Popular Posts

Wednesday, 26 August 2015

Fikiranku ... 'Kenapa cikgu kena 'smart'?'

Kenapa cikgu kena 'smart'?

Hmm ... tetiba aku terasa nak menulis ...
'Kenapa cikgu kena 'smart'?'
Sebagai seorang guru tidak kiralah apa juga subject yang kita ajar , kita wajib 'smart'. 'Smart bukan saja dari segi pengetahuan dan pemikiran tetapi juga harus 'smart' dari segi penampilan dan pembawaan.

Biasa dengar peribahasa di bawah?

"Bagai ketam mengajar anaknya berjalan lurus" 

atau Bahasa pasar berikut  ...
 "Cakap tidak serba bikin"?

Jika inilah amalan para cikgu , alamatnya tahap disiplin murid tidak akan pernah dapat dipertingkatkan.

Pernah satu ketika , aku menghadiri perjumpaan guru-guru disiplin di negeri tempat aku berkhidmat. Ironinya , salah seorang guru disiplin lelaki yang hadir , rambutnya sendiri jelas berekor!. Terdetak di hati kecilku , bagaimana agaknya fesyen rambut anak-anak didiknya di sekolah?. Adakah rambut mereka juga berekor atau mungkin lebih hebat dari itu?

Bagaimana pula dengan peribahasa ini ?

"Bapa borek anak rintik"
"Jika bapa kencing berdiri , anak kencing berlari"

Nah! Jelaslah sudah ,  para cikgu harus memastikan diri mereka sentiasa 'smart' agar menjadi ikutan yang baik buat anak-anak didik mereka.

Suka atau tidak , para cikgu harus sedar ... anak-anak murid di sekeliling cikgu adalah para 'observer' yang amat teliti ...

Biar aku kongsikan pengalaman aku sebagai seorang guru biasa ...
"Cikgu! Kenapa stokin cikgu sebelah lain-sebelah lain?"
Lalu aku melihat ke bawah , memerhati stokin yang kupakai ... la , sikit benar bezanya. (Stokin kaki wanita biasanya mempunyai ton warna yang hampir sama. Bila mengejar masa , ada kalanya aku tersilap memilih pasangan stokin tersebut)

"Cikgu! Bukan semalam cikgu pakai tudung 'purple' juga ke?"
"Hmm ... awak ingat cikgu ada satu je ke tudung 'purple'?". Jawabku.
(Walhal , kekadang aku sendiri lupa baju apa yang aku pakai semalam)

"Cikgu! Warna baju cikgu hijau ni sama dengan warna dinding kelas kita"
Lalu aku sengaja berlari anak dan merapatkan diriku ke dinding lalu bertanya , "Sekarang awak nampak cikgu tak?". (Layan ... kami sama-sama tertawa. Mujur mereka tidak kata , "baju cikgu sama dengan kain langsir kelas kami!!" ^__^)

Ini lagi pulak ..."Cikgu! Cikgu bau kopilah!". (Sampai bau aku pun mereka perasan)
Satu hari ketika aku makan di kantin , air kopi-O ais yang masih separuh penuh dalam gelas tumpah atas tudung dan bajuku. Mandi kopi aku hari itu!. Aku masuk ke kelas dalam keadaan separuh basah kerana baju dan tudung yang kubasuh tidak sempat kering akibat loceng yang telah berbunyi. 
Untuk 'cover' malu , lalu aku ceritakan kepada mereka apa yang terjadi di kantin hari itu.
"Lain kali hati-hati cikgu ...". kata salah seorang anak muridku. Amboi ... sukalah tu dapat tegur cikgu dia!

Lama dulu ... semasa aku di BBGS , "Cikgu! Cikgu ada lesung pipit di dagu ye cikgu?"
Laa ... ada ke?. Akupun tak berapa nak perasan. Balik dari sekolah hari tu aku membelek wajahku di cermin dan membuat pelbagai aksi. Barulah aku sedar , lesung 'dagu' bukan lesung pipit dan lesung dagu itu hanya akan muncul apabila aku bercakap.  
(Pelik ... takde pulak ahli keluarga aku yang perasan atau mereka tidak pernah menatap wajahku sungguh-sungguh! Huhuhu sedihnya!!)

Juga lama dulu ... "Cikgu! Kenapa cikgu tak pakai beg tangan?"
"Saya tak suka. Leceh ... banyak sangat beg nak kena bawa". Jawabku.
Aku tak mahu jadi cikgu 'bertangan sotong' ... beg tangan , beg laptop , beg isi buku sekolah murid , beg BBM dan macam-macam beg lain. Semuanya dibawa serentak.  ^__^

Itu baru dari segi penampilan dan pembawaan kita ... bagaimana pula dengan pemikiran dan ideologi yang kita bawa?. 
Tiap patah kata yang kita tutur , tiap ilmu yang kita sampaikan , tiap  nasihat atau bicara motivasi yang kita lontarkan buat mereka pasti akan memberi kesan pada pemikiran dan kepercayaan mereka. 
Jangan pernah kecewa dan menjadikan perbahasa , 

"Bagai mencurah air di daun keladi" 

sebagai pegangan dan alasan untuk tidak berusaha lebih. 
Ingatlah cikgu , anak-anak murid itu bukanlah si daun keladi yang tidak punya akal dan perasaan. Lagi pula tugas dan amanah cikgu adalah untuk mendidik dan membimbing mereka. Bukan hak cikgu untuk menuntut agar mereka menjadi insan berbudi kerana hati mereka bukanlah milik cikgu.
Usaha tanpa putus dan selebihnya serahkanlah kepada Allah maka cikgu akan terhindar daripada rasa kecewa dan putusasa.
Mungkin hari ini mereka tidak mendengar  , mana tahu esok lusa atau setahun atau mungkin lima , enam tahun akan datang mereka akhirnya berubah berkat apa yang cikgu ajarkan hari ini. 

Kesimpulannya suka atau tidak , hakikatnya seorang cikgu memang akan memberi pengaruh yang kuat kepada anak murid mereka. Berlapang dada dan terimalah hakikat itu. Sentiasa berusaha untuk menjadi contoh yang terbaik kerana ada yang sentiasa memerhati cikgu ... jangan jadikan kata-kata berikut sebagai dalil alasan ,

"Do what I say , don't do what I do".

Walhal sebaliknya , gelombang cahaya itu bergerak jauh lebih laju daripada gelombang bunyi. Maka sudah pastinya peranan dan kesan yang ditinggalkan oleh deria penglihatan  juga jauh lebih cepat dan besar berbanding deria pendengaran.

Ayuhlah cikgu , kita sama-sama berusaha menjadi cikgu yang 'smart' dari semua segi.  Semoga semua usaha kita diterima sebagai amal kebajikan kita di dunia ini.  :D



-Peace-
>__<

Monday, 24 August 2015

Lukisan dan Puisi ...Bagai dilontar dalam lumpur

Lukis jea ... dilontar dalam lumpur



Bagai dilontar  dalam lumpur...

Titis-titis hujan itu
Membasahi  dan  kian memberat
Sarat mengendung seribu sumpahan
Bertakung di kelopak kuntum yang kian  lisut
Memboyot hingga tiada lagi terbendung

Lantas lerailah kuntum  bunga itu
Membawa sang kelopak gugur bersama
Dari tangkai yang selamanya patih memaut
Sejuta  janji yang termeterai sejak kudup
Kini sudah tidak tergenggam lagi

dan gugurlah kuntuman bunga itu
jatuh terhenyak atas timbunan becak
berbaur dengan lumpur percikan titis hujan
dari tanah yang selamanya sudi
menanti dan merimbun belanar setia




-peace-
>__<

Lama sangat tak berpuisi...hingga janggal nak memilih patah kata. Bagai dilontar dalam lumpur adalah apa yang kurasa

  usaha diinjak dek kata2 dari hati yang dikuasai amarah...
"Awak hanya merosakkan...bla bla bla..."
 Setelah puas merobek2 perasaan dan tika marah itu telah reda ... fikirnya keadaan boleh kembali normal?.
 Huh! Memang itulah yang terjadi!
 Sememangnya tidak baik menyimpan dendam!!

Kata orang...sabar itu diawalnya...bukan dipertengahan atau akhirnya.

Kita sering dihadap dengan dua pilihan...teruskan bersabar atau musnahkan segalanya.
Dan pastinya aku kini memilih untuk terus bersabar
Belajar dari pengalaman lalu ... tika aku  terlanjur memilih untuk memusnahkan segalanya ...   

Bagai dilontar dalam lumpur juga menggambarkan  laungan jiwa terpinggir yang mencari tenang
Moga kan berjumpa jalan pulang
dan aku ingin segera pulang...




Friday, 21 August 2015

Lukis jea...tarikan saja

Lukis jea ... tarikan saja
Mengapa tidak...kerana segalanya adalah ilusi




-peace-
>__<

Suatu ketika dulu...lama dulu, sebelum aku bergelar isteri ... aku juga suka menzahirkan perasaan dalam bentuk tarian. Itupun tika sendirian di dalam bilik. ^__^
Kemudian lama selepas itu aku menari lagi dalam kelas aerobik. Semuanya atas sebab kesihatan , mahu hidup sihat.

Kini...dalam usia begini aku masih menari tapi hanya menari dalam minda sendiri.
Melayani ilusi sebuah kehidupan.




Wednesday, 19 August 2015

Lukis jea ... kumpulkan rasa itu

Lukis jea ... laut dan ombak gelora
 kulukis ... belum cukup menzahirkan rasa




Perlu sesuatu untuk cari rasa itu ...


-peace-
>__<

Tuesday, 18 August 2015

Lukis jea ... ingin pulang

Lukis jea ... ingin pulang ... sayang kemudinya hilang
Jomlah hati ... kita pulang ...
"Ya tuhanku , kumpulkanlah aku pada tempat yang diberkati dan Engkau adalah sebaik-baik pemberi tempat"
(Surah 23:Al-Mukminun-ayat 29)



Teringat satu peristiwa di zaman bebudakku ...
Aku dan adikku rima.
Dulu , kami sering main 'lawan2'.
Konon nak jadi pendekar! ^__^ .
Mungkin terpengaruh dengan cerita2 Melayu lama ... hero pandai bersilat , heroin adalah gadis paling cantik dalam kampung itu , orang kaya jahat  yang pantang melihat perempuan  berdahi licin , kuncu2 penjahat yang sering membuat onar di kampung ... dan dipendekkan cerita , akhirnya hero dan heroin pasti akan bersatu. "Happy ending"

Berbalik pada cerita aku ... dari bertangan kosong , entah macam mana satu petang rima mencapai pisau betul dari dapur,  mungkin inginkan sesuatu yang lebih mencabar.

Kami bermain dan terus bermain hingga satu ketika aku cuba merampas pisau. Rima memegang hulunya sedang tanganku menggenggam pisau itu betul2 dibawah genggaman tangan rima.
Tarik menarik berlaku hingga akhirnya , rima berjaya menarik keluar pisau itu dari  atas.

Lantas apa yang berlaku pada tapak tanganku?
Hmm ... >__<

Sakit ... tapak tanganku luka memanjang!
Kami sama2 tergamam seketika.
Heh heh ... zaman budak2, bukan fikir panjang. Bila dah kena baru ternganga.

Masa berlalu ... hari ini kisah itu sudah jadi sejarah. Entah rima ingat lagi ke tidak. Luka di tapak tanganku juga sudah lama hilang. Tapi setiap kali aku teringat , rasa ngeri dan ngilu itu tetap terasa. Sudah puluhan tahun ... rasa itu kekal di hati.

Hari ini aku jadi sangat mengerti ...
Luka itu walau kelihatannya sudah lama sembuh tapi akan tetap terasa ... selagi ada ingatan.





-peace-
>__<
Hmm ... Tetiba rasa sedih lak!
Poyo!







Monday, 17 August 2015

Lukis jea ... biar hutanku membiru

Lukis jea ... biar hutanku membiru

Biar hutanku membiru
Kerna warna itu hanyalah tafsiran minda semata
Malah minda itu hanya mentafsir apa yang nampak di mata




-peace-
>__<
dan hati hanya bisa berbicara dalam bahasa yang paling sunyi ... buat didengar hanya oleh penciptanya

Saturday, 15 August 2015

Lukis jea...andai hanya ada kita dan kita sahaja

Lukis jea ... andai hidup ini hanya ada kita dan kita sahaja
Pasti  sunyi dan sepi
Segalanya tidak bermakna
Dan aku ... tidak mahu hidup dalam dunia begitu


Hargai segala yang kamu miliki
Kerna semuanya adalah anugerah

-peace-
>__<

"Sebarkan kebaikan dan kasih sayang"


Wednesday, 12 August 2015

Lukis jea ... sekadar melepas rindu

Lukis jea ... sekadar melepas rindu...
"Seperti nyanyian dalam hati
Seperti udara yang kuhela"

Apabila rasa terbeban dengan tugasan yang melambak
Harus punya mekanisme meredakannya
Lukisan sekadarnya ini buat melepas rindu ... juga merehatkan minda dan perasaan

-peace-
>__<
Asal saja bisa melakar

Friday, 7 August 2015

Lukis jea ... ombak itu juga punya warna

Lukis jea ... ombak itu juga punya warna



-peace-
>__<

Hmm...hari ini sabar ku diuji dengan kebiadapan terlampau anak2 remaja yang kuaku sebagai anak2 didikku.
Mujur saja otakku masih waras dari mengeluarkan kata2 nista hingga boleh menjatuhkan diriku serendah mereka...
Sesungguhnya mendidik itu bukan suatu yang mudah
'Moga Allah melimpahkan kesabaran melimpah ruah kepadaku',
Sungguh...hati mereka bukan milikku untuk kucanai menjadi insan berbudi...

Thursday, 6 August 2015

Lukis jea ... layanz

Lukis jea ... Layanz...

Jom layan ... cantik tu nombor 2...
Yang penting... aku layan n nikmati apa yang aku buat
Dari jari yang melorek kepada hati yang merasa

-peace-
>__<

Wednesday, 5 August 2015

Cerpen : Ibrah Sebuah Kehidupan

Cerpen: Ibrah Sebuah Kehidupan
Lukis jea ... selagi sungai itu mengalir
***ojai“Waalaikumussalam. Maaf atas setiap kesalahan. Semoga awak berbahagia sentiasa dan itu memang sudah pasti kerana itu adalah pilihan awak. Terus pandang ke hadapan. Saya bukan orang yang istimewa untuk dirindui. Terima kasih atas segala”.

Dilaila memandang kosong pesanan terakhir yang diterima dari  seorang teman yang telah terlalu lama bertapa dalam hatinya. Untuk hari ini sahaja , sudah lebih lima kali Dilaila membaca pesanan ringkas itu.
Dilaila memejamkan mata , “Terima kasih atas segalanya?. Terima kasih untuk apa?. Apa yang pernah kuberikan untuknya hingga dia harus berterima kasih?. Tiada yang pernah kuberikan melainkan kenangan luka yang sentiasa menusuk tiap kali dikenang. Huh!!” Keluh Dilaila
“Maafkan aku awak … maafkan aku kerana melorek sejarah hitam dalam hidup awak. Aku juga telah maafkan awak atas apa jua warna rasa yang pernah terhimpun dan masih kekal dalam sanubariku ini. Hingga kini … dan tak mungkin kulontar”.

“ Dilaila … sayang?”. Tegur Amri , sengaja bahu Dilaila yang membelakangkannya itu disentuh.
“Eh! Abang”. Balas Dilaila , lantas dengan segera telepon bimbitnya dimatikan.
“Kenapa termenung panjang, fikir apa?”.
“Err… takde apa. Teringatkan zaman muda-muda dulu…zaman sekolah”. Dilaila berdalih.
“Hmm … sekarang ni dah tua sangatlah ya?”. Usik Amri sambil menyelak rambut isterinya yang jatuh menutupi mata.
“Heee…”Dilaila membalas dengan senyuman.
“Err…abang cari Dilaila sebab apa ye?”
“Laa…cari isteri sendiri pun kena ada sebab?. Ni…sekarang dah masuk waktu isya’ , jom kita solat”
“Oh!...ingatkan apa tadi. Hmm… abang pergilah ambil wuduk dulu. Lepas tu baru Dilaila”.

Sementara , Amri membersihkan diri dan berwuduk , Dilaila termenung lagi. Terimbau kenangan saat mula-mula bertemu Amri.
“Hmm … saya Amri. Saya betul-betul nak berkawan dengan awak. Malah, kalau awak sudi , saya ingin segera menikahi awak”. Begitu telus dan mudahnya Amri menyatakan hasratnya.
“Err … saya tak tahu. Itu bergantung pada penerimaan orang tua saya. Lagi pula , sejauh mana awak mengenali saya?. Nama saya … awak tahuke?”.
“Tidak , saya memang tidak tahu nama awak. Tapi , kali pertama saya nampak awak , saya sangat yakin...saya sukakan awak dan awak memiliki ciri-ciri wanita idaman saya”.
Bagai terpukau Dilaila mendengar jawapan pemuda di hadapannya ini. Inilah kali pertama dalam hidupnya , seorang pemuda dengan yakin dan berani mengetuk pintu hatinya tanpa silu.
“Err … entah. Saya serahkan segalanya pada mak dan abah saya. Kalau awak serius , awak jumpalah mereka”.
“Maknanya , kalau mereka setuju , awak akan setuju?”. Tanya Amri , bagaikan tidak percaya dengan apa yang didengarnya. “Masakan begitu mudah?”. Fikirnya.
Dilaila diam , sukar baginya untuk menjawab soalan itu. Mana tidaknya , wajah ‘dia’ yang ditinggalkannya masih segar dalam ingatan. Malah beban rindu yang ditanggungnya tidak pernah berakhir.
“Awak?...betul ni. Kalau saya jumpa mak dan abah awak dan mereka setuju , maknanya awak pun akan setuju, begitu?”.
“Ya. Rasanya betullah”. Jawab Dilaila ragu-ragu.
“Err…bas saya dah nak gerak, saya pergi dulu”.
“Eh, nanti!. Beri saya alamat atau nombor telepon awak. Saya akan hubungi awak lagi lepas ni dan saya pasti akan jumpa mak dan abah awak dalam masa terdekat”. Kata Amri penuh yakin.
Tanpa berfikir panjang , Dilaila menuliskan nombor telepon rumahnya pada sehelai kertas lalu dihulurkan pada  Amri sebelum berlari anak menaiki bas yang sudahpun dihidupkan enjinnya.

“Hei! Berangan ya?”. Sergah Amri.
Dilaila tersentak lalu memberikan senyuman manis buat suaminya itu.
“Adalah sikit … berangan”. Balasnya sebelum masuk ke bilik air untuk berwuduk.

Lewat solat hari itu , Dilaila berdoa … “Ya Allah , bantulah aku untuk menjadi hambamu yang pasrah dengan segala ketentuan takdir yang telah Kau corakkan untukku. Bantulah aku untuk melepaskan apa yang patutku lepaskan sejak lama dulu. Kurniakan aku ketenangan dan kesabaran dalam menghadapi ujianMu ini.
Ya Tuhanku , diriku  … hatiku  seluruhnya adalah milikMu yang kau pinjamkan padaku untuk hayat ini. Kau amanahkan kepadaku buat mencari redhoMu … maka ampunkanlah aku atas kelancangan tindakku hingga aku melukakan hati insan lain sedangkan hak diriku sendiri tidakku tunai. Sesungguhnya  aku amat sedar bahawa syurga dan neraka itu benar.
Ya Allah , tiada yang terselindung dariMu … maka maafkanlah aku , ampuni aku.
Ya Allah dari lubuk hatiku kupohon , simpulkanlah hatiku dengan sifat seorang hamba hingga redhaMu menjadi matlamat hidupku. Amiinnn…”


Ibrah sebuah kehidupan …

Tika hening menghentak jiwa resah
Gerangan apa mengocak jenjam sukma
Menyendal  tersumpal mengundang gundah
Mencengkam nadi membunga lara

Tika hening menghentak jiwa resah
Ku harap biar alah diri ini membawa bungkam
Ke suatu arah yang tak kunjung
Tika pangkalnya kian menjauh
Tenggelam dek pandangan
Diselaputi kabus bergalas amanah
Memberat lalu memasung tangan menjangkau

Kiranya aku sudah terlalu lama faham
Akan ditarik songsang rasa itu
Lalu kukaut segala biar tersisip rapi
Hingga menjadi untaian sejarah nan tak terlepas
Kupasak pada sudut paling diam
Dalam sukma diri bagai ukiran terpahat mati***ojai


-peace-

>__<

Tuesday, 4 August 2015

Lukis jea ... tidak lagi koheren


Lukis jea ... tebaran sayap tidak lagi koheren ....

Apabila tebaran sayap tidak lagi koheren
Maka menjaraklah fasa itu ...
kian memudar denai node dan antinode
hinggakan  tidak lagi mampu membentuk interferen baik membina hatta membinasa

Kiranya di sinilah berlabuhnya sebuah perjalanan yang jauh.




-peace-
>__<

' sebuah kisah ... Pelayaranku bersamamu dilaila'
Seribu satu kenangan
Sejuta rasa




Monday, 3 August 2015

Lukis jea .... sudut yang kau teroka

Lukis jea ... teratai

-dari sudut hatiku yang kau teroka-
Tika akar menjejak dasar dan pucuk menggapai awan



-peace-
>__<

Bila hanya ada dua pilihan...duduk tersengguk2 mengawas ujian penilaian 2 atau
melukis buat menahan mata
.... maaf aku pilih melukis!