Popular Posts

Monday, 30 March 2015

Sekolahku Syurgaku ... Prem

Pagi ini seawal pukul 7:15 aku sudah sampai di bilik guru.
"Assalamualaikum" sapaku kepada Suzara , ustazah sekolahku yang sememangnya telah lama kukenali. Sama-sama dipertemukan di Cyberjaya pada tahun 2005 dan kini bertemu semula di DABB pada tahun yang amat bersejarah bagiku , 2015.
"Waalaikumussalam!. Akak , minggu lepas saya jumpa Mas dan Kak Su. Dorang semua kirim salam. Kak Su siap suruh sampaikan pesan , hari tu Prem sampai nangis teringatkan akak"
"Allahhu Akbar!. Kesiannya dia"
"Kak , Prem tu siapa?". Lantas aku menceritakan serba ringkas tentang Prem kepadanya. Tak boleh bercerita panjang sebab kami harus bergegas ke perhimpunan rasmi.

SIAPA PREM?
Prem adalah seorang daripada anak muridku yang bermasalah disiplin yang agak berat.
'Terlalu baran , tidak mendengar kata , biadap , sentiasa ponteng kelas atau keluar masuk sesuka hatinya , terlibat dengan pergaduhan tapi bukan dengan murid. Ini adalah pergaduhan perasaan guru-murid. malah Prem juga pernah mengangkat kerusi untuk dibalingkan kepada seorang guru lain. Mujur ramai pelajar lelaki Melayu  di sekitaran meluru mempertahankan guru itu menyebabkan Prem tidak jadi melakukannya"

Macam ganaskan bunyinya budak Prem ini?
Tapi sejujurnya aku melihat ketabahan di sebalik sikap barannya.
Aku melihat kelembutan di sebalik kekasarannya.
Dan aku melihat pandangan mata yang minta dihargai.

Adakah aku berkata kosong?
Tidak!. Itulah sesungguhnya. Bertugas sebagai ketua guru disiplin , aku menerima laporan dan rungutan yang tidak sudah-sudah tentang Prem. Hingga ada kalanya aku terfikir , siapakah yang sebenarnya yang bermasalah?
Sebagai pendidik , memang menjadi tugas dan amanah kita untuk mendidik. Jangan sekali-kali menghukum dan jangan sampai ada perasaan benci pada mana-mana anak-anak didik kita tidak kiralah apa jua bangsa dan agamanya.
Namun aku juga faham , bebanan kerja seorang guru yang terlalu menekan menyebabkan ramai antara kami yang terhakis empatinya sedikit demi sedikit.
Lagi pula , alangkan lidah lagikan tergigit. Inikan pula kita yang langsung tiada perkaitan.
Habis tu , bagaimana dengan aku?. Tidakkah terhakis ehsan di hati.
Hmm ... boleh aku masuk bakul angkat sendiri?
Aku tidak begitu. Sememangnya mendidik itu adalah minatku. Lagi pula , aku amat sukar dan tidak mungkin membenci orang lain dan kalau aku sayang , maka aku akan terus sayang. Pendapat kekawan rapatku , itu adalah kekuatanku tapi menurutku , itu jugalah kelemahan terbesarku!

Siapa Prem sebenarnya?
Dia adalah anak hasil keluarga yang berpecah belah. Tinggal bersama ibu dan adik bungsunya , terpisah daripada abang dan ayah yang sudah bertahun-tahun tiada khabar berita.
Susah payah ibu membesarkan dua anak lelaki menyebabkan si ibu terpaksa bekerja sebagai 'tea lady' di dua pejabat bagi menampung perbelanjaan harian.
Menitis air mataku ketika aku dimaklumkan bahawa adiknya pernah dipukul ibunya  kerana menangis tidak henti-henti disebabkan mahukan roti yang tidak mampu dibeli oleh ibunya.
"Ya Allah , sedih sangat hatiku ... berapa senlah sangat harga roti berbanding pelbagai makanan yang kusajikan untuk anak-anakku di rumah".
Dan Prem ... adalah anak ibu yang baik. Di sebalik sikap kasarnya , dia adalah penyejuk hati ibunya malah dia yang memandikan dan menguruskan neneknya. Sungguhpun miskin , keluarga ini masih sanggup menjaga nenek yang tua dan uzur.
Itulah Prem , anak muridku di mana sebahagian kasihku tertumpah kepadanya...

Acap kali aku menerima berita , Prem bertegang leher dengan orang lain. Tiap kali itu terjadi , aku akan segera mencarinya dan hanya perlu menepuk bahunya sambil berkata , "Sabar Prem , tak baik marah macam tu". Prem akan bising seketika meluahkan perasaan tidak puashatinya sebelum akhirnya akur dan bertenang.
Aku sayang Prem?. Ya!. Aku sayang dia sebagai anak muridku , aku hargai dia sebagai manusia walaupun kami berlainan agama dan bangsa namun aku yakin kebaikan yang ditabur dengan keikhlasan akan mampu membimbingnya ke arah jalan kebenaran. Malah aku berdoa agar Allah mengurniakan hidayah kepadaNya dan membuka pintu hatinya untuk mengenali dan mengamalkan islam, sesungguhnya islam itu adalah agama kasih sayang.

Inilah kisah Prem ... anak muridku yang pernah kujanjikan akan kubimbing agar cemerlang SPM pada tahun ini tapi sayang takdir telah menentukan bahawa aku akhirnya terpaksa berpindah. Meninggalkan Prem dan yang lain-lain dengan hati yang berat ... 'Janji hanya tinggal janji'. Tidak mampu hendakku tunaikan dan aku amat kesal untuk itu.

"Selagi kita berpijak di bumi yang sama , berbumbungkan langit yang sama seharusnya kita saling menyebarkan 'rasa kasih dan sayang'. Aku amat mempercayai apa saja yang datang dari hati akan sampai ke hati juga.
 
-Allah juga yang lebih mengetahui-
dan
Hmm ... aku mahu terus hidup dengan kasih sayang

 
 
 
-peace-
ojai
 
>__<