Popular Posts

Friday, 24 January 2014

Fikiranku 1: "Mari belajar Bahasa Arab"

Mencintai Allah , Rasul dan Islam menjadi matlamat utamaku yang harus kusemai dalam jiwaku sendiri dan jiwa-jiwa yang menjadi tanggung-jawabku.
"Ya Allah , bantulah hambamu ini untuk mencintaimu , mencintai kekasihmu dan islam melebihi segala sesuatu apapun yang ada dalam hatiku mahupun dalam hidupku ini". Itulah doaku tiap hari. Doa ini jugalah yang sering ku ulang-ulangkan dan kupanjatkan pada lewat tahajudku yang acap kalinya  ku tinggalkan dek kerana terlalu lenanya tidurku. Sungguh aku ini terlalu banyak kekurangan.

Bagaimana mungkin cinta ini dapat disemai jika hanya berpeluk tubuh sedangkan aku amat meyakini bahawa 'Allah tidak akan mengubah nasib kita jika kita sendiri tidak berusaha mengubahnya'. Berusahalah untuk berubah , bentuklah arusmu sendiri. Jangan jadi pak turut yang hanya tahu mengikut arus sedia ada!.Maka berdasarkan hasrat itu sewajarnya aku mendekatkan diriku dengan kalam mulia Al-Qur'an nur Karim kerana aku juga amat yakin bahawa al-Qur'an adalah penunjuk jalan ke arah mencapai redha dan cinta hakiki yang seharusnya menjadi dambaan setiap manusia. "Ya Allah bantulah aku mencapai cintaMu dan bebaskanlah aku daripada belenggu cinta manusia yang mengheretku ke arah maksiat dan dosa".

Hari demi hari , dalam usiaku yang semakin meningkat aku cuba memperbanyakkan bacaan ayat-ayat suci dan cuba menghafalnya sebanyak mungkin. Tapi sayang ... mungkin dek kemampuan akalku yang juga semakin berumur , hafalanku amat terhad dan lambat. Kekadang aku terfikir , mengapa tidak sewaktu mudaku atau mungkin ketika zaman kanak-kanakku , ku perbanyakkan hafalan?. Mengapa harus tunggu sehingga kini?. Hmm ... apa perlunya diungkit kisah lalu!!

Berlandaskan kelemahan-kelemahan tersebut maka aku membuat keputusan untuk mempelajari bahasa Al-Qur'an , bahasa Jibril kepada Muhammad (saw) , bahasa nabiku kepada para isterinya yang tentu-tentunya ahli syurga, bahasa kekasih Allah kepada sahabat-sahabatnya yang sanggup mati demi Allah dan Rasulnya. Mengapa tidak aku mempelajari bahasa ini?. Tiada alasan yang dapat kuberi.
Alhamdulillah , keinginanku dipermudahkan apabila suamiku sendiri mempunyai niat dan keinginan yang sama. Sesungguhnya dia memang yang terbaik buatku ...syukur padamu Ya Allah.

Esok adalah hari ketiga aku bakal menghadiri kelas bahasa Arabku. Semua tugasan yang diberikan ustaz telah kusempurnakan kecuali hafalan  makna-makna perkataan. Susah juga bila otak sudah mula berkarat!!. Tapi bak kata pepatah melayu ... 'jika tidak dipecahkan ruyung masakan dapat sagunya'. Ahh!! Aku harus mengasah kapak ingatanku tajam-tajam agar ruyung ini akan cepat dapat dipecahkan dan cepat pula sagunya dapat dinikmati. Doaku ... 'Permudahkanlah ya Allah , jangan dipersulitkan dan akhirkanlah segalanya dengan kebaikan'. Amiiinnnn

No comments:

Post a Comment