Popular Posts

Wednesday, 17 December 2014

Puisi ... Laut , usah memperdaya



Laut...usah memperdaya...

***Laut...***ojai
Sejauh mata memandang
Indah...tenang ...dengan riak ombak mendamai
Membugar senyuman dibibir sipemerhati nan memerah
Merekah tawa ria sang anak berlari ditepian ... 

Laut...
Menyimpan jutaan khazanah
Memendam ribuan kisah
Berolak olek dipukul gelombang tatkala badai
Terumbang ambing ditiup bayu senja
Menghempas kuat nafas resah pada batuan anjung
Namun...
Laut masih mampu mengundang tenang
Tatkala sang mentari mula mengucap salam
Disambut unggas riang berterbangan
Mencari makan buat sikecil di pepohonan
Atau tika mentari merah mulai melambai
Bersembunyi disebalik tabir langit
Maka tahulah bahawa alam terang bertukar kelam

Laut
Luas terbentang buat insan belajar erti hidup
Meraut kapal cinta meredah alam samudra
Merebeh karang yang menyendal sauh
Menongkah arus dengan dayung cekal
Menjatuhkan layar menuju arah laluan
Menimba air hampa yang mencelah dek buritan nan memecah
Dek beratnya bebanan yang digalas berpanjangan
atau usangnya kekayu yang kian mereput
dan besian yang mengarat lalu mengakis semangat
Pudar dan kian tenggelam bersama malam

Laut
Usah dibiar kapalmu karam dek alpa berpanjangan
Jangan dipesong dek nyanyian merdu sang deduyung
Terpedaya dek lambaian mesra pulau hayalan
Yang munculnya cuma sekali sekala
Tatkala bulan penuh mengambang
Membias riak cahaya harapan nan memalsu
Meralit si nakhoda yang akhirnya terlena
Membiar kapal belayar tanpa kemudi
Sesat ... jauh di tengah samudra

Laut
Cukuplah memperdaya
Biar kapal itu belayar ke hadapan
Meredah gelora tanpa ada gentar 
Mencari pelabuhan buat menambah bekalan
Kerna esok sebelum mentari mulai mengintai
Tatkala dingin bayu masih menyucuk tulang
Maka belayar semula kapal kehidupan 
***dengan tabah dan cekal meredah badai mendatang***






-peace-
>__<