Popular Posts

Sunday 21 May 2017

Novel 2 : Selepas Hujan ... Bab 27

Bab 27        Pertemuan kali ini
Sahabat yang baik pasti kan sentiasa mendoakan kebahagiaan sahabatnya tanpa syarat.
Tanpa syarat ...
Tanpa kepentingan ...
Tanpa kehendak ...
Cuma satu
Melihat sahabatnya tersenyum bahagia
Di dunia membawa ke syurga



            Setelah berada lebih lima jam di dalam bas ekspress yang dinaikinya sejak semalam , Ziah akhirnya sampai ke destinasinya. Ziah tercari-cari kelibat Diah. Akhirnya … 
“Ziah!!”.
“Diah!!”
Kedua sahabat itu saling berpelukan., Ziah berasa benar-benar lega lebih-lebih lagi setelah terpandangkan wajah sahabatnya itu. Wajah sahabatnya itu diamati betul-betul , “Diah , kau tetap macam dulu , tidak berubah”. Puji Ziah.
“Heee … kau tu pun apa kurangnya”. Balas Diah sambil memandang Ziah. Memang sababatnya itu masih tetap cantik seperti dulu. Wajah yang sentiasa ayu dan tenang itu ditatapnya lama.
“Wow! Apa pandang lama-lama ni. Naik seram aku dibuatnya”. Kata Ziah sambil memetik – metik jarinya di depan muka Diah.
Diah tertawa , “Rindu!”. Jawabnya.
“Macam mana perjalanan?”. Tanya Diah pula , gembira benar kerana dapat bertemu semula dengan sahabat baiknya ini setelah lebih setengah tahun berpisah.
“Naik bas ekspress lebih lima jam .Huh! ... sungguh memenatkan. Naik kematu punggung aku ni. Ni hah ,tengkuk pun dah sakit asyik terlentuk je!”. Ziah merungut sambil memegang tengkuknya .
“Huh ... buat cita sedihlah tu!”.  Diah memuncungkan bibirnya. Tidak mahu mengakui bahawa dia telah menyusahkan sahabatnya itu.
“Amboi ... cantiknya muka!” . Ziah menarik bibir Diah , sama seperti dulu-dulu juga. Dia memang suka menarik bibir Diah yang sengaja dimuncungkan setiap kali dia tidak berpuas hati.
“Woiii ... sakitlah!!”. Diah menolak tangan Ziah.
“Ha ha ha … padam muka!”. Kata Ziah sambil tertawa. Tangan Diah dirangkulnya dan mereka terus berjalan beriringan.
“Heh, nak bawak aku ke mana?”. Tanya Ziah apabila tangannya ditarik.
“Mana lagi , mahligai aku yang dah kusam tu lah!!”. Balas Diah sambil tersengih.
“Aii ... lain macam je bunyinya!”. Tegur Ziah , memandang Diah dengan penuh tanda tanya.
“Hmm ... kita cita kat rumah nanti je lah. Errr ... macam mana keadaan abang Anip kau tu sekarang?”. Giliran Diah untuk bertanya.
“Huhhh ... alhamdulillah , dia semakin pulih. Sekarang ni aku bolehlah  menarik nafas dengan tenang. Sebenarnya masa baru keluar dari hospital dulu , abang Anip nampak macam semakin pulih. Tapi entah mana silapnya tak semena-mena , lepas seminggu  di rumah keadaannya tiba-tiba bertukar menjadi semakin teruk. Selain fizikalnya yang semakin tenat , abang Anip juga selalu didatangi oleh mimpi yang bukan-bukan. Tidurnya tidak pernah lagi aman. Kesian dia. Aku pun hampir berputus asa , dah tak tahu apa nak dibuat lagi ... hanya berdoa dan berserah kepada Allah yang Maha Esa. Namun akhirnya aku terfikir sendiri yang ini  semua adalah dugaan dariNya. Juga sebagai ujian untuk  menguji sejauh mana cintaku padanya. Alhamdulillah , akhirnya aku berjaya mengumpulkan semula kekuatan. Kemudian, barulah aku dapat  memainkan perananku sebagai seorang isteri dengan lebih baik untuk membantu abang Anip”. Jelas terpancar kesyukuran di wajah Ziah tatkala teringatkan segala suka duka yang telah dilaluinya bersama suami tercinta.
Diah diam ... terasa dirinya benar-benar lemah berbanding Ziah. Rasa bersalah pula menyebabkan Ziah terpaksa berjauhan dari suami yang dicintainya.
“Kau tentu sangat cintakannya , kan Ziah?”. Tanya Diah dengan wajah polos memandang Ziah.
“Sepenuh jiwa ragaku”. Jawab Ziah tanpa ragu.
 Diah tersenyum mendengar jawapan Ziah itu. “Masih adakah cinta sejati dalam dunia ini?”. Fikirnya sendiri. Diah terus tertawa apabila melihat Ziah menaikkan keningnya beberapa kali sebelum menjulingkan matanya ke arah Diah.
“Ziah ... maafkanlah aku. Kerana aku kau terpaksa berjauhan dengan abang Anip”. Diah menundukkan kepalanya. Kesal kerana telah membebankan sahabatnya itu dengan masalahnya pula.
“Eh , apa pulak. Abang Anip yang menggalakkan aku ke mari. Dia tahu yang kita ni dah macam adik beradik. Susah kau susah aku jugak. Tak gitu?”. Balas Ziah , cuba menghilangkan rasa bersalah Diah. Menitis air mata Diah mendengar kata-kata Ziah , tiba-tiba sahaja dia jadi begitu sensitif.
“Bertuahnya kau dapat seorang suami yang sangat memahami”. Balas Diah sambil mengesat air matanya.
“Eh , kenapa kata begitu. Kau tu sebenarnya yang sangat bertuah dapat lelaki macam Zuraimie , ingat di masa kau susah dahulu  … siapa yang sentiasa ada di sisi kau?. Aku sahabat baik kau nipun tak sanggup berkorban sebagaimana yang telah dilakukannya. Diah hargailah dia. Dia itu terlalu sayang dan cintakan kau. Kau kena sedar itu”. Ziah mengingatkan Diah akan pengorbanan yang telah dilakukan Zuraimie kepadanya.
 Diah menyambung tangisnya , lebih teresak-esak mendengar kata-kata Ziah itu , memang tidak dapat dinafikan Zuraimie adalah penyelamatnya , Zuraimie telah banyak bersabar dan berusaha bersungguh-sungguh untuk mendapatkan cintanya. Zuraimie yang tetap sanggup menerimanya walaupun dirinya kotor dan penuh dosa. Tetapi mengapa setelah hatinya terbuka untuk Zuraimie , segalanya berubah. Zuraimie yang dulunya adalah penyelamatnya kini  telah pandai menyakitinya , Zuraimie yang sangat mencintainya kini curang kepadanya , Zuraimie kini sudah tidak seperti dulu , Zuraimie kini sudah pandai berbohong!. Diah terseak-esak mengingatkan semua itu.
“Alahh ... ni yang aku malas ni. Tak payahlah nak nangis-nangis. Ingat, nangis takkan menyelesaikan masalah!.Hah! mana kereta kau? Ke kita nak berjalan kaki saja?”. Tanya Ziah , sengaja menukar tajuk perbualan. Diah tersenyum juga mendengar ocehan Ziah. Sudah lama benar dia tidak mendengar leteran Ziah begitu. Rindu dia kepada bebelan dan ocehan Ziah begitu.
“Tu hah ... jomlah!”. Kata Diah sambil mengesat airmatanya lalu segera  menarik tangan Ziah ke arah sebuah kereta Toyota Corolla hitam . Sebaik sahaja mereka menghampiri kereta tersebut , seorang lelaki berpakaian serba putih  , siap bertopi turun dari bahagian pemandu lalu dengan segera membukakan pintu belakang Toyota Corolla hitam kepada dua wanita ini.
“Bahari ... balik terus ke rumah”. Arah Diah.
“Baik puan!”. Jawabnya tanpa soal lalu kereta terus dipandu laju ke destinasi yang diarahkan meninggalkan perhentian  bas Pekeliling.
“Baik puan!”. Ajuk Ziah perlahan sambil mengenyitkan matanya kepada Diah. Diah hanya tersenyum.
“Kau tinggal di mana sekarang?”. Tanya Ziah pula.
“Masih tinggal di Bangi tapi tidak satu rumah ngan keluarga mertua aku lagi. Tinggal di rumah sendiri”. Jawab Diah.
“Dulu ... tinggal di rumah mertua?”.Tanya Ziah lagi. Diah hanya menganggukkan kepala.
“Macam neraka dunia!”. Bisiknya perlahan ke telinga Ziah.
“Hushhh! Tak baik kata begitu!. Ibu dan bapa mertua tarafnya sama saja dengan ibu dan bapa kita sendiri. Wajib kita muliakan dan menyayanginya sama seperti kita muliakan  dan sayangkan ibubapa kita sendiri. Malah , kalau jodoh kita dengan suami tak panjang sekalipun mereka tetap menjadi ibubapa mertua kita selamanya. Taraf yang dibawa sampai ke akhirat”. Tegur Ziah , tidak suka mendengar komen Diah tentang mertuanya.
“He he he “. Diah tertawa mendengar kata-kata Ziah itu. Ziah terkejut dan tidak faham dengan reaksi Diah. Wajah Diah ditatapnya.
“Yelah , kau suruh aku muliakan dan sayang mereka macam mak bapak aku sendiri padahal mak bapak aku kan dah lama buang aku. Aku ni anak terbuang. Merempat dan sudah tak punya siapa-siapa. Maka semestinya aku ini sudah tidak layak untuk memuliakan dan menyayangi mereka , baik ibubapaku sendiri atau kedua mertuaku. Lagipun aku dah lupa cara nak memuliakan dan menyayangi mereka!”. Terang Diah.
“Laaa … ke situ pulak. Sepatutnya , kalau ibubapa kandung kau dah tak terima kau , lagilah kau patut muliakan dan sayangkan ibubapa mertua kau”. Jawab Ziah selamba.
“Huh?”. Keluh Diah. Tidak disangkanya Ziah akan berkata begitu.
“Huh?”. Ajuk Ziah , memandang Diah dengan wajah yang serius , sengaja kening kanannya dijongketkan ke atas.
“Betul Ziah , aku bukan nak buat cerita. Memang betul itu yang aku rasa. Tinggal dengan ibubapa mertua , macam betul-betul tinggal di neraka. Neraka dunia!!”. Diah mengulangi kata-katanya dengan keras. Bahari seperti terganggu mendengarnya. Ziah segera menyinggung lengan Diah sambil memuncungkan mulutnya ke arah Bahari. Diah segera menutup mulutnya. “Uppss!!”.
Ziah hanya menggelengkan kepalanya , “Teruk kawan aku ini”. Fikirnya.
Ziah akhirnya mengambil keputusan untuk mendiamkan diri di sepanjang perjalanan itu. “Diah , aku ngantuklah ... nak tidur ... nanti dah sampai kau kejut ye”. Sengaja memberi alasan begitu. Diah mengangguk.  Perjalanan yang mengambil masa satu setengah jam itu cukup merehatkan bagi Ziah. Setelah semalaman terhengguk-hengguk di dalam bas , Ziah kini boleh melelapkan matanya dengan tenang dan aman. Toyota Corolla Altis yang dipandu Bahari berjalan lancar dan mampu  menyerap hentakan dengan cukup baik.
“Memang berkualiti kereta keluaran Jepun ini. Tentunya kereta Malaysia juga akan jadi sehebat ini satu hari nanti”. Fikir Ziah sebelum benar-benar terlena ...

 Di luar tembok dibarisi oleh  Ixora javanica ...
“Ziah! Ziah! Dah nak sampai ni. Bangunlah!”. Kejut Diah , sambil menggoncang perlahan bahu Ziah. Ziah terkebil-kebil  membuka matanya.
“Errghh ... ngantuknya!. Dah sampai ke?” . Tanya Ziah sambil menahan nguap mulutnya.
“Ye ... dah sampai rumah aku!. Tak payahlah kau asyik nak jadi ‘sleeping beauty’”. Diah berseloroh  , Ziah pula hanya tersengih mendengar kata-kata Diah itu.
“Sleeping beauty?. Beauty?”. Kata Ziah di dalam hatinya , tanpa sedar Ziah mengusap – ngusap pipinya sendiri.
Diah bangga menunjukkan  rumah banglo dua tingkat yang dicat hijau. Dinding temboknya pula dihiasi batu bata merah asli yang disimen cantik. Di halaman rumah pula hidup subur dua rumpun pinang merah. Palma hiasan yang mempunyai nilai astetika yang tinggi. Di luar tembok indah dibarisi oleh  Ixora javanica  yang biasanya dipanggil dengan panggilan pokok jejarum. Bunga kuning jingganya  amat menarik hati. Tidak cukup dengan itu , di penjuru kiri halaman rumah itu dilengkapi sebuah kolam ikan yang sederhana besarnya. Batu-batuan sungai disusun sebegitu rupa mewujudkan suasana air terjun yang begitu indah sekali. Bunyi deraian air jatuh , liuk lengguk ikan talapia Jepun berenang sungguh mengasyikkan ...    
“Wah ... cantiknya rumah kau Diah!” . Puji Ziah , ikhlas. Terpaku dia melihatkan keindahan bahagian luar rumah Diah itu.
“Ye ke? ... Terima kasih!. Eh , marilah kita masuk. Kau tentu dah penat. Bolehlah mandi dan berehat dulu. Nanti dah hilang penat bolehlah kita bercerita”. Ajak Diah.
“Hmm ... yelah. Aku memang perlukan bilik air sekarang ni!”. Ziah merenyih sambil tersenyum. Tangannya memegang perut.
“Eeee … ada-ada sajalah kau ni”. Balas Diah.
Pucuk dicita ulam mendatang ... Ziah membersihkan dirinya lalu berehat seketika di atas sofa panjang yang tersedia. Bilik tetamu yang didiaminya ini sungguh menyegarkan , cukup dengan kelengkapan penghawa dingin , katil , almari solek dan tidak ketinggalan jambangan bunga ros hidup menambahkan lagi seri bilik itu.
“Mewahnya hidup kau Diah”. Kata hati Ziah lalu membandingkan segala yang dimiliki oleh Diah dengan milikannya. “Hmm … dah lama aku tak merasa duduk di tempat ber’aircond’ macam ni. Duduk di kampung , mengajar di pedalaman. Manalah nak ada kelengkapan serupa ini. Tapi aku tetap bahagia. Ya , aku bahagia dan bersyukur dengan segala yang kumiliki. Rumah kayu yang sudah berzaman , sungai yang sentiasa deras airnya , daun-daun telipuk yang melambai-lambai bersama arus , ikan-ikan yang sentiasa lapar , kebun sayur yang menghijau , anak-anak ayam nakal berlari – lari di reban dan yang lebih utama , punya keluarga mertua dan seorang suami yang sangat mencintaiku dan sangat aku cintai. Sungguhpun terlalu sedikit yang diberinya , itu sudah cukup membuatkan hidupku ini bahagia ”. Kata Ziah kepada dirinya sambil membayangkan wajah abang Anip yang dirindui. Tidak sampai sehari  berpisah sudah menggunung rasa rindu di kalbu. Terbayang-bayang olehnya senyuman manis nan menggoda abang Anip apabila minta dimanjai , terhidu-hidu bau minyak wangi atar yang sering dipakai abang Anip tiap kali mahu solat dan terngiang-ngiang suara abang Anip memanggil-manggil dari atas rumah. “Huh! Baru sehari berpisah dah anagu sebegini!!”. Keluh Ziah sambil meraup wajahnya beberapa kali.



Aku Rindu Kamu

Aku rindu kamu
Kulekapkan tanganku di dada
Utuh rasanya hadirnya  cintamu

Raungan jiwa mengharap wujudmu nyata
Ingin memeluk sayang mesra jasadmu
Nak ku dengar tiap helaan nafas nyawa
Didakapan rindu bagai nyata  bersatu
Usaikan dendam lelah kasih mendamba

Kekasih awal dan akhir utuh selamanya
Aur dan tebing kian akrab menjadi  satu
Manusia dan permainan angan diminda
Umpamakan sayangku buatmu selalu


Lakaran Hati  Ziah yang merindu


Ziah melakarkan dan mengalunkan puisi cinta di kajang kalbunya , khas untuk suami tercinta. Sambil mindanya berdendang mesra , terbayang olehnya wajah abang Anip yang tampan menawan tatkala kali pertama tangan mereka bersatu dalam perarakan gilang gemilang menyambut menantu di Pagan Sena dahulu.
“Aku sayang kamu!”
“Aku sayang kamu!”

Kata-kata keramat yang bagaikan sudah sebati dengan jiwanya , sentiasa bermain di bibir mindanya. Akhirnya bagaikan orang mengantuk disorongkan bantal , bersama cinta abang Anip yang sentiasa segar diingatan , Ziah melelapkan matanya sekali lagi. Namun tanpa Ziah ketahui , ada yang langsung tidak dapat melelapkan matanya sejak semalam. Dia benar-benar bagaikan pungguk merindukan bulan , mengharap  waktu berlalu pantas  agar sang isteri akan segera kembali berada di pangkuan … abang Anip sedang amat merindu!

No comments:

Post a Comment