BAB 19 : Hidayah - KAHWIN PAKSA
Ekoran daripada rancangan Hidayah
yang gagal untuk mendapat keizinan
daripada kedua orang tuanya untuk berkahwin dengan Saiful , mak Su Sofea dan
suaminya telah datang merayu kepada Puan Sarah dan Tuan Zaman agar meneruskan
rancangan mereka untuk menyatukan kedua anak mereka.
“Kak , tolonglah. Saya dah tak boleh
nak melewat-lewatkan pernikahan Dayah tu. Tak ada orang lain yang kami percaya
selain daripada Zuraimie. Sejak kita berjanji dulu , kami memang telah
menganggap Zuraimie itu sebagai anak menantu kami. Segala buruk dan baiknya
kami terima”. Rayu Mak Su Sofea.
“Tulah dik , bukan kami tak mahu
menunaikan janji tapi anak kita masing-masing dah ada pilihan hati. Maaflah
akak berterus-terang , mereka itu masing-masing sampai dah terlanjur. Tu si
Zuraimie , dah dua bulan tak balik ke mari. Patutnya kami yang merajuk hati sebab perangai buruk
dia. Ini dah terbalik. Dia pula yang marahkan kami”. Keluh Puan Sarah.
“Sama sajalah dengan si Dayah tu kak.
Hari-hari memerap dalam biliknya , langsung dah tak mahu bertegur sapa dengan
kami. Kami ni mak bapak dia. Takkanlah kami nak serahkan satu-satunya anak kami
kepada lelaki yang sah-sah tak tahu hukum haram halal”. Balas mak Su Sofea.
“Dik , budak tu tak ada bezanya
dengan Zuraimie , dia juga dah membuntingkan anak dara orang”. Puan Sarah benar-benar kesal dengan apa yang
telah terjadi.
“Tapi sekurang-kurangnya kami kenal
dia , kita ni sekeluarga. Tak mungkin Zuraimie akan mempersia-siakan Dayah.
Kita anggaplah pernikahan ini sebagai pengajaran atas kesalahan yang telah
mereka perbuat”. Rayu mak Su Sofea.
Apa
jua yang dikatakan Puan Sarah tidak dapat mematahkan niat Mak Su Sofea untuk
menyatukan anak gadisnya Hidayah dengan Zuraimie.
“Kerbau dipegang pada talinya , manusia
dipegang pada janjinya”.
“Kak , sejak dulu ,,, sejak mereka
kecil lagi kita sama-sama dah berjanji
akan berbesan”. Ungkit Mak Su Sofea hinggakan Puan Sarah tidak mampu berkata
apa lagi.
Maka akhirnya kata persetujuan telah dicapai. Hari pernikahan telah dipilih. Apa kata
Zuraimie atau Hidayah sudah tidak penting lagi. Mereka adalah pesalah yang
telah melanggar tatasusila manusia budiman maka mereka tiada hak untuk membangkang!.
Menjelang Hari Pernikahan
Esok hari , bersamaan dengan 5 September adalah tarikh
Zuraimie bakal bernikah dengan adik sepupunya sendiri , Hidayah.
Semuanya berjalan seperti yang telah diimpikan oleh kedua orang tua mereka
sejak lama dulu. Tiada apa yang mampu mengubah pendirian kedua orang tua mereka
walaupun menangis air mata darah sekalipun.
Zuraimie
masih ingat tawaran yang dibuat oleh kedua orang tuanya , “Kami akan akur
dengan pilihan kau mahu memperisterikan gadis itu dengan syarat kau patuh pada
permintaan kami dahulu. Semalam mak Su dan Pak Su kau datang ke mari. Kami
telah berbincang dan menimbang segala buruk dan baiknya dan kami telah mencapai
kata sepakat , kau dah Hidayah harus dinikahkan segera. Hanya setelah kau
bernikah dengan Hidayah sebagai isteri pertama
barulah kau boleh bernikah lain. Bernikahlah dengan mana-mana gadispun
yang kau suka tetapi hanya setelah kau nikahi Hidayah. Keputusan kami
muktamat!”. Kata Tuan Zaman. Kata-kata yang lebih kepada arahan yang tidak
boleh disanggah.
Zuraimie
mengambil masa seminggu lamanya untuk memikirkan tawaran kedua ibubapanya itu.
Setelah berbincang dengan kakaknya , Dr Anisah dan setelah menimbang buruk dan
baiknya maka keputusan telah dibuat.
“Bagaimana dik?”. Tanya Dr Anisah.
“Mie tiada pilihan selain menurut
sahaja kehendak mereka. Semuanya demi Diah. Mie mahu mereka menerima Diah
sebagai isteri Mie. Mie tak mahu kami terus disisih. Tentu sukar bagi Diah jika
mak dan ayah membencinya nanti”. Kata Zuraimie , menjawab pertanyaan kakaknya
itu.
“Betul Mie , akak pun setuju dengan
keputusan Mie itu. Tapi bolehkan Hidayah dan Diah menerima semua ini?”. Dr.
Anisah khuatir kerana tiada isteri yang rela dimadu.
“Perkahwinan Mie dan Hidayah bukan
atas kerelaan kami masing-masing. Hidayah sendiri sudah tahu tentang kehadiran
Diah dalam hidup Mie. Mie yakin dia akan faham. Pasal Diah pula , buat masa ni
segalanya adalah rahsia baginya sehinggalah tiba masa yang sesuai”. Balas
Zuraimie. Dr. Anisah hanya mengangguk faham. Dia sedar adiknya itu tiada pilihan.
Hari pernikahan
5 September menjelang juga. Zuraimie
bangun dengan malas sekali , menuju ke bilik air rumah tumpangan itu untuk
membersihkan dirinya. Janggut dan misainya yang dibiarkan panjang dicukur
bersih. Usai di bilik air , Zuraimie menyarung sepasang baju Melayu cekak
musang bewarna biru. Sampin songket hitam bertekad benang bewarna emas itu
dipakai kemas.
Selesai bersiap Zuraimie duduk
sebentar di penjuru katil , sengaja dia memilih satu kamar untuk
dirinya sendiri. Jika boleh , dia ingin
melarikan diri dari suasana persediaan pernikahannya itu. Dia tidak mahu
memandang segala jenis dulang hantaran yang telah disediakan oleh ibunya. Dia
juga tidak mahu tahu berapa harga dan cincin jenis apa yang telah dibeli oleh ibunya untguk disarungkan
di jari manis Hidayah sewaktu upacara membatalkan air sembahyang nanti. Perlahan-lahan
gambar Diah yang tersemat dalam dompetnya ditatap lama , “Diah , mengertilah
sayang. Segalanya ini ku lakukan demi kabahagiaanmu sayang”. Katanya perlahan.
“Mie , dah sampai masa bertolak.
Cepatlah keluar”. Kata Dr. Anisah dari luar bilik.
“Ya. Kejap lagi Mie keluar”. Jawabnya
lalu meyimpan dompetnya di dalam poket seluar baju Melayunya , “Biar kau
menjadi saksi segalanya”. Katanya di dalam hati , merujuk kepada gambar Diah yang semat
tersimpan di dalam dompetnya itu.
Suasana pernikahan
Rombongan pengantin lelaki sampai
tepat pada masanya di rumah pengantin perempuan. Rumah banglo dua tingkat itu
sudah penuh dengan para tetamu , jiran tetangga dan saudara mara yang datang
untuk meraikan dan memeriahkan majlis pernikahan itu. Zuraimie melangkah masuk
disertai oleh ibubapanya , Dr Anisah dan saudara maranya yang tinggal di
sekitar KL.
Selesai
bersalaman , dia di arahkan duduk di atas bantal baldu bewarna biru ungu yang
diletakkan berhadapan dengan juru nikah. Berdebar hatinya melihatkan Tok Kadi
yang sudah siap sedia untuk menikahkannya. Sebelum pernikahan bermula , segala
borang yang berkaitan dilengkapkan terlebih dahulu. Ayahnya dan pak Ngah
bersetuju untuk menjadi saksi pernikahan itu.
“Zuraimie bin Zaman , aku nikahkan
dikau dengan Hidayah Bt Razman dengan mas kahwinnya lima belas ribu ringgit ,
tunai”. Kata Tok Kadi sambil menjabat tangan Zuraimie.
Setelah tangannya disentak , Zuraimie
segera menjawab , “Aku terima nikahnya Hidayah Bt Razman ....”. Zuhaimie
terdiam , lidahnya kelu. Dia tidak mampu
meneruskan ayat yang seterusnya. “Mengapa harus aku teruskan semua ini?”.
Fikirnya , lama terdiam.
Semua yang hadir berpandangan sesama
sendiri.
“Sekali lagi”. Kata tok Kadi
menyedarkan Zuraimie akan tanggung-jawabnya.
“Boleh kita teruskan?”. Tanya Tok
Kadi.
“Ya!. Teruskanlah demi sebuah cinta
terlarang!”. Jawab Zuraimie di dalam hati sambil mengangguk. Wajah Diah kini
terbayang di ruangan matanya ...
“Zuraimie bin Zaman , aku nikahkan
dikau dengan Hidayah Bt Razman dengan mas kahwinnya lima belas ribu ringgit ,
tunai”. Kata Tok Kadi sekali lagi.
Zuraimie segera menjawab , “Aku
terima nikahnya Hidayah Bt Razman ....” . Sekali lagi Zuraimie gagal
menghabiskan lafaz nikah itu. Puan Sarah dan Tuan Zaman mulai bimbang , “Sudah
kenapa budak ini?”. Bisik Tuan Zaman kepada isterinya.
“Entahlah bang , berdoa sajalah agar
segalanya segera selesai”. Balas Puan Sarah , memandang anaknya dengan wajah
yang risau dan cemas.
“Bagi pengantin lelaki minum air”.
Kata tok Kadi. Setelah sedia , akad nikah diulangi lagi ...
“Zuraimie bin Zaman , aku nikahkan
dikau dengan Hidayah Bt Razman dengan mas kahwinnya lima belas ribu ringgit ,
tunai”. Kata Tok Kadi , menyentak tangan Zuraimie. Zuraimie segera menyambutnya
, “Aku terima nikahnya Hidayah Bt Razman dengan mas kahwinnya lima belas ribu
ringgit tunai”. Akhirnya Zuraimie berjaya melafazkan kata keramat itu ,
berjanji dengan yang Maha Pencipta bahawa dia akan mengambil Hidayah sebagai
suri hidupnya dan bertanggung-jawab sepenuhnya ke atas gadis ini di dunia dan
di akhirat kelak.
Menitis
air mata Hidayah mendengar dirinya kini sudah sah menjadi isteri kepada abang
sepupunya sendiri. Sungguhpun hatinya tidak rela dengan pernikahan ini namun sebaik
sahaja lafaz nikah sah diucapkan , hatinya menjadi damai dan tenang menerima
takdir yang telah ditentukan tuhan , ‘Manusia hanya merancang , tuhan juga yang
menentukan segalanya’.
Sewaktu
upacara membatalkan air sembahyang , sebaik sahaja jari manisnya sudah
bersarung cincin , Hidayah mengucup
tangan Zuraimie . Lama tangan lelaki itu digenggamnya. Zuraimie membiarkannya
sahaja , sangkanya Hidayah sengaja mahu memberi peluang kepara para juru gambar
merakamkan detik itu. Kemudian dahi Hidayah dikucup Zuraimie , memang begitulah
adatnya setiap kali acara membatalkan air sembahyang dilakukan. Tanpa sedar
menitis air mata Hidayah apabila bibir Zuraimie menyentuh dahinya , kali
pertama dalam hidupnya dahinya dikucup begitu.
“Cukup , jangan menangis. Nanti cair
mekap tu kang”. Bisik juru solek yang ada berhampiran. Lantas sehelai tisu
dihulurkan kepada Hidayah. Namun , belumpun sempat Hidayah mahu menyambutnya ,
Zuraimie terlebih dahulu telah mengambil dan mengesat air mata yang masih
menitis , “Sudahlah , nanti tak lawa gambar awak tu kang”. Katanya , cuba
menceriakan adik saudaranya yang kini telah sah menjadi isterinya. Hidayah diam
, perlakuan Zuraimie itu menyentuh hatinya.
Malam pengantin
Kenduri
kendara diadakan pada hari yang sama. Mengapa? Jika ada yang bertanya ;
“Memudahkan rombongan pengantin
lelaki kerana jarak perjalanan mereka yang jauh. Jadi kami adakan segalanya
dalam hari ini juga. Dua dalam satu , nikah dan kenduri pada hari yang sama”.
Mak Su Sofea memberikan rasional tindakannya setiap kali ditanya oleh tetamu
yang hadir kerana sudah menjadi kebiasaan penduduk di sini mengadakan majlis
selama dua hari. Sehari untuk nikah yang
biasanya dihadiri oleh keluarga dan saudara mara terdekat sahaja dan pada hari
kedua pula adalah untuk acara bersanding dan menepung tawar. Semua kenalan dan
sahabat handai akan dijemput datang untuk sama-sama menepung tawar kedua
mempelai.
Usai
majlis dan sesudah hampir semua tetamu yang hadir memohon diri pulang ke rumah
masing-masing , Zuraimie melangkah masuk ke dalam bilik pengantin dengan
langkah yang longlai.
“Huh! Penatnya. Nama saja raja sehari
tapi habis didera sepanjang hari!”. Rungutnya sendiri. Sampai di hadapan bilik
pengantin, Zuraimie segera menolak pintu bilik yang tertutup. Sebaik sahaja pintu bilik terbuka , Zuraimie
terkesima memandang pemandangan yang cukup indah dan memukau hatinya , sesuatu
yang tidak dirancang!.
“Arrrggghhhhh!. Abang tolong tutup
pintu itu!”. Jerit Hidayah yang kebetulan baru keluar dari bilik air dengan
berkemban. Hidayah sangat terkejut dengan kehadiran abang sepupu yang kini sudah
menjadi suaminya. Malu! ... Dia terlebih malu melihatkan reaksi abang sepupunya
yang bagaikan tergamam melihatnya ... atau mungkin terpesona sebenarnya!.
“Oppss maaf!”. Segera pintu bilik
ditutup rapat dan dikunci. Zuraimie diam berdiri membelakangkan Hidayah. Dia
sebenarnya cuba menahan debaran di dada dan tidak tahu untuk bereaksi
menghadapi situasi itu.
“Abang , maafkan Dayah. Dayah terlupa
nak kunci pintu”. Kata Hidayah setelah selesai berpakaian. Dia berjalan
menghampiri Zuraimie yang masih lagi tercegat berdiri. Tangan suaminya itu
dicapai dan ditarik , bersama berjalan menuju ke katil. Mereka kini duduk
berhadapan di birai katil. Hidayah diam , Zuraimie juga diam. Masing-masing
tidak tahu untuk berkata apa.
Akhirnya
Zuraimie yang bersuara dahulu , “Dayah , maafkan abang kerana tidak mampu
menahan perkahwinan ini”. Zuraimie membuka bicara.
“Dayah tak salahkan abang ,
sebaliknya ini semua adalah salah Dayah sendiri kerana tidak dapat meyakinkan
mak dan ayah. Rancangan Dayah gagal menyebabkan kita dipaksa kahwin
tergesa-gesa begini. Dayah minta maaf bang”. Kata Hidayah.
“Semuanya sudah berlaku Dayah , tak
perlulah kita terus menyalahkan diri”. Hidayah lega mendengar kata-kata
Zuraimie itu , sangkanya Zuraimie akan memintanya belajar menerima ketentuan
takdir. Dia sendiri sudah pasrah kini. Zuraimie yang dikenalinya selama ini
sememangnya seorang lelaki yang baik budi.
Lagi pula apa yang boleh diharapnya dari Saiful , kekasih hati yang masih merajuk panjang itu. Cinta Saiful terhadapnya
tidak cukup besar untuk menerima segala cemuhan dan kata nista daripada
ibubapanya.
“Mungkin benar kata mak dan ayah ,
abang adalah jodoh yang terbaik buat Hidayah”. Kata hatinya.
Namun
belumpun sempat Hidayah berangan jauh , Zuraimie telah berkata sesuatu yang
menikam jantung hati Hidayah selaku seorang isteri yang baru dinikahi.
“Hidayah , kita sama-sama tahu yang
perkahwinan ini bukanlah atas kerelaan hati kita. Malah kita sama-sama tahu
bahawa hati kita masing-masing telah terikat kepada orang lain. Jadi , abang
faham kalau Dayah tidak dapat menjalankan tugas sebagai seorang isteri. Malah
bukan saja Dayah , abang sendiri tidak
mampu untuk menjalankan tugas sebagai seorang suami. Saat ini pun hati abang
berada jauh di sana. Bersama orang yang amat abang cintai. Terlalu banyak
perkara yang telah kami harungi bersama. Abang tak mungkin mengkhianatinya”.
Zuraimie berterus-terang. Baginya , Hidayah itu tak ubah seperti adiknya
sendiri.
Hancur
luluh hati Hidayah mendengar kata-kata itu. Apa lagi yang boleh dikatakan , Zuraimie telah bersikap jujur menyatakan isi
hatinya. Hidayah diam , cuba menahan kesedihan dan kehampaan di hati. Jika
boleh ingin saja dia menyatakan sebaliknya.
“Hidayah tidak setuju. Hidayah tetap
mahu kita mencuba untuk hidup sebagai suami dan isteri , menunaikan hak satu
sama lain dan mencintai satu sama lain”. Namun apakan daya , segalanya itu
hanya terluah di dalam hatinya sahaja.
Selesai berbicara ,
Zuraimie mengambil sebiji bantal dari atas katil. Dia kemudiannya membuka
almari yang ada di dalam bilik itu lalu mengambil sehelai kain cadar untuk
dijadikan selimut. Zuraimie kemudiannya berjalan menuju ke sofa panjang dalam
bilik itu.
“Abang tidur di sini. Hidayah
tidurlah di atas katil. Itu lebih selesa”. Katanya sebelum membaringkan
badannya yang sememangnya teramat penat dek rutin majlis perkahwinan mereka
hari itu.
Hidayah hanya mampu
memandang segala perlakuan Zuraimie
dengan air mata yang mulai bergenang. Cepat-cepat dia baring di atas katil
dengan membelakangkan Zuraimie. Air mata yang jatuh disapunya perlahan-lahan. Tiada siapa yang
tahu , beginilah caranya mereka menghabiskan malam pertama yang sepatutnya
indah dan menjadi kenangan terhangat untuk dikenang sepanjang hayat ...
Cintai
aku ...
Cubalah belajar mencintai aku ...
Itu saja yang ku mahu
Nescaya sabar aku menunggu
Tiba masanya
detik itu
Aku juga belajar mencintaimu
Ini ketentuan , aku kini milikmu
Apapun kita tak mungkin berseteru
Kerna hatiku ku ajar berbahasa rindu
Untuk kamu , yang kini menjadi suamiku
|
Pagi itu seisi keluarga
menikmati sarapan pagi bersama-sama. Mak Su dan Pak Su selaku tuan rumah sangat
ceria , makan sambil bercerita.
Lebih-lebih lagi hajat mereka untuk bermenantukan Zuraimie sudah termakbul.
Puan Sarah dan Tuan Zaman yang kini telah bertukar status menjadi biras mereka
tidak kurang gembiranya. Inilah yang telah mereka rancang sejak bertahun-tahun
dahulu.
“Eh Dayah , kenapa bengkak matatu?.
Hmm ... ini mesti sebab tak cukup
tidur”. Mak Su Sofea menegur anaknya yang diam sahaja sedari tadi.
“Err ... tak adalah mak. Mata Dayah
kalau bangun tidur memang selalu begini”. Jawab Hidayah , cuba menyembunyikan
perkara yang sebenar. Langsung segera ditambahnya nasi lemak ke dalam pinggan ,
buat-buat sangat berselera untuk makan.
“Hmm ... sedap nasi lemak ni”.
Katanya , berpura-pura.
“Mana tak sedapnya , perut tengah
lapar. Dah kehabisan tenagalah agaknya tu!”. Usik ayah mertuanya , Tuan Zaman.
“Mie , kenapa biarkan Hidayah tak
tidur semalaman. Mata bengkak , kelaparan ...”. Tuan Zaman mula berlebihan ,
mengusik anaknya pula.
“Err ... tak. Tak adalah ayah. Mie
tak buat apa-apa pun pada Dayah. Betulkan Dayah?”. Zuraimie mulai tidak selesa
dengan gurauan kasar ayahnya itu.
“Memang tak buat apa-apa langsung!”.
Kata hati Dayah sambil menyibukkan dirinya menyuap nasi lemak ke dalam
mulutnya.
“Hmm ... sudah. Jangan asyik diusik
saja pengantin baru tu. Kalau Zuraimie nak buat ‘apa’pun pada Hidayah , tak
menjadi salah. Itu dah jadi isteri dia. Bukan begitu kak Sarah?”. Sampuk Pak Su
Razman.
“Ya , betullah tu. Ni Mie , mak nak
cakap sikit. Dah jadi suami ni kena banyak sabar. Suami kenalah banyak mengalah
dengan isteri. Jaga Hidayah tu betul-betul. Hmm ... satu lagi , kalau boleh mak
nak cepat-cepat menimang cucu. Taklah sunyi sangat rumah tu bila ada cucu
berlari sana sini”. Puan Sarah menyatakan keinginannya.
“Mak , kami belum berfikir sejauh itu
pun mak”. Kata Zuraimie. Hidayah pula tertunduk malu. Merona merah wajahnya
yang putih gebu , “Macam mana nak dapat ‘baby’ kalau sorang tidur di Utara dan
sorang lagi di Selatan”. Fikirnya.
“Mak , ayah , cukup-cukuplah mengusik
mereka. Biarlah mereka bertenang menikmati alam perkahwinan. Satu lagi , tak
perlulah terburu-terburu. Kalau ada rezeki tu nanti dapatlah mak cucu. Mak ni
macam dah tak sabar-sabar saja memegang status ‘nenek’. Hmm ... tak takut tua
ke?”. Dr. Anisah mengusik ibunya.
“Ha ha ha ha ha”. Semua yang ada
ketawa mendengarnya.
Setelah
ketawa semua reda , Zuraimie menyatakan hajatnya untuk segera pulang ke KL. Dia
sudah tidak sabar-sabar lagi untuk menghubungi dan berjumpa dengan buah hatinya
, Diah.
“Laa , buat apa awak tu nak balik
bersama kami?”. Tanya Tuan Zaman , terjegil matanya memandang Zuraimie.
“Ya Mie , duduklah sini temankan
Dayah isteri kamu tu. Sekurang-kurangnya seminggu sehingga majlis resepsi di
tempat kita diadakan”. Puan Sarah menyokong kata-kata suaminya.
“Ya Mie , ada urusan apa kamu
tergesa-gesa mahu balik ke sana?’. Setahu ayah , kamu belum bekerja lagi pun
kan?”. Tanya Pak Su Razman , agak tersinggung dengan keputusan Zuraimie untuk
segera pulang ke KL.
“Tak pernah dibuat dek orang!”. Kata
hatinya , mulai mengesan sesuatu yang tidak kena.
“Hmm ... tak ayah. Mie sebenarnya
baru saja bekerja. Tak sampai tiga bulan. Itu yang susah nak minta cuti. Err
... dah ada isteri ni kenalah kerja. Takkan nak biar isteri makan pasir. Errr
... lagi pun, Mie dah bincang perkara ni dengan Dayah. Dayah pun dah setuju.
Kan Dayah?”. Zuraimie meminta sokongan daripada Hidayah.
“Errr ... er ya. Dayah memang dah
tahu perkara ini sebelum majlis pernikahan kami lagi”. Hidayah terpaksa
berbohong.
“Alaa bukannya lamapun , seminggu
saja. Kan seminggu lagi dah majlis resepsi.”. Tambah Hidayah , cuba meyakinkan orang tua mereka. Sengaja
mukanya dimaniskan walhal hatinya pedih menahan kesedihan mahu ditinggalkan
suami begitu saja.
“Hishh tak fahamlah aku dengan
budak-budak sekarang ni. Kalau zaman kita dulu , jadi pengantin baru langsung
tak mahu ke mana-mana. Kalau boleh memerap saja dalam bilik 24 jam!”. Kata Tuan Zaman dan disambut dengan
gelak tawa yang lain. Hidayah dan Zuraimie juga pura-pura ketawa sama.
Zuraimie menghampiri Hidayah lalu berbisik kepadanya ,
“Terima kasih. Abang sangat menghargainya”. Hidayah hanya tersenyum tawar
mendengar kata-kata suaminya itu. Dia sendiri tidak mengerti mengapa hatinya
begitu mudah jatuh sayang kepada Zuraimie , lelaki yang selama ini dianggapnya
seperti abang kandungnya sendiri.
“Aku terjerat dengan perasaan ku
sendiri”. Katanya di dalam hati sebelum meminta izin masuk ke bilik. Sampai di
bilik dan setelah pasti pintu dikunci ,
Hidayah menekap mulutnya dengan bantal sebelum menjerit sekuat hati dan
menangis semahu-mahunya!.
Zuraimie pergi
Maka pergilah Zuraimie meninggalkan
isteri yang baru dinikahinya sendirian menanggung kesedihan yang teramat
sangat. Sudahlah tidak dicintai , ditinggal pergi begitu saja semata-mata untuk
menagih cinta gadis lain. Hidayah sungguh pilu mengenangkan nasib dirinya.
“Sudah jatuh ditimpa tangga ...”.
Katanya sendiri sambil merenung pakaian
pengantin yang masih tersangkut di depan pintu almari pakaiannya.
“Mengapalah aku harus bersedih
begini?. Memang telah aku ketahui yang abang tidak pernah dan tak akan mampu
mencintaiku kerana hatinya sudah terikat pada gadis lain. Tiada ruang lagi
buatku di hatinya. Tapi haruskah aku mengalah begitu saja?. Dia suamiku.
Suamiku yang sah. Sedangkan perempuan itu masih belum ada apa-apa ikatan
dengannya. Bukankah aku yang lebih berhak terhadap abang?. Ya , aku lebih
berhak terhadap dirinya. Aku berhak untuk mendapatkan cintanya. Aku! Aku yang
lebih berhak kerana aku adalah isterinya yang sah. Tiada mahkamah di dunia ini
mahupun di akhirat sana yang boleh menafikan hakku sebagai isteri!!”. Hidayah
membulatkan tekadnya untuk mempertahankan haknya sebagai seorang isteri.
Sedangkan
pada masa yang sama , Zuraimie sedang dalam perjalanan menuju ke Cherating. Dia
ingin segera sampai ke sana , rindu benar hatinya kerana hampir seminggu tidak
menatap wajah Diah , kesayangannya.
“Diah , tunggu abang datang”. Katanya
sendiri sambil terus menekan pedal minyak keretanya , ingin segera sampai.
Sejambak bunga mawar merah diletak dengan baik pada kerusi belakang. Sesekali
dia melihat jambangan bunga itu melalui cermin pandang belakangnya. “Bunga
mawar yang cantik buat gadis yang cantik menawan”. Katanya lagi sambil terus
tersenyum-senyum.
Lewat
petang itu sampailah Zuraimie ke destinasinya. Hatinya berdegup kencang apabila
dilihatnya beberapa orang jiran tetangga sedang berborak-borak perlahan di
veranda rumah itu. Matanya segera menangkap motor Kak Som yang turut diletakkan
di tepi tangga rumah itu.
“Sudah tibakah masanya?”. Fikirnya
sendiri. Jika ikut pengiraannya masih ada tiga minggu sebelum Diah melahirkan
bayinya.
“Hah! Dah sampaipun kamu”. Sapa mak Mah dari atas tangga.
“Mak , Diah dah nak melahirkan ke?”.
Tanya Zuraimie tidak sabar sambil mencium tangan ibu tua itu.
“Ya. Tadi Diah tergelincir jatuh ,
langsung terus sakit nak bersalin”. Mak Mah memberitahu.
“Apa ?. Tergelincir jatuh?. Macam
mana boleh jadi begitu?”. Tanya Zuraimie , cemas.
“Tulah yang mak hairankan tu. Dia
jatuh depan pintu bilik tengah tu. Nak kata lantai tu licin , tak pulak. Nak
kata tersadung , tak ada apa-apa pun di lantai tu. Tapi tak apalah , tak ada
apa-apa pun yang perlu dirisaukan. Kata Kak Som , dah memang masanya pun dia
melahirkan. Cuma tercepat sedikit. Biasalah tu. Kita doakan sajalah agar
semuanya selamat”. Kata-kata mak Mah itu menenangkan hati Zuraimie.
Sebaik
sahaja mak Mah habis berkata-kata , tiba-tiba kedengaran suara bayi menangis ,
“Tu , dah selamat bersalin. Tak apalah Mie , mak Mah masuk ke dalam sekejap”.
Kata mak Mah riang , riang menyambut kelahiran cucunya sendiri. Tak sabar-sabar
dia mahu melihat wajah cucunya itu , “Ziq , anak mak. Itu , anak kamu telah
selamat dilahirkan. Cucu mak dah lahir Ziq. Adakah dia mewarisi wajahmu nak?”.
Katanya di dalam hati , air mata yang terbit di hujung matanya segera diseka.
Zuraimie
yang berada di luar bilik , mundar mandir tidak sabar menunggu giliran diajak
masuk menatap wajah bayi yang sudah diakunya sebagai anaknya sendiri dan
tentunya wajah Diah , kekasih dan buah hatinya itu. Jambangan bunga mawar dibawanya ke hulu ke hilir.
“Hadiah buatmu kerana telah selamat
melahirkan anak kita!”. Katanya di dalam hati.
Tidak
lama kemudian , Kak Som menjengukkan kepalanya ke luar pintu mencari-cari
kelibat Zuraimie. Lelaki yang disangkanya ‘ayah’ kepada bayi yang baru
disambutnya tadi.
“Mie , masuklah. Tolong azankan anak
tu. Anak lelaki. Sebiji muka kau!”. Katanya.
“Alhamdulillah!”. Zuraimie melonjak kegembiraan
dan tanpa berlengah dia segera melangkah masuk ke dalam bilik.
“Assalamualaikum sayang. Terima kasih
kerana telah melahirkan anak kita”. Ucapnya sambil menghulurkan jambangan bunga
mawar kepada Diah. Diah memandang wajah Zuraimie. Ada air mata yang mengalir
dari kelopak matanya. Lambat-lambat jambangan bunga itu disambutnya.
“Abang tengok anak kita dulu ya?.
Nanti abang datang balik”. Katanya sebelum pergi mendapatkan kak Som.
Kak Som menghulurkan bayi
yang sudah siap dimandikan itu kepada Zuraimie , Zuraimie menyambutnya dengan
perasaan yang cukup gembira.
“Anak ayah”. Katanya lalu mengucup
pipi bayi itu. Zuraimie berdiri ke arah kiblat lalu bayi itu diazankannya
dengan penuh rasa bangga dan syukur.
Diah
menyaksikan segalanya. Segala perlakuan Zuraimie diperhatikan dengan linangan
air mata.
“Mie , kenapa?. Kenapa kau harus
berbohong kepadaku?. Kenapa kau hancurkan hatiku setelah cinta ini mulai
berputik?”. Katanya di dalam hati.
Masih terbayang-bayang di ruang
matanya , semua gambar-gambar yang ditampal penuh di dinding bilik tidur arwah Raziq.
‘Cinta hatiku’. Itulah tulisan dan
perkataan yang dituliskan pada setiap photonya yang di’kandid’ oleh Raziq. Tidak cukup dengan itu , Diah juga habis
membaca diari , catatan kisah percintaannya dengan Raziq. Walaupun hanya
catatan-catatan ringkas namun sudah
cukup untuk mengembalikan ingatannya akan hubungan cinta mereka berdua.
Air
mata Diah tambah laju mengalir apabila teringatkan coretan-coretan terakhir Raziq ,’Maafkan aku sayang , semuanya tidak
dirancang. Namun percayalah , malam itu adalah malam terindah yang pernah
berlaku dalam hidup ini. Aku akan bertanggung-jawab terhadapmu. Kita akan
sama-sama melangkah ke gerbang perkahwinan. Maruahmu akanku bela. Kita kan
pasti bahagia bersama. Selagi hayat dikandung badan , kau adalah siangku. Kau
adalah malamku ... Semuga cinta kita kan kekal abadi ... aku cinta kamu tanpa
ragu dan demi cintaku padamu , aku sanggup menghadapi segalanya! ’ . Sekeping
gambar photo mereka berdua dilekatkan pada muka surat sebelahnya. Mereka
kelihatan amat bahagia bersama , terpancar dari senyuman yang menghiasi wajah
mereka berdua.
Diah
teresak-esak , “Hei! Kenapa menangis?. Kan abang ada di sini?”. Tanya Zuraimie
sambil mengelus lembut rambut Diah.
“Semuanya sudah selamatkan , tak
perlu bersusah hati. Diah , jaga diri dan anak kita di sini. Semua keperluan
Diah sepanjang tempoh berpantang ini akan abang sediakan. Hari ini abang rasa
sungguh bahagia , punyai gadis yang abang cintai dan seorang anak yang sangat
comel. Terima kasih sayang”. Kata Zuraimie sambil menggenggam tangan Diah. Diah
diam , tidak tahu bagaimana mahu bereaksi. Perasaannya berkecamuk , fikirannya
buntu. Mulutnya terkunci dari membalas kata-kata Zuraimie. Diah hanya membiarkan
saja Zuraimie terus menggenggam tangannya. Itu saja yang mampu dilakukannya ketika ini
...
Mengapa?
Mengapa kau
mereka cerita?
Mengapa
kau bohongi cinta?
Mengapa kau mulai dengan kata dusta?
Mengapa?
Mengapa
jalan ini yang kau cipta?
Mengapa
tega kau berpura?
Mengapa
tiada kejujuran antara kita?
Mengapa?
Bukankah
Kebenaran
itu asas kejujuran?
Kepalsuan
itu punca kebinasaan?
Bukankah
Keyakinan
itu pintu kejayaan?
Keraguan
itu mendorong kegagalan?
Bukankah
Seharusnya
kita bergandingan
Sederap
melangkah mencipta kebahagiaan
Sehaluan
memegang janji setia berpanjangan?
Mengapa?
Mengapa begini
jadinya ...
|
No comments:
Post a Comment