Popular Posts

Thursday, 30 January 2014

Fikiranku 2 : Rahsia dalam rahsia

        Seseorang telah 'memberikan' aku ayat ini ; "Rahsia dalam rahsia". Sekali ku fikirkan terasa lucu , kembali mengimbau kenangan di zaman kanak-kanakku. Banyak 'rahsia dalam rahsia' yang ku simpan bersama adik beradikku dan ada juga yang ku simpan sendiri (Banyak juga sebenarnya sebab aku ni  selalu saja punya keinginan dan pemikiran sendiri).
        Antara 'rahsia dalam rahsia' yang kini sepatutnya bukan lagi rahsia malah menjadi peristiwa indah yang bakal ku kenang selamanya adalah saat2 abang sulungku yang selalu ku panggil 'abang tatan' sering membawa kami , tiga orang adik perempuannya ke tempat2 yang dilarang oleh abah dan emakku. Ke mana ye?
Ke mana lagi kalau tidak ke dalam hutan belukar mencari batang kayu untuk di buat lastik atau ke sungai yang letaknya entah di hutan kecil mana untuk memancing ikan (cacing tanah  kami korek sendiri untuk dijadikan umpan)  atau juga mandi manda di sungai bersama kawan-kawan 'rahsia' kami yang lain atau ke lombong mencari buah teratai , siput termasuklah ikan 'tiger fish' yang ada dalam lombong ('tiger fish' itu adalah nama yg kami beri kerana ikan itu berbelang hitam) dan banyak lagilah 'rahsia dalam rahsia ' yang kami lakukan semasa kecilku. Indahnya zaman itu!... kalaulah ianya dapat diulangi ... atau sekurang-kurangnya hubungan kami semua masih tetap semesra dulu ...
        'Rahsia dalam rahsia' antara aku dan kakakku yang sudah terlalu lama tidak kutemui. Ketika itu kami di tinggalkan berdua saja di rumah. Aku baru darjah dua dan kakakku itu pula darjah empat. Kakakku mengajak aku memasak pisang goreng. Bukannya lapar sangat tapi saja-saja untuk berseronok mencuba!. Pada masa itu dapur memasak sepertinya agak tinggi untuk kami berdua. Selesai memasak aku terjengket-jengket mengangkat kuali panas menggunakan kain , entah mana silapnya kuali terlepas dan minyak panas mencurah atas kaki kananku. Apa lagi , aku menangis meraung-raung. Kakakku yang panik telah meletakkan pelbagai benda atas kakiku itu antaranya yang masihku ingat termasuklah ubat gigi , kicap . planta dan entah apa-apa lagi.  Konon benda2 ini akan segera melegakan kesakitanku dan akan mengelakkan kulitku dari melepuh. Tak cukup dengan itu kami berpakat untuk tidak memberitahukan hal ini kepada emak dan abah kerana takut akan lebih dimarahi kerana memasak dan menggunakan api. Maka aku yang biasanya ber'skirt' saja telah menukarnya dengan kain panjang untuk menutupi kakiku yang sebenarnya cederanya agak teruk.
Apabila keadaan kakiku tetap merah dan mula melepuh maka kami berbincang semula dan akhirnya membuat keputusan untuk menukar cerita , konon kakiku telah terkena air panas dari tarmos ketika hendak membancuh air. Wah! Sudah pandai kelentong rupanya aku dan kakakku ini. Semuanya kerana takut dimarahi!!. Pendekkan cerita , aku tak pastilah sebenarnya emak dan abah aku percaya atau tidak bahawa kakiku yang melepoh teruk itu adalah disebabkan air panas!!. (Haha teruknya aku dulu).
        Antara 'Rahsia dalam rahsia' yang tidak sepatutnya ku rahsiakan dulu daripada pengetahuan emak dan abahku pula adalah ketika aku di darjah lima. Tahun itu aku akan menduduki peperiksaan penilaian darjah lima. Sekolahku, SRK Sg Koyan mengadakan kelas tambahan pada waktu malam. Abahku yang sepatutnya menghantarku ke sekolah menaiki motornya telah mengarahkan aku menumpang motor kawan baikku , Anita Bahari. Dia ni kira ada 'bau-bau bacang' denganku. Bukan Anita yang bawa motor tetapi pakciknya. Kebetulan pada hari itu teman pakciknya yang selayaknya ku panggil abang sahaja (Kerana masih belasan tahun) datang bertandang. Dia menawarkan diri untuk menumpangkan aku ke sekolah.
"Sempit nak naik motor bertiga". Katanya. Pakcik Anita boleh pula bersetuju maka mahu tidak mahu terpaksalah aku menumpang naik motor yang dibawa oleh 'abang' ini. Aku ingat lagi , aku duduk sebelakang mungkin dan kedua tanganku memegang kuat tepi motor. Inilah kali pertama aku membonceng motor dengan lelaki yang bukan muhrimku. Dalam hati aku berkata ,"Kenapalah aku yang kena naik dengan dia ni!". 'Abang' ini bawa motor punyalah lambat hingga kami tertinggal jauh dari motor yang dinaiki Anita.
Tiba2 ketika melalui laluan yang agak sepi dan kebetulannya di hadapan tanah perkuburan kampungku pula , 'abang' ini merentap tangan kananku dan cuba meletakkannya di pinggangnya sambil berkata , "Peluklah , nanti jatuh!".
Tapi aku tidaklah sebodoh itu , naluriku langsung tidak membenarkan aku mematuhi arahannya. Tangan kurentap kembali. Beberapa kali dia cuba membuatkan aku memeluk pinggangnya tapi tiap kali itu jugalah aku merentap semula tanganku sehinggalah akhirnya dia terpaksa mengalah kerana kami  telah melepasi kawasan yang agak sepi itu. Sekali fikir , kenapalah aku tidak terjun saja dari motor  tapi dua kali fikir ... takut juga nak terjun sebab dahlah nak maghrib lalu depan kubur pulak tu. Kot jalan tu sibuk takpelah jugak!. Tapi itu kisah lalu , Alhamdulillah hanya setakat itu sahaja yang terjadi.
        Pengajaran yang aku pelajari , 'Biasakan anak2 bercerita apa saja dengan kita , ibubapa mereka. Juga uruslah urusan anak-anak ke sekolah /ke mana saja dengan baik atau sekurang-kurangnya lepaskan anak-anak kita dengan orang-orang yang kita percayai agar mereka sentiasa selamat.
        Banyak lagi 'rahsia dalam rahsia' yang ku simpan hingga kini. Sekarang, dalam usia sebegini  aku masih punya 'rahsia dalam rahsia' yang baru saja kukongsikan dengan seseorang. Maka aras kerahsiaannya sudah semakin berkurangan. Hmm ... banyak juga 'rahsia dalam rahsia' dalam hidup aku ini.
Rupa-rupanya setelah 'rahsia dalam rahsia' ini ku kongsikan barulah hatiku terasa lapang. Terpulanglah padanya untuk menilaiku , yang penting  batu berat yang mengikat kakiku selama ini baru saja dilepaskan. Maka aku kini bebas melangkah. Andai aku mempunyai sayap pasti aku sudah terbang tinggi , melayang bersama deruan angin sambil  menikmati keindahan alam dari sudut yang berbeza dengan jarak yang lebih tinggi ... kanku katakan pada penghuni bumi , biarkan aku terbang bebas bersama naluriku setinggi dan sejauh mana sesuka hatiku ... aku ingin bebas! bebas! bebas memilih arahku sendiri.

2 comments:

  1. http://youtu.be/2v_gCvpx8j8
    "Terbanglah. Bukalah hijab matamu melihat remang mimpi yang tak tersingkap oleh kelam rambulan. Benua tujuhmu sudah menggamit. Mencium kembang sayapmu melebar maya. Biarkan rembulan ini menyinarkan cahayanya yang suram, kerana itu hanya yang ada buatnya, rezekinya."

    ReplyDelete
  2. Ianya tidak dapat di dengar dgn telinga , tidak dapat dilahirkan dgn kata-kata apatah lagi dizahirkan dgn perbuatan. Maka ada baiknya ia dibiarkan begitu saja.

    ReplyDelete