah dengan wajah nakalnya.
“Hei cukuplah tu!. Jom cepat ... aku lapar ni. Karang tak
dapat Pizza , engkau yang aku makan!” Diah terus menarik tangan Ziah . Sengaja
tidak mahu memperpanjangkan soal ‘mengidam’ itu. Ziah hanya menurut sambil tertawa kecil. Teringat dia
zaman dulu-dulu , ketika sama-sama masih
bergelar siswazah , saling mengusik dan menyakat!..
Sambil menunggu makanan yang dipesan , Diah mula membuka
cerita ...
“Sebenarnya perkahwinan aku ini adalah satu kesilapan.
Kesilapan paling besar yang pernah aku lakukan dalam hidup ini!”. Diah memulakan ceritanya.
“Kesilapan?”. Ziah tidak faham.
“Ya”. Diah menegaskan tanpa ragu.
“Cuba kau terangkan ... bagi aku faham”. Pinta Ziah. Tidak
senang mendengar pengakuan Diah itu. Mana tidaknya , perkahwinan Diah dan
Zuraimie adalah hasil campur tangannya juga. Masakan kerja menyelamatkan sebuah
maruah yang punah itu dikatakan satu kesilapan!.
“Ziah , kau sendiri tahukan selepas aku melahirkan Raziq ,
anakku itu ... aku telah bernikah dengan Zuraimie. Pernikahan kami asalnya
ditentang hebat oleh keluarganya. Mereka tidak boleh menerima kehadiran aku.
Yelah , pada mereka aku ini terlalu hina. Tidak layak untuk anak mereka. Bagi
mereka aku ini hanyalah perosak masa depan Zuraimie. Bermula daripada aku koma
dulu hinggalah saat aku melahirkan Raziq dan akhirnya menjadi menantu keluarga
itu , aku dan Zuraimie terpaksa berbohong dengan mengatakan yang Raziq itu
adalah anak kami berdua. Mujur juga rupa Raziq memang seiras Zuraimie. Mungkin
Allah nak tolong aku agaknya. Jadi sehingga hari ini mereka masih menyangka
yang Raziq itu adalah cucu kandung mereka”. Ziah membuka ceritanya.
“Yalah betullah tu. Kalau diingat-ingat balik , Raziq kau
dulu tu memang ada iras ngan Zuraimie. Macam adik beradik. Tak heranlah kalau anak kau Raziq ni juga ada
iras rupa Zuraimie. Eeee ... kau ni pun satu , kenapalah kau beri nama anak kau
Raziq juga. ‘Confuse’lah aku
dibuatnya!” . Bebel Ziah.
“Saja. Aku tak dapat nak lupakan ayahnya!”. Jawab Diah
selamba.
“Zuraimie setuju je kau guna nama tu ...?”. Tanya Ziah ,
musykil. Sudah dua kali dia bertanyakan soalan yang sama. Kalau dia menjadi
Diah , tidak mungkin dia akan memilih nama Raziq untuk anaknya itu. “Kasihan
Zuraimie”. Fikirnya.
“Dia tak ada pilihan!”. Balas Diah tersenyum.
“Ya! Dia memang tak ada pilihan tapi kau ada!. Kau boleh saja
memilih nama lain yang tidak menyakitkan hati Zuraimie!”. Ziah sedikit geram
mendengar jawapan Diah itu. Lelaki sebaik Zuraimie tidak harus dilayan begitu. Diah
hanya mencebikkan bibirnya mendengar komentar Ziah.
“ Itulah bukti yang dia sangat cintakan kau. So apa
sebenarnya masalah kau ni sekarang?”. Ziah menarik nafas panjang , menenangkan
diri dan cuba untuk memahami masalah yang melanda Diah.
“Aku ingat lagi masa mula-mula aku dibawa bertemu dengan
keluarganya. Sudahlah kedatangan aku tidak disambut. Langsung tidak dihidangkan
walau segelas air sejuk sekalipun. Tapi masa tu aku masih boleh bersabar. Demi
memberikan seorang ayah buat anakku Raziq”. Diah menyambung ceritanya.
“Jadi itulah tujuan kau berkahwin dengan Zuraimie?. Untuk
memberikan seorang ‘ayah’ buat anak kau?” . Ziah bertanya dengan nada yang agak
sinis. Ziah tidak bersetuju dengan alasan perkahwinan Diah. Zuraimie yang
pernah menjadi lelaki idamannya itu tetap memilih Diah walaupun telah
mengetahui keterlanjuran Diah. Masakan Diah langsung tidak memberi peluang
kepada lelaki ini untuk mengecapi bahagia.
“Zuraimie itu patut dicintai!”. Hati Ziah membantah.
“Ya!!. Itulah
satu-satunya sebab aku menerimanya sebagai suami. Takkan ada sebab lain!. Kau
sendiripun tahukan betapa besarnya cinta aku kepada Raziq. Sehingga hari inipun
aku masih bermimpikannya!”. Diah agak
meradang mendengar nada suara Ziah yang agak sinis itu.
“Errr ... maaflah Diah. Aku terbawa-bawa dengan perasaanku
sendiri. Aku kata begitu kerana aku tahu betapa besarnya cinta Zuraimie
terhadap kau. Aku lihat wajah sengsaranya semasa kau koma di hospital dulu. Aku
sendiri dengar doktor Anisah , kakak Zuraimie membangkang tindakannya untuk
terus-terusan menjaga kau. Aku kagumi kesanggupannya menangguhkan
pembelajarannya semata-mata untuk memastikan kebajikan kau terjaga . Diah ...
mungkin dia bukan lelaki yang sangat kau cintai tapi ... dia adalah lelaki yang
telah terlalu banyak berkorban untuk kau!. Tak bolehkah kau hargai semua itu?”.
Ziah cuba menyedarkan sahabatnya itu.
“Huhhh! Aku tidak pernah minta dia berkorban untukku!”. Diah
cuba menegakkan pendiriannya dan haknya untuk menafikan segala pengorbanan
Zuraimie.
“Ya memang betul , kau memang tak pernah minta semua itu. Tapi ... pernah tak kau terfikir , kalau bukan kerana dia, agaknya
apa yang dah terjadi pada kau sekarang? Pernah kau terfikir , kalau bukan
kerana dia , kau mungkin sedang merempat bersama anak kau Raziq?. Mak bapak kau
sendiri pun dah buang kau Diah! Sedarlah
sikit. Kalau bukan kerana Zuraimie mana lagi kau nak pergi? Mana?!” . Kali ini marah
betul Ziah dengan sikap Diah yang tidak tahu mengenang budi , betul-betul bagai
kacang lupakan kulit!.
“Habis, mentang-mentanglah dia sudi memungut aku menjadi
isterinya maka aku harus serahkan segalanya? Apa kau fikir aku ni tak ada harga
diri?. Tak ada keinginan?. Apa kau ingat aku akan merempat atau mati kalau dia
tak kahwin dengan aku? Apa kau ingat aku ni ‘desperate’ sangat nakkan sorang laki? Hah?!!!”. Diah
sudah tidak dapat bersabar dengan serangan Ziah yang bertubi-tubi. Diah terasa
terpukul kerana apa yang dikatakan oleh Ziah itu sememangnya benar namun egonya
memaksanya untuk tidak mengalah. Diah terpaksa membalas serangan Ziah ... demi
mempertahankan pendiriannya , keegoannya. Ziah terdiam. Dia hanya mampu
menggelengkan kepala berkali-kali. Tidak pernah disangkanya sampai begitu
sekali sikap Diah. Buruk benar tanggapannya terhadap rumahtangganya sendiri.
“Ziah, pernah tak kau fikirkan perasaan aku?. Kenapa kau
berpihak kepada Zuraimie? Bukankah aku ini sahabat baik kau?”. Menitis air mata
Diah apabila menyedari yang dirinya sendirian menghadapi kemelut rumah
tangganya. Sahabat baik yang selama ini menyokongnya sudah berpaling tadah dan
tidak lagi berpihak kepadanya. Mendengar kata sayu Diah , Ziah kembali sedar
bahawa mereka telah terlalu jauh tenggelam dalam perbincangan yang tidak
berkesudahan. Masing-masing tetap dengan pendirian sendiri!. Ziah juga mula
tersedar betapa banyaknya mata-mata pelanggan lain yang turut berada di situ
semuanya sedang memandang mereka dengan pandangan yang sinis. Mana tidaknya ,
perbalahan tadi cukup kuat untuk di dengar oleh seisi ruang!
“Errr ... Diah ,
maafkan aku. Kita sambung perbincangan ini kemudian. Aku rasa kita patut
beredar dari sini segera. Jomlah ke tempat lain”. Ziah berkata sambil menarik
tangan Diah. Diah akur malah langkahnya dilajukan , lebih-lebih lagi apabila
terpandangkan mata-mata yang mencerlung merenungnya.
“Chehhh ... perempuan tak tahu dek untung!”. Kedengaran satu
suara sumbang dihambur keluar apabila kedua sahabat itu lalu di sebelah sebuah
meja makan yang terdiri daripada tiga orang lelaki separuh umur.
Diah rasa terhina dengan kata-kata itu. Dia cuba memusingkan
badannya untuk menegur sikap buruk yang hanya pandai menghina. Mujur Ziah
segera menariknya keluar.
“Kau ni kenapa nak halang aku?” . Marah Diah diperlakukan
begitu.
“Habis? Nak biarkan kau bergocoh dengan lelaki-lelaki itu? .
Tanya Ziah.
“Aku bukan nak cari gaduh. Tapi kau dengar sendiri kata-kata
mereka tadi. Macamlah mereka tu bagus sangat!!!”. Diah merungut.
“Biarlah Diah. Mereka bukan kenal kitapun.Lagipun memang kita
yang salah. Terjerit-jerit bertekak. Eeeeee ... malunya! . Hmmm , jom cepatlah kita pergi dari sini!”.
Ziah segera melajukan langkahnya diikuti oleh Diah. Setelah pasti tiada mata
lagi yang memandang langkahnya diperlahankan lalu menoleh ke arah Diah.
“Ke mana kita?”. Ziah
bertanya sambil tersenyum menahan tawa. Diah memandangnya, juga tersenyum.
Akhirnya berderai tawa mereka hingga terbit air mata . Mereka ketawa tiada
henti hinggakan terpaksa berhenti duduk di sebuah kerusi panjang laluan. Mereka
terus tertawa dan tertawa sehingga puas. Mentertawakan kebodohan sendiri , bercerita
soal peribadi sampai lupa diri!
“Jomlah. Kita makan di Kenny Rogers , nak?”. Tanya Diah.
“Hmm ... okey gak”. Jawab Ziah , masih dihujung tawanya.
Kedua sahabat itu berjalan
dan memasuki ruang makan Kenny Rogers.
“Hmm ... sedapnya bau!” . Komen Ziah.
“Hmm ... sedapnya bau!” . Komen Ziah.
“Yup memang sedap. Sebenarnya dah lama benar aku tak makan
ayam Kenny Rogers ni. Ni ada kau, lagi selera aku nak makan” . Diah berkata
sambil merenyih memandang Ziah.
“Hmm apa lagi , orderlah. Aku ni pun dah lapar. Habis tenaga
ketawa!” . Balas Ziah.
Setelah makanan yang dipesan sampai mereka berdua makan tanpa bercerita langsung.
Masing-masing tidak mahu menimbulkan suasana tegang. Lebih-lebih lagi tatkala
rezeki sedang memasuki perut. Hanya sesekali kedengaran bunyi pisau dan garpu
berlaga.
Habis makan Diah melambai tangan ke arah pelayan yang sedia menunggu.
“Dik akak nak tambah pesanan”. Kata Diah.
“Ya , nak pesan apa kak?”. Tanya pelayan itu.
“Hmm ... banana split satu. Eh nanti!. Ziah , kau nak tak?”.
Tanya Diah kepada Ziah.
“Boleh gak”. Jawab Ziah sambil tersengih.
“Rezeki jangan ditolak!”. Katanya lagi.
“Okey dik. Bagi kami 2 banana split”. Pesan Diah. Pelayan
hanya menganggukkan kepalanya. Diah mengekori pelayan itu dengan ekor matanya
masuk ke dalam kaunter.
“Eh Diah , apa yang kau tengok tu?”. Tanya Ziah.
“Heeee....tak ada apalah!”. Diah tersenyum.
“Diah ,dari jauh aku datang. Aku sanggup bersusah-payah ke
mari atas dua sebab.
Pertama , sebab aku betul-betul rindukan kau.
Kedua sebab aku risaukan keadaan kau.
Aku tak sanggup nak biarkan kau harungi semua ini sendirian. Jadi
janganlah kita jadikan kedatangan aku ini sia-sia. Aku minta maaf kerana hilang
sabar tadi. Aku tahu , kau dah lama tertekan . Sepatutnya aku yang lebih
sabar”. Kata Ziah kesal.
“Huh, aku juga bersalah. Entah mengapa cepat benar melenting.
Sudahlah ... kita lupakan saja perbalahan kita tadi” . Balas Diah.
“Okey , kalau gitu ... apa kata kau sambung cerita kau
semula. Buat aku faham masalah kau. Mungkin dengan cara itu aku boleh membantu.
Sekurang-kurangnya kau akan rasa lega sedikit apabila dapat meluahkannya”. Ziah
menggalakkan.
“Betul kau nak aku teruskan?”. Diah menguji.
“Eeeeee ... jangan nak menguji aku pulak!”. Ziah berkata
sambil mencubit peha Diah.
“Wwooo! Sakitlah!!. Sejak dah kahwin ni , kau dah pandai
cubit-cubit orang” . Jerit Diah.
“Eeee ... sorry , tergeram!”. Ziah tertawa.
“Citalah!”. Sambung Ziah.
“Hmmm ... mana nak mula yee. Err tadi kita mula bertekak bila
kau kata aku tak menghargai cinta Zuraimie. Wah! Marah sungguh kau ye?!”. Diah
mengusik.
“Mestilah!. Kau pun tahu kau orang berdua adalah orang yang
aku sayang. Mau aku tak marah kalau melihat kalian berbalahan antara satu sama
lain”. Jawab Ziah. Jauh di sudut hatinya terasa malu apabila Diah memberi komen
begitu. Terasa seperti Diah menyangka yang
dia masih mempunyai perasaan istimewa terhadap Zuraimie.
“Terima kasih Ziah kerana masih mengharapkan kebahagiaan buat
kami berdua. Sedangkan aku tahu , pernikahan kami ini benar-benar menghiris
hati kau. Tapi ... inilah suratan takdir kita. Aku hanya melakonkan watakku
tanpa perasaan. Aku sebenarnya juga pernah berharap akan dapat menerima
Zuraimie dan teringin sekali hidup bahagia dengannya sebagai suami isteri. Tapi
... entahlah. Semuanya terasa susah benar. Cabaran demi cabaran yang terpaksa
aku tanggung. Bukan saja dari keluarga Zuraimie tapi dari dalam diri aku
sendiri!” . Diah meluahkan perasaannya.
“Hmm...soal hatiku terguris itu sudah jadi cerita lama. Sudah
jadi sejarah yang kukuburkan sebaik saja aku bertemu abang Anip. Tapi aku kurang
faham tentang cabaran-cabaran yang kau katakana. Terangkan pada aku”. Ziah meminta Diah menjelaskan maksudnya.
“Ziah , sehingga kini aku masih rindukan Raziq. Aku seperti
terasa yang Raziq itu tidak pernah meninggalkan aku dan setiap kali aku cuba
berbaik dengan Zuraimie , aku terasa seperti telah mengkhianati dia. Ziah , kami
benar-benar saling mencintai. Keterlanjuran kami juga atas dasar cinta yang
membuak-buak. Kami sama-sama menyesal melakukannya. Kami sama-sama menangis
apabila mengetahui yang aku mengandung. Tidak habis-habis dia menyalahkan
dirinya. Namun bumi mana yang tidak
ditimpa hujan. Malam kejadian yang
meragut pergi nyawa Raziq itu adalah bukti bahawa dia seorang yang
bertanggung-jawab. Malam itu kami keluar untuk menguruskan soal pernikahan kami”.
Diah berhenti seketika , memejamkan matanya untuk menenangkan diri.
“Ziah , Raziq tidak
pernah meninggalkan aku untuk menghadapi semua itu sendirian. Cuma takdir tidak
menyebelahi kami. Jika tidak tentu kami sudah bahagia sekarang. Hidup sebagai
suami isteri , diserikan dengan kehadiran anak kami. Kau tahu Ziah , aku tidak
pernah menyesal mengandungkan anaknya. Sekurang-kurangnya aku dapat melihat
diri Raziq dalam anakku itu”. Terang Diah.
“Sebab tu kau namakan dia
Raziq?”. Tanya Ziah.
“Ya. Aku tak sanggup melupakan bapanya. Aku mahu bapanya
terus hidup dalam diri anakku itu. Lagi pula bukankah wajah mereka serupa?. Dia
mewarisi segalanya dari Raziq”. Jawab Diah jujur.
“Diah , apapun yang kau rasa ... itu adalah hak kau tetapi
kau harus berpijak di bumi nyata. Raziq sudah menjadi sejarah. Sekarang ini
Zuraimie adalah dunia kau , hidup kau. Belajarlah untuk menerimanya dengan hati
yang ikhlas. Redhalah pada takdir dan ketentuan Allah. SesungguhNya Allah itu
maha mengetahui apa yang terbaik buat hambanya”. Nasihat Ziah.
“Ya . Itulah yang aku cuba dan harap akan dapat lakukan.
Namun kau tengoklah sekarang ni. Bagaimana boleh aku menerimanya jika pelbagai
tentangan dan tohmahan yang aku terima daripada keluarganya?”. Diah minta
pengertian daripada Ziah.
“Tentangan dan tohmahan?. Apa maksud kau?. Aku tidak faham”. Balas
Ziah.
“Siapalah yang sanggup menerima perempuan beranak satu
sebagai menantu. Sedangkan ramai lagi pilihan yang lebih baik. Keluarga
Zuraimie sebenarnya telah bercadang untuk mengambil sepupunya sendiri sebagai
menantu mereka. Seorang gadis terpelajar , lulusan luar negara. Malangnya
Zuraimie memilih aku , seorang gadis ternoda beranak satu. Belajar pun tidak habis!”.
Terasa seperti nanah yang lama terpendam di sanubarinya keluar membuak-buak.
Kata-kata Diah penuh emosi. Ziah terdiam mendengar luahan itu.
“Pendek cerita , setelah puas berbincang dan bertegang leher
, akhirnya keluarga Zuraimie terpaksa mengalah. Kami bernikah juga. Majlis yang
amat sederhana. Hanya dihadiri keluarga terdekat ... nikah di masjid dan itu
saja. Langsung tiada kenduri atau majlis kesyukuran dijalankan. Malah aku
diminta merahsiakan pernikahan kami. Memanggil ayah dan ibu pun dilarang. Aku
diarahkan untuk memanggil mereka sebagai Tuan Zaman dan Puan Sarah!. Bahagiakah
itu Ziah?”. Diah menyeka air matanya yang mulai mengalir laju.
“Mujur juga ibu dan ayah aku datang untuk mewalikan aku. Tapi
habis saja upacara akad nikah , mereka terus balik. Langsung tidak bertanya
khabar apatah lagi untuk melihat wajah cucu mereka sendiri!”.Cerita Diah , sedih.
“Alhamdulillah ... sekurang-kurangnya mereka datangkan?” .
Pujuk Ziah.
“Itu masih tidak mengapa. Aku masih boleh bersabar tapi yang
membuatkan aku sangat menderita adalah tindakan ibu mertuaku , Puan Sarah. Sebaik sahaja aku menjejakkan kaki di rumah
mereka , Puan Sarah terus mengambil Raziq. Konon alasan , tidak mahu ‘baby’
mengganggu pengantin baru!” . Diah
menyambung ceritanya.
“Itu tanda dia prihatinkan?”. Ziah cuba berbaik sangka.
“Prihatin?. Raziq tu menyusu badan. Kesian dia malam tu , aku
pulak siksa menahan sakit. Dada aku bengkak!”. Diah mengesat airmatanya lagi.
Kali ini Ziah menghulurkan beberapa helai tisu kepadanya.
“Itulah permulaan kisah aku dipisahkan dari anakku sendiri ...
sehinggalah ke hari ini. Raziq mereka tatang seperti minyak yang penuh.
Mati-mati mereka sangka Raziq itu cucu sebenar mereka. Aku ini ibunya langsung
dinafikan hakku untuk turut serta membesarkan Raziq”. Cerita Diah lagi.
“Maksudnya , Raziq tidak tinggal bersama kau?”. Tanya Ziah
minta kepastian , bagai tidak percaya dengan apa yang didengarnya.
Diah menganggukkan kepalanya lemah. Air mata yang
terus-terusan mengalir menjadi bukti penasaran ibu ini.
“Awalnya aku tidak membantah kerana kami semua tinggal
serumah. Jadi dapat jugalah aku memandang-mandang Raziq. Mencuri-curi mendokong
dan mendakapnya. Tetapi setelah berpindah ke rumah baru ni , langsung ... dah 3
bulan aku tak memandangnya apalagi memeluk dan mendakapnya!”. Diah teresak-esak
mengenangkan anak yang dirindui.
“Kenapa sampai begitu sekali?”. Ziah hairan. Pasti ada
sesuatu yang tidak kena.
“Tiada sebab lain , keluarga
Zuraimie amat membenciku!”. Jawab Diah.
“Kalau Raziqlah taruhannya , mengapa kau mahu berpindah dari
rumah itu?”. Ziah tidak faham dengan tindakan Diah.
“Aku tiada pilihan. Semua yang aku buat serba tidak kena.
Duduk makan semeja salah , makan sendiri pun salah. Menolong di dapur salah ,
rehat di bilik pun salah. Pendek kata semua yang aku buat tiada yang betul. Ibu
mertua aku pula tidak henti-henti menyindir dan memaki hamun aku. Perempuan
gatal , tak ada maruah , menggoda anak bujang orang , liar sebabtu lah mak
bapak sendiri buang!. Hinggalah pada satu hari , peristiwa sial itu terjadi!”.
“Peristiwa sial?”. Ziah terdesak ingin tahu.
“Petang itu ketika ibu mertua aku keluar bermesyuarat ahli
jawatankuasa muslimat setempat , aku mengambil peluang untuk menjaga Raziq.
Asalnya pengasuh yang diupah membantah tetapi setelah aku desak dan mungkin
juga kerana kasihankan aku , dia beri juga aku peluang menjaga Raziq. Dek
kerana terlalu seronok , aku menjadi lupa. Raziq , aku mandikan dan tidurkan
dalam pelukanku. Akhirnya aku sama terlelap. Indahnya saat itu”. Diah berkata
sambil tersenyum membayangkan Raziq yang lena dipangkuannya.
“Dia sangat comel ... malangnya aku terlena terlalu lama hinggakan
tidak sedar langsung akan kepulangan ibu
mertua ku. Huh!. Apalagi , marahnya bukan kepalang melihat Raziq berada dalam
dakapanku. Bagai singa betina dia merentap rambut ku. Aku tersentak dan
terkejut dari tidur lalu secara spontan tangannya yang masih menggenggam
rambutku itu kupulas kuat. Dia menjerit sambil memaki hamun aku. Rambut ku
dilepaskan. Berulang kali aku meminta maaf namun bukan kemaafan yang diberi
sebaliknya aku dipukul dengan tongkat yang kebetulan memang ada di bilik tidur
ku. Sakitnya bukan kepalang. Aku menangis dan mohon dikasihani. Tapi rayuan aku
langsung tidak berbekas di hatinya. Yang aku dapat adalah pukulan demi pukulan
hingga aku tidak mampu berdiri lagi.
Dalam kekecohan itu , Zuraimie pulang dari kerja. Dia benar-benar
terkejut melihat apa yang terjadi. Melihat anaknya tercegat tanpa berbuat apa , ibu mertua ku
menunjukkan tangannya yang merah ku pulas. Konon aku dah hilang akal, memulas tangan ibu
mertuaku hanya kerana dia ingin mendukung cucunya itu”. Cerita Diah.
“Zuraimie?”. Tanya Ziah. “Masakan Zuraimie mempercayai
kata-kata ibunya begitu saja”. Fikir Ziah.
“Dia anak yang baik. Walaupun dia tahu cerita itu bohong ,
dia tetap memaksa aku memohon maaf daripada
ibunya. Aku yang terbaring kesakitan langsung tidak dihirau malah
tanganku direntap-rentap agar mahu menghinakan diri merayu maaf daripada ibu
mertua yang tidak berhati perut!”. Diah mengesat air matanya. Ziah turut
merasai kepedihan yang ditanggung oleh Diah.
“Begitulah keadaannya setiap kali ada perselisihan , pasti
aku yang harus meminta maaf. Tapi kali ini aku enggan. Aku tidak mahu
terus-terusan dipersalahkan. Walaupun kesakitan aku tetap menjerit menerangkan
perkara yang sebenarnya. Kau tahu apa yang aku dapat?”. Diah bertanya sambil
tersenyum sinis. Ziah menggelengkan kepala.
“Aku ditampar!. Aku ditampar kerana menjerit mengatakan yang
ibunya itu pendusta dan pembohong. Oleh kerana terlalu marah dengan kata-kataku
itu , tidak cukup dengan tamparan , aku juga ditolak ke katil. Anakku Raziq dibawa pergi. Apalagi aku
menjerit-jerit bagai orang hilang akal!”. Terang Diah.
“Sampai begitu sekali?”. Ziah bagaikan tidak percaya dengan
apa yang didengarnya.
“Masakan Zuraimie tergamak berbuat begitu kepada Diah , gadis
yang sangat dicintainya”. Fikir Ziah. Pasti ada yang tidak kena!
“Bukan itu saja , oleh
kerana aku dianggap sudah tidak terkawal lagi maka sejak saat itu aku terus
dikurung di dalam bilik. Makan minum dihantar oleh orang gaji. Lewat petang
setelah Zuraimie balik dari kerja barulah pintu bilikku itu dibuka. Untuk
menebus rasa bersalahnya , Zuraimie akan membawaku berjalan-jalan keluar. Konon
untuk tenangkan fikiran. Aku cukup terseksa tetapi apa yang lebih menyiksaku
ialah aku dilayan macam orang gila!. Malah anakku terus dipisahkan dariku!. Hak
aku sebagai ibu dinafikan sama sekali!!”. Marah sekali Ziah mendengar cerita
Diah.
“Habis kau ikut saja?”. Tanya Ziah. Hatinya terasa sakit.
“Mengapa Zuraimie sanggup membiarkan itu semua terjadi?.
Bukankah Diah itu memang cinta hatinya?”. Fikiran waras Ziah cuba mencari rasional atas apa yang
diceritakan Diah.
“Ya. Aku turutkan saja , tak ada gunanya melawan. Lagipun aku
dah terlalu bosan terperap dalam bilik seharian. Sekurang-kurangnya dapat juga
aku mengerling ke arah Raziq. Biah , pengasuh Raziq yang baru memang sangat
bersimpati dengan ku. Setiap kali Zuraimie membawa aku keluar petang , Biah
akan sengaja mendukung Raziq ke halaman rumah. Dapatlah juga aku melihatnya. Terubatlah
sedikit kesedihan dan kerinduan di hati ini”. Diah meneruskan ceritanya sambil
menyeka air mata.
“Diahhh ...” Ziah akhirnya turut mengalirkan air mata.
“Aku sebenarnya sungguh marah diperlakukan begitu. Sepanjang
hari dan berhari-hari aku hanya mendiamkan diri. Tidak berkata walau
sepatahpun. Setiap soalan akan kujawab dengan kerlingan mata sahaja. Itupun
mujur ... kalau tidak aku akan buat
pekak. Hinggakan semua orang dalam rumah
itu benar-benar menyangka yang aku ini memang dah gila. Maka mereka
menghantarku untuk menjalani terapi. Seorang doktor muda dibayar untuk merawatku.
Doktor itu berkahwin pun belum. Mana mungkin dia dapat membantu aku. Lagi pulak
apa yang boleh dibuatnya. Keinginan ku hanya satu , pulangkan anakku! Pulangkan
anakku! Itu saja. Itupun tidak dapat ditunaikan. Cuba kau fikir , patutkah aku
terus bersabar? Patutkah mereka buat semua itu padaku?”. Soalan demi
soalan. Ziah tidak terjawab. Setelah lama berfikir...
“Diah , walau apapun
nasib malang yang telah kau lalui ,
aku mohon agar kau ingatlah perkara ini”. Ziah terhenti seketika
, menelan air liurnya dengan payah sekali. Diah mengangkat kepalanya memandang
Ziah.
“Ingatlah selalu bahawa terlalu besar pengorbanan yang telah
dilakukan Zuraimie kepada kau”. Kata Ziah.
“Ya. Itu aku tahu. Tapi tahukah kau bahawa aku ini juga
terkorban. Aku terpaksa mengorbankan perasaan dan cintaku kepada Raziq!”. Balas
Diah.
“Diah! Diah! Diah!. Dengarlah!!”. Ziah beremosi mendengar
kata-kata Diah.
“Sebenarnya Zuraimie bukan sahaja menikahi kau kerana
cintanya pada kau tetapi juga untuk menunaikan amanat Raziq”. Ziah membuka
rahasia.
“ Diah , Raziq sendiri
yang meminta Zuraimie menjaga kau dan
anak dalam kandungan kau itu!” belumpun sempat Ziah menghabiskan ayatnya ...
“Apa? Apa kau cakapkan ni?. Mana mungkin Raziq tega
menyerahkan cinta kami kepada Zuraimie!. Sehingga ke hari ini cinta kami tetap
segar dalam ingatanku. Aku sudah tidak punya apa-apa hanya demi cinta ini aku
dapat bertahan , mengharungi hidupku hari demi hari dengan mengenang betapa
besarnya cinta Raziq terhadapku”. Diah tidak percaya.
“Ya Diah , Raziq meminta Zuraimie menjaga kau dan anak dalam
kandungan kau masa itu. Percayalah!”.
Ziah mengulangi kata-katanya.
“Tidak!!! Tiada siapa boleh menggantikan tempat Raziq!” Diah
membangkang marah.
“Ya , itu memang benar. Tiada orang boleh menggantikan tempat
Raziq kerana dia adalah orang yang paling kau cintai tapi Diah , Raziq berbuat
begitu kerana dia yakin pada Zuraimie. Raziq juga tahu yang Zuraimie itu sangat mencintai kau , sama besarnya seperti dia
mencintaimu Diah”. Ziah cuba menenangkan Diah.
“Tidak!!! Itu tidak mungkin berlaku! Aku tidak sanggup
menggantikan tempat Raziq dengan sesiapapun”. Ucap Diah dalam sedu sedan.
“Diah , itu adalah kenyataan yang harus kau terima. Zuraimie
dengan rela hati memikul amanah Raziq. Sedikitpun dia tidak pernah merungut , sekurang-kurangnya kau kenangkanlah segala pengorbanan dan kebaikan yang telah
diberikan oleh Zuraimie”. Ziah memujuk .
“Lagipun Diah , selama berbulan kau
koma dulu hanya Zuraimie seorang
saja yang begitu setia menjaga dan menemani kau. Dia sanggup menangguhkan
tugasnya sebagai guru demi untuk menjaga kau. Aku sahabat baik kau ini pun tidak mampu
berbuat begitu!. Diah fikirkanlah ... ini semua adalah suratan takdir yang
perlu kau terima dengan sabar dan redha” Ziah terus memujuk untuk menenangkan
Diah.
“Dan kini sekali lagi dia membuktikan cintanya kepada kau
apabila dia sanggup membelakangkan keinginan keluarganya demi kau!”. Ziah cuba
menyedarkan Diah daripada mimpinya. Raziq sudah lama pergi dan yang tinggal
hanyalah Zuraimie.
“Nah ! Sekarang demi
kau , dia bekerja keras. Mendapatkan
sebuah banglo indah untuk kau diami. Bukan itu sahaja malah dilengkapkan dengan
seorang pemandu yang sedia menghantar
kau ke mana saja dan seorang pembantu rumah untuk membuat semua kerja-kerja
rumah kau. Diah , bersyukurlah dengan segala nikmat yang kau kecapi kini.
Bukalah mata kau , bukalah hati kau untuk melihat kebaikan yang telah diberikan
suamimu terhadapmu”. Kata Ziah ,menutup nasihatnya dengan nada sayu. Hiba
hatinya mengenangkan pengorbanan Zuraimie yang langsung tidak dihargai Ziah. Juga
hiba mendengar kesengsaraan yang dipikul Diah.
Kedua mereka terdiam. Ziah masih menghiba manakala Diah turut terharu dan terpukul
dengan kata-kata Ziah. Hatinya mula rasa bersalah ...
Setelah sama-sama mendiamkan diri agak lama ,“Perkara ini harus diselesaikan segera. Jiwa
Diah kelihatannya amat parah. Aku harus membantunya menyeleaikan kekusutan
ini”. Fikir Ziah ... lalu mula berbicara semula
“Kenapa kau tidak berterus terang dengan Zuraimie tentang
kerinduan kau terhadap Raziq , anakmu itu. Beritahu dia yang kau mahu
membesarkan anak kau. Nyatakan pada dia yang kau tidak mampu berpisah dengan
anakmu itu. Dia sayangkan kau ... pasti
dia akan memahami kesengsaraan yang kau tanggung”. Ziah mencadangkan.
“Kau tak faham-faham jugakan Ziah. Aku tak nak dia faham aku
, aku tak nak apa-apa pun dari dia. Aku cuma nak anak aku. Anak aku!. Itu saja!!”
. Diah menangis teresak-esak.
“Ya betul. Aku tahu yang kau cuma mahukan anak kau saja tapi
bagaimana kau nak dapatkan anak kau itu kembali kalau kau tidak berusaha memahamkan
Zuraimie akan keinginan kau itu”. Ziah berkata sambil menggeleng-gelengkan
kepalanya. Baginya Diah tidak rasional dan terlalu mengikutkan perasaan.
“Entahlah! Aku tak tahu ...”. Diah seperti sudah berputus
asa. Lantas Ziah segera memeluknya.
Simpati benar rasa hatinya mengenangkan kerinduan dan kesedihan yang ditanggung
Diah selama ini.
“ Mengapalah ini semua
harus terjadi kepadamu”. Keluhnya
sendirian.
Diah terus bercerita
Setelah tangisannya reda , Diah
menyambung cerita.
“Kau nak tahu mengapa akhirnya aku berpindah juga dari rumah itu?”. Tanya Diah dan Ziah hanya menganggukkan kepalanya.
“Hehhhmmm ...”keluh Diah. Berat benar rasanya untuk
meneruskan kata namun Diah sedar , dia perlu meluahkan segalanya. Semua yang
terbuku di dadanya selama ini sudah bagaikan sekam yang membakar jiwanya , bahangnya
sudah tidak tertanggung lagi.
“Satu petang , tika itu rindu aku bagaikan gunung berapi yang
tidak tertahan-tahan lagi. Bila-bila masa saja sedia memuntahkan lahar rindu
yang sekian lama kupendam. Ketika sedang melintasi halaman rumah bersama
Zuraimie , seperti biasa Kak Biah telah sedia
membawa Raziq ke situ buat tatapan aku sepintas lalu. Dek kerana rindu
yang menyala-nyala dalam dada ini , tanpa aku sedar aku telah berlari
mendapatkan anakku. Aku rampas dia dari gendungan kak Biah. Menjerit-jerit kak
Biah akibat terkejut dengan perbuatanku itu. Aku sudah tidak peduli. Raziq ku
dakap erat bagaikan tidak akan ku lepaskan lagi. Dia aku gomol semahunya. Ku
cium bertalu-talu. Aku benar-benar melepaskan rindu yang terpendam selama ini”.
Diah berhenti seketika , menarik nafas dalam-dalam sebelum meneruskan cerita.
“Sangkaku , anak kecilku itu akan gembira dalam dakapanku
tapi sebaliknya yang terjadi , Anak kecil ku itu terkejut dan takut dengan
perlakuanku. Dia menangis kuat hinggakan tangisannya itu telah didengari oleh
ibu mertuaku yang berada di ruang dalam rumah. Dia meluru keluar ,
menjerit-jerit , ‘lepaskan! Lepaskan!’ sambil cuba merampas Raziq dari
tanganku”. Diah terhenti sebentar , terganggu benar emosinya mengingati
peristiwa itu. Beberapa kali air liurnya yang bagaikan tersekat di kerongkong
cuba ditelannya.
“Zuraimie?!”. Ziah benar-benar tersinggung mengetahui tentang
layanan buruk yang diterima Diah. Dia menjadi semakin tidak sabar ungtuk
mengetahui kisah selanjutnya.
“Zuraimie?. Anak mak itu?!. Seperti biasa , dia akan tercegat
menyaksikan segalanya sehinggalah disergah oleh ibunya!”. Jawab Diah dalam nada
suara yang amat kecewa.
“Mie!. Tolong mak!. Bini kau dah menggila ni!!”. Jerkah Puan Sarah.
Zuraimie dayus di mata
Diah
Jerkahan ibunya itu menyedarkan Zuraimie yang sedari tadi
terpaku tidak percaya dengan apa yang dilihatnya. Lantas segera menyahut
panggilan ibunya itu. Diah dipeluknya dari belakang. Kedua tangannya dipegang
erat. Diah tidak dapat berbuat apa-apa lagi. Raziq dalam dakapannya itu dengan
mudah dapat direnggut pergi oleh ibu mertuanya. Tidak cukup dengan itu , Puan
Sarah sempat meludah muka Diah. Zuraimie
membiarkan saja perlakuan ibunya itu. Hati Diah bagai direntap kuat , tangisannya
sudah tidak terbendung lagi. Diah
menjerit dan menangis semahu-mahunya. Setelah ibunya pergi bersama Raziq ,
barulah Zuraimie cuba menenangkan dan memujuk isterinya. Diah dipeluk erat.
Wajah Diah diterapkan ke bahunya.
“Menangislah sayang ... menangislah. Abang ada di sini.
Luahkanlah segala yang terbuku dalam hatimu itu”. Zuraimie cuba memujuk.
Malangnya , bukan tangisan yang semakin berkurangan
sebaliknya Diah menolak Zuraimie dengan kasar dan kuat , memboloskan dirinya
dan terus berlari naik ke atas , pintu bilik dihempas kuat. Zuraimie yang cemas
segera mengejarnya dari belakang.
“Diah! Diah!”. panggilnya. Panggilan itu tidak langsung
dihirau. Pintu bilik cuba dibuka . Malangnya telah terkunci dari dalam.
“Diah! Buka pintu ini sayang. Diah , tolonglah!. Jangan
takutkan abang begini. Buka pintu ini sayang!”. Rayu Zuraimie. Hatinya
benar-benar cemas , khuatir Diah akan berbuat bodoh ... Lantas kunci pendua pintu bilik itu diambilnya.
Setelah pintu dibuka , Zuraimie menarik nafas lega, Diah sedang khusyuk
menunaikan solat Maghrib. Zuraimie duduk di pinggir katil. Menanti dengan penuh
sabar. Wajah Diah yang bertelekung itu ditatapnya. Rasa kasih melimpah ruah
dari sanubarinya.
Selesai Diah memberi salam, Zuraimie berteleku disisi Diah
lalu mendakapnya. Dahi Diah dikucup lembut.
“Maafkan abang sayang kerana telah membiarkan sayang melalui
semua kesukaran ini. Abang benar-benar tersepit. Tolonglah fahami abang”. Rayu
Zuraimie.
Diah hanya mendiamkan diri. Diam itu lebih menenangkan
daripada terus-terusan mengenangkan kedayusan Zuraimie.
Hidup ini bukan untuk kita melakar mimpi
Ianya perjalanan kisah yang telah tertulis
Duka dan suka menjadikannya lebih menarik
Untunglah jika watakmu serasi jiwa
Pun begitu bersyukur sajalah atas apa jua kurniaNya
Harapan dan impian seindah mimpi
Aroma rempah ratus kehidupan yang mempersona
Ruang waktu bagai menjanjikan bahagia
Usah diucap lagi kisah luka
Semuanya koleksi sejarah harus disimpan dalam jiwa
Datanglah ... datanglah bahagia
Impian ini biar menjadi nyata
Telapak tanganku dan telapak tanganmu
Erat bertaut menggenggam hajat
Ruas-ruas kehidupan kita tempuh bersama
Ulas-ulas kasih kita semai semula
Sirip-sirip rindu membajai cinta
Kiasan kehidupan kita jadikan panduan
Agar nantinya bahagia itu akan benar menjelma
Nantikan aku ... nantikan kamu ... bila tiba saatnya
No comments:
Post a Comment