Popular Posts

Friday, 29 August 2014

Fikiranku ... Soal Hati


Sungguhpun hati itu kepunyaan kita tapi ia
milik Tuhan yang maha mencipta.
Soal Hati ... perkara yang terlalu biasa dibicarakan oleh ramai orang. Mengapa ya?. Mungkin juga kerana tiap kita pasti mempunyai sekeping hati (Bukan hati dalam istilah perubatan atau biologi tapi hati dalam istilah minda dan perasaan!)

Ungkapan berikut amat sering kita dengar ... 
"Hatiku terluka"
"Hatiku disakiti"
"Hatiku terseksa"
"Hatiku menangis"
"Hatiku merindu"
"Hatiku kaku" dan "Hatiku bla bla bla ..."

Semuanya soal hati. Sungguhpun hati itu kepunyaan kita namun ia sebenarnya bukan milik kita. Lantas , milik siapa hati itu?. Tentu saja milik Allah , Tuhan yang Maha Mencipta. Sebab itulah , seringkali kehendak hati itu tidak selaras dengan kehendak akal rasional kita sebagai manusia.

Tidak faham? ... mari ku ceritakan satu kisah benar tentang anak muridku yang ku tangani baru-baru ini ...
Seorang anak muda yang baru mencecah 16 tahun ditakdirkan jatuh cinta dengan teman sekelasnya , seorang gadis manis yang kelihatannya sopan dan menarik.  'Kuringkaskan sedikit , atas nasihat aku dan 'team'ku maka mereka sedia untuk memutuskan hubungan. Semuanya demi menjaga nama baik sendiri , keluarga dan demi kemaslahatan mereka sendiri (Terutama sigadis).

Maka putuslah mereka untuk beberapa minggu(Cecah bulan juga) hinggalah baru-baru ini aku menerima laporan/aduan yang mengatakan pasangan tadi dilihat berpelukan malah si bujang telah mencium pipi sigadis tanpa paksa.

"Allah! Tak selesai lagi budak-budak ini!". Itulah respondku tika menerima aduan.
Mereka berduaku panggil. Pengakuan diambil dan mereka mengaku bahawa mereka memang sangat menyayangi satu sama lain sungguhpun mereka sedar bahawa belum masanya lagi untuk mereka mengharungi semua itu.  Aku menasihati mereka agar berfikir secara rasional , jaga maruah diri dan keluarga dan takutlah kepada kemurkaan Allah.

Atas dasar tanggungjawab , aku memaklumkan perbuatan mereka kepada penjaga mereka. Ibu kepada si bujang datang dan kami berbincang (Aku , Kaunselor sekolah , Ibu si bujang dan si bujang itu sendiri). Asalnya ibu muridku ini enggan mempercayai salahlaku yang dilakukan anaknya tetapi setelah anaknya sendiri mengaku maka terkedulah si ibu ... jelas terpancar kekecewaan di wajahnya. Lantas dua pertanyaan ibunya membuatkan muridku sangat malu lalu menundukkan kepalanya serendah mungkin ...
"Memang sendiri nak buat ya?"
(Anaknya mengangguk)
"Seronok?"
(Langsung tiada respond ... hanya kepalanya semakin menunduk-malu!)
Ibunya lantas menyatakan kekecewaannya ... "inilah, anak2 sekarang , langsung tak fikir pasal mak ayah. Walhal semua yang dia hendak kita turutkan. Dalam tak berduitpun kita usahakan dapat. Asalkan anak ni gembira. Punyalah kita sayangkan dia tapi ... dia tergamak buat macam ni. Malukan mak ayah. Langsung tak fikirkan mak ayah!". Keluhnya dengan nada yang amat kecewa.
Tatkala ini menitik air mata si anak ...

Sampai peringkat ini , aku terpaksa bersuara ... " Izzah , jangan begini (Bukan nama sebenar) , anak ini tidak bermaksud begitu namun perkara melibatkan hati ini amat rumit untuk ditangani. Jika tidak masakan wujudnya pantun melayu , nasi lemak buah bidara  dan masakan ada ungkapan ' cinta itu buta'.
Pada dasarnya memang hati kita kepunyaan kita namun yang memilikinya bukanlah kita. Bukan mudah mahu menukar sayang kepada benci atau rasa sayang kepada kawan biasa. Lagi pula mereka saling menyukai. Duduk sekelas , sebab itulah telah putuspun boleh bersambung semula". Itulah antara kata-kataku untuk mendapat pengertian siibu.
(Hakikatnya aku amat sedar bahawa tidak mungkin rasa sayang itu boleh ditukar begitu saja kerana sekali rasa sayang itu bertapa di hati , pastinya kekal di situ selamanya).

Anaknya ini bukan nakal atau jahat tetapi diuji dengan persoalan hati yang rumit , rasa sayang dan cinta remaja. (Ramai yang memanggilnya 'cinta monyet' namun bagiku sama ada ianya 'cinta monyet' atau tidak bukanlah urusan kita menentukannya). Soal hati ... bukan mudah untuk ditangani.
Mungkin aku memang ditakdirkan untuk memahami persoalan seperti ini makanya aku langsung tidak memandang rendah apatah lagi memandang remeh persoalan perasaan muridku ini , malah aku amat bersimpati kepadanya kerana diuji dengan ujian begini. Aku amat faham bebanan perasaan yang harus ditanggungnya , apatah lagi apabila dia sendiri menyuarakan hasratnya untuk berpindah sekolah agar dia dapat menjauhkan diri dan melupakan gadis itu.
(Akhirnya urusan perpindahannya diuruskan ... demi kebaikan , demi mengelakkan perkara yang lebih teruk terjadi. Apabila dua remaja yang saling menyintai bersama , segalanya mungkin ...)

Bak maksud yang tersurat dalam Pantun Melayu yang sering kita dengar ...

 Nasi lemak buah bidara
Daun selasih hamba lurutkan
Tinggal emak tinggallah saudara
Kerana kasih hamba turutkan


Cerita keduaku tentang soal hati ...
Juga beberapa hari lepas , aku mendapat aduan daripada seorang teman tentang perlakuan 'biadab' seorang murid terhadapnya hinggakan sampai terbalik meja!
Agak mengejutkan kerana murid ini memang mendapat perhatian 'istimewaku' sejak dia di tingkatan 1 lagi. Comel ... tapi terlibat dengan beberapa salahlaku disiplin seawal tingkatan 1 malah aku telah berkenalan dengan ibunya , seorang wanita anggun yang terpelajar dan bekerjaya.

Aku sentiasa mengikuti perkembangannya , sering memujinya dan bertegur sapa setiap kali berselisih. Sejak tahun lepas , dia tidak lagi terlibat dengan mana-mana kes salahlaku disiplin. Tup-tup , kes dia berlaku 'biadap' terhadap guru dilaporkan kepadaku. Hatiku berkata , pasti ada yang tidak kena.
Maka , aku mencari peluang bertemu dengannya. SeizinNya , kami berselisih jalan lalu aku menegurnya dan mengajak dia duduk di sebuah kerusi batu. Kami berbual tentang perkara biasa , tentang wajahnya yang sugul , tentang itu ini sekadarnya , hanya sebagai pembuka jalan ...

Hari ini , anak muridku ini kupanggil lagi kerana masalah kekemasan diri pula , aku bercakap sebaik dan selembut mungkin dengannya kerana aku tahu , ada yang mengganggu fikirannya. Tanpa ku sangka , dia meluahkan masalahnya. Tentang konflik yang melanda hubungan ayahibunya ... maka fahamlah aku tekanan yang dihadapinya kini.

Apa yang mampu aku lakukan?. Asal saja dia sudi berkongsi masalahnya , sekurang-kurangnya bebanan perasaan itu dapat dikurangkan , nasihatku padanya ...
"Berdoalah kepada Allah , pintalah hati kedua ibuayah dilembutkan dan dapat memandang satu sama lain dengan kasih sayang. Sungguhpun begitu , jika apa yang Irsyad (Bukan nama sebenar) doakan itu tidak terkabul , janganlah terlalu bersedih kerana Allah telah merencanakan sebegitu. Pasti ada hikmahnya ... bla bla bla ... (nasihat ikhlas dan penuh kasih sayangku kepadanya). Sungguh , aku sayangkan muridku ini walaupun aku tidak pernah mengajarnya kerana aku telah mengikuti perkembangannya sejak dia di tingkatan satu lagi. Semoga Allah memberkati hidupnya dan memasukkannya dalam golongan orang-orang yang sabar. Dan semoga keluarganya kembali bahagia. Amiinnnn....







-Peace-
Moga perkongsian ini membawa kebaikan.
Aku amat yakin bahawa tiada orang yang memilih untuk dibenci
dan 
aku juga amat yakin bahawa persoalan hati amat rumit untuk dikendali
Semoga kita semua diberi kewarasan dan kesabaran menanganinya