Popular Posts

Saturday 20 May 2017

Novel 2 : Selepas Hujan ... Bab 26

BAB 26          :           BERAT HATI BERPISAH
Bahtera kita
Punah dipukul gelora sedang pantai masih belum kelihatan
Sedang kita sama-sama mencungap cuba menggapai
... dan jarak yang semakin jauh ...
                          
“Bang, Ziah sebenarnya berat hati nak tinggalkan abang ... tapi,
“Abang , benarkah abang izinkan Ziah pergi?”. Tanya Ziah. Hatinya berbelah bahagi.
“Pergilah. Dia memerlukan Ziah sekarang ni ... jangan dirisaukan abang di sini , abangpun sudah hampir pulih sepenuhnya. Mak , Abah , Miahkan ada. Lagipun bukannya lama , dua hari je kan”. Abang Anip menenangkan hati Ziah. Sejak menerima panggilan telepon daripada Diah petang semalam , Ziah menjadi tidak senang duduk. Sahabatnya itu sedang menghadapi konflik  yang maha berat dalam hidupnya. Konflik antara anak menantu dan mertua , antara suami dan isteri. Konflik seumpama ini memang terlalu biasa didengar namun sekali menimpa banyak sekali hati yang terjerut rasa.
Kes Diah dan mertuanya , juga Diah dan suaminya menjadi semakin parah apabila kepercayaan antara satu sama lain semakin pudar dan syak wasangka semakin menyubur.
“Diah dan suaminya?. Suaminya , Zuraimie!”. Bergetar hati Ziah menyebut nama itu. Sudah terlalu lama dia membuang jauh-jauh nama itu dari hatinya.
“Ah! Dia itu bukan siapa-siapa denganku. Dia itu hanyalah masa laluku, suami kepada sahabat baikku sendiri. Lagi pula aku kini sedang berbahagia dengan abang Anip , satu-satunya lelaki yang bertahta di hatiku kini”. Ziah bermonolog , seperti cuba menyakinkan dirinya sendiri!.
  Ingatan Ziah kembali bertandang kepada tangisan Diah yang tiada hentinya petang semalam. Tangisan itu membayangkan betapa beratnya tanggungan jiwanya. Ziah seolah-olah dapat menjangka yang jiwa sahabatnya itu akan punah patah dek pergolakan hubungan antaranya dengan mertua dan suami. Semua itu menyebabkan Ziah  tidak senang duduk dan menjadi teramat risau. Risaukan kiranya bebanan perasaan yang tidak tertanggung akan menyebabkan sahabatnya itu mengambil tindakan di luar jangkaan. Tindakan di luar jangkaan? … tidak mustahil bagi Diah yang tidak habis-habis dirundung malang!!
Terbayang oleh Ziah akan beberapa kejadian yang pernah dibacanya di dada akhbar  , ’seorang gadis gantung diri gara-gara putus cinta’ , ‘seorang ibu mengelar leher anaknya sebelum menikam diri sendiri gara-gara kecewa dengan suami yang curang’  ,’seorang isteri teruk dibelasah suaminya apabila meminta cerai’ , ‘anak dan isteri cedera disimbah asid oleh suami yang mengamuk’ dan pelbagai ‘hot line’ lagi yang menyebabkan Ziah menjadi kecut perut. Ziah tidak mahu peristiwa seperti itu berlaku kepada sahabat baiknya Diah. Ziah sedar sahabatnya ini perlu dibantu , dia harus berkorban meninggalkan abang Anip sendirian , dia juga harus berkorban melanggar janjinya kepada diri sendiri bahawa dia tidak akan pernah lagi bersua muka dengan Zuraimie , lelaki yang pernah memberikan harapan palsu dan memainkan perasaannya suatu ketika dahulu. “Aku akan berkorban demimu sahabat”. Kata hati Ziah.
Ziah mengimbau kembali sejarah dan liku hidup sahabatnya itu. Semuanya mengundang rasa sendu di jiwa … perjalanan hidup Diah yang begitu berliku.
“Huh!!” Keluhnya , sahabatnya ini tidak sudah-sudah dirundung malang ... bermula dari salah tindaknya juga , mengandungkan anak luar nikah! lalu ditinggalkan kekasih hati buat selamanya , dibuang keluarga sendiri dalam keadaan hilang ingatan dan perut yang semakin membuyung. Dibuang dengan penuh penghinaan yang mungkin tidak akan tertanggung oleh orang lain. Kini hidup atas belas ihsan lelaki yang tidak pernah dicintainya , menjadi isteri kepada seorang pak sanggup yang tulus cintanya namun kebahagian masih belum juga menjadi milik Diah. Lebih-lebih lagi apabila kehadirannya tidak diterima baik oleh keluarga mertuanya kini.  Dia dianggap sebagai racun yang memusnahkan hidup satu-satunya anak lelaki keluarga itu.



Aku yang ternoda


Aku yang ternoda
Kan hinakah hidupku selamanya?
Umpama puing-puing yang tidak pernah berharga

Yang tersasar dari landasan kebenaran
Angin taufan menggoncang  ranap keamanan
Ngeri mata memandang penuh jijik syaitan
Ganasnya  kalam tanpa belas dan pengertian

Tuhan , bukankah masih ada pintu taubat?
Engkau janjikan selagi nyawa belum disekat
Raungan hatiku yang semakin sendat
Naluriku yang semakin sarat memberat
Omongan para ustaz yang kian berkarat
Dek engkarnya manusia keparat
Aku bertaubat namun  deritaku melarat


Ratapan hati Diah …



“Bukan salah mereka. Siapalah yang mahu bermenantukan perempuan yang sudah ‘ditebuk tupai ini’. Huhh … mungkin inilah balasan atas dosa yang pernah aku lakukan. Terlajak perahu boleh diundur … tapi sekarang tiada apa yang dapat kulakukan. Benih yang terus subur dalam rahimku ini adalah bukti kebiadapan yang pernah aku lakukan”. Ziah masih terngiang-ngiang akan kata-kata Diah kepadanya suatu ketika dulu.


 Ziah berat meninggalkan abang Anip
“Ziah , nanti abang tak dapat nak hantar Ziah ke stesen bas. Abah akan hantar tapi nanti bila dah sampai sana jangan lupa telepon ye. Lagi satu , nanti bila nak bertolak balik ke mari , pun jangan lupa telepon. Nanti abang minta tolong abah ambik Ziah kat Kuantan”. Pesan abang Anip. 
         Kata-kata abang Anip itu menyedarkan Ziah dari lamunannya. Ziah  segera mengangguk , terharu mendengar kata-kata suaminya itu. Wajah polos suaminya itu ditatap. 
“Bang , Ziah sebenarnya berat hati nak tinggalkan abang ... tapi , Diah tu dah macam adik Ziah sendiri. Kami mengharungi suka duka bersama sejak dari matrikulasi lagi sampailah ke universiti. Hidupnya tak sudah dirundung malang. Sekarang ni dia betul-betul tengah ‘down’. Ziah rasa bertanggungjawab pula untuk membantunya. Sekurang-kurangnya kehadiran Ziah nanti dapat melegakan dan meringankan sedikit bebanan perasaannya itu” . Ziah menelenggu di hadapan suaminya sambil memegang lutut abang Anip yang sedia duduk di sofa hadapan ruang tamu rumah itu .
“Ziah , tak mengapa. Abang faham. Pergilah , abang izinkan ...”. Balas abang Anip penuh pengertian namun jauh di sudut hatinya mahu saja dia menegah Ziah dari meninggalkannya.
“Abang , jaga diri semasa ketiadaan Ziah. Ingatlah bahawa Ziah sangat sayangkan abang. Jangan lupa makan ubat bila tiba masanya”. Ziah mengucup tangan abang Anip. Menitis air matanya untuk meninggalkan suami tercinta , lebih-lebih lagi dalam keadaan abang Anip sekarang. ‘Ditelan mati emak , diluah mati ayah’ itulah umpama perasaannya kini.
“Ya. Janganlah risau , niat yang baik pasti akan dibantu olehNya. Abang akan setia menanti Ziah di sini”. Balas abang Anip , cuba berlagak biasa walaupun sebenarnya hatinya amat berat melepaskan Ziah pergi.
Dengan perasaan yang amat berat , Ziah akhirnya melambaikan tangan dari dalam kereta milik cikgu Karim , bapa mertuanya. Cikgu Karim diam sahaja di sepanjang perjalanan. Dia sebenarnya tidak setuju dengan tindakan Ziah meninggalkan suami yang masih sakit . “Masakan kawan lebih penting daripada suami sendiri”. Itu fikirnya.   
Namun , rasa hatinya itu tidak diluahkan kerana memang sudah  menjadi pendiriannya untuk tidak campur tangan dalam urusan hidup anak dan menantunya itu. Apa yang dilakukan Ziah terhadap anaknya selama ini pun sudah lebih dari yang sepatutnya.
Ziah sudah banyak berkorban tenaga dan rasa demi memastikan anaknya itu kembali pulih.
“Abah , Ziah pergi untuk dua hari ini sahaja. Ahad ni ... Ziah balik. Ziah minta maaf sangat kerana terpaksa tinggalkan abang Anip. Ziah terpaksa ...  Diah tu dah macam adik Ziah sendiri. Keadaan emosinya terganggu teruk. Ziah terpaksa juga pergi” . Ziah mohon pengertian daripada bapa mertuanya itu.

Setelah sekian lama diam ...
“Huhmmm  ... yelah. Buatlah apa yang patut”. Kata cikgu Karim lalu menghulurkan tangannya kepada Ziah. Ziah bersalaman dan mencium penuh  hormat  tangan bapa mertuanya itu.
“Abah , tolong tengok-tengokkan abang Anip tu. Ziah sebenarnya berat hati sangat nak tinggalkan dia”. Pinta Ziah.
“Huh! Tak usahlah kau risau. Dia tu anak aku. Takkan aku biarkan dia ... Sudahlah tu ... pergilah. Nanti tertinggal bas pulak. Tuu ... bas dah hidupkan enjin. Kejap lagi bergeraklah tu”. Cikgu Karim menudingkan jarinya ke arah bas ekspress ‘Senandung Malam’. Konduktor bas sedang riuh memanggil penumpang.
“KL!!  KL!! ... bas dah nak gerak!”, jerit konduktor bas itu.
“Ziah pergi dulu abah” . Ziah mencium tangan bapa mertuanya itu sekali lagi lalu bergegas masuk ke dalam perut bas.
            Ziah memejamkan matanya. Perjalanan yang panjang ini pastinya memenatkan dan lebih memberatkan perasaannya apabila Ziah asyik terkenangkan suami tercinta yang ditinggalkan dalam kepayahan. Inilah kali pertama mereka berpisah setelah bergelar suami isteri.
“ Ya Allah , bantulah urusanku agar segera selesai dan kami kan segera kembali bersatu”. Doanya dalam hati.

Tinggallah sayang

Tinggallah kasih tinggallah sayang
Ingat aku jangan dilupa
Nyanyian rindu  menyapa di lubuk hati
Galasan beban di  jiwa kapan  kan menghilang
Gelora meronta bila kan reda
Andai bahtera terumbang ambing mencari pantai
Laksana menanti sitembelang  menetas di sarang
Lipatan masa sudah pastinya menggoda
Akan terjulangkah janji nan termeterai
Harapan kita  mengulit kasih dan sayang

Sakinya  jiwa menahan rasa merindu
Apakan daya  semuanya perlu
Yang merana dia sudahlah tentu
Agah kita sahabatnya sedia membantu
Nanti tidaklah kita perit diburu
Gelisah meraja dek  tak mengendah tak ingin tahu

Ziah diulit rasa


 Kisah Diah dan kekecewaannya
Tak pernah Diah sangka perkara  ini akan terjadi juga. Bukan saja Diah ... malah siapapun tidak akan pernah menyangka , lelaki yang kononnya benar-benar menyintainya kini menekan jiwanya!. Pagi itu Diah seperti biasa mengambil  baju-baju kotor yang dilonggok di dalam bakul di  bilik tidurnya. Kemeja kerja Zuraimie dibeleknya. Saku nya diseluk , kot ada kad business yang tertinggal di situ. Habis baju , seluar yang dipakai Zuraimie semalam juga diperiksa. Lepas satu – satu  saku seluar diseluk. Tiba-tiba tangannya merasai sesuatu , sekeping kertas kecil yang elok terlipat. Setelah dikeluarkan , Diah membuka lipatan kertas kecil itu. Matanya tertangkap sekeping resit pembayaran , terbeliak matanya melihat jumlah pembayaran yang dibuat. Lebih terkejut lagi apabila Diah meneliti tujuan pembayaran itu dibuat. Resit lawatan ke ‘dance club’!. RM 2850! Itu jumlah yang perlu dibayar. ‘GRO booking’ sahaja mencecah RM1500!. Apa yang dilihatnya itu benar-benar mengecewakan Diah. Tandatangan dan nama yang tertera di sudut bawah resit itu sudah sah milik Zuraimie , suaminya!
“Mengapa Zuraimie pergi ke tempat-tempat sebegitu?. What kind of services that these ‘girls’ gave him?. Ya Allah , benarkah apa yang ku lihat ini?”. Diah bagaikan tidak percaya , resit pembayaran itu masih kemas di genggaman.
… dan Diah tambah sakit hatinya, bila perkara itu diajukan pada Zuraimie usai suaminya makan malam itu …
 “Diah , sebenarnya ... abang tak pergipun tempat tu . Abang cuma tolong bayarkan bill saja. Itupun di kaunter pembayaran sahaja ...”. Zuraimie cuba menipu.
“Tolong bayar?”. Diah tidak percaya , dia tersenyum sinis. Senyuman yang menghiris luka jantung hati Zuraimie.
“Ingat aku ni bodoh  sangat ke?!”. Kata Diah di dalam hatinya.
“Orang lain seronok main perempuan , awak pula tukang bayar. Ceh!! Orang bodohpun tahu yang dirinya sedang diperbodohkan!!”. Fikir Diah lagi.
“Diah pun tahukan ... abang terpaksa melayan kerenah ‘client’ , nak puaskan hati mereka. Tapi abang tak pergipun. Abang cuma masuk untuk bayar bill itu!”. Kata Zuraimie bersungguh-sungguh , cuba mendapatkan kepercayaan isterinya itu. Namun begitu egonya betul-betul tercabar. Tidak puas hatinya apabila isterinya sendiri sudah mulai curiga terhadapnya walaupun dia sememangnya membuat onar.
“Macam mana Diah nak tahu sama ada abang pergi atau tidak?”. Tanya Diah , juga masih tidak berpuas-hati.
“Terpulanglah pada Diah ...”. Zuraimie menutup perbualan lalu berbaring di sofa panjang sambil  memalingkan mukanya dari memandang Diah… dan Diah benar-benar sakit hati!!!.
                                                                                                                                         
Perasaan tidak percaya
Sudah lebih sebulan peristiwa itu berlalu ... namun perasaan ditipu dan  curiga di hati Diah tidak juga hilang. Keadaan ini benar-benar telah menjejaskan hubungan mereka berdua. Lebih parah lagi  , Zuraimie sendiri  sekarang hampir tiap-tiap malam pulang lewat.
“Abang sibuk minggu ni ... esok ada closing tender... ada presentation ... ”. Dan macam-macam lagi tugasan berat yang harus diselesaikannya.
Diah menjadi semakin curiga ... syaitan sentiasa membisik-bisikkan pelbagai perkara buruk dilakukan Zuraimie menyebabkan Diah tidak senang duduk setiap kali Zuraimie keluar bekerja.
“Ahhh ... apa patut aku lakukan?”. Fikir Diah.
“Takkanlah aku nak berterus terang , beritahu Zuraimie yang aku sekarang sudah tidak lagi
mempercayainya? ... Eeeee ... cari nahas!”. Diah memerah otaknya mencari jalan terbaik yang patut dilakukan. Suka atau tidak , Diah cukup sedar Zuraimie sajalah tempat dia bergantung dan menumpang teduh. Diah tidak pernah menyangkal bahawa Zuraimie sahajalah lelaki yang sanggup memulihkan dan menaikkan harga dirinya. Jauh di sudut hatinya , dia terhutang budi dengan lelaki ini. Hutang yang tidak akan pernah mampu dibayarnya di sepanjang hayat.
“Aku perlukan bantuan!”. Diah akhirnya membuat keputusan. Diah perlukan bantuan dan  pendapat dari orang  lain. Terus wajah Ziah , sahabatnya itu terbayang di ruang matanya. Telepon bimbitnya dicapai dan nombor telepon Ziah didailnya.




No comments:

Post a Comment