Popular Posts

Monday, 31 October 2011

Cerpen: "Saya sayang tong sampah!!"

“Saya sayang tong sampah!”.

Pagi yang sibuk
Pagi itu , Laila terlewat bangun lagi. Jam di  meja solek sudah menunjukkan pukul 6:45 pagi. Mana tidaknya , malam tadi Laila tidur lewat . Bukan untuk mengulangkaji  pelajaran tetapi untuk meredakan  perasaan  dan jiwanya yang kacau. Habis semua  kertas lukisan dalam ‘drawing block’ yang dibelinya petang semalam diconteng. Bermacam-macam gambar  yang dilukisnya , bermacam-macam ... dan lukisannya yang paling bermakna  ditampalkannya  di dinding bilik tidurnya itu -  gambar sebuah ‘tong sampah’!. ‘Setan kau tong sampah!!!’. Itulah ayat yang melengkapi lukisan ‘tong sampah’nya itu.
“Laila!. Laila! Dah lambat ni. Nanti tertinggal bas pula”. Jerit Puan Hasnah dari luar bilik . Pintu bilik Laila diketuk berkali-kali.
“Huh! Sibuk!!”. Kata hati Laila lalu bergegas masuk ke bilik air.  Tidak sampai lima minit kemudian Laila sudah keluar semula. “Hmm ... cukuplah. Buat syarat mandi saja. Darurat!”. Katanya sendiri sambil tersenyum.
“Akak! Cepatlah. Bas dah nak sampai!”. Jerit pula adiknya , Ain.
“Kejap!. Bagi akak 3 minit”. Jawab Laila lembut. Ain  adalah satu-satunya adik yang dia ada. Laila sangat sayangkannya. “Walau apapun terjadi , akak akan tetap jaga Ain. Akak akan pastikan ‘tong sampah’ itu tidak akan pernah dapat mengapa-ngapakan kau dik”. Itulah janjinya pada dirinya sendiri. Tiga minit kemudian , Laila keluar dari biliknya lalu ingin menyertai Ain yang sedang bersarapan di dapur.
“Hmm Laila dah siap?. Marilah duduk . Kita bersarapan sama. Hari ini mummy masakkan sausage kegemaran Laila”. Pelawa Puan Hasnah. Yang turut ada di meja makan.
“Eh! Ain. Akak tunggu Ain dekat luar tau. Cepat sikit makan tu”. Tanpa menghiraukan pelawaan Puan Hasnah , Laila terus  berpaling  pergi . Tertutup seleranya untuk bersarapan pagi . Dia lantas membuka pintu hadapan rumah lalu terus memakai kasut sekolahnya. Setelah menunggu seketika , Laila  berpusing untuk memanggil adiknya , Ain. Menyirap darahnya apabila melihat Ain sedang dikucup pipinya oleh Puan Hasnah.
“Ain!. Cepatlah!!”. Jeritnya marah.
“Ya. Kejap!!”. Jawab Ain  sebelum berlari meninggalkan Puan Hasnah yang hanya sempat mengucup sebelah pipinya sahaja. Hajatnya untuk mengucup kedua-dua belah pipi Ain tidak kesampaian.
“Huh!!”. Keluhnya.
“Eh!”. Puan Hasnah teringatkan sesuatu lalu segera berlari  mendapatkan kedua anak gadis itu. “Ain , Laila ... ambil duit belanja dulu. Nanti lapar  pula di sekolah”. Kata Puan Hasnah sambil bergegas ke muka pintu. Demi mendengar sahaja kata-kata  Puan Hasnah itu , Laila segera menarik tangan Ain . Memaksa adiknya itu berjalan laju meninggalkan rumah dengan segera.
“Akak!. Ain tak ambil duit belanja lagi”. Kata Ain.
“Ah! Tak payah. Nanti akak belanja. Kita tak lahap duit dia tu!!”. Jawab Laila. Sengaja suaranya dikuatkan. Kecil hati Puan Hasnah mendengar kata-kata Laila. “Laila ...”. Keluh Puan Hasnah.
Sedang dia melayan perasaannya yang terhiris luka dek kata-kata pedas Laila tadi , tiba-tiba telepon  rumah berdering. “Rinnggg! Rinnggg! Rinnggg!!”. Puan Hasnah tersentak dari lamunannya lantas segera berlari anak mendapatkan telepon yang terletak di bawah tangga rumah agam itu.
“Hello”.
“Hello!. Yang , ni abang ni”. Kedengaran suara dari sana.
“Oh abang. Awalnya abang telepon. Ada apa-apa ke?”. Tanya Puan Hasnah.
“Laaa ... telepon isteri  mesti kena ada apa-apa ke?”. Tanya Encik Karim sambil tertawa kecil.
“Heeeee ... taklah. Cuma hairan je”. Balas Puan Hasnah.
“Hmm ... abang telepon ni saja nak tanya khabar. Semalam abang sibuk sangat . Habis meeting pun dah hampir maghrib. Lepas tu bergegas solat dan turun makan malam. Pukul 8:30 sampailah 11:00 malam ada aktiviti ‘team building’ pulak. Lepas tu naik bilik terus tidur. Langsung tak teringat nak telepon”. Terang Encik Karim yang kini berada di Pulau Langkawi.
“Hmm ... dengar macam busy je. Takpalah bang , saya faham”. Balas Puan Hasnah.
“Err ... anak-anak macam mana?”. Tanya Encik Karim. Risau juga hatinya meninggalkan kedua anak gadisnya itu bersama ibu baru mereka.
“Err ... Okey. Mereka sudahpun ke sekolah”. Jawab Puan Hasnah , tidak mahu merisaukan suaminya.
“Betul ke?. Hmm ... Laila macam mana?”. Tanya Encik Karim. Dia cukup sedar bahawa anak sulungnya itu amat bencikan isteri barunya itu.
“Biasalah bang , budak-budak. Nanti lama-lama okeylah tu”. Balas Puan Hasnah , lemah.
“Hmm ... abang dah agak. Sayang sabar ye”. Pinta Encik Karim.

Aktiviti Kelas Sivik Hari ini
“Baiklah pelajar  , hari ini kita akan buat satu lagi aktiviti berkaitan dengan hubungan kekeluargaan. Untuk makluman kamu semua , surat  yang kamu tulis kepada ibubapa kamu itu telahpun cikgu poskan minggu lepas. Jika ikut pengiraan cikgu , hari ini atau esok pasti ibubapa kamu  akan terima surat itu”. Cikgu Zariah memberitahu anak didiknya. Guru Sivik dan Kewarganegaraan ini sangat maklum dan sedar betapa longgarnya ikatan kekeluargaan sesetengah pelajar sekarang. Lemahnya ikatan kekeluargaan inilah yang sering menjerumuskan  remaja ke dalam pelbagai bentuk salah laku dan jenayah.  Maka , dia terpanggil untuk membantu membaiki dan memulihkan keadaan ini.  Cikgu Zariah masih ingat lagi luahan rasa anak-anak didiknya dalam aktiviti kelas yang lalu.
“Cikgu!. Macam mana kita nak sayangkan  mak kita kalau dia asyik memaki hamun kita. Kalau kita buat salah sikit habis semua keluar , Gatal! Bodoh! Sial!. Ikut sedap mulut dia je!!”. Protes Nina apabila cikgu Zariah menasihati anak didiknya agar menyayangi dan menghargai jasa ibubapa.
“Astarghfirullah al-adhzimmm ...”. Cikgu Zariah mengucap panjang. Mujurlah  dia tidak mudah panik.
“Oh! Begitu ke?. Nina dan pelajar lain , beginilah. Tidak ada seorang ibu atau bapapun yang tidak sayangkan anak mereka. Cuma kekadang mereka itu tidak pandai atau biasa meluahkannya dengan cara yang elok. Ibu kamu mungkin marah atau mengeluarkan kata-kata kesat itu lantaran kerisauannya terhadap kamu. Sayangnya pada kamu , khuatirnya pada kamu menyababkan kata-kata sedemikian sampai terkeluar dari mulut mereka. Namun cikgu percaya , jauh di sudut hati mereka atau ketika lepas solat pasti mereka sentiasa mendoakan  kebahagiaan kamu”. Balas cikgu Zariah.
“Tapi cikgu , kata-kata tu kan doa. Kalau hari-hari mak bapak kita kata kita bodoh! Bodoh! Bodoh!. Lama-lama kita tentu betul-betul jadi bodoh. Lepas tu bila kita bodoh , periksa dapat nombor corot , dia orang maki hamun kita lagi.  Mana adil macam ni cikgu!!”. Sampuk Zainal , pelajar paling nakal di dalam kelas.
“Hmm ... betul jugak kan. Mana adilnya ibu bapa kata begitu pada anak-anak mereka kan?. Lepastu harap kamu semua akan cemerlang dalam peperiksaan. Cikgu pun rasa mereka tak adil pada kamu. Hmm ... beginilah. Kalau kita tak bagitahu mereka yang cara mereka itu salah , mereka tidak akan tahu dan jika kamu tak bagitahu mereka yang kamu tidak suka dilayan begitu , mereka juga tidak akan tahu  atau jika kamu tidak bagitahu mereka apa harapan kamu terhadap mereka , tentu mereka juga tidak akan  tahu sampai bila-bila. Jadi ... cikgu rasa , untuk  aktiviti hari ini cikgu mahu  kamu tulis surat kepada ibu atau bapa kamu dan nyatakan semua rasa tidak puas hati kamu itu dan nyatakan juga harapan kamu dan keinginan kamu selama ini. Tapi jangan lupa nyatakan yang kamu sangat  sayangkan mereka dan harapkan hubungan kamu dengan mereka akan bertambah baik”. Cikgu Zariah menyatakan aktiviti yang akan mereka buat pada hari itu.
“Cikgu!. Saya tak mahu hantar surat pada mereka!!”. Bantah Laila tiba-tiba. Cikgu Zariah memandangnya dengan hairan. “Mengapa?”. Tanya cikgu Zariah. Laila diam , membungkamkan dirinya. Cikgu Zariah mati kutu. “Tidak mengapalah Laila , cikgu letak saja kertas  kosong ni atas meja kamu. Nanti jika kamu ubah fikiran , kamu tulislah ye. Ingat macam yang cikgu katakan tadi , kalau kamu tidak bagitahu mereka apa yang kamu fikir atau rasa , masakan mereka akan tahu”. Kata cikgu Zariah sebelum meletakkan kertas kosong di atas meja Laila.
“Alhamdulillah ...”. Ucap hati cikgu Zariah apabila melihat Laila akhirnya menulis sesuatu pada kertas kosong itu.
“Cikgu! Cikgu!. Apa ni cikgu. Kata nak buat aktiviti berkaitan dengan keluarga lagi. Tapi kenapa pula cikgu termenung panjang?”.  Pertanyaan Ikram , ketua kelas 3 Melati mengejutkan cikgu Zariah daripada lamunannya.
“Errr ... ya. Cikgu terleka. Baiklah pelajar sekelian , hari ini cikgu akan berikan  setiap seorang  daripada kamu sehelai kertas lukisan. Cikgu nak kamu gambarkan setiap ahli keluarga kamu dengan apa-apa objek  atau benda yang sesuai dengan karektor mereka menurut pandangan kamu sendiri. Nanti kita akan bergilir-gilir membentangkan setiap karektor ahli keluarga kamu itu di depan kelas. Semasa pembentangan itu nanti kita  tentunya akan lebih kenal antara satu sama lain dan mungkin kawan-kawan kamu  juga boleh memberikan  komen dan pandangan yang berbeza  tentang apa yang kamu bentangkan”. Terang cikgu Zariah. Harapannya agar komen yang diberikan oleh pelajar lain nanti akan dapat membuka mata hati anak didiknya yang masih tidak nampak pengorbanan dan kasih sayang ibu bapa mereka.
“Cikgu ! Tak fahamlah!!”. Sampuk Norina.
“Hmm ... macam ni. Kamu  mungkin merasakan yang bapa kamu adalah ketua keluarga maka kamu mungkin boleh melukiskan sebuah mahkota untuk menggambarkan diri bapa kamu itu. Atau jika kamu rasa bapa kamu  itu adalah seorang yang sentiasa bekerja kuat untuk menyara kamu sekeluarga maka kamu mungkin boleh menggambarkannya dengan melukis ...”
“Gambar duit!!”. Sampuk Norina lagi , memotong kata-kata cikgu Zariah.
“Err ... ya. Gambar duit”. Balas cikgu Zariah. Tersenyum melihat gelagat anak didiknya itu.
“Kamu semua faham?”. Tanya cikgu Zariah.
“Faham cikgu!!!”. Jawab mereka beramai-ramai maka bermulalah aktiviti pada hari  itu.
Setelah tamat  tempoh 40  minit masa pertama maka bermulalah aktiviti pembentangan pula. Nina , menjadi pelajar pertama yang sukarela membentangkan hasil kerjanya.
“Ok , cikgu  ... kawan-kawan. Ini gambar harimau. Ini pula singa!”. Nina memulakan kata-kata.
“Ha ha ha ... itu singa ke kucing?!”. Sampuk Alif.
“Eh diamlah kau!!”. Marah Nina dikomen begitu.
“Alif , biarkan Nina teruskan pembentangannya”. Tegur cikgu Zariah.
“Harimau ni adalah mak saya. Singa ni pula ...”.
“Bapak kau!!. Ha ha ha”. Sampuk Alif lagi.
“Eeee ... ada yang makan penumbuk aku ni kang”. Balas Nina , geram  apabila kata-katanya dipotong.
“Alif!!”. Cikgu Zariah menjegilkan matanya kepada Alif. “Oppss!. Sorry cikgu”. Kata Alif.
“Bukan pada saya. Pada Nina”. Balas cikgu Zariah. “Okey , sorry Nina!”.  Kata Alif.
“Nina , kenapa kau lukis bapak kau gambar singa?. Bapak kaupun garang macam mak kau juga ke?”. Tanya Aliah.
“Hmm ... betul. Mak aku memang garang tapi bapak aku lagi garang. Kan ke singa tu raja di rimba. Kalau tak ada singa , harimau akan bermaharajalela. Habis aku dimaki hamunnya tapi bila ada singa , harimau diam menikus. Sebab tu  walaupun bapak aku tu garang , aku tetap sayangkan dia. Sebab walaupun dia singa , dia tetap jaga  aku”. Terang Nina.
“Habis kau tak sayangkan harimau?”. Tanya Ikram .
“Hmm ... pernah dengar , benci tapi rindu?. Macam tulah perasaan aku pada harimau”. Balas Nina , spontan.
“Habis?. Kau suka harimau tu hidup ke mati?”. Tanya Alif dengan selambanya.
“Sial kau. Apa maksud kau hah?!”. Marah Nina , tersinggung benar dia mendengar kata-kata Alif itu.
“Yelah. Tadi kau kata harimau tu suka maki hamun kau. So aku tanyalah , kau nak harimau tu mati ke hidup?!!. Kan ke kau tak sukakan harimau tu?. Apa ? Tak betul ke aku cakap?!!”.Jawab Alif hampir menjerit , dia tetap mahu menegakkan pendapatnya.
Tiba-tiba Nina terdiam. Lama diam ... entah mengapa air matanya mulai bergenang.
“Cikgu!. Itu saja pembentangan saya”. Katanya sebelum duduk semula di tempatnya.
“Hmm ... okey. Itu baru pembentangan pertama. Bagus pembentangan kamu itu Nina”. Kata cikgu Zariah  sebelum meneruskan aktiviti hari itu tanpa menghiraukan Nina yang mulai tersedu di tempatnya. “Alhamdulillah ... tercapai objektif aku hari ini”. Ucapnya di dalam hati sambil mengerling ke arah Nina. “Hmm ... memang begitulah adat dunia ni. Dah mati nanti  barulah  nak rasa kehilangan”. Kata hati cikgu Zariah.
Kini tibalah pula giliran Laila ... Laila melukiskan lima  gambar. Pertama , gambar kacang tanah yang sudah terkopek kulitnya , kedua , gambar kucing , ketiga , gambar api , keempat gambar sebuah kubur dan kelima , gambar sebuah tong sampah yang dikerumuni lalat. Cikgu Zariah terpaku memandang gambar-gambar itu ...
“Baiklah . Ini keluarga saya. Kacang dikopek kulitnya ini adalah ayah saya. Huh! ‘Bagai kacang lupakan kulit’. Pernah dengar?.  Ini pula  sebenarnya adalah lukisan seekor anak kucing. Anak kucing ini adalah adik saya. Sentiasa comel dan manja. Kubur ni melambangkan ibu saya yang telah meninggal dunia tiga bulan yang lalu . Saya sayang  sangat ibu saya. Api ini pula adalah saya dan tong sampah ini adalah manusia paling hina dan paling saya benci dalam dunia ini”. Kata Laila , tegas dan jelas. Terpancar kebencian yang meluap-luap  dari nada suaranya , bagai sang api yang marak membara membakar jiwa anak gadis ini. Semua yang ada terdiam ... cikgu Zariah juga terdiam.
“Tong sampah itu ? ... mungkinkah?”. Fikir cikgu Zariah.
“Ada apa-apa soalan?”. Tanya Laila tiba-tiba setelah melihat mulut rakan-rakannya terlopong mendengar penerangannya.
“Ada!”. Jawab Noriah , pelajar paling pendiam dalam kelas itu mula bersuara. Semua kepala memandang kepada Noriah sekarang. “Aku ada soalan. Kenapa kau sampai sanggup menggambarkan salah sorang daripada ahli keluarga kau seperti tong sampah yang busuk?. Aku rasa kau terlalu egois. Hanya orang-orang yang egois sahaja tidak mahu melihat kebaikan orang lain”. Sambung Noriah. Entah mengapa pelajar yang sentiasa diam ini rupa-rupanya  juga mampu memberikan pendapat yang bernas dan berani menyatakan yang hak.
“Kau tak patut kata begitu. Hidup aku , keluarga aku. Aku yang rasa!. Kau tak ada hak kata begitu!!”. Balas Laila , marah dikritik pedas.
“Err ... Laila. Siapa sebenarnya tong sampah itu?”. Tanya cikgu Zariah. Laila diam ... tidak menjawab. Dia tersinggung dengan kritikan Noriah.
“Laila ...” Cikgu Zariah mendekatinya lalu menepuk bahu anak didiknya itu.  “Tidak mengapa jika kamu tidak mahu menjawab soalan itu”.  Laila diam lalu terus duduk di tempatnya. Kata-kata Noriah itu terus-terusan mengganggu perasaannya. “Egois?. Egokah aku ini?”. Fikirnya.
“Hmm ... aku harus mendekatinya. Anak muridku ini menanggung bebanan  perasaan yang berat. Patutlah dia ini sering saja  tidak mendengar kata”. Bisik hati kecil cikgu Zariah sambil terus menatap wajah Laila yang muncung mencuka.

Surat
Di rumah , Puan Hasnah sedang duduk bersendirian di ruang tamu. Semua kerja-kerja rumah sudah selesai dibuatnya. Makan tengahari juga telah disediakan. Tinggal menunggu kedua anak gadis  itu pulang dari sekolah. Hajatnya adalah mahu makan bersama mereka. Tiba-tiba bunyi hon motosikal dibunyikan di depan rumahnya. Puan Hasnah bingkas bangun lalu menjenguk keluar.
“Oh posmen. Ada surat rupanya”. Kata hatinya lalu segera membuka pintu untuk mengambil surat yang diletakkan di dalam peti surat rumahnya itu. Sekeping demi sekeping surat dibeleknya. ‘Kepada, Puah Hasnah Bt Ramli’. “Surat untukku?. Tulisan tangan ... pelik. Siapa agaknya si pengirimnya”. Fikir Puan Hasnah lalu segera masuk ke dalam rumah semula. Duduk di ruang tamu sambil tangannya pantas membuka surat tersebut.
“Hishh ... siap ada surat iringan”. Puan Hasnah membelek isi surat itu.
‘Tuan/Puan ,
Surat ini adalah ditulis sendiri oleh anak jagaan tuan/puan sebagai salah satu tugasan dalam matapelajaran Sivik dan Kewarganegaraan. Tujuan aktiviti ini  adalah sebagai wadah bagi anak jagaan tuan/puan  meluahklan perasaan/ keinginan dan harapannya  terhadap ibubapa/ penjaga dan keluarganya.
 Saya , sebagai guru matapelajaran mengharapkan penerimaan yang baik daripada pihak tuan/puan. Semuga objektif aktiviti ini iaitu , mengukuhkan  institusi kekeluargaan dan mengujudkan persefahaman dan saling menghargai antara ahli keluarga akan dapat dicapai’.
Yang benar ,
Cikgu Zariah.
(Guru m/pelajaran Sivik dan Kewarganegaraan)
  Kelas 3 Melati

Itulah bunyinya surat iringan yang dituliskan oleh cikgu Zariah kepada para ibubapa dan penjaga pelajar. Selesai membaca surat iringan tersebut , Puan Hasnah membuka pula surat tulisan tangan yang ditulis oleh Laila. Matanya terbeliak luas membaca isi kandungan surat tersebut.
‘Aku benci kau!’  ‘Aku benci kau!’  ‘Aku benci kau!’. Begitulah bunyinya isi kandungan surat Laila. ‘Aku benci kau!’ itu ditulis berulang-ulang  melebihi seratus kali. Puan Hasnah terkedu , menitis air matanya ... “Sampai bila?”. Fikirnya. Sampai bila harus dia menunggu dirinya diterima sebagai  ibu mereka.
Tengahari itu  , sebaik sahaja kedua anak gadis  itu pulang dari sekolah , Puan Hasnah tidak menyambutnya seperti biasa. Laila hairan , Ain juga hairan.
“Mana mummy?”. Tanya Ain kepada Laila. Selalunya mummy pasti akan menanti  mereka di muka pintu dengan senyuman menguntum di bibir. Mummy  pasti akan mengucup sayang dahinya.
“Entah. Dah mampus agaknya!”. Balas Laila , keras.
“Akak!. Tak baik kata macam tu”. Tegur Ain. “Kan dia itu mak kita juga”. Kata Ain lagi.
“Siapa kata dia itu mak kita?.  Siapa kata hah?. Sejak bila pula dia itu jadi mak kita?!". Tengking Laila. Menyirap marahnya apabila Ain menyamakan perempuan itu dengan arwah ibunya.
"Sejak ayah kahwin dengan dialah!!". Balas Ain.
"Ain!!. Apapun dia itu tak akan pernah jadi mak kita!!". Jerit Laila lagi.
"Tak! Dia juga emak kita. Ayah yang bagitahu Ain , dia itu juga mak kita". Jawab Ain hampir menangis.
"Ayah?!. Ain jangan dengar cakap ayah!". Marah Laila.
"Kenapa?. Kenapa Ain tak boleh dengar cakap ayah?. Emak kita dah tak ada. Mak kita dah mati. Apa salahnya kita anggap mummy itu macam mak kita?". Ain separuh merayu.
"Tidak!. Ain  tidak tahu?. Sebab dialah mak kita sedih. Sebab dialah mak kita mati dalam kesedihan , tahu?!”. Bentak Laila.
“Tidak!. Mak kita mati sebab sakit kanser. Mak kita mati sebab sakit kanser  servik. Dah lama mak kita sakit. Ayah yang bagitahu , mak kita mati sebab sakit kanser servik. Bukan sebab mummy!”. Jerit Ain , menyanggah tuduhan kakaknya itu.
“Ain! Kau tak tahu. Kau tak nampak macam mana mak kita menangis tiap-tiap malam bila ayah tak balik rumah. Mak kita menangis menahan sakit tapi ayah tiada. Ayah biarkan mak kita menahan sakit sendiri. Ayah pergi mana?. Ayah pergi mana kau tahu?. Ayah pergi rumah ‘mummy’ kau tulah. Ayah biarkan mak  kita yang sakit nak mati itu sorang-sorang. Akak tak dapat terima itu semua. Akak tak dapat terima orang yang buat mak kita mati dalam kesedihan. Faham tak?!”. Jerit pula Laila sebelum berlari meninggalkan Ain terpinga-pinga sendiri.
“Mak!!. Mummy!!”. Tangis Ain. Fikirannya bercelaru mendengar kata-kata kakaknya itu ...

Peristiwa yang mengubah segalanya
Sejak pertengkarannya dengan Ain siang tadi , Laila terus-terusan merasa resah. Dia tidak faham mengapa mudah benar bagi adiknya itu menerima  baik kehadiran perempuan yang telah meruntunkan hati  emaknya dalam hidup mereka.
“Sudahlah Laila . Ini masalah orang dewasa. Ayah Laila tidak buat apa-apa salah pada mak. Apa yang  ayah Laila lakukan juga dengan kebenaran dan kerelaan mak sendiri”.  Masih terngiang-ngiang kata-kata emaknya sehari sebelum  emaknya itu pergi buat selama-lamanya. Ke mana ayahnya ketika itu?. Mengapa ayahnya tidak menghabiskan  masanya bersama emak yang sedang tenat?. Mengapa ayah tidak sabar-sabar menunggu emak pergi dahulu sebelum bernikah lain?. Mengapa ayah sampai hati membiarkan saat-saat akhir emak diselubungi kesedihan?. Mengapa?. Mengapa?. Persoalan – persoalan inilah yang menutup rapat hati Laila untuk menerima Puan Hasnah sebagai ganti emaknya. “Emak!!”. Laila menangis tersedu-sedu mengenangkan emaknya yang sudah tiada.
Siang beransur gelap. Laila masih juga tidak keluar dari biliknya. Makan tengahari , makan malam langsung tidak disentuh.  Akhirnya Laila terlena bersama gambar arwah ibunya yang didakap  sejak berjam-jam yang lalu ...

Malam itu , tatkala tiada lelaki dewasa di rumah  ...
Ain sedang lena , tidur sekatil bersama ‘mummy’nya , perempuan itu telah menjadi  tempat dia menumpang kasih . Tidak kiralah apa yang dikatakan kakaknya. Yang pasti , perempuan inilah tempat dia menumpang manja kini.
Puan Hasnah berbaring sambil membelai-belai rambut  Ain. “Mujur ada kamu pengubat hati mummy yang luka ini”. Katanya perlahan sebelum mengucup dahi anak gadis itu. “Huh!!”. Keluhnya berat apabila teringatkan isi kandungan surat Laila yang dibacanya siang tadi. ‘Aku benci kau!’ yang ditulis berkali-kali  itu bagaikan menikam-nikam jantung hatinya.

Tiba-tiba ... bunyi benda jatuh dari arah dapur rumahnya mengejutkannya dari lamunan. Berdebar-debar hati Puan Hasnah. “Bunyi apakah itu?. Nak kata kucing , rumah ni tiada kucing. Tikus kot atau ...”. Kecut hati Puan Hasnah apabila terfikirkan sesuatu yang lebih dahsyat.
“Ya Allah , lindungilah kami”. Doanya sebelum memberanikan diri berjalan perlahan  keluar dari bilik tidurnya.  Satu demi satu anak tangga dituruninya. Namun belumpun sempat sampai separuh bilangan  anak tangga dituruninya , Puan Hasnah terpandangkan pintu bilik tidur Laila  yang terbuka sedikit. Dia merasa hairan lalu melangkah  naik semula ke atas , berjalan perlahan-lahan menghampiri bilik Laila yang berada agak jauh sedikit dari biliknya. Sesampai sahaja di depan pintu bilik Laila , Puan Hasnah menjadi sangat cemas . Berdebar hatinya , berdegup kencang jantungnya apabila terlihat seorang lelaki  berpakaian serba hitam sedang menyelongkar almari pakaian Laila. 


Lebih mencemaskan lagi apabila Puan Hasnah melihat Laila telah  diikat kedua tangan dan kakinya. Mulutnya juga telah disumbat dengan kain tuala.  Anak gadis itu kelihatan teramat takut , tiba-tiba dia terpandangkan Puan Hasnah yang mengintai-ngintai di muka pintu. Puan Hasnah memberi isyarat  agar Laila terus mendiamkan diri. Malangnya Laila yang tersangat takut itu terus  cuba menjerit dan meronta-ronta. Bunyi bising yang dibuat oleh Laila itu menimbulkan kemarahan  lelaki yang berpakaian serba hitam.
“Hoi!. Nak mampus ke?”. Bentaknya sambil menghentak kepala Laila dengan belakang parang yang dipegangnya. Laila terjelupuk jatuh tertiarap, darah mulai mengalir daripada kepalanya. Sebaik sahaja melihatkan Laila diperlakukan begitu , timbul rasa marah di hati Puan Hasnah. Entah dari mana  munculnya  keberanian dalam dirinya  menyebabkan Puan Hasnah bertindak nekad melompat masuk sambil menjerit dan menyerang  lelaki berpakaian serba hitam.
“Celaka kau. Berani kau memukul anak aku hah?. Kau tak kenal siapa aku ini”. Hanya berbekalkan sebatang payung yang sempat dicapainya Puan Hasnah melibas-libas sipencuri itu. Bagaikan harimau betina beranak kecil , Puan Hasnah menjadi cukup garang hinggakan lelaki serba hitam  menjadi panik. Demi mengelakkan dirinya daripada  terus-terusan dipukul dan dilibas dengan payung  , lelaki serba hitam  bertindak  ganas  menghayunkan  parangnya tinggi ke arah Puan Hasnah lalu  tepat  hinggap di atas  lengan  kanan Puan Hasnah. Darah menyembur-nyembur keluar. Laila terjerit-jerit , takut dengan apa yang dilihatnya. Keadaan jadi hingar bingar , Ain yang sedang lena juga telah lama terbangun dan menjerit-jerit sama. Puan Hasnah sudah terjelepuk jatuh. Lelaki serba hitam  itu menjadi cemas. Niatnya hanya mahu mencuri  itu sudah jadi lain. Mungkin akan ada orang yang mati hari ini. Lantas dia segera berlari untuk melepaskan diri. Malangnya sebaik sahaja  dia melangkah turun , beberapa orang jiran Puan Hasnah sudah menantinya di bawah. Malang buat dirinya  ...

“Cikgu , saya sayang tong sampah!”.
Keesokan harinya , di sekolah hebuh kisah tentang rumah Laila dimasuki pencuri. Cikgu Zariah terus ke pejabat untuk mendapatkan pengesahan berita. “Betul , rumah dia dimasuki pencuri. Laila dan ibunya cedera. Mereka dimasukkan ke hospital”. Itulah jawapan yang diterima oleh cikgu Zariah. Maka sebaik sahaja tamat sesi persekolahan pada hari itu , cikgu Zariah segera ke hospital yang dimaksudkan. 
“Ya Allah , selamatkanlah mereka”. Doanya di dalam hati.   Wad 3 Mawar katil 8. Cikgu Zariah akhirnya sampai di wad di mana Laila di tempatkan. Khabarnya Puan Hasnah , masih menjalani pembedahan menyambung semula lengannya yang  hampir  putus dilibas pencuri. Mujur segera dibawa ke hospital. Kalau tidak tentu lengan itu tidak akan dapat disambung lagi.
Sebaik sahaja cikgu Zariah melangkah masuk , Laila terus berteriak. “Cikgu!. Saya sayang tong sampah!!. Saya sayang tong sampah!!”. Laila terus berteriak sambil menangis tersedu-sedu. Cikgu Zariah lantas berlari mendakap anak didiknya itu. “Ya Laila , walaupun hanya sebuah tong sampah , ianya tetap berguna juga”. Katanya memujuk.

Thursday, 6 October 2011

Cerita dalam puisi 3

                                                                                                           
      Engkaukah itu?
Yang datang tatkala hati merindu
Jiwa resah gelisah bagai diburu
Dilanda gelombang kasih mengharu
Hancur luluh kedamaian di jiwa sendu
Ranap punah sebuah harapan dulu
Dek kekecewaan yang datang melulu
Tika patah  sudah semangat si pemburu

Engkaukah itu?
Yang  datang bersama nur kasih
Membawa penawar hati nan rindu
Buat mendamai jiwa nan rintih
Menghulur tangan didenai sembilu
Dengan hati yang putih bersih
Bergandingan membina semula harapan dulu
Agar harapan kembali pulih
Bersama cinta kau menyeru

Engkaukah itu?
Datang membuka tirai kehidupan mekar
Menyemai kasih menuai mesra
Menyerikan perjalanan  hidup nan sukar
Bersama senyum tawa manja
Menjadi penawar luka yang tercalar
Dek dugaan yang datang melanda
Namun aku pastinya kan dapat bersabar
Kerna ku tahu pastinya ada
Gadis sebaikmu tersenyum lebar
Menantiku dengan tangan luas terbuka





Entah mengapa , sungguhpun terlalu sedikit yang  kau beri ,  ianya sudah cukup membuatkan  duniaku ini tampak indah dan hariku terasa begitu bahagia”.
                                        Bisikan hati nan bersyukur