Popular Posts

Thursday, 27 February 2014

"Keranamu DIAH" Bab 11


BAB   11 :        RANCANGAN MENJERAT DIRI
            Dua minggu telah berlalu sejak Hidayah datang melawat Zuraimie dan Diah di hospital. Sejak hari itu tiada apa-apa yang berlaku melainkan Puan Sarah yang tidak henti-henti menghantar pesanan ‘sms’ kepada anak lelaki tunggalnya itu agar balik berbincang di rumah. Setiap kali pesanan dihantar setiap kali itu jugalah Zuraimie membalas dengan jawapan yang sama .
‘Baik mak  , nanti bila ada masa Mie balik’.  Tidak puas hati dengan respon anaknya itu Puan Sarah turut menyampaikan pesanan melalui anak perempuannya Dr Anisah.
“Ya lah kak , nanti lapang Mie baliklah”. Jawab Zuraimie seperti selalu.
“Kau jangan main-main Mie. Akak dah tak tahu nak bagitahu mak apa lagi setiap kali dia tanya pasal kau. Jangan sampai mak datang rumah akak cari kau sudahlah. Kalau sampai terjadi macam tu , akak terpaksa nyatakan yang benar”. Ugut Dr Anisah.
“Nyatakan yang benar?”. Tanya Zuraimie sambil mengerutkan dahinya.
“Ya. Yang benarnya kau menghabiskan hari-hari kau dan hidup kau selama ini mengadap perempuan yang sudah seperti mayat hidup ini”. Jawab Dr Anisah , kata-kata yang menyebabkan Zuraimie tersentak.
“Akak jangan menghina Diah sampai begitu sekali kak!”. Tengking Zuraimie.
“Hina apa bendanya?. Cuba kau buka mata kau luas-luas sikit , salahkah apa yang akak cakapkan ni. Mie , akak dah malas nak cakap dengan kau pasal  perkara ni. Perempuan ini tidak sesuai dengan kau. Tak berbaloi kau menghabiskan masa dan usia kau mengadapnya. Lagipun tiada siapa yang suruh kau bertanggung-jawab atas dirinya atau keterlanjurannya”. Pujuk Dr Anisah , berkata lembut sambil mengusap bahu adiknya itu.
Zuraimie diam , langsung tidak memberikan sebarang reaksi terhadap kata pujukan kakaknya itu. Wajah Diah yang sememangnya sudah seperti mayat itu ditatap sayu.
“Dik , bayangkanlah kalau mak dan ayah tahu apa yang terjadi ni ... akak tak boleh nak bayangkan  reaksi mereka nanti”. Dr Anisah cuba menjastifikasikan pendiriannya tentang Diah.
“Kak , tolong. Jangan sampai mereka tahu. Sekurang-kurangnya sehingga  Diah sedar semula”. Rayu dan pinta Zuraimie.
“Bila?. Bila dia nak sedar semula?. Akak yang dah jadi doktor ni pun tak boleh nak beri kata pasti. What if dia tak sedar-sedar langsung?”. Sanggah Dr Anisah.
“Akak jangan kata begitu!. Mie yakin, suatu hari nanti , Diah akan sedar juga”. Balas Zuraimie.
“Mie , akak nak ingatkan kau. Hal kau menangguhkan pengajian kau tu pun tak selesai lagi. Mak dan ayah asyik tanya akak sampai bila kau nak terus menangguhkan pengajian kau tu. Ni belum lagi masalah kau dan Dayah. Kalaulah mereka tahu hal kau dan Diah ni pula , mahu rasanya mak dan ayah mengamuk besar. Kalau perempuan ni masih suci satu hallah jugak . Ni tidak , kau mencintai gadis yang telah ternoda!”.
“Kak! Cukup. Mie tak mahu dengar lagi. Biarlah takdir yang menentukan segalanya”. Zuraimie mematikan perbualan dengan menyerahkan segalanya kepada takdir tanpa dia sedar bahawa usaha manusia itu sendirilah yang bakal menentukan hala tuju takdirnya ...
            Sebaik sahaja Dr Anisah melangkah keluar meninggalkan Zuraimie dengan perasaan yang sebal dan geram melihatkan sikap adiknya itu , telepon bimbit Zuraimie berbunyi menandakan ada pesanan masuk. Lambat-lambat Zuraimie mengambilnya lalu membaca pesanan yang dihantar; ‘Abang , masalah besar. Jerat makan tuan!!’. Pesanan ringkas daripada Hidayah itu membeliakkan matanya.
“Allah , masalah apalah pula kali ini?”. Fikirnya cemas.
            Tiba-tiba tidak lama selepas itu , Dr Anisah datang semula , “Mie , mak dan abah nak datang rumah malam ni. Balik tau. Tolong singgah Bangi beli satay key... akak tak sempat nak masak. Kau keluar dulu , balik rumah , kemas apa yang patut”. Arah Dr Anisah sebelum menyerahkan duit seratus ringgit kepada adiknya itu. Zuraimie yang masih terpinga-pinga  hanya mengangguk mendengar arahan kakaknya itu.
“Sudah ... masak aku kali ni. Ni mesti ada kena mengena dengan pesanan Dayah tadi. Tapi apa ya?”. Fikirnya sambil menatap wajah Diah seketika  , “Abang pergi dulu sayang , nanti abang datang balik”. Katanya perlahan sebelum melangkah keluar.

Keputusan yang mengejutkan
            Malam itu seperti yang telah dijanjikan , Puan Sarah dan Tuan Razman tiba ke rumah sewa anaknya di seksyen 4 Tambahan , Bandar Baru Bangi. Loceng rumah teres dua tingkat itu ditekan berkali-kali sebelum Zuraimie sendiri keluar membuka pintu pagar buat kedua orang tuanya itu.
“Apa khabar mak , ayah?”. Tanya Zuraimie sambil menghulurkan tangan.
“Khabar baik”. Jawab Tuan Razman dan Puan Sarah serentak sambil bergilir-gilir menyambut tangan anak lelaki mereka itu.
“Mengejut saja datang , ada apa ya mak , ayah?”. Tanya Zuraimie dengan dada yang berdebar. ‘Instinct’nya kuat menyatakan ianya ada kaitan dengan pesanan ringkas Hidayah.
“Hish kamu ni Mie , tak nak ajak mak dan ayah masuk ke dalam dulu ke?”. Tanya Tuan Razman.
“Hmm ... dah tak sabar-sabar , petanda baik tu bang”. Sampuk Puan Sarah sambil terus melangkah masuk ke dalam rumah.
“Kakak kamu mana?. Belum balik lagi?”. Tanya Puan Sarah setelah tidak melihat bayang anak daranya di dalam rumah itu.
“Hee ... ada mak. Kakak baru saja balik tak sampai sepuluh minit lepas. Dia ada kat atas tu , tengah mandi agaknya. Err ... marilah mak dan ayah , kita makan – makan dulu sambil tunggu kakak. Ni , Mie dah belikan satay Samuri kegemaran mak. Siap minta kuah kacang lebih. Nanti bolehlah mak bawa balik sikit , makan dengan nasi impit”. Jawab Zuraimie. Dia memang telah faham benar dengan tabiat dan kesukaan ibunya itu. Setiap kali beli satay mesti kuah kacang diminta lebih , buat dimakan dengan nasi impit sebagai menu sarapan pagi keesokan harinya.,
“Hai kamu ni Mie , macam memerli mak je!”. Puan Sarah berkata sambil menjeling ke arah anaknya. Berderai ketawa Tuan Razman dan Zuraimie mendengarnya.
“Wah! Seronoknya . Ada apa-apa yang Anis tertinggal ke?”. Tanya Dr Anisah sebaik saja turun menyertai keluarganya itu.
“Hmm ... tak ada apa-apalah Nis , dorang dua beranak ni seronok mengenakan mak. Sudahlah tu , marilah duduk di sini. Ada perkara penting yang kami nak bincangkan dengan kamu berdua”. Jawab Puan Sarah sambil menunjukkan jari ke arah sebuah kerusi kosong di sebelahnya.
            Dr Anisah akur , maka bermulalah sebuah perbincangan yang menggelapkan mata Zuraimie seketika. “Ya Allah , helah apa lagi yang harusku beri. Dayah apalah bodoh sangat kau ni?. Memang ‘jerat dah makan tuan’!”. Kata hati Zuraimie sambil  menggaru-geru kepalanya yang tidak gatal.
“Ni perkara serius ni Mie. Mak Su dan Pak Su minta sangat kita hantar rombongan meminang tu dalam minggu ni juga. Katanya dah ada orang lain yang mula merisik-risik Dayah. Mak Su kau dah tolak awal-awal dengan alasan yang Dayah tu sudah nak bertunang. Jadi kita kenalah cepat , tak naklah nanti orang kata yang mak Su kau tu pembohong”. Terang Puan Sarah lagi.
“Tapi mak , macam tergesa-gesa sangat saja. Sempat ke nak buat persiapan?”. Tanya Dr Anisah sambil menyenggol lengan Zuraimie , dia kasihankan adiknya itu. Dia faham konflik dan gejolak yang berlaku dalam jiwa adiknya sekarang.
“Ya mak . Tergesa-gesa sangatlah. Mie tak bersedia lagi”. Sampuk Zuraimie menyokong kata-kata kakaknya itu.
“Tergesa-gesa apa pulaknya. Kan korang dah tahu perkara ni lebih dua minggu lepas. Lagipun bukan ada persediaan apa yang kau nak kena buat. Semuanya mak dan ayah dah sediakan. Cincin merisik dan cincin tunang pun dah mak belikan. Kau tinggal bawa badan saja”. Balas Puan Sarah. Zuraimie hilang akal mendengar penjelasan ibunya itu. Memang sejak dari kecil lagi dia tidak pandai membantah segala kata Puan Sarah. Dia memang berpegang teguh pada pepatah ‘syurga di bawah telapak kaki ibu’. Lagi pula mana ada ibu yang mahu anaknya sengsara , segala yang dilakukan oleh seorang ibu adalah demi kebaikan anaknya juga. Namun kini dia berhadapan dengan konflik yang besar. Soal hidup dan mati. Zuraimie tersepit antara mahu membantah rancangan dan persiapan yang telah diatur ibunya atau berterus-terang mempertahankan cintanya.
“Err ... emak , ayah , boleh tak kita tangguhkan dahulu soal pertunangan ni. Mie rasa tak selesalah ianya dibuat tergesa-gesa begini. Kalau boleh bagilah masa Mie berbincang dengan Dayah sendiri. Lagipun hari tu Dayah sendiri tidak bersetuju untuk dijodohkan dengan Mie. Dia dah anggap Mie ni macam abang kandungnya sendiri. Sebenarnya Mie juga dah anggap Dayah tu macam adik kandung Mie sendiri. Kami tak mungkin boleh bersama sebagai suami isteri”. Zuraimie berhati-hati dalam berkata-kata demi menjaga perasaan orang tuanya.
“Mie , soal itu janganlah kau risau. Mak dan ayah yakin , sebaik sahaja kau melafazkan akad nikah mengambil Dayah sebagai isteri , perasaan kau orang akan berubah. Akad nikah itu besar maknanya dan amat barokah. Ia adalah janji yang dibuat oleh seorang lelaki dengan penciptanya bahawa dia akan mengambil seorang perempuan menjadi isteri dan bakal dipertanggung-jawabkan ke atas bahunya segala-gala yang berhubungkait dengan soal hidup perempuan itu di dunia ini membawa ke akhirat. Kerana keberkatan akad nikah itu , akan disuburkan rasa kasih dan sayang dalam jiwa pasangan suami dan isteri itu. Yakinlah nak , kami hanya mahukan yang terbaik untuk kau Mie”. Jawab Tuan Razman dengan panjang lebar. Bahu anak lelakinya itu ditepuk perlahan. Zuraimie terkedu mendengar kata-kata ayahnya.
Dr Anisah juga tidak tahu mahu berkata apa lagi. Dia sedar adiknya itu sudah tiada pilihan melainkan menurut sahaja rancangan kedua orang tuanya. Dia juga sedar , sekali emak dan ayahnya membuat keputusan maka ianya tidak akan boleh disanggah. Dia masih ingat bagaimana tegarnya emak dan ayahnya itu memutuskan hubungan cintanya dengan Tariq Chong. Tariq Chong bin Abdullah , lelaki mualaf yang berjaya memetik cintanya ditolak mentah-mentah oleh kedua orang tuanya semata-mata kerana dia berketurunan China.
“Kita memilih pasangan hidup biar yang sekufu’ dan beragama. Ini jika baru nak mengenal agama , bagaimana kau nak harapkan dia menjadi suami dan ayah yang baik nanti?. Ramai lagi lelaki Melayu yang baik akhlaknya , agamanya malah kalau kau mahu mak dan ayah boleh saja kenalkan dan aturkan jodoh kau”. Kata putus Puan Sarah meremukkan harapan yang terbina untuk melayari bahtera bahagia bersama lelaki yang dicintainya. Sampai ke sudah , hubungan mereka tidak pernah direstui hingga akhirnya Dr Anisah mengalah dan melepaskan cintanya pergi begitu sahaja. Kini setelah mencecah umur 33 tahun , Dr Anisah masih sendiri ... mengabdikan hidup pada  kerjaya dan kedua orang tuanya sahaja.
“Kasihan kau dik tapi mungkin ini juga adalah yang terbaik buat kau dik”. Katanya di dalam hati , sambil memandang wajah adiknya yang sugul.
“Diah ...”. Keluh Zuraimie perlahan ...

Hidayah tertekan
            Semetara itu , jauh di Alor Star Kedah seorang gadis sedang menangis teresak-esak di dalam kamar tidurnya.  Sekeping gambar dipegang kemas ditatap tanpa jemu. Sudah berkali-kali dia berguling dan menukar cara baringnya yang resah di atas tilam empuk bersaiz ‘queen’ itu.
“Saiful , apa sudahnya hubungan kita ini?. Ini semua salah aku , beria-ia memaksa kau terlibat dalam rancangan bodoh yang akhirnya memakan diri kita sendiri”. Ratapnya hiba. Hidayah teringatkan bagaimana dia memujuk kekasih hatinya , Saiful untuk setuju dengan rancangan gilanya.
“Ah! Tak mahulah. Daripada mengaku sesuatu yang tidak kita buat baiklah kita ditangkap basah sahaja. ‘Confirm’ boleh kahwin percuma lepas tu!”. Saiful menentang rancangan ‘gila’ Hidayah. Hidayah memaksanya berjumpa dengan kedua orang tuanya dan mengaku bahawa mereka telah terlanjur. Sebagai lelaki budiman , Saiful mahu bertanggung-jawab mengambil Hidayah sebagai isteri sebelum kandungan Hidayah semakin membesar.
“Habis tu. You tak kesahlah I dijodohkan dengan orang lain?. Atau sebenarnya you memang tak sayangkan I?. You berpura-pura sahaja selama ini?”. Tanya Hidayah bertubi-tubi , marah sungguh dia apabila Saiful membantah rancangannya.
“Bukan begitu sayang. Pada I kita tak harus membina kehidupan dengan satu pembohongan. Itu ibu dan ayah you sendiri dan bakal menjadi mertua I juga. I tak mahu ada tanggapan buruk mereka terhadap I dan dalam hubungan kita ini. Sayang , apa kata  kita berterus terang sahaja dengan mereka?. I yakin mereka pasti akan faham dan lebih menghargai kita”. Sanggah Saiful , budak UUM yang berada di tahun akhir itu cuba memujuk kekasih hatinya yang juga merupakan juniornya.
“Sayang , you tak kenal mak dan ayah I. Mereka takkan dengar kata kita. Walaupun kita sekarang ni hidup di zaman moden tetapi mereka tetap macam orang tua dulu-dulu juga. Hitam kata mereka maka hitamlah jadinya , putih kata mereka maka putihlah jadinya”. Hidayah menerangkan rasionalnya rancangannya itu.
Saiful terdiam seketika mendengar kata-kata Hidayah sebelum akhirnya bersuara , “Siapa lelaki yang menjadi calon mak dan ayah you tu?. Macam mana pula boleh tiba-tiba sahaja timbul kisah dia nak dijodohkan dengan you ni?”. Tanya Saiful , cuba menganalisa keadaan.
“Hmm ... dia adalah abang sepupu I sendiri. Kami memang rapat sejak kecil. Dah rasa macam adik beradik pun. Mak dan ayah memang menggalakkan kami rapat. Sedari kecil , selalu saja masa cuti sekolah dia akan datang bercuti di rumah kami atau  kalau dia tak boleh maka I yang akan dihantar ke rumahnya. Rupa-rupanya tanpa ketahuan kami , mereka telah mengikat janji untuk berbesan sebaik sahaja I dilahirkan. Patutlah mereka beria-ia merapatkan kami. Huh! Terukkan kisah I ni , macam kisah orang zaman dulu-dulu saja”. Jawab Hidayah dengan panjang lebar.
“Dia macam mana?”. Tanya Saiful lagi , serius.
“Dia?”. Hidayah ‘blurr’.
“Abang sepupu you tulah”.Sambung Saiful tidak sabar.
“Oh dia!. Dia pun sama macam I. Malah dia juga sudah ada kekasih hati”. Jawab Hidayah.
“Hmm ... kalau begitu , tidaklah rumit mana masalah ini. I cadangkan kau orang buat ‘gathering’ , lepas tu berterus terang. Beritahu orang tua masing-masing yang korang dah ada pilihan sendiri. Kalau you nak , I pun sanggup ‘joint’ sekali’. Lagi bagus kalau abang sepupu you tu boleh bawa sekali kekasih dia”. Saiful masih percaya bahawa ‘berterus-terang’ dan berbincang adalah cara yang terbaik untuk menyelesaikan masalah mereka ini.
“Tapi yang ... mak dan ayah I takkan pernah setuju. You tak kenal mereka!”. Hidayah tetap dengan pendiriannya.
“Kita boleh cuba dulukan?”. Balas Saiful.
“Lagi pula kekasih abang sepupu I tu sedang koma di hospital!”. Kata Hidayah , geram.
“Laa?”. Saiful tidak terkata dan bingung dengan maklumat yang didengarnya itu.
“Tak apalah , kalau you tidak beminat nak menjayakan rancangan I , I rasa setakat ini sahajalah hubungan kita. Bukan I tak sayangkan you tapi I tahu kalau ikutkan rancangan you tu memang sampai matipun kita tak akan dapat bersama!”. Hidayah berlari meninggalkan Saiful terpinga-pinga.
“Hidayah! Tunggu!!” ... Saiful mengejarnya. Maka mahu tidak mahu dia terpaksa akur dengan rancangan ‘gila’ Hidayah!

Peristiwa perangkap makan tuan
            Seperti yang dijangka oleh Saiful , ibu dan ayah Hidayah menghina dan menghalau Saiful bagai menghalau kucing kurap yang minta simpati. Tanpa belas ikhsan maruah Saiful dipersenda ... “Apa?. Setelah kau rosakkan anak aku , kau masih berani datang ke sini dan minta izin dari kami mahu menikahinya?. Sudah enak bersedap-sedapan baru teringat akan tanggung-jawab?. Dasar lelaki tak guna , hidup bertuhankan nafsu. Apa kau kira kami begitu ‘gila’ dan bodoh mahu melepaskan anak dara kami kepada lelaki rendah akhlak seperti kamu?. Jangan kamu mimpi akan menjejakkan kaki ke rumah ini lagi. Berambus kau! Berambus kau dari sini. Kalau aku nampak muka kau lagi di sini , aku tidak akan teragak-agak untuk membunuh kau. Senapang patah aku tupun dah lama tak mendapat mangsa. Aku tembak kau kalau kau berani menunjukkan muka!”. Bersama kata-kata nista itu Saiful lari lintang pukang apabila Pak Su Zaman mengacukan senapang patahnya kepada Saiful.
            Maka punahlah harapan Hidayah dan Saiful untuk mendapat restu dan keizinan daripada MakSu Sofea dan PakSu Zaman malah mahligai yang mereka impikan turut runtuh ranap ditimpa malapetaka kata nista dan ugutan dari kedua orang tua Hidayah.
“Saiful , maafkanlah I. I tak sangka yang mak dan ayah akan bertindak sampai begitu sekali”. Kata Hidayah dalam esak tangis semasa berhubung dengan Saiful melalui telepon bimbitnya.
“Entahlah Dayah. I pun tak tahu nak kata apa lagi. You minta I ikut rancangan you , I ikut. Walaupun hati I ni tak rela tapi demi sayang dan cinta I pada you , I ikutkan juga. Tapi tengoklah apa yang I dapat. Maki hamun dan kata nista. I rasa terhina sangat. Tak pernah seumur   hidup  I dihina sebegitu rupa. I benar-benar malu diperlakukan begitu , dihalau bagai anjing kurap dan terpaksa lari lintang pukang demi menyelamatkan diri dari ditembak. I malu Hidayah. I malu sangat. I tak tahu nak taruk mana muka I ni. I perlukan masa bersendirian , tolong jangan hubungi I lagi. Mungkin nanti bila I dah okey , I akan hubungi you”. Itulah kata-kata terakhir Saiful sebelum memutuskan talian. Sebaik sahaja talian diputuskan , Hidayah meraung sekuat-kuat hatinya. Dia yakin Saiful mungkin tidak akan pernah menghubunginya lagi ... ternyata pepatah , ‘Lautan api sanggup aku renangi’ itu hanyalah pemanis mulut bagi pasangan yang sedang bercinta.

Zuraimie kebingungan
            Lantaran kegagalan rancangan Hidayah dan Saiful , maka bermulalah tragedi sedih dalam hidup mereka. Masing-masing membawa haluan sendiri. Bukan mereka sahaja malah kegagalan ramncangan itu turut menyeret Zuraimie dalam kancah kesedihan yang berlarutan ...
Zuraimie termenung di sisi katil Diah. Wajah cengkung pucat Diah ditatap penuh sayang , dalam keadaan begini hanya Diah sahaja yang dapat menenangkan hatinya yang sedang gelisah.
“Diah , apa yang harus aku buat sekarang?. Esok , mak dan ayah akan menghantar rombongan meminang Hidayah , gadis yang pernah ke mari tempohari. Kau kenalkan dia?. Kami dipaksa berkahwin Diah. Sepatutnya aku gembira sebab Hidayah itu baik orangnya. Aku sangat kenal dia. Adik sepupuku yang cantik dan baik tingkah lakunya. Anehkan, Hidayah yang memang menjadi rebutan ramai lelaki itu tidak mampu membuatkan aku gembira dan bahagia sebaliknya , aku amat sedih  dengan pertunangan ini. Hatiku menderita. Hatiku memberontak sebab aku langsung tidak mencintai dia. Cintaku hanya untukmu. Tak kiralah walau seribu tahun sekalipun aku harus menunggu , aku tetap memilihmu ,  mencintaimu. Hanya kamu Diah , hanya kamu ...”. Keluh Zuraimie , tangan Diah dielus perlahan.
“Diah , apa yang harus aku buat?”. Tanyanya lagi.

Rombongan meminang
            Pagi-pagi lagi , Puan Sarah sudah bangun bersiap dan menyiapkan apa yang patut untuk rombongan peminangan itu nanti. Tujuh dulang hantaran telah disediakan , sireh junjung , tepak sirih beserta cincin merisik dan cincin tunang diisikan dalam satu dulang , sepasang telekung dan sejadah , sedulang pelbagai jenis coklat , kek pertunangan, ‘cookies’ dan sehelai selendang sutera digubah menjadi tiga kuntum bunga ros  dihias indah di atas dulang hantaran.
“Biah , tolong masukkan semua hantaran ini dalam kereta. Susun baik-baik sebab jauh perjalanan ini. Sirih junjung , tepak sireh dan kek itu jangan diangkat lagi. Tiga gubahan itu akan dipegang dengan tangan. Sireh junjung itu nanti kau yang pegang , kek itu biar angah pegang. Nanti tepak sireh itu biar aku sendiri yang pegang”. Arah Puan Sarah. Mak Biah , pembantu rumah yang juga merupakan pengasuh Zuraimie sedari kecil  itu diajak sama. Mak ngah dan suaminya pula diajak untuk meramaikan majlis. Lagi pula selain mak Su Sofea , angah adalah satu-satunya adik beradik Puan Sarah yang tinggal berdekatan di sekitar KL ini.
“Baik puan , sekarang juga saya masukkan semua hantaran yang lain ke dalam kereta”. Jawab Biah , akur dengan arahan majikannya.
            Sedang seisi rumah yang lain mulai melangkah keluar , Zuraimie masih lagi di dalam biliknya. Malam tadi dia terpaksa balik tidur di rumah ibubapanya atas arahan Puan Sarah. Berat sungguh hatinya mahu meninggal Diah tidur sendirian di hospital semalaman. Pagi ini hatinya masih lagi berat dan resah mengenangkan Diah yang ditinggal sendiri ,
“Bagaimana jika tiba-tiba Diah tersedar dari komanya dan tiada siapa di sisi?. Tentunya Diah akan sedih , tentu Diah akan rasa tiada siapa yang sayang dan ambil berat akan dirinya lagi?”. Berbagai persoalan bermain dibenak Zuraimie ketika ini.
“Mie!. Zuraimie!. Apa yang dibuat dalam bilik tu lama-lama?. Kita dah hendak bertolak ni. Jauh perjalanan tu. Kang lewat pulak sampainya. Janji lepas asar nanti jadi lepas maghrib pula. Dahlah bersiap tu , jom ...”. Belumpun sempat Puan Sarah meneruskan bebelannya , Zuraimie sudah terjongok di atas tangga.
“Laa ... kenapa tak siap lagi?. Takkanlah nak ke sana pakai kain pelekat pula?”. Terjegil mata Puan Sarah melihatkan penampilan anak bujangnya itu , masih memakai pakaian tidur! “Mak , Mie tak nak pergi. Mie dah buat keputusan untuk tidak meneruskan majlis pertunangan ini!”. Tegas Zuraimie bersuara , memandang tepat ke dalam mata Puan Sarah.
“Apa?. Apa kau cakap?. Cuba kau ulang sekali lagi!”. Jerit Puan Sarah , terkejut benar dia dengan apa yang didengarnya itu. Mana tidaknya , selama ini anaknya itu tidak pernah menyanggah apa lagi membantah kata-katanya.
“Ya mak , Mie tidak mahu meneruskan majlis pertunangan ini. Mie tidak mahu bertunang dan seterusnya Mie tidak mahu berkahwin dengan Hidayah. Kami sama-sama tidak menyintai satu sama lain. Pertunangan ini hanya akan menyeksa kami. Kasihanilah kami mak. Tolonglah fahami kami!”. Jawab Zuraimie , merayu  sambil terus menatap wajah ibunya tanpa mengelipkan mata.
“Mie?. Apa semua ini?. Kenapa tiba-tiba sahaja kau berkata begitu?. Kenapa tiba-tiba saja kau tidak mahu bertunang dengan Hidayah?”. Sampuk Tuan Razman yang sudah menyertai isterinya berdiri di bawah tangga. Hajatnya mahu melihat Mak Biah menyusun hantaran di dalam kereta terbantut apabila telinganya terlebih dahulu telah menangkap perbualan isteri dan anak bujangnya itu.
“Perkara seperti ini jangan dibuat main Mie. Kita dah berjanji dengan keluarga makSu kau yang kita akan sampai petang ini untuk meminang anak gadisnya. Jangan kau main-main Zuraimie. Ini melibatkan maruah orang”. Tuan Razman meneruskan kata-katanya , matanya buntang memandang wajah Zuraimie.
“Maafkan Mie ayah , Mie tak main-main. Mie dah buat keputusan untuk tidak meneruskan upacara peminangan ini”. Jawab Zuraimie , kali ini wajahnya ditundukkan sedikit. Bergetar hatinya mahu terus menatap wajah ayahnya yang sudah mulai membengis.
“Tapi kenapa?!!”. Jerit Tuan Razman , marah dengan perangai dan keputusan Zuraimie.
“Kenapa kau menukar keputusan sesuka hati?!”. Tengkingnya pula.
“Sebab dia dah ada pilihan sendiri ayah , mak. Bukan saja Zuraimie malah Hidayah juga sudah ada pilihan sendiri. Mak ayah , bagilah peluang ...”
“Diam!. Aku tanya dia bukan kau!!”. Herdikan Tuan Razman itu menghentikan kata-kata Dr Anisah.
“Ya ayah ,  Mie dah ada pilihan sendiri. Hidayah juga sudah ada pilihan sendiri. Maafkan kami kerana tidak berterus terang dari awal”. Kata Zuraimie , memandang Tuan Razman dan Puan Sarah bergilir-gilir.
“Ya Allah , bala apalah yang datang menimpa ni?”. Keluh puan Sarah , terduduk dia jadinya.   
Suasana hening seketika. Masing-masing diam seribu bahasa. Dr Anisah memandang adiknya penuh belas namun terbit rasa kagum di hatinya kerana adiknya itu sanggup mempertahankan keinginannya , cintanya utuh . Tidak seperti dirinya yang kecundang dalam bercinta , sanggup menggadaikan cinta demi menjaga hati kedua orang tuanya.
“Habis , betul kau tak mahu bertunang dengan Hidayah?”. Tanya Tuan Razman setelah lama diam. Dia cuba menenangkan hatinya , nada suaranya cuba dikawal sebaik mungkin.
‘Orang yang kuat adalah orang yang boleh menahan marahnya’ , mujur pesanan arwah ibunya bermain-main  di fikiran.
“Betul ayah”. Jawab Zuraimie ringkas.
“Baiklah. Jika itu keputusannya , sekarang juga kita pergi meminang kekasih hati kau itu. Alang-alang persiapan sudah dibuat , aku mahu majlis pertunangan diadakan hari ini juga. Dengan siapapun aku tak mahu tahu tapi majlis pertunangan mesti dijalankan hari ini juga!”. Kata Tuan Razman , tegas. Geram dan marah dengan kerenah anak lelakinya itu.
“Abang!. Abang dah gila ke?. Apa kita nak kata pada Sofea dan Zaman nanti?”. Tanya Puan Sarah , memandang suaminya dengan rasa tidak setuju.
“Katakan saja yang benar. Beritahu mereka yang anak-anak kita ini masing-masing sudah ada pilihan sendiri. Masing-masing dah tak mahu mendengar kata ibubapa. Masing-masing sudah besar kepala mahu membuat keputusan sendiri tanpa berbincang dengan ibubapa mereka lagi!”. Jawab Tuan Razman sambil memandang Zuraimie dengan geram.
“Tapi bang ...”
“Sudah!. Tiada tapi-tapi lagi. Biah , angkat semua hantaran masukkan dalam kereta sekarang. Zuraimie , ayah bagi kau lima minit untuk bersiap. Kita pinang kekasih kau tu sekarang juga!”. Arah Tuan Razman.
Mak Biah hanya mengangguk manakala Puan Sarah terus-terusan menggelengkan kepala , Dr Anisah dan Zuraimie terlopong memandang satu sama lain ...

Terbongkarlah rahsia
            Rentetan keputusan yang dibuat oleh Tuan Razman itu , maka terbongkarlah rahasia yang selama ini cuba ditutup oleh Zuraimie , “Belum masanya mereka tahu tentang Diah”. Itulah jawapannya setiap kali kakaknya , Dr Anisah mendesaknya agar menceritakan tentang kewujudan dan keadaan Diah kepada ibubapanya.      Sekonyong-konyong itu juga rombongan meminang yang sepatutnya menuju ke Kedah kini sudah berada di hospital , berdiri mengelilingi seorang gadis yang masih hidup dalam lena yang panjang.
“Siapa dia ini?”. Tanya Tuan Razman.
“Ayah , mak , inilah Mardhiah Bt Karim. Kekasih Mie”. Zuraimie memperkenalkan Diah kepada kedua ibubapanya. Puan Sarah hanya memandang sambil mencebikkan bibirnya. Buruk benar Diah itu pada pandangan matanya.
“Apa yang dah berlaku padanya?”. Tanya Tuan Razman lagi.
“Beberapa bulan lepas dia terlibat dalam kemalangan jalan raya. Sampai sekarang dia masih koma”. Jawab Zuraimie , suaranya perlahan. Harapannya kedua orang tuanya akan memahami bebanan perasaan yang ditanggungnya selama ini apabila orang yang dikasihi koma sekian lama.
“Kak , aku lihat perutnya macam berisi”. Suara mak ngah memecah keheningan. Sejurus itu juga Puan Sarah memerhatikan perut Diah yang semakin membuncit. Bagai disentap jantung Zuraimie dan Dr Anisah mendengar kata-kata mak ngah itu.
“Yalah , kenapa perut  dia buncit begitu sekali?. Badan kurus kering tapi perut buncit?”. Puan Sarah bertanya sambil berpaling mencari riaksi di wajah Dr Anisah.
“Err ... errr ...” Dr Anisah teragak-agak mahu menjawab soalan itu.
“Mak , ayah ... maafkan kami. Sebelum kemalangan itu berlaku kami telah terlanjur. Sungguhpun kami cuba merahsiakannya namun Allah itu maha besar. Bayi kami masih selamat walaupun ibunya terlibat dengan kemalangan dan masih koma sehingga ke hari ini.”. Jawab Zuraimie , terketar-ketar kerana khuatir dengan reaksi yang bakal ditunjukkan oleh emak dan ayahnya.
“Apa , anak bangsat. Kau sememangnya tak pernah layak untuk Hidayah. Tidak cukupkah ajaran agama yang aku berikan kepada kau selama ini?. Mana perginya iman kau  sehingga kau sanggup melakukan perbuatan terkutuk itu. Kini benih kau hidup dalam rahim perempuan ini.  Anak haram tu namanya?!”. Tuan Razman naik berang mendengar kata-kata Zuraimie lalu bersama herdikan itu satu tamparan kuat hinggap di pipi kanan Zuraimie. Tidak cukup dengan itu disusuli pula dengan tamparan di sebelah pipi kiri. Terhuyung hayang Zuraimie jadinya. Mujur Dr Anisah dengan beraninya mencelah , berdiri  antara Zuraimie dan Tuan Razman.
“Sudahlah ayah , nasi sudah menjadi bubur. Janganlah berbuat kecoh di hospital ini. Malu kita didengar oleh orang lain”. Rayunya.
“Sudah kata kau?. Kau pun sama , sudah kau tahu adik kau menconteng arang di muka aku , mengapa tidak sedari awal kau katakan perkara yang sebenarnya?. Kau pun bersengkokol dengan dia?!”. Tuan Razman beralih kepada Dr Anisah.
“Ayah , sabarlah. Anis sendiri tidak tahu hendak berbuat apa”. Kata Dr Anisah , kesal kerana telah mengecewakan ayahnya.
“Abang , sudahlah. Bukan Anis yang bersalah tapi tu , anak lelaki kita dan tentunya perempuan yang tidak tahu malu ini. Semudahnya menyerahkan diri kepada lelaki yang belum menjadi suami. Lagi pula , perkara sudah berlaku , tak usahlah kita membuat kecoh di sini. Baik orang tak tahu habis semuanya terbongkar nanti. Bertambah malu kita jadinya ”. Puan Sarah memujuk suaminya.  Jari telunjuknya bergilir-gilir menuding ke arah Zuraimie dan Diah.
“Benar kata kau Sarah. Jomlah kita balik , buang sajalah ke dalam tong sampah semua hantaran yang telah kita sediakan. Aku tak mahu terus memandang muka-muka orang yang hidup bertuhankan nafsu. Sia-sia saja didikan yang kita berikan selama ini. Sia-sia saja aku bekerja siang malam buat menyenangkan anak bini. Jalan yang salah itu juga yang dipilihnya”. Tuan Razman benar-benar kesal dengan perlakuan anaknya lantas segera menarik tangan isterinya , bersama melangkah keluar meninggalkan hospital itu dengan hati yang luruh. Zuraimie hanya membatu melihat kedua orang tuanya berlalu pergi.
“Mak ngah kesal dengan tindakan kau Mie”. Kata mak Ngah pula sebelum dia dan suaminya menuruti langkah Puan Sofea dan Tuan Razman.
“Mie , mak Biah tak tahu nak kata apa”. Kata mak Biah , perempuan yang telah mengasuh Zuraimie sedari kecil itu hanya mampu mengesat air matanya yang mengalir. Dia juga kesal dengan keterlanjuran anak asuhannya itu. Namun bahu Zuraimie ditepuk  juga  sebelum dia sendiri turut meninggalkan anak asuhannya itu berdiri kebingungan menghadapi segalanya.
            Dr Anisah yang berdiri di sebelah Zuraimie turut merasai kesedihan dan kesengsaraan adiknya itu. Dia amat memahami kebingungan yang dihadapi adiknya kini. Namun , dia tidak sekali-kali menyalahkan tindakan kedua ibubapanya yang tanpa usul periksa terus meletakkan kesalahan seratus peratus di atas bahu adiknya itu.
“Sabarlah Mie , mereka berhak marah dan kesal dengan apa yang terjadi”. Katanya memujuk , bahu adiknya diusap lembut.
“Mereka tidak tahu perkara yang sebenar. Biarlah mereka pergi untuk menenangkan hati. Buat sementara ini kau janganlah mengungkit atau bercerita soal kau dan gadis ini”. Nasihat Dr Anisah. Zuraimie hanya diam mendengar kata-kata kakaknya itu.
“Akak pergi dulu. Rasanya waktu ini akak harus bersama mereka”. Kata Dr Anisah sebelum meninggalkan adiknya sendirian. Zuraimie terus diam , wajah Diah dipandangnya dengan hati yang sendu sambil hatinya tertanya-tanya , “Berbaloikah aku menjatuhkan maruahku serendah ini?”.


Maruah?

Maruah ku tercalar
Apa lagi yang bolehku kata
Rosak sudah ranap punah tercemar
Usai hancur sebuah nama seindah kota
Apa pentingnya digaduh siapa benar?
Hakikatnya sama , aku kini dipandang hina.

 



           





No comments:

Post a Comment