Popular Posts

Saturday, 4 October 2014

Fikiranku ... 'Miliki hati yang besar'

Selamat hari raya Eidul adha....
Jom solat raya...

Sempena hari raya korban ini aku ingin menyeru para pembaca budiman agar korbankan terus sifat buruk sangka atau pandangan negatif pada sesiapa saja.

Sebenarnya ada kisah yang ingin ku kongsikan dengan sesiapa saja yang sudi. Moga ada pengajaran dari kisah ini ...

Ianya tentang ... Pentingnya memiliki hati yang 'besar' untuk menampung hati- hati yang lain.
Semuanya bermula dua tahun lepas. Aku mula mengenali seorang murid yang ku panggil 'Akim' (Bukan nama sebenarnya).
Akim seorang murid yang sangat terkenal dengan sikapnya yang sering melanggar disiplin sekolah. Tidak minat belajar dan sering sahaja menyebabkan guru-guru yang mengajar 'sakit jiwa' dengan sikapnya yang keterlaluan.

Biarku senaraikan kes-kes salahlaku disiplin yang sering/pernah dilakukannya ;
1.  Ponteng sekolah
2.  Ponteng kelas
3.  Bergaduh (bertumbuk)
4.  Membuli emosi ( mengejek/mengata)
5.  Merokok
6.  Lambat datang ke sekolah ( 8:00 -9:00 pagi - itu biasa)
7.  Mengganggu Pengajaran dan pembelajaran
8.  Lambat hingga melebihi 20 minit untuk masuk ke kelas.
9.  Membawa barangan terlarang - lighter , rokok
Sikapnya yang seringkali mengganggu PnP menyebabkan ketidakhadirannya dianggap sebagai satu 'rahmat' oleh para guru yang mengajar dan murid lain yang ingin belajar.

Jika dilihat daripada senarai di atas , tentu saja ramai yang akan bertanya , apa yang dibuat oleh pihak sekolah , khususnya unit disiplin?
Sekarang biarku senaraikan pula tindakan yang kami ambil;
1.  Memberi amaran
2.  Menghantarnya untuk sesi kaunseling ( sudah berkali-kali)
3.  Memasukkannya dalam program keagamaan - Nasuha
4.  Memasukkannya dalam program khas -Kembali ke Landasan di mana melibatkan program khas          disiplin Daerah (program sepanjang tahun)
5.  Memanggil ibubapa ke sekolah
6.  Meletakkan guru disiplin (aku) sebagai mentor kelasnya
7.  Meletakkannya di bawah pengawasan kaunselor sepanjang sesi  persekolahan di mana semua              bahan PnP diberikan kepadanya untuk disiapkan di bawah pengawasan kaunselor.

Mungkin saja ada yang bertanya , mengapa tidak digantung atau dibuang saja dari sekolah?
Ops!! Itu bukan polisi kami. Kami (khususnya aku) percaya bahawa menggantung atau membuang murid yang tidak minat bersekolah akan hanya lebih menjarakkannya dari sekolah. Hukuman itu lebih 'menggembirakannya' dan langsung tidak memberikan kebaikan kepadanya melainkan sekadar memuaskan emosi atau amarah kita sahaja.

Aku juga percaya malah sangat percaya bahawa setiap orang akan pasti berubah ke arah kebaikan asal saja diberikan peluang. Tinggal lagi , bila masa dan ketika perubahan itu terjadi bukanlah kuasa kita menentukannya.

Ingat ... bukan kita yang memegang hati mereka tapi Allah. Sebagai manusia tidak seharusnya kita cepat berputus asa dan mengalah lebih-lebih lagi dalam urusan mendidik manusia. Usaha dan usaha , selebihnya kita serahkan kepada Allah , barulah tiada kecewa jika hasilnya tiada.

Dan aku juga selalu ingat bahawa Allah itu Maha Mengetahui dan bukanlah suatu kebetulan maka kita dipertemukan dengan sesiapapun dalam perjalanan hidup ini. Pasti ada sebab tiap sesuatu itu ditimpakan kepada kita. Mungkin juga kita adalah insan-insan terpilih yang diberi kelebihan untuk diuji , merasai dan melalui semua itu.

Berbalik kepada kisah Akim ...
Sikap Akim yang sering melampau itu membuatkan aku menukar strategi - Akim ini harus kudekati.

Maka aku mula membina hubungan baik dengannya , bermula dengan bertegur sapa selalu , berbincang tentang salahlaku disiplinnya ( untuk lebih memahaminya) , memberi kata-kata semangat untuknya belajar terutamanya bila tiba ujian atau peperiksaan (Malah aku pernah beri kad khas yang kubuat sendiri kepadanya sewaktu peperiksaan tiba).

Menggalakkannya menjawab soalan sewaktu peperiksaan setiap kali aku bertugas sebagai pengawas peperiksaan kelasnya ( Aku lakukan dengan menunjukkan kata-kata kunci sesuatu soalan-biasanya Akim hanya akan tidur dan menghantar kertas kosong , maka galakan seumpama itu perlu baginya)

Pernah suatu ketika , dia dan beberapa murid lain dihadapkan kepadaku atas salahlaku disiplin; ponteng dan merokok. Aku yang buntu seketika hanya mengajak mereka beristighfar dan  berdoa. Doa  itu ku ucapkan dalam bahasa Melayu dan ku pohonkan  kepada Allah apa jua yang terlintas dari lubuk hatiku yang benar-benar inginkan mereka berubah. Mereka mengaminkan doaku itu. Harapku agar doaku itu dapat menyentuh hati-hati mereka.

Masa berlalu ...
tiada banyak perubahan yang berlaku kepadanya , cuma Akim kini tidak lagi terlibat dengan kes-kes berat seperti bergaduh dan membuli.
Aku masih lagi mentor kelasnya. Tiap kali ada peluang aku akan masuk ke dalam kelasnya , memberikan kata-kata semangat dan nasihat kepada mereka. Ada kalanya aku mengajar  Sains dan matematik jika diminta oleh mereka.

Melayan kerenahnya dengan sabar ...
Lebih-lebih lagi pada suatu hari dia terlalu lewat ke sekolah , dan ketika kupanggil , Akim menunjukkan kepadaku kesan lebam dan bengkak di lengannya. Bila kutanya , Akim menjawab ...
"Semalam saya bergaduh dengan bapak saya. Dia pukul saya dengan kayu besball. Saya kata dia bukan lagi bapak saya. Bapak saya marah. Dia baling baju saya keluar. Ni bengkak sebab saya tahan kepala saya dengan tangan masa dia pukul".
Ya Allah ...
"Habis tu sekarang awak tinggal di mana?"
"Saya tinggal di rumah nenek".
Akim...Akim...Akim... Bagaimana mungkin keluarga yang sebegini dapat membantu Akim untuk berubah?

Masa terus berlalu ...
Minggu terakhir sebelum cuti pertengahan penggal kedua , Akim datang menemuiku ...
"Cikgu , boleh jumpa tak?"
"Oh! Sekarang saya nak ke kelas. Nanti lepas rehat saya free. Saya cari awak di kelas k?"
Maka seperti yang dijanjikan , aku meminta izin daripada guru yang mengajar untuk mengambil Akim.
"Hah! Ambillah ... eloklah tu cikgu ambil". Kata guru itu. Aku hanya tersenyum mendengar responnya. Berat mata memandang , berat lagi bahu guru ini memikul kerenah dan perangai Akim.

Dalam blik disiplin ...
"Cikgu , saya sebenarnya nak bagi tahu. Saya tak tahu macam mana nak belajar untuk SPM ni. Dah banyak sangat tertinggal. Semua tak faham".
Uh?!
Apa yang bolehku buat?
Maka aku mengambil sekeping kertas dan pen. Bermula dengan menyenaraikan semua matapelajaran yang diambilnya , memaklumkan syarat lulus SPM dan merancang Jadual masa cuti untuknya bersama-sama. Target kami , hanya lulus SPM (Wajib lulus BM dan Sejarah).

Naik cuti sekolah ... sewaktu berselisih jalan
"Cikgu saya tak buatpun apa yang kita bincang. Buku tak dapat beli. Buku teks tinggal kat sekolah. Saya baiki kereta bapak yang rosak je"
Uh?!
Hmm ... dah berbaik dengan bapaklah tu. Alhamdulillah...

Sekali lagi , "Cikgu , boleh jumpa?"
"Boleh"
"Cikgu saya bosan. Kat rumah bosan. Kat sekolah bosan. Lepak dengan kawan-kawanpun bosan. Gelak-gelak lepas tu bosan. Tak tahulah cikgu". Katanya dengan wajah berserabut.
"Hmm ... awak bosan sebab awak tak ada tujuan hidup. Awak tak ada impian. Awak ak ada cita-cita. Sebabtulah bosan. Hmm ... awak nak jadi apa?"
"Entahlah... tak tahu. Dulu adalah nak jadi askar. Saya minat jadi askar. Semua cerita perang saya tengok. Cikgu tanya aje".
"Hmm ... bagus juga jadi askar. Tapi awak mestilah lulus SPM. Apa kata awak usahakan untuk lulus SPM dan kenalah juga lulus beberapa subjek lain selain BM dan sejarah?
"Boleh ke?". Tanya Akim
"Kita usahalah. Moga cita-cita awak nak jadi askar akan tercapai".
Maka kami sekali lagi membincangkan strategi pembelajaran yang sesuai di saat-saat akhir ini. Beberapa buku yang perlu aku belikan terus untuknya (Bukan guna duit aku tetapi duit seseorang yang kukongsikan dengannya tentang Akim - "Saya pun nak buat pahala" -kata penderma itu)

Sebelum berakhir pertemuan kami hari itu ...
"Akim , cikgu nak tanya sikit. Awak solat tak?". Tanyaku terus tanpa berdolak dalih.
"Tak!. Last saya solat masa bulan Ramadhan hari tu. Saya siap buat solat tarawih lagi. Tapi lepas solat hari raya , saya tak solat langsung"
"Kenapa?"
"Entahlah cikgu"
"Hmm ... patutlah cikgu tengok wajah awak berserabut dan kusam. Tak ada cahaya dan seri langsung.
Sebab itulah awak 'bosan' dengan semua benda. Awak tak bina dan jaga hubungan awak dengan Allah".
"Akim , boleh janji dengan cikgu. Mulai hari ni Akim jaga solat. Nanti zohor , asar , maghrib , isyak jangan tinggal. Esok bangun pagi jangan lupa solat subuh".
"Subuh tak bolehlah cikgu. Bas datang awal. nanti tertinggal bas".
"kalau macam tu , sampai sekolah , Akim solat subuh". Cadangku.
Akim setuju...

Dan mulai hari itu , aku akan bertanyakan tentang solatnya tiap kali kami berselisih. Malah ada ketikanya dia yang datang mendapatkanku untuk memaklumkan tentang solat yang dikerjakannya. Ops! jangan ada yang mempertikaikan keikhlasannya.Tak mengapalah dia begitu ... keikhlasan itu bukan urusan kita menentukannya ...

Perjalanan masih jauh dan urusan masih banyak ... tolong  doakan agar Akim lulus SPM , berjaya menjadi askar dan cemerlang sebagai hamba Allah.

Sedikit kisah untuk renungan - moga ada manafaatnya


-peace-