Popular Posts

Tuesday, 18 February 2014

"Keranamu DIAH": Bab 10

BAB  10   :       HIDUP HARUS DITERUSKAN

            Sudah tiga bulan berlalu , Diah masih tetap koma. Zuraimie yang menjaganya setiap hari tidak putus-putus berdoa. Berbagai cerita dan kisah suka dan gembira yang telah mereka lalui bersama diceritakan berulang-ulang kali. Harapannya agar cerita-cerita itu akan dapat membangkitkan semula semangat Diah untuk kembali bersatu dengan jasadnya yang sudah tidak ubah bagaikan ‘mayat hidup’ , kurus , pucat dan cengkung. Namun setiap kali habis bercerita pasti ada rasa sesal yang mencengkam jiwanya. Sesal kerana Diah tetap tidak memberikan sebarang  reaksi. Sesal juga kerana sememangnya tiada banyak 'kisah' yang telah mereka kongsi bersama.
“Diah , sampai bila kau mahu terus begini ... menyiksa dirimu dan diriku ini?”. Keluhnya sambil mengelus-ngelus tangan Diah. Sesekali perut Diah yang sedikit membuncit itu diperhatikannya.
“Hei orang di dalam , bertahan ya. Tolong pakcik gerakkan mamamu yang sedang lena ini”. Katanya separuh berbisik.
“Kalaulah kau tercipta dari benihku sendiri. Huh!! ... ya Allah! Ujian serupa apakah ini yang Kau berikan kepadaku. Ya Allah! Tabahkanlah aku. Masukkanlah aku dalam golongan hamba-hambamu yang redha dengan ketentuan yang telah Kau tetapkan buatku”. Zuraimie berdoa sambil meratapi dirinya sendiri.

“Huh! Orang lain yang makan nangka , kau pula yang terkena getahnya!”. 
Kata – kata kakaknya sering saja menggugat ketenteraman hati dan jiwanya lalu matanya dipejamkan , “Wahai diri tabahkanlah hatimu”. Katanya sendiri sebelum bangun meninggalkan Diah.

            Zuraimie berjalan perlahan menuju ke kafeteria hospital setelah perutnya  berkeroncong minta diisi. Sampai sahaja di kafeteria  , dia terus mengambil piring yang tersedia lalu membuka periuk kukusan. Dua biji pau ayam diletakkan di atas piring. Kemudian dia berjalan pula ke tempat deretan gelas lalu mengisinya dengan air cincau sebelum membayarnya di kaunter.
“Ini saja bang?. Hari-hari tengok abang mesti ambil pau ayam dengan air cincau. Tak nak cuba yang lain ke bang?”. Tanya adik ‘casher’ yang sudah cam akan Zuraimie. Sesekali kumisnya yang nipis itu diusap.
“Hmm ... abang memang suka pau ayam dan air cincau”. Jawab Zuraimie , ringkas dan padat.
“Betul tu bang , pau ayam kat sini memang yang terbaik. Sedap itu sudah pasti. Tapi bang , dalam hidup ni kita kenalah ada semangat mencuba perbagai perkara baru. Barulah hidup kita ni tak bosan. Err ... kalau boleh saya tanya , rasanya sudah lebih dua bulan abang menunggu di hospital ini.  Sebenarnya siapa yang sakit. Emak abang ke atau Isteri abang ?”. Tanya adik ‘casher’ itu pula.
Zuraimie mengerutkan dahinya mendengar pertanyaan itu. Wajah adik ‘casher’ yang terlebih ramah itu ditatapnya seketika ,  “Busy body betullah budak ni”. Katanya di dalam hati. Lantas duit empat ringgit dihulurkan sebelum terus berlalu meninggalkan adik ‘casher’ itu terpinga-pinga.
“Hish!. Tanyapun salah ke?. Hmm ... inilah susahnya kalau nak jadi masyarakat perihatin sangat!”. Kata adik ‘casher’ itu sendirian sambil menepuk dahinya.
            Sedang Zuraimie menikmati juadahnya , tiba-tiba bahunya disentuh dari belakang.
“Hai Mie , tengahari macam ni makan pau saja?”. Tanya Dr Anisah sambil mengambil tempat di hadapan adiknya itu.
“Mana nak sihat macam ni. Patutlah akak tengok Mie dah semakin kurus. Badan tu dah susut sangat. Ni ambilni , akak belanja”. Sambung Dr Anisah lagi sambil menghulurkan sepinggan nasi goreng kampung bersama seketul ayam goreng berempah kepada adiknya itu. Sepinggan lagi diletakkan dihadapannya sendiri.
“Takpalah kak. Saya tak lapar sangatpun. Lagipun tak ada selera nak makan nasi”. Jawab Zuraimie.
“Hah jangan nak mengada. Ni akak memang belikan khas untuk kau. Nasi goreng kampung kan memang makanan kegemaran kau. Takkan kau dah lupa kot?.  Lagipun kalau kau tak makan siapa pula yang nak habiskan kedua-dua pinggan nasi ni. Kalau akak yang makan , mahu gemuk akak jadinya. Nanti dah macam anak gajah pulak dibuatnya!”. Dr Anisah cuba berseloroh , cuba menceriakan suasana dan hidup adiknya yang suram. Zuraimie hanya tersenyum sedikit sebelum menyudu nasi goreng kampung ke mulutnya.
            Dr Anisah bangun  sebelum duduk semula bersama dua botol air kacang soya. “Nah!. Soya kaya dengan protein”. Katanya sambil tersenyum. Wajah adiknya ditatap penuh simpati. “Benarlah bahawa cinta itu buta”. Fikirnya.
Mereka akhirnya menghabiskan nasi goreng kampung itu tanpa sepatah kata. Masing-masing melayan perasaan sendiri sehinggalah ...
“Oh Ya Mie , akak menyampaikan pesan mak je ni. Mak suruh balik malam ni makan malam di rumah. Kebetulan keluarga mak Su datang berziarah. Jadi mak nak kita ada sama. Okey akak pergi dulu , dah habis masa rehat. Ingat , jangan lupa balik sebelum pukul lapan malam ni. Tidak nanti mak merajuk susah pulak jadinya. Kang jadi anak derhaka pulak kita ni. Ingat tau , balik sebelum pukul lapan!”. Beria-ia Dr Anisah mengingatkan adiknya itu. Zuraimie hanya mengangguk perlahan.
 “Keluarga mak Su?”. Zuraimie berfikir sambil berjalan kembali ke bilik wad tempat Ziah ditempatkan.  Terbayang di kepalanya wajah manja Hidayah , sepupunya yang sudah lama tidak ditemuinya. Hidayah yang suatu ketika dulu sangat rapat dengannya. Namun setelah Mak Su dan keluarganya berpindah ke Kedah kerana mengikut pak Su yang berpindah kerja  di  sana , hubungan mereka menjadi renggang. Jika berjumpapun hanyalah setahun sekali iaitu apabila tiba bulan Syawal. Jika bukan keluarga makSu yang datang berziarah , pasti mereka sekeluarga pula yang akan berjalan ke Kedah.
“ Jika tiada perkara yang penting , jarang – jarang sekali mereka turun ke KL. Apa agaknya mimpi mereka datang berziarah kali ini?”. Fikirnya.

            Petang itu , Zuraimie sampai lebih awal. Jam baru menunjukkan pukul enam petang. Ketika memberi salam dan menolak pintu banglo dua tingkat itu , perasaan bersalah tiba-tiba menyerang hatinya. Sudah lama benar dia tidak pulang berjumpa ibu dan ayahnya. Sejak Diah terlantar di hospital , dia terus melupakan tanggung-jawabnya sebagai anak terhadap ibu dan ayahnya yang selama ini menatangnya bagai minyak yang penuh. Langsung tidak pernah dia bertanya khabar apalagi mencium pipi ibu atau  tangan ayahnya. Dia betul-betul tenggelam dalam dunia  yang dibinanya bersama Diah. Dunia hospital dan dunia impiannya. “Siapa yang sebenarnya sedang sakit , aku ... atau Diah?”. Fikirnya sebelum melangkah masuk.
            “Waalaikummussalam ...”. Kata-kata Puan Sarah terhenti di situ setelah terpandangkan anak bongsu kesayangannya tercegat berdiri memandangnya dengan wajah kusut masai dan tidak terurus. Lantas Puan Sarah melangkah cepat mendapatkan anaknya itu lalu di dakap erat , “Hai rindunya mak pada kau Mie , kenapa sampai jadi begini. Kusut tidak terurus?”. Tanya Puan Sarah. Zuraimie diam tidak menjawab , hanya dakapan ibunya itu dibalas erat dan lama.
“Hmm ... sudahlah tu". Puan Sarah merongkai dakapan Zuraimie. "Lain kali kalau dah rindukan mak sangat , kerap-keraplah balik ke sini. Bukit mahkota dengan KL tu bukannya jauh sangat. Eh! Malam kang , mak Su sekeluarga akan makan malam di sini. Jadi mak mahu Mie naik ke atas dan kemaskan diri tu betul-betul. Cukur semua janggut dan jambang tu. Biar mereka terpesona melihat kekacakan wajah anak mak ni. Ni misai yang berserabut ni cukur sekali tau”. Kata Puan Sarah sambil mengelus lembut rambut anak kesayangannya itu.
“Hmm ... yalah mak. Mie naik ke atas dulu”. Jawab Zuraimie sebelum melangkah memanjat tangga menuju ke biliknya.

            Usai menunaikan solat maghrib , Zuraimie turun semula ke ruang tamu. Tiada sesiapa di situ , emak dan kakaknya sedang sibuk di dapur. Zuraimie keluar ke halaman rumah. Halaman yang sentiasa indah dan bersih , dihiasi pelbagai jenis pokok bunga-bungaan dan pokok hiasan yang ditanam sendiri oleh ibunya. Cantik dan segar ,  masih seperti dulu-dulu juga ...
“Hah Mie , bila kau sampai?. Marilah ke mari duduk bersama ayah”. Kata Tuan Razman sambil menggapaikan tangannya mengajak Zuraimie duduk di bangku batu di sebelahnya. Zuraimie akur , “Petang tadi lagi Mie dah sampai ayah”. Jawabnya.
“Awalnya kau balik, baguslah tu. Kau pun dah lama sangat tak balik ke mari. Mengapa?. Sibuk sangat ke?. Setahu ayah , kau tu bukannya bekerja. Belajar pun tak habis lagi. Mengapa jadi begitu?”. Tanya Tuan Razman. Sengaja soalan itu diajukan sungguhpun dia sebenarnya tahu segala perkembangan yang berlaku terhadap satu-satunya anak lelakinya itu.
“Err ... entahlah ayah. Sekarang ni Mie tak rasa mahu bekerja atau menyambung belajar lagi”. Jawab Zuraimie serba salah.
“Habis sampai bila kau nak tangguhkan pengajian kau tu?”. Tanya Tuan Razman lagi. Dia sengaja mahu anaknya itu berfikir dan sedar dari ‘dunia khayalan’  yang dibinanya sendiri.
“Err ... tengoklah ayah. Hmm ... kenapa agaknya mak Su sekeluarga tiba-tiba datang berziarah?”. Zuraimie cuba menukar tajuk perbualan.
“Entahlah. Ini semua urusan mak dan makSu kamu. Ayah pun tak tahu menahu”. Jawab Tuan Razman ringkas.
“Urusan mak dan makSu?. Lain macam je bunyinya ayah?”. Tanya Zuraimie.
“Entahlah Mie , kita tunggu sajalah malam nanti”. Jawab Tuan Razman.
Maka kedua beranak itu mematikan perbualan sambil mengira bintang-bintang di langit!.

Kenyataan yang memeranjatkan
            Orang yang ditunggu akhirnya tiba. Mak Su , Pak Su dan Hidayah yang manja tiba tepat pada waktunya. Mak Su masih tetap ceria seperti selalu , mengenakan baju kurung biru sedondon dengan pakSu. Hidayah pula nampak begitu manis memakai kebarung merah berlabuci ditangan.
“Apa khabar bang?”. Tanyanya lembut sebelum menghulurkan tangan bersalaman dengan abang sepupunya yang sudah hampir setahun tidak bertemu.
“Khabar baik”. Sengaja hujung jarinya sahaja disuakan untuk menyentuh tangan adik sepupunya itu.
“Haram ... walaupun sepupu”. Fikirnya.  Hidayah mengerutkan dahinya lalu tangan abang sepupunya itu ditangkap dan digenggam kemas.
“Kenapa?. Dah sombong dan tak sudi nak bersalaman dengan dayah ke?”. Tanyanya manja sambil tertawa kecil.
“Errr ... bukan begitu ... “ Zuraimie tergamam , tidak tahu bagaimana mahu bereaksi dengan pertanyaan dan tindakan nakal Hidayah.
“He he he ...”. Hidayah terus tertawa sebelum melepaskan tangan abang sepupunya itu.
“Sudah sudahlah mengusik abang kamu tu dayah”. Tegur makSu.
“Ya tu Dayah. Mohlah kita masuk ke dalam. Makanan tu dah lama terhidang. Kang sejuk tak sedap pulak”. Sampuk Puan Sarah dan diikuti oleh tawa daripada yang lain.
            Sampai di meja makan masing-masing mengambil tempat. Tuan Razman selaku tuan rumah dan ketua keluarga  duduk di kepala meja bertentangan dengan isterinya. Mak Su dan Pak Su duduk bersebelahan bertentangan dengan anaknya Hidayah. Zuraimie pula duduk di tengah-tengah antara Hidayah dan kakaknya Dr Anisah. 
“Hai Mie , takkan masih tak berselera makan diapit oleh dua jelitawan ni?”. Usik pakSu setelah melihat Zuraimie sudah membasuh tangannya sedangkan yang lain masih sibuk menyenduk pelbagai lauk-pauk yang disediakan.
“Eee ... yelah abang ni. Makanlah lebih sikit. Dayah tengok abang sekarang dah kurus sangat , dah tak macam dulu tapi nasib baik masih tetap hensem.  Hmm ... lagipun tuan rumah mana boleh habis makan dulu sebelum tetamu. Ni yang buat Dayah tak selera nak makan ni”. Sampuk Dayah dengan suara manjanya.
“Yalah Mie , betul cakap Dayah tu. Nah! Ambil buah-buahan ni. Sekurang-kurangnya makanlah buah-buahan ni sebagai tanda kita menghormati tetamu”. Tegur Dr Anisah sambil menyuakan buah-buahan pencuci mulut kepada adiknya itu.
“Err ... maaf semua”. Jawab Zuraimie sepatah lalu pelbagai potongan buah diletakkan ke dalam pinggannya.

            Selesai menikmati makan malam , semua yang ada berpindah duduk di ruang tamu. Sebentar kemudian sedulang minuman dan makanan ringan dihidangkan oleh mak Nah , pembantu rumah yang setia dan telah berkhidmat lebih sepuluh tahun bersama keluarga Tuan Razman.
“Jemputlah ...”. Pelawa Tuan Razman.
"Hmm ... makanan tadipun belum sempat sampai ke perut dah nak makan lagi?. Huh kalau hari-hari macam ni mahu jadi tong dram badan ni!".Gurau Pak Su sambil disambut dengan tawa ceria dari yang lain. 
“Hmm ... baiklah. Nampaknya perut semua sudah penuh berisi. Bak kata pepatah , gendang gendut tali kecapi , kenyang perut senang hati ...”. Puan Sarah memula bicara. "Sekaranglah masanya!". Katanya di dalam hati.
“Laa ... berpantun-pantunlah pulak mak kamu ni. Apa lagi , kata nak buat pengumuman rasmi?”. Sampuk Tuan Razman memotong kata-kata isterinya. MakSu dan pakSu tersenyum-senyum mendengar perbualan kedua suami isteri itu. Manakala Dr Anisah , Zuraimie dan Hidayah berpandangan sesama sendiri. Masing-masing mengangkat bahu.
“Hish awak ni. Kot ya pun , cubalah bawak bersabar. Hmm ... ginilah. Sebenarnya perjumpaan kita malam ni memang telah lama dirancang. Sejak kamu bertiga kecik-kecik lagi. Kami , orang tua kamu ni telah lama menyimpan niat dan memadu janji yang apabila tiba masa yang sesuai , kita akan berkumpul semula dan memaklumkan kepada kalian semua akan janji yang menjadi rahsia selama ini”. Kata permulaan Puan Sarah. Kata-katanya itu menyebabkan Dr Anisah , Zuraimie dan Hidayah tidak senang duduk.
“Hmm ... ayahnya , awaklah sambung”. Pinta Puan Sarah , menyerahkan tugas yang penting itu kepada suaminya , Tuan Razman.
“Ya. Begini semua , kita berkumpul hari ini sebab kami selaku orang tuan kalian ingin memaklumkan bahawa sejak kalian kecil lagi iaitu sebaik saja lahirnya Hidayah , kami telah membuat janji. Masa tu umur kamu Mie , baru mencecah empat tahun. Mak , ayah , mak Su dan pakSu sama-sama telah setuju untuk ...”. Tuan Razman berhenti seketika lalu mengangkat cawan di hadapannya dan meneguk air Nescafe yang dihidangkan. Sementara itu Dr Anisah sudah mula menggeleng kepala , dia sudah dapat menangkap maksud kata-kata ayahnya itu manakala Zuraimie dan Hidayah berasa sangat cemas dan mula memandang sesama sendiri.
“Kami sudah mengikat janji untuk menyatukan kamu berdua , Zuraimie dan Hidayah apabila tiba waktu yang sesuai dan kami rasa sekaranglah waktunya itu”. Tuan Razman menghabiskan ayatnya.
Bagai halilintar menghentam bumi. Kata-kata Tuan Razman menyebabkan nafas Zuraimie dan Hiodayah bagaikan terhenti. Terlopong dan tergamam , keduanya langsung tidak mampu berkata apa. Patutlah selama ini Puan Sarah selalu saja memuji-muji Hidayah di hadapan Zuraimie mana kala makSu pula sering sangat memuji-muji Zuraimie di hadapan Hidayah. Rupa-rupanya ada udang di sebalik batu!.

Manusia hanya mampu merancang ...
            Sejak peristiwa malam itu , Zuraimie langsung tidak pulang ke rumah kedua orang tuanya  apatah lagi bertanya khabar kedua orang tuanya itu. Dia merasakan dirinya seperti telah diperbodohkan dan hidupnya seperti diperkotak-katikkan. Masakan masa depannya telah diatur sejak dia berumur empat tahun lagi. “Apa mereka menyangka takdir hidupku di tangan mereka?”. Bentak hatinya. Wajah Diah yang pucat itu ditatapnya.
“Diah , mereka memperlekehkan cintaku padamu. Tapi tidak mengapa , jangan kau risau sayang. Aku akan sentiasa bersamamu tidak kira apa jua badai yang melanda. Kita akan sama-sama membina keluarga bahagia bersama anak dalam kandunganmu ini. Dia sudahku anggap seperti anakku sendiri. Kita akan hidup bersama selamanya , itu janjiku Diah”. Zuraimie berkata sendiri , hanyut dengan perasaannya.
            “Assalamualaikum!”. Suara orang memberi salam mengembalikan Zuraimie ke duania nyata. Zuraimie mengangkat kepalanya ...
“Eh Dayah , masuklah. Kenapa tiba-tiba boleh ada di sini?”. Tanya Zuraimie sambil tersenyum. Dia cuba menyembunyikan kesedihan yang bersarang di hatinya.
“So , inilah Diah. Kekasih hati abang?”.Selamba Hidayah bertanya sambil berjalan menuju ke tepi katil Diah.
“Wow cantik!. Tetap cantik walaupun sudah kelihatan amat pucat dan cengkung”.Puji Hidayah ikhlas.
“Hidayah , abang tak faham maksud kata-kata dayah ini”. Zuraimie berterus-terang. Dia tidak boleh membaca maksud di sebalik kata-kata Hidayah itu , ikhlas atau menyindir.
“Abang , come on lah. Abang ni , macamlah baru sehari dua kenal Dayah. Kita membesar bersama. Bermain , bergaduh dah macam adik beradik. Dayah ikhlaslah puji kekasih abang ni. Lagipun macam yang Dayah katakan malam itu , Dayah dah anggap abang seperti abang kandung Dayah sendiri. Mana mungkin ‘status’ itu mahu diubah”. Jawab Hidayah sambil merenyih memandang Zuraimie.
“Alhamdulillah ...” Ucap Zuraimie sambil mengingati semula dialog adik sepupunya malam itu ....
“Apa?. Apa ni mak! Ayah?!. Dayah tak boleh terima abang Mie sebagai suami!”. Balas Hidayah tegas sebaik sahaja pakciknya , Tuan Razman habis menyatakan ‘rahsia’ yang terpendam selama ini. Dia memandang wajah kedua ibu bapanya bergilir-gilir.
“Mengapa tidak?. Apa kurangnya Zuraimie?”. Tanya ibunya , makSu dengan nada suara yang tinggi, marah benar dia apabila kehendak hatinya disanggah.
“Sebab  Dayah dah anggap abang Mie macam abang kandung Dayah sendiri!”. Jawab Dayah , berterus-terang menyatakan perasaannya.
“Perasaan itu boleh ditukar , sayang kepada abang menjadi sayang kepada suami. Semuanya boleh dipupuk , asal saja kalian mahu mencubanya”. Sampuk Puan Sarah lembut , separuh memujuk. Hidayah segera mahu membuka mulut membalas kata-kata makciknya itu namun segera dipotong oleh ayahnya.
“Tak apalah kak , abang. Kita bagilah mereka masa. Mungkin mereka terkejut agaknya tu. Maklumlah , setelah sekian lama mereka rapat , tiba-tiba sahaja perkara ini baru dimaklumkan. Err ... kami minta dirilah ya”. Pak Su cuba mengendurkan keadaan.
“Hah abang , orang bercakap dia beranganlah pulak!”. Hidayah menepuk bahu abang sepupunya itu.
“Heeee ... maaflah Dayah. Abang sebenarnya teringatkan kata-kata Dayah malam tu. Hebatlah Dayah. Berani menyatakan yang benar. Abang pulak masatu , terkejut sangat sampai hilang semua kata-kata. Berdiri tegak macam patung!”. Balas Zuraimie sambil terus tertawa kecil.
“Hmm ... tahu tak pa!. Abang memang dari dulu macam tu. Takut sangat nak kata yang benar. Bila tak suka tak pernah nak bagi tahu. Dayah sebenarnya geram sangat dengan abang malam  tu tau”. Sambung Dayah.
“Sebab?”. Tanya Zuraimie spontan.
“Sebab abang diam seribu bahasalah!. Habis mak dan ayah ingatkan Dayah sorang saja yang menentang. Teruk tau Dayah kena marah dengan mak malam tu. Nasib baiklah ayah tu lebih memahami. Kalau ikut hati mahu saja Dayah lari dari rumah tau. Dayah pun pada mulanya sangka yang abang memang dah tahu dan setuju dengan rancangan mereka , mujurlah ada kak Anisah. Dialah yang beritahu pasal perkara yang sebenarnya. Termasuklah pasal kekasih abang ni”. Terang Hidayah. Zuraimie hanya mengangguk-nganggukkan kepalanya mendengar kata-kata adik sepupunya itu.
“Sorrylah Dayah , abang sebenarnya memang terkejut beruk masatu. Itu yang sampai diam tak terkata”. Renyih Zuraimie.
“Habis tu , apa kita nak buat sekarang?. Nampaknya mak bapak kita tu beria-ia sangat  nak menjodohkan kita?”. Tanya Hidayah. Pertanyaan yang membuatkan Zuraimie menggaru-garu kepalanya yang tidak gatal.
“Err ... kita buat bodoh ajelah!”. Jawabnya setelah sekian lama.
“Pap!!”. Satu tamparan kuat mengenai belakang bahunya.
“Okey ... okey. Err ... abang rasa , kalau susah-susah sangat kita turut sajalah kehendak mereka. Dayah jadi isteri pertama abang dan kekasih abang ni jadi madu Dayah bila dia dah sedar nanti”. Jawab Zuraimie.
“Woi!! Orang seriuslah”. Sergah Hidayah.
“Ha ha ha”. Zuraimie tertawa besar melihatkan mata Hidayah yang terbeliak dan mulutnya yang muncung mencuka.  Sudah lama benar dia tidak tertawa besar begini. Memang kehadiran adik sepupunya itu mampu menceriakan sedikit hatinya yang murung.
            Tiba-tiba perbualan mereka terganggu dengan kehadiran Dr Anisah.
“Amboi gembiranya. Sampai luar boleh dengar ketawa kau Mie”. Tegur Dr Anisah  sambil tersenyum memandang adiknya itu.
“Ni hah Dayah buat lawak bodoh. Macam manalah Mie tak ketawa besar”. Jawabnya spontan.
“Apa?. Lawak bodoh?!”. Bersama dengan kata-kata itu satu cubitan yang kuat dipulas dilengan kanan Zuraimie.
“Adoii! Sakitlah!!”. Balas Zuraimie lantas menyentap lengannya lalu menggosok-gosokkan lengannya yang lebam serta merta.
“Kak , sebab inilah Mie tak mahu kahwin dengan Dayah. Kalau dia jadi isteri Mie alamat satu badan lebam!”. Usik Zuraimie.
“Hmm ... korang ni , gurau-gurau jugak. Ni masalah korang ni macam mana nak diselesaikan?”. Tanya Dr Anisah dengan wajah yang serius.
“Hmm ... Dayah , kau ada teman lelaki istimewa tak?”. Tanya Zuraimie.
“Kenapa?”. Balas Hidayah.
“Laa , orang tanya tu jawab ajelah”. Kata Zuraimie lagi.
“Err ... ada. Tapi janji jangan bagitahu mak dan ayah!”. Pinta Hidayah.
“Bagus. Kalau Dayah betul ada teman lelaki istimewa , perkara ini akan jadi lebih mudah”. Balas Zuraimie.
“Mudah?”. Tanya Hidayah dan Dr Anisah serentak. Masing-masing tidak dapat menangkap maksud dari kata-kata Zuraimie itu.
“Yup!. Apa kata Dayah minta saja teman lelaki Dayah tu datang meminang”. Zuraimie memberikan cadangan.
“Laa dah tentu-tentulah mak dan ayah akan menolak pinangannya”. Jawab Hidayah spontan.
“Tak mungkin. Janganlah biarkan mereka tolak. Dayah rekalah cerita sikit”. Kata Zuraimie lagi.
“Reka cerita? ... Aaaa tak nak. Tak nak!. Dayah tak nak menjatuhkan meruah Dayah dan teman lelaki Dayah sampai begitu sekali”. Balas Hidayah setelah dapat menangkap maksud Zuraimie.
“Laa , maruah tu cuma di hadapan mak dan ayah Dayah je. Nanti setelah semuanya selesai , Dayah beritahulah perkara yang sebenarnya. Tebalkan muka untuk sementara waktu demi kebahagiaan bertahun-tahun kemudian. Berbaloikan?”. Zuraimie beria-ia menyakinkan adik sepupunya itu.
Hidayah diam , memandang Dr Anisah meminta pandangan , “Terserah ... okey jugak cadangan tu”. Balas Dr Anisah.
“Hmm ... nantilah Dayah fikirkan. Okey bro , Dayah nak balik ni. Flight lagi dua jam jea. Ingat nak gi shopping kejap kat Sogo sebelum balik. Apa-apa hal nanti Dayah call”. Hidayah meminta diri.
“Hmm ... orang tu , tengah susah hatipun masih ada niat nak shopping”. Usik Dr Anisah.
“Sambil menyelam minum air. Heee ...” Balas Hidayah sebelum meminta diri.


No comments:

Post a Comment