Popular Posts

Friday, 28 November 2014

Lukis jea...'Teruknya'

Lukis jea...teruknya...

Teruknya lukisan yang aku lukis ni...
Nampaknya aku kena biasakan diri menggunakan
warna air.
Dah biasa sangat melukis guna pensil jea...inilah
jadinya. Tapi macam biasa, aku tak kisah... terukpun
aku tetap masukkan dalam koleksi blog aku.
Tetap berpegang teguh pada ajaran kawan aku
(Cikgu Seni-Zaila)-kita kena hargai hasil kerja kita.
Jadi...Alhamdulillah.
Aku menghargainya...sekurang2nya aku terhibur
ketika melakarnya.



-peace-
'Dari aku untuk aku'
>__<

Wednesday, 26 November 2014

Cerpen : Cerita itu?

Cerita itu?

***Angin petang menghembus lembut , terasa nyaman sekali apabila rambutnya yang separas bahu dibuai perlahan. Izah memandang jauh ke dalam pepohonan yang tumbuh meliar di kaki bukit Larut itu. Menghijau dengan ton warna yang berbeza , ditambah keindahannya dek merahnya warna sang mentari yang semakin tenggelam.
“Hmm … aku di sini lagi. Setelah berbelas tahun…”. Bisik hati Izah , terkenang segala kisah suka dukanya ketika di alam remaja. Menghabiskan umurnya selama 5 tahun di bumi bertuah ini mencari ilmu buat bekalan masa hadapan. Cepatnya masa berlalu …
“Eh! Tak siap lagi. Program dah nak mula ni”.Tegur Milah. Dulu ,Milah tinggal sebilik dengannya.
Kini , setelah hampir 15 tahun mereka bertemu kembali. Sama-sama menghadiri Alumni pelajar-pelajar tua sekolah tempat mereka belajar dulu. Bagi Milah , perjumpaan sebegini  pasti dihadirinya tiap tahun namun bagi Izah … itulah kali pertama. Bukan tidak mahu bertemu semula rakan-rakan lama tapi … ada-ada saja alasan dan sebab yang menyebabkan Izah lebih suka menyepikan diri.
“Eh! Jomlah…”. Ajak Milah lagi.
“Hmm … takpelah. Kau pergi dulu. Aku turun lepas solat nanti”. Balas Izah.
“Oh! Aku cuti…Allah bagi cuti. Okey , aku turun dulu. Jumpa di bawah nanti”. Jawab Milah sambil merenyih.
Tinggal sendirian  membuatkan ingatan Izah  mengimbau kembali  liku-liku kehidupan yang telah dilaluinya … menamatkan zaman sekolah menengah , bertungkus lumus di Matrikulasi hingga akhirnya melanjutkan  pelajaran di universiti … banyak yang telah ditempuhnya.  Namun perkara yang paling terkesan di hati hingga kini adalah kisah percintaannya yang kecundang di tengah jalan. Saat dirinya hampir-hampir diikat dengan tali pertunangan , di saat itulah dia telah mengambil keputusan yang meruntun hatinya sendiri … memutuskan hubungan dengan orang yang dikasihi lalu membawa diri pergi jauh meninggalkan segalanya.

“Awak , mengapa?. Apa yang berlaku?. Apa yang awak mahu saya buat untuk membaiki keadaan ini?”
“Entahlah…saya tak mahu bicarakan hal ini lagi. Bagi saya masa bersendirian”
“Tapi mengapa …”
“Awak , tolonglah. Saya perlu masa untuk fikir semua ini”.
“Baiklah …”

Itulah antara perbualan terakhir yang masih kekal diingatan Izah , saat dia mengecewakan  Nazmi dengan keputusannya untuk memutuskan hubungan antara mereka. Keputusan yang amat sukar dibuat namun harus diambil. Keputusan yang amat mengecewakan hati Nazmi malah hatinya sendiri. Tidak cukup dengan kekecewaan itu , teman-teman rapatnya juga menghujaninya dengan soalan yang sama ,
“Setelah bertahun-tahun berkawan , mengapa sampai memutuskan hubungan?”. Tanya Fida, tanya Ziah malah itu jugalah soalan yang ditanya oleh Norley , Ba'ie dan ramai lagi.
Izah hanya mendiamkan diri , itulah jawapannya tiap kali ditanya. Untuk apa menerangkan segalanya sedangkan akhirnya dia sendiri yang menanggung.
“Mereka tidak akan faham kerana bukan mereka yang merasa”. Fikir Izah.
“Ya! Aku tahu kerana aku yang merasa”. Tanpa sedar bibir Izah melafazkan kata-kata itu.
Mana tidaknya , perkenalan yang diatur oleh seorang pensyarah yang  kebetulan sama-sama mereka kenali  akhirnya mengundang duka. Masih lagi jelas terbayang di ruangan mata Izah saat mereka sama-sama dipertemukan. Izah ditemani seorang teman masuk ke pejabat kecil En. Kamal. Di situ , telah sedia menunggu seorang pemuda , duduk dengan sopan di sisi Encik Kamal.
“Ya Allah , dia ke?”. Jerit hari Izah kerana itulah pemuda yang pernah dilihatnya dalam salah satu program yang pernah diikutinya tidak berapa lama dulu. Bertugas sebagai  pengerusi sebuah majlis menjadikannya tumpuan mata Izah.
'Dari mata turun ke hati’… mungkin benar kata bidalan ini , perwatakan pemuda itu mengusik hatinya. Namun hanya setakat itu , hari berlalu … Izah sibuk dengan urusannya sebagai siswi hinggalah hari ini , mereka dipertemukan sekali lagi!.
Lalu terciptalah sejarah … kisah cinta bermula setelah hati masing- masing saling memiliki dan dimiliki. Benarlah bagai dikata , cinta itu buta apabila Izah bagai menafikan gerakhatinya sendiri. Daripada awal perkenalan , Nazmi telah meminta Izah berkawan dengan seorang  temannya …
“Nama dia Lina. Dia perlukan bimbingan. Mungkin awak boleh bantu membimbingnya ke  arah kebaikan”.
Demi Nazmi yang semakin bertahta dihati , Izah menerima baik permintaan itu.
Lina dihubunginya melalui surat ...
‘Assalamualaikum …
Salam perkenalan.  Nama saya Nurul Izzah bt Razman.
Saya adalah kawan kepada Nazmi.  Saya berminat untuk berkenalan lebih rapat dengan awak …….’
Itulah permulaan kalam yang akhirnya menjadikan Lina dan Izah bagai dua sahabat yang saling berhubungan. Mesra tapi jauh kerana mereka tidak pernah berjumpa.
Hari berlalu … hubungan yang baik antaranya denga Lina akhirnya memakan diri. Izah mulai tidak selesa kerana tiap kali berhubungan , nazmi menjadi bahan utama perbualan. Walaupun hanya melalui surat , Izah dapat merasakan yang Lina gembira bersahabat dengannya demi mendapat khabar dan cerita tentang Nazmi.
“Ya Allah , apa yang berlaku ini?”. Keluh hati Izah.
“Apa sebenarnya hubungan antara kalian berdua?. Mengapa aku harus  terperangkap dalam hubungan cinta tiga segi seperti ini?”. Izah sedih … perasaannya benar-benar tertekan. Izah tersepit antara cintanya terhadap Nazmi dan kasihnya terhadap Lina.
‘Bagai ditelan mati emak dan diluah mati ayah’ , Izah mengharungi konflik yang semakin bersarang di hati. Cinta yang makin mekar dan kemurnian persahabatan menyebabkannya keliru… benar-benar keliru!.
“Siapa yang dahulu mengenali Nazmi?” … jawapannya Lina.
“Siapa yang memberi harapan kepada Lina?” … jawapannya Nazmi.
“Siapa orang ketiga yang merosakkan hubungan mereka?” … jawapannya Izah!!!
“Ya Allah!”. Izah menekup wajahnya sendiri … sejak itu Izah banyak berfikir. Wajarkah diteruskan hubungan ini atau haruskah dia mengundurkan diri.
“Izah!!!.Laa hang ni asyik berangan memanjang. Puas aku panggil hang. Tu! Ada panggilan telepon untuk hang”. Jerit Fida , teman serumahnya.
“Eh! Sorry…aku tak dengarpun kau panggil”. Jawab Izah sambil merenyih.
“Hmm mana nak dengaqnya , hang sibuk berangan!. Dah , pilah cepat. Jenuh orang tu menunggu”. Balas Fida dengan loghat Kedahnya.
“Yelah makcik!!”. Balas Izah sebelum berlalu.
Izah segera mencapai gagang telepon yang terletak di ruang tamu. Hatinya tertanya-tanya , siapalah agaknya yang meneleponnya …
“Hello , assalamualaikum”
“Waalaikumssalam”
“Ya. Siapa ni?”. Tanya Izah setelah mendengar suara seorang  perempuan menjawab salamnya.
“Tak kenal ye?. Heee…”. Mesra suara si pemanggil.
“Sayalah … Lina!”
“Ya Allah , Lina ke?. Eh, apa mimpi tiba-tiba call ni?”. Balas Izah , mesra. Izah sungguh tidak menyangka yang Lina akan meneleponnya. Selama ini mereka hanya berhubungan melalui surat sahaja. Inilah kali pertama mereka mendengar suara satu sama lain.
Berbual agak lama hingga akhirnya Lina menghujani Izah dengan satu soalan yang membuatkannya tergamam …
“Awak , boleh tak saya nak tanya satu soalan. Awak jawab sejujurnya ya”. Izah mendengar dengan perasaan yang berdebar-debar ,  terlintas di hatinya akan soalan yang bakal ditanyakan Lina.
“Ya. Silakan”. Balas Izah.
“Awak , apa hubungan antara awak dan Nazmi?”.
Bagai batu terhempap di kepala. Sekali lagi Izah tersepit kerana dia memang tahu jawapan yang ingin didengar oleh Lina. Haruskah dia menjawab pertanyaan itu dengan jujur?. Bagaimana dengan Lina … mampukah Lina menerima kejujuran itu?. Tidakkah hatinya akan hancur bagai kaca terhempas ke batu. Izah tahu … sejak awal persahabatan mereka , Lina memang mencintai Nazmi.
“Ya Allah … apa yang harus aku katakan?”. Fikir Izah.
“Awak … apa jawapannya?. Tolonglah jawab. Saya perlu tahu”. Kata-kata Lina mengejutkan Izah yang sedang tenggelam dalam perasaan.
"Keputusan harus dibuat. Sama ada aku atau dia yang akan kecewa" … dan akhirnya …
“Err … kami hanya berkawan. Kawan biasa!”. Jawab Izah perlahan , cuba mengawal nada suaranya.
“Ya Allah! … Leganya saya awak. Saya ingatkan awak dengan dia …. Terima kasih awak!!”. Balas Lina, gembira sedangkan Izah hanya mampu menyeka air mata yang mulai terbit dari pelupuk mata. Mujur Lina tidak dapat melihatnya …

Maka terjawablah sudah konflik dan bebanan perasaan yang ditanggung Izah. Bermain dalam cinta tigasegi yang akhirnya menjerut dirinya sendiri.
“Aku tidak mungkin akan bahagia diatas tangisan orang lain. Lagi pula memang dia yang dahulu mengenalinya. Aku hanyalah watak sampingan yang kebetulan terperangkap dalam kisah mereka”.

Benar , bukanlah suatu kebetulan kita dipertemukan dengan  orang-orang di sekeliling kita dan bukan juga kebetulan kita melalui tiap kisah dan pengalaman dalam hidup.Semuanya sudah tertulis dan dalam perancangan Allah.
Sungguhpun kita diberi pilihan namun kita juga diajar erti pengorbanan dan Izah memilih untuk berkorban demi kebahagiaan orang lain …

“Woii! Berangan ye … tadi kata nak solat. Dah 7:45 ni , maghrib pun dah nak habis. Dah solat ke belum?” Jerkah Milah yang kebetulan naik semula untuk mengambil dompetnya yang tertinggal.
“Laa … hmm…belum solat. Aku …” Jawab Izah sambil menggaru kepala yang tidak gatal.
“Hmm … beranganlah tu!”. Balas Milah dan mereka sama-sama tertawa …***ojai






-peace-
Kekadang kita menyangka bahawa kita telah buat yang terbaik

Entah kenapa bila aku baca balik cerpen
ni aku rasa sedih... ~_~



Thursday, 20 November 2014

Lukis jea ... Tika hati resah

Lukis jea...tika hati resah
Tika hati resah
Tangan melakar semahunya
Mengikut rentak rasa
Sayangnya ... Usai lakaran
Resah masih bertandang
Kerna yang dilakar tak mengundang damai





-peace-
Resah dengan pelbagai kerja yang perlu disiapkan
sebelum melangkah pergi selamanya dari bumi Cyber
Nota Serah Tugas , fail meja , laporan tahunan n segala 
tok nenek lain ... n seperti biasa ...
banyak sangat kerja maka aku melukis!!!

-Resah juga untuk perkara-perkara lain dalam hidup-






Wednesday, 19 November 2014

Fikiranku ... catatan...tika pelangi terpencar



Catatan … tika pelangi terpencar

Aduhai pelangi
Hadirmu hanya seketika
Menyeri  hari setelah hujan lebat membasahi bumi

Indah terbelah tujuh warna yang terselindung

Dibalik cahaya putih nan menyinar

Tatkala gerimis itu masih belum sejat
Dan selagi mentari masih tetap setia menyinar
Terpencarlah dikau pada tujuh warnamu
Bagai lakaran lukisan di dada langit
Buat tatapan mata yang memandang

Atau hati yang dirundung rawan …





-peace-
Di mana pelangiku?

Tuesday, 18 November 2014

Lukisan dan puisi...Kasihku tertumpah di Cyber

Lukis jea ... Terbang di bawa takdir tersurat

Kasihku…tertumpah di Cyber

***Takdir membawaku terbang***ojai
Singgah hinggap merata hingga akhirnya jatuh ke sini
Di bumi yang kononnya gah pada nama
Indah pada rupa

Dan  kasihku tertumpah di sini…
Bukan pada gahnya nama atau indahnya rupa
Juga bukan pada  deretan pepohon yang menghiasi laluan
Atau bangunan berceracak besi yang semakin meninggi
Tapi …
Pada isinya , pada penghuninya
Pada renyah laku yang membugarkan hari-hariku
Terhibur dalam tangisan perasaan
Ketawa nan tenggelam dek timbunan tugasan
Senyum dalam lelah …

Dan kasihku tertumpah lagi di sini
Pada mata sayu yang memandang
Pada hati pilu yang menahan tangis
Pada jiwa kosong yang minta diisi
Pada huluran tangan yang minta disambut
Pada dia yang kehilangan arah …
Lalu kasihku …
Kuhulurkan setulusnya buat dia , dia dan dia
Kerna hayat ini tempat kita memadu kasih
Agar cerialah mata nan sayu , hati nan pilu dan jiwa yang kosong
Tangan itu?
Kusambut penuh syahdu
Biar beriring  menuju jalan yang Satu

Namun
Panas tak sampai ke petang
Pepohon baru berbunga
Musim sudah berubah
Angin bertukar arah
Maka terbanglah aku sekali lagi dibawa takdir tersurat
Berselindung di sebalik yang tersirat
Tinggalkan kasihku yang  tertumpah di sini
Di bumi yang terpahat di hati
***Terukir di minda … Cyber***


Monday, 17 November 2014

Lukis jea... fitrah


Lukis jea...fitrah...

Fitrah makhluk ... Mencintai keindahan...





-peace-
Aku juga mencintai keindahan
dalam pelbagai bentuk
Rupa, akal budi, jiwa...

Friday, 14 November 2014

Lukisjea...akupunture

Lukis jea ... Akupunture

Perubatan alternatif -akupunture...
Sebagai menunaikan hak seorang hamba -berusaha
Selebihnya aku serahkan kepada Penciptaku
Asal saja Allah memandangku...






-peace-
Lukisan santai...wajah yang dikartunkan
Tidak penting lagi kesempurnaan itu
Andai ingatan juga boleh dijarumkan
Tentu best...boleh delete dan paste semahunya
>__<


Lukis jea ... harus pergi


Lukis jea...'Harus pergi'
    "Tiap yang mula pasti ada akhirnya ......
   Sampai masa harus pergi - teruskan saja perjalanan "





      -peace-
     Lukis seadanya
     Tidak penting kesempurnaan itu
      Biar tangan melakar santai
       2015- tahun baru , langkah baru di tempat baru...dan meninggalkan segala yang harus                      ditinggalkan...sedih gak sebenarnya....

Friday, 7 November 2014

Lukisan dan Puisi ... Tersadung


Lukis jea ... Tersadung ...

***Maka melangkahlah kaki***ojai
Atas jalan batu-batu hitam keras
Nan melindungi denai laluan semalam
Diselungkup jua dek dedaunan yang berguguran
Pada musim luruh itu...

Terleka kaki tersadung
Lalu tersungkurlah menyembah bumi
Memerah pipi sakitnya bukan kepalang
Menahan rasa yang semakin bersarang
Dalam ruang paling dalam...

Ah! Menitis darah merah
Menitik laju dari  jari kelingking nan terluka
Jejari paling halus di hujung
Namun cukup menahan diri dari terus berdiri
Dek nyerinya yang tiada terperi...

Sakitnya pipi tersembam menyembah bumi
Peritnya luka di jejari yang tersadung
Sampai masa ketika kan kebah jua
Pipi lebam itu kan kembali mulus
Darah merah kan menguping
Luka di jari kan bertaut

Tempat jatuh itu...
Bebatu hitam keras yang berselerak menutupi denai
Dedaun kering nan berguguran 
Apa boleh dilupa?
Tiap kali musim luruh tiba
***Peritnya pasti terasa...***ojai









-peace-
Pengalaman itu mendewasakan kita
>__<



Thursday, 6 November 2014

Lukisan dan Puisi-Mimpi dan impian


Lukisan dan Puisi ... Mimpi dan impian...
***Ssshhhhhh....***ojai
Jangan diganggu lenanya
Biarkan dia hanyut dalam mimpi lewat malam
Melarut bersama  impian
Yang dulunya berlegar memenuhi ruas kehidupan

Impian dalam mimpi
Dipinjamkan seketika dek ruang waktu
Berputar dan bersenandung dalam gemalainya irama
Ronda dalam minda yang kian melesu
Didodoi harapan ampuh yang mendebu
Mencemari coretan perjalanan malam yang panjang.

Ayuh! Teruslah senandungkan lagu mimpi
Berlirikkan impian sejernih embun
Nan menitis membasahi segenggam harapan
Menyubur dalam tiap helaan nafas hangat
Membangkitkan irama baru
dalam gerak tari langkah yang lebih sempurna
Biar berlarutan sampai ke pagi
Tika celiknya mata
***Semangat yang berkobar mengharungi hari***ojai












-peace-
Ayuh! Bangunlah ... hari dah siang
>__<


Tuesday, 4 November 2014

Lukis jea...Helang...


...Mengagumi kekuatan dan keindahannya...


Lukis jea ... Helang...



                                  -peace-

Lukis jea...'Air yang mengalir'...


Lukis jea...Air yang mengalir...
"Mengalirlah ilmu dari puncanya kepada orang ramai agar ianya lebih memberi manafaat hingga dapat mencelikkan minda yang buta dan membasahkan hati yang kering"

Ku lukiskan pemandangan ini sebagai hadiah buat diriku yang telah selesai menyiapkan skeema dan menanda fizik kertas 1.
Juga buat awak atau siapa saja yang sukakan lukisan.
Bak kata Zaila (temanku-seorang guru seni)-"tak ada yang salahnya dengan lukisan yang kita lukis"
Maknanya .... Suka hati aku nak lukis cara mana ...
Maka inilah hasil petang ni...nikmatilah..
>__<








-peace-

Saturday, 1 November 2014

Lukis jea ... Doakan mereka


Lukis jea...hidup bukan sekadar dua warna

Esok...bermulalah peperiksaan SPM. Sebagai seorang guru-aku turut merasa cemas. Lebih2 lagi pada tahun ini anakku juga merupakan calon SPM.
Doa dan harapku agar mereka semua berjaya dengan cemerlang.

Jumaat lepas sekolahku seperti tahun2 sebelumnya mengadakan majlis 'restu' (aku sebenarnya tak setuju dengan perkataan 'restu' itu-siapalah kita hingga hendak memberi restu pada orang lain).
Buat aku-ianya adalah majlis aku memberikan kata2 semangat terakhir sebelum peperiksaan kpd anak2 muridku yang sudah tentunya aku kasihi dengan setulus hati.

Lepas seorang , seorang datang dan meluahkan apa saja yang mereka mahu antaranya...
1. 'Cikgu halalkan ilmu-pun aku tak setuju. Ilmu itu milik semua. Anugerah Allah buat manusia. Bukan hak cikgu nak menghalalkannya.
2. 'Cikgu maafkan saya kalau saya .....'-pun aku tak setuju. Pada aku , tugas guru mendidik. Kenakalan dan salahlaku murid adalah lumrah dan cabaran dalam pendidikan yang guru sedia maklum dan tidak seharusnya disimpan di hati. Maka tak timbul isu murid berdosa atau bersalah pada guru.
3. 'Doakan saya agar saya ....'. Ini aku setuju. Sememangnya kita diajar agar memperbanyakkan doa dan memohon hanya kepada Allah. Doakan kebaikan untuk orang lain maka malaikat akan kata, 'untuknya juga ya Allah'. Maknanya doa yang baik itu akan sampai kembali kepada kita jua.

Namun dalam ramai2 muridku, yang terkesan di hatiku adalah kata2 dari salah seorang manteeku yang kubimbing dengan penuh kasih sayang dan istimewa daripada orang lain. Kenapa dia istimewa?
Kerana dia dianggap sebagai murid yang 'tiada harapan' dengan latar belakang keluarga yang tidak mendorongnya untuk belajar. Aku sampai minta kebenaran khas drp pihak pentadbiran agar boleh mengambilnya pada bila2 masa untuk ku didik dan kubimbing.(tentu saja mereka membenarkannya dan tentunya aku hanya melakukannya sewaktu aku tiada kelas lain)
Apa ye kata2 nya yang membuatkan aku terharu....
Sampai gilirannya dia memandang wajahku dengan wajah yang tenang tapi serius (tenang ... Kerana aku pernah melihat wajahnya yang keruh dan berserabut).
Antara kata-katanya...
"Cikgu , terima kasih tolong saya ... Bla bla bla....(tak payahlah tulis apa yang telah kulakukan untuknya).
"Cikgu, setiap kali lepas solat , saya doakan cikgu"
Itulah kata2 yang paling bermakna dan sangat kuhargai ... Apabila dia turut menghadirkan aku dalam doanya kerana sesungguhnya aku sentiasa menghadirkannya dalam doaku.

Mungkin inilah yang dikatakan ikatan hati. Tak perlu menyatakannya dengan kata2 dan aku sangat menghargainya.

Buat pembaca budiman , titipkanlah doa buat semua mantee ku yang telah cuba berubah (walaupun di saat2 akhir) dan mereka berusaha untuk 'lulus' SPM walaupun ada antara mereka yang tidak begitu lancar bacaannya.

Tolong doakan kejayaan mereka-Amirul Izwad, Aliff, Mahathir, Afiq Daniel, Iqbal, Safwan, Suhaizarul, Daniel Hasyeff, Aqel...
Juga semua murid2 istimewaku di kelas 5K2.
Tidak lupa buat semua murid fizikku dikelas 5Sc1 dan 5Sc2.






-peace-
'Sayang kalian semua'