Popular Posts

Saturday, 2 August 2014

Lukis jea ... sayangi alam kita

Lukis jea ...
Semasa aku melakarkannya , ingatanku singgah pada seorang teman yang juga
mencintai alam ... namun kini dia sudah pergi ... jauh dan semakin jauh dariku ...
moga dia menemui  jalan menuju Tuhannya...

Hidup Harus Diteruskan


Hidup Harus Diteruskan


Lukis jea ... Diah: Hidup harus diteruskan

Hidup ini bukan untuk kita melakar mimpi
Ianya perjalanan kisah yang telah tertulis
Duka dan suka menjadikannya lebih menarik
Untunglah jika watakmu serasi jiwa
Pun begitu bersyukur sajalah atas apa jua kurniaNya

Harapan dan impian seindah mimpi
Aroma rempah ratus kehidupan yang mempersona
Ruang waktu bagai menjanjikan bahagia
Usah diucap lagi kisah luka
Semuanya koleksi sejarah harus disimpan dalam jiwa

Datanglah ... datanglah bahagia
Impian ini biar menjadi nyata
Telapak tanganku dan telapak tanganmu
Erat bertaut menggenggam hajat
Ruas-ruas kehidupan kita tempuh bersama
Ulas-ulas kasih kita semai semula
Sirip-sirip rindu membajai cinta
Kiasan kehidupan kita jadikan panduan
Agar nantinya bahagia itu akan benar menjelma
Nantikan aku ... nantikan kamu ... bila tiba saatnya

                                 

"Keranamu DIAH" : Bab 28

"Keranamu DIAH" : Bab 28

BAB 28 : Ziah menziarahi Diah
Tiada yang lebih berharga daripada kejujuran....
“Ziah!!”.
“Diah!!”
Kedua sahabat itu saling berpelukan. Setelah berada lebih lima jam di dalam bas ekspress yang dinaikinya sejak semalam , Ziah berasa benar-benar lega lebih-lebih lagi setelah terpandangkan wajah Diah , sahabatnya yang terlalu lama tidak bersua.
“Macam mana perjalanan?”. Tanya Diah , gembira benar kerana dapat bertemu semula dengan Ziah , lebih setengah tahun mereka tidak bertemu.
“Naik bas ekspress lebih lima jam. Huh! Sungguh memenatkan. Naik kematu punggung aku ni. Ni hah ,tengkukpun dah sakit asyik terlentuk je!”. Ziah merungut sambil memegang tengkuknya .
“Huh! Buat cita sedihlah tu!”.  Diah memuncungkan bibirnya. Tidak mahu mengakui bahawa dia telah menyusahkan Ziah dengan memaksanya menziarahinya.
“Amboi! Cantiknya muka!!” . Ziah menarik bibir Diah.
“Woiii! Sakitlah!!”. Diah menolak tangan Ziah. Mereka terus berjalan beriringan.
“Heh, nak bawak aku ke mana?”. Tanya Ziah , tersengih memandang Diah.
“Mana lagi , mahligai aku yang dah kusam tu lah!!”. Balas Diah , selamba.
“Aii , lain macam je bunyinya!”. Tegur Ziah.
“Hmm ... kita cita kat rumah nanti je lah. Errr ... macam mana dengan hubungan kau dengan abang Anip sekarang?”. Giliran Diah untuk bertanya , hampir terburai tawa Ziah mendengar pertanyaan itu
.
 Sejak Ziah membawa hati ke Pagan Sena , dia telah terperangkap dengan ‘cinta unik’ lelaki misteri yang dipanggil abang Anip.
“Huhhh ... Alhamdulillah. Nampaknya ada perkembangan. Kau doakan sajalah agar semuanya dipermudahkan. Doakan agar jodoh kami berpanjangan , aku memang telah redha menjadi isterinya. Yalah , orang macam aku ni bukannya boleh memilih sangat. Ada orang yang sukapun dah kira baik!”. Jawab Ziah , merendah diri. Memang sejak  dari mereka sama-sama menuntut dulu , Ziah memang selalu merendah diri. Mana tidaknya , setiap kali dia berjalan bersama Diah , pasti ada saja usikan-usikan buat Diah dari siswa-siswa yang mereka lewati. Dirinya , hampir tenggelam terus. Seperti tiada siapa yang sedar akan kehadirannya!. Kasihan Ziah ...
 “Kau tentu sangat cintakannya , kan Ziah?”. Tanya Diah.
“Sepenuh jiwa ragaku”. Jawab Ziah tanpa ragu.
 Diah tersenyum mendengar jawapan Ziah itu. “Hmm ... masih adakah cinta sejati dalam dunia ini?”. Fikirnya sendiri.
“Ziah ... maafkanlah aku. Kerana aku kau terpaksa berjauhan dengan abang Anip”. Diah menundukkan kepalanya. Kesal kerana telah membebankan sahabatnya itu dengan masalahnya pula.
“Eh , apa pulak. Abang Anip yang menggalakkan aku ke mari. Dia tahu yang kita ni dah macam adik beradik. Susah kau susah aku jugak. Tak gitu?”. Balas Ziah , cuba menghilangkan rasa bersalah Diah. Menitis air mata Diah mendengar kata-kata Ziah , tiba-tiba saja jadi begitu sentimental.
“Alahh ... ni yang aku malas ni. Tak payahlah nak nangis-nangis. Ingat, menangis takkan menyelesaikan masalah!.Hah! mana kereta kau? Ke kita nak berjalan kaki saja?”. Tanya Ziah , sengaja menukar tajuk perbualan. Diah tersenyum mendengar celoteh Ziah , segera air mata yang mahu mengalir itu dikesatnya.
“Tu hah ... jomlah!”. Diah menarik tangan Ziah ke arah sebuah kereta Toyota Corolla hitam yang sedia menunggu di tepi jalan. Sebaik sahaja mereka menghampiri kereta tersebut , turun seorang lelaki berpakaian serba putih dari bahagian pemandu lalu dengan segera membukakan pintu belakang Toyota Corolla hitam kepada dua wanita ini.
“Bahari , kita balik terus ke rumah”. Arah Diah.
“Baik puan!”. Kereta dipandu laju meninggalkan perhentian  Pekeliling.
“Baik puan!”. Ajuk Ziah perlahan sambil mengenyitkan matanya kepada Diah. Diah hanya tersenyum.
“Hebat kau. Siap ada pemandu sendiri. Eh! Kau tinggal di mana sekarang?”. Tanya Ziah.
“Masih tinggal di Bangi tapi tidak satu rumah ngan keluarga mertua aku lagi. Tinggal di rumah sendiri”. Jawab Diah.
“Dulu kau tinggal di rumah mertua?”.Tanya Ziah lagi. Diah hanya menganggukkan kepala.
“Macam neraka dunia!”. Bisiknya perlahan ke telinga Ziah.
“Hushhh! Tak baik kata begitu!. Ibu dan bapa mertua tarafnya sama dengan ibu dan bapa kita sendiri. Wajib kita memuliakan dan menyayangi mereka sama seperti kita memuliakan ibubapa kita sendiri. Malah , kalau jodoh kita dengan suami tak panjang sekalipun mereka tetap menjadi ibubapa mertua kita selamanya. Taraf yang dibawa sampai ke akhirat. Ingat tu!”. Tegur Ziah , serius wajahnya menasihati Diah.
“Tapi memang betul. Hidup aku di sana betul-betul macam berada di neraka dunia!!”. Diah mengulangi kata-katanya dengan keras. Bahari seperti terganggu mendengarnya. Ziah segera menyinggung lengan Diah sambil memuncungkan mulutnya ke arah Bahari. Diah segera menutup mulutnya.
“Uppss!!”.Lalu tersengih...
Ziah hanya menggelengkan kepalanya.
Ziah akhirnya mengambil keputusan untuk mendiamkan diri di sepanjang perjalanan itu. Tiada guna menjolok Diah dengan soalan-soalan tentang rumah tangganya , silap hari bulan habis semuanya dibongkar di hadapan Bahari , pemandunya itu.
“Diah , aku ngantuklah ... nak tidur. Nanti dah sampai kau kejut ye”. Sengaja memberi alasan.
“Eee...apalah kau ni. Setahun tak sekali jumpa akupun asyik nak tidur!. Ha iyalah!. Tidurlah dulu , nanti sampai aku kejutkan”.

Rumah Diah
Perjalanan yang mengambil masa satu setengah jam itu cukup merehatkan bagi Ziah. Setelah semalaman terhengguk-hengguk di dalam bas , Ziah kini boleh melelapkan matanya dengan tenang dan aman. Toyota Corolla Altis yang dipandu Bahari berjalan lancar dan mampu  menyerap hentakan dengan cukup baik.
“Memang berkualiti kereta keluaran Jepun ini. Tentunya kereta Malaysia juga akan jadi sehebatnya satu hari nanti”. Fikir Ziah sebelum benar-benar terlena ...

...  Di luar tembuk dibarisi oleh  Ixora javanica ...
“Ziah! Ziah! Dah nak sampai ni. Bangunlah!”. Kejut Diah , sambil menggoncang perlahan bahu Ziah.
“Errghh ... ngantuknya!. Dah sampai ke?” . Tanya Ziah sambil menahan nguap mulutnya.
“Ya ... dah sampai rumah aku!. Bangunlah ‘sleeping beauty’!”. Diah bangga menunjukkan  rumah banglo dua tingkat yang dicat hijau. Dinding tembuknya pula dihiasi batu bata merah asli yang disimen cantik.  Di halaman rumah hidup subur dua rumpun pinang merah. Palma hiasan yang mempunyai nilai astetika yang tinggi. Di luar tembuk pula dibarisi oleh  Ixora javanica  atau biasanya dipanggil dengan panggilan pokok jejarum. Bunga kuning jingganya  amat menarik hati. Tidak cukup dengan itu , di penjuru kiri halaman rumah itu dilengkapi sebuah kolam ikan yang sederhana besarnya. Batu-batuan sungai disusun sebegitu rupa mewujudkan suasana air terjun yang begitu indah sekali. Bunyi deraian air jatuh ... liuk lengguk ikan talapia Jepun berenang sungguh mengasyikkan ...    
“Wah! Cantiknya rumah kau Diah!” . Puji Ziah , ikhlas.
“Ye ke? Terima kasih!. Eh , marilah ... kita masuk. Kau tentu dah penat. Bolehlah mandi dan berehat dulu. Nanti dah hilang penat bolehlah kita bercerita”. Ajak Diah.
“Hmm ... yelah. Aku memang perlukan bilik air sekarang ni!”. Ziah merenyih sambil tersenyum. Tangannya memegang perut.
Pucuk dicita ulam mendatang ...  Ziah membersihkan dirinya lalu melelapkan mata seketika.

 “Anak?!”.  Diah berkata sambil mencebikkan mulutnya ...
Lebih kurang sejam kemudian , Diah mengajak Ziah keluar untuk makan tengahari.
“Ke mana?” Tanya Ziah.
“Jomlah , kita jalan-jalan ... cari makan di luar. Bolehlah kita sembang-sembang tanpa sebarang gangguan”. Jawab Diah.
“Gangguan?. Aku tengok kat rumah kau ni bukan ada sapa pun. Errr ... satu lagi , mana anak kau?. Sejak aku sampai tak nampak-nampak pun dia”. Tanya Ziah.
“Anak?!”.  Diah berkata sambil mencebikkan mulutnya.
“Eh ,  kenapa ni?!”. Balas Ziah , hairan dengan reaksi Diah.
“Hmm ... nantilah aku cerita. Kau siap-siaplah , kita keluar”. Desak Diah dan  Ziah hanya menganggukkan kepalanya. Fikirannya masih memikirkan soal anak Diah.
“Mana?. Takkan dah ...”. Ziah segera menepuk dahinya sendiri.

Setelah keduanya siap berpakaian , mereka beriringan keluar.
“Abang Bahari , tolong hantarkan kami ke Sunway pyramid”. Pinta Diah.
“Sunway pyramid?. Pada waktu sekarang?” . Tanya abang Bahari ragu-ragu. Pukul 12:00 tengahari nak menghala ke KL bukanlah satu keputusan yang bijak!.
“Ya. Sunway pyramid!”. Balas Diah jengkel. Tidak suka arahannya dipersoalkan.
“Errr ... waktu-waktu begini jalan sesak. Orang pejabat keluar lunch puan”. Terang abang Bahari. Agak keberatan.
“Alah bila kita sampai sana nanti orang dah masuk pejabat semula! Cepatlah , saya ada hal ni nak ke sana”. Balas Diah.
“Baiklah  Puan!” . Jawab abang Bahari ,  terpaksa akur!.

“Huh...jauh panggang dari api!. Takde mananye aku mengidam”
Sebaik sahaja sampai di Sunway pyramid Diah terus mengarahkan Bahari untuk balik ke rumah semula manakala dia mengajak Ziah untuk makan tengahari di Restoran Pizza Hut dalam sumway pyramid itu.
“Aiii ... macam mengidam nak makan pizza je!”. Usik Ziah.
“Huh! Jauh panggang dari api!. Takde mananye aku mengidam”. Balas Diah
“Apa pulak takde mananya. Haahhh jangan bagitahu aku yang kau dan Zuraimie tak pernah ...”. Ziah mengangkat keningnya berkali-kali sambil memandang Diah dengan wajah nakalnya.
“Hei cukuplah tu!. Jom cepat ... aku lapar ni. Karang tak dapat Pizza , engkau yang aku makan!” Diah terus menarik tangan Ziah . Sengaja tidak mahu memperpanjangkan soal ‘mengidam’ itu. Ziah  hanya menurut sambil tertawa kecil. Teringat dia zaman dulu-dulu ,  ketika sama-sama masih bergelar siswazah , saling mengusik dan menyakat!..

Sambil menunggu makanan yang dipesan , Diah mula membuka cerita ...
“Sebenarnya perkahwinan aku ini adalah satu kesilapan. Kesilapan paling besar yang pernah aku lakukan dalam hidup ini!”.  Diah memulakan ceritanya.
“Kesilapan?”. Ziah tidak faham.
“Ya”. Diah menegaskan tanpa ragu.
“Cuba kau terangkan ... bagi aku faham”. Pinta Ziah. Tidak senang mendengar pengakuan Diah itu. Mana tidaknya , perkahwinan Diah dan Zuraimie adalah hasil campur tangannya juga. Masakan kerja menyelamatkan sebuah maruah yang punah itu dikatakan satu kesilapan!.
“Ziah , kau sendiri tahukan selepas aku melahirkan Raziq , anakku itu ... aku telah bernikah dengan Zuraimie. Pernikahan kami asalnya ditentang hebat oleh keluarganya. Mereka tidak boleh menerima kehadiran aku. Yelah , pada mereka aku ini terlalu hina. Tidak layak untuk anak mereka. Bagi mereka aku ini hanyalah perosak masa depan Zuraimie. Bermula daripada aku koma dulu hinggalah saat aku melahirkan Raziq dan akhirnya menjadi menantu keluarga itu , aku dan Zuraimie terpaksa berbohong dengan mengatakan yang Raziq itu adalah anak kami berdua. Mujur juga rupa Raziq memang seiras Zuraimie. Mungkin Allah nak tolong aku agaknya. Jadi sehingga hari ini mereka masih menyangka yang Raziq itu adalah cucu kandung mereka”. Ziah membuka ceritanya.
“Yalah betullah tu. Kalau diingat-ingat balik , Raziq kau dulu tu memang ada iras ngan Zuraimie. Macam adik beradik.  Tak heranlah kalau anak kau Raziq ni juga ada iras rupa Zuraimie. Eeee ... kau ni pun satu , kenapalah kau beri nama anak kau Raziq juga. ‘Confuse’lah aku dibuatnya!” .  Bebel Ziah.
“Saja. Aku tak dapat nak lupakan ayahnya!”. Jawab Diah selamba.
“Zuraimie setuju je kau guna nama tu ...?”. Tanya Ziah , musykil. Sudah dua kali dia bertanyakan soalan yang sama. Kalau dia menjadi Diah , tidak mungkin dia akan memilih nama Raziq untuk anaknya itu. “Kasihan Zuraimie”. Fikirnya.
“Dia tak ada pilihan!”. Balas Diah tersenyum.
“Ya! Dia memang tak ada pilihan tapi kau ada!. Kau boleh saja memilih nama lain yang tidak menyakitkan hati Zuraimie!”. Ziah sedikit geram mendengar jawapan Diah itu. Lelaki sebaik Zuraimie tidak harus dilayan begitu. Diah hanya mencebikkan bibirnya mendengar komentar Ziah.
“ Itulah bukti yang dia sangat cintakan kau. So apa sebenarnya masalah kau ni sekarang?”. Ziah menarik nafas panjang , menenangkan diri dan cuba untuk memahami masalah yang melanda Diah.
“Aku ingat lagi masa mula-mula aku dibawa bertemu dengan keluarganya. Sudahlah kedatangan aku tidak disambut. Langsung tidak dihidangkan walau segelas air sejuk sekalipun. Tapi masa tu aku masih boleh bersabar. Demi memberikan seorang ayah buat anakku Raziq”. Diah menyambung ceritanya.
“Jadi itulah tujuan kau berkahwin dengan Zuraimie?. Untuk memberikan seorang ‘ayah’ buat anak kau?” . Ziah bertanya dengan nada yang agak sinis. Ziah tidak bersetuju dengan alasan perkahwinan Diah. Zuraimie yang pernah menjadi lelaki idamannya itu tetap memilih Diah walaupun telah mengetahui keterlanjuran Diah. Masakan Diah langsung tidak memberi peluang kepada lelaki ini untuk mengecapi bahagia.
“Zuraimie itu patut dicintai!”. Hati Ziah membantah.
“Ya!!.  Itulah satu-satunya sebab aku menerimanya sebagai suami. Takkan ada sebab lain!. Kau sendiripun tahukan betapa besarnya cinta aku kepada Raziq. Sehingga hari inipun aku masih bermimpikannya!”.  Diah agak meradang mendengar nada suara Ziah yang agak sinis itu.
“Errr ... maaflah Diah. Aku terbawa-bawa dengan perasaanku sendiri. Aku kata begitu kerana aku tahu betapa besarnya cinta Zuraimie terhadap kau. Aku lihat wajah sengsaranya semasa kau koma di hospital dulu. Aku sendiri dengar doktor Anisah , kakak Zuraimie membangkang tindakannya untuk terus-terusan menjaga kau. Aku kagumi kesanggupannya menangguhkan pembelajarannya semata-mata untuk memastikan kebajikan kau terjaga . Diah ... mungkin dia bukan lelaki yang sangat kau cintai tapi ... dia adalah lelaki yang telah terlalu banyak berkorban untuk kau!. Tak bolehkah kau hargai semua itu?”. Ziah cuba menyedarkan sahabatnya itu.
“Huhhh! Aku tidak pernah minta dia berkorban untukku!”. Diah cuba menegakkan pendiriannya dan haknya untuk menafikan segala pengorbanan Zuraimie.
“Ya memang betul , kau memang tak  pernah minta semua itu. Tapi ... pernah tak  kau terfikir , kalau bukan kerana dia, agaknya apa yang dah terjadi pada kau sekarang? Pernah kau terfikir , kalau bukan kerana dia , kau mungkin sedang merempat bersama anak kau Raziq?. Mak bapak kau sendiri pun dah buang kau Diah!  Sedarlah sikit. Kalau bukan kerana Zuraimie mana lagi kau nak pergi? Mana?!” . Kali ini marah betul Ziah dengan sikap Diah yang tidak tahu mengenang budi , betul-betul bagai kacang lupakan kulit!.
“Habis, mentang-mentanglah dia sudi memungut aku menjadi isterinya maka aku harus serahkan segalanya? Apa kau fikir aku ni tak ada harga diri?. Tak ada keinginan?. Apa kau ingat aku akan merempat atau mati kalau dia tak kahwin dengan aku? Apa kau ingat aku ni ‘desperate’  sangat nakkan sorang laki? Hah?!!!”. Diah sudah tidak dapat bersabar dengan serangan Ziah yang bertubi-tubi. Diah terasa terpukul kerana apa yang dikatakan oleh Ziah itu sememangnya benar namun egonya memaksanya untuk tidak mengalah. Diah terpaksa membalas serangan Ziah ... demi mempertahankan pendiriannya , keegoannya. Ziah terdiam. Dia hanya mampu menggelengkan kepala berkali-kali. Tidak pernah disangkanya sampai begitu sekali sikap Diah. Buruk benar tanggapannya terhadap rumahtangganya sendiri.
“Ziah, pernah tak kau fikirkan perasaan aku?. Kenapa kau berpihak kepada Zuraimie? Bukankah aku ini sahabat baik kau?”. Menitis air mata Diah apabila menyedari yang dirinya sendirian menghadapi kemelut rumah tangganya. Sahabat baik yang selama ini menyokongnya sudah berpaling tadah dan tidak lagi berpihak kepadanya. Mendengar kata sayu Diah , Ziah kembali sedar bahawa mereka telah terlalu jauh tenggelam dalam perbincangan yang tidak berkesudahan. Masing-masing tetap dengan pendirian sendiri!. Ziah juga mula tersedar betapa banyaknya mata-mata pelanggan lain yang turut berada di situ semuanya sedang memandang mereka dengan pandangan yang sinis. Mana tidaknya , perbalahan tadi cukup kuat untuk di dengar oleh seisi ruang!
“Errr ...  Diah , maafkan aku. Kita sambung perbincangan ini kemudian. Aku rasa kita patut beredar dari sini segera. Jomlah ke tempat lain”. Ziah berkata sambil menarik tangan Diah. Diah akur malah langkahnya dilajukan , lebih-lebih lagi apabila terpandangkan mata-mata yang mencerlung merenungnya.
“Chehhh ... perempuan tak tahu dek untung!”. Kedengaran satu suara sumbang dihambur keluar apabila kedua sahabat itu lalu di sebelah sebuah meja makan yang terdiri daripada tiga orang lelaki separuh umur.
Diah rasa terhina dengan kata-kata itu. Dia cuba memusingkan badannya untuk menegur sikap buruk yang hanya pandai menghina. Mujur Ziah segera menariknya keluar.
“Kau ni kenapa nak halang aku?” . Marah Diah diperlakukan begitu.
“Habis? Nak biarkan kau bergocoh dengan lelaki-lelaki itu? . Tanya Ziah.
“Aku bukan nak cari gaduh. Tapi kau dengar sendiri kata-kata mereka tadi. Macamlah mereka tu bagus sangat!!!”. Diah merungut.
“Biarlah Diah. Mereka bukan kenal kitapun.Lagipun memang kita yang salah. Terjerit-jerit bertekak. Eeeeee ... malunya! .  Hmmm , jom cepatlah kita pergi dari sini!”. Ziah segera melajukan langkahnya diikuti oleh Diah. Setelah pasti tiada mata lagi yang memandang langkahnya diperlahankan lalu menoleh ke arah Diah.
 “Ke mana kita?”. Ziah bertanya sambil tersenyum menahan tawa. Diah memandangnya, juga tersenyum. Akhirnya berderai tawa mereka hingga terbit air mata . Mereka ketawa tiada henti hinggakan terpaksa berhenti duduk di sebuah kerusi panjang laluan. Mereka terus tertawa dan tertawa sehingga puas. Mentertawakan kebodohan sendiri , bercerita soal peribadi sampai lupa diri!
“Jomlah. Kita makan di Kenny Rogers , nak?”. Tanya Diah.
“Hmm ... okey gak”. Jawab Ziah , masih dihujung tawanya.
Kedua sahabat itu berjalan  dan memasuki ruang makan Kenny Rogers.
“Hmm ... sedapnya bau!” . Komen Ziah.
“Yup memang sedap. Sebenarnya dah lama benar aku tak makan ayam Kenny Rogers ni. Ni ada kau, lagi selera aku nak makan” . Diah berkata sambil merenyih memandang Ziah.
“Hmm apa lagi , orderlah. Aku ni pun dah lapar. Habis tenaga ketawa!” . Balas Ziah.
                                                                                                                                        Setelah makanan yang dipesan sampai mereka berdua makan tanpa bercerita langsung. Masing-masing tidak mahu menimbulkan suasana tegang. Lebih-lebih lagi tatkala rezeki sedang memasuki perut. Hanya sesekali kedengaran bunyi pisau dan garpu berlaga.
Habis makan Diah melambai tangan ke  arah pelayan yang sedia menunggu.
“Dik akak nak tambah pesanan”. Kata Diah.
“Ya , nak pesan apa kak?”. Tanya pelayan itu.
“Hmm ... banana split satu. Eh nanti!. Ziah , kau nak tak?”. Tanya Diah kepada Ziah.
“Boleh gak”. Jawab Ziah sambil tersengih.
“Rezeki jangan ditolak!”. Katanya lagi.
“Okey dik. Bagi kami 2 banana split”. Pesan Diah. Pelayan hanya menganggukkan kepalanya. Diah mengekori pelayan itu dengan ekor matanya masuk ke dalam kaunter.
“Eh Diah , apa yang kau tengok tu?”. Tanya Ziah.
“Heeee....tak ada apalah!”. Diah tersenyum.
“Diah ,dari jauh aku datang. Aku sanggup bersusah-payah ke mari atas dua sebab.
Pertama , sebab aku betul-betul rindukan kau.
Kedua sebab aku risaukan keadaan kau.
Aku tak sanggup nak biarkan kau harungi semua ini sendirian. Jadi janganlah kita jadikan kedatangan aku ini sia-sia. Aku minta maaf kerana hilang sabar tadi. Aku tahu , kau dah lama tertekan . Sepatutnya aku yang lebih sabar”. Kata Ziah kesal.
“Huh, aku juga bersalah. Entah mengapa cepat benar melenting. Sudahlah ... kita lupakan saja perbalahan kita tadi” . Balas Diah.
“Okey , kalau gitu ... apa kata kau sambung cerita kau semula. Buat aku faham masalah kau. Mungkin dengan cara itu aku boleh membantu. Sekurang-kurangnya kau akan rasa lega sedikit apabila dapat meluahkannya”. Ziah menggalakkan.
“Betul kau nak aku teruskan?”. Diah menguji.
“Eeeeee ... jangan nak menguji aku pulak!”. Ziah berkata sambil mencubit peha Diah.
“Wwooo! Sakitlah!!. Sejak dah kahwin ni , kau dah pandai cubit-cubit orang” . Jerit Diah.
“Eeee ... sorry , tergeram!”. Ziah tertawa.
“Citalah!”. Sambung Ziah.
“Hmmm ... mana nak mula yee. Err tadi kita mula bertekak bila kau kata aku tak menghargai cinta Zuraimie. Wah! Marah sungguh kau ye?!”. Diah mengusik.
“Mestilah!. Kau pun tahu kau orang berdua adalah orang yang aku sayang. Mau aku tak marah kalau melihat kalian berbalahan antara satu sama lain”. Jawab Ziah. Jauh di sudut hatinya terasa malu apabila Diah memberi komen begitu. Terasa seperti Diah  menyangka yang dia masih mempunyai perasaan istimewa terhadap Zuraimie.
“Terima kasih Ziah kerana masih mengharapkan kebahagiaan buat kami berdua. Sedangkan aku tahu , pernikahan kami ini benar-benar menghiris hati kau. Tapi ... inilah suratan takdir kita. Aku hanya melakonkan watakku tanpa perasaan. Aku sebenarnya juga pernah berharap akan dapat menerima Zuraimie dan teringin sekali hidup bahagia dengannya sebagai suami isteri. Tapi ... entahlah. Semuanya terasa susah benar. Cabaran demi cabaran yang terpaksa aku tanggung. Bukan saja dari keluarga Zuraimie tapi dari dalam diri aku sendiri!” . Diah meluahkan perasaannya.
“Hmm...soal hatiku terguris itu sudah jadi cerita lama. Sudah jadi sejarah yang kukuburkan sebaik saja aku bertemu abang Anip. Tapi aku kurang faham tentang cabaran-cabaran yang kau katakana. Terangkan pada aku”. Ziah  meminta Diah menjelaskan maksudnya.
“Ziah , sehingga kini aku masih rindukan Raziq. Aku seperti terasa yang Raziq itu tidak pernah meninggalkan aku dan setiap kali aku cuba berbaik dengan Zuraimie , aku terasa seperti telah mengkhianati dia. Ziah , kami benar-benar saling mencintai. Keterlanjuran kami juga atas dasar cinta yang membuak-buak. Kami sama-sama menyesal melakukannya. Kami sama-sama menangis apabila mengetahui yang aku mengandung. Tidak habis-habis dia menyalahkan dirinya. Namun  bumi mana yang tidak ditimpa hujan.  Malam kejadian yang meragut pergi nyawa Raziq itu adalah bukti bahawa dia seorang yang bertanggung-jawab. Malam itu kami keluar untuk menguruskan soal pernikahan kami”. Diah berhenti seketika , memejamkan matanya untuk menenangkan diri.
 “Ziah , Raziq tidak pernah meninggalkan aku untuk menghadapi semua itu sendirian. Cuma takdir tidak menyebelahi kami. Jika tidak tentu kami sudah bahagia sekarang. Hidup sebagai suami isteri , diserikan dengan kehadiran anak kami. Kau tahu Ziah , aku tidak pernah menyesal mengandungkan anaknya. Sekurang-kurangnya aku dapat melihat diri Raziq dalam anakku itu”. Terang Diah.
“Sebab tu kau namakan dia Raziq?”. Tanya Ziah.
“Ya. Aku tak sanggup melupakan bapanya. Aku mahu bapanya terus hidup dalam diri anakku itu. Lagi pula bukankah wajah mereka serupa?. Dia mewarisi segalanya dari Raziq”. Jawab Diah jujur.
“Diah , apapun yang kau rasa ... itu adalah hak kau tetapi kau harus berpijak di bumi nyata. Raziq sudah menjadi sejarah. Sekarang ini Zuraimie adalah dunia kau , hidup kau. Belajarlah untuk menerimanya dengan hati yang ikhlas. Redhalah pada takdir dan ketentuan Allah. SesungguhNya Allah itu maha mengetahui apa yang terbaik buat hambanya”. Nasihat Ziah.
“Ya . Itulah yang aku cuba dan harap akan dapat lakukan. Namun kau tengoklah sekarang ni. Bagaimana boleh aku menerimanya jika pelbagai tentangan dan tohmahan yang aku terima daripada keluarganya?”. Diah minta pengertian daripada Ziah.
“Tentangan dan tohmahan?. Apa maksud kau?. Aku tidak faham”. Balas Ziah.
“Siapalah yang sanggup menerima perempuan beranak satu sebagai menantu. Sedangkan ramai lagi pilihan yang lebih baik. Keluarga Zuraimie sebenarnya telah bercadang untuk mengambil sepupunya sendiri sebagai menantu mereka. Seorang gadis terpelajar , lulusan luar negara. Malangnya Zuraimie memilih aku , seorang gadis ternoda beranak satu. Belajar pun tidak habis!”. Terasa seperti nanah yang lama terpendam di sanubarinya keluar membuak-buak. Kata-kata Diah penuh emosi. Ziah terdiam mendengar luahan  itu.
“Pendek cerita , setelah puas berbincang dan bertegang leher , akhirnya keluarga Zuraimie terpaksa mengalah. Kami bernikah juga. Majlis yang amat sederhana. Hanya dihadiri keluarga terdekat ... nikah di masjid dan itu saja. Langsung tiada kenduri atau majlis kesyukuran dijalankan. Malah aku diminta merahsiakan pernikahan kami. Memanggil ayah dan ibu pun dilarang. Aku diarahkan untuk memanggil mereka sebagai Tuan Zaman dan Puan Sarah!. Bahagiakah itu Ziah?”. Diah menyeka air matanya yang mulai mengalir laju.
“Mujur juga ibu dan ayah aku datang untuk mewalikan aku. Tapi habis saja upacara akad nikah , mereka terus balik. Langsung tidak bertanya khabar apatah lagi untuk melihat wajah cucu mereka sendiri!”.Cerita Diah , sedih.
“Alhamdulillah ... sekurang-kurangnya mereka datangkan?” . Pujuk Ziah.
“Itu masih tidak mengapa. Aku masih boleh bersabar tapi yang membuatkan aku sangat menderita adalah tindakan ibu mertuaku , Puan Sarah.  Sebaik sahaja aku menjejakkan kaki di rumah mereka , Puan Sarah terus mengambil Raziq. Konon alasan , tidak mahu ‘baby’ mengganggu pengantin baru!”  . Diah menyambung ceritanya.
“Itu tanda dia prihatinkan?”. Ziah cuba berbaik sangka.
“Prihatin?. Raziq tu menyusu badan. Kesian dia malam tu , aku pulak siksa menahan sakit. Dada aku bengkak!”. Diah mengesat airmatanya lagi. Kali ini Ziah menghulurkan beberapa helai tisu kepadanya.
“Itulah permulaan kisah aku dipisahkan dari anakku sendiri ... sehinggalah ke hari ini. Raziq mereka tatang seperti minyak yang penuh. Mati-mati mereka sangka Raziq itu cucu sebenar mereka. Aku ini ibunya langsung dinafikan hakku untuk turut serta membesarkan Raziq”. Cerita Diah lagi.
“Maksudnya , Raziq tidak tinggal bersama kau?”. Tanya Ziah minta kepastian , bagai tidak percaya dengan apa yang didengarnya.
Diah menganggukkan kepalanya lemah. Air mata yang terus-terusan mengalir menjadi bukti penasaran ibu ini.
“Awalnya aku tidak membantah kerana kami semua tinggal serumah. Jadi dapat jugalah aku memandang-mandang Raziq. Mencuri-curi mendokong dan mendakapnya. Tetapi setelah berpindah ke rumah baru ni , langsung ... dah 3 bulan aku tak memandangnya apalagi memeluk dan mendakapnya!”. Diah teresak-esak mengenangkan anak yang dirindui.
“Kenapa sampai begitu sekali?”. Ziah hairan. Pasti ada sesuatu yang tidak kena.
“Tiada sebab lain  , keluarga Zuraimie amat membenciku!”. Jawab Diah.
“Kalau Raziqlah taruhannya , mengapa kau mahu berpindah dari rumah itu?”. Ziah tidak faham dengan tindakan Diah.
“Aku tiada pilihan. Semua yang aku buat serba tidak kena. Duduk makan semeja salah , makan sendiri pun salah. Menolong di dapur salah , rehat di bilik pun salah. Pendek kata semua yang aku buat tiada yang betul. Ibu mertua aku pula tidak henti-henti menyindir dan memaki hamun aku. Perempuan gatal , tak ada maruah , menggoda anak bujang orang , liar sebabtu lah mak bapak sendiri buang!. Hinggalah pada satu hari , peristiwa sial itu terjadi!”.
“Peristiwa sial?”. Ziah terdesak ingin tahu.
“Petang itu ketika ibu mertua aku keluar bermesyuarat ahli jawatankuasa muslimat setempat , aku mengambil peluang untuk menjaga Raziq. Asalnya pengasuh yang diupah membantah tetapi setelah aku desak dan mungkin juga kerana kasihankan aku , dia beri juga aku peluang menjaga Raziq. Dek kerana terlalu seronok , aku menjadi lupa. Raziq , aku mandikan dan tidurkan dalam pelukanku. Akhirnya aku sama terlelap. Indahnya saat itu”. Diah berkata sambil tersenyum membayangkan Raziq yang lena dipangkuannya.
“Dia sangat comel ...  malangnya aku terlena terlalu lama hinggakan tidak sedar  langsung akan kepulangan ibu mertua ku. Huh!. Apalagi , marahnya bukan kepalang melihat Raziq berada dalam dakapanku. Bagai singa betina dia merentap rambut ku. Aku tersentak dan terkejut dari tidur lalu secara spontan tangannya yang masih menggenggam rambutku itu kupulas kuat. Dia menjerit sambil memaki hamun aku. Rambut ku dilepaskan. Berulang kali aku meminta maaf namun bukan kemaafan yang diberi sebaliknya aku dipukul dengan tongkat yang kebetulan memang ada di bilik tidur ku. Sakitnya bukan kepalang. Aku menangis dan mohon dikasihani. Tapi rayuan aku langsung tidak berbekas di hatinya. Yang aku dapat adalah pukulan demi pukulan hingga aku tidak mampu berdiri lagi.  Dalam kekecohan itu , Zuraimie pulang dari kerja. Dia benar-benar terkejut melihat apa yang terjadi. Melihat anaknya  tercegat tanpa berbuat apa , ibu mertua ku menunjukkan tangannya yang merah ku pulas. Konon  aku dah hilang akal, memulas tangan ibu mertuaku hanya kerana dia ingin mendukung cucunya itu”. Cerita Diah.
“Zuraimie?”. Tanya Ziah. “Masakan Zuraimie mempercayai kata-kata ibunya begitu saja”. Fikir Ziah.
“Dia anak yang baik. Walaupun dia tahu cerita itu bohong , dia tetap memaksa aku memohon maaf daripada  ibunya. Aku yang terbaring kesakitan langsung tidak dihirau malah tanganku direntap-rentap agar mahu menghinakan diri merayu maaf daripada ibu mertua yang tidak berhati perut!”. Diah mengesat air matanya. Ziah turut merasai kepedihan yang ditanggung oleh Diah.
“Begitulah keadaannya setiap kali ada perselisihan , pasti aku yang harus meminta maaf. Tapi kali ini aku enggan. Aku tidak mahu terus-terusan dipersalahkan. Walaupun kesakitan aku tetap menjerit menerangkan perkara yang sebenarnya. Kau tahu apa yang aku dapat?”. Diah bertanya sambil tersenyum sinis. Ziah menggelengkan kepala.
“Aku ditampar!. Aku ditampar kerana menjerit mengatakan yang ibunya itu pendusta dan pembohong. Oleh kerana terlalu marah dengan kata-kataku itu , tidak cukup dengan tamparan , aku juga ditolak ke katil.  Anakku Raziq dibawa pergi. Apalagi aku menjerit-jerit bagai orang hilang akal!”. Terang Diah.
“Sampai begitu sekali?”. Ziah bagaikan tidak percaya dengan apa yang didengarnya.
“Masakan Zuraimie tergamak berbuat begitu kepada Diah , gadis yang sangat dicintainya”. Fikir Ziah. Pasti ada yang tidak kena!
“Bukan  itu saja , oleh kerana aku dianggap sudah tidak terkawal lagi maka sejak saat itu aku terus dikurung di dalam bilik. Makan minum dihantar oleh orang gaji. Lewat petang setelah Zuraimie balik dari kerja barulah pintu bilikku itu dibuka. Untuk menebus rasa bersalahnya , Zuraimie akan membawaku berjalan-jalan keluar. Konon untuk tenangkan fikiran. Aku cukup terseksa tetapi apa yang lebih menyiksaku ialah aku dilayan macam orang gila!. Malah anakku terus dipisahkan dariku!. Hak aku sebagai ibu dinafikan sama sekali!!”. Marah sekali Ziah mendengar cerita Diah.
“Habis kau ikut saja?”. Tanya Ziah. Hatinya terasa sakit.
“Mengapa Zuraimie sanggup membiarkan itu semua terjadi?. Bukankah Diah itu memang cinta hatinya?”. Fikiran waras  Ziah cuba mencari rasional atas apa yang diceritakan Diah.
“Ya. Aku turutkan saja , tak ada gunanya melawan. Lagipun aku dah terlalu bosan terperap dalam bilik seharian. Sekurang-kurangnya dapat juga aku mengerling ke arah Raziq. Biah , pengasuh Raziq yang baru memang sangat bersimpati dengan ku. Setiap kali Zuraimie membawa aku keluar petang , Biah akan sengaja mendukung Raziq ke halaman rumah. Dapatlah juga aku melihatnya. Terubatlah sedikit kesedihan dan kerinduan di hati ini”. Diah meneruskan ceritanya sambil menyeka air mata.
“Diahhh ...” Ziah akhirnya turut mengalirkan air mata.
“Aku sebenarnya sungguh marah diperlakukan begitu. Sepanjang hari dan berhari-hari aku hanya mendiamkan diri. Tidak berkata walau sepatahpun. Setiap soalan akan kujawab dengan kerlingan mata sahaja. Itupun mujur ...  kalau tidak aku akan buat pekak.  Hinggakan semua orang dalam rumah itu benar-benar menyangka yang aku ini memang dah gila. Maka mereka menghantarku untuk menjalani terapi. Seorang doktor muda dibayar untuk merawatku. Doktor itu berkahwin pun belum. Mana mungkin dia dapat membantu aku. Lagi pulak apa yang boleh dibuatnya. Keinginan ku hanya satu , pulangkan anakku! Pulangkan anakku! Itu saja. Itupun tidak dapat ditunaikan. Cuba kau fikir , patutkah aku terus bersabar?  Patutkah  mereka buat semua itu padaku?”. Soalan demi soalan. Ziah tidak terjawab. Setelah lama berfikir...
“Diah , walau apapun  nasib malang  yang telah kau  lalui ,  aku mohon agar  kau  ingatlah perkara ini”. Ziah terhenti seketika , menelan air liurnya dengan payah sekali. Diah mengangkat kepalanya memandang Ziah.
“Ingatlah selalu bahawa terlalu besar pengorbanan yang telah dilakukan Zuraimie kepada kau”. Kata Ziah.
“Ya. Itu aku tahu. Tapi tahukah kau bahawa aku ini juga terkorban. Aku terpaksa mengorbankan perasaan dan cintaku kepada Raziq!”. Balas Diah.
“Diah! Diah! Diah!. Dengarlah!!”. Ziah beremosi mendengar kata-kata Diah.
“Sebenarnya Zuraimie bukan sahaja menikahi kau kerana cintanya pada kau tetapi juga untuk menunaikan amanat Raziq”. Ziah membuka rahasia.
“ Diah ,  Raziq sendiri yang  meminta Zuraimie menjaga kau dan anak dalam kandungan kau itu!” belumpun sempat Ziah menghabiskan ayatnya ...
“Apa? Apa kau cakapkan ni?. Mana mungkin Raziq tega menyerahkan cinta kami kepada Zuraimie!. Sehingga ke hari ini cinta kami tetap segar dalam ingatanku. Aku sudah tidak punya apa-apa hanya demi cinta ini aku dapat bertahan , mengharungi hidupku hari demi hari dengan mengenang betapa besarnya cinta Raziq terhadapku”. Diah tidak percaya.
“Ya Diah , Raziq meminta Zuraimie menjaga kau dan anak dalam kandungan kau masa  itu. Percayalah!”. Ziah mengulangi kata-katanya.
“Tidak!!! Tiada siapa boleh menggantikan tempat Raziq!” Diah membangkang marah.
“Ya , itu memang benar. Tiada orang boleh menggantikan tempat Raziq kerana dia adalah orang yang paling kau cintai tapi Diah , Raziq berbuat begitu kerana dia yakin pada Zuraimie. Raziq juga  tahu yang Zuraimie itu sangat  mencintai kau , sama besarnya seperti dia mencintaimu Diah”. Ziah cuba menenangkan Diah.
“Tidak!!! Itu tidak mungkin berlaku! Aku tidak sanggup menggantikan tempat Raziq dengan sesiapapun”. Ucap Diah dalam sedu sedan.
“Diah , itu adalah kenyataan yang harus kau terima. Zuraimie dengan rela hati memikul amanah Raziq. Sedikitpun dia tidak pernah merungut ,  sekurang-kurangnya kau kenangkanlah  segala pengorbanan dan kebaikan yang telah diberikan oleh Zuraimie”.  Ziah memujuk .
“Lagipun Diah , selama berbulan  kau  koma dulu hanya  Zuraimie seorang saja yang begitu setia menjaga dan menemani kau. Dia sanggup menangguhkan tugasnya sebagai guru demi untuk menjaga kau.  Aku sahabat baik kau ini pun tidak mampu berbuat begitu!. Diah fikirkanlah ... ini semua adalah suratan takdir yang perlu kau terima dengan sabar dan redha” Ziah terus memujuk untuk menenangkan Diah.
“Dan kini sekali lagi dia membuktikan cintanya kepada kau apabila dia sanggup membelakangkan keinginan keluarganya demi kau!”. Ziah cuba menyedarkan Diah daripada mimpinya. Raziq sudah lama pergi dan yang tinggal hanyalah Zuraimie.
“Nah !  Sekarang demi kau  , dia bekerja keras. Mendapatkan sebuah banglo indah untuk kau diami. Bukan itu sahaja malah dilengkapkan dengan seorang pemandu  yang sedia menghantar kau ke mana saja dan seorang pembantu rumah untuk membuat semua kerja-kerja rumah kau. Diah , bersyukurlah dengan segala nikmat yang kau kecapi kini. Bukalah mata kau , bukalah hati kau untuk melihat kebaikan yang telah diberikan suamimu terhadapmu”. Kata Ziah ,menutup nasihatnya dengan nada sayu. Hiba hatinya mengenangkan pengorbanan Zuraimie yang langsung tidak dihargai Ziah. Juga hiba mendengar kesengsaraan yang dipikul Diah.
Kedua mereka terdiam. Ziah masih menghiba  manakala Diah turut terharu dan terpukul dengan  kata-kata Ziah.  Hatinya mula rasa bersalah ...

Setelah sama-sama mendiamkan diri agak lama  ,“Perkara ini harus diselesaikan segera. Jiwa Diah kelihatannya amat parah. Aku harus membantunya menyeleaikan kekusutan ini”. Fikir Ziah  ... lalu  mula berbicara semula
“Kenapa kau tidak berterus terang dengan Zuraimie tentang kerinduan kau terhadap Raziq , anakmu itu. Beritahu dia yang kau mahu membesarkan anak kau. Nyatakan pada dia yang kau tidak mampu berpisah dengan anakmu itu.  Dia sayangkan kau ... pasti dia akan memahami kesengsaraan yang kau tanggung”.  Ziah mencadangkan.
“Kau tak faham-faham jugakan Ziah. Aku tak nak dia faham aku , aku tak nak apa-apa pun dari dia. Aku cuma nak anak aku. Anak aku!. Itu saja!!” . Diah menangis teresak-esak.
“Ya betul. Aku tahu yang kau cuma mahukan anak kau saja tapi bagaimana kau nak dapatkan anak kau itu kembali kalau kau tidak berusaha memahamkan Zuraimie akan keinginan kau itu”. Ziah berkata sambil menggeleng-gelengkan kepalanya. Baginya Diah tidak rasional dan terlalu mengikutkan perasaan.
“Entahlah! Aku tak tahu ...”. Diah seperti sudah berputus asa.  Lantas Ziah segera memeluknya. Simpati benar rasa hatinya mengenangkan kerinduan dan kesedihan yang ditanggung Diah selama ini.
 “ Mengapalah ini semua harus terjadi kepadamu”.  Keluhnya sendirian.

Diah terus bercerita
Setelah tangisannya reda , Diah menyambung cerita.
“Kau nak tahu mengapa akhirnya aku berpindah  juga dari rumah itu?”. Tanya Diah  dan Ziah hanya menganggukkan kepalanya.
“Hehhhmmm ...”keluh Diah. Berat benar rasanya untuk meneruskan kata namun Diah sedar , dia perlu meluahkan segalanya. Semua yang terbuku di dadanya selama ini sudah bagaikan sekam yang membakar jiwanya , bahangnya sudah tidak tertanggung lagi.
“Satu petang , tika itu rindu aku bagaikan gunung berapi yang tidak tertahan-tahan lagi. Bila-bila masa saja sedia memuntahkan lahar rindu yang sekian lama kupendam. Ketika sedang melintasi halaman rumah bersama Zuraimie , seperti biasa Kak Biah telah sedia  membawa Raziq ke situ buat tatapan aku sepintas lalu. Dek kerana rindu yang menyala-nyala dalam dada ini , tanpa aku sedar aku telah berlari mendapatkan anakku. Aku rampas dia dari gendungan kak Biah. Menjerit-jerit kak Biah akibat terkejut dengan perbuatanku itu. Aku sudah tidak peduli. Raziq ku dakap erat bagaikan tidak akan ku lepaskan lagi. Dia aku gomol semahunya. Ku cium bertalu-talu. Aku benar-benar melepaskan rindu yang terpendam selama ini”. Diah berhenti seketika , menarik nafas dalam-dalam sebelum meneruskan cerita.
“Sangkaku , anak kecilku itu akan gembira dalam dakapanku tapi sebaliknya yang terjadi , Anak kecil ku itu terkejut dan takut dengan perlakuanku. Dia menangis kuat hinggakan tangisannya itu telah didengari oleh ibu mertuaku yang berada di ruang dalam rumah. Dia meluru keluar , menjerit-jerit , ‘lepaskan! Lepaskan!’ sambil cuba merampas Raziq dari tanganku”. Diah terhenti sebentar , terganggu benar emosinya mengingati peristiwa itu. Beberapa kali air liurnya yang bagaikan tersekat di kerongkong cuba ditelannya.
“Zuraimie?!”. Ziah benar-benar tersinggung mengetahui tentang layanan buruk yang diterima Diah. Dia menjadi semakin tidak sabar ungtuk mengetahui kisah selanjutnya.
“Zuraimie?. Anak mak itu?!. Seperti biasa , dia akan tercegat menyaksikan segalanya sehinggalah disergah oleh ibunya!”. Jawab Diah dalam nada suara yang amat kecewa.
“Mie!. Tolong mak!. Bini  kau dah menggila ni!!”. Jerkah Puan Sarah.

Zuraimie dayus di mata Diah
Jerkahan ibunya itu menyedarkan Zuraimie yang sedari tadi terpaku tidak percaya dengan apa yang dilihatnya. Lantas segera menyahut panggilan ibunya itu. Diah dipeluknya dari belakang. Kedua tangannya dipegang erat. Diah tidak dapat berbuat apa-apa lagi. Raziq dalam dakapannya itu dengan mudah dapat direnggut pergi oleh ibu mertuanya. Tidak cukup dengan itu , Puan Sarah sempat meludah  muka Diah. Zuraimie membiarkan saja perlakuan ibunya itu. Hati Diah bagai direntap kuat , tangisannya sudah tidak terbendung lagi.  Diah menjerit dan menangis semahu-mahunya. Setelah ibunya pergi bersama Raziq , barulah Zuraimie cuba menenangkan dan memujuk isterinya. Diah dipeluk erat. Wajah Diah diterapkan ke bahunya.
“Menangislah sayang ... menangislah. Abang ada di sini. Luahkanlah segala yang terbuku dalam hatimu itu”. Zuraimie cuba memujuk.
Malangnya , bukan tangisan yang semakin berkurangan sebaliknya Diah menolak Zuraimie dengan kasar dan kuat , memboloskan dirinya dan terus berlari naik ke atas , pintu bilik dihempas kuat. Zuraimie yang cemas segera mengejarnya dari belakang.
“Diah! Diah!”. panggilnya. Panggilan itu tidak langsung dihirau. Pintu bilik cuba dibuka . Malangnya telah terkunci dari  dalam.
“Diah! Buka pintu ini sayang. Diah , tolonglah!. Jangan takutkan abang begini. Buka pintu ini sayang!”. Rayu Zuraimie. Hatinya benar-benar cemas , khuatir Diah akan berbuat bodoh ...  Lantas kunci pendua pintu bilik itu diambilnya. Setelah pintu dibuka , Zuraimie menarik nafas lega, Diah sedang khusyuk menunaikan solat Maghrib. Zuraimie duduk di pinggir katil. Menanti dengan penuh sabar. Wajah Diah yang bertelekung itu ditatapnya. Rasa kasih melimpah ruah dari sanubarinya.
Selesai Diah memberi salam, Zuraimie berteleku disisi Diah lalu mendakapnya. Dahi Diah dikucup lembut.
“Maafkan abang sayang kerana telah membiarkan sayang melalui semua kesukaran ini. Abang benar-benar tersepit. Tolonglah fahami abang”. Rayu Zuraimie.

Diah hanya mendiamkan diri. Diam itu lebih menenangkan daripada terus-terusan mengenangkan kedayusan Zuraimie. 

Hidup ini bukan untuk kita melakar mimpi
Ianya perjalanan kisah yang telah tertulis
Duka dan suka menjadikannya lebih menarik
Untunglah jika watakmu serasi jiwa
Pun begitu bersyukur sajalah atas apa jua kurniaNya

Harapan dan impian seindah mimpi
Aroma rempah ratus kehidupan yang mempersona
Ruang waktu bagai menjanjikan bahagia
Usah diucap lagi kisah luka
Semuanya koleksi sejarah harus disimpan dalam jiwa

Datanglah ... datanglah bahagia
Impian ini biar menjadi nyata
Telapak tanganku dan telapak tanganmu
Erat bertaut menggenggam hajat
Ruas-ruas kehidupan kita tempuh bersama
Ulas-ulas kasih kita semai semula
Sirip-sirip rindu membajai cinta
Kiasan kehidupan kita jadikan panduan
Agar nantinya bahagia itu akan benar menjelma
Nantikan aku ... nantikan kamu ... bila tiba saatnya