BAB 4 : KONFLIK DAN
KEKESALAN
Satay Kajang.
Angin petang itu sungguh
nyaman. Diah bersama Ba’ie sedang menunggu bas untuk ke Pekan Kajang. Petang
ini Dr Imran akan belanja mereka
setutorial makan satay Kajang. Beliau baru mendapat seorang cahaya mata baru ...
baby boy!. Dengar cerita , dari isterinya yang kedua. Isteri pertamanya
meninggal dunia dua tahun lalu iaitu semasa melahirkan anak sulung mereka.
Lebih malang , bayi tersebut turutmengikut
jejak ibunya.
“Begitulah kehidupan ... kita hanya
mampu merancang dan berusaha , selebihnya hanya Allah yang menentukan. Semuanya
bergantung kepada takdir kita”. Kata Ba’ie kepada Diah. Diah diam sahaja
mendengar komen Ba’ie tentang kehidupan , tentang takdir.
Matanya tepat memandang wajah gadis ayu dihadapannya ...
“Wah ... cepatnya korang sampai!”. Sapa Ba’ie kepada yang lain. 12 pelajar ‘lukisan
dan puisi’ yang lain telah terlebih dahulu
sampai. Masing-masing sedang seronok menikmati satay Kajang yang sangat popular
seantero Malaysia.
“Eh , bukan mereka yang cepat tapi
kamu berdua yang lambat!”. Sapa mesra Dr Imran , datang menghampiri mereka.
“Sorry Doc. Kami tunggu bas bukan
main lama lagi sebab tulah lambat sampai”. Balas Ba’ie.
“Habis tu , tak cakap awal-awal nak
datang. Kalau tidak kan boleh naik kereta saya saja. Tak payah penat-penat
tunggu bas”. Sampuk Zuraimie. Matanya tepat memandang wajah gadis ayu di hadapannya.
Diah mengangkat muka dan pandangan mata mereka bersatu. Diah segera mengalihkan pandangannya , dapat dibaca
isi hati pemuda ini. Jelas terpancar dari sinar mata dan senyuman yang terukir.
Bagi Zuraimie , Diah
cukup sempurna. Cuma kebelakangan ini , gadis manis ini tidak seceria selalu.
“Kenapalah agaknya kau bermuram durja?”. Fikirnya.
“Ah ... renunganmu benar-benar
membuatkan ku resah!”. Usik Dr Imran.
Usikan itu menyedarkan Zuraimie dari lamunannya lantas segera mengalih pandang.
Diah hanya berdiam diri , malas untuk mengambil sebarang bahagian dalam usikan
tersebut.
“Zaman aku teruja dengan usikan
seperti itu sudah berlalu. Aku bukan lagi Diah yang dulu. Aku sudah setapak ke
hadapan dari kalian semua. Setapak ke hadapan yang menjatuhkan aku jauh dari
kalian. Setapak yang menjadikan aku manusia hina!”. Kata hati Diah.
“Mmm ... takkan nak berdiri saja ,
duduklah”. Suara Dr Imran menamatkan episod ‘pandang memandang’ itu. Diah dan
Ba’ie tersenyum lalu memandang sekeliling untuk mencari tempat kosong. “Mmm ...
ramai pulak orang hari ini”. Kata Ba’ie
sendirian.
“Aha! Itu aku punya tempat!”. Sebuah kerusi
kosong di sebelah Dr. Imran , Ba’ie segera ke sana dan Diah ... hanya tinggal
sebuah lagi kerusi kosong iaitu , betul-betul
di sebelah Zuraimie!. Sengaja Zuraimie mengosongkan kerusi itu. Berdoa dan
berharap agar Diah duduk di sebelahnya.
“Alamak! Kenapa aku harus duduk di
sebelah mamat ni?”. Getus hati Diah.
“Mmm ... jemputlah duduk”. Zuraimie bangun lalu menarik kerusi untuk
Diah. Wajahnya bersinar ceria. Tiada pilihan , Diah terpaksa senyum dan duduk.
“Terima kasih”. Ucapnya , sekadar bersopan.
“My pleasure!”. Balas Zuraimie dengan
senyuman.
“Inilah peluang aku . Akan ku
usahakan!”. Bisik hati Zuraimie. Sudah lama peluang ini dinantinya , untuk
rapat dan menambat hati sidara.
“Aku akan buat kau tersenyum
semula!”. Itulah azamnya. Dia bercerita dan terus bercerita dengan diselangi tawa mesra. Memang dia pandai bercerita. Langsung
Diah tidak merasa kekok , malah cukup selesa!. Makan petang itu sungguh
menggembirakan. Terlupa seketika tentang masalah yang sedang melanda diri.
Keesokan harinya , kita belajar
sama ...
Hari ini berlalu seperti
biasa. Pergi balik kuliah , kelas tutorial , makan di cafe PUSANEKA ( Pusat Aneka)
, buat rujukan di perpustakaan ... semuanya sama , perkara rutin.
“Aku rasa bosanlah hari ni ...”. Keluh
Ziah kepada Diah ketika sama-sama
berjalan ke arah perhentian bas.
“Mengapa pula ?”. Tanya Diah , hairan mendengar Ziah berkeluh
kesah.
“Sebab hari ini , kawan aku ni senyap
dan tak ceria langsung!”. Jawab Ziah sambil menudingkan mulutnya ke arah Diah.
Diah mencebik. Malas hendak melayan
kerenah dan ocehan Ziah. Mana tidaknya ,
hatinya kini sedang menggelabah . Resah gelisah tidak keruan. ‘Nasi sudah
menjadi bubur , mahkotanya sudah tergadai , buah sudah ditebuk tupai!’.
“Aaaahhhh!!!”. Jerit suara hati Diah
sambil tangannya menekup kedua-dua belah telinganya. Mujur Ziah tidak
melihatnya , jika tidak lain pula yang difikirkannya nanti.
“ Itu memang betul salah satu dari
sebab mengapa aku bosan hari ini. Tapi bukan itu saja , sebenarnya ada sebab
lain juga”. Ziah melanjutkan pembicaraan tentang kebosanannya.
“Apa lagi yang buatkan kau bosan?”.
Balas Diah acuh tidak acuh.
“Huh! Entahlah Diah , aku semakin terasa yang hari-hari
yang kita lalui di sini semakin membosankan. Setiap hari adalah satu rutin biasa yang mesti kita patuhi , lepas
satu satu aktiviti yang sama . Rutin yang keseronokannya semakin hilang. Rutin
yang amat membosankan!. Tiada perubahan
langsung. Hidup kita ni ‘monotone’ dan
senada je. Graf harian kita tak ada turun naik langsung . Tak ada langsung
elemen yang mengejutkan. Segalanya boleh dijangka , bagaikan satu graf garis
lurus y = k , di mana k itu adalah satu pemalar , satu ‘constant’. Lurus , betul-betul lurus ... dan hanya
memenggal paksi y pada satu nombor
sahaja. Bosankan?. Lebih teruk dari itu , sahabat baik aku sekarang ni dah pandai berahsia. Kuat termenung. Tak ceria.
Memanjang mukanya monyok macam cekodok basi!. Hai ... apalah malang nasib aku ni?. Bilalah
sesuatu yang menarik akan berlaku dalam hidup aku?. Tak ada ke kejutan yang
tiba-tiba membuatkan aku melompat gembira atau mungkin perasaan aku jadi berbunga-bunga”. Keluh Ziah , sengaja bercakap dengan nada sedih yang dibuat-buat
untuk menarik perhatian Diah.
“ Hallo makcik , dah habis membebel?.
Aku tahulah awak tu budak Math tapi tak payahlah nak samakan hidup kita ni
dengan graf garis lurus y=k pulak. Lagipun
kadang-kadang hidup monotone ni jauh lebih
baik dari hidup yang penuh kejutan. Sebab semuanya sama. Semuanya dapat kau
jangka. Kau tak mungkin melakukan kesilapan!”. Jawab Diah sedikit geram dengan
rungutan Ziah.
“Makcik?!. Eeee tolonglah , aku belum
kahwin lagi tau!. Hmm ... aku taknak komen pasal hidup ‘monotone’ kau yang
sempurna tu. Cuma aku nak kau sedar bahawa
sesungguhnya perkara yang menjadikan hidup aku ni lebih membosankan adalah
perangai kau yang semakin pelik ni. Kau perasan tak yang sekarang ni kau asyik
termenung saja. Di rumah termenung , kat kuliah pun termenung. Sekarang ni ,
ketika aku sedang bercakap dengan kaupun , kau masih boleh termenung!. Eeee ... Diah , apa yang dah
berlaku sebenarnya?. Kenapa dengan kau ni? Ke
... kau bergaduh dengan Raziq?”. Ziah cuba serkap jarang. Diah menggeleng.
“Taklah , aku tak gaduhpun dengan
dia”. Jawab Diah.
“Ok. Kalau tak gaduh dengan Raziq ,
kenapa kau sampai bermuram durja?. Cuba
kau ceritakan pada aku.” Pinta Ziah bersungguh-sungguh.
“Err , nampak sangat ke perubahan
aku?. Maksud aku air muka aku ni , betul ke nampak muram?”. Tanya Diah ,
langsung tidak menjawab pertanyaan Ziah.
“Orang lain mungkin tak nampak
tapi aku ni kawan baik kau. Aku boleh
baca isi hati kau. Aku faham sangat riak wajah kau bila kau sedang menghadapi masalah. Tinggal lagi aku tak tahu
apa yang dah berlaku pada kau. Ceritakan pada aku ya , mana tahu ada yang boleh
aku tolong. Paling tidakpun kau akan rasa lebih lega ...”. Pujuk Ziah.
“Huh! Entahlah Ziah , susah aku nak
bagitau ... nantilah aku fikirkan”. Balas Diah.
“Tapi kau tu pulak , janganlah asyik berkeluh kesah. Cubalah kau hargai
segala yang kita ada dan lalui di sini. Bukan semua orang berpeluang sampai ke
menara gading macam kita ni. Hei ... hanya orang-orang pandai dan bertuah saja
sampai ke sini tau! Belajarlah bersyukur. Bukan kau tak tahu , kalau kita
bersyukur pasti Allah akan menambah lagi nikmat kepada kita”. Balas Diah sambil mencuit bahu Ziah.
“Hmm hebat kata-kata kau. Sebenarnya
bukan aku tak bersyukur cuma ... akhir-akhir ni aku rasa macam sunyilah. Hati
aku ni rasa sepi sangat , kadang-kadang rasa sayu , rasa sedih dan entah apa-apa lagi rasa yang
aku sendiri tidak faham. Susah aku nak cakap. Tak selesa lah ... aku rasa macam nak balik
kampung jumpa mak bapak aku je. Agaknya aku rindukan mereka kot. Rasanya hanya
mereka yang dapat me’normal’kan balik perasaan dan hidup aku ni” . Jawab Ziah.
Akhir-akhir ini hatinya terasa kosong. Sunyi ... dan seperti ada sesuatu yang kurang.
Diah mendengar luahan
rasa sahabatnya itu dengan penuh simpati , ada juga rasa bersalah kerana telah
mengabaikan perasaan sahabatnya itu. Mana tidaknya , dia jauh tenggelam dalam
masalah yang sedang dihadapinya kini. Diah cuba memahami dan menganalisa
masalah yang melanda Ziah. Sehinggalah akhirnya Diah membuat kesimpulan ,
“Hmm ... aku rasa , engkau ni bukan perlu
balik kampunglah”. Balas Diah sambil memaksa diri untuk tersenyum.
“Eh!. Kenapa kau kata macam tu?.
Habis , kalau bukan pasal itu ... aku ni kenapa?”.Tanya Ziah. Benar-benar keliru dengan perasaannya
sendiri. Lebih keliru apabila terlihatkan senyuman Diah yang penuh makna.
“Menurut firasat akulah ... kau
ni....”. Diah berkata sambil memain-mainkan
jari telunjuk kanannya di dagu , tiba-tiba timbul rasa ingin menyakat kawannya
ini.
“Apa?. Kenapa dengan aku?”. Ziah menjadi tidak sabar.
“Kalau aku cakap janji jangan marah
ye”. Diah menguji.
“Apa?!!” . Tanya Ziah semakin tidak
sabar. Apalah agaknya yang difikirkan Diah tentang dirinya. Ziah membulatkan
pandangannya kepada Diah.
“Betul nak tahu?” .Tanya Diah. Ziah cepat mengangguk-nganggukkan
kepalanya.
“Betul tak marah?”. Tanya Diah lagi ,
sengaja berlengah-lengah. Suka melihat keadaan Ziah yang seperti cacing
kepanasan itu.
“Tidak!!!!. Cakap je lah!”. Marah
pula Ziah jadinya.
“ Baiklah , sebab kau mendesak maka
aku akan beritahu sekarang. Jawapannya ialah ... kau kena kahwinlah! Ha ha ha.
Kena kau!” . Bercanda juga Diah akhirnya.
Lupa seketika tentang musibah yang sedang melanda dirinya kini.
“ Tak guna!”. Ziah berlari laju
mengejar Diah yang terlebih dahulu telah lari lintang- pukang bagaikan lipas kudung menuju ke perhentian bas. Termengah-mengah...
Jangankan nak bagi hadiah , wish
pun tidak!
Petang itu , tiada orang
lain yang menunggu bas. Hanya mereka berdua. Diam dan bosan memandang satu sama
lain. Mana tidaknya bas yang sepatutnya sampai lebih lima belas minit yang
lepas masih tidak sampai-sampai juga. Akhirnya Ziah bersuara.
“ Diah ... kau sedar tak berapa umur
kita sekarang ?”. Tanya Ziah.
“Maunya tak. Tahun ni kita dah pun 25
tahun. Minggu depan , 14 Mac hari jadi aku. Eh ... kau jangan lupa bagi hadiah.
Aku nak hadiah yang special dari kau.
Ingat tu!”. Jawab Diah dengan muka
tidak malunya.
“Aloo cik kak ooiii ... kau punya
hadiah aje kau kira. Aku punya ‘birthday’ semalam tak sorang pun ingat.
Jangankan nak bagi hadiah , wish pun
tidak!. Huh! Jauh panggang dari api!!”. Marah
Ziah apabila teringatkan tiada seorangpun daripada teman serumahnya yang
memberi ucap selamat kepadanya. Puas dia menunggu semalam , kot-kot ada di
antara teman serumahnya yang ingat akan
hari lahirnya. Malangnya , tiada!.
“Alamak! ... yelah kak, aku
betul-betul lupa. Sorry ye ... tapi
masih tak terlambatkan nak ucap. ‘Happy belated birthday’ Ziah! Aku doakan hidup kau akan
bahagia dan berjaya , tercapai segala hajat dan mendapat suami yang soleh tahun
ini juga!”. Diah menyerigai memandang
Ziah.
“ Aaammiiinnnn ...”. Ziah mengaminkan bersungguh-sungguh.
“ Eh , tak marah ke?”. Tanya Diah ,
hairan melihat reaksi Ziah.
“Buat apa nak marah. Aku memang harap
akan berjumpa orang yang sesuai dan dapat menamatkan zaman bujang aku pada tahun ini jugak!. Kitakan dah 25 tahun. Nabi kita Saidina Muhammad (s.a.w) berkahwin dengan saiyiditina Khatijah pun pada
umurnya 25 tahun. Ikut sunnahtu ... kau tak nak ke?”. Tanya Ziah.
Diah hanya menjawab pertanyaan itu
dengan senyuman. Fikirannya terus terbayangkan wajah Raziq ... Malam itu ... semuanya masih jelas diingatan
, setelah segalanya terjadi , mereka sama-sama menangis.
Raziq beratus kali memohon maaf daripadanya. Jelas terbayang penyesalan yang
teramat sangat di wajah anak muda itu. Entah berapa kali dia menampar-nampar
dirinya sendiri. Tapi untuk apa?. Nasi sudah menjadi bubur!
“Diah , maafkan I. I bersalah. I tak
dapat menahan nafsu . I terlalu
sayangkan you. Tolong ...
Tolong jangan marahkan I. Jangan
benci I”.
Diah
teringatkan rayuan Raziq dengan seribu
penyesalan.
Namun menyesalpun sudah tidak berguna
lagi. Kelapa telah ditebuk tupai!.
“I memang akan bertanggung jawab. I janji. I janji atas nama mak I. I
takkan tinggalkan you. Begini ... kita kahwin?!”. Diah teringatkan cadangan spontan Raziq. Raziq yang sungguh-sungguh menyesal dengan
perbuatannya berkata dengan cukup ikhlas. Baginya , cintanya pada Diah bukan
main-main.
Reaksi Raziq sebegitu telah memadamkan terus api kemarahan yang baru mahu terbit di lubuk
hati Diah. Lagipun Diah cukup sedar bahawa semua itu terjadi dengan kerelaannya
juga. Bertepuk sebelah tangan masakan berbunyi!. Dia sendiri tidak mampu untuk menolak
perlakuan Raziq terhadapnya. Tapi perlukah mereka berkahwin sekarang? Bagaimana
dengan ibubapanya nanti , akan setujukah mereka?. Pelbagai persoalan membelenggu fikiran kini. Wajah kedua orang
tuanya terbayang di mata.
“Tentu kecewa mereka dengan
perlakuanku”. Fikir Diah , menyesal.
“ Hah ... beranganlahtu! . Berangan
lagi!!” . Ziah mengejutkan Diah dari lamunan.
“Huh?!”. Terkejut Diah mendengar
sergahan Ziah. Lantas wajahnya diraut berkali-kali , “Jauhnya aku berangan”.
Fikirnya.
Tiba-tiba , “Eh! Diah , cuba kau tengok siapa yang
sedang berjalan menuju ke mari”. Perhatian Ziah tiba-tiba beralih ke arah
seorang pemuda , segak berjalan menghampiri mereka.
“Mana?”. Tanya Diah sambil memandang ke arah yang
ditunjukkan.
“Tuu ... mmm ... tampan bergaya. Cuba kau teka siapa yang akan dia
tegur dulu , aku atau kau?”. Tanya pula Ziah. Diah agak terkejut mendengar soalan itu.
“Cehh!. Apa punya soalan!!”. Fikirnya
.
“ Kau rasa siapa?”. Tanya Diah
kembali. Malas untuk menjawab soalan tidak relevan Ziah itu.
“Aku tanya kau , kau tanya aku balik!
Apa punya orang!. Alahhh ... , sudah terang lagikan bersuluh. Tentulah kau!.
Semua orang tahu yang dia tu dah lama sukakan kau!!”. Ziah tersengih memberi jawapan tanpa rasa
ragu. Diah hanya tersenyum mendengarnya. Memang dia sedia maklum akan perasaan
pemuda ini terhadapnya. Kalau hendak difikirkan , memang tiada kurangnya pemuda
ini , ada rupa , ada gaya , bertubuh sasa dan yang lebih penting ... sangat
sopan dan bertanggung jawab. Namun apakan daya hati Diah sudah terpaut pada
yang lain.
Bagi Ziah pula , dia amat
sedar bahawa kulitnya yang hitam manis itu tentu tidak terlawan kulit Diah yang
putih menguning. Tambahan pula rupa paras Diah memang ayu dilengkapi
dengan sepasang mata yang redup dan senyuman yang menawan. Semua itu menjadi
asset lumayan buat Diah untuk dikagumi.
“Eh, kamu berdua ada di sini. Tak
sangka akan dapat berjumpa waktu
petang-petang begini. Hmm ... agaknya memang jodoh kita kuat. Itu yang boleh jumpa”.
Zuraimi berbahasa sambil matanya terus
memandang Diah yang bagaikan acuh tidak acuh mendengar kata-katanya.
“ Eleh Zuraimie , tadi kan kita bertiga dari kuliah yang sama. Habis
kuliah dah tentu-tentulah kami nak balik. Saja je kau tu . Sudah gerharu ,
cendana pula!”. Balas Ziah bersahaja. Zuraimie hanya tersengih. “Hmm ... lain
yang aku umpan , lain pulak yang mengena!”. Fikirnya.
“Nak terus balik ke?”. Zuraimie pura-pura bertanya kepada Diah tanpa
menghiraukan sindiran Ziah itu.
“Mestilah nak balik , dah petang.
Takkanlah baru nak pergi kuliah”. Jawab Ziah dengan senyuman.
“Heee ... awak ni Ziah , tak
habis-habis nak hentam saya. Err ... Diah , kenapa senyap saja. Penat sangat ke
hari ni? Yelah ... masa di kuliah Puan Rubiah tadi saya tengok awak diam saja.
Selalunya awak yang bukan main banyak bertanya”. Tanya Zuraimie kepada Diah. Ziah
langsung tidak dihiraukannya.
“Ye ke?... Eerrr ...”. Diah terkedu. Tidak menyangka yang
Zuraimie begitu perihatin terhadap
perubahannya.
“Aa ah!. Betullah tu. Dia ni sekarang sedang dalam kemurungan. Asyik termenung dan
berangan saje!”. Ziah mencelah.
“Eh! Taklah. Saya sebenarnya memang begini. Selalu tu saya tanya sebab banyak yang tak
faham. Tak ‘terror’ lah ... tak macam awak”. Jawab Diah , cuba berdalih.
“Eh takkanlah sampai begitu ... tapi kalau awak suka kita
boleh belajar sama. Maksud saya
... awak , Ziah dan saya belajar as a study group. Kita boleh study sama di library. Amacam
... setuju?”. Cadang Zuraimie. Berharap sangat agar cadangannya itu diterima.
“ Bagus juga cadangan tu , lagipun tak sampai dua bulan saja
lagi kita akan menduduki
peperiksaan akhir semesta . Diah , macam mana ... kau setuju tak ?”. Ziah minta
persetujuan daripada sahabat karibnya itu.
“Aku ikut ajelah ...”. Jawab Diah , malas untuk berfikir panjang.
“Set! ... kita tetapkan sekarang. Setiap
kali habis kuliah Puan Rubiah kita terus ke library
sama ada untuk selesaikan tugasan atau ulangkaji mana-mana topik yang lepas.
Setuju?”. Cadang Zuraimie dengan penuh semangat.
“Setuju!” Jawab Ziah manakala Diah hanya tersenyum tawar.
‘Study group’ pertama.
Seperti yang telah dipersetujui
semalam maka sebaik sahaja tamat kuliah Pn Rubiah pada hari ini Diah dan Ziah
terus ke perpustakaan. Hari ini
bermulalah aktiviti ‘study group’ mereka. Diah dan Ziah memilih tempat ‘favourite’ mereka. Lebih
kurang lima belas minit kemudian , Zuraimi sampai bersama seorang temannya.
“Assalamualaikum , kenalkan teman
serumah saya , Zaid”. Tegur Zuraimie.
“Zaid , ini Ziah dan ini pula Diah”. Zuraimie memperkenalkan Zaid kepada kedua-dua
gadis itu. Sengaja dia memilih Zaid kerana kebetulan Zaid juga mengambil kursus
yang sama. Lagi pula Zuraimie terasa janggal
untuk belajar bersama dua gadis itu. Sekurang-kurangnya kehadiran Zaid akan dapat mengimbangkan kejanggalan tersebut.
“Waalaikummussalam!...”. Kata Diah
dan Ziah serentak.
“ Zaid ni juga mengambil kursus Pn. Rubiah so saya ajak
dia sekali joint ‘study group’ kita. Bolehkan ?”. Sambung Zuraimie , mengiakan
tindakannya.
“Eh apa salahnya . Lagipun kita baru
tiga orang. Tambah satu tak da hal lah”. Ziah menyatakan persetujuannya.
“Diah? ...”. Tanya Zuraimie meminta kepastian.
“Saya okey. Tak da hal!”. Jawab Diah ringkas.
“Wah semua dah setuju , baguslah .
Jom kita mulakan . Saya rasa elok kita mulakan dengan menyiapkan assignment
yang Pn Rubiah bagi tadi. Nanti mana-mana yang sangkut kita boleh bincang dan buat
sama-sama”. Cadang Zuraimie.
“Cantik lah tu ...!” Jawab
Ziah dan Zaid serentak , berpandangan dan sama-sama tersenyum.
Mereka pun mula menyelesaikan tugasan
yang diberi. Tidak sampai 10 minit membelek-belek buku rujukan yang dipinjam ,
Ziah mencari helah ...
“Zuraimie ...”. Panggil Ziah .
“ Panggil saya mie je, pendek dan
senang”. Balas Zuraimie sambil tersenyum.
“Ya ... mie aku tak fahamlah soalan
ini. Ni pasal pengkamiran. Tak taulah , boleh tolong ajar?”. Pinta Ziah.
“ Mana?. Oh! yang ini. Macam ni ...”. Zuraimie
menerangkan kepada Ziah dengan bersungguh-sungguh. Ziah mengangguk-nganggukkan
kepalanya. Sesekali wajah Zuraimie direnungnya. Hatinya bergetar ... “ Oh! Tampannya!!”. Bisik hati kecil
Ziah.
“Eh taklah susah sangat ye” . Kata Ziah sebaik saja Zuraimie selesai
menerangkan konsep pengkamiran itu kepadanya.
“Memanglah , yang penting kita kena
faham konsepnya , then baru apply formula”. Zuraimie gembira dapat membantu Ziah. Terasa dirinya hebat. Tanpa disedari Ziah mahupun Zuraimie , sedari
tadi lagi Diah hanya memerhatikan
gelagat mereka berdua.
“ Hai Ziah , pasang pancing
nampaknya!”. Fikirnya sendirian lalu tersenyum.
“Eh Diah , kenapa tersenyum sendiri?”.
Sapa Zaid. Diah terkejut lalu memandang Zaid.Tersenyum dan menggelengkan kepalanya. “Tak ada apalah ...
ada orang memasang jerat!”. Balas Diah , tersenyum lagi.
“Memasang jerat?. Tak fahamlah”. Kata
Zaid.
“Heee ... tak ada apalah. Tak
pentingpun!”. Balas Diah , masih juga tersenyum. Zaid menggaruk kepala yang tidak gatal. “Ok.
Tak pentingpun”. Balasnya lalu menyambung kerja.
“Ye lah Diah. Saya pun perasan awak sedari tadi
asyik senyum-senyum saja. Apa ... ada yang lucu pada kami ke?”. Tanya pula Zuraimie sambil menunjuk pada dirinya dan Zaid.
“ Tak lah ... saya cuma suka tengok cara
awak mengajar Ziah. Nampak macam cikgu mengajar anak muridnya”. Diah
berdalih.
“Hishhh!!”. Ziah menyinggung siku
Diah.
“Ya? ... itu saja?”. Zuraimie tidak percaya.
“Ya, itu saja”. Balas Diah sambil
mengerling Ziah. Ziah membulatkan matanya!.
“Ok. Fine. Mungkin nanti saya memang
betul-betul akan jadi seorang guru yang
hebat”. Jawab Zuraimie sambil tersenyum memandang Diah.
“Ya pasti!”. Jawab Diah dan Ziah
serentak lalu mereka sama-sama tertawa.
Nada suaranya berbau cemburu.
Mereka kembali membuat
kerja masing-masing. Saling membantu hinggakan semua ‘assignment’ hari itu terasa
mudah dan lebih cepat dapat diselesaikan.
“Hmm ... Saya dah siap. Macam mana
dengan you all?”. Tanya Zuraimie kepada yang lain.
“Kami pun dah siap”. Kuliah
seterusnya lagi setengah jam. Apa kata kita pergi minum kejap?”. Cadang Zaid.
“Boleh gak , saya pun dah haus ni”.
Jawab Ziah.
Belumpun sempat mereka bergerak
bangun , tiba-tiba Raziq telah terpacul di hadapan meja mereka. “Assalamualaikum.
Study group ke?”. Tanya Raziq sambil mengerling kepada Diah dan Zuraimie. Nada
suaranya berbau cemburu.
“Ya , kami buat assignment sama-sama. Ziq you nak joint ke?”. Jawab Zuraimie , agak tidak selesa dengan pertanyaan Raziq. Dia
sedia maklum bahawa Raziq adalah teman istimewa Diah. Namun dia berpegang pada
pepatah , ‘Suami-isteri lagikan bercerai , ini kan pula baru berkasih!’. “Tak
salah mencuba!”. Fikirnya.
“Tak apalah , terima kasih saja. I
datang ni pun sebab ada hal. Nak jumpa
Diah . Diah , boleh I jumpa you kejap”.
Raziq berkata sambil memandang Diah.
“Of course!”. Jawab Diah. Diah bangun
lalu berdiri di sebelah Raziq.
“Hmmm
... kawan-kawan . Saya gerak
dulu. You all pergilah minum. Nanti jumpa dalam kuliah key ...”. Diah meminta
diri lalu berjalan beriringan dengan Raziq. Zuraimie hanya mampu tersenyum
pahit sambil memerhatikan langkah Diah yang
semakin menjauh!. Terpampang kekecewaan di wajahnya. Tanpa disedarinya ,
Ziah sedang memandangnya dengan penuh rasa kesal!. “Mengapa bukan aku?”. Fikir
Ziah ...
“Mengapa bukan aku?”. Fikir Zuraimie
juga ...
Kenapa bukan aku
Engkau pilih menjadi kekasih
Nestapa hati melihat langkahmu
Apakan daya kau sengaja menyisih
Pedih bak mati rindukan kamu
Ah! Mengapa bukan aku yang kau
kasih?
Kenapa bukan aku?
Keluhan Zuraimie ... 31 Mac 1994
|
No comments:
Post a Comment