Popular Posts

Saturday, 12 July 2014

'Membuat Keputusan'

Membuat keputusan ...

Dalam kita meniti usia , hari demi hari , kita tidak boleh lepas daripada membuat keputusan seterusnya mengambil sesuatu tindakan berdasarkan keputusan yang telah kita buat.
Sedari zaman kanak-kanak lagi kita belajar sama ada secara langsung atau tidak langsung dalam membuat keputusan ,

"Kakak nak baju warna merah ke biru?"
"Kakak sayang adikkan , boleh tak kasi adik pinjam anak patung tu?"
"Abang boleh tolong jaga adik tak?"
"Abang nak mak masak apa untuk berbuka puasa nanti?"
dan macam-macam lagi keputusan yang harus kita ambil sama ada suka atau tidak , rela atau terpaksa!

Semakin jauh kita berjalan , mengharungi kehidupan yang penuh mencabar semakin sukar keputusan yang harus kita buat kerana tuntutan tanggung-jawab selari dengan penambahan usia sering memerangkap kita dalam konflik yang menyebabkan kita harus berfikir panjang sebelum membuat sesuatu keputusan.

"Ayah nak kamu ambil aliran sains. Ayah nak kamu jadi doktor perubatan atau sekurang-kurangnya jadi jurutera , bukan pelukis jalanan!" ... walau hakikatnya kamu sangat suka melukis.

"Ibu nak kamu belajar dalam negeri saja. Sistem pendidikan di negara kita ni dah cukup baik. Cuba tengok berapa ramai pelajar negara asing yang belajar di sini. Lagipun kalau kamu belajar di luar negara , ibu akan risaukan keselamatan kamu" ...walaupun kita telahpun mendapat tawaran ke luar negara dengan tajaan!

Atau konflik lain yang sering dipeleceh ... namun sebenarnya membentuk identiti dan jati diri seseorang.

"Weiii! Apa klass kau nak kawan ngan kami?. Group kami ni semua group awek cun. kitorang semua ada balak , kau ada?" ... walaupun hakikatnya melambak saja 'balak' yang cuba 'tacle' tapi semua ditolak atas dasar 'belum masanya lagi'!.

"Alah relakslah , rokok je pun. Bukannya kita hisab dadahke , ganjake. Lagipun tak macholah jadi budak skeema macam kau! ... walhal kita tahu rokok itu haram dan kita juga tidak suka dipanggil 'budak skeema'.

Lebih parah lagi ...
"I betul-betul sayangkan you. I sanggup buat apa saja. Kalau boleh sekarang juga I nak kita kahwin ... (lalu meminta lebih) ... walhal kita tahu hukum zina itu berdosa malah kita telahpun biasa didedahkan dengan program seperti 'Anda Bijak Jauhi Zina' tapi kita sangat sayang dan cintakan dia!

Semakin bertambah usia ... tiba masa membuat keputusan yang teramat penting dalam hidup. Kita dilamar beberapa jejaka atau kita meminati beberapa gadis ... bagaimana harus membuat keputusan dan atas dasar apa?

"Dinikahi wanita itu kerana empat perkara , kerana hartanya , keturunannya , kecantikannya dan kerana agamanya maka pilihlah akan hal keagamaannya. Nescaya beruntunglah kedua-dua tanganmu" .
                                                                                             (Hadis riwayat Bukhori dan Muslim)
Jadi ku kira pemilihan lelaki untuk dijadikan suami juga adalah bersandarkan empat perkara tersebut.

Wah! Banyak sekali keputusan yang harus kita buat dalam hidup dan tentunya semuanya melibatkan konflik dalam jiwa. Jika kita memilih A maka C akan berlaku. Jika kita memilih B maka D lah yang akan terjadi. Maka kita pilih apa?...

Islam itu indah ...islam itu sempurna. Kita diajar cara terbaik dalam membuat sesuatu keputusan atau pemilihan , bukan saja soal jodoh malah atas semua urusan hidup.
Perhatikan hadis riwayat imam Bukhori berikut;

Mahfum Hadis:

Dari Jabir ra., ia berkata: "Nabi pernah mengajarkan kepada kami Istikharah dalam berbagai urusan, seperti mengajarkan sebuah surah dalam Al Quran. Kalau seseorang dari kamu menghendaki sesuatu, maka hendaklah ia solat dua rakaat, kemudian berdoa:

“Ya Allah! Aku mohon pemilihan Mu menerusi pengetahuan Mu dan aku mohon kekuatan Mu menerusi kudrat Mu serta aku minta pada Mu sebahagian dari limpah kurnia Mu yang sangat besar. Sesungguhnya Engkau amat berkuasa sedangkan aku tidak berkuasa, Engkau amat mengetahui sedangkan aku tidak mengetahui dan sesungguhnya Engkau amat mengetahui segala yang ghaib. Ya Allah kiranya Engkau mengetahui bahawa perkara ini adalah baik bagiku dalam urusan agama ku juga dalam urusan penghidupan ku serta natijah pada urusan ku, kini dan akan datang, maka tetapkan lah ia bagi ku dan permudahkanlah ia untukku, serta berkatilah daku padanya. Dan kiranya Engkau mengetahui bahawa perkara ini  membawa kejahatan kepadaku dalam urusan agamaku, juga dalam urusan penghidupanku dan natijah urusanku, kini dan akan datang, maka elakkanlah ia dariku dan tetapkanlah kebaikan untukku sebagaimana sepatutnya, kemudian jadikanlah daku meredhainya”

Ya Allah ... Astarghfirullah ... kiranya aku sendiri telah terlalu banyak mengabaikan solat istikharah dalam banyak urusan hidupku ...
Isunya , mengapa kita perlu melakukan solat istikharah?
Jawapannya , tentu sahajalah kerana akal kita amat terbatas kemampuannya. Kita hanya boleh menjangka masa depan namun ianya hanya merupakan suatu jangkaan yang teorinya adalah berasaskan pengalaman hidup dan logik akal semata-mata. Sedangkan Allah itu Maha Mengetahui ...
(Ya Allah ampuni aku atas kebiadapanku membelakangiMu dalam membuat keputusan-keputusan penting hidupku dan sesungguhnya aku telah menzalimi diriku sendiri).

Mengapa  persoalan 'membuat keputusan' ini harus dibicarakan?
Tidak lain dan tidak bukan kerana pengalaman hidup seorang manusia menuntutnya membuat keputusan. Malangnya keputusan yang dibuat itu sering saja tidak selari dengan kehendak hati. Maka berlakulah konflik yang bakal menekan jiwa dan mengganggu gundahkan ketenangan hati.

Namun ada kalanya sesuatu keputusan itu perlu dilaksanakan dan diambil demi kebaikan semua.
Sebagai contoh ,
i.    seorang pelajar harus mengabaikan minatnya demi menggembirakan hati kedua orang tuanya.
ii.   seorang anak sulung terpaksa berhenti sekolah demi membantu kedua ibubapanya menambah                 pendapatan keluarga akibat status hidup yang terlalu miskin.
iii.  seorang gadis atau teruna harus melupakan pilihan hatinya demi keinginan keluarga.
iv.  seseorang itu terpaksa meninggalkan sahabatnya kerana Allah dan jika ianya melibatkan redha               Allah  maka tiada pilihan yang lebih baik walau sebesar mana hatinya memberontak.

Berdasarkan contoh-contoh di atas , sering saja kita harus mengorbankan keinginan sendiri demi sebuah kehidupan yang lebih sempurna. Sempurna dalam erti kata , lebih ramai yang akan bahagia dengan keputusan yang kita ambil dan alasan yang lebih mulia adalah demi mencari redha Allah.
Lagi pula ...
'Apalah nilai sekeping hati kita berbanding lebih banyak hati lain yang mengharap'.

Perit ... pedih ... tapi itulah yang terbaik
Hakikatnya hidup ini bukan kita yang punya
Setiap kita punya tanggungjawab pada yang lain
dan 
Buatmu teman
Terima kasih kerana menjadi sebahagian dari kisah hidupku
Walau apapun bentuk hadirmu 
atau bila 
atau apa kesan hadirmu
semuanya menjadi sejarah yang menyempurnakan kehidupan seorang aku
dan 
Buatmu teman
Sekiranya hadirku sebagai sebahagian dari kisah hidupmu
Meninggalkan banyak kesan luka
Maafkanlah aku kerana bukan itu niatku 
Hakikatnya seorang teman itu bertemu dan berpisah biarlah kerana Allah
Tuhan yang Maha Mengetahui rahsia di sebalik rahsia ...








-Peace-
Buat sesiapa saja yang hadir dalam hidupku - aku sayang kamu selamanya
"Sebarkanlah kasih sayang sesama kita demi sebuah dunia yang bahagia"