Popular Posts

Thursday, 24 April 2014

"Keranamu Diah" Bab 18

BAB 18          : TINGGAL DI RUMAH MAK MAH
            Bermulalah kisah baru dalam hidup Diah. Menumpang tinggal di rumah ibu tua yang kesunyian. Rumah kampung yang serba sederhana. Namun kehadiran Diah seolah-olah telah mengembalikan semula sinar hati si ibu tua yang kian sirna.
“Diah , udah-udahlah menjahit tu. Mari kita makan.  Kang sejuk pula nasi ni tak sedap”. Ajak mak Mah. Diah yang leka menjahit kain barut bayinya itu terpaksa berhenti.
“Hmm ... ya mak. Diah datang ni”. Katanya sambil berjalan perlahan-lahan menuju ke dapur. Sakit pula pinggangnya dek terlampau lama duduk menjahit.
“Diah , marilah nak. Kesian cucu mak dalam perut tu. Tentu dah lapar agaknya”. Mak Mah berkata sambil memuncungkan mulutnya  ke arah perut Diah.
“He he he ... manalah budak ni tahu makan lagi mak. Ni hah maknya , kalau kejap-kejap asyik makan saja , bertambah bulatlah jadinya”. Balas Diah sambil tertawa kecil.
“Hishhh apa pula kata begitu. Orang mengandung kenalah makan lebih sikit. Kalau tidak mana anak tu nak membesar dengan sihat. Sudahlah tu , tak mahu asyik memberi alasan. Mari kita makan”. Mak Mah terus menyendukkan nasi ke dalam pinggan Diah. Sesenduk ... dua senduk ...
“Heee udahlah tu mak. Tak ada ruang dah dalam perut Diah ni nak isi banyak-banyak”. Diah menahan tangan mak Mah daripada terus mengisi penuh pinggannya.
“Eh , janganlah gitu. Penat mak masak ni. Tengok , mak masak makanan kegemaran Diah ni. Ikan patin masak gulai tempoyak. Ini makanan kegemaran Diah kan?”. Kata ,mak Mah sambil membuka tudung saji. Demi terpandang sahaja gulai tersebut , hati Diah tiba-tiba dirundung sendu.
“Mak , kenapa Diah rasa sedih sangat melihat gulai ni. Rasa macam ada kenangan yang tak lepas dalam hati ni”. Kata Diah , tidak semena-mena air matanya menitis apabila mak Mah tidak menjawab soalannya sebaliknya mak Mah terus menyendukkan gulai ikan patin itu ke dalam pinggan Diah.
“Mak?”. Tanya Diah ingin tahu.
“Diah , udahlah tu. Jangan terbawa-bawa dengan perasaan tu. Tak baik untuk anak dalam perut tu”. Jawab mak Mah.
“Tapi mak , Diah rasa macam ada sesuatu ...”. Belumpun sempat Diah menghabiskan ayatnya , mak Mah sudah memintas ...
 “Tak ada apanya tu Diah. Orang mengandung memang begitu. Pembawaan budak , sedih yang bukan-bukan. Udahlah , jangan asyik nak bercerita saja . Marilah kita makan , sejuk kang tak sedap. Lagipun buat apa nak dikenang lagi kisah lalu. Semua dah jadi sejarah”. Jawab mak Mah. Suaranya perlahan kerana dia sendiri sebenarnya sedang cuba menahan perasaan. Mak Mah tidak mahu  Diah mengesan kesedihan yang bersarang dihatinya.
“Kisah lalu?. Mak , apa maksud kata-kata mak itu?”. Tanya Diah , teruja dengan kata-kata mak Mah..
“Hmm ... sudah mak katakan. Jangan diingat lagi kisah lalu. Lagipun memang masakan ini pernah kita makan bersama-sama semasa arwah anak mak masih hidup dulu. Korang begitu berselera memakannya. Habis semua kuah dihirup. Itu agaknya yang buatkan hati Diah sayu. Itu yang mak maksudkan dengan kisah lalu. Semuanya dah jadi kenangan Diah”. Terang mak Mah sambil tersenyum sendiri membayangkan semula kisah lalu.
“Maksud mak , kami?. Saya , Zuraimie , arwah dan Ziah?”. Tanya Diah lagi meminta kepastian.
“Hah?. Errr ... ya. Korang semua. Korang semua memang suka makan masak gulai ni. Alahhh ... sudah sudahlah tu bercakap , mari makan”.
Kedua beranak itu akhirnya menyuapkan nasi ke dalam mulut tanpa berkata apa-apa lagi. Masing-masing melayan perasaan sendiri. Sesekali mak Mah mengesat air matanya yang mengalir tanpa diundang.
“Pedaslah pulak gulai ni”. Katanya , cuba menyembunyikan  kebenaran. Diah hanya buat-buat tidak nampak sahaja , hatinya belas melihatkan penderitaan ibu tua ini. Diah tahu , ibu ini merindui arwah anaknya. Namun apa yang boleh dilakukan , yang pergi tetap takkan kembali , tinggallah yang hidup mengharungi segalanya.

Album gambar
            Petang itu Diah berasa amat bosan. Mak Mah tiada di rumah. Ibu itu menghadiri majlis kelas mengaji orang dewasa yang diadakan di surau kampung. Memang surau di kampung ini begitu ‘hidup’ sekali. Pelbagai aktiviti dijalankan untuk pelbagai golongan masyarakat.
“Hmm ... masa muda-muda dulu sibuk membesarkan anak , urus rumah , layan suami. Sekarang bila dah tua begini barulah ada kesempatan untuk ke surau. Belajar itu ini , sambil tu boleh bercampur dengan masyarakat , eratkan hubungan jiran tetangga. Sekurang-kurangnya esok bila mati , adalah juga orang yang nak uruskan jenazah kita ,  rasa kehilangan kita”. Kata mak Mah kepada Diah semasa mahu melangkah keluar tadi.
“Mak! Kenapalah cakap begitu. Kalau mak Mah tak ada , Diahlah orang yang paling sedih. Ni , sorang lagi , cucu mak ni. Siapa nak tolong Diah jaga dia”. Balas Diah sambil menunjuk ke arah perutnya.
“Ya. Yalah , lupa pulak mak. Makkan ada sorang lagi anak dan bakal ada sorang cucu”. Mak Mah berkata sambil tersenyum ...

Lamanya mak Mah pergi
Sejam sudah lamanya mak Mah pergi. Diah mati kutu , tak tahu apa hendak dibuat. Tinggal sendiri , tiada siapa hendak diajak bicara. Mahu dilelapkan mata , mata pula tegar membuntang akhirnya Diah bangkit dari pembaringan , mundar mandir keluar masuk rumah. Sekejap dia ke dapur menjerang air , sekejap dia membelek-belek barut dan selimut bayi yang sedang dijahitnya dan sekejap lagi mundar mandir semula.
Diah ke ruang tamu. Di sudut ruang itu terdapat sebuah meja lama yang dilapik oleh kain batik lepas yang dilipat dua , masih cantik corak dan warnanya walaupun sudah lama berada di situ. Diah menghampiri meja itu lalu menyelak kain batik lepas untuk melihat apa yang ada di sebaliknya. Sebaik sahaja kain batik lepas itu diselak maka terlihatlah olehnya sebuah peti kayu yang tidak bertutup. Peti kayu itu cantik berukir ukiran flora tapi sayang , bahagian penutupnya sudah tercabut. Bahagian skru dan engsel yang memegang penutupnya dulu masih kekal ditempatnya.
Diah menarik peti kayu keluar sebaik sahaja terlihatkan deretan album gambar tersusun kemas di dalamnya.
“Wah! Tak sangka mak Mah juga minat menyimpan gambar. Hmm ... bagus juga. Bolehlah aku mengisi masa bosan ni membelek setiap gambar dalam album ini sementara menunggu mak Mah balik”. Kata Diah di dalam hatinya , tangannya lantas mencapai sebuah album lalu menyelaknya muka demi muka. Semuanya terdiri daripada gambar-gambar lama mak Mah bersama arwah suaminya.
“Cantiknya mak Mah masa muda dulu. Ini pula mesti suaminya. Hmm ... boleh tahan hensem orangnya”. Diah merenung gambar perkahwinan mak Mah dan arwah suaminya. Mak Mah bersanggul tinggi , berkebaya pendek menundukkan kepala sedang berjalan bergandingan dengan arwah suaminya. Tangan kanannya hanya disangkutkan pada lengan kiri arwah suaminya manakala tangan kirinya pula memegang jambangan bunga yang diikat dengan renda panjang. Pasangan mempelai diapit dan diiringi oleh pengapit pengantin yang mungkin mak andamnya. Wajah sanak saudara yang mengiringi pengantin kelihatan riang tersenyum sedangkan pasangan pengantin langsung tiada senyuman di bibir. Pengantin perempuan masam mencuka , mungkin terlalu malu untuk tersenyum manakala pengantin lelaki berdiri tegak dengan wajah serius menunjukkan kegagahannya.
            Sebuah album selesai dibelek , beralih ke album yang kedua , ketiga  ... di dalamnya penuh dengan gambar-gambar bayi lelaki. Lengkap , sedari dalam buaian sehinggalah bayi itu merangkak , berdiri , bermain dan diikuti dengan gambar-gambar zaman persekolah kanak-kanak tersebut.
“Wah ! Hebatlah mak Mah. Gambar-gambar disusun sehingga  boleh menceritakan segala peristiwa yang berlaku. Tertib mengikut susunan. Patutlah mak Mah menyimpannya dengan baik. Ini semua adalah sejarah hidupnya. Ada cerita disebalik gambar-gambar ini”. Diah kagum dengan kesungguhan dan ketelitian mak Mah menyusun setiap gambar.
Album-album seterusnya menunjukkan tahap perkembangan kanak-kanak lelaki tersebut. Zaman sekolah rendah , sekolah menengah ... “Oh, inilah anak lelaki mak Mah , Raziq!”. Entah mengapa Diah rasa sayu tatkala menyebut nama itu. Lama wajah Raziq berpakaian seragam sekolah itu ditatapnya. “Raziq! Raziq!!”. Sebutnya lagi. Segera album gambar itu ditutup , diletakkan di tempatnya semula. Diah melangkah beberapa album gambar sebelum mengambil album yang terakhir. Pantas album itu diselaknya ...
“Raziq! ... jadi inilah awak. Lelaki yang bersamaku sewaktu kemalangan itu”. Wajah Raziq tersenyum di atas sebuah motorsikal diusapnya lambat-lambat.
“Alangkah baiknya jika awak masih ada ...”. Matanya tertumpu pada senyuman Raziq yang menawan , “Manisnya senyuman. Huh! Kenapa hatiku berdebar-debar melihat senyumannya?”. Hati Diah tertanya-tanya. Tanpa sedar gambar Raziq dilekapkan di dadanya , Diah memejamkan mata seketika.
“Bagaikan kau ada disisiku ... agaknya sebaik mana ya hubungan kita?”. Diah berbicara sendiri. Gambar Raziq ditatap kembali ... lama.
Kemudian sekeping demi sekeping gambar Raziq dibelek sehinggalah matanya tertancap pada sekeping gambar yang meruntun hati dan menimbulkan persoalan yang tiada jawapan.
“Gambar aku ... mak Mah dan arwah?”. Gambar dirinya tersenyum manis disebelah kiri mak Mah dan Raziq pula berdiri di sebelah kanan ibunya sambil memeluk bahu ibunya itu. Ketiga-tiga mereka sedang tersenyum riang menggambarkan kebahagian yang jelas di wajah masing-masing.
“Cuma kami bertiga?”. Diah berkata perlahan ...

Tiba-tiba , “Assalamualaikum. Diah! Mak dah balik dah ni”.
Kedengaran suara mak Mah dari luar. Entah mengapa Diah tiba-tiba diserang rasa bersalah , menyelongkar dan melihat album-album gambar tersebut tanpa kebenaran mak Mah lantas segera segalanya diletakkan semula di tempatnya tetapi sebelum album yang terakhir itu ditutup dan disimpan , Diah sempat menarik keluar gambar mereka bertiga tadi. Entah mengapa gambar itu sungguh mengusik jiwanya.
“Diah! Diah!”. Mak Mah memanggil lagi.
“Err ... ya mak!”. Jawab Diah lantas segera ke muka pintu.  Sebaik sahaja terpandangkan Diah , mak Mah tersenyum menampakkan barisan giginya yang masih penuh.
“Mak ingatkan Diah tidur tadi. Ni hah mak ada bawa balik kuih bingkang ubi. Tadi lepas mengaji ada jamuan sikit.  Sedap ni. Diah makanlah , mak dah makan di sana tadi. Sengaja mak bawak balik untuk Diah. Dapatlah cucu mak merasa bingkang ubi petang ni”. Kata mak Mah sambil menghulurkan plastik merah berisi kuih bingka ubi kepada Diah.
“Hmm ... memang setiap kali program ada jamuan ke mak?”. Tanya Diah sambil menyambut plastik merah yang dihulur mak Mah.
“Tak juga. Kalau ada yang bawa , adalah. Tapi selalunya tiap kali program memang ada saja orang yang akan bawa makanan. Orang suka bersedekah , cari pahala lebih”. Jawab mak Mah sambil tersenyum memandang Diah.
“Eh! Mak ni nak terus ke belakang. Nak kutip kelapa gugur. Boleh dibelah buat bagi makan ayam”. Kata mak Mah sambil mencapai parang yang memang selalu diselitkan di bawah tangga rumah.
“Makan kuih tu”. Pesan mak Mah sebelum berlalu pergi.


Gambar seribu pertanyaan
Sebaik sahaja mak Mah hilang dari pandangan , Diah segera melangkah  ke bilik yang kini menjadi miliknya. Lantas gambar yang disorok dilipatan kain sarung yang dipakainya dikeluarkan , ditatap seketika sebelum disimpan di dalam bantal. Takut juga Diah kalau mak Mah tahu akan tindakannya mengambil gambar itu tanpa izin.
            Hari berganti minggu , sudah dua bulan lamanya Diah berada di rumah mak Mah. Ibu tua itu sudah dianggap seperti ibunya sendiri. Diah cukup selesa di situ. Badannya yang kurus cengkung dulu sudah kian berisi. Hari ini , Kak Som bidan klinik datang melawatnya untuk menjalankan rutin pemeriksaan orang mengandung.
“Lepas ni kita akan jalankan pemeriksaan setiap dua minggu sekali. Kandungan tu dah tiga puluh satu minggu.  Kalau ikutkan kamu ni akan bersalin dalam lima  hingga tujuh minggu saja dari sekarang”. Kata Kak Som.
“Lima hingga tujuh minggu , maksudnya?”. Tanya Diah.
“Bayi boleh lahir dua minggu lebih awal dari tarikh yang sepatutnya , maksudnya dalam minggu ke tiga puluh enam itu sudah kena bersedia. Bila-bila sahaja dia boleh lahir”. Jelas Kak Som. Diah hanya menganggukkan kepalanya tanda faham.
            Selesai urusannya Kak Som segera meminta diri untuk ke rumah yang lain. Tugasnya sebagai bidan klinik semakin hari semakin sibuk. Setiap hari tidak kurang dari 3 rumah yang mesti dilawatnya. Itu tidak termasuk lagi dengan kerja-kerja di klinik yang mesti dibereskan.
“Minum dulu Som”. Pelawa mak Mah yang setia menanti di luar bilik.
“Hmm ... yalah mak Mah”. Jawab Kak Som lalu segera air kopi-O yang disediakan mak Mah dihirupnya habis.
“Tak jamah kuihnya tu Som?”. Tanya Mak Mah setelah dilihatnya kak Som sudah berdiri , mengambil peralatannya dan sedia untuk melangkah keluar.
“Tak apalah mak Mah , banyak rumah lagi nak kena pergi ni. Tahun ni , ramai pula yang mengandung. Campur Diah , dalam bulan sepuluh ni ada lapan orang yang dijangka akan bersalin. Tu yang nak cepat ni”. Kata Kak Som.
“Kalau gitu , yalah. Terima kasih banyak Som”. Balas mak Mah sambil mengiringi kak Som ke muka pintu.
            Kebetulan , elok saja Kak Som mahu menghidupkan enjin motornya , sebuah kereta Kenari sampai di halaman rumah. Kak Som menunggu si pemandunya keluar.
“Hah balik kamu Mie?”. Tanya Kak Som sebaik sahaja Zuraimie melangkah keluar. Sudah beberapa kali Kak Som terserempak dengan Zuraimie ketika datang memeriksa Diah.
“Dia ni anak saudara aku. Mak bapaknya dah meninggal. Tu yang menumpangkan isterinya di sini”. Begitulah caranya mak Mah memperkenalkan Zuraimie kepada Kak Som pada kali pertama mereka bertemu.
“Ya , kak. Datang hujung minggu. Hari lain kerja”. Jawab Zuraimie.
“Eloklah , isteri kamu tu dah sarat sangat. Paling cepat dalam lima minggu lagi jadi ayah lah kamu tu”. Kata Kak Som.
“Ya kak”. Bagai tak tertelan air liur Zuraimie mendengar kata-kata kak Som itu.
“Akak dah nak gerak ni. Banyak lagi rumah nak dilawat hari ni”. Kata Kak Som sebelum berlalu pergi. Zuraimie tersenyum sambil mengangkat tangannya , “Terima kasih kak. Hati-hati bawa motor!”.
            “Mak Mah!”. Zuraimie menghulurkan tangannya , bersalaman dengan mak Mah yang sedia menunggu di muka pintu.
“Apa khabar mak?”. Tanya Zuraimie dengan penuh hormat.
“Khabar baik , kau sihat nak?”. Tanya mak Mah.
“Alhamdulillah , sihat mak. Err ... Diah  mana mak?”. Zuraimie tidak sabar-sabar mahu menatap wajah kesayangannya itu.
“Hmm ... kamu ni. Diah ada di dalam biliknya tu , berehat. Kandungannya tu dah sarat , tak larat nak banyak bergerak, Duduklah dulu , nanti mak panggilkan dia”. Kata Mak Mah sambil berlalu ke dapur.
            Tidak lama kemudian , Diah keluar menyertai Zuraimie yang sedang leka menikmati lepat pisang berinti kelapa parut yang dihidang mak Mah.
“Hai sleeping beauty , sihat?”. Tanya Zuraimie sebaik sahaja terlihatkan Diah.
“Alhamdulillah. Tengoklah badan sudah semakin membulat. Mana taknya mak asyik suruh makan je”. Jawab Diah , selamba memperagakan badannya dihadapan Zuraimie.
“Dah namanya mengandung , biasalah tu. Nanti bila dah selamat bersalin , kuruslah balik”. Balas Zuraimie sambil tersenyum bahagia memandang Diah.
“Kak Som kata , paling cepat lima minggu lagi awak akan bersalin”. Zuraimie mengulangi kata-kata kak Som. Diah mengangguk.
“Jadi saya rasa , eloklah kita mula fikirkan pasal rancangan selepas awak bersalin nanti”. Kata Zuraimie. Diah memandang Zuraimie dengan dahi yang sengaja dikerutkan , “Rancangan?”. Pura-pura tidak faham.
“Ya , rancangan kita. Kita akan segera bernikah sebaik sahaja awak selamat melahirkan bayi ini. Takkanlah awak lupa”. Kata Zuraimie , sedikit tersinggung mendengar pertanyaan Diah itu.
“Hmm ... maksudnya selepas habis pantang. Bagilah saya betul-betul sihat sebelum bernikah dengan awak”. Pinta Diah.
“Ya , memang itulah maksud saya. Sebaik sahaja awak habis berpantang. Diah , ingatlah bahawa saya mencintai awak setulus hati ini. Tak kiralah apapun yang berlaku , awak mesti sentiasa ingat dan yakin bahawa cinta saya kepada awak tiada berbelah bagi. Selagi nyawa dikandung badan , awak adalah segalanya dalam hidup ini”. Kata Zuraimie penuh makna , serius sambil merenung wajah Diah yang sudah mulai sembab.
“Mie , kenapa berkata begitu?”. Diah pelik mendengar kata-kata Zuraimie. Bagaikan sesuatu akan terjadi ... “Selagi nyawa dikandung badan ... bagai pernah ku dengar kata-kata ini diucapkan kepadaku dulu. Tapi siapa?” , kata Diah di dalam hatinya.
“Awak , ingat ya . Saya ikhlas mahu memperisterikan awak. Saya mahu kita hidup bahagia bersama anak kita nanti”. Ulang Zuraimie.
“Hmm ...” Diah hanya tersenyum mendengar kata-kata itu ... dalam hatinya berkata , “Ajal maut ditangan tuhan , manusia merancang tapi tuhan juga yang menentukan”.

Dalam kepasrahan ini
Aku meniti  kehidupan
Perit jerih datang silih berganti
Apakan upaya  hanya menadah tangan
Memohon rahmat dariMu Ilahi

Tuhan
Masihkah ada bahagia menanti
Buatku yang tersesat jalan
Buta dan tertipu dek permainan hati
Mungkin juga emosi  diluar kawalan
Tika takdir  masih tercari
Sedang ilusi teguh  menggenggam jawapan
                                                                                   
                                                                           Pasrah

No comments:

Post a Comment