Popular Posts

Sunday, 6 July 2014

Bangkitlah ...

Pagi yang hening ini , aku masih belum boleh melelapkan mata. Tugasan sekolah yang harus diselesaikan sebelum mentari menjengah esok hari , menuntut aku untuk tidak tidur malam ini (Ops! Pagi sudah ...)
Inilah guru zaman kini ... hampir 21 tahun perkhidmatan , aku merasakan amat lelah sekali. Tidak terkejar olehku transformasi pendidikan yang terlalu laju berubah. Mana tidaknya , kalaulah sekadar 'laju' sahaja , mungkin boleh juga ku gagahi tapi ... apabila sistem seolahnya tidak stabil , sering bertukar-tukar dan banyak 'try and error'... Huh! Lelah sekali aku dibuatnya. Kalaulah aku ini cukup berani ... berhenti dan buat perkara lain. Masalahnya , aku suka mendidik. Itu sudah jadi sebahagian jiwaku ...
(Ini hanyalah keluhan seorang guru biasa sepertiku yang bekerja bersandarkan minat mendidik dan tanggung-jawab terhadap anak bangsa).

Hmm ... aku menulis ini sekadar melempiaskan kebosanan terhadap tugasan yang sedang kusiapkan. lagi pula , rasa hatiku ini amat merindui sesuatu yang telah menjadi nyanyian jiwaku sejak sekian lama. Kini telah tiada ... sudah pergi jauh dariku. Biarku olahkan rasa itu dalam bentuk puisi yang mungkin hanya aku saja yang mengerti ... kerana kini hanya aku saja yang merasa.



Bangkitlah...
Bangkitlah  perbetulkan landasanmu yang  tersasar
Kerna hidup ini bukan untuk kita melakar mimpi
Tapi ... buat kita mencari erti
Hakikat kehidupan yang telah tersurat
Juga makna yang amat tersirat

Bangkitlah
Bangkitlah sendiri
Gantungkan harapan pada tuhanmu yang lebih mengerti
Kerna aku tidak mungkin mampu menyambut huluran itu
Walau setinggi mana ku cuba mencapainya atau menggapainya
Sedang kakiku telah terikat kuat pada takdir yang terukir

Bangkitlah
Aturkan langkah satu persatu
Sungguh jalan ini bukanlah mudah
Tidak bagiku ... mujahadah ini amat membeban rasa
Menekan segenap ruang ingat
Menggundah tenang jiwa
Namun kupasrah kerana itu sahaja layakku 

Bangkitlah
Bangkitlah wahai jiwa yang sendu
Kembalilah pada jalan tuhanmu
 Keindahan itu pastinya akan menjelma jua
Walau hanya seketika
Atau munculnya di dalam lena ... yang takkan terhapus.